OIC minta perang Syria ditamatkan
AP
GAMBAR menunjukkan para
pemimpin yang mewakili negara masing-masing menghadiri Sidang Kemuncak
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kaherah semalam.
|
KAHERAH - Para pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini
semalam meminta rundingan dilakukan bagi menamatkan peperangan di Syria.
Presiden Mesir, Mohamed Morsi (
gambar) ketika berucap pada
persidangan kemuncak OIC kali ke-12 itu meminta rejim Presiden Basyar
Al-Assad di Damsyik untuk mempelajari sejarah dan tidak meletakkan
kepentingan dirinya lebih utama daripada penduduk negaranya.
Morsi yang memberikan ucapan utama dalam persidangan OIC itu meminta
anggota-anggota pertubuhan berkenaan untuk menyokong usaha-usaha pihak
penentang Bashar menyatukan dan membawa pembaharuan di Syria.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyatakan kepada pemberita
sebelum persidangan itu bermula bahawa kaedah ketenteraan bukan
penyelesaikan terhadap konflik di Syria.
Lebih 60,000 orang terbunuh di Syria sejak para penentang yang
terdiri daripada penduduk tempatan bangkit bertempur dengan tentera
Bashar sejak Mac 2011.
Ketua Majlis Kebangsaan Syria yang menjadi penentang Bashar, Moaz
Alkhatib menawarkan kepada Presiden itu untuk berunding secara damai
jika pihak berkuasa membebaskan ribuan tahanan.
Bagaimanapun, tiada komen rasmi daripada Bashar setakat ini. - Agensi
Penyerang berani mati serang pejabat perisikan Syria
BEIRUT - Satu letupan kuat berlaku semalam dengan menyasarkan sebuah
bangunan perisikan di tengah Syria menyebabkan lima askar terbunuh.
"Letupan itu adalah disebabkan satu serangan berani mati di pejabat
agensi perisikan di Palmyra," kata Ketua Pemantau Syria Untuk Hak Asasi,
Rami Abdul-Rahman.
Menurutnya, askar-askar Syria turut bertempur dengan para penyerang.
Palmyra terletak di wilayah Homs.
Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh di Syria ekoran pertempuran
antara tentera Presiden Bashar Al-Assad dengan para penentang yang
terdiri daripada penduduk tempatan.
Para penentang itu mahu Bashar meletakkan jawatan selepas beliau
didakwa gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan
bersuara.
Pertempuran di Syria bermula pada Mac 2011. - Agensi
5 maut tsunami landa Kepulauan Solomon selepas gempa bumi
SYDNEY - Satu gempa bumi kuat di perairan Kepulauan Solomon
mencetuskan ombak tsunami setinggi 1.5 meter semalam yang merosakkan
puluhan buah rumah dan menyebabkan lima orang hilang di kepulauan
berkenaan di Lautan Pasifik.
Semua mangsa yang hilang itu dikhuatiri mati.
Pihak berkuasa kemudian membatalkan amaran tsunami di pantai-pantai yang terletak jauh dari lokasi gempa bumi.
Beberapa pegawai tempatan berkata, dua ombak tsunami setinggi 1.5
meter melanda Kepulauan Santa Cruz dengan menyebabkan antara 70 hingga
80 buah rumah rosak.
Seorang jurucakap pemerintah, George Herming memberitahu bahawa ramai
penduduk kampung berpindah ke tempat yang lebih tinggi sebagai langkah
berjaga-jaga.
"Kami percaya beberapa orang terbunuh dalam bencana ini," kata Komisioner Polis Kepulauan Solomon, John Lansley pula.
Tsunami itu terbentuk selepas gempa bumi 8.0 pada skala Richter melanda dekat bandar Lata di Pulau Santa Cruz.
Lata terletak dalam wilayah Temotu iaitu bahagian paling timur di
Kepulauan Solomon pada jarak sekitar tiga jam penerbangan dari ibu kota
negara itu, Honiara.
Temotu dihuni oleh sekitar 30,000 penduduk.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyatakan, ombak tsunami setinggi tiga meter melanda sebuah dermaga Lata.
