Pengasuh cubit budak 4 tahun
KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang baru mengambil anak perempuannya dari
sebuah pusat asuhan sebaik pulang bekerja terkejut apabila mendapati
terdapat kesan lebam dan bengkak di badan dan muka anaknya di Bandar
Tasik Selatan, di sini, Khamis lalu.
Difahamkan, budak perempuan berusia empat tahun memberitahu ibunya
dia ditampar dan dicubit pengasuhnya serta seorang kanak-kanak lain di
pusat asuhan itu berkali-kali tanpa mengetahui punca sebenar.
Menurut sumber, ibu mangsa yang juga peniaga berusia 32 tahun yang
tidak berpuas hati kemudian bertanyakan kejadian itu kepada pengasuh
terbabit pada keesokan hari.
“Pengasuh terbabit mengaku mencubit mangsa kerana anak kecil itu
mengoyakkan kertas peperiksaan seorang lagi kanak-kanak yang diasuh.
“Namun, dia menafikan kesan lebam di muka mangsa akibat ditampar,
sebaliknya mengatakan mangsa terjatuh dari buai,” katanya.
Sumber itu berkata, pengasuh terbabit turut menafikan mangsa ditampar pemilik kertas soalan yang dikoyakkan itu.
Bagaimanapun, tidak berpuas hati dengan penerangan pengasuh terbabit,
ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi selain membuat
aduan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dukung dalam kereta sebelum dinoda
SABAK BERNAM: Perjalanan pulang dua beradik ke rumah selepas membeli
kad prabayar berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dirogol
dalam kereta selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar dalam
kejadian di Parit 13, Sungai Panjang, di sini, kelmarin.
Ketika kejadian mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal
bersama adiknya berusia 15 tahun dilanggar sebuah Proton Saga, kira-kira
jam 9 malam di kawasan sunyi.
Berikutan perlanggaran itu, kedua-dua beradik itu terjatuh sebelum suspek berhenti dan menarik mangsa ke dalam kereta.
Suspek yang berusia 19 tahun dikatakan sanggup mendukung mangsa
yang meronta-ronta ke dalam kereta sebelum membawanya lari dengan
meninggalkan adik remaja itu kesakitan seorang diri di tepi jalan.
Adik mangsa bergegas pulang ke rumahnya kira-kira satu kilometer dari
lokasi kejadian dan menceritakan kepada keluarga yang kemudian membuat
laporan di Balai Polis Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah
Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, siasatan awal
polis mendapati suspek membawa mangsa ke tempat sunyi sebelum merogolnya
dalam kereta, kira-kira jam 10.30 malam.
Menurutnya, mangsa terpaksa menuruti kehendak suspek selepas diugut
akan dirogol beramai-ramai jika enggan mematuhi permintaan itu.
Katanya, selepas dirogol, mangsa ditinggalkan di tepi jalan sebelum ditemui orang ramai.
“Suspek melarikan diri selepas menyedari menjadi buruan penduduk.
“Akibat gagal mengawal kenderaannya, kereta dipandu suspek terbabas,
tetapi lelaki itu dapat meloloskan diri ke kebun sawit berhampiran dan
meredah sawah padi bagi menyelamatkan diri.
“Suspek dikatakan turut meminta bantuan di rumah majikannya yang terletak berhampiran tempat kejadian.
“Bagaimanapun, usaha suspek meraih simpati majikannya gagal kerana
selepas menceritakan kejadian yang berlaku, lelaki itu dipaksa menyerah
diri kepada polis, semalam,” katanya. Beliau berkata, siasatan polis
mendapati suspek menggunakan kereta milik majikannya ketika melakukan
jenayah itu.
Sukar dakwa cinta songsang
KUALA LUMPUR: Kesukaran membuktikan wanita menjalin hubungan cinta
songsang dengan kaum sejenisnya sebagai satu kesalahan yang boleh
didakwa di mahkamah sivil dan syariah, dipercayai antara punca masalah
sosial terbabit kekal berleluasa.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata beliau tidak menafikan
hukuman sukar dijatuhkan kerana pendakwaan sukar membuktikan kesalahan
si pelaku meskipun terdapat laporan serta penguatkuasaan daripada pihak
berkuasa.
“Selalu pasangan lesbian, tidak kira sama ada
dia bercinta dengan pengkid atau sesiapa yang lahir sebagai perempuan,
kita ada kesukaran untuk buktikan kesalahan itu kerana bukti perlu
kukuh dan sahih.
