4 peniaga mangsa curi tong gas
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Lokasi tong gas diletakkan di hadapan premis mangsa di Banggol Kulim.
RANTAU PANJANG – Empat peniaga gas di Banggol Kulim di sini, berdepan
kerugian apabila tong diletakkan di hadapan premis perniagaan
masing-masing dicuri dalam kejadian awal pagi, kelmarin.
Suspek dikatakan mengambil kesempatan ketika mangsa tidur untuk
menjalankan operasi 'mengutip' tong gas di keempat-empat premis
terletak tidak jauh antara satu sama lain.
Sinar Harian difahamkan, kecurian tong di premis perniagaan di sekitar kawasan ini tidak pernah berlaku.
Seorang mangsa dikenali sebagai Kak Yah, 43, berkata, dia hanya
menyedari tong gas diletakkan di hadapan kedainya lesap sebaik hendak
memulakan perniagaan pada pagi berkenaan.
Kak Yah berkata, dia dan keluarga tidur di tingkat atas premis
perniagaannya dan langsung tidak menyedari kehadiran pencuri berkenaan.
Menurutnya, dia tidak menyangka pencuri berani mengambil tong gas itu walau lampu di hadapan kedainya dipasang.
“Pada hari kejadian, keadaan di hadapan kedai cerah memandangkan lampu
terpasang. Kesemua tong yang diletakkan di hadapan kedai pula dirantai
dan dikunci,” katanya tengah hari semalam.
Menurutnya, sebelum ini bateri lori serta peralatan lain miliknya kerap dicuri.
“Kes curi di sini bukan yang pertama kalinya, sudah terlalu kerap
barangan saya dicuri. Kecurian melibatkan tong gas pula baru pertama
kali berlaku,” katanya.
Sementara itu, jiran enggan dikenali berkata, sekitar jam 2 pagi dia
terdengar bunyi bising seperti orang sedang mengheret tong gas.
Menurutnya, dia yang berada di tingkat atas rumah berkenaan kemudiannya
memaklumkan kepada isterinya sebelum menjenguk melalui tingkap.
“Sebaik keluar, saya lihat sebuah kereta bergerak meninggalkan
pekarangan kedai. Keesokan pagi jiran memberitahu tong gas diletakkan di
hadapan kedainya hilang,” katanya.
Dia berkata, kejadian begitu pantas dan tidak sempat mengecam jenis kereta dan nombor pendaftarannya.
Masalah kiblat 'tersasar' selesai
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Hassan menunjukkan
ruang solat di madrasah lama yang sempit selepas pembetulan arah kiblat
dibuat di Kampung Mial, Kuala Krai, semalam.
Madrasah Kampung Mial, Kuala Krai, yang dibina pada 1968 bakal diruntuhkan bagi pembinaan madrasah baru, bermula semalam.
Azizzuddin
(belakang, tengah) dan Nor Yakin (duduk, dua kiri) melihat kerja
penentuan arah kiblat untuk madrasah baru di Kampung Mial, Kuala Krai,
semalam.
KUALA KRAI - Pada 1968, Imam Masjid Kuala Pertang ketika itu, Ismail
Mat Saman mengasaskan Madrasah Kampung Mial, dekat sini, bagi memenuhi
keperluan penduduk beribadah.
Inisiatif itu sekali gus menyelesaikan masalah penduduk terpaksa
melalui jalan ladang tidak berturap dan laluan tanah merah untuk ke
Masjid Kuala Pertang kerana kemudahan jalan sempurna belum ada.
Biarpun masih perlu ke masjid mukim untuk solat Jumaat, penduduk dapat
menggunakan madrasah itu untuk solat sunat hari raya, solat Tarawih
serta aktiviti agama seperti sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul.
Namun, selepas bertahun-tahun digunakan di samping kaedah penentuan
kiblat makin canggih, penduduk diselubungi resah apabila arah kiblat
surau itu didapati ‘tersasar’.
Ruang solat jadi sempit
JEMAAH madrasah itu, Hassan Deris, 64, berkata, apabila saf solat
diperbetulkan mengikut arah kiblat sebenar, ruang sembahyang di madrasah
itu jadi makin sempit dan tidak dapat menampung ramai orang.
“Bilangan saf juga bertambah kerana satu saf hanya dapat muat beberapa
orang sahaja dan bila solat sunat hari raya, jemaah melimpah sampai ke
luar pagar surau,” katanya.
Hassan berkata, madrasah itu sentiasa dapat sambutan penduduk setempat
apabila kira-kira 20 orang termasuk wanita datang solat berjemaah pada
hari biasa terutama ketika Maghrib dan Isyak.
“Solat berjemaah di surau ini tidak pernah terputus. Bukan sahaja
malam, malahan kalau siang hari pun ada (solat berjemaah) kerana ada
penduduk yang tidak bekerja,” katanya.
Dinaiki air bila banjir
SELAIN masalah arah kiblat, Hassan berkata, surau terbabit juga dinaiki
air setiap kali musim banjir malah pernah hampir tenggelam ketika
bencana alam itu pada 2000.
Justeru katanya, dia amat bersyukur apabila Penyelaras Dewan Undangan
Negeri (Dun) Mengkebang, Azizzuddin Hussein meluluskan peruntukan bagi
membina surau baru menggantikan madrasah berkenaan.
“Pada tahun 90-an, Datuk Wan Zaid (bekas Ketua Umno Bahagian Kuala
Krai) pernah hulur bantuan untuk membesarkan surau ini dan seingat saya
sehingga sekarang, sudah empat imam bertugas di sini.
“Dengan adanya surau baru nanti, masalah arah kiblat serta banjir dapat
diatasi kerana penentuan kiblat dibuat dulu dan bangunan baru juga
dibina lebih tinggi,” katanya.
Peruntukan amal jariah
SEBAGAI tanda bermulanya kerja pembinaan madrasah baru itu, semalam,
penentuan arah kiblat dilakukan Imam Tua Masjid Mukim Kuala Pertang,
Mohd Zin Deraman di tapak projek itu.
