2 ‘polis’ perkosa di hotel bajet
Oleh Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
Ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa bersama teman lelakinya yang berusia 29 tahun berjalan pulang ke rumah mereka di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang, di sini, sebelum dipintas sebuah kereta dinaiki empat lelaki.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusup, berkata lelaki terbabit yang masing-masing berusia 24 hingga 36 tahun turun dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Katanya, mereka memberitahu mahu melakukan pemeriksaan terhadap mangsa dan teman lelakinya.
“Selepas mendakwa mereka melakukan kesalahan, suspek mengarahkan teman lelaki mangsa menunggu mereka di balai polis manakala mangsa dibawa kumpulan terbabit.
“Teman lelaki mangsa yang menunggu di balai polis kawasan berkenaan mula curiga apabila kumpulan itu bersama mangsa tidak muncul sehingga jam 7 pagi,” katanya.
Mohamad berkata, keempat-empat suspek membawa mangsa bersiar-siar di Kapar dan Shah Alam sebelum singgah ke sebuah hotel bajet di Bayu Perdana, di sini.
“Mangsa yang curiga sebaik tiba di hotel itu melawan sebelum seorang daripada suspek mengugut untuk mencederakannya menggunakan pisau.
“Seorang daripada suspek menggari mangsa sebelum membawanya ke bilik hotel. Di dalam bilik itu, mangsa dirogol bergilir-gilir oleh dua daripada suspek,” katanya.
Menurut Mohamad, mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya meloloskan diri keesokan harinya dan menghubungi teman lelakinya sebelum mereka ke balai polis membuat laporan.
“Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota mengesan ahli kumpulan terbabit sebelum dua daripada mereka ditahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan gari yang digunakan dalam insiden itu miliknya manakala tiga lagi suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes sama dan baru dibebaskan awal tahun ini,” katanya.
Katanya, dua suspek masih diburu dan polis percaya kumpulan itu terbabit beberapa kes pemerasan, samun, rogol dan menyamar anggota polis.
“Semua mereka akan direman sehingga 9 Mac bagi membantu siasatan dan saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati,” katanya.
Penjual kuih kena samun
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua lelaki terbabit yang berusia 20-an datang ke gerai mangsa yang terletak di depan rumah untuk menyamun mangsa.
Menurut sumber, mangsa yang tergamam diarah masuk ke dalam rumahnya.
“Suspek mengikat mangsa bersama anak perempuan dan suaminya sebelum menggeledah rumah mangsa.
“Suspek melarikan barang kemas, komputer riba dan wang tunai. Mereka turut melarikan kereta Perodua Myvi anak perempuan mangsa yang diletakkan di depan rumah,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang berjaya membuka ikatan membuat laporan di Balai Polis Rawang.
Adun Lenggeng bersalah terima suapan kontraktor pasir RM2,000
Mustafa, 53, yang memakai kot hitam, bagaimanapun tenang apabila keputusan itu dibacakan Hakim Amran Jantan.
Dia yang dilantik sebagai Adun Lenggeng pada 2008 didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada M Manimaran, 38, di Restoran Jabrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, Seremban, kira-kira jam 5 petang, 31 Ogos 2008.
Wang berkenaan didakwa diterima Mustafa sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu.
Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 (a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Namun, Mustafa dibebaskan atas dua pertuduhan meminta wang daripada pengadu melalui orang tengah berjumlah RM2,000 dan RM3,000.
Perbuatan itu masing-masing dilakukan di Lot 1321, Mukim Pantai dan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Dato’ Kelana Makmur, di sini, pada 28 dan 30 Ogos 2008.
Amran dalam penghakimannya berkata, melalui keterangan bersumpah, tertuduh mendakwa tidak menerima atau meminta wang berkenaan daripada pengadu.
“Seorang saksi pendakwaan iaitu anggota SPRM yang berada di lokasi kejadian bagaimanapun mendengar perbualan mereka berkaitan surat sokongan mendapatkan permit menjual pasir dan besi buruk.
“Selain itu, tertuduh mendakwa tidak mengambil dan hanya mengusik wang berkenaan dalam satu sampul surat di atas meja dan memberitahu dia tidak selesa dengan tindakan pengadu terbabit.
“Namun, satu rakaman video oleh SPRM menunjukkan tertuduh masih duduk di situ dan dilihat berbual sambil menghisap rokok,” katanya.
Mahkamah menetapkan tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh pada 1 April depan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Kevin Morais manakala Mustafa diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha.
Lelaki dibuang bawah pelepah sawit lepas ditetak
Berikutan kejadian itu, mangsa menahan kesakitan kira-kira dua jam berikutan kesukaran menemuinya di bawah timbunan pelepah sawit dalam kejadian jam 2.30 petang.