“Jika ketika penguat kuasa menangkap pasangan ini, mereka sedang
bermesra dengan kedua-duanya telanjang bulat di atas katil, itu boleh
menjadi bahan bukti kuat dan dibantu pula alat sokongan seks...memang
hukuman jelas untuk kesalahan ini,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai
seorang wanita berusia 46 tahun yang bergelar nenek kepada empat cucu
dikatakan bernafsu untuk menjalin hubungan songsang dan belaian manja
dengan wanita berperwatakan lelaki atau pengkid berusia 32 tahun
dipanggil Ash.
Dibaham 3 anjing liar
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
SUNGAI PETANI: “Saya nampak anjing itu membuka luas mulutnya sebelum
menyambar kaki kiri saya. Walaupun menjerit meminta tolong, tiada siapa
membantu,” kata Muhammad Nabil Amin Abd Wahab,10, yang terpaksa menerima
20 jahitan selepas diserang tiga anjing liar ketika bermain bola di
Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 6 petang, dia bersama beberapa rakannya bermain
bola sepak di Padang Awam taman perumahan itu, apabila tiba-tiba tiga
anjing liar menyerangnya dari belakang.
Akibat kejadian itu,
Muhammad Nabil yang cedera di kaki kiri dan tangan dikejarkan di
Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Muhammad Nabil berkata, ketika kejadian, dia menjadi penjaga gol dan
menyedari tiga anjing di belakangnya, namun tidak sempat menyelamatkan
diri apabila anjing itu terus meluru ke arahnya.
“Saya sakit
kaki akibat terpijak kaca seminggu lalu dan tidak dapat berlari
menyebabkan menjadi sasaran tiga anjing dipercayai kelaparan itu. Seekor
anjing menyambar kaki kiri menyebabkan saya terjatuh dan sempat
menjerit meminta tolong, namun tiada siapa membantu.
“Seekor
lagi anjing naik ke atas badan manakala seekor lagi berada di kepala
mengawasi pergerakan saya. Nasib baik kejadian dilihat seorang pelanggan
kedai makan berdekatan yang datang membantu,” katanya ditemui di sini,
semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Nor Azila Osman, 29, berkata, Muhammad
Nabil sudah seminggu tidak bermain bola di padang berkenaan kerana
kakinya belum sembuh akibat cedera terpijak kaca ketika bermain bola di
padang sama. “Dia tidak boleh berjalan sempurna dan hari ini
(semalam) sepatutnya jahitan luka kakinya dibuka, tetapi kelmarin kena
tambah jahitan lagi di kaki kiri.
“Kejadian penduduk digigit
anjing liar kerap berlaku di perumahan ini. Februari lalu, budak
perempuan sekolah rendah berdekatan menerima nasib sama digigit anjing
ketika pulang sekolah.
“Saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera mengatasi masalah itu,” katanya.
Komputer murah perisian haram
Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
RAMPAS...Othman menunjukkan perisian cetak rompak dan komputer riba yang dirampas dalam serbuan pada 21 Mac lalu.
SHAH ALAM: Pembeli dinasihatkan tidak tertipu dengan komputer riba
baru ditawarkan dengan harga murah kerana berkemungkinan tinggi
menggunakan perisian cetak rompak.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Othman Nawang berkata,
harga yang ditawarkan premis agak murah berbanding perisian tulen, namun
hakikatnya pembeli tertipu kerana ia tidak berkualiti.
Menurutnya, pada tahun lalu 180 serbuan dijalankan membabitkan perisian
cetak rompak dengan nilai keseluruhannya RM1.82 juta, manakala
berdasarkan rekod sehingga Mac lalu, sebanyak 62 serbuan dijalankan dan
angka itu dijangka meningkat berbanding tahun lalu.
Terbaru, katanya, pada 21 Mac lalu satu serbuan di premis
perniagaan komputer di Puchong membongkar kegiatan premis yang menjual
komputer riba dengan perisian cetak rompak.
“Dalam serbuan
itu KPDNKK mendapati tiga komputer riba mengandungi tujuh salinan
langgaran di dalamnya dan semuanya dianggarkan bernilai RM24,000.
