Wednesday, January 25, 2012

TAK KAN HUKUM YANG BIASA TAK TAHU..MENUTUP KEPALA@BERTUDUNG ITU WAJIB

Kepala berkecai dihentam bunga api

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut apabila kepalanya berkecai ketika cuba memeriksa satu daripada tiga bunga api disangkakan tidak berfungsi, tetapi meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Taman Seputeh, Luyang, di sini, awal pagi kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa dikenali sebagai By Shaow Yong, 26, dikatakan menyalakan tiga bunga api berkuasa tinggi yang mampu membentuk objek di udara, berhampiran rumahnya sempena Tahun Baru Cina, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Dua daripada bunga api dipercayai sama jenis digunakan pihak berkuasa bagi menyambut sesuatu perayaan meletup di udara, manakala satu lagi tidak berfungsi, menyebabkan mangsa cuba melakukan pemeriksaan sebelum ia meletup.

Letupan secara tiba-tiba itu menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter dan ahli keluarga yang cuba memberikan bantuan terkejut apabila mendapati sebahagian daripada kepalanya hancur.


Difahamkan, bunga api berkenaan dibeli dengan harga RM500 dan dipercayai dibawa masuk secara haram dari China.


Lori bawa cecair kimia terbalik



JOHOR BAHARU: Sebuah lori tangki seberat 15 tan yang membawa muatan cecair kimia terbalik ketika pemandunya membuat pusingan U di kilometer 19, Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam menghala ke Kulaijaya hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, lori yang dipandu A Hamid Md Said, 56, dalam perjalanan dari Pasir Gudang untuk menghantar cecair kimia jenis 'caustic soda' ke sebuah kilang di Taman Teknologi di sini.

"Pemandu lori berkenaan cedera ringan di kepala dan telinganya. Punca sebenar kejadian masih disiasat," kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrir Abu Bakar, Pengurus Pentadbiran dan Akaun, New Port Bulk Terminal Sdn Bhd, syarikat lori tangki itu berkata tiada tumpahan bahan kimia berlaku.


Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata bahan cecair kimia itu kebiasaanya diguna oleh pihak industri untuk merawat air. - Bernama

Tiga kesan calar pada mangsa tebusan: Polis



KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan kanak-kanak yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Baru di sini pada Isnin lepas mengalami tiga kesan calar berpunca daripada pisau yang digunakan suspek sebelum polis bertindak melepaskan empat das tembakan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kesan calar itu sudah disahkan oleh doktor yang merawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur(HKL).

"Kesan calar itu ada dua pada bahagian dada dan satu calar di tangan sebelah kiri...kita percaya kesan itu datang dari pisau yang digunakan suspek semasa menjadikan mangsa sebagai tebusan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata buat masa ini mangsa masih diberikan rawatan dan tidak dibenarkan diganggu oleh mana-mana pihak, dan polis akan menunggu keputusan daripada doktor sama ada boleh berjumpa mangsa atau sebaliknya.


Zulkarnain berkata tindakan polis melepaskan empat das tembakan pada waktu itu adalah wajar bagi menyelamatkan mangsa kerana keadaan suspek semakin agresif dan risiko keselamatan mangsa semakin meningkat. - Bernama

Pegawai bank hidup di jalanan

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sebelum ini semuanya berjalan lancar, malah kehidupan saya sebagai pegawai bank agak stabil, tetapi semuanya hancur berkecai selepas menjadi mangsa pukau sebelum dipaksa menganut agama lain,” kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Anwar, 30-an, di sini, semalam.
Anwar, lulusan ijazah sarjana muda kewangan dari sebuah universiti tempatan pada 1993, kini mendapatkan perlindungan di Anjung Singgah, di sini, dan kini dalam proses mencari kerja bagi membina kehidupan baru.
Dia seorang dari beberapa gelandangan berkelulusan universiti yang hidup merempat dengan mendapatkan bantuan makanan dan tempat tinggal daripada beberapa pertubuhan sukarela di ibu kota.

Menceritakan kejadian yang memusnahkan hidup dan kerjayanya, Anwar berkata, kerjaya perbankan diceburi hampir 13 tahun musnah selepas dipukau sebelum dibawa ke merata negeri termasuk negara jiran, dua tahun lalu.


Masalah itu, katanya, bermula dengan perkenalan dengan seorang mubaligh yang kerap datang berurusan di bank tempat kerjanya.

Buah hati Serina



COMEL...Serina bersama Isabella.
COMEL...Serina bersama Isabella.
KUALA LUMPUR: Pelakon, Serina Redzuawan selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Isabella Saffiya O’ Luanaigh, kira-kira jam 3.45 petang, kelmarin di Pusat Perubatan Prince Court, di sini.
Serina berkata, anak keduanya itu dilahirkan dalam keadaan normal seberat 3.3 kilogram dan hasrat suaminya, Gavin O’ Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar menyaksikan anak mereka dilahirkan pada Tahun Naga tercapai.

“Salahudin memang mengimpikan Isabella dilahirkan pada Tahun Naga dan ia bertepatan dengan sambutan Tahun Baru Cina kelmarin,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, di sebalik kelahiran Isabella, bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan adalah individu yang terkilan apabila tidak dapat bersama menyambut kelahiran anak keduanya itu.

“Kebiasaannya, ayah (Chef Wan) insan yang begitu fanatik dan gembira dengan kelahiran cucunya, namun kali ini dia tidak dapat berbuat demikian kerana berada di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Chef Wan dalam kenyataannya menerusi facebook berkata, dia bersyukur kepada Allah s.w.t kerana Serina selamat melahirkan anak keduanya dan mereka sekeluarga gembira dengan kehadiran cahaya mata baru itu.

“Biarpun saya kecewa tidak dapat bersama, saya gembira dengan kelahiran Isabella dan dimaklumkan Serina bersama anaknya dalam keadaan sihat,” katanya.

Menurut Chef Wan, dia kini berada di Bangkok, Thailand atas urusan kerja dan tidak sabar pulang ke ibu kota membeli pakaian dan barang keperluan untuk cucu barunya.
Serina dan Salahudin yang bernikah pada 1 Januari 2010 sebelum ini dikurniakan seorang anak, Tristan yang berusia setahun lima bulan.

Rintihan pilu minta tolong

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

REMUK...keadaan dua kereta dalam kemalangan yang menyebabkan tiga maut.
REMUK...keadaan dua kereta dalam kemalangan yang menyebabkan tiga maut.
MANTIN: “Sebaik terdengar bunyi letupan, saya melihat pemandu daripada dua kenderaan yang bertembung merintih meminta pertolongan.
“Melihat keadaan ngeri itu, saya membantu mengeluarkan empat penumpang termasuk kanak-kanak perempuan yang cedera,” kata kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Zakaria Mohd Fazir, 23, yang membaiki paip pecah bersama beberapa rakan lain menyaksi kemalangan di Jalan Mantin-Kajang, berdekatan Kolej Tuanku Jaafar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu pasangan suami isteri berkenaan, Lim Fong Len, 70-an, dan Chong Yoon Ying, 56, dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Puchong, Selangor bagi meraikan perayaan Tahun Baru Cina.
Selain kedua-dua mangsa, kereta Toyota Vios dipandu anak lelaki mereka berusia lingkungan 30-an itu dinaiki menantu, 40-an dan cucu perempuan mereka berusia tiga tahun.

Kereta lima sekeluarga dari Mantin ke Kajang itu berlanggar dengan kereta Proton Saga dari arah bertentangan menyebabkan kedua-dua pemandu tersepit. Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Proton Saga, Tee Chan Hen, 23, mati di tempat kejadian.

Pasangan suami isteri terbabit pula disahkan meninggal dunia ketika diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Mantin dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat HTJS untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Sunday, January 22, 2012

BILA GOLONGAN PENIPU LEBIH DIPERCAYAI...MAKA TANGGUNGLAH AKIBATNYA...

