Keluarga Kiram dakwa jadi sasaran bunuh
Sunny Ng dipercayai menginap di hotel ini (Hotel Maxim), yang berada di Resort World. Gambar kecil: Jamalul
SHAH ALAM – Kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Kesultanan
Sulu mendedahkan terdapat rancangan untuk membunuh ketua mereka, Jamalul
Kiram III, penasihat Pastor ‘Boy’ Saycon serta ahli keluarga mereka
oleh komando Malaysia.
Memetik beberapa laporan media Filipina, jurucakap kepada Jamalul,
Abraham Idjirani mendakwa, seorang berpangkat Kolonel bernama Sunny Ng
bersama dengan empat komando tiba di negara mereka untuk menyelesaikan
misi tersebut.
Abraham juga mendakwa pasukan komando ini turut mengupah tiga warga
tempatan dari New People’s Army dari Daerah Quezon untuk membantu
mereka.
Bercakap dari kediaman Jamalul di Bandar Taguig, Abraham berkata,
rancangan ini telah didedahkan oleh seorang peguam yang pernah bekerja
dengan Pastor Saycon, tetapi sekarang peguam tersebut bekerja dengan
seorang usahawan Malaysia yang bernama Kenneth Lee.
Katanya, peguam tersebut yang bernama Mario Lozada bersama dengan Lee
berjumpa dengan kumpulan Ng di Restoran Genting Palace yang berada di
Resort World, Bandar Pasay pada petang Isnin lalu.
Dakwanya, perjumpaan tersebut membincangkan rancangan untuk membunuh Jamalul dan beberapa pengikutnya.
Selain itu, Abraham juga mendedahkan daripada maklumat yang diterima
peguam tersebut, Ng dan kumpulan tersebut dipercayai menginap di Hotel
Maxim, yang juga berada di Resort World.
Sinar
8 pengganas Filipina didakwa lancar perang di Mahkamah Tinggi Tawau
Anggota
polis membawa keluar dua daripada lapan pengganas ke dalam trak polis
selepas dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini – Foto Bernama
TAWAU – Lapan warga Filipina yang berdepan dengan hukuman mati dan
penjara seumur hidup atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang
di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas, hari ini didakwa
di Mahkamah Tinggi di sini.
Semalam kelapan-lapan mereka didakwa di Mahkamah Majistret yang
bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan kes itu
diperintah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau hari ini.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Hakim P.Ravinthran.
Mereka dikawal ketat sepanjang prosiding dan tujuh daripada mereka dipakaikan ‘straight jacket’ berwarna putih.
Kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 66 tahun itu didakwa atas
pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut
Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua menjadi ahli kumpulan pengganas, mereka didakwa
di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur
hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.
Pendakwaan dikendalikan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail
dengan dibantu Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan
dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari
Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
Mahkamah menetapkan 12 April untuk sebutan bagi mengetahui
perkembangan perbincangan peguam negara untuk melantik peguam bagi
tertuduh, sama ada dilantik oleh Majlis Peguam, kerajaan Filipina
ataupun tertuduh sendiri. – Bernama
Sabah diceroboh: Tertuduh dakwa dia diupah

TAWAU – Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota
pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di
sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak
dinamakannya.
Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh
mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu
yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut
dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.
Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.
Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta
jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata
demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada
12 April nanti.
Ketika prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada
setiap tertuduh untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas
mereka dan jurubahasa perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap
kesalahan.
Tertuduh juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu
diwakili peguam kerana tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat
iaitu gantung dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan
dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan
perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Dua tertuduh itu bersama empat
yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua
lagi didakwa cuba melindungi pengganas.
Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang
di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan
pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.
Sementara itu Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama
(menjadi anggota pengganas) memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia
pada Febuari lepas menggunakan pasport antarabangsa.
Bagaimanapun Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang dengan pihak peguam.
Seorang lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili
merupakan tertuduh yang mengambil masa agak lama untuk memahami
pertuduhan.
Dia yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan
‘straight jacket’ seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan
pertuduhan
berulang kali dalam bahasa Suluk.
Habil sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan pengakuan itu tidak akan direkod.
Tertuduh pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan
melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas hanya memohon
penjelasan hukuman yang akan dihadapinya.
Atik Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.