“Kegiatan itu terbongkar apabila kakitangan Busines Software Alliance
(BSA) mengesan aktiviti berkenaan ketika pekerja kilang mengemas kini
perisian melalui Internet sebelum dimaklumkan kepada kami.
“Walaupun berdepan tindakan dikenakan penalti antara RM2,000 dan
RM20,000 bagi setiap salinan langgaran dan boleh dipenjara, namun masih
banyak syarikat di Malaysia terutama dalam bidang pembuatan dan
perkhidmatan profesional menggunakan perisian cetak rompak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Menara MRCB, di sini semalam.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987 dan boleh didenda
antara RM2,000 dan RM20,000 bagi setiap salinan langgaran perisian
serta penjara sehingga lima tahun.
Beliau berharap pembeli
yang ingin membeli komputer riba baru tidak tertipu berikutan perisian
cetak rompak menjejaskan industri perisian.
Askar jemput adik temui ajal
ALOR GAJAH: Majlis kenduri kesyukuran sebuah keluarga di kampung
Padang Sebang, dekat sini, bertukar kenduri arwah apabila seorang ahli
keluarga mereka maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Nangka, Padang
Sebang, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Mangsa, Azzuwan Rusli, 26, anggota tentera yang bertugas di Kem
Sungai Buluh, Selangor, tiba di rumah neneknya, di sini, 12 tengah hari
Jumaat lalu dan terbabit kemalangan ketika keluar bersama seorang rakan
untuk menjemput adiknya yang tiba dari Ipoh, Perak di bandar Melaka.
Azzuwan pulang ke rumah neneknya di kampung Padang Sebang, Jamaliah Bador, 80, untuk menghadiri kenduri kesyukuran, kelmarin.
Isterinya, Asnurul Ain, 24, berkata, suaminya keluar bersama seorang
rakan untuk menjemput adik yang tiba dari Ipoh dan lima minit kemudian,
dia dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimpa suaminya oleh
seorang saudara.
“Kami bergegas ke tempat kejadian dan
melihat suami sudah nazak sebelum meninggal dunia tidak lama kemudian.
Walaupun sedih, saya reda dan menganggapnya suratan takdir,” katanya
yang mempunyai seorang anak, Muhammad Haziq Darwish yang berusia
sembilan bulan ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam
kejadian jam 1.30 pagi kelmarin di Jalan Bukit Nangka, Padang Sebang,
dekat sini, Azzuwan maut di tempat kejadian akibat parah anggota badan
apabila Perodua Kancil dipandu rakannya, Shahrul Anuar Sebetu, 20,
merempuh lori simen yang diletakkan di kiri jalan.
Kemalangan turut mengakibatkan Shahrul Anuar bersama adik arwah, Azlan, 21, yang duduk di belakang, parah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali
Saifuddin Shaharuddin berkata, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan ke
Bandar Melaka.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Shahrul Anuar
tiba-tiba hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum merempuh
lori simen yang diletakkan di kiri jalan dan berpusing ke arah
bertentangan.
“Ketiga-tiga mangsa tersepit sebelum
dikeluarkan anggota penyelamat. Mangsa disahkan meninggal dunia di
tempat kejadian akibat parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital
Melaka (HM),” katanya.
Menurutnya, adik mangsa bersama
rakannya yang parah dihantar ke HM untuk rawatan lanjut dan kes disiasat
mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987.
Pesan jaga anak
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
AMPANG: Seorang lelaki warga Bangladesh sempat berpesan kepada
rakannya menjaga isteri dan anaknya yang berusia lima bulan sebelum
menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala
Lumpur (HKL) selepas ditembak individu tidak dikenali di depan pintu
hostel penginapannya, semalam.
Mangsa, Liton Gazi, 32, penyelia sebuah kelab rekreasi di Taman
Melawati, di sini, ditemui terbaring berlumuran darah di depan pintu
hostel di bahagian bawah bangunan kelab berkenaan berhampiran tempat
letak kenderaan.
Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa
sempat meminta air dan berpesan kepada rakan yang menemuinya, jam 7.15
pagi supaya menjaga keluarganya yang ditinggalkan di Bangladesh.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin
berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8 pagi daripada pengurusan
kelab itu mengenai satu kejadian tembakan membabitkan lelaki warga
Bangladesh.
