Saturday, March 10, 2012

SUSAHKE NAK JALAN HUKUM ALLAH...BUKAN SUSAH NAK DIJALANKAN TETAPI SUSAH NAK TAAT PADA ALLAH...KERANA SYAITAN BERJAYA MENYESATKAN KITA.....DUNIA MENJANJI KECANTIKANN DAN KEMEWAHAN SERTA KESERONOKAN...HINGGA LUPA MENCARI KENIKMATAN SYURGA....

Proton sasar 1,000 tempahan P3-21A



MODEL baharu Proton P3-21A yang akan dilancarkan akhir bulan ini dijangka banyak mengambil inspirasi daripada reka bentuk kereta konsep Tuah.



SHAH ALAM – Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd, menjangkakan menerima kira-kira 1,000 tempahan untuk model baharu yang ditunggu-tunggu, P3-21A, pada acara ‘Power of 1’ selama lima hari minggu depan.
“Tempahan untuk kereta global yang akan dilancarkan itu bermula 14 Mac di seluruh negara, dan pengunjung dapat menyaksikan pemasangan komponen kereta itu,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir kepada pemberita di sini semalam.
Mengenai laporan bahawa pelancaran P3-21A tertangguh ekoran isu teknikal, Syed Zainal berkata, dakwaan itu tidak benar kerana kelewatan itu disebabkan oleh faktor masa serta kehadiran pemegang kepentingan utama.
“Kami mahu memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, penasihat kami, Tun Dr. Mahathir Mohamad, serta masa pemegang kepentingan baharu adalah sejajar.

Maut semasa ke kenduri kahwin



BEGINILAH keadaan kereta yang dinaiki Norazman sekeluarga selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 210.4, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Gambang, Kuantan semalam.



KUANTAN – Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 210.4, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Gambang awal pagi semalam.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta tersebut yang merupakan Eksekutif Kualiti di kilang Proton di Shah Alam, Norazman Ibrahim, 43, isterinya, Norhayati Ibrahim, 42, dan anak mereka, Akif Iskandar, 17.
Anak perempuan mereka, Nur Rudiana, 12, pula mengalami patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa sekeluarga yang menetap di Taman Puchong Perdana, Selangor dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke Kemasik, Kemaman, Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara Norazman.
Kakak kepada Norazman, Noordinal, 49, berkata, dia dimaklumkan kejadian terbabit oleh rakan adiknya kira-kira pukul 2.30 pagi semalam melalui telefon.
Katanya, secara kebetulan rakan adiknya itu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur telah terserempak dengan kemalangan terbabit dan mengecam nombor plat kereta mangsa.
“Arwah sepatutnya bertolak hari ini (semalam) ke Terengganu, dia juga tidak beritahu kepada saya untuk bertolak awal, mungkin sudah ajal mereka.
“Mujur anak bongsu arwah, Nur Rudiana hanya cedera. Saya belum memaklumkan kematian ibu bapa dan abangnya lagi memandangkan dia masih trauma,” katanya ketika ditemui di HTAA.
Katanya, tiga beranak terbabit akan dikebumikan di kampung Norhayati di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Rentung berpeluk di bilik tidur


ANGGOTA bomba menyiasat sebuah rumah yang terbakar hingga menyebabkan tiga beranak rentung manakala seorang melecur teruk di Seri Kembangan, Serdang, Selangor semalam.



SERDANG – Seorang ibu dan dua anaknya menemui ajal dalam keadaan tragis apabila kesemuanya terkorban manakala suami wanita itu melecur teruk selepas rumah yang mereka diami di Jalan SK 6/1, Seri Kembangan di sini musnah dalam kebakaran semalam.
Lebih menyayat hati apabila mayat Huyah Thi Ngoc Thao, 30-an, dan Yap Siew Yee, 6, ditemui berpelukan di dalam bilik utama rumah teres separuh papan dan simen itu. Mayat seorang lagi anaknya, Yap Siew Yoon, 5, pula ditemui berdekatan mereka di dalam bilik itu.
Suami Ngoc Thao, Yap Yao Chong, 43, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Serdang di sini selepas dia melecur teruk ketika cuba menyelamatkan tiga beranak tersebut.
Kejadian pukul 2.55 pagi itu disyaki berlaku akibat litar pintas namun ia masih dalam siasatan pihak bomba. Ketika kejadian, dua saudara Ngoc Thao berada di dalam rumah namun mereka sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera.
Kebakaran itu turut melarat ke bahagian tepi dua buah rumah lain yang terletak bersebelahan, bagaimanapun penghuninya selamat.
Jiran mangsa, Yu Lai Di, 78, memberitahu, dia tiba-tiba terjaga selepas terdengar letupan sebelum menggagahkan diri keluar untuk melihat apa yang berlaku menggunakan tongkat.
“Sebaik keluar, saya terkejut apabila melihat rumah jiran saya sedang terbakar dan saya terus menjauhkan diri dari kawasan kejadian kerana tidak berupaya untuk membantu.