2 anak lemas

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

ANGKAT...orang ramai membantu seorang daripada mangsa  lemas.
ANGKAT...orang ramai membantu seorang daripada mangsa lemas.
KUANTAN: “Semuanya berlaku terlalu pantas. Anak-anak saya sebelum itu sedang mandi apabila tiba-tiba ketiga-tiga mereka tenggelam timbul dan terkapai-kapai.
“Saya cuba menyelamatkan mereka namun hanya berjaya menyelamatkan seorang saja,” kata Zaleha Abdul Ghani, 42, yang kehilangan dua anaknya, Mohd Zaiful Mohamad, 13, dan adiknya, Mohd Saiful, 11, akibat lemas di Pantai Sepat, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, enam orang termasuk tiga anak Zaleha lemas. Bagaimanapun, seorang anak wanita itu dan tiga anak saudaranya berusia antara lapan hingga 16 tahun, berjaya diselamatkan orang ramai dan kini dirawat di di Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA).
Zaleha bersama keluarganya dari Sungai Isap, berkelah di pantai itu sempena cuti umum Tahun Baru Cina.

Dua anaknya yang maut, Mohd Zaiful dan Mohd Saiful berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan ketika diselamatkan dan meninggal dunia di HTAA akibat sesak nafas. Seorang lagi anak Zaleha masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dia mengharapkan anaknya itu selamat.

Pada masa sama, Zaleha meluahkan kekesalannya terhadap pihak berkuasa yang tidak melakukan pemantauan di sepanjang pantai itu biarpun sebelum ini banyak kejadian lemas berlaku.

“Mereka (pihak berkuasa) sepatutnya mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak kejadian ini berulang kembali,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, berkata enam orang lemas dalam kejadian itu dengan dua daripada mereka maut.
Menurutnya, pihaknya masih melakukan siasatan terperinci punca kejadian.

Aib hari pernikahan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

GOMBAK: Seorang wanita dan keluarganya bukan saja menanggung malu apabila majlis perkahwinan yang dirancang tidak menjadi kenyataan sebaliknya kerugian lebih RM30,000 selepas ditipu teman lelaki kasanova yang mendakwa dirinya bergelar ‘Datuk’ dalam kejadian di Taman Sri Gombak, di sini.
Mangsa, 22, menanggung malu dengan saudara-mara, kawan dan jiran serta kadi selepas pengantin lelaki berusia 32 tahun terbabit tidak menghadirkan diri bersama rombongan pada hari pernikahan mereka, Khamis lalu.
Majlis sepatutnya berlangsung jam 10 pagi di sebuah masjid di sini, tetapi sehingga tengah hari, kelibat lelaki dan rombonganya itu tidak muncul dan gagal dihubungi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Farhana, 22, berkata sebaik menyedari tertipu dia menghubungi pihak bank dan mendapati wangnya dalam bank berbaki RM8 kerana tanpa sedar sudah membuat pemindahan beberapa kali ke akuan lelaki itu.


Menceritakan kejadian menimpanya itu, dia pelik kerana sanggup dan rela mendirikan rumah tangga dengan lelaki terbabit walaupun baru lebih sebulan mengenalinya, selain sudah menyerahkan wang ribuan ringgit.


Urat putus lengan terbelah

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

BERBALUT...Ain disuapkan ubat oleh ibunya, Rahayu Mustapa Al Bakri untuk menahan kesakitan dialaminya.
BERBALUT...Ain disuapkan ubat oleh ibunya, Rahayu Mustapa Al Bakri untuk menahan kesakitan dialaminya.
PUTRAJAYA: “Nak tunggu ada nyawa melayang agaknya, baru nak turun buat kerja,” kata seorang kakitangan kerajaan, Idrus Ismail, 38, yang tidak berpuas hati dengan pihak penyelenggara di kawasan kediamannya di Kuarters Kerajaan Fasa C, Presint 8, di sini.
Perasaan kecewa dan tidak puas hati itu bertambah, berikutan kemalangan yang menimpa anaknya Ain Damia Yusra, berusia tujuh tahun, apabila singki di bilik air rumahnya yang rosak terjatuh Khamis lalu dan serpihan sinki menimpanya.
“Pada pagi hari itu Ain Damia menggunakan bilik air untuk mandi sebelum ke sekolah. Ketika dia mahu mengambil berus gigi, singki itu terjatuh dan serpihan tajam sinki terkena tangan kanannya.

“Dia terus dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan. Doktor memaklumkan urat tangannya terputus dan perlu dijahit, malah dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk sembuh,” katanya.


Menurutnya dia kesal dengan sikap pihak terbabit kerana lewat mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat, sehingga menyebabkan kemalangan itu.

Adik pemain badminton ditikam

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Saya pulang bercuti untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga, tetapi dikejutkan pula dengan kejadian buruk menimpa adik saya ini,” kata pemain beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon.
Peng Soon tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa adiknya ketika mereka sekeluarga bersedia untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Adiknya, Chan Peng Kiat, 21, ditemui berlumuran darah dalam tandas di sebuah pusat hiburan pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa parah selepas ditikam.

Menurut Peng Soon, adiknya itu seorang yang baik dan tidak mungkin memulakan sebarang pertelingkahan.

Katanya, dia berharap polis dapat melakukan siasatan dan menahan individu bertanggungjawab menikam adiknya itu.

30 lelaki pecah 28 kereta

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Sekumpulan lebih 30 lelaki dipercayai bersenjatakan parang mengamuk membabi buta dengan memecahkan cermin dan merosakkan 28 kereta di Rumah Pangsa Lobak, di sini, pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, penduduk di rumah pangsa berkenaan dikejutkan dengan bunyi bising daripada kumpulan terbabit yang bertindak merusuh ketika penghuni sedang nyenyak tidur.

Harian Metro difahamkan, kumpulan lelaki terdiri daripada pelbagai bangsa bertindak ‘biadab’ dipercayai berdendam dengan salah seorang penduduk di situ, sebelum memecahkan cermin kenderaan sekitar rumah pangsa berkenaan.

Salah seorang mangsa, R Papthiban, 31, berkata, sebahagian anggota kumpulan itu bising dengan memecahkan cermin tingkap kereta Nissan Sunny miliknya menggunakan parang panjang.


“Saya dikejutkan oleh seorang jiran kira-kira jam 2 pagi memberitahu kereta saya ‘dicincang’ oleh kumpulan lelaki itu dan bergegas turun.

“Namun, kami semua tidak berani mendekati kereta masing-masing berikutan kumpulan itu menggunakan senjata dipercayai parang untuk merosakkan cermin kereta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

RM500,000 ditipu penyamun online

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my

MELAKA: Bermodalkan kepakaran menggodam Internet, ‘penyamun online’ dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM500,000 dalam tempoh dua bulan daripada sebuah syarikat pengeluar jubin apabila dapatmemintas urusan perbualan syarikat itu bersama pelanggannya dalam Internet.
Perkara itu hanya terdedah kelmarin apabila pengarah urusan syarikat berkenaan, Lim Boon Choy, 46, hairan apabila pelanggannya dari Vietnam, Thailand, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Denmark masih belum membuat bayaran penghantaran jubin sudah diterima mereka sejak Disember lalu.

Menurutnya, dia menghubungi wakil syarikat itu menerusi telefon di negara berkenaan kerana masih belum mendapat sebarang bayaran walaupun semua bekalan diminta sudah dihantar.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila pelanggannya menyatakan semua bayaran sudah lama dibuat menyebabkannya hairan dan menafikannya.


“Bagi membuktikan bayaran dibuat, pelanggan kami menghantar salinan slip pemindahan telegrafik dan transkrip perbualan menerusi ‘chatting’ antara wakil syarikat dengan pekerja mereka yang menunjukkan syarikat kami ada meminta bayaran dibuat tetapi perlu dimasukkan ke dalam akaun bank lain.

“Saya terkejut dan menafikan perbualan menerusi perisian ‘chatting’ popular itu dan tidak menyangka urusan yang tidak pernah ada masalah sejak hampir tiga tahun lalu itu ditimpa bala seperti ini.

