Wednesday, March 2, 2011

MATI ITU KETENTUAN ALLAH...ITU SIFAT MAHA BESAR ALLAH...CARANYA PELBAGAI...KITA SEMUA CALON2 MENUNGGU...JIKA KITA SEDAR...MAKA BERTAKWALAH....JANGAN ASYIK DENGAN DUNIA...HINGGA LUPA ALAM BARZAH DAN ALAM AKHIRAT....SEDANGKAN MATI TAK MENGIRA UMUR ...PANGKAT DAN KEDUDUKAN....SAMPAI TAKDIR MAKA MATILAH...PENGAJARANNYA JANGAN SOMBONG BONGKAK TAK TENTU PASAL...

Gantung diri kecewa cinta
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MALANG...anggota polis menurunkan mayat mangsa.
MALANG...anggota polis menurunkan mayat mangsa.
MELAKA: Sebaik bertukar kerja di sebuah kilang di negeri ini lebih dua minggu lalu sikap seorang remaja tiba-tiba berubah begitu ketara sekali hingga menimbulkan rasa pelik kepada ahli keluarganya.
Malah, dia juga kerap dilihat bersembang menggunakan telefon bimbit selain berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan seseorang dipercayai teman wanitanya setiap hari.

Kelmarin, selepas memperoleh gaji, dia memberitahu rakan mengenai rancangannya untuk bercuti cuti selama tiga hari bermula semalam untuk pergi ke kampung kekasihnya, seorang gadis Orang Asli di Gapam, Jasin.
Namun, keluarganya menerima berita mengejutkan pagi semalam apabila remaja terbabit ditemui mati apabila mayatnya ditemui tergantung pada sebatang pokok jambu di Lorong Taman Ayer Keroh Height (TAKH) 7, dekat sini.

Difahamkan, akibat masalah cinta, remaja terbabit, Deklies Anak Dely, 19, berketurunan Bidayuh dari Kampung Sebobok, Bau, Sarawak itu nekad menggantung dirinya.

Mayat mangsa yang memakai kemeja-T lengan panjang putih, berseluar jeans dan kasut hitam serta membawa sebuah beg kecil ditemui seorang wanita di taman terbabit yang keluar berjoging sebelum memberitahu kepada penduduk lain yang menghubungi polis.

Menurut seorang saudaranya hanya mahu dikenali sebagai Alice, 36, sebelum bekerja di negeri ini, mangsa pernah bekerja di Singapura dan di Kuala Lumpur selama beberapa bulan.

Katanya, selepas Tahun Baru Cina lalu, mangsa kembali semula bekerja di sebuah kilang aluminium di Bukit Beruang

“Malam tadi (kelmarin) saya lihat dia kelihatan biasa saja ketika menonton televisyen. Kami sekeluarga langsung tidak tahu bila dia keluar dari rumah sebelum disedari ibu saudaranya.

“Saya terkejut apabila seorang jiran memberitahu mengenai penemuan mayat seorang lelaki dipercayai membunuh diri kira-kira jam 9 pagi sebelum bapa saudaranya pergi melihat sendiri untuk memastikan perkara itu,” katanya yang tinggal berjiran dengan mangsa.

Menurutnya, dia perasan perubahan sikap mangsa yang gemar bersendirian ketika berbual dengan telefon bimbit dan berbalas SMS dengan seseorang.

“Saya syak dia mungkin putus cinta hingga sanggup ambil tindakan begini. Sebabnya saya difahamkan dia ada beritahu rakan sekerja dia hendak bercuti tiga hari untuk pergi ke rumah teman wanitanya di perkampungan Orang Asli di Gapam.

“Sungguh tidak sangka dan kami sekeluarga amat sedih dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Saksi, Zali Md Yunus, 45, berkata dia dan seorang rakan bergegas ke tempat kejadian selepas mengetahui kejadian itu daripada seorang penduduk kira-kira jam 7.30 pagi.

“Pada mulanya saya diberitahu penemuan mayat seorang pelajar menggantung diri di sini kerana mangsa memakai baju berwarna putih dan keadaan di situ agak terlindung dengan pokok selain sering dijadikan tempat pelajar melepak .

“Namun, sebaik tiba saya terkejut melihat sekujur tubuh lelaki dalam keadaan tergantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, Balai Polis Ayer Keroh menerima maklumat awam kira-kira jam 8.20 pagi sebelum sepasukan polis tiba melakukan siasatan di tempat kejadian.


Ibu jual anak usia 3 tahun

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ke mana hilangnya naluri keibuan seorang wanita apabila tergamak menjual anak kandungnya yang berusia tiga tahun kepada individu baru dikenali semata-mata kerana wang.
Lebih tragis, wanita terbabit yang berusia 30-an turut bekerjasama dengan anak angkat lelakinya yang berusia 17 tahun membelasah bekas suaminya sehingga cedera selepas lelaki itu marah dengan tindakannya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di tempat kerja lelaki berusia 43 tahun itu di Taman Wilayah di Kepong, di sini, Isnin lalu. Difahamkan, kanak-kanak lelaki itu dijual kepada seorang lelaki dengan harga belasan ribu ringgit dan kanak-kanak itu dilaporkan kini berada dalam jagaan keluarga pembelinya di Pahang.
Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata lelaki itu dalam laporannya memberitahu dia beberapa kali menghubungi bekas isterinya selepas mendapat maklumat wanita terbabit menjual anak mereka.

“Dalam perbualan telefon, bekas isteri mangsa mengaku sudah menjual anak mereka menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Pertengkaran itu tidak berakhir di situ apabila bekas isteri mangsa bersama anak angkatnya datang menyerang mangsa di tempat kerjanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zainuddin berkata, mangsa membuat laporan polis.

“Kepantasan pihak berkuasa bertindak membuahkan hasil apabila bekas isteri mangsa dan anak angkatnya itu ditahan kurang sejam selepas laporan polis diterima berhampiran rumah mereka.

“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak terbabit kini dilaporkan berada di Pahang dalam jagaan satu keluarga yang didakwa membelinya,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Menurutnya, wanita terbabit dan anak angkatnya kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit bercerai kira-kira setahun lalu dan tindakan wanita itu menjual anak kandungnya untuk mendapatkan wang dipengaruhi anak angkatnya berikutan dia tiada pekerjaan tetap.

Sementara itu, Zainudin menasihatkan orang ramai yang tidak mampu menjaga anak mereka supaya menggunakan saluran betul untuk menyerahkan zuriat itu untuk jagaan pihak lain dan bukan menjual anak mereka seperti barang dagangan.


Maut langgar kuda

Oleh Nojie Nadzirah dan Taufiq Daud
am@hmetro.com.my

REMUK...keadaan Proton Myvi dinaiki selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil, Mariam.
REMUK...keadaan Proton Myvi dinaiki selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil, Mariam.
PERMAISURI: Kejutan kecil untuk keluarga yang dirancang seorang petugas Kedutaan Malaysia di Pakistan dengan tidak memberitahu kepulangannya ke tanah air bertukar menjadi kejutan besar apabila dia terbunuh dalam perjalanan ke rumah orang tuanya selepas kereta dipandunya melanggar seekor kuda.
Kemalangan berlaku di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu - Permaisuri, dekat Kampung Rhu Tapai, Merang di sini kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.

Mangsa, Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd, 28, bertugas sebagai pegawai imigresen di Kedutaan Malaysia di Islamabad, Pakistan dan memandu Perodua Myvi yang turut dinaiki isteri dan dua anaknya.
Dia yang parah di kepala meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, namun isterinya, Ani Norbaya Abdul Rashid, 26, dan dua anak mereka, Nur Wana, 2, serta Nur Marwa yang berusia 60 hari, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, mangsa yang memandu dari arah Kuala Terengganu terlanggar seekor kuda yang melintas secara tiba-tiba di tempat kejadian menyebabkan keretanya berpusing beberapa kali sebelum merempuh dua kereta lain .

“Mangsa yang tersepit dikeluarkan penduduk kampung dan dihantar ke pusat kesihatan berdekatan sebelum dipindahkan ke HSNZ, tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Menurutnya, kuda berkenaan yang dianggar bernilai RM9,000 milik seorang penduduk kampung turut cedera teruk dan sempat disembelih penduduk kampung.

