Saturday, January 19, 2013

KENAPA RAKANNYA TAK LAPOR DICULIK...JANGAN KITA BAGI RUANG PADA LELAKI...JANGAN BAGI RUANG KITA BOLEH CULIK ATAU DIROGOL....MALANG TAK BERBAU...SEDARLAH KITA ...KITA TELAH BERADA DIAKHIRAT ZAMAN

Khatavarayan dakwa Sosilawati masih hidup

Posted on the January 16th, 2013 under Tempatan by admin

SHAH ALAM – Tertuduh keempat, R. Kathavarayan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia melihat seorang wanita yang didakwa sebagai Datuk Sosilawati Lawiya di sebuah restoran di Tanjung Sepat, Banting lapan hari selepas jutawan kosmetik terbabit dikatakan mati dibunuh.
Kathavarayan, 32, berkata, dia hanya mengetahui wanita itu merupakan Sosilawati selepas diberitahu oleh bekas majikannya, N. Pathmanabhan, 43, ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas berjumpa dengan rakan-rakan bekas peguam itu di sebuah restoran pada petang, 7 September 2010.
Bagaimanapun, kata tertuduh itu, pada masa tersebut wanita terbabit berambut pendek dan berbeza dengan Sosilawati yang dilihat pada kali terakhir datang ke Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010 yang berambut panjang.

Terdahulu, Kathavarayan yang disoal peguam yang dilantik mahkamah Hasshahari Johari Mawi berkata, pada hari kejadian dia diminta Pathmanabhan membawanya ke sebuah restoran di Tanjung Sepat.
“Saya diarah tunggu di dalam kereta dan Pathmanabhan kemudian makan dan bersembang dengan rakan-rakannya dengan agak lama,” katanya dalam bahasa Tamil yang diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.
Dakwa Kathavarayan atau nama panggilan Ravi, semasa berada di dalam kereta dia tidak dapat melihat dengan jelas rakan-rakan Pathmanabhan kerana berada dalam jarak kira-kira 12 meter hingga 13 meter sehingga ada antara lima dan enam orang termasuk seorang wanita pergi ke kenderaan masing-masing.
“Dalam perjalanan pulang saya tanya Pathmanabhan siapa wanita di restoran, dia cakap itulah perempuan yang datang ke ladang tempoh hari.
“Saya tanya dia nampak lain, rambut pendek tetapi Pathmanabhan cakap itu merupakan perempuan yang sama (Sosilawati),” katanya.
Wanita itu jelas Kathavarayan menaiki kenderaan seperti jip bersama seorang lelaki yang berkemeja lengan panjang namun tertuduh mendakwa tidak pernah melihat lelaki tersebut.
Kathavarayan juga memberitahu, itu merupakan kali terakhir dia melihat wanita berkenaan.
Kathavarayan kemudian diberi sekeping gambar Sosilawati untuk pengecaman dan bekas pekerja ladang itu mengaku itu merupakan wanita yang dilihatnya di restoran cuma berbeza kerana berambut pendek dan berpakaian perempuan.
Kathavarayan bersama Pathmanabhan selaku tertuduh pertama manakala Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, masing-masing tertuduh kedua dan ketiga kini pada peringkat pembelaan.
Mereka kini membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Sementara itu, pada awal keterangan, Kathavarayan berkata, dia ada terdengar Pathmanabhan mengarahkan Thilaiyalagan supaya membunuh pemandu Sosilawati iaitu Kamarudin atas arahan wanita itu sendiri.
Dakwa tertuduh, perbualan itu didengar di luar bilik karaoke di belakang ladang selepas Pathmanabhan selesai berbincang dengan Sosilawati di dalam bilik tersebut.
Ketika keluar dari bilik berkenaan, muka Sosilawati kelihatan muram manakala Pathmanabhan dalam keadaan tergesa-gesa menuju ke keretanya.
Keesokan harinya, pada petang 31 Ogos 2010, Kathavarayan berkata, semasa pulang dari pekan Banting, dia ada ternampak Thilaiyalagan dan Matan sedang membakar orang-orang yang dibunuh di satu lokasi pembakaran di belakang ladang.
“Apa yang dimaksudkan dengan orang-orang?,” tanya peguam sebelum Kathavarayan menjelaskan; “Seorang pemandu, seorang peguam Melayu dan juga seorang yang saya tidak kenal, saya tidak lihat muka.”
Kosmo

Tebuan ragut nyawa bayi

Posted on the January 15th, 2013 under Tempatan by admin
Kuala Kedah: “Pada pagi hari kejadian, anak saya, Nur Aimi Khairun Nisa Mohd Nakhaie, 14 bulan, merengek seolah-olah mahu mengikut saya ke tempat kerja, tetapi saya berjanji kepadanya akan balik awal selepas semua kerja selesai.
“Itulah kali terakhir saya berbual dan menemuinya sebelum meninggal dunia akibat disengat tebuan,” kata Sarizan Murad, 38.
Sarizan yang juga jururawat di sebuah klinik kesihatan, di sini, tidak menyangka rengekan anaknya pada pagi Jumaat lalu, membawa petanda arwah akan meninggal dunia selepas disengat lebih 50 ekor tebuan ketika tidur dalam buaian di ruang dapur rumah neneknya di Kampung Sematang Pinang, dekat sini.

Sebelum kejadian, Nur Aimi dikatakan tidur selepas dimandikan neneknya, Aishah Md Ali, 64, yang menjaga bayi itu sejak arwah dilahirkan, kira-kira jam 9 pagi.
Menurutnya, dia sering menghantar tiga anaknya termasuk arwah yang juga anak bongsu ke rumah ibu mentua yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas dia dan suami ke tempat kerja.
Harian Metro

Dirogol bergilir-gilir, gambar bogel dirakam

Posted on the January 15th, 2013 under Tempatan by admin

Klang: Seorang wanita bukan saja dirogol bergilir-gilir oleh sekumpulan lelaki malah gambarnya dalam keadaan berbogel turut dirakam kumpulan itu.
Mangsa juga mendakwa dijadikan tebusan selama sehari dalam kejadian Selasa lalu itu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa sedang menunggu bas di Seksyen 15, Shah Alam, dekat sini bersama seorang rakannya sebelum dia diculik serta dibawa ke satu tempat oleh kumpulan lelaki itu.

Bagaimanapun, rakan mangsa tidak diculik.
Mangsa hanya dibebaskan kira-kira jam 3 petang keesokannya. Sebaik dibebaskan, mangsa terus pulang ke rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Klang, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop (gambar) ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan itu dan memberitahu siasatan mengenainya sedang dijalankan.
“Memang kita menerima satu laporan mengenai kejadian tapi kes berkenaan berlaku di Shah Alam, jadi siasatan dijalankan mereka.
“Tidak banyak yang dapat saya katakan tetapi memang laporan mengenai kejadian diterima di sini, cuma kita belum tahu lokasi sebenar kejadian berlaku,” katanya kepada Harian Metro.
Harian Metro difahamkan, mangsa turut mendakwa dipukul dengan penyapu oleh kumpulan lelaki terbabit dan barangan berharga termasuk telefon bimbit serta barangan kemas turut dirampas.
Mangsa mendakwa dilarikan empat lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta sebelum dikurung dalam sebuah bilik di kawasan perumahan di Shah Alam.
Dia dikatakan dibebaskan lelaki itu sejurus dihantar ke sebuah stesen bas menyebabkan dia terus pulang ke rumah dan menceritakan kejadian kepada keluarga sebelum membuat laporan polis.
Harian Metro