Difahamkan, mangsa kerugian RM700 selepas disamun sekumpulan lima lelaki sebelum dia ditetak dan disorokkan di bawah timbunan pelepah sawit.
Bagaimanapun, motosikal milik mangsa Honda EX5 tidak dilarikan sekali gus menjadi petunjuk kepada orang ramai untuk mencari mangsa.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) iaitu badan bukan kerajaan di sini, Khor Eng Khim berkata, seorang saksi menemui motosikal di ladang sawit itu sebelum menghubungi pihaknya.
Katanya, sejurus menerima panggilan itu, PPKM ke tempat kejadian dan menghubungi polis sambil mencari mangsa.
Menurutnya, seorang ahli PPKM ternampak tompokan darah sebelum mereka bersama polis meneruskan operasi mencari dan menemui pakaian mangsa di lokasi kejadian.
“Ketika mencari mangsa di tempat tompokan darah dan baju itu, kami terdengar suara orang meminta tolong,” katanya.
“Suara itu dikenal pasti dari bawah longgokan pelepah sawit berkenaan dan ketika ditemui mangsa berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, polis menjejaki lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
Jangan bercinta lama-lama
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
ffarlin@hmetro.com.my
Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah berkata, percintaan mengambil masa bertahun-tahun menyebabkan rumah tangga hilang kemanisan dan tiada makna, ditambah segala dosa pernah dilakukan ketika bercinta.
Beliau berkata, perbuatan zina sebelum kahwin juga menjadi faktor pasangan mudah bercerai berikutan mereka tidak dapat menghargai pasangan serta perkahwinan sebagai anugerah Allah.
“Pergaulan bebas menyebabkan berlaku zina dan ada yang berkahwin semata-mata terlanjur sedangkan ia dilakukan secara terpaksa kononnya hendak bertanggungjawab atau menjaga maruah, maka dengan mudah mereka mahu bercerai sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Robiah berkata, selain itu, faktor pasangan curang atau suami dikahwini sudah berkahwin juga faktor keruntuhan institusi perkahwinan.
Beliau berkata, pasangan yang bermasalah juga terlalu mudah melafazkan kata cerai sedangkan mereka tidak pernah merujuk terlebih dulu kepada kedua-dua orang tua untuk nasihat atau pakar kaunselor menyelesaikan pertelagahan.
“Ada yang baru enam bulan berkahwin sudah berubah hati dan rasa tidak sanggup lagi hendak meneruskan perkahwinan berikutan mereka ini tiada ilmu belajar hidup berdua, berkongsi, bertolak ansur dan menerima pasangan seadanya.
Beliau berkata, pasangan perlu belajar hidup berkongsi, bekerjasama, menerima pasangan seadanya, bertolak-ansur dan tidak sekali-kali mengungkit, ikhlas dan tahu mengurus emosi.
“Tidak kurang juga campur tangan pihak ketiga, selalunya daripada ibu bapa yang menganggap anak mereka tidak tahu apa-apa dan mengajar hingga akhirnya anak bercerai,” katanya.
“Ada juga bercerai kerana duduk berjauhan sehingga pasangan main kayu tiga.
MELAKA - Seorang juruwang sebuah bank di Alor Gajah, dekat sini, bakal berdepan hukuman penjara maksimum 1,120 tahun jika sabit kesalahan melakukan 56 pertuduhan mendepositkan cek berjumlah RM1,925,500.
Tertuduh, Roslizam Zabar, 40, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua tuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Katar di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam.
Berdasarkan pertuduhan pertama pertuduhan, Roslizam seorang yang diamanah bagi semua urusan kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Masjid Tanah dengan curangnya dan tanpa kebenaran pihak bank, didapati membuat deposit cek tidak wujud RM20,000 dan memasukkan ke dalam akaun Roslen Enterpise bernombor 04024010016444.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BIMB Kompleks Perniagaan Masjid Tanah, Alor Gajah, 15 Disember 2008.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dari Batu Gajah, Merlimau, Jasin itu juga dengan curangnya dan tanpa pengetahuan serta kebenaran pihak bank, didapati membuat deposit cek tidak wujud sebanyak RM25,000 dan memasukkan ke dalam akaun dan tempat sama 26 Disember 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, bagi 54 pertuduhan lain, dia dituduh melakukan kesalahan sama iaitu medepositkan cek bernilai antara RM5,000 hingga RM49,500 antara 5 Disember 2008 dan 17 Ogos 2010.
Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar menawarkan mahkamah jaminan berjumlah RM1 juta diberi terhadap tertuduh, selain mencadangkan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap awal bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Tertuduh diwakili peguambela, Shah Rizal Alias dan Shahrul Amali Shafie memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana akaun bank anak guamnya dibeku, walaupun digantung kerja bergaji penuh setiap bulan.