Ibu mangsa, Mariam Othman yang ditemui di rumahnya di Kampung Bari Besar berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian arwah kerana kepulangannya dari Islamabad selama ini amat dinantikan keluarga.

“Dia tidak memberitahu saya, tetapi isterinya ada menelefon memberitahu mereka sekeluarga akan pulang bercuti di kampung selepas tamat berkursus di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Pakistan pada 7 Mac ini.

“Mungkin tindakan arwah tidak memberitahu saya mengenai kepulangannya untuk memberi kejutan kepada kami sekeluarga yang merinduinya,” katanya.

Jenazah Wan Ahmad Fadzil yang berkhidmat di Islamabad sejak pertengahan 2009 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bari Besar pagi semalam.

Tuesday, March 1, 2011

BOLEHKE DALAM ISLAM...TAK HARAMKAH...NAPE ULAMAK JADI BISU....NAK CARI NAHASLAH TU....KERUSI EMPUK ..UPAH YANG LUMAYAN...MEMBUAT KAKU DAN TAKUT...

6 protege Mentor 5 diperkenal



PETALING JAYA: Bahang kehangatan Mentor 5 kian terasa apabila enam protege berentap diperkenalkan di One Utama, di sini, semalam. Malah, hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Chevrolet Cruze menjadi taruhan.
Persaingan yang bermula pada 13 Mac ini mengenengahkan mentor Afdlin Shauki dan protegenya, Ratnah Awal (Ratna), 26, Datuk Sharifah Aini dan Nurshiha Mohd Zikir (Shiha), 24, serta Rahim Maarof dan Aiman Hakin Ridza Abdoh (Aiman), 22.

Tidak ketinggalan turut bersaing pada Mentor 5 itu ialah Erra Fazira dan Salmah A Asis (Salma), 21, Noh Hujan dan Muhammad Faris Mohamed Razali (Ayaish) 21, serta Edry Abdul Halim dan Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor (Iqa), 25.
Selain juara, pemenang tempat kedua akan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan vespa LX150 tajaan Naza World. Sesi perkenalan protege lebih dulu berlangsung pada 6 Mac ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), jam 9 malam.

Dihoskan Ally Iskandar Mohd Mardzi, pengacara bersama malam konsert turut membabitkan Nas Ahmad. Malah, barisan penasihat Mentor 5 pula dibarisi komposer Ajai sebagai penasihat vokal, Adam (AF2) selaku penasihat persembahan dan Faizal Uzir (pengarah muzik).

Bahkan, buat pertama kalinya juga Mentor 5 turut memperkenalkan seorang juri tetap yang akan menilai persembahan dan memberi komen persembahan peserta setiap minggu iaitu Datuk Ramli MS. Ia sebagai kelainan bagi musim ini.

BILA BUAT MAKSIAT...MELAKUKAN MUNGKAR TIADA MALU LAGI....BILA UNDANG2 YANG ADA TAK CUKUP MENAKUTKAN MEREKA...DAN DITAMBAH TANGAN2 GHAIB MENOLONG MELEPASKANNYA....

3 polis bantuan subahat culik

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

DICULIK...tiga mangsa culik warga Pakistan  yang diselamatkan.
DICULIK...tiga mangsa culik warga Pakistan yang diselamatkan.
KRISHNAN...dikehendaki
KRISHNAN...dikehendaki
KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis bantuan yang bertugas di sebuah syarikat di ibu negara diberkas dalam beberapa serbuan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat dengan satu kumpulan penculikan membabitkan warga Pakistan.
Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculik yang didalangi warga Pakistan untuk menyamar sebagai polis dengan mereka berpura-pura memeriksa mangsa yang juga warga Pakistan sebelum menculik mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata tangkapan itu dilakukan susulan kejayaan memberkas empat dalang utama kumpulan terbabit baru-baru ini yang turut menyelamatkan tiga mangsa culik.
“Pada 19 Februari lalu, kami menahan empat suspek warga Pakistan yang dipercayai menculik tiga lelaki senegara untuk meminta wang tebusan dianggar RM620,000.

“Susulan itu, siasatan mendapati tiga lagi suspek warga tempatan yang bekerja sebagai polis bantuan terbabit penculikan itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis merampas beberapa gari dan pistol mainan yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai polis sebelum menculik mangsa dan menyerahkan kepada dalang kumpulan itu untuk urusan tuntutan wang tebusan.

“Kami percaya ketiga-tiga suspek terbaru ini terbabit sekurang-kurangnya lima kes penculikan warga Pakistan sejak tahun lalu dan semuanya direman sehingga 6 Mac ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ku berkata pihaknya kini memburu suspek utama berhubung dua kes samun van keselamatan membabitkan kerugian RM1.18 juta.

Katanya, suspek yang juga pengurus syarikat keselamatan, S Krishnan, 53, dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun di Kepong pada 20 Disember tahun lalu membabitkan jumlah wang RM850,000 dan satu lagi kes di Taman Segar Cheras membabitkan RM330,000.

“Dua suspek berusia 50-an sudah ditahan dan suspek utama kes ini diburu, bagaimanapun serbuan ke rumah suspek baru-baru ini mendapati suspek sudah menghilangkan diri,” katanya.


Kepala dalam longkang

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

MASJID TANAH: Suasana di hadapan sebuah kedai makanan di pekan ini, gempar seketika, apabila seorang lelaki berusia awal 30-an terjatuh dari motosikal secara tiba-tiba, semalam.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu turut disaksikan beberapa pelanggan yang sedang menjamu selera di kedai itu dan terkejut melihat aksi lelaki terbabit merangkak di atas jalan raya selepas terjatuh dari motosikalnya.

Pelanggan kedai makan berkenaan, Mohd Shahril Salleh, 32, berkata, lelaki itu dipercayai mabuk berikutan motosikal ditunggangnya terhoyong-hayang dan tersembam ke atas jalan sebelum dia merangkak ke arah longkang berdekatan.
Menurutnya, dia perasan lelaki berkenaan datang dari lorong di belakang kedai makan berkenaan.

“Masa itu saya berdiri di tepi kedai tidak jauh dari tempat dia terjatuh dan mengesyaki dia mabuk kerana motosikal itu kelihatan terhoyong- hayang.

“Tak lama selepas itu saya perhatikan dia sudah tergolek atas jalan dan beberapa pelanggan yang berada di dalam menjerit melihat kepala lelaki berkenaan berdarah tapi apabila kami nak tolong dia tak mahu dibantu,” katanya.

Katanya, orang ramai yang berada di kaki lima cuba mengalihkan motosikal di atas jalan, tetapi dihalang lelaki terbabit serta mendakwa dia masih normal dan tidak mahu diganggu sesiapa.

“Saya dan pelanggan terpaksa berundur kerana bimbang dia mengamuk. Mulanya saya dan beberapa pelanggan hanya memerhatikan saja lelaki berkenaan berjalan ke motosikalnya. Saya sangkakan dia nak hidupkan enjin motosikal namun dia tidak berbuat demikian.

“Tiba-tiba lelaki berkenaan merangkak menuju ke bucu longkang yang agak dalam di tepi kedai makan dan menjunamkan kepala ke dalam longkang dengan kakinya ke atas menyebabkan kami yang berada di situ segera menariknya ke atas.

“Memang lucu bila melihat keadaan lelaki itu mabuk dan tergolek di atas jalan raya dan merangkak sebelum terjatuh ke dalam longkang pula tapi tak tergamak nak biarkan keadaannya begitu sebelum menghubungi pihak hospital,” katanya.

Jurucakap Jabatan Kecemasan, Hospital Alor Gajah berkata, lelaki berkenaan mabuk dan hanya mengalami luka ringan.


Ketuk, ikat pengawal tua

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan warga emas bukan sahaja dibelasah hingga pengsan malah kepalanya cedera akibat diketuk dengan objek keras menyebabkannya terpaksa menerima tiga jahitan dalam kejadian samun di sebuah kilang kertas kitar semula di kawasan perindustrian Semambu, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki berusia 70 tahun itu berdepan detik cemas apabila diserang dari belakang dan kepalanya diketuk menggunakan objek keras hingga terjatuh berlumuran darah sebelum kaki dan tangannya diikat.