Hadir sama, Azizzuddin; Bendahari Umno Dun Mengkebang, Nor Yakin Che
Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan,
Mhd Hatta Mahmud dan Ketua UMNO cawangan Pertang Barat, Adnan Mat Yasin.
Azizzuddin berkata, projek dijangka siap dalam tempoh tiga bulan itu
dilaksanakan di bawah program amal jariah naik taraf madrasah dan masjid
hasil usaha beliau selaku Penyelaras Dun Mengkebang.
Bagi mengatasi masalah madrasah lama sering dinaiki air pula katanya,
tiang bangunan madrasah baru itu dibina setinggi 2.4 meter dari
permukaan tanah.
“Di luar musim banjir, bahagian bawah madrasah baru nanti boleh
digunakan untuk aktiviti keagamaan seperti kelas mengaji al-Quran dan
Fardu Ain,” katanya.
Masih terima permohonan
Sementara itu, Azizzuddin berkata, masih ada permohonan diterimanya
daripada jawatan kuasa madrasah dan masjid seluruh Parlimen Kuala Krai
dalam pertimbangan dan perbincangan dengan penderma untuk kelulusan.
Selaku Penyelaras Dun katanya, beliau berusaha mencari peruntukan
daripada pelbagai sumber termasuk Kerajaan Persekutuan; agensi kerajaan
dan derma rakan korporat bagi membantu rakyat.
“Terima kasih kepada penderma termasuk institusi perbankan dan rakan korporat untuk projek amal jariah ini,” katanya.
Polis Kelantan yakin dapat berkas suspek tetak warga emas
3 Oktober 2012
KOTA BAHRU - Polis Kelantan yakin dapat memberkas tiga pencuri kabel
yang menetak seorang warga emas dengan senjata tajam dalam kejadian di
Kampung Slow Teliar, Tumpat, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis sedang
menyiapkan lakaran fotofit ketiga-tiga suspek itu dan yakin identiti
mereka akan dikenal pasti tidak lama lagi.
"Polis akan cuba dapatkan maklumat daripada orang tempatan kerana kita
percaya bahawa penjenayah itu adalah orang tempatan," katanya kepada
pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, Abdul Kadir Talib, 61, cedera ditetak di lengan
kiri selepas menyergah tiga lelaki yang cuba mencuri kabel telefon di
kampung tersebut.
Akibat tetakan itu, Abdul Kadir menerima tujuh jahitan.
Mazlan berkata pihaknya bercadang untuk memberi penghargaan kepada
Abdul Kadir yang juga seorang pengawal keselamatan atas tindakan
beraninya itu.
"Kita minta orang ramai yang ada maklumat memberikan kerjasama dan
menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis," katanya.- Bernama
Impian penoreh getah miliki rumah sendiri tercapai
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Abdul Latiff (tiga
kiri) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan Rumah
Dhuafat kepada Redzuan di Kampung Bukit Sireh, dekat Kuala Krai.
KUALA KRAI - Kesukaran hidup di rumah sewa dilalui keluarga seorang
penoreh getah, di sini, sejak sekian lama berakhir apabila impian mereka
untuk memiliki rumah sendiri tercapai.
Menerusi Skim Bantuan Rumah Dhuafat di bawah Kerajaan Negeri, keluarga
itu sekarang tinggal di kediaman baharu yang lebih selesa di Kampung
Bukit Sireh, dekat sini, sejak seminggu lalu.
Ketua keluarga terbabit, Redzuan Che Hassan, 30, melahirkan rasa syukur
dan gembira kerana permohonannya untuk mendapatkan rumah di bawah skim
bantuan itu, diluluskan pihak terbabit.
Katanya, dengan pendapatan hasil menoreh dan sekali sekala ambil upah
sebagai tukang rumah, dia tidak mampu sediakan rumah sendiri yang lebih
selesa untuk isteri dan tiga anak mereka.
“Kalau nak harapkan saya bina sendiri rumah luas dan selesa seperti
Rumah Dhuafat yang kami dapat ini, mungkin ambil masa bertahun-tahun.
“Sebelum ini, memang saya rancang nak bina rumah sendiri tetapi
terhenti di peringkat bersih tapak (rumah) sahaja sebab tak mampu nak
teruskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Redzuan sebelum itu mengadakan solat hajat sempena majlis ringkas
penyerahan rasmi rumah baharunya disempurnakan Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Hadir sama Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zin,
Penghulu Mukim Bedal, Zamri Hassan dan Ketua Pas cawangan Bukit Sireh,
Rashdi Ibrahim.
Redzuan berkata, dia bersama isteri, Noraini Shafie serta tiga anak
berusia antara dua dan 10 tahun pernah tinggal di rumah sewa di Kampung
Keroh sebelum berpindah dan menyewa di Bukit Sireh sejak empat tahun
lalu.
“Terima kasih kepada semua pihak terutama Kerajaan Negeri juga ustaz
(Abdul Latiff) dan penghulu (Zamri) kerana banyak membantu sehingga saya
dapat miliki rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Abdul Latiff berkata, skim bantuan tersebut
diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2006 bertujuan membantu rakyat
miskin dan susah memiliki rumah sendiri.
Katanya, pemohon bantuan perlu memenuhi dua syarat utama iaitu tidak
memiliki rumah dan ada ramai tanggungan selain bergantung kepada
peruntukan disalurkan Kerajaan Negeri bagi setiap Dewan Undangan Negeri
(Dun).
Pujuk ibu petanda pergi selamanya
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Ahli keluarga arwah menyempurnakan urusan pengkebumian, semalam.
Ibu mangsa, Faridah Mustapa,70.
TENDONG – Seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan
Grik, maut selepas terlibat dalam kemalangan, di kilometer 12.4
Lebuhraya Timur Barat, Jeli, jam 8 pagi, semalam.
Ketua Polis Jeli, Sheik Azhar Sheik Omar berkata, mangsa, Azli Osman,
43, memandu kereta Vios berseorangan dari arah Jeli ke Grik, melanggar
sebuah lori 10 tan dari arah bertentangan.