Selepas mendengar permohonan dan rayuan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, Abu Bakar membenar jaminan RM500,000 dan seorang penjamin serta menetapkan bicara mulai 13 Jun ini.
Pas terus jelas hukum agama
KOTA BHARU – Pas akan terus menjelaskan hukum-hukum agama ketika berkempen kerana pendekatan itu selari dengan apa yang dipraktikkan Nabi Muhammad SAW.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, menjelaskan hukum itu perlu apatah lagi dalam proses demokrasi yang memerlukan sokongan orang ramai.
Menurutnya, kaedah yang digunakan itu adalah dakwah kerana politik unsur penting dalam agama sehingga memaksa Nabi Muhammad berhijrah dari Makkah ke Madinah.
“Kempen itu asal perkataan Inggeris, dakwah dari perkataan Arab, benda sama saja, tujuannya untuk menarik sokongan orang ramai,” katanya.
“Macam nak ajak orang sembahyang kalau kita tak beritahu hukum, kalau tak mahu guna hukum, kita nak guna apa?” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah mingguan di Dataran Ilmu, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta Pas tidak menggunakan hukum sewenang-wenangnya termasuk menjanjikan syurga atau neraka.
Nik Abdul Aziz berkata, seorang yang berjawatan mufti tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
“Sama ada dia mufti atau menteri besar, apa jawatan sekalipun, kena ikut Islam dalam semua perkara termasuk dalam bab politik dan sosial. Nak jadi mufti kena ikut nabi,” katanya.
Katanya, Allah SWT merekodkan segala perbuatan manusia termasuk memilih pemimpin atau membuang undi, kesalahan dalam membuat pilihan itu tidak terkecuali daripada menerima hukumNya.
“Kita memberitahu orang ramai, mereka mesti memilih gerakan Islam dan menolak perjuangan yang hanya melaungkan semangat kebangsaan sehingga meminggirkan Islam itu sendiri.” Katanya.
Harussani sebelum ini mengatakan soal syurga dan neraka ditentukan Allah SWT, bukan hak manusia dan bukan juga ditentukan melalui pemilihan parti seperti undi Pas masuk syurga dan undi UMNO masuk neraka.
2015 lengkap wifi
SHAH ALAM – Semua kawasan di seluruh negeri Selangor bakal dilengkapi dengan kemudahan wifi menjelang 2015 bagi memudahkan orang ramai mendapat akses Internet.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, projek pemasangan wifi telah dimulakan sejak 2008 yang dilakukan secara berperingkat dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak.
“Kita sasarkan pemasangan itu dilakukan sekurang-kurangnya 20 kawasan setiap tahun sehingga ia mencapai sasaran.
“Menjelang 2009, kita mantapkan lagi projek ini dengan memperkenalkan sistem berkembar iaitu pemasangan dilakukan secara serentak iaitu di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, projek berkembar diperkenalkan untuk merapatkan jurang perkhidmatan wifi antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Kesukaran mendapatkan akses di kawasan luar bandar menyebabkan kita memilih konsep setara dengan tidak hanya menumpukan pembangunan dan kemudahan di kawasan bandar semata-mata,” katanya.
Rodziah berkata, pada 2011 pula, projek wifi dikembangkan dengan memperkenalkan sistem paparan media luar atau outdoor display media (ODM) yang mempunyai banyak kelebihan.
“Teknologi itu memberikan perkhidmatan Internet, paparan hablur cecair (LCD), pembesar suara (speaker) dan kamera litar tertutup (CCTV). Kelebihan itu dapat membantu pihak polis melakukan siasatan jenayah atau kemalangan yang berlaku.
“Petaling Jaya telah diberikan kelebihan menjadi perintis projek berkenaan. Ia dijangka siap pada tahun 2015.
Beliau turut mengulas berkaitan dakwaan seluruh restoran diwajibkan menyediakan perkhidmatan wifi secara percuma kepada pengguna.
“Kita tidak memaksa tetapi menggalakkannya bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung yang hadir.
“Perkhidmatan dapat membantu pelanggan mengadakan perbincangan atau membuat kerja sambil menjamu selera. Kelebihan itu tentunya dapat menarik minat pelanggan untuk kerap mengunjunginya,” katanya.
SIK - Pertambahan satu lagi kes rogol melibatkan mangsa bawah umur akhir Februari lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes rogol yang dilaporkan tahun ini kepada tiga kes perlu dipandang serius oleh semua pihak terutamanya golongan ibu bapa.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Zaidong Mustaffa berkata, daripada tiga kes itu, dua kes membabitkan mangsa yang memilih untuk mengamalkan gaya hidup bebas sementara satu kes lagi hasil dari keruntuhan rumah tangga.