Empat tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan
Lating Tiong hanya menyatakan ‘nothing to say’ (tiada apa yang hendak
dicakapkan).
Basad menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin
manakala Lin hanya didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta
Lating menghadapi tuduhan melindungi kumpulan pengganas.
Kesemua terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan.
Kesemua mereka tidak dibenarkan jamin.
Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di
Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap
bersenjata dan hanya seorang wartawan daripada setiap organisasi yang
dibenar masuk.
Kesemua wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi
hanya dibolehkan membawa buku nota dan pen manakala semua alat
komunikasi dan peralatan lain tidak dibenarkan.
Tiada wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.
Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi. – Bernama
Plot bunuh: Filipina gesa Kiram henti berbohong
MANILA – Kerajaan Filipina tidak mahu mengambil pusing berhubung plot
pembunuhan yang didakwa oleh Jamalul Kiram III dan penasihatnya, Saycon
Pastor.
Jurucakap Presiden Filipina, Edwin Lacierda semalam meminta Jamalul berhenti berbohong dengan segera.
“Dakwaan ini tidak masuk akal. Setiap hari beliau mengeluarkan cerita sensasi,” kata beliau pada sidang media, semalam.
Lacierda turut membaca kenyataan Penasihat Keselamatan Negara, Cesar
Garcia mengenai pengesahan komuniti perisikan mengenai plot pembunuhan
itu adalah negatif.
“Siasatan yang dijalankan mengenai dakwaan kehadiran individu tertentu juga tiada sama sekali,” katanya.
Lacierda berkata, pihaknya juga tidak pasti sama ada cerita plot pembunuhan itu sahih atau tidak.
Beliau menambah, pihaknya sukar untuk mempercayai Jamalul kerana sebelum ini mereka pernah menyebarkan berita palsu.
“Kami mempunyai pengalaman yang sama sebelum ini, mereka tidak memberitahu kami cerita sebenar,” ujar Lacierda.
Beliau berkata lagi, Jamalul juga mesti memaklumkan kepada Biro Siasatan Negara (NBI) mengenai ‘cerita’ mereka itu.
Saycon dan peguam Jamalul, Leonard de Vera telah mengunjungi NBI
petang semalam bagi melaporkan plot yang dikatakan mahu membunuh Jamlul,
ahli keluarga terdekat dan para pengikutnya.
Menurut Saycon, mereka ada membincangkan mengenai ancaman sebenar ke atas Kesultanan Sulu.
Sinar
Jamalul Kiram mahu pengikutnya dibantu
GAMBAR
fail menunjukkan Jamalul Kiram dan adiknya, Bantilan Esmail Kiram II
bercakap kepada media di Manila pada 26 Februari lalu
MANILA – Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III meminta
bantuan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) bagi menyediakan khidmat
undang-undang kepada para pengikutnya yang telah ditahan pihak berkuasa
Malaysia di Sabah.
Menurut portal berita GMA News, jurucakap Hal Ehwal Luar, Raul
Hernandez (gambar kecil) semalam berkata, keluarga Jamalul Kiram melalui
seorang anak perempuannya telah meminta khidmat Pejabat Peguam Awam
untuk menghantar surat kepada Setiausaha Luar Negara, Albert del Rosario
bagi memohon bantuan.
“Ia sedang dipertimbangkan untuk tindak balas,” Hernandez memberitahu para wartawan.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada mandat jabatan itu bagi
memberi bantuan guaman kepada warga Filipina yang menghadapi masalah di
luar negara.
Hernandez berkata, pemerintah Filipina perlu mengetahui pertuduhan
yang dihadapi mereka terlebih dahulu dan bentuk bantuan diperlukan.
Hernandez berkata, pemerintah memerlukan akses ke atas pengikut Jamalul Kiram.
Pemerintah Filipina mendakwa hanya 10 warganya ditahan oleh kerajaan Malaysia dalam pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
“Kami selalu berkata yang kami sedia membantu orang kita untuk apa jua bantuan yang diperlukan,” kata Hernandez.
Hernandez berkata, langkah seterusnya bergantung kepada penilaian DFA terhadap kes itu.
