Thursday, March 3, 2011

SUSAH KITA KALAU JENIS MUDAH PERCAYA....KESANNYA BURUK....KITA JUGA YANG RUGI DAN BINASA...BAB SEX DLL ...HANYA HUKUM ALLAH SAJA YANG BOLEH MENYELESAIKAN....TAK CAYA...LAKSANAKAN ...BUAT TANPA RAGU2...

Dadah tiruan ancam dunia




DADAH sintetik seperti syabu digilai penagih kerana kesannya yang mampu membuatkan seseorang menjadi agresif. - Gambar hiasan


GENEVA - Gejala penagihan dadah tiruan didakwa sudah tidak terkawal dan merebak di banyak negara dunia, lapor Lembaga Kawalan Dadah Antarabangsa (INCB) semalam.
Dadah tiruan itu merujuk kepada dadah yang mengandungi bahan kimia yang diubah suai di makmal sama ada melibatkan dadah baru atau dadah sedia ada bagi mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengelakkan ia dikategorikan sebagai bahan larangan di sisi undang-undang.
Antara dadah tiruan yang popular selain ekstasi dan amphetamine adalah mephedrone atau lebih popular dengan nama meow meow, MCAT atau buih.
Meow meow dilaporkan memiliki kesan yang sama dengan amphetamine, ekstasi dan dadah kokain.
Dadah meow meow amat popular dalam kalangan pengunjung kelab malam di London.
Menurut INCB yang merupakan badan pemantau narkotik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyalahgunaan dadah tiruan meow meow kini merebak di kebanyakan negara dan ceruk rantau.
"Mephedrone merupakan penyumbang utama gejala penagihan dadah di Eropah, Amerika Utara, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand," kata INCB dalam laporannya.
Menurut laporan tersebut, penyebaran meow meow sukar dibendung kerana dadah tiruan itu mudah didapati.
Dadah itu juga dijual lebih murah daripada kokain.


Kes tipu perbankan Internet


BERHATI-HATI apabila dihubungi seseorang yang meminta anda mengemaskini akaun bank melalui perbankan Internet.



KUALA LUMPUR – Pelanggan perbankan Internet dinasihatkan supaya berhati-hati kerana penipuan melibatkan perkhidmatan tersebut terutama Maybank2u meningkat lima kali ganda pada tahun lalu.
Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din berkata, sepanjang tahun lalu, polis telah menerima sebanyak 353 kes penipuan dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta membabitkan perbankan Internet.
Menurut beliau, jumlah tersebut meningkat mendadak berbanding tahun 2009 iaitu polis hanya menerima sebanyak 75 kes membabitkan kerugian sebanyak RM215,131.
“Penjenayah perbankan Internet akan menggunakan teknik phishing iaitu dengan mewujudkan satu laman web palsu sesebuah bank dan menghantar e-mel kononnya mengenai keselamatan akaun (Security Alert).
“E-mel itu meminta pengguna mengemaskini akaun mereka kononnya untuk mengelakkan sebarang penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” kata beliau di sini semalam.
Kamarudin memberitahu, ketika membuat proses kemaskini itu, pengguna akan diminta supaya memasukkan beberapa data peribadi seperti nama, kata laluan dan nombor TAC (nombor empat digit pengesahan transaksi).

1,086 penjawat awam muflis






PUTRAJAYA - Seramai 1,086 penjawat awam di negara ini diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi pada tahun 2009.
Jumlah itu merupakan 1.46 peratus daripada bilangan keseluruhan 1.27 juta penjawat awam.
Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka yang muflis adalah lelaki.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (gambar) berkata, perkara itu disebabkan mereka dibelenggu hutang yang serius sehingga membawa kepada muflis.
"Ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana masalah hutang boleh menjejaskan prestasi mereka dan jika prestasi terjejas teruk, tindakan tatatertib boleh diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.