Pertembungan ini katanya, menyebabkan mangsa tersepit di dalam kereta dan maut di tempat kejadian.
“Mayatnya dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan hasil mendapati, mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan.
“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah
untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41
(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Minta ibu teman isteri, anak
Ibu mangsa, Faridah Mustapa, 70, berkata, dia yang tinggal di Kampung
Bako, Machang, tidak menyangka perubahan sikap arwah, membawa kepada
petanda akan pergi buat selamanya.
Menurutnya, anak ketiga daripada lapan beradik ini, mengambil dan
memintanya untuk tinggal bersama isteri dan tiga cucu, selama beberapa
hari.
“Tidak sangka pula, saya akan menguruskan majlis pengkebumian dan tahlil selama seminggu, di sini,” katanya.
Tunai solat Taubat
Faridah berkata, sehari sebelum kejadian, arwah Azli bertanya mengenai solat Hajat dan solat Taubat.
“Saya beritahunya, lebih baik menunaikan solat Hajat terlebih dahulu, kemudian menunaikan solat Taubat.
“Mohon kepada tuhan, agar diselamatkan dunia dan akhirat serta dilindungi daripada sebarang penyakit,” katanya.
Tidak cukup dengan itu katanya, arwah tidak lekang daripada sejadah dan memohon keampunan selama berjam-jam.
Katanya, arwah turut menangis ketika menunaikan solat Subuh, iaitu sebelum berangkat ke tempat kerja di Grik.
Komited dengan kerja
Abang sulung, Mohd Zulkifli Osman, 49, berkata, arwah yang bercuti
daripada kerja selama seminggu, berkeras mahu meneruskan kerja dan
bertolak ke Grik, meskipun masih tidak sihat.
“Jika kita larang, kita pula yang akan dimarahinya, kerana arwah sememangnya seorang yang komited dengan kerja.
“Seolah-olah dia sudah mengetahui dia akan pergi lebih dahulu daripada kami,” katanya, selepas majlis pengkebumian.
Pengarah JPJ ucap takziah
Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Che Kasim mengucapkan takziah kepada
keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar dengan ketentuan ini.
“Sebelum ini, arwah Azli pernah berkhidmat di JPJ Kota Bharu selama
beberapa tahun dan berpindah ke Grik, di atas kenaikan pangkat.
“Beliau merupakan seorang kakitangan yang berkaliber dan pemergiannya
merupakan satu kehilangan besar kepada jabatan,” katanya, semalam.
Kakitangan JPJ dari Grik dan Kota Bharu turut hadir ke rumah keluarga arwah, bagi menunaikan solat jenazah.
Minta maaf dengan isteri sebelum kemalangan
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Mangsa maut di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan. Gambar kecil : Ampandi.
Motosikal mangsa rosak teruk akibat dilanggar dan diseret kereta pada kejadian tersebut.
MACHANG - Seorang pemandu bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan
(SKMK), Ampandi Ismail, 46, maut dalam kemalangan jalan raya berdekatan
Simpang Jalan Lama Kemuning, di sini, semalam.
Pada kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa dalam perjalanan ke
tempat kerja, dikatakan maut dilanggar dua kenderaan ketika cuba
membelok ke simpang jalan itu.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot
berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai Ke Kota Bharu
dipercayai cuba membelok ke simpang Jalan Kemuning Lama sebelum
dilanggar.
Katanya, pada rempuhan pertama, mangsa dipercayai terjatuh di atas
jalan sebelum dilanggar sebuah kereta lain ketika cuba bangun.
“Mangsa maut di tempat kejadian, di Kilometer 43, Jalan Kota Bharu
-Kuala Krai akibat kecederaan parah di seluruh badan, dan dibawa ke
Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga serta di
bawa pulang ke Kampung Jakar, Temangan.
Che Malek berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian
tersebut, diminta tampil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, isteri mangsa, Rugayah Che Noh, 37 berkata, suaminya
keluar agak lewat ke tempat kerja pagi tadi (semalam) namun, masih
sempat berpatah balik ke rumah dan meminta maaf daripadanya.
“Katanya, dia bimbang jika sesuatu terjadi kepadanya, dan tidak sempat
bermaafan. Sejak kebelakangan ini, dia juga melayan saya dan anak-anak
dengan baik, lebih daripada biasa.
“Saya mengetahui mengenai kejadian ini kira-kira jam 7 pagi selepas
dimaklumkan penduduk kampung,” katanya yang mempunyai dua anak yang
masih belajar.
Remaja cedera bergelut dengan peragut
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Kuan Siang menunjukkan bahagian lengannya yang turut cedera.
Keadaan Kuan Siang yang cedera selepas pergelutan itu.
KUANTAN – Kegembiraan lima sahabat menyambut Pesta Tanglung bertukar
tragedi apabila salah seorang daripada mereka menerima lima jahitan di
bahagian kening selepas bergelut dengan peragut dalam kejadian di Indera
Mahkota 2, di sini, kira-kira jam 12.30 pagi, Isnin lalu.
Mangsa, Tan Kuan Siang, 18, berkata, ketika itu, dia bersama empat lagi
rakannya duduk di bahagian tepi rumah salah seorang rakan untuk bermain
tanglung.
“Sedang asyik kami bermain tanglung, tiba-tiba datang dua orang lelaki
menaiki motosikal dan meminta kami memberikan minuman keras.
“Kami tidak melayan permintaannya kerana kami hanya mahu meraikan pesta
tanglung, bukannya berhibur di tepi jalan,” katanya ketika ditemui
petang semalam.
Tambahnya, tiga daripada rakannya bertindak meninggalkan tempat itu
kerana bimbang lelaki berkenaan mengganggu dua rakan perempuan mereka.
“Sebaik mereka meninggalkan tempat itu, datang seorang lelaki berjalan
kaki ke arah saya dan seorang lagi rakan. Dia kemudiannya bertindak
meragut dompet serta telefon bimbit yang berada di genggaman saya.