Para penceroboh itu menuntut tanah yang didakwa milik Kesultanan Sulu
di Lahad Datu menyebabkan pertempuran berlaku antara mereka dengan
pasukan keselamatan Malaysia bulan lalu. – Agensi
Jamalul arah tembak dan lari

MANILA – Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III (gambar
kecil) menyatakan para pengikutnya tidak akan berundur dari Sabah dan
sekali gus mengarahkan mereka melancarkan perang gerila terhadap pasukan
keselamatan Malaysia, lapor akhbar The Philippine Star semalam.
Jamalul Kiram kelmarin berkata, para pengikutnya di Sabah yang
diketuai adiknya, Azzimuddie Kiram berada di tanah air mereka
(Malaysia).
“Mereka sudah berada di tanah air mereka (Malaysia), justeru
kenapakah perlu pulang?” katanya kepada wartawan di kediamannya di
bandar Taguig dekat sini.
Sementara itu, jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani pula berkata, perjuangan di Sabah akan diteruskan.
Menurut beliau, gencatan senjata sebelah pihak yang diumumkan oleh
Jamalul Kiram baru-baru ini telah ditarik balik dan para pengikutnya
telah diarah untuk melaksanakan operasi ‘tembak dan lari’ terhadap
pasukan keselamatan Malaysia.
Idjirani turut mendakwa Azzimuddie dan para pengikutnya masih berada di Sabah.
Kosmo
Cerita Ngeri Ketua Kampung Kutip Mayat Pengganas Sulu
PERISTIWA enam pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dibunuh dan
diseksa di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Maclalu tidak mungkin
dapat dilupakan oleh seluruh rakyat di negara ini.
Dalam kejadian itu, tiga pengganas militan Sulu juga berjaya ditembak mati.
Namun, disebabkan faktor keselamatan, tiga mayat pengganas tersebut tidak dapat dikeluarkan dalam insiden tersebut.
Memandangkan ia terbiar agak lama, mayat-mayat ketiga-tiga pengganas
itu mula membusuk hingga meresahkan penduduk di kampung berkenaan.
Perkara tersebut kemudian disampaikan kepada ketua kampung, Ramlee Saraman.
Walaupun marah dengan pengganas yang terbunuh itu, namun Ramlee sedar
sebagai orang Islam, mayat itu harus disempurnakan seperti yang dituntut
syarak.
” Memang saya marah dengan yang mati itu, tetapi saya kena rasional
dan tak boleh terikut-ikut dengan emosi…yang mati itu seagama dengan
saya, saya tak boleh biarkan ia terus di situ, mayat mereka mesti
diuruskan, bab dosa dan pahala mereka adalah urusan Allah.
” Lagipun saya faham benar keluh resah penduduk, bayangkan anak-anak
mereka menggunakan laluan yang sama untuk ke sekolah, trauma mereka
jadinya nanti.
” Bab bau jangan ceritalah, bukan seorang, tetapi tiga!,” katanya ketika ditemui wartawan Mynewshub.my di sini semalam.
Ramlee bersyukur kerana pihak keselamatan memahami keresahan beliau dan penduduk kampung.
Malah, katanya, Ketua Polis Daerah sendiri bersedia menawarkan
perlindungan keselamatan kepada beliau dan penduduk kampung sekiranya
mereka mengambil keputusan untuk menguruskan mayat-mayat itu.
Menurut Ramlee, beliau kemudiannya bermesyuarat dengan penduduk
kampung terutama pihak surau untuk mengangkat mayat-mayat itu dari
lokasi kejadian.
Tetapi, katanya, seperti mana pasukan keselamatan, beliau dan
penduduk kampung juga merasai kebimbangan yang sama, terutama memikirkan
‘perangkap’ yang mungkin dibuat oleh pengganas -pengganas Sulu yang
lain ketika kerja mengangkat mayat itu dilakukan.
Apatah lagi, katanya, bila mengenangkan kemungkinan ada ‘pengkhianat’
di situ yang mungkin hendak membalas dendam terhadap kematian
rakan-rakan mereka.
” Saya akhirnya nekad, dengan airmata yang berlinang, saya merayu
kepada mereka yang ada di situ agar memberikan kerjasama dan tidak
melakukan apa-apa kepada kami yang hendak mengangkat mayat yang terbujur
kaku itu.
” Saya kata pada mereka, sebagai orang Islam, adalah menjadi tuntutan
kita semua untuk menyelesaikan urusan kematian pengganas-pengganas Sulu
ini, kita tidak boleh membiarkan kehadiran mayat-mayat itu menganggu
kehidupan kita di kampung ini, ” katanya.