“Mereka (pelanggan) turut terkejut apabila diminta membuat bayaran segera dan secara tergesa-gesa ketika perbualan menerusi ‘chatting’ itu, kerana sebelum ini kami tidak pernah bertindak demikian,” katanya, di sini, semalam.

Friday, January 20, 2012

REJAM BAGI HUKUM ALLAH...BILA DIBUAT HUKUM NI...ADAKAH MEREKA BERANI BUAT...YANG BELUM BUAT..REJAM MAKNA BALING DENGAN BATU SAMPAI MATI...NI HUKUM ALLAH..BUKAN HUKUM CIPTAAN MANUSIA...ALLAH BENAR2 TAHU SYAITAN DAN NAFSU...ALLAH YANG MENCIPTANYA...JANGANLAH LAWAN ALLAH...NERAKA TEMPATNYA...KITA AKAN DATANG...NI DIKATAKAN AJAL TELAH DITENTUKAN ALLAH..BERTAUBAT DAN TAATLAH PADA ALLAH SWT...

Mangsa keluarga angkat durjana

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Muhaamad Hafis Nawawi dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Malang bagi seorang gadis apabila simpati yang dicari dengan menumpang di rumah bapa dan ibu angkat selepas berselisih faham dengan abangnya bertukar tragedi apabila menjadi hamba seks pasangan terbabit selama 19 hari, sebelum berjaya melarikan diri, Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, gadis berkenaan yang berusia 21 tahun berselisih faham dengan abang kandungnya pada 28 Disember lalu sebelum keluar ke rumah bapa dan ibu angkatnya yang berusia 40-an di Kajang Utamauntuk menumpang sementara.
Menurut sumber, sebaik tiba di rumah itu, mangsa menceritakan masalah dialami kepada bapa dan ibu angkatnya itu.

“Selepas mendengar masalah itu, mangsa diarah ibu angkatnya masuk ke dalam bilik tidur utama, tetapi mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia dipukul.


“Sebaik masuk ke dalam bilik, ibu angkatnya mengunci pintu manakala bapa angkatnya yang menunggu di dalam bilik menayangkan filem lucah,” katanya.

‘Semua pi jumpa SPRM’

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

ALIAS...belum ada bukti lengkap
ALIAS...belum ada bukti lengkap
KANGAR: Semua pemain dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan berhubung dakwaan rasuah di kalangan pemain pasukan itu, hari ini.
Pengarah SPRM negeri, Alias Darus berkata, ini berikutan pihaknya mendapati tarikh berkenaan bersesuaian kerana tidak mahu mengganggu tumpuan mereka dalam saingan Liga Perdana bertemu Pahang di Stadium Utama Negeri, di sini, malam tadi. Menurutnya, pihaknya sudah berjumpa dengan pengurusan PFA secara tidak rasmi, semalam untuk membincangkan mengenai dakwaan rasuah itu.

“Pegawai saya ada berjumpa pengurusan PFA pagi tadi (semalam) bagi mendapatkan maklumat serta gambaran awal mengenai dakwaan rasuah dalam pasukan mereka.
“Sehingga hari ini (semalam), tiada seorang daripada sembilan pemain Perlis yang didakwa berjumpa bookie dipanggil SPRM untuk tujuan soal siasat. Semua itu hanya akan dilakukan esok (hari ini),” katanya.

Menurut Alias, pihak PFA diminta menyerahkan segala bukti mengenai dakwaan rasuah dalam pasukan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dapat dilakukan.

“Kita akan dakwa mereka yang terbabit jika terbukti benar-benar salah dan mengambil rasuah.

“Namun, sehingga kini, SPRM belum mendapat bukti lengkap mengenai perkara itu dan akan menyiasatnya dengan lebih lanjut termasuk meminta PFA membuat laporan penuh mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dakwaan PFA mengenai sembilan daripada 11 pemain bertemu ejen bookie yang juga bekas pemain bola sepak tempatan sebelum pasukan itu menentang Majlis Perbandaran (MP) Muar, pada 10 Januari lalu.
PFA mendakwa pertemuan yang diadakan di Alor Setar, Kedah pada malam sehari sebelum perlawanan itu dengan sembilan pemain mendakwa ditawarkan habuan RM100,000 setiap seorang bagi menjual perlawanan.

Perkara itu terbongkar selepas PFA mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pemain selepas kekalahan teruk 2-7 skuad kendalian Abdullah Hassan itu kepada MP Muar.

Ibu minta solat jenazah

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

NAHAS...keadaan treler yang terjunam ke dalam parit selepas gagal dikawal.
NAHAS...keadaan treler yang terjunam ke dalam parit selepas gagal dikawal.
NGERI...anggota bomba berusaha menarik keluar mayat Rosmi yang terbenam.
NGERI...anggota bomba berusaha menarik keluar mayat Rosmi yang terbenam.
MUAR: “Dua hari lalu, ketika kami makan malam bersama, ummi meminta saya menjadi imam solat jenazahnya jika dia meninggal dunia.
“Saya anggap ia gurauan, tetapi rupa-rupanya itu pesanan terakhirnya sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Fared Shazwan Shukor, 16, anak kepada Rosmi Mahfodz, 42, yang maut dirempuh treler di Batu 17, Air Hitam di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, Rosmi dari Kampung Batu 14, sedang menghidupkan enjin motosikalnya untuk pulang selepas membeli kuih untuk sarapan pagi di sebuah gerai di tepi jalan itu apabila dia dirempuh treler terbabas.
Ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Aminah, Fared yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, ketika sedang menikmati hidangan, ibunya yang mesra dipanggil ummi tiba-tiba meluahkan hasrat mahukannya melakukan perkara berkenaan.

“Ummi terdiam dan merenung mata saya sambil berkata, ‘Angah, ummi mahu angah jadi imam sembahyang jenazah ummi nanti.

“Saya membalas permintaan berkenaan dengan senyuman. Walaupun agak pelik dengan permintaan itu, tetapi saya anggap ummi bergurau,” katanya.

Menurut pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Vokasional di Sungai Abong itu, sebelum ke sekolah pagi semalam, dia sempat bersarapan telur separuh masak yang disediakan ibunya dan bersalaman serta mencium tangan ibunya itu.

“Ketika itu ummi kelihatan ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik. Seperti kebiasaan, ummi juga turut memerhatikan saya ke sekolah dari pintu rumah.
“Tidak sampai sejam kemudian, saya diberitahu pihak sekolah mengenai kemalangan itu dan pengetua menghantar saya ke tempat kejadian,” katanya.

Anak bongsu mangsa, Emer Yusoff, 7, berkata, ketika menghantarnya ke Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, pagi semalam, ibunya berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Seperti biasa, ummi senyum setiap kali saya mencium tangannya sebelum memasuki kelas. Ummi turut berpesan supaya saya belajar rajin-rajin,” katanya.

Dalam kejadian itu, Rosmi sedang menghidupkan enjin motosikalnya selepas membeli kuih di gerai berkenaan apabila dirempuh dan diheret treler yang terbabas.

Rosmi diheret hingga terbenam ke dalam parit di belakang gerai menjual kuih berkenaan dan jenazahnya berjaya dikeluarkan kira-kira tiga jam kemudian.

Kemalangan itu turut membabitkan empat kenderaan lain, tetapi semua pemandu serta penumpangnya selamat.

Lelaki tidur di surau rentung



GOMBAK: “Amir baru seminggu datang dari Indonesia untuk melawat abangnya dan tinggal di dalam surau di kedai perabot saya. Namun dia gagal menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam selepas terperangkap,” kata Hermanto, 26, pemilik kedai yang musnah dalam kebakaran di Taman Industri Bolton, Gombak, dekat sini, pagi semalam.
Dia berkata, Amir yang berusia 20-an, menumpang sementara di surau itu namun tidak menyangka dia rentung dalam kebakaran itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian ini selepas dihubungi pekerja yang menyedari kebakaran itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, tujuh kedai terbakar malah dua kereta dan empat motosikal yang diletakkan berhampiran turut musnah dalam kebakaran itu.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Ali, 20-an berkata, ketika kejadian itu dia sedang menonton televisyen di belakang salah sebuah kedai itu sebelum terkejut apabila mendapati tiba-tiba api marak.