Wanita Cina Hafidzah 30 Juzuk Al-Quran

Posted on the January 15th, 2013 under Tempatan by admin
Gambar di atas menunjukkan wanita-wanita Cina yang baru sahaja lulus menjadi seorang hafidzah Al-Quran.
Seseorang yang hafal Al-Quran selalu istimewa. Wanita-wanita Cina yang telah mendapat predikat HAFIDZAH AL-QUR’AN telah melalui masa-masa sukar. Mereka tidak mampu bercakap Bahasa Arab secara FASIH kerana loghat bicara yang berbeza.
Akan tetapi mereka menunjukkan bahawa walaupun demikian, terbukti mereka mampu mendapat gelaran Hafidzah-hafidzah Al-Quran, mendapat sanad, Ijazah dengan berjaya menamatkan pengajian. Subhanallah.
Detik Islam

Salji turun di Saudi tanda jelas akhir zaman

Posted on the January 15th, 2013 under Agama,Luar Negara by admin
Sesuatu yang janggal berlaku Rabu (9/1/2012) di Arab Saudi. Worldbulletin menurunkan berita bahawa Tabuk-salah satu lokasi perang yang berlaku di zaman Rasulullah-diguyur salji yang sangat lebat, setelah beberapa jam lamanya dihentam badai yang sangat dahsyat.
Seperti diketahui, Arab Saudi merupakan kawasan gurun pasir yang sangat panas. Matahari bersinar sepanjang hari. Turunnya salji menjadi suatu fenomena alam yang jarang ditemui.
Penduduk Tabuk dan juga orang-orang yang datang dari daerah lain menikmati hujan salji yang jarang berlaku itu. Jalan-jalan terutama yang menuju Gunung Alluz dipenuhi oleh kenderaan bermotor.

Para pegawai keselamatan, kawalan lalulintas, serta pertugas kesihatan diterjunkan ke pelbagai tempat berbeza guna memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Pengarah lalulintas jalan raya Tabuk Brig. Muhammad bin Ali An-Najjar memberi amaran kepada para pelancong agar berhati-hati ketika memandu di atas jalan yang terjal dan licin di kawasan pergunungan. Dia juga meminta mereka supaya mematuhi had kelajuan dan menghubungi pegawai jika memerlukan bantuan atau maklumat.
Jurucakap dari Pejabat Pertahanan Awam di Tabuk Brig. Mamduh al-Enizi menasihati agar pelancong menjauhi lembah dan laluan banjir, tidak naik ke tempat tinggi dan tempat-tempat yang ditutupi salji.
Jabatan Kesihatan di Tabuk menerjunkan kenderaan-kenderaan ambulan yang berperalatan lengkap di daerah-daerah tersebut.
Jalan-jalan yang mengarah ke kawasan gurun pasir dan pengunungan di Tabuk dijejali kenderaan dari arah bandar Haql dan Bada. Hujan turun di beberapa bandar di Saudi hari Rabu kemarin.
Tabuk terletak sekitar 1500 km dari Riyad (Ibukota Arab Saudi).
Sebenarnya ini bukan kali pertama salji turun di Tabuk. Beberapa tahun yang lalu, Tabuk juga sudah pernah diselimuti salji dengan ketebalan mencapai 20 cm.
Para pemandu yang kebetulan melintas di jalanan Tabuk sengaja berhenti dan bermain salji dengan gembiranya, melompat, berguling-guling dan bersalto. Mereka tampak gembira sekali dan sama sekali tidak menyangka bahawa negaranya diguyur salji sedemikian rupa.
Detik Islam

Ramal BN kalah, Ketua Ekonomi Bank Islam digantung?

Posted on the January 15th, 2013 under Politik by admin
KUALA LUMPUR: Kerana meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam pilihan raya umum nanti, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, didakwa telah digantung kerja.
Ekoran itu, pelbagai pihak menyifatkan tindakan itu sebagai zalim, “kerana betindak ke atas mereka yang berkata benar.”
Namun begitu, banyak pihak yakin, jiwa anak muda tidak goyah dengannya.
“Pasti ada ganjaran untuk si pemberani dan bercakap benar,” komen seorang penyokong Pakatan menerusi Twitter.
Maklumat Azrul digantung diberitahu oleh peguam Nadiah Fadwa melalui twitternya. Adun Sri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Kemunikasi PKR mengesahkan perkara itu melalui Suara Keadilan.
Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah dalam PRU 13 nanti.
Beliau berkata, BN akan kalah tipis dalam pilihan raya yang dijangka sengit itu.
Azrul berkata, hasil kajian maklumat menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperolehi antara 97 ke 107 kerusi sahaja dalam pilihanraya umum akan datang, jauh jika dibandingkan dengan prestasi 140 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya umum lalu.
Bagaimanapun, dengan keputusan hasil maklumat ini, Pakatan Rakyat juga hanya menang antara 115 ke 125 kerusi sahaja dan ia sesuatu yang tidak stabil dari segi ekonomi sesebuah negara.
Bank Islam Malaysia dalam kenyataannya 11 Januari lepas, menjarakkan diri dari ramalan ketua penganalisis ekonominya itu, dengan mengatakan “kami tidak terlibat dengan forum tersebut”.
Dalam satu kenyataannya, pengarah urusan BIMB Datuk Seri Zukri Samat memberi komen tentang laporan The Straits Times Singapura itu berkata;
“Kami kesal dengan laporan yang mengaitkan Bank Islam dengan pandangannya dan ramalannya, dan kami mahu laporan yang silap tersebut dibetulkan.
“Untuk pengetahuan anda, Bank Islam tidak terlibat dan tidak berkaitan dalam forum tersebut,” kata Zukri dalam sebuah kenyataan dihantar ke The Straits Times.
Namun hari ini, Azrul Azwar digantung dari tugasnya sebagai Ketua Ekonomi BIMB.
PRU perlu dipercepatkan
Hujung Julai 2012, Azrul dilaporkan berkata, ekonomi dan pasaran akan memberi reaksi lebih baik seandainya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat (pertengahan tahun 2012) berbanding ditangguhkan kepada tahun depan (2013).
Katanya, pandangan itu berdasarkan persekitaran dan ketidaktentuan ekonomi luaran dan dalaman.
Menurut beliau, pelbagai spekulasi mengenai tarikh pilihan raya telah menyebabkan ekonomi dan pasaran tidak boleh bergerak pada landasan yang betul.
Jelasnya, masalah itu dihadapi oleh syarikat-syarikat korporat kerana sukar untuk membuat keputusan dalam operasi dan hala tuju mereka.
“Meskipun ekonomi negara sekarang dalam keadaan baik tetapi keputusan tidak boleh dilakukan kerana sukar untuk menjangkakan apa yang akan berlaku dalam tempoh jangka pendek dan sederhana.
“Malah, ia juga menjejaskan aliran masuk pelaburan asing kerana mereka juga mahu satu kepastian dalam pelaburan yang dibuat.
“Justeru, kebanyakan korporat memang menyambut baik seandainya pilihan raya diadakan lebih cepat,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Utusan.
Harakahdaily.net

Lelaki kasanova penipu diberkas

Posted on the January 15th, 2013 under Tempatan by admin

ROSLEE menunjukkan jaket dan pelbagai peralatan yang dirampas daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor untuk memperdaya wanita-wanita bujang pada sidang akhbar di George Town semalam.
GEORGE TOWN – Kekecewaan lebih 20 wanita bujang yang kerugian RM500,000 selepas diperdaya seorang lelaki kasanova sedikit terubat apabila suspek yang menyamar sebagai doktor di sebuah hospital swasta di sini diberkas setelah memasuki perangkap polis Jumaat lalu.
Suspek berusia 45 tahun yang menggunakan nama Dr. Shiva Nair; Dr. Ragunathan dan Keeran Raj ditangkap di rumahnya di Bukit Gambir di sini pada pukul 10 malam 4 Januari lalu selepas terpedaya dengan lakonan polis yang berkenalan dengannya menerusi laman sosial.