“Tidak puas hati dengan tindakan itu, saya mengejarnya dengan motosikal
sementara seorang lagi rakan saya mengekori dari belakang,” katanya.
Kuan Siang berkata, ketika itu berlaku pergelutan antara dia dan
peragut itu menyebabkan dia terjatuh dari motosikalnya dan mengalami
kecederaan di bahagian kening, tangan dan kaki.
“Ketika itu, saya tidak fikir tentang keselamatan diri. Saya hanya mahu mendapatkan dompet serta telefon bimbit saya.
“Saya juga tidak sedar peragut itu memiliki parang kerana cermin mata
saya sudah rosak akibat pergelutan itu. Rakan saya yang memberitahu
peragut itu memiliki senjata,” katanya.
Menurutnya, tiga lagi rakannya datang semula ke tempat kejadian dan
cuba menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan, namun gagal.
“Saya terpaksa melepaskan peragut itu setelah diugut oleh dua rakannya
yang menaiki motosikal. Bimbang keselamatan kami, saya membuat laporan
polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 4.06
pagi,” katanya.
Empat lagi rakan sebaya yang terlibat ialah Lai Yong Sheng, Chow On Wah, Low Huey Lin, dan Sharen Chang Zhisun.
Turut hadir melawat keadaan mangsa semalam, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang.
Anggota polis maut, dua cedera
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Anggota polis wanita yang menerima rawatan sebagai pesakit luar sedang ditenteramkan rakan setugas.
BENTONG – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut dalam
kemalangan di Jalan Lebu-Mempaga berhampiran Kampung Lebu kira-kira jam
9.45 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata,
mangsa, Wan Abdul Aziz Wan Nik,51, bersama dua lagi anggota menaiki
kereta jenis Wira dalam perjalanan ke Penjara Bentong.
Abdul Aziz berkata, setibanya di tempat kejadian kereta yang dipandu
mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan kemudian masuk ke
bawah tebing jalan.
“Ketiga-tiga anggota itu kemudiannya di bawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.
“Namun begitu, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15
tengahari akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya
kepada Sinar Harian.
Abdul Aziz berkata, manakala dua lagi anggota termasuk seorang angngota
wanita masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.
Menurutnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital
Bentong sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian di Paka,
Terengganu.
Keselamatan terancam, kecurian menjadi-jadi
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Poh Ling (kanan) menunjukkan mangga kedainya yang telah dipotong oleh pencuri kepada Kai Cheong dan Subramaniam.
KUANTAN – Penduduk Taman Tas dilanda kebimbangan dan merasakan
keselamatan harta benda serta nyawa terancam kerana sejak kebelakangan
ini hampir setiap malam berlaku kecurian di kawasan itu.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan sekumpulan
remaja yang sering melepak dan menghabiskan masa di kawasan padang taman
berkenaan.
Setiap malam seramai 20 hingga 30 remaja bukan sahaja berkumpul di
kawasan lapang berkenaan, bahkan membuat bising dan lebih memburukkan
keadaan turut mengambil barangan terlarang seperti menghidu gam serta
minum arak.
Saban hari ada sahaja kejadian curi berlaku termasuk pecah masuk kedai
runcit, pecah masuk kereta untuk mencuri bateri dan barangan berharga
dan mencuri kenderaan serta barangan berharga penduduk.
Kedai di pecah masuk
Seorang peniaga, Lee Poh Ling, 56, berkata, seminggu lalu kedai runcitnya telah di pecah masuk dan kerugian kira-kira RM4,000.
“Saya hanya menyedari kedai telah di ceroboh pada waktu pagi iaitu
sewaktu ingin membuka kedai tetapi kelihatan pintu telah terbuka.
Setelah diperiksa, mangga telah dipotong dan saya dapati mesin membuat
kunci serta beberapa lagi barangan sudah lesap.
“Pada malam yang sama bukan kedai saya sahaja di ceroboh tetapi
beberapa lagi kedai runcit di sekitar ini telah dipecah masuk,” katanya.
Seorang lagi peniaga, R.Vincent, 35 turut mengalami nasib yang sama dan
dia mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila berpuluh karton rokok
telah dicuri.
“Taktik yang digunakan dengan memotong mangga dan perbuatan dilakukan
di antara jam 1 hingga 5 pagi ketika orang sedang nyenyak tidur. Ini
kejadian kali pertama tetapi kita berasa sangat bimbang kerana setiap
pagi kedengaran kes curi berlaku di sini,” katanya.
Kenderaan juga dikebas
Seorang penduduk, Kuan Lee Sing, 44 berkata, dia terkejut apabila enjin
keretanya gagal dihidupkan dan apabila diperiksa didapati bateri sudah
dikebas.
“Seperti biasa saya keluar awal pagi untuk ke tempat kerja tetapi
semalam enjin tidak hidup dan terus memeriksa keadaan di sekitar enjin
serta didapati tempat bateri sudah kosong. Saya tidak hairan dengan
kejadian ini kerana sebelum ini sudah banyak kereta penduduk yang
menjadi mangsa, bahkan ada cermin yang dipecahkan,” katanya.
Adlina Mahyuddin, 45, pula kehilangan sebuah motosikal dan basikal yang di kawasan rumah.
“Pada waktu malam, memang ramai remaja berkeliaran dan melepak di
kawasan ini, kita percaya kegiatan ini dilakukan mereka. Aduan sudah
dibuat dan rondaan dilakukan tetapi sehingga kini kes curi tidak pernah
berhenti membuatkan penduduk sentiasa bimbang serta tidak selamat,”
katanya.
Curi di siang hari
Salah seorang Anggota Peronda Skim Cegah Jenayah Taman Tas, Liong Sing
Sing, 60 berkata, apa sahaja yang boleh dijual akan menjadi sasaran
pencuri termasuk meter air, pakaian, kenderaan dan banyak lagi.