“Sebaik melihat api marak, saya terus melarikan diri kerana bimbang terperangkap dalam kebakaran itu,” katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.35 pagi dan tiba di tempat kejadian 12 minit kemudian sebelum mengawal kebakaran jam 5 pagi.

YANG MEWAH@MAHAL TAK MESTI SELAMAT..ALLAH BOLEH MUSNAHKAN SEKELIP MATA...SEDAR2LAH DIRI...KITA MAKHLUK...AKAN MATI ...MORALNYA JANGAN BERLAGAK..EGO..SALAH GUNA KUASA DLL...TAK LAMA MANA...AKHIRNYA MATI JUGA...

Rita mahu jawab surat Zafuan

AIDIL ZAFUAN dan Rita Rudaini bersama dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.


SHAH ALAM - Isu surat tuntutan yang diterima pelakon, Rita Rudaini Mokhtar daripada suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak baru-baru ini sebenarnya bukanlah mengenai spekulasi perceraian mereka tetapi ia sebaliknya melibatkan isu anak-anak mereka
Peguam Syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang ditemui di Mahkamah Syariah di sini, semalam berkata, surat bertarikh 11 Januari lalu itu diterima Rita Rudaini, 36, kelmarin.
Bagaimanapun beliau berkata, surat tersebut hanya akan dijawab selepas perayaan Tahun Baru Cina nanti kerana ia memerlukan perbincangan lebih mendalam bersama anak guamnya.
"Saya perlu berbincang lagi bersama Rita, (surat itu) tidak timbul isu penceraian antara mereka, apa yang terbaik adalah sama-sama fikirkan kebajikan anak-anak," katanya selepas dilantik Rita Rudaini bagi menjawab tuntutan terhadap anak-anaknya oleh Mohd. Aidil Zafuan di sini semalam.
Mohd. Zaidi hadir bersama Rita Rudaini di Mahkamah Syariah di sini kira-kira pukul 3.15 petang untuk mendaftarkan kes mereka berhubung tuntutan tersebut.
Mohd. Zaidi bagaimanapun memberitahu, tuntutan yang dibuat Mohd. Aidil Zafuan tidak perlu didedahkan kerana ia lebih kepada perbincangan keluarga.
"Dalam hal ini, beberapa isu perlu diperbetulkan kerana lebih kepada persepsi akibat daripada unsur-unsur lain dan ia tidak boleh didedahkan buat masa ini bagi meredakan keadaan kedua-dua belah pihak," katanya.

Bukan sebab tersedak susu


PEGAWAI kesihatan dan anggotanya membuat pemeriksaan di sebuah rumah asuhan kanak-kanak untuk menyiasat punca kematian dua bayi di Hulu Klang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kematian dua bayi lelaki di sebuah rumah asuhan kanak-kanak di Taman Permata, Hulu Klang di sini masih menjadi misteri.
Ini kerana keputusan laporan bedah siasat yang dilakukan tidak menunjukkan bayi tersebut meninggal dunia disebabkan tersedak susu.
Dua bayi yang mati di rumah asuhan kanak-kanak itu ialah Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan dan Muzaffar Mohd. Faizal, tiga bulan setengah.
Bapa kepada Arif Amsyar, Ruhi Budiman Samsuri, 35, berkata, pihak hospital memberitahunya siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti sebenar kematian anak bongsu daripada tiga beradik itu.
"Saya dimaklumkan tidak ada unsur tersedak susu atau pun makanan pada bayi saya selepas jalani bedah siasat.
"Sehingga semalam (kelmarin), pihak hospital hanya memberitahu mereka akan jalankan siasatan terperinci punca kematian Arif Amsyar," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Cerita Ruhi Budiman, dalam perbualan ringkas dengan kakitangan rumah asuhan kanak-kanak itu kelmarin, bayinya, Arif Amsyar menyusu setengah jam sebelum disedari tidak bernyawa.
"Mereka kata, selepas beri susu setengah jam, anak saya elok bergerak dan tidak menunjukkan sebarang tanda sesak nafas, kemudian anak saya tidur, ketika tidur itulah mereka kata anak saya sudah tidak bernyawa," ujarnya menahan sebak.
Kosmo! semalam melaporkan dua bayi yang tinggal di sebuah rumah asuhan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia selepas tersedak susu.
Kejadian pertama berlaku pada pukul 2..40 petang yang membabitkan Muzaffar dan selang sepuluh minit kemudian, Arif Amsyar pula mengalami nasib yang sama.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal Jaafar, 32, bapa kepada Muzaffar berkata, dia pasti akan merindui tangisan bayi kesayangannya itu.

Tragedi maut tiga beranak


ABDUL GAFFAR (kanan) melihat keadaan kereta Proton Perdana yang remuk hingga mengakibatkan tiga daripada enam sekeluarga maut di Kuala Kangsar, Perak semalam.


KUALA KANGSAR - Seorang anggota polis trafik yang selalu mengendalikan kes kemalangan maut semalam tergamam apabila mendapati tiga daripada enam ahli keluarganya mati serentak selepas kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler membawa muatan gelung plat besi semalam.
Kejadian pukul 1.15 pagi di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini mengakibatkan M. Letshumy, 77, anak perempuannya, A. Espury, 60, dan cucunya, R. Naren, 5, mati di tempat kejadian.
Pemandu kereta itu, Dr. S. Ambiggan, 26, dan dua penumpang lain, A. Maruthayee, 53, dan S. Veneswaran, 11, pula cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ambiggan dan Veneswaran merupakan cucu Letshumy manakala Maruthayee ialah anak wanita warga emas itu.
Difahamkan, sebelum kejadian enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Benggali, Butterworth, Pulau Pinang selepas menghadiri upacara perkahwinan A. Priyanayagi, 42, iaitu anak ketujuh Letchumy di Flat Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kecoh terhidu cecair kimia


ANGGOTA bomba memeriksa sebuah bungkusan yang mengandungi bekas berisi sejenis cecair kimia di sebuah syarikat penghantaran di Malim Jaya, Melaka malam kelmarin.


MELAKA - Orang ramai di pusat bandar Malim Jaya di sini kecoh kelmarin apabila diliputi bau sejenis kimia yang kuat selepas sebuah bungkusan mengandungi bekas berisi cecair bahan itu di sebuah syarikat penghantaran pecah.
Penyelia operasi syarikat penghantaran itu, Bahaman Mijan berkata, bungkusan dari Shah Alam itu tiba di pusat berkenaan pada pukul 9.45 pagi kelmarin dan ia pecah ketika kakitangan syarikat berkenaan mahu memindahkan bungkusan itu untuk dihantar ke alamat penerima di Melaka.
"Ketika hendak memasukkan bungkusan itu ke dalam lori, tiba-tiba asap keluar dari dalam kotak menyebabkan kami mengambil keputusan meletakkan sementara kotak itu di tepi dinding kerana menyangka ia tidak berbahaya.
"Namun asap tersebut berterusan keluar sehingga malam dan beberapa pekerja mengadu sakit tekak sebelum menelefon bomba untuk bantuan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.
Bahaman berkata, cecair kimia sebenarnya bahan larangan dan tidak boleh dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran namun pihaknya tidak menyedari bungkusan itu mengandungi cecair kimia kerana dibungkus dalam kotak.


Sorok dadah dalam sari


ZULKIFLI (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM100,000 yang dirampas di Perai, Butterworth semalam.