Mata dan mulutnya turut ditutup menggunakan kain serta diperlakukan seperti binatang apabila dibelasah bertubi-tubi hingga pengsan oleh penyamun dipercayai lebih daripada seorang.
Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata ketika kejadian mangsa bertugas seorang diri dan tidak menyedari kehadiran penyamun terbabit yang menyerangnya dari belakang.

Katanya, mangsa yang pengsan akibat diserang, tersedar kira-kira setengah jam kemudian dan membuka ikatan pada tangan dan kakinya.

“Dalam keadaan tidak bermaya mangsa berjalan kaki mendapatkan bantuan pekerja yang menetap di asrama di kilang berkenaan sebelum memaklumkan kejadian terbabit kepada pengurusnya dan membuat laporan polis.

“Mangsa yang cedera di kepala akibat hentakan objek keras itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, untuk rawatan dan menerima tiga jahitan,” katanya di sini, semalam.

Menurut Noor Asyikin, siasatan polis mendapati suspek bertindak memusnahkan sistem penggera bunyi dan kamera litar tertutup yang dipasang di kilang berkenaan.

Katanya, mangsa turut memaklumkan dia tidak dapat mengenal pasti jumlah sebenar suspek menyerangnya dalam kejadian itu.

“Suspek melarikan sebuah komputer riba dan beberapa barangan elektrik dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM4,000, “ katanya.

Menurutnya, polis giat memburu suspek dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan rotan,” katanya.


Datuk miang belasah pelanggan kelab

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar jutawan dan berstatus Datuk bertindak kejam apabila membelasah seorang lelaki yang berkunjung ke kelab malam miliknya hingga parah hanya kerana mangsa menegur dan menghalangnya daripada mengganggu seorang wanita yang datang berhibur, malam Sabtu lalu.
Mangsa berusia awal 40-an parah di muka akibat kejadian berkenaan.

Datuk terbabit bukan saja pemilik kelab malam itu tetapi dikatakan ketua samseng dan kongsi gelap serta mempunyai pengaruh dalam beberapa agensi kerajaan.
Dalam kejadian Sabtu lalu di sebuah pusat hiburan terkenal di Jalan Walter Grenier, Off Jalan Imbi di sini, mangsa menghalang Datuk terbabit daripada terus mengganggu seorang wanita. Akibat berasa tercabar, dia membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

Menurut sumber, ahli perniagaan dan jutawan berusia 54 tahun dilabel ‘Godftaher’ disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan pelacuran itu pernah dipenjarakan dua tahun di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor serta dibebaskan pada 2005 selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan habeas corpusnya.

“Sehingga kini mangsa enggan membuat laporan polis kerana berasa sia-sia dan percaya jika dia membuat aduan, Datuk itu tidak akan dikenakan tindakan ekoran pengaruhnya.

“Pengaruh Datuk samseng ini istimewa hinggakan gelarannya yang ditarik ekoran hukuman penjara diperoleh semula tidak berapa lama selepas dia dibebaskan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa ketika dibelasah tidak mampu berbuat apa-apa kerana berada dalam premis lelaki terbabit dan dia yang cedera teruk pada muka dalam ketakutan dan tidak berani mengambil tindakan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya tidak boleh mengambil tindakan jika mangsa tidak membuat laporan. Tanpa laporan ia hanya dakwaan atau spekulasi.


Pinjam RM50,000 rumah tukar milik



KUALA LUMPUR: Angkara meminjam wang perniagaan sebanyak RM50,000 dengan mencagarkan rumah kepada sebuah syarikat pinjaman berlesen menyebabkan seorang peniaga kini berputih mata apabila rumah miliknya itu ditukar nama tanpa pengetahuannya.
Mangsa, A Muthukrishnan, 43, yang berniaga di Pasar Borong Selayang pada mulanya membuat pinjaman wang dengan pemilik syarikat berkenaan dengan mencagarkan geran rumahnya yang didiami kini di Taman Selayang Baru kononnya untuk mendapat kadar bunga terendah.

Katanya, selepas pinjaman diluluskan pada September 2008, dia dan isteri, S Kanagama, 42, menandatangani satu surat perjanjian bahawa akan membayar pinjaman seperti ditetapkan.
“Saya mematuhi syarat dengan membayar pinjaman RM200 sehari tetapi terkejut apabila diberitahu pihak bank pada Julai tahun lalu bahawa rumah milik saya itu kini dibeli pemilik syarikat pinjaman berlesen dan sudah ditukar nama.

“Mereka memberitahu saya bersetuju menjual rumah itu melalui satu perjanjian, padahal saya langsung tidak tahu menahu mengenainya,” katanya.

Dia kini tersepit apabila rumah yang dibeli pada 1997 dengan harga RM200,000 itu bukan miliknya sedangkan masih membayar pinjaman perumahan RM1,300 sebulan kepada bank.


BUAT TU LAWAN LAH...ADAKAH BERTAMBAH IMAN ATAU MENGUATKAN AQIDAH...


‘Kami tiada niat lawan ulama’


SEORANG pengunjung menyentuh jenglot yang dipamerkan dalam satu pameran di Kuala Terengganu pada 2007.



KUALA TERENGGANU – Penganjur pameran kontroversi bertemakan Masyarakat Berakidah, Dynasty Event Sdn. Bhd menegaskan, tidak timbul isu pihaknya menentang keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana program itu sendiri telah dirancang sealiran dengan tuntutan agama.
Pengerusinya, Dr. Abdul Manan Embong berkata, pameran itu kelak bukan bertujuan untuk memaparkan artifak dan objek mistik semata-mata, malah untuk membendung akidah umat Islam daripada terus terpesong.
Menurutnya, mereka sudah berbincang dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Mufti Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan program itu mencapai objektif yang ditetapkan.
“Kami cukup kesal kerana hasrat murni program ini telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak dengan memberi gambaran negatif,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Tukang tarik kereta perlu didisiplin



PENDANG: Tukang tarik kereta yang bertindak ala samseng akan dikenakan tindakan keras berikutan kerajaan sedang mengkaji undang-undang bagi memastikan hak pengguna lebih terjamin.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Rohani Abdul Karim berkata, melalui undang-undang itu, penarik kereta mesti berdaftar mengikut sistem tertentu bagi membolehkan mereka menjalankan kerja secara lebih teratur dan berhemah. “Kami sedang mengkaji undang-undang bagi tukang tarik kereta kerana banyak menerima aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan mereka.

“Kami dengar banyak rungutan tukang tarik kereta bersikap seperti samseng hingga ada kereta yang pinjamannya sudah dilunaskan 75 peratus juga ditarik dengan tidak berhemah. “Melalui undang-undang ini, kami tidak benarkan hal itu berlaku dan memastikan ia lebih tertib tanpa membabitkan kekasaran terhadap pengguna,” katanya selepas merasmikan seminar koperasi wanita peringkat negeri Kedah di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaacob dan Pengarah KPDNKK Negeri Kedah, Mohd Sakri Saleh.
Sementara itu, Rohani berkata, kementerian itu juga akan memperkenalkan undang-undang permainan kutu melalui pindaan akta perniagaan jualan langsung (MLM) dalam usaha membasmi sebarang bentuk penipuan dan penganiayaan terhadap pengguna pada masa depan.


2,000 pengundi Merlimau ‘hilang’

JASIN – Sebanyak 2,000 pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau ’hilang’ dan gagal ditemui berikutan tidak lagi tinggal di alamat yang didaftar.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jentera BN telah berusaha menjejaki ‘kehilangan’ pengundi-pengundi tersebut ke semua alamat namun gagal menemukan mereka.
“Kita akan terus berusaha mencari mereka supaya datang mengundi pada hari Ahad ini kerana undi mereka penting.
“Kita yakin pengundi-pengundi ini ada di sekitar negeri ini tetapi telah berpindah daripada alamat lama dan mereka masih boleh membuang undi pada hari pengundian nanti,” katanya yang juga Ketua Menteri Melaka.


Muda-mudi pesta dadah dicekup


SEBUAH hotel di Jalan Cheras, Kuala Lumpur yang disewa sekumpulan 30 orang untuk berpesta menyambut hari jadi Sabtu lalu.