“Berikutan itu, sepasukan polis bersama unit forensik dikejarkan ke
tempat kejadian dan hasil siasatan di tempat kejadian menemui mangsa
parah dipercayai ditembak sebaik keluar biliknya di bahagian bawah
bangunan bersebelahan tempat letak kenderaan.
“Mangsa yang
terkena tembakan dipercayai masih hidup dan dibawa ke HKL. Mangsa yang
hanya berkain pelekat tanpa baju dipercayai terkena satu das tembakan di
belakang rusuk kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian,
semalam.
Mangsa yang sudah lima tahun bekerja di kelab itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HKL.
Amiruddin berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, tidak
menemui senjata atau kelongsong peluru, namun masih meneliti barangan
peribadi mangsa bagi membantu siasatan kes itu.
Menurutnya,
pihaknya juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca
sebenar kejadian termasuk suspek sama ada dilakukan individu atau
penyerang berkumpulan.
Katanya, polis sudah merakam keterangan rakan mangsa dan pengurusan
kelab yang menemui mangsa selain meneliti rakaman kamera litar tertutup
(CCTV) bagi mengesan suspek.
Justeru, beliau meminta saksi
awam atau orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya atau balai berhampiran bagi membantu
siasatan.
“Setakat ini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Nur Fatihah tidak dinoda
Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my
PEKAN: Tindakan tegas akan dikenakan kepada remaja, Siti Nur Fatihah
Mahadi, 15, yang membuat laporan polis dirinya dirogol sedangkan
pemeriksaan mendapati tiada kesan diperlakukan demikian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata,
pemeriksaan doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan,
mendapati tiada kesan boleh mengaitkan remaja berkenaan dirogol.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada kesan koyak atau cedera
pada kemaluan remaja terbabit yang sebelum ini dilaporkan hilang.
Katanya, pihaknya tidak pasti tujuan utama remaja itu membuat
laporan polis dia dirogol teman lelakinya tiga hari lalu sedangkan
kejadian itu tidak berlaku.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti tujuan
sebenar remaja itu berbuat demikian selepas dia dikesan berada di rumah
teman lelakinya yang berusia 26 tahun di Kampung Merchong, dekat sini.
YB panik pisau di leher
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
TANJUNG MALIM: “Saya panik apabila seorang suspek mengacukan pisau ke
leher saya dan memberi amaran supaya tidak bising,” kata Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Slim River, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang
berdepan saat mencemaskan selepas kediamannya disamun sekumpulan
penyamun bertopeng bersenjatakan pisau, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 pagi di Taman Wang Setia itu, rumah teres dua
tingkat didiami Mohd Khusairi bersama isteri dan empat anaknya dimasuki
tiga lelaki bertopeng yang mengikat mereka.
Kejadian menyebabkan Mohd Khusairi sekeluarga kerugian kira-kira
RM40,000 apabila beberapa barangan berharga termasuk barang kemas, wang
tunai, telefon bimbit, komputer riba, iPad dan pasport antarabangsa
miliknya dilarikan.
Mohd Khusairi yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak dan
Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim berkata, ketika kejadian dia
sekeluarga tidur apabila dikejutkan dengan bunyi bising sebelum keluar
memeriksa dan mendapati tiga lelaki berada dalam biliknya.
“Seorang suspek mengacukan pisau pada leher saya sebelum mengikat
saya dan isteri. Seorang lagi ke bilik anak lelaki saya di sebelah dan
mengikatnya pada tiang katil.
Lepas dera, rogol pula
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 40-an yang baru keluar dari
penjara dua bulan lalu atas kesalahan mendera anak tirinya, ditahan
polis kerana dipercayai merogol seorang lagi anak tirinya berusia 12
tahun di rumahnya di Kampung Baru, Sungai Pasir, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Hashim Ali
berkata, lelaki terbabit ditahan jam 5 petang oleh sepasukan anggota
polis selepas menerima laporan mengenai suspek merogol anak tirinya.
Katanya, suspek yang baru dibebaskan dari penjara Januari lalu, kini di tahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.
“Suspek pernah ditahan polis kerana mendera anak tirinya berusia 10
tahun dengan menjerutnya menggunakan tali gasing, Ogos tahun lalu.
“Akibat perbuatan itu, suspek dihukum penjara dua bulan, namun sebaik
keluar dari penjara suspek bertindak ganas dengan merogol anak tirinya
berusia 12 tahun (kakak kepada mangsa jerut),” katanya.