Pengantin baharu tidur lokap



DIN (kanan) menunjukkan sebahagian sijil cuti sakit palsu yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Batu Pahat, Johor semalam.



BATU PAHAT – Seorang runner yang sering berurusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini diberkas kerana disyaki mengaut keuntungan dengan menjual sijil cuti sakit palsu mempunyai cap hospital kerajaan yang dihasilkan sendiri.
Suspek lelaki berusia 27 tahun dan baru berkahwin dengan seorang pegawai sebuah bank ditahan di rumahnya di Jalan Damai di sini kelmarin.
Dia dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga RM1,500 hasil menjual 100 keping sijil cuti sakit palsu pada harga RM15 sekeping.
Semua sijil cuti sakit palsu yang dijual suspek mempunyai cap Hospital Batu Pahat atau cap Klinik Kesihatan Bagan berserta nama penolong atau pegawai perubatan bertugas di hospital atau klinik kesihatan terbabit.
Bagaimanapun, siasatan mendapati penolong dan pegawai perubatan terbabit tidak terlibat dengan kegiatan suspek itu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek mengaku membuat sijil cuti sakit palsu dengan menggunakan mesin pencetak biasa di rumahnya di sini.

Gadis mengaku lari kerana Samer



Nurul Zakiah


SHAH ALAM – Pelajar tingkatan lima yang melarikan diri dari rumah sejak 14 Februari lalu, Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, mengakui dia bertindak sedemikian kerana cintanya terhadap teman lelaki warga Pakistan yang dikenali sebagai Samer Khan.
Zakiah yang pulang sejak seminggu lalu memberitahu, dia melarikan diri selepas hubungan cinta mereka mendapat tentangan keluarga.
“Saya sebenarnya lari secara sendirian dan bukan dengan Samer.
“Pada masa itu fikiran saya berserabut kerana hubungan kami mendapat tentangan keluarga menyebabkan saya tidak boleh berfikir secara waras dan terus melarikan diri,” katanya ketika menghubungi sendiri pejabat Kosmo! di sini semalam.
Nurul Zakiah bagaimanapun mendakwa dia telah memutuskan hubungan dengan Samer dan hanya sekadar kawan sejak berita kehilangannya dilaporkan dalam akhbar.
Dia kini bertekad memulakan hidup baharu bersama keluarga.
“Memang dahulu kami bercinta tapi kini cuma kawan.
“Saya juga akan memulakan persekolahan dan kini dalam usaha untuk berpindah ke sekolah lain,” katanya yang bekerja sambilan di sebuah restoran di sini sewaktu melarikan diri.

Abang jadi hero selamatkan tiga adik



Zuhamka Eqbal menunjukkan sijil penghargaan yang diterima dengan disaksikan oleh Masetah dan ahli keluarga yang lain di hadapan rumah mereka yang hangus di Pasir Mas semalam.



PASIR MAS – Biarpun usianya baru sembilan tahun, naluri sebagai abang menjadi pendorong kepada seorang budak lelaki untuk bersabung nyawa menyelamatkan tiga orang adiknya sewaktu rumah mereka terbakar di Kampung Kelar, di sini pada Selasa lalu.
Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, hanya Zuhamka Eqbal Zakaria bersama tiga orang adiknya, Zameer Iqbal, 8, Nur Syahana Syarmila, 3, dan Nur Arriesya Damia, 2, berada di rumah.
Ketika kejadian, bapa mereka, Zakaria Rajab, 50, keluar membeli makanan sementara ibu, Masetah Ab. Rahman, 30, menjaga anak bongsu berusia 10 bulan yang sakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu, kira-kira 30 kilometer dari rumahnya.
Mengimbau kejadian tersebut, Zuhamka Eqbal berkata, dia sedang mendengar radio manakala adik-adiknya pula membaca buku sewaktu mereka terhidu bau hangit.
“Saya nampak api membakar televisyen di ruang tamu dan menyambar dinding.