PERAI - Seorang lelaki warga India yang baru tiba dari New Delhi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bersama bungkusan dadah yang disorokkan di dalam bagasi yang penuh berisi kain sari.
Pengarah Kastam Negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, ketika ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin, dia mendakwa diarah menghantar kain sari itu kepada seseorang di sini oleh rakannya dan tidak mengetahui bagasi tersebut mengandungi dadah.
Menurut beliau, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu kini direman selama 14 hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, siasatan mendapati lelaki itu tiba di LTAPP selepas penerbangan dari New Delhi dan sebelum itu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Hasil imbasan di LTAPP, kita mengesan objek meragukan di dalam bagasinya, apabila diperiksa ditemui sebungkus dadah jenis ketamin seberat 3.3 kilogram disorokkan dalam satu ruang khas di bawah bagasi tersebut.

Kubur untuk si mati yang amat miskin


SEBANYAK 30 buah keranda yang mengandungi mayat orang miskin dikebumikan dalam sebuah lubang kubur di kawasan perkuburan Homewood Memorial Gardens, Homewood pada Rabu lalu.


HOMEWOOD, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 30 mayat yang merupakan orang paling miskin kerana tidak mempunyai wang untuk membiayai kos pengebumian sendiri telah dikebumikan dalam sebuah lubang kubur di kawasan perkuburan Homewood Memorial Gardens pada Rabu lalu.
Tiada seorang pun rakan atau saudara si mati yang datang untuk menyaksikan pengebumian itu.
Situasi ekonomi yang sukar di AS menyebabkan terdapat peningkatan pengebumian orang yang amat miskin termasuk di Chicago dan di kawasan sekitarnya. - AFP

Monyet pupus ditemui semula di Borneo


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa ekor monyet Miller's Grizzled Langur yang disangka telah pupus di hutan Wehea, Borneo.


JAKARTA - Sekumpulan saintis yang bekerja di hutan tebal Indonesia menemui semula spesies monyet besar berwarna kelabu yang jarang dilihat dan dipercayai telah pupus.
Mereka keliru menemui monyet berkenaan yang dikenali dengan nama Miller's Grizzled Langur di luar kawasan yang menjadi habitat primat berkenaan.
Haiwan tersebut ditemui selepas kumpulan saintis tersebut memasang sejumlah kamera pada Jun tahun lalu dengan harapan dapat merakamkan imej harimau bintang, orang utan dan hidupan liar lain di beberapa kawasan di Hutan Wehea, timur Borneo.
"Kami semua sungguh gembira apabila mendapati monyet ini masih wujud dan juga ia ditemui di Wehea," kata seorang saintis berkenaan, Brent Loken.
Monyet yang memiliki mata sembap, hidung dan bibir merah jambu itu suatu ketika dahulu banyak terdapat di timur laut Pulau Borneo selain Pulau Sumatera dan Jawa serta Semenanjung Malaysia.
Namun spesies itu dipercayai pupus sejak beberapa tahun lalu selepas banyak kawasan hutan telah diteroka untuk tujuan pertanian dan perlombongan. - Agensi

Nasib kapal mewah tidak diketahui

DUA orang duduk berlatarbelakangkan kapal mewah Costa Concordia yang tenggelam di Pulau Giglio, Itali semalam.


ROM - Ketika operasi mencari mangsa terselamat atau lebih tepat, mayat mangsa tragedi kapal pesiaran mewah Costa Concordia diteruskan, tumpuan kini lebih kepada apa yang patut dilakukan keatas bangkai kapal persiaran mewah berkenaan.
Turut menjadi tanda tanya adalah siapa yang akan diberikan kontrak sama ada meleraikan atau memulihkan kapal Costa Concordia.
Walaupun tugas membaik pulih kapal itu dilihat sukar, ia dipercayai dapat dibaiki dan belayar semula di sekitar Laut Mediterranean dengan membawa lebih 3,000 penumpang, dalam tempoh beberapa bulan lagi.
"Saya percaya mereka (syarikat pemilik kapal Costa Concordia) akan cuba menyelamat kapal berkenaan," kata pegawai Persatuan Antarabangsa Kapal- Kapal Persiaran (CLIA), Ted Thompson.
"Jika anda melihat peristiwa Pelabuhan Harbor semasa Perang Dunia Kedua, kebanyakan kapal yang tenggelam dalam serangan tentera Jepun dibaik pulih dan tidak dileraikan," kata Thompson.
"Kapal-kapal berkenaan diapung, dibaik pulih dan dihantar ke medan perang. Justeru, perkara sama boleh dilakukan ke atas kapal Costa Concordia," tambahnya.
Kurang 48 jam selepas Costa Concordia terlanggar batu pada 13 Januari lalu, pakar-pakar dari Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti kaedah sesuai untuk mengapungkan kapal seberat 114,000 tan dan bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada kapal Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912.
Keputusan mengenainya akan dibuat bersama oleh pemilik kapal berkenaan, penanggung insurans dan pakar-pakar membaik pulih kapal.
Ketika ini, Costa Concordia tersadai dalam keadaan terbalik kira-kira 50 meter dari pantai Pulau Giglio, Itali.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam nahas berkenaan dengan 21 orang lagi masih hilang. - Agensi

Thursday, January 19, 2012

MAUT NI KETENTUAN ALLAH...DEKAT DIRI DENGAN ALLAH..SENTIASA BERTAUBAT...BILA HUKUM PENJAJAH LEBIH AULA@UTAMA DARI HUKUM ALLAH...MACAM ALLAH DIKETEPIKAN DAN DISINGKIRKAN...PATUTKE...BAB AKIDAH TANYA USTAZ2 DAN MUFTI2...JANGAN JADI SYAITAN BISU DAH...UTAMAKAN KEDUDUKAN DUNIA...HINGGA TAKUT BERITAHU YANG HAQ...MEMANG NAK CARI NAHAS....

Bahagia di sebalik derita

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Riadz Radzi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas disahkan positif dijangkiti virus maut HIV pada 2004, doktor menjangka dia hanya boleh hidup selama empat tahun, namun selepas tempoh itu berlalu, dia bukan saja masih mampu bernafas, malah mendapat kehidupan baru apabila ada lelaki berhati murni memperisterikannya.
Itu bukti kekuasaan Allah atas kesabaran serta kegigihan seorang penghidap virus HIV yang hanya mahu dikenali sebagai Zulaikha dan kini kehidupannya tambah bermakna apabila dikurniakan cahaya mata lelaki berusia setahun dua bulan yang disahkan bebas HIV.
“Hati siapa yang tidak remuk apabila doktor memberitahu saya hanya boleh hidup empat tahun iaitu sehingga 2008. Ketika itu saya percaya kata-katanya dan menganggap kehidupan ketika itu sudah tidak bermakna,” katanya.

Zulaikha, 33, berkata dalam tempoh tiga tahun, dia kerap berkurung dalam bilik sehingga tidak makan, minum dan mandi sehingga jatuh sakit.


“Mujur keluarga menerima dan menyokong saya. Mereka yang memujuk saya mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar serta jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

“Dengan kuasa Allah, tanpa diduga pada 2008 iaitu tahun saya diramalkan meninggal dunia, saya mendapat hidup baru apabila bertemu jodoh, malah kini dikurniakan cahaya mata,” katanya.

Dua bayi maut tercekik susu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

SEDIH...anggota keluarga seorang bayi maut tersedak susu menunggu di luar bilik mayat HKL, semalam.
SEDIH...anggota keluarga seorang bayi maut tersedak susu menunggu di luar bilik mayat HKL, semalam.
KUALA LUMPUR: Dua bayi lelaki berusia tiga dan tujuh bulan yang dihantar ke sebuah taska di Taman Permata, Hulu Klang di sini maut dipercayai akibat tersedak susu, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kedua-dua bayi berkenaan yang dikenali sebagai Muzafar Mohd Faizal, berusia tiga bulan dan Haris Ruhil, tujuh bulan, diberikan susu oleh pengasuh taska berkenaan sebelum tiba-tiba mereka mengalami masalah pernafasan.
Pemilik taska itu kemudian menghantar kedua-dua bayi itu ke sebuah klinik berhampiran untuk rawatan, namun kedua-dua bayi itu kemudian disahkan sudah meninggal dunia.