KUALA LUMPUR – Keseronokan sekumpulan 30 orang termasuk lima wanita yang menyambut hari lahir dalam sebuah bilik hotel di Jalan Cheras di sini tidak berpanjangan apabila mereka ditahan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan pada pukul 4 pagi Sabtu lalu dibuat selepas polis menerima aduan mengenai bunyi bising dari salah sebuah bilik hotel di situ.
“Kita menghantar sepasukan polis selepas ada penghuni di hotel sama memaklumkan tidak tahan dengan bunyi bising dari bilik hotel yang disewa kumpulan tersebut,” kata beliau di sini semalam.

CAKAP PANDAI...TUNJAL JARI IKUT SUKA...PANDAI BERCERAMAH DAN MENULIS....HUKUM ISLAM TAK DIPERJUANGKAN...JANGAN JADI ULAMAK BISU...DAN ULAMAK PENAKUT....TAKUT PADA MANUSIA DAN TAK TAKUT PADA ALLAH LANGSUNG....KERJANYA MENGEJAR KEMEWAHAN DAN KEMASHYURAN...BERI ALASAN BERIBU2...AKHIRAT TENTUKAN NASIB...

‘Budaya jahiliah diimport’

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan dan Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Golongan yang hanya mementingkan keseronokan semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan dunia akhirat, termasuk sanggup bertukar-tukar suami isteri secara rela untuk menjalin hubungan intim dengan pasangan lain tidak ubah seperti lembu dan kambing kerana mereka sudah hilang nilai kemanusiaan dan pegangan agama.
Penceramah dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, hubungan intim yang semakin suram antara suami isteri tidak boleh dipulihkan atau diceriakan melalui cara songsang termasuk bertukar-tukar pasangan, sebaliknya segala masalah yang ada hingga menyumbang kepada kesuraman itu perlu diselesaikan dengan baik selain bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, sikap sesetengah orang yang melakukan perkara tidak masuk akal sehingga sanggup merelakan suami atau isteri berzina dengan orang lain, hanya akan mengundang lebih banyak masalah selain berdosa besar.
“Di mana letaknya rasa cemburu dan maruah seseorang itu apabila membiarkan perkara begini terjadi. Jika ditanya mana-mana orang yang mempunyai nilai kemanusiaan, tidak mungkin perkara ini akan dibenarkan berlaku.

“Ini budaya jahiliah dan tidak perlu diimport masuk ke negara ini dengan ‘merasmikan’ hubungan haram begini sedangkan tanpa kita sedari, kita sudah banyak kes seumpamanya seperti isteri atau suami curang, cuma bukan secara rasmi dan tanpa kerelaan pasangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, antara kepentingan menjaga hubungan suami isteri adalah kerana Islam mementingkan perkahwinan yang berkualiti serta menjaga keturunan seseorang itu dengan menentukan batas kerana hidup bukan sekadar untuk seronok semata-mata.

Katanya, perlakuan songsang berkenaan bukan saja merosakkan institusi perkahwinan di kalangan masyarakat serta tersasar dari tujuan sebenarnya, malah ia merosakkan keturunan.

“Perkara yang tidak baik ini umpama lalang, kita tidak tanam atau tidak jaga pun ia boleh tumbuh subur, tetapi perkara yang baik ini umpama pokok rendang yang membuahkan hasil, kita perlu tanam dan jaga dengan penuh perhatian supaya ia tumbuh elok,” katanya.

Zawawi merujuk kepada laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai pakej pelancongan sambil bertukar-tukar suami dan isteri, membabitkan aktiviti seks bebas hujung minggu dikenali sebagai ‘swinger’ anjuran segelintir pelancong dari negara jiran yang kini cuba menjerat pasangan di sekitar Johor Bahru untuk menyertainya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, meminta kerajaan khususnya pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu membabitkan pakej pelancongan sambil bertukar-tukar suami dan isteri yang dipercayai didalangi warga asing dari negara jiran.

Lee berkata, gejala tidak bermoral itu perlu segera dibendung kerana ia bukan saja mampu merosakkan institusi rumah tangga, malah menambah masalah sosial sedia ada di negara ini.

BENDA SEDAP...HUKUM ALLAH DINAFI...KITA YANG DEGIL...ULAMAK YANG ADA...ULAMAK UPAHAN...ULAMAK ROSAK....ULAMAK GILA DUNIA...ULAMAK TAK TAKUT NERAKA PUNYA...WALAUPUN BUKAN SEMUA....

Suami pergi bekerja, isteri asmara depan anak

KULIM: Seorang isteri berusia 23 tahun yang mempunyai dua anak sanggup bermain kayu tiga apabila ditahan berkhalwat bersama kekasih gelapnya dalam kejadian di Kampung Padang Tembak, malam kelmarin.
Lebih mengejutkan, perbuatan durjana wanita berkenaan dilakukan di rumahnya sendiri ketika suaminya bekerja dan di depan dua anaknya berusia enam dan setahun setengah.

Ketua Unit Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, suami wanita berkenaan yang dihubungi penduduk kampung pulang ke rumahnya sebelum mendapati kekasih gelap isterinya berusia 20 tahun berbaring di sofa.
Katanya, berang dengan tindakan isteri dan lelaki berkenaan, suami yang berusia 25 tahun terbabit memaklumkan kejadian itu kepada PADK untuk tindakan lanjut.

“PADK menerima aduan kira-kira jam 9.30 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian. Setibanya di rumah berkenaan, kami dapati berlaku pergelutan antara suami wanita itu dengan kekasih gelap isterinya,” katanya.

JIKA TAMAK...NAK MURAH...NAK CEPAT KAYA...SERTA BODOH SENANG DITIPU...ATAU ORANG YANG NAK MENIPU MENGGUNA SIHIR PENUNDUK UNTUK MENCAPAI TUJUAN MEREKA....ELOK MUHASABAH DIRI...

20 gigit jari ditipu nyah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@hmetro.com.my

KESAL...mangsa dan ahli keluarga masing-masing menunjukkan laporan polis yang dibuat dan dokumen yang digunakan suspek.
KESAL...mangsa dan ahli keluarga masing-masing menunjukkan laporan polis yang dibuat dan dokumen yang digunakan suspek.
GOMBAK: “Kami hanya berikan minuman dan makanan ringan kepada tetamu,” kata seorang mangsa penganjur perkahwinan yang gagal menyediakan pakej dijanjikan menyebabkan pelanggannya bukan saja kerugian puluhan ribu ringgit, tetapi turut menanggung malu.
Mangsa yang meminta identitinya tidak didedahkan berkata, dia sudah membayar RM37,000 kepada penganjur perkahwinan terbabit untuk pakej perkahwinannya merangkumi khidmat katering, kad jemputan, baju pengantin, gubahan hantaran, pelamin dan katil.

“Malangnya, sehari sebelum perkahwinan saya pada September tahun lalu, dia menghubungi saya dan memaklumkan gagal menyediakan semua yang dijanjikan.

Tiada apa yang dapat dilakukan saya dan keluarga ketika itu kerana masa terlalu suntuk. Akibatnya, pada hari perkahwinan saya, kami sekeluarga hanya memberi minuman dan makanan ringan kepada tetamu,” kata lelaki berusia lewat 20-an itu.
Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, dia berjumpa ibu penganjur perkahwinan terbabit, namun wanita itu mendakwa tiada kaitan dalam aktiviti anaknya. “Malah, ibunya mendakwa sudah tiada hubungan dengan anaknya sedangkan sebelum itu semua wang dimasukkan ke dalam akaun ibunya,” katanya.

Penganjur perkahwinan terbabit yang juga seorang lelaki berpakaian wanita atau mak nyah berusia 37 tahun didakwa sudah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit selepas memperdaya lebih 20 pelanggan sepanjang hampir enam tahun lalu. Selain bijak berkata-kata, dia hanya menggunakan sepasang pakaian pengantin dan satu sampel cenderamata bagi memperdaya puluhan bakal pengantin dan keluarga mereka.

Antara modus operandi mak nyah itu ialah meminta pelanggan memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun yang didaftarkan atas nama ibunya yang berusia lewat 50-an.

Mangsa terbaru mak nyah terbabit ialah Ab Wahab SH Salim, 57, yang merancang mengadakan majlis perkahwinan anak ketiganya, Mohd Fitri, 27, pada Sabtu ini dan sudah membuat bayaran pendahuluan RM21,000.