Jalan sekitar KL sesak teruk



BEGINILAH keadaan kesesakan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berdekatan Desa Petaling semalam.



KUALA LUMPUR – Warga kota terpaksa meredah kesesakan jalan raya yang teruk di jalan-jalan utama sekitar ibu negara lebih lima jam bermula pukul 7 pagi semalam.
Kesesakan itu dipercayai berpunca ekoran penutupan terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) di Jalan Tun Razak berikutan banjir di Lembah Klang Rabu lalu.
Kesesakan menjadi bertambah teruk selepas kemalangan kecil melibatkan sebuah treler yang membawa muatan batu konkrit dengan sebuah van di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar di Jalan Pudu.
Ia memaksa pihak polis menutup laluan serta melencongkan jalan dari Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) ke Jalan Istana bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Tun Razak.
Jurucakap Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, kesesakan berlaku sejak awal pagi kerana orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja.
“Antara jalan-jalan utama masuk ke pusat bandar yang mengalami kesesakan luar biasa ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Kuala Lumpur-Seremban, Besraya dan Lebuh Raya Maju Expressway.
“Selain itu, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) ke Bangsar turut mengalami masalah yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, kesesakan dijangka berlarutan sehingga terowong SMART kembali beroperasi.
Sementara itu, SMART dalam kenyataannya berkata, pihaknya sedang bertungkus-lumus menyediakan terowong SMART bagi kegunaan lalu lintas secepat mungkin.

Budak cedera parah akibat tertusuk kaca



PENGAWAL keselamatan, Saebun Din menunjukkan dinding kaca yang pecah akibat dilanggar seorang kanak-kanak di Jeti Kuala Kedah, Alor Setar semalam.



ALOR SETAR – Kegembiraan sebuah keluarga dari Petaling Jaya, Selangor yang mahu bercuti ke Pulau Langkawi bertukar duka apabila salah seorang anggota keluarga mereka cedera parah di paha akibat tertusuk dinding cermin kaca yang pecah di Jeti Kuala Kedah di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 6 pagi, mangsa Foong Chun Yuan, 5, anak bongsu daripada empat beradik mahu ke kaunter tiket di jeti itu selepas keluar dari bilik air di ruang menunggu jeti.
Namun kanak-kanak itu yang dipercayai berlari terlanggar dinding cermin yang memisahkan kaunter tiket dan ruang menunggu menyebabkan cermin itu pecah dan serpihan kaca itu menusuk paha kanan mangsa.
Mangsa bersama 11 anggota keluarga lain menaiki dua buah kereta dari Kampung Cempaka, Petaling Jaya bertolak pada tengah malam kelmarin sebelum tiba di Kuala Kedah pada pukul 5.30 pagi semalam.
Bapa mangsa, Foong Kwok Mun, 40, berkata, semasa kejadian, suasana di jeti ketika itu dalam keadaan samar-samar kerana banyak lampu yang belum dipasang.

Pelajar dakwa dicabul doktor

KOTA BHARU – Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini tidak menyangka akan menjadi mangsa cabul seorang doktor pelatih lelaki di sebuah hospital dekat sini pada 4 Mac lalu.
Pelajar berusia 23 tahun itu mendakwa dicabul pada pukul 10.20 pagi ketika berada di sebuah bilik pemeriksaan di unit kecemasan hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit tiroid yang dihidapinya.
Satu sumber memberitahu, pada mulanya seorang doktor wanita mahu memeriksa mangsa namun doktor wanita itu tiba-tiba terpaksa meninggalkan mangsa kerana perlu merawat satu kes kecemasan lain.
“Tanpa diketahui tiba-tiba muncul seorang doktor pelatih lelaki dalam bilik rawatan mangsa yang terus mencabul bahagian sulit mangsa,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut sumber itu lagi, mangsa yang menyedari dirinya bukan dirawat tetapi dicabul bertindak melarikan diri dari bilik rawatan itu dan pulang.
Pelajar itu kemudian membuat laporan polis dan dan turut menulis satu surat aduan kepada pihak pengurusan hospital itu.
Namun sehingga ke hari ini, mangsa mendakwa pihak hospital terbabit belum memberi sebarang jawapan terhadap aduannya itu.