Berikutan kejadian itu, ibu bapa kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan polis.


Bapa Muzafar, Mohd Faizal Jaafar, 32, berkata anak bongsunya daripada dua beradik itu baru sebulan dihantar ke taska berkenaan.

Sebelum ini, anaknya yang sulung turut dihantar di taska sama tetapi tiada berlaku kejadian yang tidak diingini.


Tarikan si gebu hidung mancung

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

DITAHAN...antara wanita Arab yang ditahan dalam serbuan, semalam. Gambar kecil, GRO dari Asia Barat.
DITAHAN...antara wanita Arab yang ditahan dalam serbuan, semalam. Gambar kecil, GRO dari Asia Barat.
KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan haram di Bukit Bintang, di sini, dikesan menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) dari Asia Barat bagi mengubah cita rasa pelanggan yang sebelum ini disogokkan dengan GRO dari China, Vietnam dan Indonesia.
Gadis berkulit gebu dan berpakaian seksi serta berhidung mancung itu dijadikan tarikan baru ke pusat hiburan terbabit sejak beberapa bulan lalu sebelum diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), awal pagi semalam.

Pusat hiburan yang terletak di kawasan strategik itu turut dikunjungi pelancong dari wilayah Arab untuk berhibur dan faktor itu dipercayai punca utama pemilik premis terbabit menawarkan GRO dari rantau itu.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, seramai 15 GRO warga Iran, Yaman, Uzbekistan dan Tajikistan berusia 20 hingga 27 tahun ditahan. Turut ditahan seorang pondan warga tempatan. Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Azman Md Isa berkata, pemeriksaan awal mendapati sebahagian GRO warga asing terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan ada yang mendakwa pelajar.

“Pengurus pusat hiburan terbabit ditahan bagi membantu siasatan selepas premis itu gagal menunjukkan lesen perniagaan,” katanya.

Menurutnya, serbuan dibuat berdasarkan intipan pihaknya sejak sebulan lalu.

Dihalang renang tutup aurat

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Seorang ayah kecewa apabila hasrat dua anaknya menyertai pertandingan renang dianjurkan Persatuan Renang Amatur Selangor di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13, di sini, terbantut semata-mata pakaian renang berlandaskan syariat Islam.
Muhammad Abdullah, 36, berkata, kekecewaannya turut dikongsi ibu bapa 20 peserta lain berumur antara 8 dan 12 tahun itu yang didakwa penganjur melanggar peraturan ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina).

Menurutnya, ketika pertandingan renang Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) berlangsung dari 13 hingga 15 Januari lalu, dia bersama isteri, Anis Harnisah Haron, 33, berada di China atas urusan perniagaan.

“Pada hari ketiga pertandingan itu, isteri yang menghubungi anak perempuan Anis Zakiah yang berusia 9 tahun terkejut mendengar tangisan sebelum dimaklumkan bahawa dia dan abangnya Abdullah Fateh berusia 12 tahun tidak dibenarkan menyertai pertandingan.

“Anis dan Fateh sudah menghabiskan banyak masa untuk memberi saingan dalam pertandingan itu, tetapi mereka sangat kecewa apabila tak dibenarkan bertanding hanya atas sebab pakaian renang,” katanya.

Beliau lebih terkenal dengan gelaran Ustaz Amin serta Timbalan Pengerusi Yayasan Al-Ijabah berkata, dia menghubungi jurulatih renang anaknya, Mohd Bukhari Ibrahim, 34, yang kemudian memaklumkan 20 peserta beragama Islam turut mengalami nasib sama.


Ustaz Amin yang kesal dengan perkara itu berkata, dia memang menggalakkan sukan renang kepada 80 anak yatim di bawah jagaan Yayasan Al-Ijabah.

“Mereka selama ini sudah diajar supaya berpakaian mengikut syariat Islam walau di mana pun berada, takkanlah tiba-tiba nak suruh buka aurat pula,” katanya.

Ustaz Amin berkata, beliau sudah mengajukan isu terbabit kepada Pengerusi Majlid Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan pihak Mais berjanji menyelesaikannya.

“Saya juga akan bertemu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid untuk berbincang mengenai perkara ini. Mungkin juga saya akan bawa isu ini untuk perhatian menteri belia (Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek),” katanya.

BILA HILANG MALU..TIADA MEMIKIRKAN ALAM AKHIRAT...MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI...KES2 JENAYAH SEPERTI ZINA,BUNUH DDL KEMBALIKAN HUKUM ALLAH...BARU TAHU LANGIT NI TINGGI ATAU RENDAH...

Hospital Taiping mahu jumpa ibu bapa bayi malang

UMI KALSUM menunjukkan keadaan kaki kanan anaknya yang dipotong akibat jangkitan kuman di Desa Aman Puri, Kepong, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan Hospital Taiping akan mengadakan pertemuan dengan pasangan suami isteri kepada bayi malang yang kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, pada Rabu depan di hospital berkenaan.
Pertemuan itu adalah bagi menjelaskan kes anak perempuannya, Nur Amani Nasuha secara lebih terperinci setelah pasangan itu mendakwa kecacatan anak mereka berpunca daripada kecuaian doktor yang lambat bertindak selepas kaki kanan bayi itu dijangkiti kuman dan akhirnya terpaksa dipotong.
Mohd. Hasmadi ketika dihubungi berkata, pengarah hospital berkenaan telah menghubunginya pagi semalam setelah berita mengenai anaknya itu dipaparkan pada muka depan Kosmo! semalam.
"Saya menerima panggilan telefon daripada dia (pengarah) dan dia mahu bertemu dengan kami sekeluarga bagi memberi penjelasan lanjut.
"Saya juga mahu mereka lihat sendiri keadaan terkini Nur Amani," katanya dengan menambah anak perempuannya itu sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai kecacatan yang dialami oleh Nur Amani selepas kaki kanan bayi itu didakwa terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan ekoran kelewatan pihak hospital lambat bertindak untuk merawat kakinya yang dijangkiti kuman.

Dijel kerana tikam teman wanita


AZWAN dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka semalam selepas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.


MELAKA – Kemarahan seorang penarik kereta yang menikam kekasihnya yang mahu memutuskan hubungan cinta berakhir dengan lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Azwan Azmin, 23, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Norzila Alismadi, 22, menggunakan sebilah pisau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang restoran McDonald’s Melaka Mall bersebelahan bangunan Melaka Mall pada 5 Januari lalu pada pukul 10 malam.
Azwan yang belum berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Terdahulu peguam tertuduh, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dalam rayuan memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan semasa kejadian tertuduh tidak matang dan waras kerana terlalu marah.
“Pengakuan salah tertuduh pada sebutan pertama kes hari ini (semalam) juga menjimatkan masa mahkamah apabila mahkamah tidak perlu mendengar perbicaraan penuh kes,” kata Sheikh Ikhzan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin mahu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh.
Menurut Ifa, sebelum berjumpa mangsa, tertuduh membawa pisau yang dilihat persediaan untuk mencederakan mangsa.
“Doktor yang merawat mangsa mengesahkan kecederaan dialami selepas ditikam di rusuk kiri adalah satu kecederaan serius yang boleh membawa maut.
“Akibat tikaman itu mangsa kehilangan banyak darah,” kata Ifa.

Warga emas kurung, perkosa gadis didakwa


yusoff dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang warga emas yang dikaitkan dengan kes mengurung seorang gadis Indonesia selama enam bulan bagi dijadikan mangsa memuaskan nafsu seks dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Tertuduh, Yusoff Mat Rani, 61, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Yusoff Yunus.
Dakwaan terhadap Yusoff dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda.
Yusoff didakwa memperdagangkan gadis Indonesia berusia 24 tahun itu dengan cara melindunginya bagi maksud eksploitasi seks di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Limau Manis di sini antara bulan Jun hingga Disember tahun lalu.
Lelaki tua yang berjanggut panjang itu tidak mengemukakan apa-apa rayuan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bersabung nyawa ke sekolah


SEORANG pelajar, Sofiah (depan) memegang kayu jambatan yang runtuh untuk menuju ke sekolah di Kampung Sanghiang Tanjung semalam.