“Bukan sahaja waktu malam, pada siang hari juga ada remaja yang begitu
berani mencuri bawang di kedai runcit. Apa sahaja akan dicuri mereka,
bahkan saya juga mengalami kerugian bernilai ribuan ringgit apabila
kedai di ceroboh.
“Remaja lelaki dan perempuan berusia 20an ini berkumpul sehingga lewat
pagi dan tidak mengendahkan penduduk yang terganggu dengan mereka,”
katanya.
Salah seorang anggota Rela, M. Subramaniam, 49, berkata, walaupun
rondaan dilakukan di sekitar taman itu ia tidak membawa sebarang
penyelesaian, malah kegiatan remaja berkenaan semakin berleluasa.
“Pernah kita menegur tetapi mereka buat tidak tahu sahaja dan dengan
berani menghidu gam serta mabuk di tempat terbuka. Dalam minggu ini
sahaja sebanyak lapan hingga 10 buah kereta telah dipecah masuk dan ini
tidak lagi dikira kes curi yang lain.
“Bukan itu sahaja, remaja ini turut melakukan vendalisme dengan
memusnhakan harta benda awam termasuk telefon awam dan memusnahkan pagar
yang dibina di padang tempat mereka melepak.
“Kami anggota Rela dan pihak polis ada melakukan rondaan tetapi mereka
licik dan segera melarikan diri apabila ternampak kelibat kami,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Anggota Peronda Skim Cegah Jenayah Taman
berkenaan, Lam Kai Cheong, berkata, dia baru sahaja dilantik sebagai
ketua di kawasan itu memandangkan kes kecurian semakin meningkat.
“Dalam tempoh tiga minggu memang banyak kes curi berlaku dan keadaan ini tidak boleh dihentikan.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah membuat rondaan dan lebih penting ialah kerjasama daripada semua pihak.
“Bagi mengatasi masalah ini, penduduk tanpa mengira kaum dan latar
belakang politik harus bersatu serta membuat rondaan supaya remaja
berkenaan tidak bertindak liar," katanya.
Bekas jaguh angkat berat tanggung derita
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Fahmizan pernah
mengharumkan nama kontinjen Pahang apabila berjaya meraih tiga emas
dalam acara angkat berat pada temasya Sukma 1997.
Fahmizan memangku anak bongsunya, Muhammad Danish Anaqi Ishan semasa dia dirawat di Hospital Muadzam Shah.
KUALA ROMPIN - Pemenang tiga pingat emas dalam acara angkat berat
ketika kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 1997 dimasukkan ke Hospital
Muadzam Shah sejak seminggu lalu kerana disyaki dijangkiti melioidosis
atau kuman tanah.
Fahmizan Husin, 33, ditahan selepas sampel darah dikeluarkan Hospital
Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati bekas atlet angkat berat itu
dijangkiti bakteria tersebut.
Isterinya, Nur Hafizah Rosli, 28, berkata, suaminya disyaki dijangkiti
bakteria itu pada pertengahan Julai lalu selepas mengalami demam
berpanjangan dan sukar tidur.
“Saya hairan kerana suami sukar tidur, kerap mengadu letih pada waktu
siang dan mengalami sakit di bahagian urat sendi,” katanya.
Nur Hafizah berkata, dia kemudiannya menghantar Fahmizan menjalani
pemeriksaan di Klinik Kesihatan Rompin sebelum dipindahkan ke Hospital
Muadzam Shah untuk menerima rawatan susulan pada 17 Ogos lalu.
“Suami dimasukkan ke hospital itu dua hari sebelum hari raya Aidilfitri
untuk mengesan punca penyakit yang dialaminya. Dia ditahan selama dua
minggu.
“Hasil pemeriksaan doktor ketika itu mendapati suami bebas daripada
sebarang penyakit seperti tibi, malaria mahupun denggi dan dibenarkan
pulang selepas beransur pulih,” katanya.
Sakit Fahmizan berulang
Bagaimanapun katanya, setelah tiga atau empat hari di rumah, suaminya
yang menjual ikan di sekitar Bera dan Keratong tidak dapat menjalankan
rutinnya seperti biasa.
“Selepas pulang ke rumah, saya mengesan terdapat perubahan ketara
dialami suami yang mudah letih dan lemah. Dia hanya mampu menjual ikan
dua atau tiga kali sebelum keadaannya bertambah teruk,” katanya.
Nur Hafizah berkata, dia dihubungi petugas Hospital Muadzam Shah yang
meminta suaminya datang pada Jumaat lalu untuk mendapatkan rawatan
susulan.
“Atas sebab-sebab tertentu, suami hanya hadir pada Selasa lalu dan
terpaksa ditahan di wad kerana dia didapati dijangkiti bakteria
tersebut,” katanya.
Dia berkata, suaminya kini bergantung sepenuhnya pada antibiotik selama
empat atau enam minggu untuk mengawal kuman daripada terus merebak.
“Sekiranya suami pulih, dia terpaksa meneruskan pengambilan antibiotik
selama enam bulan atau 24 minggu untuk mengawal jangkitan tersebut,”
katanya.
Malah katanya, doktor turut memberitahu penyakit itu boleh berjangkit
sekiranya berlaku pemindahan darah dalam kuantiti banyak antara pesakit
dan orang awam.
Hilang punca pendapatan
Dalam masa sama, Nur Hafizah berkata, keluarganya kini berdepan masalah
kewangan berikutan mereka hilang punca pendapatan sejak tiga bulan
lalu.
“Duit simpanan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan dapur dan
persekolahan anak-anak. Rumah disewa daripada Pasdec sebanyak RM750
sebulan dan kenderaan pula sudah dua bulan tidak berbayar.
“Saya bukan mahu menagih simpati dan selalu berpesan kepada suami
supaya tidak terlalu memikirkan soal perbelanjaan asalkan dia kembali
sihat. Saya juga terima semuanya sebagai ujian dan reda dengan
ketentuan-Nya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana masih ada rakan-rakan suami
dan keluarga sudi membantu dari segi kewangan dan perbelanjaan dapur.