Lemas motosikal terhumban ke longkang

03/03/2011 5:23pm

KUALA LUMPUR – Seorang konstabel dari Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur lemas selepas motosikal dinaikinya terbabas lalu merempuh tembok sebelum terhumban ke dalam longkang di Taman Desa Jaya, Kepong di sini awal hari ini.
K. Devaraju Naidu, 29, sedang memandu motosikal Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Ehsan bila kejadian berlaku pada pukul 3 pagi.
"Dipercayai motosikalnya terbabas lalu bergesel dengan pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam 2 kali 2 meter yang dipenuhi air akibat hujan lebat.
"Mayat mangsa ditemui pada jam lebih kurang 7.30 pagi kira-kira 200 meter dari tempat kejadian akibat dihanyutkan oleh arus longkang,” kata Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt Ismail Ibrahim ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, polis tidak menemui apa-apa kesan kecederaan ke atas mayat mangsa kecuali kecederaan di bibir bahagian kanan. – Bernama


Mayat lelaki dengan kesan tetakan di leher

03/03/2011 5:19pm

SANDAKAN – Seorang lelaki rakyat Filipina ditemui mati dengan kesan tetakan di leher di Kampung Sabah Baru Batu 3 dekat sini hari ini.
Mayat Tony Sence, berusia dalam lingkungan 50-an ditemui oleh orang awam di kawasan lapang di kampung itu pada pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marung berkata, lelaki itu dipercayai diserang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat mayatnya ditemui.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk bedah siasat. – Bernama


Lelaki maut kereta rempuh tiang elektrik

03/03/2011 5:12pm

IPOH – Seorang lelaki, yang diserang sakit jantung ketika memandu, maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Seri Kinta 1 di sini, hari ini.
Mohd Nor Abdullah, 65, dari Pasir Puteh di sini mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab berkata, ketika kejadian pada pukul 11.36 pagi, Mohd Nor dalam perjalanan dari bandar ini ke rumahnya di Pasir Puteh.
Siasatan awal polis mendapati Mohd Nor diserang sakit jantung menyebabkan kereta yang dipandunya gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh tiang elektrik di kanan jalan.
“Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan mangsa mengalami serangan jantung,” katanya. – Bernama


Mayat bayi lelaki ditemui dalam komuter

03/03/2011 5:15pm

PELABUHAN KLANG – Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibungkus dalam plastik hitam ditemui di bawah tempat duduk gerabak hadapan komuter yang berhenti di stesen Pelabuhan Klang sini hari ini.
Mayat bayi itu dibalut dengan selimut bercorak bunga dan turut diletakkan bersama mayat itu ialah sehelai sejadah dan surah Yasin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.15 pagi dan mayat bayi itu dipercayai dibuang ketika komuter berkenaan dalam perjalanan ke stesen Pelabuhan Klang di sini.
"Mayat bayi itu ditemui seorang tukang cuci gerabak komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika membersihkan gerabak komuter itu di stesen Pelabuhan Klang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, komuter itu memulakan perjalanan pada pukul 5.35 pagi ke Batu Caves sebelum berpatah balik dan tiba di stesen Pelabuhan Klang pada pukul 8.15 pagi.
Mohamad berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini untuk bedah siasat. – Bernama


Tipu rakan kongsi ladang tembikai

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

BUKTI...Khairun (kiri) dan Saberi menunjukkan salinan cek palsu syarikat terbabit sambil diperhatikan Chong (kanan).
BUKTI...Khairun (kiri) dan Saberi menunjukkan salinan cek palsu syarikat terbabit sambil diperhatikan Chong (kanan).
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat perniagaan kononnya menawarkan perkongsian perniagaan ladang tembikai dan hartanah di ibu kota dikesan mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil yuran seminar dan modal peserta yang berminat menyertainya.
Taktik syarikat terbabit mudah iaitu menghantar SMS secara rambang kepada mangsa dengan menyatakan mereka bertuah kerana terpilih menjadi rakan kongsi perniagaan yang dijalankan selain memujuk supaya hadir ke seminar dianjurkan mereka di hotel terkemuka.

Bagi meyakinkan mangsa, mereka akan menggunakan kertas kerja dan dokumen tertentu seolah-olah program yang dianjurkan mendapat pengiktirafan kerajaan.
Seorang mangsa yang juga ahli perniagaan, Saberi Abdullah, 44, berkata dia tertarik menyertai seminar dianjurkan syarikat terbabit pada akhir Oktober dua tahun lalu selepas menerima SMS.

Katanya, sebaik menyertai seminar itu, dia dipujuk empat lelaki yang juga menjawat jawatan penting dalam syarikat terbabit untuk menjadi rakan kongsi.

“Mereka memujuk saya membayar RM26,800 untuk modal perkongsian pakej emas bagi mendapat keuntungan berkali ganda.

“Saya setuju mengambil pakej ditawarkan dan membayar wang pendahuluan RM10,000 dengan kad kredit sebelum mengkreditkan jumlah selebihnya secara ansuran dalam akaun diberi syarikat itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat MCA, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong dan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia, Datuk Muhd Khairun Aseh.