KAMPUNG SANGHIANG TANJUNG, Indonesia - Beberapa pelajar bersabung nyawa untuk pergi ke sekolah apabila mereka menggunakan sebuah jambatan yang hampir runtuh akibat banjir.
Banjir akibat paras air Sungai Ciberang naik menyebabkan satu bahagian jambatan tersebut runtuh.
Menurut agensi berita Reuters, jambatan itu dibina pada 2001.
Seorang pelajar, Sofiah menyatakan dia perlu berjalan selama 30 minit jika mahu pergi ke sekolah di Kampung Sanghiang Tanjung dengan menggunakan sebuah lagi jambatan.
Para pelajar itu sanggup berjalan dengan tangan mereka memegang kayu yang berlubang dalam keadaan mengiring semasa mereka menggunakan jambatan tersebut.
Kepingan kayu tempat kaki orang ramai berjalan di jambatan itu berada dalam keadaan senget dan sebahagiannya berlubang selepas ia runtuh akibat banjir. - Agensi


Wanita separuh bogel diheret polis


SEORANG wanita separuh bogel diheret dua anggota polis di Kiev, Ukraine kelmarin.


KIEV - Polis Ukraine menangkap seorang wanita yang mendedahkan payudaranya dalam satu tunjuk perasaan di depan kediaman Duta India di sini kelmarin.
Dia merupakan anggota sebuah pertubuhan pembela hak asasi manusia yang dikenali sebagai Femen yang menunjuk perasaan yang disertai tiga lagi rakannya.
Tunjuk perasaan itu diadakan bagi membantah tindakan India memperketatkan peraturan visa untuk kemasukan wanita dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet.
Peraturan visa itu diperketatkan untuk menghalang wanita berusia di antara 18 hingga 40 tahun dari Ukraine, Rusia, Kazakhstan dan Kyrgyzstan memasuki India untuk menjadi pekerja seks.
Empat wanita dengan beraninya mendedahkan payudara mereka semasa suhu amat sejuk ketika berada di balkoni tingkat dua kediaman duta India. - Agensi

Bekas ratu Arab-AS dihadap ke mahkamah


RIMA FAKIH (kiri) berdiri dekat peguamnya, William Culpepper di Mahkamah Daerah Highland Park, Michigan kelmarin.


APRIMA FAKIH (kiri) berdiri dekat peguamnya, William Culpepper di Mahkamah Daerah Highland Park, Michigan kelmarin.HIGHLAND PARK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ratu cantik Michigan yang pernah menjadi tumpuan pada dua tahun lalu kerana menjadi peserta kelahiran Arab-Amerika, Rima Fakih yang pertama dinobatkan sebagai Ratu Cantik USA akan dibicarakan pada Mac ini kerana didakwa memandu dalam keadaan mabuk melainkan dia membuat pengakuan bersalah, kata seorang hakim kelmarin.
Hakim Mahkamah Daerah Highland Park menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan terhadap Rima.
Rima ditahan polis pada 3 Disember lalu di Highland Park, Detroit.
Wanita itu yang berusia 26 tahun menafikan dakwaan tersebut dengan berkata, dia tidak memandu dalam keadaan mabuk pada malam itu tetapi dua anggota polis yang menjalankan ujian alkohol mendapati jumlah arak adalah dua kali ganda melepasi had yang ditetapkan.
"Saya minta maaf. Peguam saya tidak membenarkan saya mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Fakih merupakan wanita pertama berketurunan Arab-Amerika yang memenangi pertandingan Ratu Cantik USA.
Dia dilahirkan di Lebanon dan berpindah pada 1993 ke New York bersama keluarganya dan kemudian ke pinggir Detroit, Dearborn, 10 tahun kemudian.
Rima menang pertandingan Ratu Cantik USA pada 2010.
Menurut polis, Rima memandu selaju 96 kilometer sejam di zon 48 kilometer sejam dan melambaikan tangan keluar sebelum anggota polis menahannya.
Polis menemui satu botol champagne tanpa penutup di belakang tempat duduk kereta Jaguar yang dipandunya. - Agensi

Guru terkejut akaun bank ada RM30.59 bilion




KOLKATA, India - Seorang guru sebuah sekolah tinggi di sini yang mempunyai gaji bulanan sebanyak AS$700 (RM2,170) terkejut apabila dalam pemeriksaan rutin dalam online yang dibuatnya mendapati akaun banknya mempunyai baki hampir AS$10 bilion (RM31 bilion).
Guru itu, Parijat Saha (gambar), 42, dari bandar Balurghat, negeri Bengal Barat berkata, dia memeriksa akaun Bank Negara India menerusi online pada Ahad lalu untuk mengesahkan penerimaan bayaran faedah sebanyak AS$200 (RM620).
"Saya terkejut melihat jumlah yang terlalu banyak," katanya.
Akaun itu menunjukkan baki sebanyak AS$9.87 bilion (RM30.59 bilion).
Selepas pulih daripada kejutan awal kerana menjadi seorang bilionair dalam tempoh semalaman, sekurang-kurangnya di atas kertas, Saha, menyatakan dia terus menghubungi seorang rakan yang dikenalinya di bank berkenaan untuk menunjukkan ia secara jelasnya satu kesilapan perakaunan.
Bank Negara India menyatakan, ia masih tidak mengetahui dengan jelas bagaimana jumlah tersebut didaftarkan dalam akaun Saha.
"Kami cuba untuk memastikan apa yang silap," kata seorang pengurus cawangan bank itu, Subhashish Karmakar.
"Kita telah menghubungi ibu pejabat wilayah di Kolkata dan ibu pejabat kebangsaan di Mumbai," tambahnya. - AFP

Wednesday, January 18, 2012

KECUAIAN DATANG DARI KITA SENDIRI..BILA GOPOH GAPAH@TERGESA2..TAK MAU IKUT UNDANG2....EGO SERTA MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI...PADAHNYA DIRI SENDIRI JUGA PADA ORANG LAIN....

Salahkan doktor anak kudung

MOHD. HASMADI dan Umi Kalsum menunjukkan kaki kanan Nur Amani Nasuha yang telah kudung di rumah mereka di Kepong, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Impian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata yang sempurna sifatnya tidak kesampaian selepas kaki kanan bayi perempuan mereka terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan awal bulan lalu.
Walaupun reda dengan apa yang berlaku, ibu bapa bayi itu, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, tetap terkilan kerana mereka mendakwa kakitangan Hospital Taiping yang merawat anak sulung mereka itu, Nur Amani Nasuha lambat bertindak sehingga menyebabkan pergelangan kakinya terpaksa dipotong pada 1 Disember lalu.
Mohd. Hasmadi berkata, kakitangan hospital mendapati jari kaki kanan Nur Amani Nasuha telah dijangkiti kuman dan bertukar menjadi biru seawal 19 November lagi.
“Pihak hospital mengambil masa dua minggu untuk memantau apa yang berlaku sehingga semuanya sudah terlewat dan kaki anak kami terpaksa dipotong.
“Kalau mereka cepat bertindak mungkin jari anak saya sahaja yang dipotong dan bukan pergelangan kaki, hancur luluh hati kami dibuatnya,” kata Mohd. Hasmadi kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Desa Aman Puri, Kepong di sini semalam.
Dia yang bekerja di kilang pemasangan kenderaan di sini memberitahu, Nur Amani Nasuha dilahirkan tidak cukup bulan pada 7 November tahun lalu di hospital itu dan ditempatkan di wad kerana masalah pernafasan.
“Saya lihat jururawat di situ mengambil sampel darah dan memberi suntikan antibiotik setiap hari di bahagian kaki kanan.
“Tapi pada 19 November, doktor memberitahu ibu jari serta dua jari lain kaki kanan anak saya bertukar biru akibat jangkitan kuman,” ceritanya.