“Saya mengenalinya lima tahun lalu di pameran perunding perkahwinan. Apabila anak saya nak berkahwin, saya menghubunginya dan berbincang mengenai pakej perkahwinan yang dia tawarkan.

“Dalam kunjungan ke rumah saya Oktober lalu, dia menawarkan pakej perkahwinan lengkap katering, pakaian pengantin, hantaran, katil dan pelamin, selain kad undangan perkahwinan dengan harga murah,” katanya. Menurut Ab Wahab, selepas dia membuat bayaran RM21,000, mak nyah terbabit lesap sebelum menghantar SMS mengatakan gagal menguruskan majlis perkahwinan itu.

“Dia mengaku sudah menggunakan wang yang saya bayar dan berjanji akan melunaskan secara ansuran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Gombak, di sini, semalam.

Ab Wahab berkata, dia tidak membayar wang yang diminta mak nyah terbabit secara terus, sebaliknya secara ansuran setiap kali diminta, namun transaksi itu dilakukan ke atas akaun ibunya.

“Selepas membuat laporan di Balai Polis Gombak, saya sekeluarga dimaklumkan terdapat beberapa mangsa lain yang turut berbuat demikian selepas ditipu lelaki terbabit,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Syed Danial Syed Shaffri, 26, mengalami nasib sama apabila dia dan tunangnya kerugian RM11,000 selepas diperdaya lelaki terbabit untuk urusan sama.

“Saya yakin dia mengamalkan ilmu salah seperti penunduk kerana setiap kali dia meminta wang, saya dan pasangan akan memberikannya dengan mudah.

“Cara dia menipu sama dengan mangsa lain. Biarpun mustahil untuk mendapatkan semula wang yang dilarikan itu, kami mendedahkan perkara ini bertujuan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya tawaran pakej perkahwinan terbabit,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.


‘Goyang lalok’ rai hari lahir

Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu meraikan hari lahir rakan secara luar biasa, 25 lelaki dan lima wanita ditahan ketika ‘goyang lalok’ dalam satu parti liar dadah dan arak yang dianjurkan mereka di sebuah hotel di Jalan Pudu, Pudu Ulu di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ketika asyik menari dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Malah, ada dakwaan mengatakan kumpulan terbabit turut melakukan hubungan seks ketika meraikan majlis hari lahir seorang daripada mereka. Semua mereka dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.
Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya Eramin 5, methapetamin dan Ecstasy.

Menurut sumber, sepasukan polis bergegas menyerbu bilik hotel bertaraf tiga bintang itu selepas menerima aduan daripada penghuni lain kerana kumpulan terbabit dikatakan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman mereka.

“Ketika serbuan dilakukan, ada segelintir daripada kumpulan terbabit masih menari kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah.


“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi, mengesahkan penahanan kumpulan terbabit.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan, 19 daripada mereka termasuk dua wanita didapati positif dadah. Malah, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah yang digunakan dalam parti berkenaan.

“Mereka semua akan direman sehingga hari ini (semalam) dan akan dihadapkan ke mahkamah esok (hari ini),” katanya.

Mohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saya menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa memantau perkembangan anak masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.


Derma ‘dapat’ tanah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

LAPOR...Sarah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas  ditipu pertubuhan terbabit.
LAPOR...Sarah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas ditipu pertubuhan terbabit.
RAWANG: Satu pertubuhan usahawan dari negeri jiran dikesan bergiat aktif menawarkan khidmat mendapatkan tanah dengan syarat menderma RM2,500 kepada mereka sebagai derma kononnya untuk majlis makan malam amal pertubuhan itu.
Taktik mereka yang terdiri daripada empat lelaki itu cukup licik kerana ‘berlakon’ seolah-olah mengenali mangsa sebelum meminta menderma wang berkenaan dan sebagai alasan jika syarikat mangsa ingin mendapat tanah, mereka bersedia membantu. Terbaru, seorang lelaki berusia 50-an yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu menjadi mangsa apabila didatangi empat lelaki terbabit Khamis lalu yang mendakwa mereka daripada sebuah pertubuhan usahawan.

Pekerja syarikat terbabit yang dikenali sebagai Sarah, 24, berkata, pada hari kejadian kira-kira jam 10 pagi, empat lelaki terbabit datang ke pejabatnya di sini dengan memperkenalkan diri sebagai ahli sebuah pertubuhan usahawan dan kedatangan untuk menerangkan kempen yang dijalankan.
Menurutnya, dia kemudian membawa mereka berjumpa dengan ketuanya dan ketika bertemu, seorang daripada lelaki terbabit terus menyapa nama ketuanya itu seolah-olah sudah lama mengenalinya namun panggilan nama digunakan mereka salah.

“Saya ketika itu sudah berasa ada sesuatu yang tidak kena, namun membiarkan sahaja. Mereka juga mendakwa mempunyai pengaruh yang kuat dan mempunyai kenalan rapat dengan ahli politik yang dapat membantu mendapatkan tanah di sebuah negeri dengan mudah.

“Pada mulanya mereka meminta ketua saya mengeluarkan cek pada hari itu juga sebanyak RM2,500, namun tidak boleh kerana cek syarikat di ibu pejabat di Damansara,” katanya.

Menurutnya, cara mereka meminta sumbangan dengan mendesak menimbulkan curiga niat sebenar pertubuhan itu tambahan tidak memberi kad perniagaan bagi memudahkan urusan.

Beliau berkata, keesokannya kira-kira jam 3 petang, seorang daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai presiden datang mengambil cek itu.

“Selepas lelaki terbabit beredar saya menghubungi talian pertubuhan lain untuk memastikan kewujudan pertubuhan itu namun gagal. Malah saya menghubungi agensi berkaitan dan terkejut apabila diberitahu pertubuhan itu sudah banyak kali membuat kes penipuan yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Rawang untuk mengetahui situasi sebenar berkaitan pertubuhan terbabit sama ada benar mereka menjalankan kutipan derma atau lebih kepada keuntungan sendiri.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

ANJING BABI JIJIK...MELOYAKAN...DIJAUHKAN SANGAT2...ZINA..RASUAH..JUDI...ARAK...SELAMBA AJE...TAK JIJIK PUN...TAK MELOYAKAN ......SEBAB BENDA TU SEDAP DAN MENYERONOKKAN....ADAKAH BERIMAN PADA ANJING DAN BABI JE KE

 

BILA NAK MEWAH...BERSUKA2..BERPOYA2...AMBIK SAJA HARTA@WANG TAK KIRA SUMBER..RASUAH CARA PALING MUDAH...


Rakyat tewaskan tentera kerajaan


PEMIMPIN ZALIM...penunjuk perasaan mengoyakkan poster Gaddafi di bandar raya Benghazi, ketika pemimpin dunia terus meningkatkan tekanan untuk mendesak pemimpin Libya itu berundur.
PEMIMPIN ZALIM...penunjuk perasaan mengoyakkan poster Gaddafi di bandar raya Benghazi, ketika pemimpin dunia terus meningkatkan tekanan untuk mendesak pemimpin Libya itu berundur.
TRIPOLI: Penentang kerajaan berjaya menghalang cubaan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi untuk merampas semula bandar Zawiya selepas bertempur selama enam jam, kata saksi semalam.
Pemberontak - termasuk tentera yang berpaling tadah - menggunakan kereta kebal, mesingan dan senjata antipesawat menghadapi serangan penyokong Gaddafi yang juga menggunakan senjata sama.

Kata saksi, bandar paling hampir dengan ibu negara Libya itu diserang dari enam arah tetapi tiada laporan kematian diterima.
Zawiya terletak kira-kira 50 kilometer di barat Tripoli.

Cubaan sama dilakukan tentera pro-Gaddafi pada malam kelmarin ke atas bandar Misrata, bandar ketiga terbesar di Libya dan terletak 200 kilometer di timur Tripoli.

Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan penentang kerajaan.


Pemberontak berkata, mereka tidak akan mengalah walau apa pun terjadi.

“Kami tahu bandar ini sangat strategik dan penyokong Gaddafi berjuang mahu menguasainya.
“Mereka berjaya ditewaskan kerana kami bersemangat tinggi, manakala mereka langsung tidak bersemangat,” katanya.