Bagi menangani kemelut kewangan, dia bercadang berniaga secara
kecil-kecilan dengan menjual char kuey teow dan otak-otak ayam di
hadapan rumah.
“Saya akan berusaha mendapatkan modal awal dan merancang menjual
makanan untuk menambah perbelanjaan kami sekeluarga sementara menunggu
suami kembali sihat,” katanya.
Nur Hafizah juga berharap masyarakat terutama ‘kaki pancing’ diberi pendedahan berhubung penyakit tersebut.
Menurutnya, ia berikutan banyak kes dilaporkan berlaku disebabkan masyarakat tidak tahu untuk menangani kes seperti itu.
Tunggu maklumat penuh
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar
dan Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, beliau perlu
mendapatkan maklumat penuh daripada Jabatan Kesihatan Negeri terlebih
dahulu berhubung penyakit tersebut.
Katanya, orang ramai yang menjalankan aktiviti di kawasan hutan lipur
juga diingatkan supaya membuat pemeriksaan kesihatan sebagai langkah
pencegahan awal sekiranya didapati positif penyakit itu.
“Penyakit ini biasanya menyebabkan pesakit letih dan sengal-sengal
badan. Ia juga mudah menjangkiti pesakit kencing manis serta darah
tinggi.
“Antara kawasan berpotensi seperti kawasan hutan lipur dan tempat perkelahan tercemar dengan longgokan makanan,” katanya.
Pada 10 Julai 2010, kawasan perkelahan Lubuk Yu, Maran pernah diarahkan
ditutup serta-merta selepas tujuh orang meninggal dunia disyaki akibat
jangkitan melioidosis dan leptospirosis (kencing tikus).
Penyakit berpunca daripada bakteria dalam tanah dan air berkenaan juga
dilaporkan turut meragut nyawa seorang lelaki dari Leban Chondong, Jun
lalu.
Mayat hanyut tiga kilometer
NAZIRUL ROSELAN
3 Oktober 2012
Mayat mangsa ditemui marin sejauh tiga kilometer dari tempat kejadian.
JERANTUT - Mayat penoreh getah yang lemas ketika menjala ikan di
kawasan mesin penyedut pasir di Sungai Pahang berhampiran Kampung Paya
Teh, kelmarin, ditemui dalam keadaan terapung di Kampung Jerantut Feri,
di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, mangsa, M
Selvakumar, 21, ditemui polis marin dalam keadaan terapung ketika
mengadakan rondaan.
“Mayat dijumpai pada jam 9.45 pagi semalam iaitu kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Badan mangsa mengalami sedikit kecederaan dipercayai kesan gigitan haiwan dan sudah disahkan keluarganya,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut
untuk bedah siasat dan diserahkan kepada keluarganya untuk urusan
pengebumian.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Selvakumar dari Taman
Wira dan dua rakannya cuba menyeberangi sungai menuju ke sebuah pulau
kecil untuk menjala ikan.
Mangsa dikatakan cuba menyelamatkan rakannya, M Maheswaran, 12, yang hampir lemas sebelum hilang dibawa arus.
“Saya berharap penduduk tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan di
kawasan berhampiran mesin penyedut pasir kerana sangat bahaya,” katanya.
Pemandu teksi hilang sabar
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Sebahagian daripada pemandu teksi yang menyertai mogok, kelmarin.
Mogok selama lima jam itu turut menarik perhatian orang awam yang berada di kawasan pusat beli-belah berhampiran.
KUALA LUMPUR - Lebih 200 pemandu teksi Lembah Klang mogok di hadapan
pusat membeli-belah di Bukit Bintang kelmarin, sebagai tanda protes
terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang disifatkan
menjalankan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi tanpa bertolak ansur.
Tindakan sedemikian dilihat tidak wajar dalam situasi yang disifatkan
mereka kini sukar ‘mencari makan’ dengan kewujudan perkhidmatan bas
percuma Go KL yang menambah ‘seksa’ mereka untuk memperoleh pendapatan.
Protes bermula sejak kira-kira jam 2.30 petang, berlarutan sehingga jam
7.30 malam apabila mereka tidak mahu berganjak selagi tiada pihak
tertinggi SPAD yang turun berjumpa mereka.
Mogok yang berlangsung juga membuatkan 20 anggota polis berkawal dan
terpaksa menutup jalan menuju dari Jalan Raja Chulan ke Bukit Bintang
dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan kesesakan bertambah teruk.
Bagaimanapun, kehadiran wakil SPAD yang kemudiannya bersetuju
mengadakan perbincangan bersama wakil pemandu teksi meredakan keadaan.
Pemandu teksi yang menyertai mogok kemudiannya bersurai secara
berperingkat pada kira-kira jam 7.30 apabila pihak SPAD memberi jaminan
tiada tindakan penguatkuasaan yang akan dibuat pada malam itu selain
berjanji akan membuat perbincangan lanjut bersama wakil mereka.
Banyak isu berbangkit
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang),
Mohamed Asharaf Yasin berkata, rasa tidak puas hati mereka memuncak
dengan kejadian yang berlaku pada malam Ahad lalu apabila terdapat
anggota penguatkuasaan SPAD menjalankan tindakan dengan lagak samseng.
Menurutnya, beberapa perkara lain yang selama ini dihadapi pemandu
teksi khususnya di Bukit Bintang juga membuatkan mereka sudah tidak
tahan lagi dan memilih untuk mogok agar semua isu-isu berkenaan diberi
perhatian serius pihak bertanggungjawab.
“Tidak cukup terpaksa berhadapan dengan ulat teksi Arab, kami terpaksa
berdepan dengan tindakan penguatkuasaan dan sering disaman kerana
menunggu untuk mengambil penumpang.
“Perkhidmatan bas percuma juga tambah menjejaskan pendapatan kami yang sedia terjejas ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Laporan polis turut dibuat Setiausaha persatuan itu, Mohd Jamal Abdul
Nasir Mohd Saad, berhubung insiden yang berlaku pada Ahad lalu.