Anak Datuk ditahan semula


SUSPEK diiring keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah semalam selepas mendapatkan perintah tahanan reman.


SUNGAI PETANI - Pemburuan polis sejak enam tahun lalu terhadap seorang lelaki yang melarikan diri ke Perth, Australia ketika dibebaskan sementara bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran berakhir apabila suspek itu dapat ditahan kelmarin.
Jurujual kereta berusia 31 tahun itu ditahan petang kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Perth. Jarak di antara dua tempat itu kira-kira 6,760 kilometer.
Anak ahli perniagaan bergelar Datuk itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh melibatkan seorang wanita, Chee Gaip Yap, 25, di kawasan perumahan Kelab Cinta Sayang di sini pada 14 Januari 2006.
Difahamkan, suspek bertindak melarikan diri ke luar negara ketika dia dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian DNA. Sebelum itu, suspek ditahan bersama 11 lelaki warga asing di perumahan Aman Jaya di sini pada pukul 2 pagi 3 Februari 2006.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis telah cuba mengesan suspek yang bertindak melarikan ke Australia sejak tahun 2006. Dia kemudian memegang taraf penduduk tetap negara itu.
"Polis tidak pernah menutup kes ini dan sentiasa mengikuti perkembangannya setiap dua bulan," katanya.

Empat jadi korban nahas melibatkan tiga buah kenderaan


Keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sultan Mizan, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Empat terbunuh dengan seorang daripada mangsa tercampak sejauh kira-kira 10 meter daripada sebuah kereta yang ‘terbang’ dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kereta di Jalan Sultan Mizan berdekatan Taman Semarak di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 6.30 petang itu melibatkan sebuah kereta Honda, Perodua Kancil dan Proton Persona.
Empat mangsa yang maut ialah Nor Azni Mat Jusoh, 21, dari Ajil dan rakannya, Mohd. Zaini Abdul Razak, 43, berasal dari Ayer Keroh, Melaka. Kedua-dua mangsa merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil.
Dua lagi mangsa yang terkorban ialah Mohd. Faris Mohd. Shaimi, 26, dan Mohd. Rizal Ibrahim, 30. Mereka merupakan pemandu dan penumpang kereta Honda.
Pemandu kereta Persona, Noriani Mohammad, 35, yang juga merupakan ibu tunggal tidak cedera.


Rotan jika salah, bukan belasah


ZULKEFLImenunjukkan laporan akhbar Kosmo! mengenai kejadian cucunya dibelasah sambil diperhatikan oleh isterinya, Rokiah Arshad di Teluk Intan semalam.


TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.
Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.
Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.
“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.
“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.
Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.
Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.

Bangunan di KL Sentral terbakar


KEADAAN bangunan yang dalam pembinaan terbakar di KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sebuah bangunan pejabat setinggi 31 tingkat yang dalam pembinaan di KL Sentral di sini terbakar pagi semalam.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 3 pagi melibatkan tingkat 30 dan 31 bangunan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, api merebak dengan cepat menyebabkan bahan binaan seperti kepingan kayu jatuh dan membahayakan orang ramai.
"Kita terima panggilan pada pukul 3.53 pagi dan seramai 95 anggota bomba serta 17 jentera dari balai bomba sekitar Lembah Klang dikejarkan untuk memadam kebakaran," katanya di sini semalam.
Katanya, bomba menghadapi kesukaran mengawal api dan terpaksa menggunakan perancah mulai aras 26 untuk naik ke tingkat atas bangunan itu dan api dapat dikawal kira-kira pukul 8.30 pagi.
Azizan berkata, laluan masuk ke Brickfields iaitu melalui Jalan Bangsar dan Jalan Tun Sambanthan terpaksa ditutup sehingga pukul 12 tengah hari untuk kerja-kerja pemadaman dan siasatan. - Bernama

Mati akibat dipukul


SALAH seorang daripada tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Idris kelmarin.


KOTA BHARU – Tindakan seorang lelaki yang membuat laporan mengatakan dia terlanggar sebuah motosikal hingga mengakibatkan penunggangnya terbunuh Ahad lalu membongkar satu rahsia apabila dia bersama dua lagi individu didapati telah memukul mangsa sampai mati.
Tiga lelaki berusia di antara 30 dan 40 tahun itu kini direman selepas ditahan malam kelmarin bagi membantu siasatan kes pembunuhan Idris Mamat, 54, di depan Masjid Badang di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Idris, dari Kampung Cabang Tiga, Kedai Buluh Padang, disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini pagi kelmarin akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, rahsia itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat isteri mangsa, Zaiponi Lah, 41, kelmarin.
Katanya, menurut laporan itu, Zaiponi mengesyaki kematian suaminya adalah disebabkan dipukul, ditendang dan dipijak di badan serta kepala selepas kemalangan itu berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

Pesalah trafik dipantau dari udara


LORI yang menggunakan lorong tengah dan memotong di tengah lebuh raya salah satu aksi yang dikesan melalui rondaan Unit Udara PDRM di Seremban semalam.


KUALA LUMPUR – Kalangan pengguna jalan raya sempena cuti Tahun Baru Cina tidak lama lagi diminta berhati-hati.
Anda bukan sahaja diperhatikan di jalan raya malah pemanduan anda akan dipantau melalui udara.
Itu amaran Pasukan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada semua pemandu kenderaan yang memandu pulang ke kampung halaman masing-masing mulai esok.
Pegawai Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Superintenden S. Markandan berkata, kepakaran Unit Udara PDRM akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pesalah trafik.
Menurutnya, unit tersebut akan mengadakan beberapa rutin penerbangan sepanjang tempoh Ops Sikap dan bertindak sebagai unit sokongan kepada polis trafik.
“Unit Udara berhelipkopter akan bertindak segera terhadap pesalah trafik dengan mengambil gambar kenderaan dan nombor pendaftarannya.
“Maklumat tersebut akan terus disalurkan kepada anggota trafik yang bertugas untuk mereka menahan kenderaan itu,” ujarnya.

Kapal terbalik beralih kedudukan

KEDUDUKAN kapal pesiaran Costa Concordia di Pulau Giglio, Itali semalam.


PULAU GIGLIO, Itali - Para penyelamat yang mencari 20 orang yang masih hilang dalam tragedi sebuah kapal pesiaran mewah terbalik di sini menggantung operasi menyelamat, kata seorang jurucakap semalam.
Menurut jurucakap operasi itu, Luca Cari, tindakan tersebut terpaksa dibuat kerana kapal berkenaan, Costa Concordia didapati beralih kedudukan.
"Peralatan-perlatan menunjukkan bahawa kapal tersebut bergerak. Kami dalam proses untuk menilai jika menemui kedudukan itu terhenti bagi membolehkan kami menyambung semula (operasi tersebut)," katanya.
Kerja-kerja menyelamat itu dihentikan pada pukul 8 pagi waktu tempatan.
Jumlah kematian adalah seramai sebelas orang namun 20 lagi dipercayai masih hilang ekoran kejadian tersebut yang berlaku pada Jumaat lalu.
Kapal itu yang membawa lebih 4,000 penumpang terbalik selepas ia terlanggar batu.
Kapten kapal itu, Francesco Schettino telah ditahan di rumah dan berdepan dengan dakwaan melakukan pembunuhan besar-besaran.
Sementara itu, Schettino juga menafikan dia telah meninggalkan kapal berkenaan ketika ramai penumpang belum keluar sepenuhnya dari Costa Concordia.
Kenyataan itu dibuat oleh peguamnya, Bruno Leoratti.
Menurutnya, tindakan kapten kapal itu mengemudikan Costa Concordia ke pulau berkenaan selepas melanggar batu telah menyebabkan ribuan penduduk selamat. - Agensi