Saberi berkata, selepas pembayaran dibuat, keuntungan yang dijanjikan tidak diperoleh hingga kini, malah dia dipaksa memasukkan sejumlah wang lagi bagi mengelakkan modalnya lenyap.

“Saya memasukkan wang kepada mereka sebelum menerima cek palsu pada 23 Januari lalu bernilai RM42,000.

“Saya cuba menghubungi mereka, tetapi gagal. Saya yang berasa tertipu membuat satu laporan pada 24 Februari lalu di Balai Polis Dang Wangi,” katanya yang yakin ramai lagi mangsa terpedaya helah syarikat itu.

Menurutnya, purata 15 orang sehari mangsa yang hadir ke seminar dianjurkan syarikat terbabit dan mereka masih aktif menipu ahli perniagaan di seluruh negara.

Sementara itu, Khairun menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan melalui SMS itu kerana ia memperdaya mangsa tanpa disedari.



Anak polis patah kaki, tangan jatuh tingkat 10



KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga seorang anak anggota polis berpangkat sarjan patah kaki kanan dan tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah kuarters polis di Taman Miharja, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang baru pulang dari sekolah cuba masuk ke rumahnya dengan memanjat bahagian tepi bangunan untuk ke balkoni di bahagian belakang rumah selepas mendapati rumahnya itu berkunci.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi berkata, remaja terbabit bagaimanapun tergelincir sebelum terjatuh.
“Remaja itu bagaimanapun terselamat kerana dia terjatuh di atas longgokan kain buruk yang diletakkan berhampiran surau di kawasan berkenaan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan,” katanya.

Mohan berkata, biarpun patah kaki dan tangan, keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Bapa mangsa anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya.



‘Tak munasabah RM300 urus pinjaman’



PUTRAJAYA: “Dalam dunia ini tak ada yang percuma, tetapi tidak munasabah kamu (pusat kereta terpakai) mengenakan bayaran sehingga RM300 untuk menguruskan pinjaman dari bank untuk pembelian kereta dengan alasan mencuba beberapa bank selepas pinjaman tidak diluluskan,” kata Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), M Suppiah.
Beliau berkata, jika pihak pusat kereta terpakai terbabit mengenakan caj RM100 untuk dibayar kepada ‘runner’ atau proses menyiapkan dokumen, itu lebih wajar dan jumlah itu tidak sepatutnya lebih tinggi.

“Saya setuju dengan pihak penentang yang menggunakan wang itu menguruskan proses permohonan pinjaman, tetapi tidak logik sekiranya terlalu tinggi seperti yang dinyatakan pihak penentang tadi (semalam).
“Dia mempunyai 15 panel bank, kalau dia caj RM100 bagi setiap bank bermakna pihak yang menuntut (PYM) kena bayar RM1,500. Itu tidak munasabah,” katanya ketika perbicaraan antara jurujual, Nor Hidayu Mohd Nor, 22 dan Liong Auto Team Trading di bilik persidangan TTPM, di sini, semalam.

Berikutan itu, TTPM mengarahkan Liong Auto Team Trading yang beralamat di Semenyih, Kajang, membayar semula RM4,900 kepada Nor Hidayu Mohd Nor dalam 14 hari selepas tarikh perintah dikeluarkan iaitu semalam.

Nor Hidayu berkata, dia ke kedai kereta terpakai terbabit pada 31 Disember tahun lalu untuk membeli Myvi dengan harga RM42,000 dan dia diminta membayar RM5,000 sebagai deposit.


Kakitangan di pusat kereta terpakai terbabit berjanji akan menguruskan pinjaman bank dengan mengenakan bayaran RM100 sekiranya pinjaman diluluskan.

Menurutnya, selepas dua minggu dia diberitahu pinjaman tidak diluluskan kerana gaji pokoknya tidak cukup untuk membuat pinjaman, selain diminta menambah deposit RM4,000 untuk menyokong pinjaman.

Bagaimanapun, katanya dia enggan membayar dan ingin mendapatkan semula deposit RM5,000 yang dibayar.

“Tetapi mereka hanya bersetuju membayar RM4,700 kerana menyatakan sudah menggunakan RM300 untuk menguruskan perjanjian dengan tiga bank dengan bayaran RM100 setiap satu,” katanya.