Difahamkan, suspek yang hidup mewah hasil penipuan sejak 2001 hingga mampu menyewa rumah teres berharga RM1,800 sebulan hanya memilih wanita India berusia antara 25 hingga 40 tahun sebagai mangsa. Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Kebanyakan mangsa pula bekerja sebagai guru, jururawat dan sektor perkilangan serta berstatus bujang. Mereka dipikat menerusi laman sosial Facebook dan Tagged.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, selepas berkenalan, suspek akan berpura-pura mencintai mangsa hingga sanggup bertemu dengan ahli keluarga wanita-wanita itu kononnya untuk menetapkan tarikh pertunangan atau perkahwinan.
Katanya, suspek kemudian akan memberi alasan menghadapi masalah kewangan untuk berkahwin dan meminta wanita-wanita tersebut membantunya dengan meminjamkan wang atau barang kemas bagi membuktikan cinta mereka.
Kosmo

BUAT SESUATU FIKIRLAH HUKUM...ADAKAH KITA LANGGAR HUKUM SYARAK ATAU TIDAK....TAKUT KITA KESAL DIAKHIRAT...KESALAN YANG TAK BERGUNA LAGI

Penyanyi Rap Perancis temui ketenangan dengan Islam

Posted on the January 16th, 2013 under Luar Negara by admin
TIDAK disangka dahulunya individu ini merupakan seorang penyanyi terkenal di Perancis. Bahkan dia pernah bergelumang dengan penyalahgunaan dadah.
Kini, dia tampil berbeza. Setelah memeluk agama Islam, dia memilih imej berhijab dan meninggalkan amalan negatif sepanjang bergelumang dalam industri hiburan.
Penyanyi wanita tersebut ialah Melanie Georgiades, 32, atau dikenali sebagai Diam yang memulakan karier sebagai artis sejak berumur 19 tahun.

Dia mengucap dua kalimah syahadah setelah seorang rakannya yang beragama Islam memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya.
Dalam kalangan para peminat, Diam yang sering dikaitkan dengan aktiviti pengambilan dadah dilihat menyepikan diri sejak empat tahun. Namun, dia muncul secara tiba-tiba dikhalayak umum dengan imej baru tahun lalu.
Tindakannya itu menimbulkan persoalan dan kontroversi. Tetapi dalam sebuah rancangan yang disiarkan di televisyen Perancis tahun lalu, Diam mengakui bahawa Islam telah memberikan ketenangan kepadanya bukan sahaja luaran tetapi juga dalaman berbanding sebelum ini.
Ujar wanita itu, dia sebelum itu merupakan individu yang tidak ada haluan di mana seluruh kehidupannya dilalui dengan mengambil dadah, berkhayal dan mengalami masalah mental.
Menceritakan babak permulaan beliau memeluk agama Islam, Diam berkata, dia diperkenalkan secara kebetulan kepada salah seorang rakannya yang beragama Islam.
“Saya memeluk Islam selepas melihat rakan menunaikan solat. Ketika itu saya memberitahunya bahawa saya juga ingin bersolat.
“Ketika bersujud, itulah kali pertama saya menyentuhkan dahi ke lantai dan perbuatan itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Tindakan tersebut menyebabkan saya mempercayai bahawa kita hanya perlu tunduk kepada Allah, bukan insan lain,” kata Diam.
Penyanyi rap itu berkata lagi, selepas mendengar bacaan al-Quran dan mendalami agama Islam menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk memeluk agama itu.
Sepanjang proses itu, beliau berpindah ke Mauritius untuk lebih memahami dan mendalami agama syumul itu.
“Dengan memeluk Islam, hidup saya lebih tenang dan saya tahu tujuan sebenar kita diciptakan,” kata Diam yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan kini bergelar ibu serta telah pulih sepenuhnya daripada masalah ketagihan dadah.
Halim Islam

Rakyat Syria mencari roti hingga ke utara Iraq dengan berjalan kaki

Posted on the January 16th, 2013 under Luar Negara by admin


Derita rakyat Syria akibat perang yang berlaku di negara mereka bertambah buruk akibat cuaca sejuk yang melampau
Kelaparan dan kekurangan bahan bakar menyebabkan warga Syria berbondong-bondong berpindah ke Iraq Utara untuk bertahan dalam cuaca yang ekstrim itu. Dengan keberanian yang tinggi, warga Syria berjalan dan mempertaruhkan nyawa demi mendapatkan apa yang dicari.
Pasukan wartawan Anadolu Agency (AA) memaparkan penderitaan warga Syria yang tinggal di sebuah kampung kecil dengan cuaca sejuk dan salji. Ramai warga Syria yang tinggal di desa kecil ini termasuklah bayi berumur satu tahun.
Warga Syria yang boleh bergerask ke desa-desa di wilayah Zummar, sekitar 60 kilometer jauhnya dari Dohuk-Iraq Utara. Mereka berlindung di bawah runtuhan rumah dan cuba untuk melawan sejuk dengan sisa pakaian yang terbakar dan bantal.

Sementara anak-anak kelihatan menggigil kedinginan, terlihat juga ibu dan ayah yang melindungi bayi mereka di bawah kehangatan selimut. Ada pemandangan yang cukup membuat hati tersentuh, jelas begitu besar tragedi yang terjadi. Orang tua yang lemah kelihatan keletihan dalam perjalanan, kanak-kanak berjalan kaki telanjang di atas lumpur dan tanah sejuk, wanita berjalan hanya dengan sandal, wanita muda cuba untuk melindungi bayi mereka dari sejuk, ada juga kanak-kanak yang pakaian mereka dan rambut sebahagian membeku dan ada antara mereka memanaskan semula makanan mereka di atas api.
Salah seorang pelarian Syria, Thoha Amin memberitahu bahawa situasi di Syria tidak lagi tertahan.
“Kami tidak dapat mencari bahan bakar atau roti. Selepas konflik yang berlaku tidak juga berhenti, kami sekarang dihadapkan dengan kelaparan, “tegas Amin.
“Hanya ada satu pilihan untuk kami untuk terus hidup dari kelaparan dan cuaca sejuk yang membeku adalah dengan berlindung di negara lain,” ujarnya.

“Kami berjalan puluhan kilometer dengan mempertaruhkan nyawa dalam cuaca sejuk. Kami harus berjalan tanpa alas kaki, kerana kasut kami rosak oleh cuaca ekstrim itu, “tambah Amin.
“Bashar al-Assad yang harus bertanggungjawab atas tragedi ini,” tegasnya.
“Tuhan akan menghukum mereka yang bertanggung jawab atas tragedi ini. Tidak ada yang ingin meninggalkan rumahnya atau berjalan bersama dengan keluarga dan bayi mereka di bawah cuaca sejuk. Semua orang sedih kerana harus meninggalkan rumah mereka, tapi kami harus meninggalkannya jika ingin terus hidup. Ketika insiden pertama kali bermula, orang ramai g boleh melarikan diri menggunakan kereta. Tapi kini, semua kereta sudah rosak dan kami terpaksa berjalan kaki, “tambah Amin.
“Kami sangat keletihan. Kami hanya berhenti sekejap di sesebuah perkampungan untuk berehat dan mengeringkan pakaian kami. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Zaho dengan kereta atau berjalan kaki, “terang Amin.