Memetik daripada laporan polis yang dibuat, Mohd Jamal berkata,
pendekatan yang diambil oleh pegawai SPAD bertugas disifatkan mengguna
kuasa mengikut emosi dengan bertindak secara kasar dan membuat
provokasi.
“Sejak kebelakangan ini pendapatan kami merosot sebanyak 70 peratus
disebabkan bas percuma, aktiviti ulat Arab dan tempatan tidak berlesen
yang langsung tiada tindakan daripada pihak berkaitan walaupun sudah 14
laporan polis dibuat,” katanya.
Spad siasat dakwaan
Sementara itu, Ketua Jabatan Perundangan SPAD, Farizul Hazli Baharom
berkata, dakwaan mengatakan terdapat perilaku biadab pegawai SPAD dalam
melaksanakan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi akan disiasat.
Menurutnya, hasil perbincangan ringkas bersama wakil berkenaan,
pihaknya bersetuju mengambil serius sembilan perkara yang disenaraikan.
Bahkan katanya, perbincangan secara lanjut juga akan dibuat dalam mencapai satu keputusan yang memuaskan hati semua pihak.
“Kami faham mogok yang dibuat bukannya untuk suka-suka, jadi kami akan
mengambil serius semua perkara dibangkitkan. SPAD akan menyiasat dakwaan
berhubung tindakan penguat kuasa SPAD dan jika didapati pegawai tidak
menjalankan tugas dengan tertib seperti didakwa, kita akan ambil
tindakan,” katanya.
Difahamkan, perbincangan lanjut turut dibuat semalam, namun tiada sebarang perkembangan dilaporkan.
Setuju lihat masalah dituntut
Dalam pada itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Ahmad Albar dalam
kenyataan ringkasnya semalam berkata, pihaknya mengadakan pertemuan
bersama kumpulan Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit
Bintang).
Katanya, pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan sembilan perkara yang disenaraikan kumpulan tersebut.
“SPAD bersetuju untuk melihat masalah yang mereka kemukakan. SPAD juga
akan memanggil mesyuarat dengan agensi berkaitan bagi mencari
penyelesaian kepada perkara dibangkitkan persatuan tersebut bagi
mengatasi masalah jangka pendek dan jangka panjang mereka,” katanya.
SPAD akan teliti masalah pemandu teksi di Bukit Bintang
3 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersetuju
meneliti beberapa masalah yang dibangkitkan oleh pemandu teksi di
sekitar kawasan Bukit Bintang di sini yang menyebabkan mereka
berdemonstrasi di kawasan itu semalam.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, dalam kenyataan di sini,
berkata persetujuan itu diberikan selepas mengadakan pertemuan kira-kira
dua jam dengan Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur di sini
hari ini.
Sembilan perkara telah dibangkitkan persatuan itu pada pertemuan
tersebut yang kebanyakannya melibatkan isu operasi termasuk mendakwa
pendapatan pemandu teksi terjejas dengan pengenalan perkhidmatan percuma
bas GO-KL.
Mereka juga memohon agar sistem kupon teksi di KLCC dan Pavillion
dihapuskan, selain memohon agar perhentian teksi diwujudkan di Bukit
Bintang.
Syed Hamid berkata SPAD akan bermesyuarat dengan agensi-agensi
berkaitan bagi mencari penyelesaian kepada perkara-perkara yang
dibangkitkan itu.
Demonstrasi, yang bermula 3.30 petang itu, telah menyebabkan kesesakan
lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan dan berakhir selepas Pegawai
Kanan SPAD 'turun padang' pada pukul 6.30 petang. - Bernama
Warga asing ada ‘MyKad’
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Mohd Ridzuan (tengah) bersama ahli Ikhlas menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia
(Ikhlas) mendakwa wujudnya pihak tidak bertanggungjawab membekalkan
MyKad dan pasport palsu kepada warga asing khususnya golongan peniaga
dan penjaja.
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, hasil maklumat yang
dikumpul pihaknya, didapati kira-kira 50 peratus peniaga dan penjaja
warga asing di negara ini terutamanya warga Pakistan dan Bangladesh
memiliki MyKad biru.
Menurutnya, MyKad dan pasport antarabangsa palsu itu boleh diperoleh dengan harga RM18,000 hingga ke RM50,000.
“Dokumen tersebut akan menggunakan maklumat warga tempatan, tetapi
menggunakan gambar warga asing tersebut. Contohnya seperti nama saya,
saya dapati ada tiga orang guna maklumat sama.
“Terdapat satu kes di Seremban, warga Bangladesh menggunakan pasport
antarabangsa palsu dan bekerja sebagai kontraktor yang mengambil kontrak
di balai polis selama tempoh lima ke enam tahun, termasuk melakukan
jenayah.
"Warga asing ini ditahan dan dihantar pulang ke Bangladesh, namun kini
kembali ke Malaysia membuat kerja sama,” katanya pada sidang media
selepas membuat laporan di Balai Polis Travers, Bangsar, di sini,
semalam.
Ridzuan berkata, beliau bersama ahli Ikhlas yang lain mengumpul maklumat berhubung perkara tersebut dalam tempoh setahun ini.
“Saya sendiri turun padang, menyamar dan bergaul dengan peniaga warga
asing ini untuk memperoleh maklumat. Kami ada bukti berhubung perkara
ini untuk diserahkan bersama memorandum yang akan dihantar kepada
Perdana Menteri,” katanya.
Menurutnya, perkara tersebut menjadi ancaman kepada negara berikutan lambakan warga asing tidak terkawal.
“Sekarang ini, Melayu merupakan yang paling ramai di Malaysia, diikuti
dengan Cina, dan warga asing. Kaum India lebih sedikit berbanding warga
asing. Jika keadaan ini berterusan, warga asing mampu mengatasi jumlah
Melayu.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu tegas kerana isu ini melibatkan
menjual keselamatan negara. Ikhlas mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia) siasat habis-habisan berhubung perkara ini,” katanya.