Serah RM83,000

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Bimbang dicederakan selepas diugut dengan parang oleh dua penjenayah, seorang lelaki menyerahkan wang tunai RM83,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di Seri Alam dalam kejadian pada 24 Februari lalu.
Dalam kejadian jam 2.17 petang itu, mangsa berusia 30-an yang berseorangan diekori tiga penjenayah warga asing ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan berhampiran dengan menaiki kereta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penjenayah dipercayai mengekori kereta mangsa menaiki kereta Proton Wira.
“Sebaik berjaya memintas kereta lelaki itu, penjenayah terbabit terus mengacukan parang ke arah mangsa sebelum mereka melarikan diri selepas memperoleh wang.

“Berikutan itu, mangsa terus membuat aduan polis dan bertindak atas risikan dan maklumat awam, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Waja Utama, Johor Jaya beberapa jam kemudian dan menahan seorang suspek berusia 36 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menemui wang tunai RM74,000, Proton Wira dan dua bilah parang dipercayai digunakan suspek untuk mengugut mangsa.

Katanya, berdasarkan semakan rekod, tiga suspek terbabit dipercayai memasuki Malaysia secara sah sejak beberapa hari lalu.

“Kumpulan itu masuk ke negara ini semata-mata untuk melakukan jenayah dan kereta digunakan dilaporkan hilang di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Dua lagi suspek masih diburu dan dipercayai masih berada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya meminta kerjasama bank dan institusi kewangan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan kerja mengenal pasti penjenayah jika berlaku kejadian sama pada masa depan.

Menurutnya, polis turut meletakkan anggota berpakaian preman di beberapa bank dan lokasi strategik dalam usaha membanteras kegiatan itu daripada berlaku.

“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata api yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.



Empat curi getah beku dibelasah



PEKAN: Malang bagi empat sahabat yang cuba mengambil kesempatan kenaikan harga getah sekarang apabila mereka dibelasah penduduk kampung hingga lembik ketika mencuri getah beku bernilai kira-kira RM200 di Paloh Hinai dan Bukit Kenau, Pulau Manis, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, empat suspek berusia 20-an berpecah kepada dua kumpulan mencuri getah beku di dua kawasan berkenaan.

Penduduk kampung yang berjaga malam dan membuat rondaan berikutan banyak kejadian getah beku dicuri sebelum ini, terserempak dengan kelibat dua lelaki mencurigakan kerana berjalan sambil memikul guni.
Penduduk mengejar selepas arahan meminta berhenti tidak diendahkan dua lelaki itu dan mereka ditahan selepas dikepung penduduk.

Mereka mendapati dua guni yang dibawa dua lelaki berkenaan mengandungi getah beku dan agak dikesalkan kerana penduduk mengambil tindakan sendiri membelasah suspek sehingga lembik sebelum diserahkan kepada anggota polis di Balai Polis Paloh Hinai.

Suspek dibawa ke Hospital Pekan (HP) rawatan sebelum dibenarkan keluar dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk soal siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahya Othman, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan mengemai kejadian itu.



Penganggur didakwa bunuh ibu

KUALA PILAH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh ibunya di rumah mereka di Felda Kepis, dekat sini, bulan lalu.
Mohd Hirman Sah Sohaimi, 28, yang memakai baju lokap biru dan berseluar ungu itu tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Muhammad Hafiz Mohd Noor. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hirman didakwa menyebabkan kematian Jemelah Muhamad, 54, di rumah bernombor 334, Blok 3B, Felda Kepis, Kuala Pilah, kira-kira jam 8 malam, 18 Februari lalu.
Berikutan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muhammad Hafiz menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 April depan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mahmud Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan dan pemantauan lanjut di wad psikiatri hospital ditetapkan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan wanita warga emas itu merintih kesakitan dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah selepas menjadi ‘korban’ anak lelakinya di rumah mereka di Felda Kepis, Bahau.

Difahamkan, kejadian itu amat menyayatkan hati apabila pekerja kantin sekolah berkenaan dikelar dan ditikam beberapa kali di dada menggunakan pisau oleh suspek berusia 28 tahun.

Lebih memilukan apabila mangsa yang ketika itu mahu tidur kerana kepenatan menjerit meminta pertolongan sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri walaupun parah.

Akibat kecederaan teruk dialaminya, wanita berkenaan menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di hospital pada keesokan harinya.