Sejak insiden di Syria bermula, lebih dari 60000 warga Syria menjadi pelarian di Dohuk-Iraq Utara, Irbil dan bandar Sulaimaniyah. Lebih dari 30000 warga Syria kini tinggal di kem Dohuk di bawah khemah yang dibina. Pemerintah daerah di utara Iraq, membenarkan warga Syria untuk menyewa rumah dan bekerja di kawasan tersebut. Namun, sebahagian besar daripada warga Syria masih bergantung pada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.
Diterjemahkan dari sumber islampos
Detik Islam

Pemuda Yahudi takut masuk tentera

Posted on the January 16th, 2013 under General by admin

Pemuda Israel yang tertarik dan mendaftarkan diri untuk menjadi tentera mengalami penurunan. Dari data di tahun 2012, pengambilan tentera yahudi mengalami penurunan 3 peratus.
Data ini dikeluarkan Harian Israel, Maarev, dilaporkan dari infopal.com (12/1).
Keengganan pemuda Israel untuk menjadi tentera di unit pasukan penyerang menimbulkan kebingungan di pihak tentera Yahudi sendiri.

Dari sumber pejabat tinggi tentera Israel, penurunan tersebut merupakan penunjuk berbahaya dan ancaman. Namun tahap tersebut belum sampai ke tahap kritikal.
Lebih lanjut harian Maarev melaporkan peratusan pengambilan unit pasukan penyerang Israel menurun sangat drastik selepas pencerobohan Israel kedua ke atas Lubnan.
Detik Islam

‘Sehangat Asmara’ Bakal Ulangi Fenomena ‘Adam & Hawa’

Posted on the January 16th, 2013 under Artis by admin

KUALA LUMPUR: Penerbit drama adaptasi novel terbaharu Sehangat Asmara iaitu Global Station berharap ia bakal mengulangi fenomena dicetuskan Adam & Hawa.
Penerbit Eksekutifnya, Adila Ramly berkata, pihaknya percaya beberapa persamaan pada kedua-dua drama itu mampu menarik minat penonton yang mengikuti Adam & Hawa sebelum ini.
“Kami berharap Sehangat Asmara dapat menyamai atau memberikan lebih impak daripada Adam & Hawa apabila ditayangkan nanti.

“Beberapa elemen Sehangat Asmara seperti tema percintaan dan barisan pelakon yang mantap mampu menarik perhatian penonton,” katanya kepada mStar Online pada majlis pelancaran drama bersiri 33 episod itu di Publika, Solaris Dutamas di sini, petang Selasa.
Diarahkan Mohd Feroz Kader, drama ini membariskan antaranya Rita Rudaini, Adi Putra, Shahrizal Jaszle, Fureena Ezlin, Izreen Azminda, Hafizuddin Fadzil dan Dian P. Ramlee.
Ia bakal ditayangkan bermula 21 Januari ini pada setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134).
Adila berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan drama berkenaan kerana konflik dalam novel nukilan Aisya Sofea itu.
“Saya meminati cerita novel itu. Malah, sejak di bangku sekolah saya sudah membacanya.
“Saya percaya tema hubungan dua darjat, percintaan dan konflik dalam cerita ini dekat dengan penonton,” katanya.
Drama ini berkisar mengenai ranjau dalam hubungan dua darjat, Kamilia Najwa lakonan Rita Rudaini dan Zainal Arief (Adi Putra) yang berkahwin tanpa restu keluarga di Sydney, Australia.
Kebahagiaan mereka berakhir apabila Zainal terpaksa pulang ke tanah air dan berjanji untuk kembali semula ke pangkuan isterinya.
Sembilan tahun berlalu namun Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia terus menanti dalam sengsara.
mStar

Uji Rashid Kesal TV3 Masih Tidak Mohon Maaf

Posted on the January 16th, 2013 under Artis by admin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Uji Rashid menganggap tindakan pihak di stesen televisyen TV3 yang masih tidak memohon maaf kepadanya berhubung isu digugurkan daripada membuat persembahan semasa Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) pada 6 Januari lalu sebagai satu tindakan yang kurang sopan.
Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid, berkata, tidak kira stesen TV atau mana-mana pihak, sewajarnya mereka harus mempunyai adab jika ingin membuat keputusan terhadap sesuatu tindakan yang boleh menyebabkan seseorang itu berkecil hati.
“Memang kalau nak cakap secara kasarnya, pihak itu (TV3) agak kurang sopan. Mereka tidak patut membuat saya atau sesiapa pun begitu.

“Sepanjang 38 tahun saya berada dalam industri muzik tempatan, peristiwa ini antara kejadian paling teruk yang pernah saya hadapi.
“Dan setakat ini, pihak mereka belum membuat sebarang permohonan maaf kepada saya,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini, pada Selasa.
Uji yang popular era 70-an dan 80-an itu disingkirkan daripada menyertai AJL27 dua hari sebelum acara berprestij itu berlangsung bagi menggantikan tempat Yuna yang berada di Amerika Syarikat menerusi lagu Terukir Di Bintang.
Tempat Uji itu telah diambil alih oleh Aizat yang dipilih oleh penganjur pada saat-saat akhir.
Insiden itu turut menarik perhatian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang menuntut TV3 memohon maaf secara terbuka kepada wanita itu.
Sementara itu ditanya kesan akibat kontroversi itu Uji berkata terdapat hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana dia mula mendapat perhatian daripada pihak penganjuran majlis yang mahu mengundangnya membuat persembahan.
“Kadang-kadang saya geli hati juga dengan apa yang berlaku kerana secara tiba-tiba nama menduduki carta pertama di beberapa kolum gosip.
“Pada masa sama, Tuhan membuka luas rezeki saya lagi di mana saya menerima lebih banyak undangan persembahan. Alhamdulillah,” ujarnya.
Dalam pada itu pihak TV3 yang dihubungi bagi mendapatkan reaksi terhadap komen Zed Zaidi dan Uji itu bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.
mStar

Ekonomis Bank Islam terkejut digantung tugas

Posted on the January 16th, 2013 under Politik by admin

Seorang ketua ekonomis Bank Islam Azrul Azwar Ahmad Tajudin digantung tugasnya susulan pembentangannya berhubung senario pilihan raya umum (PRU) akan datang, di Singapura minggu lalu.
Pakar ekonomi berkenaan, Azrul Azwar Ahmad Tajudin mengesahkan tindakan bank itu menggantung tugasnya untuk tempoh yang tidak dinyatakan susulan pembentangannya pada 10 Januari lalu, mengenai PRU13 di Malaysia.
Azrul ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau menerima surat penggantungan kerja itu petang semalam atas dakwaan “melakukan salah laku yang serius”.

Azrul bagaimanapun berkata, beliau tidak mengetahui maksud dakwaan berkenaan namun mengesahkan ia berkaitan dengan pembentangannya di Singapura itu pada 10 Januari lalu.
“Tindakan ini adalah jelas berniat politik. Saya tak tahu nak kata macam mana (lagi). Saya terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.
Azrul berkata, tindakan penggantungan berkuat serta-merta dan surat tersebut tidak menyebut tempoh penggantungan tersebut.
Dalam kertas pembentangannya yang bertajuk “Malaysia: Economic and Political Outlook 2013″, Azrul menulis tiga kemungkinan senario yang berlaku dalam pilihan raya umum akan datang berdasarkan analisis faktor yang terpilih.
Senario terbaik di mana BN mempertahankan 112 hingga 122 kerusi parlimen berbanding Pakatan Rakyat yang memperolehi 100 hingga 110 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.
Manakala senario kedua “besar kemungkinan” BN kalah dengan mendapat 97 hingga 107 kerusi parlimen berbanding Pakatan yang menguasai 115 hingga 125 kerusi.
Sementara itu, katanya, senario ketiga “kurang kemungkinan”, apabila BN gagal dan hanya mendapat 82 hingga 92 kerusi berbanding kejayaan besar Pakatan dengan mendapat 130 hingga 140 kerusi parlimen.
Azrul bagaimanapun menyalahkan media tertentu yang menurutnya hanya memetik satu senario berhubung kemenangan Pakatan tanpa menyebut dua lagi senario yang dikemukakannya.
Beliau kesal dengan laporan media berkenaan yang didakwanya cuba menggambarkan seolah-oleh beliau bersikap “berat sebelah”.
“Kalau lapor ketiga-tiga kemungkinan senario ini, perkara ini (penggantungan tugas) tidak akan jadi,” katanya yang kesal dengan laporan media berkenaan.
Ditanya lanjut, Azrul berkata beliau kini sedang menenangkan diri tetapi tidak menolak kemungkinan memikirkan untuk melepaskan jawatan “kerana tidak mahu orang lain menderita” susulan perbentangnnya itu.
“Saya tidak mahu orang lain menderita. (Saya fikir untuk buat ini) demi kepentingan bos saya,” katanya sambil mendakwa ketuanya kini menerima tekanan daripada “pemimpin atasan BN”.
Malaysiakini