Ibu bapa bukan lagi figura untuk anak
Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
IBU mana yang tidak risau apabila anak gadisnya tiba-tiba hilang
apatah lagi kes penculikan kerap dilaporkan media kebelakangan ini.
Khuatir keselamatan anaknya, si ibu membuat laporan polis namun anak
yang disangka hilang rupa-rupanya lari dari rumah dan tinggal di rumah
teman lelaki.
Itulah sandiwara seorang gadis di Kuantan, Pahang beberapa hari lalu
yang menyebabkan ibunya tidak senang duduk. Walaupun malu, dia tetap
bersedia memaafkan anaknya. Sayang kepada anak mengatasi
segala-galanya. Ibu itu lega apabila mendapati zuriat yang dikandungnya
selama sembilan bulan itu masih selamat sedangkan rasa malu akibat
perbuatan tidak matang anak gadisnya itu amat berat dan tidak
tertanggung. Penulis berasa syukur dengan kematangan ibu bapa anak
gadis ini yang sanggup mengambil tanggungjawab menelan kesilapan si anak
dan tidak memperbesar-besarkan kejadian itu. Pada masa sama, penulis
amat berharap peristiwa si gadis itu menjadi bahan berita utama di
seluruh negara yang menyangka dia diculik oleh orang tidak dikenali
sebagai suatu pengajaran pahit yang mematangkan diri.
Apa jua
masalah yang dihadapi perlulah diselesaikan dengan cara baik dan bijak.
Menyelesaikan masalah dengan mencipta masalah lain hanya akan
memburukkan keadaan. Menarik perhatian semua orang, kisah kanak-kanak
hilang berlaku berturut-turut sepanjang bulan ini. Paling tragis
membabitkan Dirang, kanak-kanak berusia lima tahun di Johor yang
diculik sebelum ditemui mati rentung berhampiran kediamannya.
Kejadian malang seperti ini pasti menghantui pemikiran setiap ibu
bapa yang pada hakikatnya tidak mampu mengawasi anak-anak mereka pada
setiap masa. Di sinilah pentingnya peranan dan fungsi masyarakat
sekeliling. Mulai hari ini, setiap orang khasnya ketua keluarga
bertanya kepada diri masing-masing, “Adakah aku seorang pelindung yang
baik buat ahli keluargaku?” Peranan sebagai pelindung bukanlah
bermakna seseorang ibu atau bapa perlu menjaga dan berdamping dengan
anak-anak sepanjang masa. Malah amatlah tidak munasabah kerana mereka
perlu keluar bekerja dan menguruskan hal-hal lain di luar rumah. Di
sinilah kita harus akur dengan fitrah kehidupan iaitu membina hubungan
dan kebergantungan sesama manusia iaitu hidup bermasyarakat. Malangnya
masyarakat masa kini dibentuk oleh individu yang bersikap menyendiri dan
individualistik. Masing-masing berusaha membina tembok kehidupan dan
bergerak dengan kenderaan yang makin pantas serta cermin kian gelap.
Wajah pula makin serius dan hanya tersenyum dalam majlis rasmi sesama
kenalan rapat. Sudahnya, budaya bertanya khabar dalam kalangan jiran
hanya berlaku setakat anggukan kepala dan angkat tangan. Anak-anak
kita membesar dan terperangkap dalam budaya individualistik ini. Mereka
terperap dalam kehidupan yang amat terbatas di rumah sendiri. Ibu dan
bapa yang sentiasa sibuk dengan kerjaya semakin hilang masa berkualiti.
Jika sewaktu kecil anak-anak sentiasa ditimang dan dikelek, kini
anak-anak yang meningkat remaja hanya dibelai dengan pandangan mata.
Sedangkan hakikatnya anak-anak ini tetap memiliki jiwa dan emosi yang
sentiasa mahu diambil perhatian seperti dulu. Usia yang bertambah tidak
selari dengan darjah perhubungan dan pemahaman ibu bapa. Terdapat ibu
bapa yang gagal menangani perubahan sosial anak-anak dengan cara yang
matang. Sering berlaku pertembungan antara kehendak anak- anak dengan
pemahaman dan kesediaan ibu bapa. Hal sedemikian lebih menyukarkan
kepada anak- anak yang berada dalam situasi ibu atau ayah terpaksa
terpisah lokasi akibat tuntutan tugas dan kerjaya.