Gaddafi yang menjadi pemimpin Libya sejak 41 tahun lalu kini hanya menguasai Tripoli dan bandar berhampiran, manakala selebihnya jatuh ke tangan pemberontak.

Kata saksi, pemuda Zawiya ditempatkan di bumbung bangunan tinggi bagi memantau setiap pergerakan tentera pro-Gaddafi.

Saksi juga mendakwa, rejim Gaddafi menawarkan wang lumayan kepada pemberontak supaya menyerahkan semula bandar berkenaan.

Kelmarin, rejim Gaddafi cuba menunjukkan mereka adalah pihak berkuasa yang sah dengan menghantar 18 lori sarat berisi tepung gandum, gula dan telur ke Benghazi - bandar kedua terbesar Libya. - AP

AS anggap Libya dipimpin pengkhayal


WASHINGTON: Amerika Syarikat melabel Muammar Gaddafi sebagai ‘pengkhayal’ sambil membekukan pelbagai aset - bernilai RM91 bilion - bagi menekan pemimpin Libya itu supaya melepaskan kuasanya.
Ia adalah sebahagian daripada pendekatan Presiden Barack Obama untuk melemahkan Gaddafi yang sebelum ini berdepan tekanan antarabangsa.

Duta AS ke PBB, Susan Rice, berkata sangat pelik apabila Gaddafi boleh ketawa seperti tiada apa-apa berlaku sedangkan pada masa sama, dia membunuh rakyat sendiri.
“Ia menjelaskan lagi betapa Gaddafi tidak sesuai memimpin,” katanya. - AFP

Saya masih disayangi: Gaddafi

JEDDAH: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, terus berdegil dan enggan mengalah kepada tekanan antarabangsa supaya berundur daripada kekuasaannya.
Semalam, Gaddafi mendakwa dia masih disayangi rakyat Libya dan menafikan ada demonstrasi menentangnya.

“Semua rakyat Libya menyayangi saya. Mereka rela mati demi saya,” katanya.
Mengenai protes di negara itu, Gaddafi berkata, keadaan itu sebenarnya bukan mengecam kerajaan, sebaliknya menyatakan sokongan ke atas rejimnya.

Ditanya tindakan penduduk Benghazi dan bandar lain yang menaikkan bendera lama Libya menggantikan yang sedia ada, Gaddafi berkata, mereka bukanlah rakyatnya.

“Mereka pengikut al-Qaeda yang mendalangi kekacauan di Libya,” katanya.
Sementara itu, laman sesawang stesen penyiaran BBC melaporkan, Gaddafi hanya ketawa apabila ditanya sama ada dia akan meninggalkan Libya jika krisis berterusan.

Kata Gaddafi, dia berasa dikhianati pemimpin dunia apabila mereka mendesaknya melepaskan jawatan.
“Bagaimana saya mahu berundur kerana saya tidak mempunyai jawatan rasmi, malah kuasa sebenarnya ada di tangan rakyat,” katanya. - AN


Ulama Arab Saudi beri sokongan terbuka gerakan reformasi

JEDDAH: Ulama Arab Saudi menyatakan sokongan terbuka kepada kebangkitan rakyat menuntut reformasi di Libya dan menggulingkan Muammar Gaddafi.
Sokongan itu dibuat sebagai reaksi mereka kepada kenyataan anak Gaddafi, Saif al-Islam, yang mendakwa sebelum ini sesetengah ulama pernah ‘menjilat kasut but’ bapanya.

Sementara itu, ahli Majlis Ulama Kanan Saudi, Sheikh Saleh al-Lehaydan, berkata dia tidak pernah mengeluarkan fatwa mengecam penunjuk perasaan anti-Gaddafi.
Sheikh Aed al-Qarni pula berkata, dia pernah melawat Libya tahun lalu untuk bertemu dengan orang ramai, bukannya memuji Gaddafi.

“Pertumpahan darah perlu dihentikan. Kerajaan Gaddafi bukan kerajaan Islam kerana dia merampas kuasa daripada pemerintah lama empat dekad lalu dan tidak pernah menerima mandat daripada rakyat,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Sheikh Aed berkata, Gaddafi bukanlah seorang imam untuk umat Islam, sebaliknya lelaki Badwi bodoh yang gila kuasa. - AN

AS hantar kapal perang ke Libya


Gambar fail menunjukkan kapal pengangkut USS Kearsarge yang dihantar Amerika Syarikat berhampiran perairan Libya.



TRIPOLI - Kuasa-kuasa asing meningkatkan tekanan terhadap diktator Libya, Muammar Gaddafi kelmarin. Sebuah akhbar melaporkan langkah itu diambil selepas tentera Gaddafi menyerang pihak penentang di dua buah bandar yang terletak berhampiran dengan kubu kuatnya di ibu kota Libya, di sini.
Beberapa jet pejuang pasukan tentera yang setia pada Gaddafi turut mengebom sebuah depot simpanan peluru di timur negara itu.
Krisis politik di Libya semakin memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) mula meletakkan kapal-kapal perangnya berhampiran perairan negara itu selepas para penunjuk perasaan bertempur dengan tentera upahan Gaddafi.
Para penunjuk perasaan itu menuntut peletakan jawatan Gaddafi selepas hampir 42 tahun beliau memerintah tetapi gagal untuk membantu rakyat miskin di negaranya.
"Kapal-kapal perang itu akan bertindak sekiranya diperlukan," kata jurucakap Pentagon, Kolonel David Lapan.
AS mengumumkan bahawa ia telah menggerakkan kapal induk USS Enterprise dan USS Kearsarge ke perairan Libya.
Washington juga meletakkan pesawat-pesawat pejuangnya di dua pangkalan tentera di selatan Itali dalam keadaan siap sedia untuk melakukan misi ketenteraan.
Pentadbiran Presiden Barack Obama memberitahu, Washington kini menimbang untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.
Ia bertujuan menghalang Gaddafi daripada terus menggunakan jet-jet pejuang Libya untuk mengebom penunjuk perasaan.
Pendirian tegas itu disuarakan oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, yang tidak menolak untuk mengambil tindakan ketenteraan bagi menamatkan tindakan ganas Gaddafi terhadap rakyat Libya.
"Gaddafi tidak lagi berhak untuk memerintah Libya, Dia perlu berundur serta -merta tanpa keganasan lanjut," kata Hillary.
"Jika zon larangan terbang dikuatkuasakan, tentera asing boleh menembak jatuh pesawat pejuang tentera Gaddafi," tambahnya
Komen Setiausaha Negara AS itu mengukuhkan pendirian Perdana Menteri Britain, David Cameron yang mahu menggunakan aset ketenteraan bagi 'menangani' rejim Gaddafi.
Sementara itu, Gaddafi memperlekehkan soalan stesen televisyen AS, ABC News yang menyoal sama ada dia akan meletak jawatan.
"Rakyat saya sayangkan saya. Mereka sanggup mati untuk saya," kata Gaddafi.
Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice menyifatkan komen Gaddafi itu sebagai 'tidak waras'.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak penentang bergerak untuk menumpukan kekuatan mereka di timur Libya dengan pusat kekuatan tertumpu di bandar Benghazi.
Di barat Libya, tentera Gaddafi bagaimanapun berjaya merampas semula kawalan di sempadan Tunisia yang telah jatuh ke tangan pihak penentang.
Beberapa saksi berkata, tentera Gaddafi mengebom sebuah depot simpanan peluru di timur Libya.
Pegeboman tersebut dinafikan oleh Kementerian Pertahanan Libya.
Rejim Gaddafi turut memperhebatkan kepungan ke atas dua buah bandar yang dikawal pihak penentang berhampiran Tripoli iaitu Zawiya dan Misratah.
Kepungan tersebut bagaimanapun, dapat dipatahkan oleh pihak penentang. - Agensi


Klip video persenda Gaddafi


KLIP video di laman YouTube yang menunjukkan gelagat Muammar Gaddafi seolah-olah sedang menyanyi.