“Ia Saham Akhirat Saya” – Nurul Syuhada

Posted on the January 16th, 2013 under Artis by admin

Pengacara popular, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin menganggap tawaran yang diterimanya untuk mengendalikan program realiti terbaru di TV3, ‘Da’i – Pendakwah Milenia’ sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.
Ketika ditemui di majlis sidang media program tersebut di The Terrace Restaurant, The Royale Bintang The Curve pada petang Isnin, bekas pengacara Nona ini mengakui begitu gembira apabila diberi peluang untuk mengacarakan program terbitan Primeworks Studios itu.
“Saya rasa terkejut apabila ditawarkan untuk mengacarakan program ini namun pada masa yang sama begitu teruja dapat terbabit dalam program ini. Saya dah banyak buat program televisyen sebelum ini dan ini merupakan kali pertama saya buat program realiti berbentuk Islamik.

Program Da’i merupakan satu benda yang baru serta segar buat saya dan tak rugi saya dapat terlibat dalam program ini kerana ia dapat menjadi salah satu saham akhirat untuk saya nanti. Apa yang penting, secara tak langsung, saya dapat menimba pengetahuan serta belajar sesuatu yang baru mengenai agama apabila mengacarakan program ini.”
Tambah Nurul lagi, dia berasa seronok apabila dapat melihat golongan muda petah bercakap dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
“Saya rasa seronok apabila dapat melihat anak muda kita sekarang petah bercakap dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Sebagai persediaan, saya banyak berbincang dengan produksi mengenai program ini. InsyaAllah, saya akan tampil dengan pengacaraan yang bersahaja dan santai serta imej yang lebih sopan dan teratur,” ujar Nurul syuhada.
Ketika ditemui, pengacara Malaysia Hari Ini yang mula bergerak secara separuh masa dalam bidang pengacaraan sejak September lalu ini turut memberitahu yang dia akan menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Malaya (UM) dalam sedikit masa lagi.
“Saya akan sambung belajar sepenuh masa pada Februari ini dalam jurusan ‘Master in Science, Technology and Sustainability’ di UM selama dua tahun. Setakat ini tak ada masalah dari segi pengurusan masa antara kerjaya dan pelajaran kerana saya akan bersiaran di MHI pada waktu pagi manakala Da’i pada hari Sabtu sahaja,” ujarnya.
GUA sempat mengusik bekas juara program musim pertama ‘Malaysian Top Host’ ini sama ada dia sudah berbadan dua atau belum dan Nurul memberitahu, “Selepas hampir setahun lebih mendirikan rumahtangga, nampaknya rezeki masih belum berpihak kepada saya lagi. InsyaAllah jika ada rezeki, saya akan terima namun rezeki saya sekarang adalah untuk program Da’i.”
Gua.com.my

FIKIRLAH SAPE SOKONG ISLAM...DAN SAPE MEMUTARKAN PERJUANGAN ISLAM...ALLAH MAHA MENGETAHUI

Kerabat diraja Johor kena bela diri

Posted on the January 19th, 2013 under Tempatan by admin
TUNKU NICK (kiri) dan Alex dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Jun 2012 atas kesalahan mencederakan petinju negara.
JOHOR BAHRU – Seorang anak kerabat diraja Johor bersama dua rakannya diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap petinju negara, Muhammad Farkhan Mohd. Haron pada tahun lepas.
Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 27, Alex Foo Hee Wee, 41, dan Mohd. Arif Husin, 35, diarah membela diri selepas Hakim Zamri Bakar memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dalam tuduhan.

Zamri menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memutuskan tarikh prosiding bela diri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Farkhan menggunakan senjata tumpul antara pukul 4.30 pagi hingga pukul 7 pagi di Jalan Molek 3/2, Taman Molek di sini pada 6 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Kosmo

Video: Penjelasan Ustaz Fathul Bari mengenai perkahwinan di Siam

Posted on the January 18th, 2013 under Politik by admin

Sehari dua ini kecoh apabila gambar dan dokumen perkahwinan pendakwah Ustaz Fathul Bari kecoh di internet.
Mereka yang tidak puas hati dengan perkahwinan Fathul telah ‘mensensasikan’ pernikahannya. Selepas diasak dengan pelbagai soalan, UFB menjelaskan gambaran sebenar mengenai perkahwinannya di Siam. Video penjelasan seperti di bawah:

 


P/S: Anda puas hati dengan penjelasan UFB? Apa komen anda?


 

Kantoi ketika cuba lupus janin

Posted on the January 18th, 2013 under Tempatan by admin
Pasukan forensik sedang melakukan pemeriksaan dan membungkus janin terbabit sebelum dibawa ke hospital.
PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan berikutan penemuan janin yang dibawanya dalam satu sekatan jalan polis di PJS 10/4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, anggota polis yang bertugas bertindak menahan kereta Proton Wira yang dinaiki dua individu yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut anggota polis kemudiannya menemui janin yang dibalut dengan tuala kecil yang masih belum cukup sifat di dalam but keretanya.
“Suspek memberitahu bahawa teman wanitanya baru mengalami keguguran dan dipercayai cuba melupuskan janin tersebut,” katanya.
Arjunaidi berkata, polis turut menahan wanita berusia awal 20an yang merupakan kekasih lelaki berkenaan untuk soal siasat dan selepas itu dia dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.
Sinar

Petronas temui minyak dan gas di laut Malaysia, pertama selepas 1989

Posted on the January 18th, 2013 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR – Petronas hari ini mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga Adong Kecil West-1 di Blok SK333, di laut Sarawak, penemuan minyak dan gas, pertama di laut Malaysia selepas 24 tahun.
Syarikat minyak negara itu berkata penemuan kali terakhir di laut ialah di Medan Asam Paya pada 1989, juga di Sarawak.
Petronas berkata telaga Adong Kecil West-1, terletak kira-kira 20km di timur laut pekan Miri, digerudi oleh JX Nippon Oil & Gas Exploration (Onshore Sarawak) Ltd, operator bagi Blok SK333, bersama-sama rakan usaha samanya, Petronas Carigali Sdn Bhd.