Menurutnya, dalam kes berkenaan, mangsa bertindak membohongi ibunya dengan memberi alasan untuk berjumpa dengan ayah kerana keduanya telah berpisah namun mengambil kesempatan untuk keluar bersama teman lelaki.
“Paling membimbangkan hasil laporan yang kami terima kebanyakan mangsa saling mengenali suspek, sama ada sebagai teman lelaki, abang angkat atau sekadar kawan biasa sahaja.
“Rata-rata mereka berumur dalam lingkungan 15 tahun ke bawah dan masih menjalani persekolahan, namun kejadian rogol kerap kali dilaporkan selepas waktu persekolahan sama ada sebelah petang, waktu malam atau ketika cuti hujung minggu,” katanya.
Zaidong berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memantau dan mengawasi pergerakan anak-anak remaja mereka terutamanya remaja perempuan serta perlu mengambil tahu kenalan anak mereka.
“Walaupun kadar kes rogol yang berlaku di daerah ini masih rendah tidak seperti di bandar-bandar besar, namun masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil mudah tentang perkara itu.
“Pihak polis sendiri akan mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti turun padang dengan lebih kerap bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kes ini serta jenayah-jenayah lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu mudah percaya sistem jual-beli yang dilakukan secara online, sebaliknya memeriksa terlebih dahulu kewujudannya bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
“Setakat ini kami masih belum menerima sebarang kes melibatkan mangsa penipuan Internet namun sekiranya ada, kes berkenaan akan dirujuk terus kepada Unit Jenayah Siber, Multimedia,” katanya.
Derita disimbah asid
KUALA KANGSAR - Seorang wanita, kini terpaksa menanggung derita akibat perbuatan suaminya yang tidak bertanggungjawab menyimbah asid ke wajahnya ketika dalam keadaan mabuk beberapa bulan lalu.
D Nayagamal, 55, ibu kepada lapan anak berkenaan bukan sahaja menanggung kesan di bahagian wajah dan leher akibat simbahan asid itu tetapi perlu menguruskan keperluan anak-anak.
Salah seorang anaknya, B Roshini, 12, berkata, kejadian itu menjadi pengalaman ngeri kepada ahli keluarganya yang lain dan sehingga kini ibunya masih trauma.
Menurutnya, bapanya bertindak sedemikian kerana berada dalam keadaan mabuk dan kejadian berlaku sebulan sebelum perayaan Deepavali.
“Pada bulan Oktober tahun lalu, selepas disimbah asid ibu saya menjerit kerana tidak dapat menahan kesakitan dan kami terus meminta pertolongan jiran.
“Ibu saya perlu menjalani rawatan secara berterusan, manakala bapa saya dihukum penjara selama lima tahun akibat perbuatannya itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika program MyDaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Kuala Kangsar, di sini.
Katanya, kini, abangnya terpaksa menanggung keluarga termasuk menguruskan keperluan lima adik yang masih lagi bersekolah.
Sementara itu, bagi meringankan beban mangsa, pihak MIC Perak menghulurkan sumbangan sebanyak RM1000, manakala di peringkat Kuala Kangsar turut menyumbangkan jumlah yang sama.
Wakil MIC Daerah Kuala Kangsar, R Ramachandran berkata, bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa pihaknya berusaha untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita bersimpati dengan masalah yang menimpa wanita ini dan berharap dia tabah mengharungi kehidupan pada masa hadapan.
“Segala sumbangan dan bantuan kita berusaha menyalurkannya serta memanjangkan kepada pihak berkaitan supaya golongan seperti ini tidak dipinggirkan,” katanya.
Pemuda Pas sokong hapus saman ekor
IPOH – Dewan Pemuda Pas Negeri menyokong penuh kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi jaminan semua saman ekor disenaraihitamkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan dihapuskan jika rakyat memberikan sokongan dan kemenangan mutlak kepada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, mereka yakin menyenaraihitamkan semua kenderaan kerana pesalah yang dikenakan saman tidak membayar kompaun itu adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan.
Menurutnya, dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, hak terhadap harta telah menjelaskan tidak ada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
“Ini bermakna, JPJ dan polis bertindak bertentangan dengan peruntukan sedia ada berikutan setiap tindakan menyenaraihitamkan kenderaan haruslah melalui proses undang-undang di mahkamah,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, Dewan Pemuda Pas Negeri yakin jaminan daripada Pas dan PR mampu merungkaikan kekalutan undang-undang berkenaan yang dilihat seperti tidak mengikut lunas peruntukan sedia ada dan hak bagi seorang rakyat di bawah kerajaan berdaulat yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
“Hala tuju untuk sampai ke Putrajaya adalah komitmen yang akan memastikan semua bentuk penindasan kepada rakyat akan dikeluarkan daripada kepompong penindasan yang semakin meruncing,” katanya.