Ketika diminta menceritakan proses mengeluarkan mayat-mayat itu,
Ramlee berkata, hanya Allah yang tahu betapa sukarnya mereka untuk
berbuat demikian.
Menurutnya, kerja-kerja itu mungkin nampak mudah tetapi keadaan mayat yang mula membusuk telah merumitkan keadaan.
Tambahnya, mereka bimbang sekiranya ia tidak dilakukan secara
berhati-hati, akan ada anggota tubuh pengganas ini yang akan ‘lerai’
kerana ia sudah membengkak.
” Selepas mayat itu kami angkat, kami letakkannya di simpang
jalan…lalu saya hubungi pihak berkuasa yang kemudiannya membawa
mayat-mayat itu ke hospital.
” Saya sempat melihat wajah-wajah mereka, ternyata ia bukan penduduk
kampung ini, malah tiada siapa pun mengenali mereka kecuali mayat yang
dalam sampan itu, ada penduduk mendakwa pernah melihat dia solat Jumaat
di kawasan berhampiran, entah betul entahkan tidak,” katanya.
Dalam pertemuan kami itu, Ramlee turut meminta semua pihak agar tidak
terus melabelkan kampungnya sebagai ‘kawasan hitam’ hanya kerana
berlakunya insiden tersebut.
Katanya, beliau sedih kerana banyak pihak mula melabelkan kampung mereka sebagai sarang pengganas dan sebagainya.
Jelasnya, insiden tersebut adalah satu perbuatan yang tidak dapat
dimaafkan tetapi tidak adil untuk menghukum semua yang ada di situ.
” Kampung ini banyak sejarahnya, ia telah mula dibuka sejak tahun 1939 dan sejak itu, kami semua hidup dalam aman dan harmoni.
” Benar, ada penduduk yang datang secara haram tetapi perkara begini
bukan hanya berlaku di kampung ini…tetapi apa boleh buat, hidup mesti
diteruskan.
” Mengenai pandangan banyak pihak yang mahu kampung kami dirobohkan,
saya harap kalau ia benar-benar dilaksanakan, kebajikan penghuni perlu
diambil kira, kami ini kebanyakannya nelayan, sebab itu rumah kami
dibuat di tepi laut…kalau ia dibuat di lokasi yang terlalu jauh, ia
sudah tentu menyukarkan keadaan,” jelasnya. – Mynewshub.my
PMO: Khabar angin Parlimen bubar hari ini tak benar

Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan bahawa perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen hari ini.
“Khabar angin yang menyatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, oleh
Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak) tidak benar sama sekali,”
kenyataan pejabat berkenaan dipetik.
Kenyataan itu disiarkan di Twitter pada kira-kira jam 1 petang,
selepas khabar angin berkenaan tersebar luas melalui SMS dan juga di
laman sosial.
Wartawan Malaysiakini juga dihujani pertanyaan daripada pembaca yang
ingin mendapat pengesahan mengenai khabar angin berhubung pembubaran
parlimen itu.
Ramai pihak menjangkakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, selepas
Najib membentangkan kad laporannya berhubung Program Transformasi
Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam siaran
langsung di kaca TV pada malam tadi.
DUN Negeri Sembilan merupakan dewan undangan pertama yang akan dibubarkan, pada 26 Mac.
Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini menjangkakan bahawa Parlimen
akan dibubarkan pada 25 Mac, sehari sebelum DUN Negeri Sembilan
dibubarkan.
Lim bagaimanapun berkata, Parlimen juga mungkin dibubarkan lima hari lebih awal daripada 25 Mac.
Tempoh pentadbiran kerajaan persekutuan berakhir pada 28 April dan
pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh
berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan bahawa pilihan raya akan diadakan serentak untuk kerusi Parlimen dan kerusi DUN.
Kenyataan PMO hari ini turut menjadi perhatian memandangkan bekas
perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menafikan, pada 12
Februari 2008, bahawa Parlimen akan dibubarkan pada keesokan harinya.
Abdullah secara rasminya mengumumkan parlimen dibubarkan pada tengahari, 13 Februari 2008 untuk mengadakan pilihan raya ke-12.
Malaysiakini