Ia berkata, telaga itu digerudi pada kedalaman 3,170 meter dan menemui kira-kira 349 meter ketebalan hidrokarbon bersih.
Dua ujian gerudi merealisasikan kadar aliran kira-kira 440 tong minyak sehari dan 11.5 juta meter padu standard gas sehari, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Petronas berkata, penilaian teknikal sedang dijalankan oleh operator bagi menentukan jumlah sumber di medan terbabit.
“Berdasarkan keputusan penggerudian, terdapat tanda-tanda bahagian lebih dalam di kawasan laut, yang mungkin berpotensi tinggi mengandungi hidrokarbon.
“Bagaimanapun, menerusi tekanan lubang bor yang tinggi, operasi penggerudian lebih mencabar untuk kolam yang lebih dalam dan dermaga dengan spesifikasi tinggi diperlukan untuk menguji jarak terbabit,” kata Petronas.
Setakat ini, tiga penemuan dibuat di laut Sarawak, iaitu Miri, Asam Paya dan medan Adong Kecil West.
Menerusi penemuan ini, Petronas berkata ia sudah membuktikan laut Sarawak mempunyai potensi untuk penemuan lebih banyak minyak dan gas dengan medan Miri, medan minyak pertama Malaysia, ditemui pada 1910.
Aktiviti lanjut di laut itu akan dilakukan oleh syarikat usaha sama terbabit dalam menyokong Petronas mencergaskan semula eksplorasi minyak dan gas di laut Malaysia. – Bernama

Tunku Ismail kecewa insiden di Kota Bharu

Posted on the January 18th, 2013 under Sukan by admin

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa terhadap sikap Persatuan Bola Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa sengaja menimbulkan kekecohan ekoran kehadiran Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Selasa lalu.
Jelas Tunku Ismail kepada Kosmo!: “JMF tidak berada di sana, kalau ada pun, mereka adalah penyokong yang memakai baju Johor dan mereka tidak bertugas ketika itu.”
Ujar baginda lagi, JMF seperti yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini merupakan Kumpulan Gerak Khas 21 Komando dari Kem Gerak Khas Mersing, Johor yang perlu bersiap sedia sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar berhasrat mencemar duli ke stadium berkenaan dan ia tiada kena mengena dengan PBNJ.

“Ia adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) pada hari itu sekiranya menerima arahan kalau-kalau Ke Bawah Duli Tuanku mencemar duli untuk berangkat,” titah baginda pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam.
Tunku Ismail turut mengesahkan, beliau tidak berada di stadium ketika perlawanan itu berlangsung.
“Saya tidak faham kenapa pihak di sana (Kelantan) cuba alihkan perhatian kepada kehadiran JMF dan akhirnya Johor menjadi mangsa. Kita yang terkena balingan botol kaca, batu dan banner kita diambil dan dikoyakkan oleh penyokong Kelantan, seorang kanak-kanak dan seorang penyokong wanita kita turut terkena balingan botol dan kayu.
“Demi keselamatan juga, para pemain kita pula terpaksa turun ke tengah-tengah padang, lampu stadium ditutup dan dengan cara bersembunyi kita melalui pintu belakang untuk pergi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,” titah baginda.
Pada perkembangan berkaitan, Tunku Ismail turut mempersoalkan ketiadaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di stadium memandangkan telah beberapa kali insiden buruk tercetus dalam kalangan penyokong The Red Warriors sebelum ini.
“Saya tertanya-tanya kenapa KAFA tak benarkan FRU berada di stadium, saya dah bincangkan hal ini sebelum ini, hal ini sepatutnya tidak berlaku.
“Yang paling mengecewakan saya ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra turut terkena (balingan botol), ini sekali gus menunjukkan pihak Kelantan gagal mengawal penyokong mereka.”
Dalam pada itu, secara sinis, Tunku Ismail turut menyelar tindakan individu tertentu yang disifatkannya seperti ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila bertindak melakukan provokasi melalui laman sosial Facebook bagi membangkitkan kemarahan ramai.
Titah baginda, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan kemuka aduan kepada FAM.
Kosmo

Berjuta warga Jakarta terjejas banjir

Posted on the January 18th, 2013 under Luar Negara by admin
Banjir besar mengakibatkan Jalan Sudirman, Jakarta yang sentiasa sesak dengan trafik tiba-tiba lumpuh akibat banjir semalam.
JAKARTA – Banjir yang menyebabkan lebih 19,000 orang hilang tempat tinggal dan meragut tiga nyawa di ibu kota Indonesia di sini semalam turut memaksa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyingsingkan seluarnya.
Lebih 50 peratus kawasan di pusat bandar raya ini kini lumpuh selepas dibanjiri air bah berlumpur hingga ke paras pinggang.

Dalam pada itu lebih 100,000 buah rumah terjejas akibat banjir di kota metropolitan ini yang dihuni seramai 20 juta orang dan terkenal kerana kesesakan lalu lintas yang kronik.
Disebabkan keadaan yang teruk itu, Kerajaan Pentadbiran Ibu Kota Jakarta telah mengisytiharkan Darurat Banjir untuk kawasan Jakarta mulai semalam hingga 27 Januari.
Air bah juga menyebabkan ramai pemandu tersekat selama berjam-jam pada waktu pagi.
Penunggang-penunggang basikal pula terpaksa menolak kenderaan dua roda mereka dengan hanya hendal dan pelana basikal yang masih kelihatan.
Dalam bencana kali ini, Susilo dirakam menggulungkan kaki seluarnya hingga ke lutut ketika mengharungi air banjir di perkarangan Istana Presiden di sini.
Pekarangan istana berkenaan kini ditenggelami air sehingga paras buku lali.
“Jakarta kini dilanda banjir, saya berharap tidak akan ada terlalu ramai mangsa,” kata Susilo kepada kumpulan jurugambar media.
Kosmo

Janda ditipu ‘jemaah tarik duit’

Posted on the January 17th, 2013 under Tempatan by admin
Salina menunjukkan isi kandungan sampul surat yang yang kononnya berisi wang sebanyak RM300,000, diberika Bujal selepas upacara ‘tarik duit’.
JOHOR BAHRU – “Siapa yang tidak gelap mata apabila ternampak timbunan wang sebegitu banyak, lebih-lebih lagi seorang janda beranak tiga seperti saya yang memerlukan duit untuk menanggung persekolahan anak-anak.”
Itu pengakuan Salina, 30-an (bukan nama sebenar) saat menceritakan pengalamannya menyertai kumpulan jemaah ‘tarik duit’.