Rebus kerang punca rumah hangus



SEORANG anggota bomba memadamkan sisa kebakaran yang memusnahkan rumah seorang peniaga pasar malam di Kampung Pasar Kedai Manir, Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga pasar malam terpaksa berputih mata apabila rumah yang didiaminya sejak 50 tahun lalu hangus dalam kebakaran di Kampung Pasar Kedai Manir dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan mangsa kerugian hampir RM230,000 termasuk wang tunai RM300 yang merupakan modal untuk berniaga.
Mangsa, Abdul Aziz (gambar kecil) berkata, sebelum kejadian, dia merebus kerang di dapur untuk dijual di pasar malam di Pulau Duyong dekat sini.
Katanya, api daripada dapur tersebut tiba-tiba menyambar minyak petrol di dalam sebuah penjana elektrik yang terletak berhampiran dan menyebabkan kebakaran.
“Saya cuba memadamkan api tetapi gagal kerana ia merebak dengan pantas. Saya kemudian menyuruh anak-anak keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Lima lelaki dirotan kerana berjudi


SEORANG pesalah judi dirotan di Langsa, Aceh semalam. Reuters



LANGSA, Indonesia - Lima lelaki Aceh yang didapati bersalah berjudi dirotan di khalayak ramai di sini semalam.
Mereka dirotan di wilayah Aceh yang melaksanakan undang-undang Islam.
Mereka dirotan enam kali pada setiap Jumaat di hadapan beratus-ratus orang di sebuah padang di bandar ini, Aceh Timur.
Indonesia yang merupakan negara Islam dengan 240 juta penduduk mengamalkan dasar sekular tetapi membenarkan Aceh melaksanakan undang-undang syariah.
Ketua bahagian jenayah di pejabat pendakwa raya Aceh, Putra Masduri berkata, kelima-lima lelaki tersebut adalah antara 20 orang yang didapati bersalah melanggar undang-undang syariah pada Januari lalu.
Lima lelaki itu dirotan sebanyak enam kali.
Mereka dirotan di sebuah padang dan disaksikan ratusan orang yang menyorak semasa hukuman tersebut dilaksanakan.
Sebahagian daripada mereka menjerit dan mempersoalkan kenapa pesalah tersebut hanya dirotan sebanyak enam kali. - Agensi

Penyelidik hasilkan peta lokasi kapal Titanic



IMEJ yang didedahkan syarikat RMS Titanic Inc., menunjukkan bangkai kapal Titanic di dasar Lautan Atlantik.



PORTLAND SELATAN, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan penyelidik buat kali pertama menghasilkan peta di kawasan serpihan bangkai kapal penumpang Titanic yang karam pada 15 April 1912.
Mereka berharap peta itu dapat memberi petunjuk baharu tentang apa yang berlaku semasa kapal tersebut karam di dasar Lautan Atlantik selepas terlanggar bongkah ais.
Ekspedisi pemetaan itu yang diadakan pada 2010 melibatkan pelbagai pihak termasuk pemegang hak bangkai kapal Titanic, syarikat RMS Titanic Inc., Institusi Oseanografi Woods Hole di Massachusetts dan Institut Waitt.
Pasukan ekspedisi berkenaan menggunakan teknologi sonar dan beberapa buah robot kawalan jauh untuk merakam lebih 100,000 gambar di sekitar lokasi kapal Titanic itu.
Peta itu turut menunjukkan beratus-ratus objek dan serpihan kapal Titanic di dasar laut sekitar 600 kilometer ke selatan Newfoundland, Kanada.
Kapal Titanic karam ketika dalam pelayaran pertama dari England menuju ke New York pada 15 April 1912 menyebabkan lebih 1,500 orang maut. - AP

No comments:

Post a Comment