Kereta terbang rempuh pokok



JASIN: Seorang lelaki terbunuh manakala tiga penumpang lain termasuk seorang kanak-kanak cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit nahas di Jalan Tehel Baru-Melaka, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Tiga penumpang kereta Proton Iswara itu termasuk pemandu yang belum diketahui identitinya cedera parah selepas kenderaan berkenaan terbabas di kiri jalan dan ‘terbang’ kira-kira 20 meter dari jalan utama serta merempuh pokok getah dan berpusing sebelum terbalik.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata mangsa yang maut adalah warga Nepal dikenali sebagai Devendra Pun berusia 26 tahun serta menetap di Taman Seri Duyong, dekat sini.

“Mangsa tercampak keluar dari kereta yang dinaiki bersama tiga penumpang lain parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta terbabit dipercayai dari arah Melaka menghala ke Kampung Tehel, Bemban dan dipandu laju sebelum terbabas ke kiri jalan. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat manakala tiga lagi penumpang yang belum dikenal pasti dihantar menjalani rawatan lanjut di Hospital Melaka,” katanya.


Sementara itu, sumber Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memberitahu mangsa yang meninggal dunia mengalami kecederaan parah di bahagian paha kirinya yang koyak selain kedua-dua kakinya patah.

Remaja demam dicabul rakan



HULU SELANGOR: Seorang remaja yang bercuti sakit dicabul dua lelaki yang juga rakan sekerjanya selepas mereka masuk ke rumah remaja itu kononnya mahu menonton televisyen.
Difahamkan, remaja berusia 17 tahun yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Genting Highlands, di sini, demam sebelum berjumpa doktor dan mendapat cuti sakit.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal berseorangan di rumahnya kemudian dikunjungi seorang suspek yang memberi alasan mahu menonton televisyen, pada 23 Februari lalu. “Ketika mangsa sedang tidur di dalam biliknya kira-kira jam 2 pagi itu, suspek yang berusia 30 tahun memasuki bilik mangsa dan mencium lehernya.
“Suspek bertindak meninggalkan gigitan cinta pada leher mangsa dan memegang kemaluan mangsa namun sempat ditepis mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, dua hari kemudian kira-kira jam 11 malam, seorang lagi rakan suspek datang ke rumah mangsa dengan alasan yang sama.

Sumber berkata, suspek berusia 19 tahun itu kemudian bertindak memasuki bilik mangsa dan memberi alasan kononnya mahu membantu memicit kepala dan mengurut mangsa yang sedang sakit.

“Lelaki miang itu bertindak mencabul mangsa dengan memegang payudara dan kemaluan mangsa serta mencium lehernya.

“Mangsa yang sedang demam tidak berdaya untuk melawan dan hanya mampu memarahi suspek. Selepas itu, mangsa tertidur dan hanya tersedar keesokannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan mengambil keputusan tinggal di rumah abangnya, namun abang mangsa yang menyedari adik perempuannya mengalami kemurungan bertanyakan apa yang berlaku.

Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis.
 

Jumpa mayat terapung

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Mulanya saya menyangka objek yang terapung di dalam sungai adalah mayat bayi selepas ternampak bentuknya seakan-akan kepala hanyut,” kata pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Zaini Che Soh, 47, saksi penemuan mayat terapung di Sungai Klang, berhampiran Pasar Seni, di sini, semalam.
Katanya, ketika kejadian dia sedang membuat rondaan di hadapan Pasar Seni sebelum dimaklumkan orang ramai mengenai penemuan objek terapung itu.

“Apabila diamati benda terapung itu, saya ingatkan kepala bayi. Saya kemudian memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, sebaik dimaklumkan, dia mendapati objek berkenaan sudah dihanyutkan ke bawah jambatan berdekatan stesen bas Klang menyebabkan anggota polis terbabit bergegas ke lokasi itu.

Seorang lagi saksi enggan dikenali berkata, selepas ternampak mayat hanyut itu, dia mengikut ke mana arah dihanyutkan sebelum tiba di bawah jambatan berdekatan stesen bas Klang.

Katanya, dua penghuni bawah jambatan kebetulan berada di tempat kejadian kemudian terjun ke dalam sungai menarik mayat itu.

“Mereka kemudian mengikat mayat berkenaan di tebing sungai bagi mengelak dihanyutkan sementara menunggu pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, mayat dikenal pasti seorang lelaki Afrika berusia 30-an, tetapi tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersamanya.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

No comments:

Post a Comment