Kajian
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati
antara punca utama terjadinya masalah di kalangan remaja di rumah ialah
disebabkan wujud masalah hubungan antara anak dan ayah. Kebanyakan ayah
hilang watak dan figuranya di mata anak-anak. Seorang ayah sepatutnya
semakin matang, tegas dan penyayang serta memahami kehendak
anak-anaknya. Seiring dengan pertambahan usia si anak, seorang ayah
perlu meningkatkan penguasaan ilmu, penghayatan agama dan kewibawaan.
Sebagai seorang Muslim, seorang ayah perlulah mampu mengimamkan solat
dan bijak menegur perlakuan anak dengan penuh kasih sayang tanpa
menjatuhkan air muka si anak yang kini meningkat remaja.
Setiap keputusan yang diberikan perlu adil dan ada asas kukuh. Seorang
bapa jangan membuat keputusan atas kepercayaan dirinya berkuasa sebagai
seorang bapa. Harus diingat anak-anak zaman ini amat peka dengan suasana
sekeliling. Mereka tahu kriteria seorang ibu dan bapa yang baik atau
buruk kerana maklumat ini terpapar secara meluas dalam setiap drama dan
naskhah bacaan. Malah seorang anak sentiasa membuat perbandingan
mengenai sikap, pemikiran dan perlakuan ibu bapanya dengan orang lain.
Justeru, penting bagi kita untuk menjadi ibu bapa yang terbaik di mata
anak-anak.
Sekiranya kita gagal menjadi ibu bapa yang mampu bersifat terbaik,
ditakuti anak-anak ini akan beralih kepada watak lain yang bernilai
baik buat mereka. Watak asing ini mencelah di sebalik kegagalan watak
ibu dan bapa di kalangan anak-anak. Bagi remaja perempuan, memang tidak
dapat dielakkan sebahagian besarnya beralih pergantungan jiwa dan rasa
kepada teman lelaki masing -masing. Penulis faham tentunya hakikat ini
amat pahit untuk ditelan dan amat ngeri untuk dihayati. Namun inilah
natijahnya apabila ayah atau ibu hilang ciri-ciri romantis, sabar
mendengar dan penuh perhatian. Lebih menakutkan, rasa kosong dan
lompang yang wujud dalam setiap hati nurani anak-anak ini secara tidak
disedari dapat dihidu kasanova yang kadangkala menyamar sebagai lelaki
budiman sewaktu berhubung dengan anak-anak gadis kita di laman sosial
seperti facebook atau twitter. Akhirnya jiwa dan raga anak-anak gadis
kita terbuai dek fantasi palsu yang diciptakan kasanova dan lelaki jahat
yang sentiasa rakus mengintai peluang. Penulis melihat masalah yang
berlaku sekarang kerana ramai ibu bapa hilang upaya sebagai seorang
pelindung yang baik. Ramai ibu bapa yang melaksanakan tugas menjaga
anak-anak hanya kerana mereka ditakdirkan memiliki anak. Malah terdapat
ibu bapa yang menganggap anak-anak sebagai beban kepada mereka. Adalah
tidak adil bagi kita untuk menjadikan alasan tekanan hidup sebagai
punca untuk kita mengabaikan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak.
Setiap ibu bapa perlu memandang ke hadapan dan merancang dengan rapi
kehidupan walaupun hidup diulit kesusahan. Sekiranya rakyat asing
mampu bekerja dan menyara anak-anak yang ditinggalkan di negara
masing-masing, mengapa pula ada warga negara sendiri yang memberikan
alasan tidak mampu mencari nafkah untuk menyara dan menjaga anak- anak
dengan baik di negara yang makmur ini? Menyediakan persekitaran yang
selesa dan selamat menjadi tugas setiap ibu bapa. Jika persekitaran ini
kita tidak mampu sediakan sendiri, inilah masanya kita perlu melangkah
keluar dari pintu pagar rumah kita dan mengajak rakan-rakan sejiran
membina persekitaran selesa ini bersama-sama. Banyak contoh kejayaan
kumpulan atau pertubuhan kejiranan yang boleh dijadikan ikutan. Semuanya
bermula dengan sikap dan kehendak diri sendiri. Perlu ada seorang
individu atau kumpulan yang berani mengambil tanggungjawab memulakannya
di sekitar tempat tinggal masing-masing. Penulis Presiden MBM
berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM