Sunday, February 27, 2011

PEMIMPIN HIDUP SENANG ATAU MEWAH...RAKYAT MENDERITA DAN HIDUP DALAM KESEMPITAN....BANYAK MASALAH...JALAN PANTAS MEREKA BUNUH DIRI....

Tunggu masa dihalau

KAMPUNG CHERANG LAUT – Sepasang suami isteri warga emas bersama anaknya yang sakit tidak lena tidur apabila memikirkan nasib mereka yang saban hari dihalau daripada tanah tempat dia menumpang teduh di rumah yang dibina selama ini.

Mahmud Dollah, 63, yang kini hanya bekerja mengambil upah mengopek kelapa dan menjemur ikan kering di kampungnya mempunyai pendapatan tidak kurang dari RM10 sehari untuk menampung kehidupan bersama isteri, Saujah Salleh, 50-an, dan seorang anaknya yang sakit berusia 30-an.

Menurutnya, rumah yang didiaminya di Pantai Senak di sini, adalah menumpang tanah seorang penduduk kampung berkenaan. Kini, dia bingung tidak tahu ke mana hendak tuju memandangkan lama dia bermastautin di situ.

“Pakcik tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu kerana saban hari tuan tanah akan mengarahkan kami supaya berpindah sedangkan pakcik tidak tahu ke mana lagi hendak pergi dan kami masih menebalkan muka bertahan di sini.

“Pakcik ada mendengar mengenai pemberian rumah untuk orang miskin, tetapi tidak ada orang pun datang mengambil tahu mengenai hal pakcik mungkin kerana faktor pandangan politik yang berbeza,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Mahmud berkata, sebelum ini dia pernah dimarahi seorang pemimpin tempatan kerana mengambil sumbangan atap zink dari dermawan yang bermurah hati bersedekah, tetapi ia disangka pemberian parti politik bertentangan.

Rumah yang didiaminya kini pula semakin uzur dan dengan pendapatan kais pagi makan pagi, dia tidak mampu menyediakan kediaman yang lebih baik untuk keluarganya.

“Kalau boleh pakcik hendak minta rumah daripada kerajaan memandangkan bila-bila masa sahaja kami akan dihalau keluar dari tanah ini.

“Seorang saudara juga telah sudi memberikan tapak tanahnya untuk dibina rumah jika ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk membina rumah bagi kami,” katanya.

Difahamkan, Mahmud mempunyai lapan anak, tetapi masing-masing juga hidup susah. Kini dia sendiri terpaksa bekerja untuk menyara isterinya yang menghidap angin ahmar serta seorang anak lelaki yang sakit.


Terkejut lihat durian dalam durian

CHUKAI – Seorang gadis terkejut apabila mendapati durian yang baru dibeli di Pasar Besar Chukai memiliki seulas lagi durian yang terletak pada bahagian tengah buah berkenaan, pagi semalam.

Nik Zuraihan Nik Abidin, 26, berkata, kebiasaannya ulas buah durian berada dalam setiap ruas buah dan dia menganggap perkara itu unik serta pelik.

Bagaimanapun, katanya yang juga pekerja sebuah syarikat swasta, sebagai umat Islam penemuan itu menggambarkan kebesaran ciptaan Allah SWT.

Menurutnya, buah durian itu dibelinya dengan harga murah iaitu RM10 untuk tiga biji selepas dia terliur hendak memakan raja buah itu sejak seminggu lalu.

“Saya beli durian ini di salah sebuah kedai di deretan kedai buah dekat Pasar Besar Chukai.

“Dari segi luaran, buah durian kampung ini seperti buah durian yang lain yang bersaiz sederhana dan berkulit hijau,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia mengopek sebiji durian yang lebih kecil saiznya sebelum terkejut apabila mengopek durian kedua dan ternampak seulas durian yang mempunyai biji berada di tengah buah berkenaan.

“Bagaimanapun, isi durian ini agak berlainan dan tidak lembut seperti isi durian biasa. Rasanya juga pahit sedikit,” katanya.


Lima jam bergelut lumpur

SEBERANG MARANG – Sebuah rumah warga emas dilimpahi air lumpur selama lima jam beriku-tan saluran paip air bawah tanah yang terletak di tepi jalan utama berdekatan rumahnya yang juga berhadapan Kedai Buku Aziz Jalal pecah pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, ruang tamu, bilik tidur dan dapur rumah Hitam Abdullah, 65, menjadi tempat takungan air berlumpur sehingga menyebabkan dia serta dua anak bersama empat cucunya tidak dapat tidur sehingga keesokan harinya.

Lebih menyedihkan, Hitam berkata, keluarganya juga terpaksa menanggung kerugian kerana peralatan rumah seperti permaidani, katil, perabot dan pelbagai barang lain turut rosak.

“Ketika kami menyedari air mula masuk ke dalam rumah, anak perempuan saya terus membuat panggilan ‘hotline’ Syarikat Air Terengganu (Satu) tetapi diberitahu akan disambungkan ke talian seterusnya namun ia terhenti begitu sahaja.

“Disebabkan panggi-lan tidak dijawab kami sekeluarga hanya mampu melihat limpahan air lumpur memenuhi ruang tamu, bilik tidur dan dapur rumah sebelum dapat membersihkan rumah awal pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, masalah paip pecah di kawasan itu bukan perkara baru kerana ia sering berlaku sehingga menimbulkan kesulitan dan menyebabkan penduduk sentiasa gelisah kerana mengalami masalah gangguan bekalan air.

“Malah, kejadian limpahan air lumpur seperti ini juga pernah berlaku sebelum ini iaitu pada Ogos tahun lalu walaupun tidak seteruk berbanding kali ini,” katanya.

Hitam berkata, kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah hanya datang membaiki kerosakan itu kira-kira jam 9 pagi iaitu selepas rumah itu dipenuhi dengan lumpur.

Sehubungan itu, Hitam menyarankan PBT bertindak segera menggantikan saluran paip air bawah tanah yang digunakan ketika ini kerana ia dipercayai tidak berkualiti kerana sering mengalami kebocoran malah pecah.


Terpaksa serah dua anak

KUANTAN – Kesempitan hidup memaksa pasangan suami isteri, Abdul Rahim Abdul Rahman, 35 dan Nur Arijah Zaluddin, 29, menyerahkan dua daripada enam anaknya kepada bapa dan juga ibu saudaranya kerana tidak mampu untuk menyara mereka.

Menurut Arijah, biarpun berat hati untuk melepaskan anak sulung dan bongsu itu, namun dia terpaksa akur demi kepentingan anak-anaknya.

“Ibu mana yang sanggup menyerahkan anaknya kepada orang lain, namun keadaan tidak mengizinkan. Mujurlah ahli keluarga lain sanggup untuk menjaga anak saya, jadi saya tidaklah terlalu bimbang terpaksa berpisah dengan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Cherok Paloh, di sini.

Katanya lagi, kehidupan mereka sekeluarga bergantung pada pendapatan suami yang hanya melakukan kerja-kerja kampung.

“Pendapatan RM300 sebulan memang tidak cukup untuk menyara kami sekeluarga. Yuran persekolahan anak-anak juga masih belum dibayar kerana tidak cukup wang.

“Bagaimanapun, setakat ini kami belum pernah terputus makanan. Biarpun sedikit, namun saya akan pastikan anak-anak makan setiap hari,” katanya.

Kini, apa yang membimbangkan Arijah, penyakit jantung yang dihidapi suaminya semakin hari semakin buruk.

“Kebelakangan ini suami saya kerap sakit dan tidak dapat melakukan kerja. Saya bimbang kerana pendapatan kami sekeluarga bergantung kepadanya. Jika dia sudah tidak mampu bekerja lagi, siapa yang akan menyara hidup kami.

“Bukan saya tidak mahu bekerja, tetapi setiap kali suami sakit, sayalah yang menjaganya memandangkan anak-anak masih kecil. Tidak sampai hati rasanya ingin meninggalkan suami yang sedang sakit dengan anak-anak,” katanya.

Ketika Sinar Harian serta Pejabat Penerangan Daerah Kuantan dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan membuat lawatan ke rumahnya, suami Arijah masih berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

“Kini, saya hanya mampu berdoa supaya kesihatan suami kembali pulih. Jika tidak, saya terpaksa mencari jalan lain untuk mendapat sumber pendapatan demi untuk menyara anak-anak,” katanya.

Bagaimanapun, kesengsaraan Arijah sedikit terubat apabila menerima sumbangan kewangan daripada Pejabat Penerangan Daerah Kuantan yang disampaikan oleh wakil Pegawai Daerah Kuantan, Nurul Asyikin Ros Azizi.

Arijah merupakan seorang daripada lima penerima sumbangan sempena Program Info dan Khidmat Komuniti 1Malaysia bersama Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cherating anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuantan.


Ibu lalok gabra

SUBANG JAYA – Gara-gara terlalu cuak apabila premis hiburan yang dikunjungi diserbu pihak berkuasa, seorang pengunjung wanita gagal memberikan sampel air kencing bagi ujian saringan awal dadah yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor awal pagi, semalam.

Hanya selepas lima jam menunggu, sampel terbabit akhirnya diperoleh selepas dan ujian mendapati wanita berusia 28 tahun terbabit positif dadah jenis ekstasi.

Difahamkan, wanita yang juga ibu kepada empat anak itu berkunjung ke premis hiburan terbabit bersama suami dan seorang rakannya dari Tampin, Negeri Sembilan untuk berhibur sempena cuti hujung minggu.

Wanita terbabit adalah antara 11 yang ditahan dalam serbuan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa (Kanan), Mazrul Zahar Mohd dengan kerjasama AADK bermula jam 1 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, 87 pengunjung rata-rata dalam lingkungan umur 20-an diperiksa 16 anggota penguat kuasa AADK yang diketuai Penolong Pegawai Antidadah Cawangan Operasi AADK Selangor, Hasmi Manawar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, serbuan dilakukan sebagai langkah pencegahan mengelakkan penyalahgunaan dadah dalam premis hiburan.

Katanya, dengan bantuan 25 anggota penguat kuasa dan tiga pegawai penguat kuasa MPSJ, premis berkenaan dikepung dan pengunjung menjalani ujian air kencing yang dilaksanakan.

“Kesemua yang ditahan positif dadah jenis ketamin, syabu dan ganja dalam ujian saringan awal diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya dan bakal disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 kerana disyaki mengambil dadah.

“Tindakan penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa dengan kerjasama agensi lain,” katanya.



Tragedi Motosikal

Empat kemalangan membabitkan penunggang motosikal berlaku di dua negeri ini, malam kelmarin dan pagi semalam.

Kemalangan pertama berlaku membabitkan dua motosikal berlanggar sesama sendiri di Kilometer 12, Kampung Pernu, dekat sini kira-kira 12 tengah malam kelmarin. Kedua-dua mangsa bagaimanapun cedera.

Pada 9.30 pagi semalam, seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang treler sedang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 233.9 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Rembau.


Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang bagi menghadiri majlis perkahwinan saudara isterinya di Jemantah, Johor.

Kira-kira sejam selepas itu, di Rembau juga, seorang lagi penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Kundur - Pilin, Rembai.

Motosikal ditunggangi mangsa terbabas, lalu merempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Tidak berakhir di situ, sekali lagi pada 12 tengahari semalam, seorang anggota Rela cedera apabila terjatuh daripada motosikal ditungganginya selepas bergesel dengan sebuah lori di Paya Rumput, Melaka semasa mengiringi kenderaan mayat ke tanah perkuburan.

Bapa mangsa, Abdul Ghani Abdul Samad, 60, berkata, dia sudah beberapa menasihatkan anaknya itu supaya menaiki kereta sekiranya ingin ke mana-mana kerana bimbang dengan risiko menunggang motosikal.

“Bagaimanapun, dia enggan dan tetap menggunakan motorsikal untuk pulang ke rumah isterinya di Jementah setiap kali cut,” katanya ketik ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tampin, di sini semalam.

Sementara itu, isteri mangsa, Misnah Mohd Lani, 30, berkata, dia redha dengan ketentuan untuk meneruskan hidup bersama tiga anaknya berusia lapan hingga 12 tahun.

Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya adalah pada malam kejadian menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).
Katanya, dalam SMS itu, suaminya meluahkan rasa rindu teramat sangat terhadapnya.

“Entah mengapa suami saya menyatakan dia terlalu rindu dengan saya dan tidak sabar untuk bertemu hari ini (semalam). Namun, semuanya tidak kesampaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, motosikal jenis Honda EX-5 yang ditungangginya mangsa merempuh bahagian belakang lori treler yang sedang berhenti di lorong kecemasan di lebuh raya itu.

Katanya, mangsa yang beralamat di Felcra Bukit Kepong, Muar, Johor mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dari arah Seremban merempuh treler yang sedang mengalami kerosakan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu treler berkenaan sudah membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau sejurus selepas kejadian.


Tragedi iringi lori mayat

PAYA RUMPUT - Tugasnya mahu mengiring sebuah kenderaan mayat untuk ke tanah perkuburan, bagaimanapun ia bertukar menjadi pengalaman ngeri.

Itu yang berlaku kepada seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di sini apabila dia nyaris maut selepas motosikal bergesel dengan sebuah lori semasa mengiringi kenderaan mayat terbabit dari arah bandaraya Melaka ke Simpang Ampat.

Kejadian berlaku kira-kira 12 tengahari di lampu isyarat Paya Rumput Indah, dekat sini.

Akibat kejadian itu, mangsa, Tan Choo Cheong, 31, cedera di bahagian kaki, tangan dan beberapa anggota dalaman turut pengsan selepas jatuh daripada motosikal ditungganginya.

Dia yang menunggang di sebelah kiri kenderaan mayat diiringinya dikatakan terkejut mendengar bunyi hon sebuah lori di belakangnya sebelum bertindak memperlahankan motosikalnya.

Bagaimanapun, malang bagi mangsa apabila motosikalnya digesel lalu mangsa terjatuh ke sebelah kiri jalan.

Dia bagaimanapun diselamatkan orang ramai dan beberapa anggota keselamatan sebelum anggota perubatan dari Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka (HM) tiba di tempat kejadian untuk membantu.

Choo Cheong dibawa ke HM untuk rawatah lanjut, manakala pemandu lori terbabit sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Trafik Melaka Tengah, petang semalam.



Termakan coklat dicemari ulat

BUKIT KATIL - Hasrat seorang suri rumah menikmati sekeping coklat yang baru dibelinya dari sebuah pasar raya, di sini terbantut apabila mendapati coklat berkenaan sudah dicemari ulat kecil.

Norhanah Mukhtar, 58, dari Kampung Tun Razak di sini mendakwa membeli coklat berjenama terkenal itu, Jumaat lalu dan terus memakannya kira-kira jam 4 petang.

“Ketika itu, saya dapati sebungkus coklat yang saya makan terasa seperti ‘lain macam’ dan mengeluarkan bau yang kurang enak.

“Apabila saya perhatikan baki coklat itu, saya dapati ia berlubang-lubang kecil seperti ada ulat di dalamnya,” katanya.

Dia kemudian membuka sebungkus lagi coklat di rumah dan mendapati ia juga berkeadaan sama dan berbau sebelum memberikan sebungkus coklat kepada rakannya yang kebetulan bekerja di sebuah makmal untuk diperiksa.

“Alangkah terkejutnya apabila rakan memberitahunya bahawa terdapat ulat-ulat kecil di dalam coklat tersebut selepas dilihat di bawah mikroskop,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Norhanah berkata, apa yang membingungkannya, tarikh luput coklat tersebut masih lagi jauh, tetapi ia sudah tercemar.

Berikutan kejadian itu, dia membuat aduan kepada pasar raya terbabit yang turut mengakui coklat dibelinya itu sememangnya sudah tercemar.

Bagaimanapun, dia kecewa kerana pasar raya berkenaan enggan memulangkan semula wangnya atau menggantikan dengan barangan baru.

“Penyelia pasar raya itu mengakui coklat itu sudah tercemar tetapi pihak atasannya enggan memberi balik harga RM5.90 atau menukarkan barang yang setara dengan nilainya,” katanya.



Gagal bunuh diri

KULIM - Seorang warga emas berusia 62 tahun cuba membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan wayar di sebuah rumah kedai yang telah lama ditinggalkan, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, bagaimanapun warga emas itu berjaya diselamatkan oleh ahli PPKM yang berada di tempat kejadian.

Menurutnya, ini merupakan kes pertama beliau melibatkan cubaan membunuh diri dan mangsa dapat diselamatkan.

“Seorang peniaga masuk ke rumah kedai itu untuk membuang air. Dia terkejut apabila ternampak seorang lelaki sedang berdiri di atas meja dan lehernya diikat dengan wayar.

“Dia berlari keluar dan memaklumkan kejadian itu kepada ahli PPKM. Ahli PPKM kemudiannya menghubungi saya dan meminta bantuan.

“Apabila saya sampai di tempat kejadian, saya dapati lelaki itu sudah bersedia untuk terjun dari meja dengan lehernya terikat dengan wayar. Saya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memujuknya sebelum dibawa turun oleh ahli PPKM,” katanya.

Eng Khim berkata, setelah diselamatkan, mangsa mengadu dia sudah ditipu dan sekarang ini tidak mempunyai wang dan tempat tinggal.

Kerana takut berhadapan dengan masalah terbabit, dia mengambil tindakan untuk membunuh diri.

“Saya ada bertanya kepadanya bantuan apakah yang diperlukan, memandangkan dia sudah kehilangan kesemua harta benda.

“Dia mahu diberikan kerja dan tempat berlindung. Saya kemudiannya menghubungi ahli PPKM dan mereka bersedia memberikan pekerjaan sebagai tukang masak serta tempat tinggal.

“Saya berterima kasih kepada semua ahli PPKM dan orang ramai yang terlibat dalam memberikan bantuan segera kepada mangsa. Pada fikiran saya, sekiranya PPKM sampai sedikit lewat, pasti mangsa telah mati,” katanya.


Bunuh diri angkara cinta

JELUTONG – Dipercayai kerana cinta, seorang remaja berusia 17 tahun nekad terjun dari aras 11 pangsapuri di Lorong Madrasah, Jelutong malam kelmarin.

Lee Li Cheng, 17, yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati di tingkat dua kawasan tempat letak kereta dalam keadaan terlentang serta mengalami pendarahan teruk di seluruh anggota badan termasuk kepala, kaki dan tangan.

Seorang penghuni yang enggan namanya disiarkan berkata, mangsa yang juga pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Phortay, di Bagan Jermal sebelum itu dilihat bertengkar dengan seorang lelaki yang dipercayai kekasihnya sebelum terjun dari aras 11 kediaman itu.

“Setelah menyedari mangsa terjun, lelaki itu melarikan diri yang mana sebelum itu, terdengar bunyi dentuman kuat dan membuatkan kami bergegas ke tempat kejadian untuk melihat punca dentuman itu. Kami terkejut kerana bunyi dentuman itu rupanya daripada kesan mangsa terjatuh.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dan kami terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya kepada media di tempat kejadian kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya gagal menemui sebarang dokumen diri pada tubuh mangsa selain sekaki payung yang dijumpai di tingkat 11, tempat mangsa terjun.

“Mangsa ditemui jirannya kira-kira jam 7.30 malam dan mayat di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita sedang mengesan identiti lelaki yang berada bersama mangsa ketika kejadian berlaku.

“Keputusan bedah siasat akan diambil untuk menentukan sama ada terdapat perbuatan jenayah terhadap mangsa dan kita akan jalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya.


Berat mata memandang

MERSING - Sukar menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh seorang ibu apabila anaknya mengalami kesukaran untuk minum setelah disahkan mengalami sumbing.

Kunjungan Sinar Harian ke rumah suri rumah berkenaan mendapati, bayi malang berkenaan terpaksa menggunakan botol meskipun masih terlalu awal untuk menggunakannya demi mengisi perut.

Siti Jumanah Marjuki, 41, berkata, anak lelakinya, Mohamad Faiz Irfan Rozali disahkan mengalami sumbing sejak kelahiran kira-kira dua minggu lalu dan agak terkejut apabila diberitahu doktor bahawa bayi lelakinya sumbing di beberapa bahagian iaitu hidung, mulut dan gusi.

“Selepas melahirkannya, jururawat datang dan menunjukkan Mohamad Faiz Irfan kepada saya, namun disebabkan terlalu terkejut, saya pengsan. Bagaimanapun, selang tiga hari, hati saya tenang kerana dapat menerimanya dan menyusukannya.

“Pada mulanya, memang agak sukar saya untuk menerima semua ini, namun semua adalah suratan Ilahi, kami menerimanya dengan hati redha,” katanya yang ditemani suaminya, Rozali Abdul Rahman, 54.

Siti Jumanah berkata, sepanjang mengandungkan Mohamad Faiz Irfan dan setiap pemeriksaan kandu­ngan, doktor memberitahu tiada sebarang masalah kepada bayi berkenaan.

Katanya, bayi lelakinya yang berusia hampir dua minggu itu kini terpaksa bergantung kepada botol susu kerana tidak dapat menyusu secara normal seperti bayi lain.

“Mohamad Faiz Irfan terpaksa diberi susu dengan berhati-hati kerana jikalau tidak diberi susu dengan baik, dia akan tersedak kerana salur pernafasannya agak sempit dan tidak berfungsi dengan baik,” katanya.

Sehingga kini, Mohamad Faiz Irfan terpaksa menjalani rawatan susulan di sebuah hospital di Kuantan dan terpaksa dibawa ke hospital seminggu sekali untuk pemeriksaan.

Menurut Siti Jumanah, mungkin bayi lelakinya itu terpaksa dibedah, namun tarikh tepat masih belum diketahui.

“Doktor ada memberitahu, pembedahan bagi merawat kecacatan sumbing sudah tercatat dalam sejarah kejayaannya dan saya juga berharap agar pembedahan anak nanti akan turut berjaya.

“Saya turut mengakui bimbang dengan masa depan Mohamad Faiz Irfan sean­dainya tidak dibedah dan juga berharap agar ada pihak tampil untuk memberi sumbangan bagi menampung kos peru­batan anaknya itu.

“Melihat anak lelaki saya, kadang-kadang terfikir nasib anak lelaki ini apabila mungkin berdepan risiko pembedahan yang kemungkinan pekak dan percakapan tidak jelas.

“Bagaimana nak menang­gung kos pembedahan dan rawatan susulan sedangkan saya tidak bekerja. Jika sebelum ini, saya ada bekerja di kantin sekolah, namun disebabkan keadaan anak yang mahu penjagaan rapi, saya tidak dapat lagi bekerja,” katanya sayu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat dan sumbangan, boleh menghubungi keluarga ini di talian 017-7040341 atau di alamat 204 Blok J, Skim Perumahan Kos Rendah (SPKR) Felda Endau, 86900, Mersing. 

No comments:

Post a Comment