BAITULMUQADDIS - Satu klip video yang mempersendakan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menjadi popular dalam laman perkongsian video YouTube di negara-negara Arab.
Klip video bertajuk Zenga Zenga itu dicipta oleh seorang wartawan muzik dan blogger dari Tel Aviv, Noy Alooshe.
Ia menunjukkan Gaddafi mengangkat tangannya di atas satu podium dalam ucapan yang dibuatnya pada minggu lalu.
Lagu berentak rap dan dance itu diubahsuai daripada sebuah lagu nyanyian Pitbull and T-Pain.
Namun, liriknya telah digantikan dengan ucapan Gaddafi.
"Apabila saya melihat Gaddafi berucap, saya dapati nada dan pergerakannya sempurna untuk dibuat satu klip video," kata Aloshee. - Reuters


Oman hantar tenteraatasi tunjuk perasaan


BEBERAPA askar yang berada di atas kereta perisai mengawal kawasan perindustrian Soha di Oman semalam.



MUSCAT - Kerajaan Oman semalam menempatkan pasukan tenteranya di utara Muscat dan berdekatan sempadan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tiga hari selepas bantahan antikerajaan berlangsung.
Negara itu yang diperintah oleh dinasti keluarga adalah negara di benua Arab terbaru terlibat dalam krisis kebangkitan rakyat di Asia Barat.
Para penunjuk perasaan itu berkumpul di Sohar, sebuah bandar pelabuhan 120 kilometer dari arah barat laut Muscat.
Mereka yang menuntut kenaikan gaji dan peluang pekerjaan telah bertempur dengan pihak polis di sini.
Media tempatan melaporkan beberapa bangunan kerajaan dan pasar raya telah dibakar kelmarin dan pada Sabtu lalu, polis telah membunuh seorang penunjuk perasaan selepas demonstrasi jalanan bertukar menjadi ganas.
Seorang jurucakap kerajaan berkata, kekacauan semakin teruk apabila kerajaan menghantar pasukan dan kenderaan tentera di sekitar ibu negara dan sempadan Oman.
Bantahan itu adalah sesuatu yang jarang berlaku di Oman dan pemerintahnya, Sultan Qaboos bin Said menawarkan pembaharuan dalam bidang pentadbiran untuk menenangkan penunjuk perasaan.
Pada Ahad lalu, baginda mengarahkan 50,000 peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan menawarkan gaji sebanyak 150 rial (RM1,183) sebulan.
Sehari sebelum itu, Sultan Qaboos telah merombak enam anggota Kabinetnya.
Pada 11 Februari lalu, Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden ekoran bantahan penunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur selepas gagal membawa pembaharuan ekonomi di negara tersebut.
Pada Januari lalu pula, para penunjuk perasaan di Tunisia juga berjaya menyebabkan Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan setelah beliau yang memerintah selama 23 tahun gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda selain pentadbirannya dicemari skandal rasuah. - Agensi

Semua rakyat sayang saya: Gaddafi


2011/03/02


Pemimpin Libya dakwa tidak ada sebarang bantahan

WASHINGTON: "Semua rakyat sayangkan saya," kata pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kelmarin tanpa mengendahkan tekanan antarabangsa untuk berundur selepas empat dekad memerintah negara itu.
“Mereka sayangkan saya. Semua rakyat bersama saya. Mereka sungguh sayangkan saya. Mereka akan mati untuk melindungi saya,” kata pemimpin veteran Libya dalam bahasa Inggeris yang tersekat-sekat semasa ditemuramah saluran televisyen ABC, BBC dan The Times of London, temuramah pertama diberinya kepada wartawan asing sejak berdepan dengan kebangkitan rakyat 15 Februari lalu.

“Tiada sebarang demonstrasi langsung di jalanan,” dakwa Gaddafi yang memerintah negara utara Afrika lebih 41 tahun.

“Tiada sesiapa yang menentang kami. Menentang saya untuk apa?”.

Kenyataan yang dibuat pemimpin Libya itu menunjukkan beliau tidak kisah langsung mengenai tentangan rakyatnya. Ia turut dikutuk Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice.

“Ia kedengaran seperti beliau berada dalam khayalan. Beliau boleh bercakap sambil ketawa semasa bersama wartawan antarabangsa yang juga warga Amerika ketika beliau menyembelih rakyatnya sendiri,” kata Rice di Rumah Putih.
“Ini membuktikan beliau tidak layak untuk memerintah dan bagaimana beliau terputus daripada dunia realiti.”.

Gaddafi ditemuramah di Tripoli di saat kuasa dunia menekan rejim pimpinan
beliau berikutan kekerasan melampau digunakan.

Gaddafi turut mengejek apabila diminta mengulas sama ada beliau akan menggunakan senjata kimia untuk mempertahankan kuasa.

“Kita sudah menghapuskannya semua. Ini adalah perkara lampau dan kita sudah menghentikannya. Adakah logik seorang lelaki yang waras akan menggunakan senjata seumpama itu walaupun terhadap musuhnya. Biarkan saya dengan rakyat saya,” kata Gaddafi.

Kumpulan prodemokrasi kini mengawal kawasan di timur negara Afrika utara itu, tetapi kumpulan hak asasi mendakwa sekurang-kurang 1,000 terbunuh dalam tindakan keras dilancarkan penyokong Gaddafi dan askar upahan.

Kini, Amerika secara terbuka meminta Gaddafi berundur dan mencadangkan pengusiran beliau.

Namun Gaddafi membalas balik dan berkata beliau dikecewakan Amerika Syarikat.

“Ini adalah pengkhianatan. Mereka tiada moral. Saya sangat terkejut yang kita bersekutu dengan Barat untuk memerangi al-Qaeda dan sekarang kita melawan pengganas dan mereka meninggalkan kita,” katanya, menurut televisyen ABC.

“Mungkin mereka mahu menjajah Libya,” ABC memetik pemimpin itu sebagai berkata dan menambah Gaddafi menegaskan beliau tidak perlu berundur kerana beliau bukan presiden atau Raja dan tidak memegang sebarang jawatan. – AFP

INFO: Biodata Muammar Gaddafi





  • Nama penuh: Muammar Muhammad ‘Abu Minyar’ al-Gaddafi










  • Tarikh lahir: 7 Jun 1942,
    di sebuah kawasan gurun berhampiran wilayah Sirt










  • Mengetuai rampasan kuasa tentera pada 1 September 1969 menggulingkan Raja Idris yang sedang menjalani rawatan di Turki










  • Apabila Gaddafi melepaskan jawatan perdana menteri pada 1972, beliau memakai gelaran kehormat ‘Pemimpin dan Pembimbing Revolusi’










  • Penduduk Palestin turut berprotes


    2011/03/02

    RAMALLAH, Tebing Barat: Gelombang kebangkitan popular di kalangan dunia Arab turut memberi ilham kepada rakyat Palestin untuk mengadakan protes aman menentang pendudukan Israel sejak 43 tahun lalu, kata pemimpin Palestin.

    Mustafa Barghouthi, yang mendapat kedudukan kedua di belakang Mahmood Abbas dalam pilihan raya presiden pada 2005 berkata kegagalan rundingan damai sejak dua dekad lalu menaikkan semangat rakyat Palestin untuk mengadakan perarakan besar-besaran menentang pemerintah Israel.
    Barghouthi berkata kekacauan di Asia Barat menunjukkan bagaimana cepatnya ia berlaku dan menghasilkan keputusan lebih cepat berbanding pergerakan tanpa keganasan di India menentang pemerintahan British pada kurun ke-20 dan Martin Luther King di Amerika Syarikat. – Reuters



    Isteri, anak Mubarak disekat


    2011/03/02

    Hosni Mubarak
    Hosni Mubarak
    Kerajaan beku semua dana bekas Presiden Mesir serta keluarga

    KAHERAH: Pihak berkuasa lapangan terbang Mesir menghalang isteri dan anak lelaki Hosni Mubarak daripada menaiki pesawat dari resort Laut Merah Sharm el-Sheikh beberapa jam sebelum pihak berkuasa mengeluarkan larangan kepada bekas presiden itu dan keluarganya untuk ke luar negara.
    Pegawai lapangan terbang berkata, isteri Mubarak, Suzanne dan anak bongsu mereka, Gamal cuba menaiki pesawat peribadi di lapangan terbang di Sharm el-Sheikh kelmarin, tempat mereka menginap sejak Mubarak digulingkan pada 11 Februari.
    Pihak berkuasa berkata anggota keluarga Mubarak itu diberitahu mereka tidak boleh keluar tanpa kebenaran khas.