Menurut Salina, jemaah berkenaan diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai Bujal 40-an yang mendakwa mampu menghasilkan wang jutaan ringgit.
“Jemaah turut disertai tujuh individu lain termasuk seorang doktor yang sanggup melabur sehingga puluhan ribu ringgit,” katanya.
Menceritakan detik perkenalannya dengan Bujal ketika menjalankan urusan perniagaannya, Salina mengakui lelaki itu mempunyai perwatakan alim selain pandai mempengaruhi orang lain dengan tutur kata sopannya.
“Disebabkan seorang rakan baik turut menyertai jemaah ini, membuatkan saya turut terpengaruh, apatah lagi saat saya dan anak-anak memerlukan wang.
“Disebabkan begitu percaya dengan pujukan Bujal, saya sanggup laburkan semua wang simpanan yang ada asalkan hasilnya berlipat kali ganda.
“Akibat terlalu taksub dengan kebolehan Bujal itu jugalah saya tergamak menggunakan wang untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,” katanya.
Selain menyerahkan wang, Salina juga diarahkan untuk menyediakan pelbagai barangan ketika ‘upacara’ menarik duit seperti tujuh helai kain satin berlainan warna, bekas bara, jarum, air mawar dan wang sebanyak RM180 atas nama bayaran fidyah.
Menurut Salina, aktiviti sesat itu dijalankan di beberapa hotel sekitar bandar raya ini di mana ahli jemaah diarahkan untuk membaca surah lazim al-Quran ketika Bujal sedang menjalankan upacara.
“Ia berlarutan selama empat bulan dan dijalankan pada 10 malam hingga awal pagi, Bujal akan menggunakan sehelai kain hitam dan kira-kira setengah jam kami membaca surah dia akan tunjukkan hasil wang diperolehi.
“Jumlah wang diperolehi memang banyak. Bayangkan daripada sehelai kain berwarna hitam kemudiannya ada duit sebanyak itu.
Menurut Salina, kemuncak aktiviti mereka berlaku sebelum Aidilfitri tahun lalu apabila pembahagian wang bermula.
Salina mengakui dalam pembahagian itu, dia memperolehi 500 keping RM50 untuk dijadikan ibu duit yang boleh menghasilkan wang sehingga RM6 juta.
“Bujal tidak membenarkan saya mengambil kesemuanya, dia hanya menyerahkan dua sampul surat, kononnya berisi sebanyak RM300,000. Namun, saya perlu mematuhi beberapa syarat sebelum melihat isi kandungan sampul surat itu apabila sampai di rumah.
“Bujal minta saya membaca surah Al-Fatihah, Al-Kausar dan Ayat Kursi, semuanya mesti dibaca sebanyak 100 kali pada tengah malam.
“Bagaimanapun belum sempat menyudahkan bacaan surah berkenaan, rakan baik menelefon dan memaklumkan apa yang diperolehi di dalam sampul surat yang diberi Bujal,” katanya.
Tanpa berlengah Salina pun melihat isi kandungan sampul surat itu dan dia terkejut apabila mendapati sampul surat berkenaan berisi kertas putih yang dipotong dan seberkas resit yang saiznya seperti wang kertas.
“Siapa yang tidak terkejut, malah salah seorang daripada jemaah kami turut meninggal dunia akibat serangan jantung selepas mengetahui keadaan sebenar.
“Bagaimanapun Bujal memberi alasan wang yang ditarik telah ‘rosak’ menyebabkan ia bertukar menjadi kertas kosong.
“Bujal berjanji jika saya serahkan RM500 dia akan menjalankan upacara itu sekali lagi. Akibat terpedaya dengan janji manis saya sanggup meminjam wang daripada ah long kerana yakin akan dapat pulangan berlipat kali ganda,” ceritanya.
Bagaimanapun kira-kira seminggu kemudian, Salina akhirnya tersedar dia sebenarnya telah ditipu Bujal dan dalam masa yang sama ah long pula memburunya kerana wang RM500 yang dipinjamnya telah naik kepada RM1,500.
Bujal pula menghilangkan diri, mujur seorang rakan baiknya bersimpati dan melangsaikan hutang berkenaan.
“Walaupun saya hanya rugi sekitar RM3,000 namun ia begitu memberi pengajaran, selama empat bulan menyertai jemaah itu, perniagaan saya merudum kerana hilang fokus. Saya berkongsi cerita ini sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mudah tertipu.
“Akibat terlalu tertekan saya masih belum melaporkan kes ini kepada polis. Mungkin dalam masa terdekat saya dan rakan lain yang ditipu akan membuat laporan supaya lelaki penipu seperti Bujal menerima hukuman setimpal,” katanya.
Sinar

Sindrom kurang sopan warga Paris

Posted on the January 17th, 2013 under Luar Negara by admin
SETIAP tahun Paris, ibu negara Perancis menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia. Begitupun, sedikit mengecewakan apabila kemasyhuran bandar raya itu tidak seiring dengan sikap penghuninya yang disifatkan para pelawat sebagai biadab, sombong dan kelam-kabut.
Menurut laporan sebuah blog CNN pada 2011, pintu gerbang Paris iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle dianggap sebagai lapangan terbang terburuk di dunia dengan reka pelannya yang begitu mengelirukan, tandas yang menjijikkan, selain staf lapangan terbang yang dikatakan tidak mesra.
“Bagaikan berada di penjara yang terputus dari segala hubungan,” kata seorang pengembara.

Kelakuan buruk masyarakat Paris tidak hanya dialami oleh para pelawat, malah turut berlaku layanan buruk sesama mereka. Sebagai contoh, pelayan restoran melayan pelanggan dengan biadab.
Seorang pakar psikiatri Jepun yang menjalankan latihan di Paris selama tiga dekad telah berjaya mengenal pasti apa yang dinamakannya Sindrom Paris dalam kalangan para pelawat yang datang ke bandar itu.
“Pelancong tiba di Paris dengan gambaran di minda jauh yang tersasar daripada realiti sebenar,” kata doktor yang tidak mahu didedahkan namanya.
“Pelancong tidak menjangka bahawa mereka akan disambut dengan begitu agresif, lantas mengakibatkan ketakutan dan diselubungi rasa bimbang.”
Setelah pelbagai usaha dijalankan yang rata-rata tidak membuahkan hasil, satu usaha terbaharu telah dijalankan oleh pihak berkuasa kenderaan awam bandar tersebut.
Menggunakan siri poster penuh humor, usaha itu menampilkan pelbagai haiwan dari sisi agresif mereka yang boleh dilihat di stesen Perbadanan Kereta Api Kebangsaan Perancis (SNCF), bas dan kenderaan awam lain.
“Ini adalah masalah di seluruh Perancis,” menurut Ketua Perbadanan Kereta Api Kebangsaan Perancis (SNCF), Guillaume Pepy, yang turut berkata, bahawa masalah tersebut telah berlarutan merentasi sempadan bandar itu.
Etika asas
Menurutnya juga, SNCF telah merekrut 100 petugas untuk mengingatkan para penumpang akan pelbagai etika asas yang perlu dituruti saat mereka menaiki pengangkutan awam.
Antaranya, larangan merokok di dalam kenderaan awam, larangan meletakkan kaki di tempat duduk bertentangan dan larangan merosakkan kemudahan awam.
Menurut Guillaume, yang paling teruk adalah penumpang lewat malam.
Meludah dan melayangkan isyarat lucah adalah perkara biasa.
“Mereka minum minuman keras secara terbuka, menghisap ganja dan meletakkan kaki di bangku penumpang,” katanya.
Sementara itu, pakar sosiologi, Dominique Picard berkata, dia tidak pasti jika kempen itu akan berjaya, tetapi mengakui sesuatu perlu dilakukan untuk mengubahnya.
Beliau juga merupakan penulis Savour Vivre, sebuah buku tentang adab yang diterbitkan pada tahun 2007.
Masalah imej adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku pada bandar raya megah seperti Paris.
“Tapi hari ini, aduan tentang ketidaksopanan di Paris semakin bertambah. Ia tidak menjurus kepada satu kelas sosial sahaja, malah turut melibatkan keseluruhan masyarakat,” tambah Dominique.
Akhbar Perancis, Marianne menyalahkan stres sebagai punca kepada masalah sikap warga Perancis terutamanya di Paris.
Tambahnya, warga Paris berada dalam keadaan lebih tertekan berbanding tempat lain disebabkan tempoh kerja yang panjang dan pertambahan penduduk sehingga menyesakkan kawasan perumahan pinggir kota. Ia menjadi tempat tinggal kepada 11 juta penduduk.
Berdasarkan kajian, 97 peratus pengguna pengangkutan awam pernah menyaksikan ketidaksopanan pengguna pada bulan sebelumnya, malah lebih mengejutkan 67 peratus mengaku melakukan kesalahan sivil kepada penumpang lain.
Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Perancis (RATP) memberi respons terhadap kempen tersebut dengan menyatakan kepentingan pertukaran senyuman ikhlas ketika berada dalam pengangkutan awam.
Tidak semua memandang rendah dengan keperibadian orang Paris.
“Selama ini, saya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Masyarakat lain hanya tidak dapat menilai perbezaan budaya,” ujar penulis blog Amerika, Karen Fawcett dalam blognya, Bonjour Paris.
Fahami budaya
Secara tradisional di Perancis, sedikit lirikan mata, tidak kira ketika berada dalam lif, pusat beli-belah atau dalam pengangkutan awam, menunjukkan sapaan antara mereka. Ia kadangkala tidak dapat diterima oleh segelintir pelancong asing.
“Menjadi tanggungjawab pelancong asing untuk memahami budaya dan cara hidup penduduk setempat, sebelum mereka terus membuat tuduhan atas layanan yang mereka hadapi,” tulis Karen.
Sebilangan penduduk Paris mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan tahap sivik seperti yang dilakukan oleh pemilik kafe, Patrick Laubignant di bandar Marciac. Bandar itu terkenal dengan penganjuran festival jazz pada musim panas.
Dia akan menaikkan cukai ‘ketidaksopanan’ kepada pelanggan yang terlupa mengucapkan ‘tolong’ ketika membuat pembelian. – AFP

Rita Rudaini Tidak Patah Semangat Dengan Krisis Rumah Tangga

Posted on the January 17th, 2013 under Artis by admin
KUALA LUMPUR: Aktres Rita Rudaini berkata dia tidak terjejas atau patah semangat dalam menghadapi konflik rumah tangga yang masih berlanjutan sehingga kini.
Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 37, berkata, tekanan dan kesulitan menghadapi kes-kes perbicaraan di mahkamah sejak setahun lalu membuatkan dia semakin kuat.
“Saya tidak akan mengalah atau berasa lemah semangat dengan apa yang berlaku. Saya tidak jadikan kesulitan ini sebagai tekanan tetapi cuba melaluinya dengan tenang dan relaks,” katanya kepada mStar Online.

Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan Abd. Radzak bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara dekat sini ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Perlis bersama anak-anak.
Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
Ditanya adakah hatinya bersedia untuk menerima lelaki semula sekiranya konflik perkahwinan itu berakhir dengan perceraian, Rita berkata, dia tidak pernah serik jika ditakdirkan bertemu dengan lelaki lain.
“Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada (lelaki) di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi sepenuh hati.
“Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya,” katanya yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Kerana Sarah untuk TV3.
mStar

Bapa minta siasat punca anak mati dalam tahanan

Posted on the January 16th, 2013 under Tempatan by admin

Ahli keluarga seorang mekanik yang ditemui mati dalam lokap polis Balai Polis USJ 8 Subang Jaya semalam meminta siasatan dijalankan bagi mengenalpasti sebab kematian pemuda berusia 30 tahun itu ketika berada dalam tahanan.
Bapa mendiang, Chang Chan Man berkata anaknya Chang Chin Te sepatutnya dibuktikan kesalahan mengikut undang-undang dan bukannya diperlakukan seperti yang disyakinya itu.
Chan ketika ditemui pemberita hari ini berkata, beliau tidak dapat menerima kematian anaknya yang didakwa “mati secara teruk”.

“Kalau polis boleh membuktikan dia bersalah, dakwa di mahkamah dan hantar ke penjara. Jangan pukul sampai mati.
“Saya berharap, pegawai tertinggi polis boleh siasat secara terperinci dan beri kita satu kebenaran,” katanya.
Chan (kiri) yang merupakan ketua jawatankuasa Kampung Baru Subang berkata anaknya meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak berusia antara dua setengah tahun hingga sembilan tahun.
Mayat mendiang kini dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibuat bedahsiasat buat kali kedua selepas bedahsiasat pertama di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Dalam sidang media di rumah mendiang, Exco Kerajaan Selangor Ronnie Liu berkata dua pegawai polis datang ke rumah isteri Chin Te di Kampung Baru Subang sekitar jam 12 tengah hari semalam dan memberitahu bahawa suaminya sudah meninggal dunia.
“Apabila ditanya oleh isteri si mati tentang sebab kematian, tidak ada jawapan. Lalu dia pergi ke hospital dan mendapati ada kesan berdarah di hidung dan telinga, muka bengkak dan dada jatuh,” kata Ronnie.
Ronnie mendakwa isteri si mati sempat mengambil gambar mendiang tetapi didakwa “dipaksa” oleh polis untuk memadamkannya.
Bagaimanapun, kata Ronnie, isteri sempat menyimpan sekeping gambar yang menunjukkan keadaan muka si mati.
Surat permit menguburkan si mati yang dikeluarkan hospital menyatakan bahawa mendiang ditemui mati di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya.
“Punca kematian masih dalam siasatan,” kata Ronnie yang membaca surat tersebut.
Turut hadir menziarahi keluarga mendiang antaranya dua exco kerajaan Selangor Teresa Kok dan Ean Yong Hian Wah, ADUN Bukit Tungku Lau Weng San dan ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim.
Sementara tu, dalam satu siaran akhbar, polis berkata Chin Te ditemui mati dengan berbuih di mulut pada kira-kira jam 8 semalam. Pasukan forensik tidak menemui apa-apa kecederaan fizikal pada si mati.
Menurut kenyataan itu, Chin Te telah dibawa ke hospital Serdang sehari selepas dia ditahan untuk pemeriksaan kesihatan dan ujian darah.
Chin Te ditangkap dengan tiga yang lain di sebuah hotel di Subang Jaya pada 10 Januari. Tempoh reman mereka adalah sehingga 15 Januari.
Menurut polis, Chin mempunyai 19 rekod jenayah sebelumnya, termasuk lima kesalahan berkaitan dadah. Semua empat suspek diuji positif mengambil methamphetamine.
Malaysiakini

Patrick Teoh dikecam hina Islam

Posted on the January 16th, 2013 under Tempatan by admin
Patrick Teoh dikecam hina Islam
SHAH ALAM – Laman sosial hari ini kecoh dengan kenyataan yang dikeluarkan salah seorang pelakon tanah air, Patrick Teoh.
Kenyataannya yang menyentuh soal sensitiviti agama Islam itu jelas mengundang kemarahan semua pihak termasuk selebriti tempatan yang mengenali pelakon itu secara dekat.

Teoh pernah berlakon dalam filem Buli, BAIK Punya Cilok, Buli Balik, Sumolah, The Red Kebaya dan Nasi Lemak 2.0.
Dalam kenyataan yang dibuat di laman Faebook itu, Teoh menyentuh soal garis panduan ’1Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013′yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kedah.
Garis panduan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kedah melibatkan aspek pakaian, nyanyian dan tarian.
Ia menetapkan cara berpakaian pegawai dan artis yang terlibat hendaklah bersopan, tidak menjolok mata, artis digalakkan membuat persembahan nyanyian dan lagu berunsurkan ketuhanan atau nasihat dan tidak melalaikan serta melampau.
Dalam kenyataan itu juga, Teoh menyentuh sembahyang lima waktu dan wanitanya yang menutup aurat.
Pagi tadi, kenyataan itu nyata turut mendapat perhatian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
“Komen yang sangat kasar terhadap Islam. Patrick Teoh mungkin boleh mengkritik keputusan kerajaan Pas tanpa komen yang kesat terhadap Muslim. Tolong jangan tunduk kepada tahapnya,” tulis Khairy melalui laman mikro Twitternya yang berharap bukan Patrick Teoh menulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, Teoh menerusi laman Facebooknya telah meminta maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkannya itu.
“Sekarang saya sedar apa yang saya buat itu salah. Saya silap. Kenyataan saya betul0betul di luar batas. Saya minta maaf dengan ikhlas kepada semua orang Islam. Tetapi saya tidak minta maaf kerana menyebut orang itu… anda tahu maksud saya. Saya harap,” tulisnya.
Menerusi mesej Twitter kira-kira 12.30 tengah hari tadi, Teoh menulis, “2 (to) all Muslims, my sincere apologies for d (the) offending FB post. It’s been deleted n (and) reasons are there for ur (your) scrutiny. Thank you for ur (your) patience. [Kepada umat Islam, saya minta maaf secara ikhlas atas mesej FB yang menyinggung perasaan. Ia sudah dikeluarkan dan sebab berkaitan (ada disertakan) untuk penilaian anda. Terima kasih atas kesabaran anda].”
Pelakon dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal pula menulis, “tolong lupakan fahaman politik kita apabila Patrick Teoh mengutuk dan mengeji agama Islam kita. Tidak kira anda Umno atau Pas.”
Beberapa artis lain seperti Tomok, Danny X-Factor dan Natasha Hudson turut mengecam tindakan itu melalui laman mikro Twitter masing-masing.
Sinar