Ikhlas membuat laporan polis dengan menyenaraikan beberapa isu menjual
keselamatan negara disebabkan wujudnya keadaan di mana warga asing yang
dengan mudah memiliki MyKad biru, juga berkaitan dengan tender Mykad
yang diberi kepada syarikat swasta, termasuk rasuah dalam kakitangan
kerajaan.
Sanggup gadai nyawa lintas landasan
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Orang awam tetap melintas landasan kereta api walaupun jejantas disediakan.
PELABUHAN KLANG - Disebabkan hanya ingin mengambil jalan mudah,
terdapat segelintir orang awam sanggup menggadai nyawa menyeberangi
landasan kereta api di Stesen Keretapi Jalan Kastam di sini walaupun
kemudahan jejantas disediakan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, tanpa mengira masa, penduduk
berhampiran khususnya penghuni Flat Seri Perantau termasuk pelajar
melintas landasan tersebut tanpa menghiraukan nyawa masing-masing.
Difahamkan, penghuni flat tersebut mudah menyeberang kerana tiada pagar dibina di antara landasan.
Stesen kereta api itu dijadikan jalan pintas untuk ke Bandar Pelabuhan Klang dan beberapa kawasan lain.
Seorang penghuni Flat Seri Perantau yang hanya ingin dikenali Kamsiah
berkata, dia dan penghuni lain kerap menyeberang landasan itu kerana ia
jalan paling cepat untuk ke Pelabuhan Klang.
“Kalau mahu ke bandar itu, kami terpaksa menunggu bas dan mengambil masa lama untuk ke bandar itu," katanya.
Kamsiah berkata, disebabkan ingin cepat sampai ke tempat kerja, soal keselamatan sanggup diketepikan.
Menurutnya, tindakan berbahaya tersebut sudah lama berlarutan.
Budak trauma dikejar anjing
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Anjing sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sehingga mengundang ketidakselesaan penduduk.
RAWANG - Penghuni di pangsapuri Lili Rawang Perdana, di sini bimbang
dengan kehadiran anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan
mereka.
Haiwan liar tersebut bergerak secara berkumpulan dan kerap membuat
bising pada waktu malam sehingga menceroboh kediaman penduduk sehingga
ke tingkat empat menggunakan tangga.
Malah penduduk mendakwa, kanak-kanak yang bermain di taman permainan di
sini turut menjadi mangsa anjing liar yang bertindak mengejar mereka.
Ibu mangsa, Aizura Ahsan, 37, berkata, dua anaknya berusia lima dan
tujuh tahun dikejar anjing tersebut sehingga ke rumah sewaktu membeli
nasi lemak berhampiran sekitar jam 8 pagi.
“Anak trauma untuk keluar rumah dan bernasib baik kejadian disedari jiran yang bertindak menghalau anjing tersebut.
“Kes hampir sama juga pernah berlaku ke atas kanak-kanak berusia dua
tahun sewaktu sedang bermain di taman permainan namun sempat
diselamatkan ibunya yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada
Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama, Zulkifli Yaakob
berkata, pihaknya telah membuat aduan perkara berkenaan sebanyak dua
kali kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Badan Pengaduan Awam.
Menurutnya, aduan telah dibuat tiga bulan lalu selepas tertekan dengan
gangguan anjing yang kerap membuat bising, menyelongkar sampah dan
menceroboh rumah penduduk.
“Van MPS ada yang lalu-lalang namun masih tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah anjing liar ini,” katanya.
Selain itu katanya, hasil pemerhatiannya mendapati terdapat tiga
keluarga di pangsapuri itu membela anjing di kawasan perumahan
bertingkat itu.
“MPS mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan ke atas mereka seperti
kompaun kerana memberi keadaan kurang selesa kepada penduduk lain,”
katanya.
Pelajar terdedah risiko bahaya
NORAFIZA JAAFAR
3 Oktober 2012
Kawasan projek digunakan pelajar untuk ulang alik ke sekolah setiap hari dibimbangi membahayakan keselamatan mereka.
BATU CAVES - Pembinaan projek perumahan yang terlalu hampir dengan
kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas di sini yang tidak dilengkapi
dengan ciri keselamatan didakwa mengundang bahaya dan hanya menunggu
masa untuk runtuh.
Difahamkan tiga bulan lalu, pemilik tanah jenis persendirian itu telah
dikenakan tindakan termasuk arahan menghentikan projek selepas berlaku
runtuhan tebing.
Namun, tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, projek yang siap 80
peratus itu telah bermula seperti biasa dan terdapat seorang pekerja
sedang mengecat rumah jenis dua tingkat enam pintu itu.
Menurut penduduk yang enggan dikenali, tebing yang runtuh tidak dibaiki
sebaliknya hanya ditutupi plastik dan pita kuning yang digunakan Majlis
Perbandaran Selayang (MPS) telah ditanggalkan.
Sumber memaklumkan, tebing yang runtuh itu menyebabkan sistem saliran di bawah tebing tertimbus.
"Apabila hujan, air akan menutupi jalan serta melimpah ke rumah penduduk di tanah rendah," katanya.
Justeru, dia meminta supaya pihak berkaitan memantau perkara itu dan
membaiki sistem saliran dalam kadar segera untuk mengelakkan banjir
kilat.
Keadaan juga katanya berbahaya kepada pelajar memandangkan lokasinya
yang bersebelahan dengan sekolah dan digunakan oleh pelajar untuk
berulang alik dari sekolah ke rumah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi MPS, Mohamad Zin Masoad
berkata, pihaknya mengakui sebelum ini pemilik telah diberikan notis
kerja tanah kerana menjalankan projek tanpa kebenaran.
“Pihak Jabatan Kejuruteraan akan ke tapak esok (hari ini) bagi memastikan mereka menjalankan kerja dengan kebenaran MPS.
“Selain pematuhan undang-undang, ia perlu bagi mengelakkan sebarang
kejadian yang tidak diingini seperti banjir, tanah runtuh dan
sebagainya,” katanya.