    Selepas insiden itu, pihak pendakwa raya Mesir membekukan semua dana Mubarak dan keluarganya serta melarang mereka ke luar negara. Tidak jelas sama ada halangan itu dibuat kerana cubaan Suzanne dan Gamal untuk meninggalkan Mesir.

    Mubarak, 82, disyaki menutup sebelah mata berhubung dakwaan rasuah terhadap anggota keluarganya dan rakan niaga mereka.

    Kebanyakan dakwaan salah laku itu tertumpu kepada kegiatan perniagaan dua anak bekas orang kuat Mesir itu, Alaa dan Gamal, termasuk isteri Gamal dan keluarganya.
    Tidak seperti kebanyakan pemimpin Arab yang lain, Mubarak tidak banyak menunjuk-nunjuk kekayaan yang dihimpunya dalam hampir tiga dekad menjadi Presiden Mesir.
    Antara harta paling menonjol dimiliki keluarga Mubarak ialah sebuah rumah Townhouse di daerah mewah Knightsbridge di London yang diletak di atas nama Gamal.

    Gamal yang sebelum ini disebut-sebut akan menggantikan bapanya sebagai presiden dikelilingi ahli perniagaan kaya raya yang mengidamkan kuasa politik bagi memajukan perniagaan masing-masing.

    Beberapa daripada ahli perniagaan itu kini ditahan dan berdepan dengan siasatan jenayah. – Agensi

    INFO: Pergolakan di Mesir





  • Hosni Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari.










  • Pendakwa raya membekukan aset Mubarak, isterinya Suzanne dan dua anak mereka pada 20 Februari lalu.










  • Alaa dan Gamal didakwa memiliki simpanan berjuta-juta dolar dalam akaun
    di National Bank of Egypt, sebuah bank dimiliki kerajaan.










  • Hampir 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan RM6 sehari.










  • Amerika mahu serang Libya


    KAPAL induk pengangkut pesawat USS Enterprise belayar melalui Terusan Suez di Mesir pada 15 Februari lalu. Kapal tersebut diarah belayar ke Laut Mediterranean dekat Libya, berkemungkinan sebagai persediaan AS menyerang negara sedang bergolak itu. - REUTERS



    TRIPOLI 1 Mac - Tentera yang setia kepada Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berhimpun dekat sempadan Tunisia semalam manakala Amerika Syarikat (AS) menggerakkan kapal perang dan tentera udaranya menghampiri Libya.
    Penduduk bimbang askar pro-Gaddafi sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan bagi menawan semula bandar Nalut, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Tunisia di barat Libya, daripada penunjuk perasaan yang mahu menamatkan pemerintahan beliau.
    AS dan kerajaan asing lain semalam membincangkan langkah ketenteraan yang boleh diambil terhadap Libya sementara Gaddafi memperkecilkan ancaman terhadap rejimnya daripada pemberontakan rakyat yang semakin meluas.
    Dalam kecaman paling keras terhadap pemimpin Libya itu, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice berkata, Gaddafi mengalami 'delusi dan sudah terpisah daripada realiti', 'menyembelih rakyatnya sendiri' dan tidak layak untuk memimpin.
    Katanya, Washington sedang berunding dengan rakan-rakan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta sekutu lain mengenai tindakan ketenteraan ke atas Libya.
    AS yang menempatkan Armada Keenamnya di Itali berkata, tentera laut dan udaranya digerakkan lebih hampir dengan Libya sementara pelbagai pelan luar jangka sedang dirangka.
    AS juga berkata, aset Gaddafi dan keluarganya bernilai kira-kira AS$30 bilion (RM93 bilion) di AS telah dibekukan.
    Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, kerajaannya akan berusaha untuk menguatkuasakan zon 'larangan terbang' di Libya bagi melindungi rakyatnya daripada serangan udara tentera Gaddafi.
    Gaddafi, 68, menolak desakan supaya beliau berundur dan memperkecilkan kekuatan pemberontak yang telah menamatkan pemerintahannya di timur Libya dan kini semakin menghampiri ibu negara, Tripoli.
    "Semua rakyat saya mengasihi saya, mereka sanggup mati untuk melindungi saya," katanya kepada rangkaian televisyen AS, ABC dan Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam wawancara di sebuah restoran di Tripoli semalam.
    Beliau menafikan tentera udaranya menyerang penunjuk perasaan, sebalik mendakwa pesawat pejuang Libya mengebom lokasi tentera dan depot senjata.
    Ketika pemberontakan masuk ke minggu ketiga, situasi di kawasan konflik sukar dipastikan disebabkan masalah untuk bergerak di beberapa bahagian negara ini serta sistem komunikasi yang tidak lancar.
    Seorang penduduk Nalut berkata, askar Gaddafi yang tiba dengan kenderaan dilengkapi mesingan berat sudah mengepung kawasan dekat sempadan Tunisia. - Reuters



    Tentera pro-Gaddafi gagal rampas Zawiyah

    TRIPOLI 1 Mac - Saksi-saksi mendakwa tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi gagal merampas kembali bandar Zawiyah yang ditawan pemberontak berhampiran ibu negara, Tripoli.
    Tentera pro-Gaddafi yang dilengkapi kereta kebal dan senjata antipesawat cuba merampas kembali Zawiyah malam tadi dalam pertempuran selama enam jam dengan menyerang kedudukan pemberontak dari enam arah.
    Namun, pemberontak berjaya mematahkan serangan tentera dalam pertempuran di Zawiyah itu, kira-kira 50 kilometer di barat Tripoli.
    "Kami tidak akan menyerahkan Zawiyah walau apa pun terjadi," kata seorang penduduk di situ.
    Gaddafi yang memerintah Libya selama 41 tahun, telah hilang kawalan ke atas sebahagian timur negara ini sejak protes menuntut penyingkirannya bermula dua minggu lalu.
    Sementara itu, kenaikan harga beras dan tepung di Libya telah memarakkan lagi kemarahan rakyat di ibu negara ketika protes menentang pemerintahan pemimpin itu berleluasa di seluruh negara.
    Di kawasan kejiranan Fashloom di sini, penduduk berkata, harga sayur, minyak dan tepung meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus sejak 10 hari lalu.
    Orang ramai juga dilihat beratur panjang di luar kedai-kedai roti yang mengehadkan jualan antara lima hingga 20 buku roti kepada setiap pelanggan bergantung kepada kawasan masing-masing. Seorang lelaki di Fashloom berkata, sebuah keluarga besar biasanya memerlukan purata 40 buku roti sehari.
    "Bekalan makanan tidak cukup. Ramai pekerja kerajaan juga masih belum menerima gaji untuk bulan Februari," kata seorang pekerja bank, Basim, 25.
    Orang ramai turut beratur di luar bank-bank yang mengedarkan sejumlah AS$400 (RM1,200) kepada setiap keluarga, yang diberikan rejim Gaddafi bagi mendapatkan sokongan. - AP/Reuters

    Bekas PM Turki Meninggal Dunia
    BEKAS Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, 85, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Ahad, lapor agensi berita Anatolia.
    Erbakan yang menjadi pemimpin berhaluan Islam pertama Turki dalam tempoh empat dekad lalu pernah dilantik semula sebagai ketua berhaluan kiri Islam, Parti Saadet pada Oktober.
    Beliau berkhidmat hampir setahun sebagai Perdana Menteri sebelum mendapat tekanan pihak tentera Turki yang berhaluan sekular untuk meletak jawatan pada 1997.
    Pada Januari 1998, Mahkamah Perlembagaan telah mengharamkan Parti Kebajikan dan Parti Virtue (2001) kerana mencabuli prinsip sekular dalam Perlembagaan dan mengharamkan beberapa anggotanya, termasuk Necmittin selama lima tahun daripada politik.
    Erbakan pernah menjalani hukuman penjara selama dua tahun empat bulan pada 2002 atas tuduhan menggelapkan wang.
    Tempoh hukuman Erbakan itu terpaksa ditangguhkan ekoran masalah kesihatan dan beliau terpaksa menjalani hukuman tahanan dalam rumah pada 2008.
    Erbakan yang merupakan profesor dalam kejuruteraan mekanikal akan dikebumikan di Istanbul pada 1 Mac ini.