Beberapa ombak yang lebih kecil turut berlaku di Vanuatu dan New Caledonia. - AP
Pemimpin pembangkang Tunisia mati ditembak
AP
SEORANG lelaki berdiri di lokasi belaid ditembak di Tunis semalam.
TUNIS - Sebuah parti Islam yang menerajui kerajaan campuran Tunisia
menegaskan, pihaknya tidak terbabit dalam insiden seorang pemimpin
pembangkang, Shokri Belaid ditembak mati semalam.
"Parti Ennahda tidak terlibat dalam kejadian pembunuhan Belaid.
Adakah parti pemerintah sanggup melakukan pembunuhan tersebut yang
diketahui akan menjejaskan sektor pelaburan dan pelancongan negara?"
kata presiden parti berkenaan, Rached Gannouhi dalam satu wawancara
bersama agensi berita
Reuters.
Beliau sebaliknya menyalahkan pihak yang cuba menggagalkan peralihan
demokrasi di Tunisia selepas kebangkitan rakyat berlaku pada tahun 2011.
"Tunisia berada dalam situasi yang amat buntu sejak revolusi rakyat
2011. Kita sepatutnya berdiam diri dengan tidak terlibat dalam kancah
keganasan. Kita sekarang amat memerlukan penyatuan," kata Gannouhi.
Belaid ditembak di luar kediamannya di sini kelmarin dalam insiden
yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Hamadi Jebali sebagai pembunuhan
politik.
"Mereka yang membunuh Shokri mahu menutup mulutnya," kata Jebali.
Belaid yang meninggal dunia di hospital merupakan pemimpin Parti Barisan Popular.
Beliau yang juga seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia kerap
mengkritik kerajaan dengan menuduh ia menjadi boneka pemimpin-pemimpin
Qatar di Teluk Arab tetapi dinafikan oleh Tunisia.
"Belaid mati terkena empat das tembakan di kepala dan dada hari ini
(semalam). Ia ialah hari yang menyedihkan untuk Tunisia," kata seorang
pemimpin Parti Barisan Popular, Ziad Lakhader.
Berita kematiannya mendorong lebih 1,000 penunjuk perasaan berhimpun
di luar Kementerian Luar di sini untuk mendesak kerajaan sedia ada
meletak jawatan. - Agensi
Kanak-kanak sembilan tahun lahir anak di Mexico
BANDAR RAYA MEXICO - Seorang kanak-kanak perempuan yang berusia
sembilan tahun telah melahirkan seorang bayi perempuan, kata pihak
berkuasa tempatan dan anggota keluarga kanak-kanak berkenaan semalam.
"Kanak-kanak perempuan itu berusia lapan tahun semasa dia mula hamil.
Bapa bayi yang dilahirkan itu pula merupakan seorang remaja berusia 17
tahun. Namun, kami masih tidak dapat menemuinya kerana dia telah
melarikan diri," kata ibu kepada kanak-kanak perempuan berkenaan.
Seorang pegawai di pejabat pendakwa raya daerah, Jorge Villasenor berkata, pihaknya sedang memburu remaja lelaki itu.
Menurutnya, cerita sebenar perlu diketahui daripada remaja lelaki itu
bagi mengetahui sama ada dia hamil kerana dirogol atau disebabkan
penderaan seks.
Bayi itu dilahirkan pada 27 Januari lalu di Hospital Zoquipan.
Berat bayi itu ialah 2.7 kilogram.
Kanak-kanak perempuan tersebut bersama anaknya perempuannya dibenarkan keluar dari hospital itu pada hujung minggu lalu. - AFP
dua renjer Indonesia parah diserang biawak komodo
AFP
GAMBAR fail menunjukkan seekor biawak komodo di Pulau Komodo pada 2 Disember 2010.
JAKARTA - Seekor biawak komodo di Indonesia menyerang dua orang
renjer perhutanan di sebuah pulau yang menjadi habitat spesies cicak
raksasa tersebut, kata seorang pegawai semalam.
Pegawai berkenaan, Heru Rudiharto berkata, serangan itu telah
menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah dan terpaksa dirawat di
hospital.
Menurutnya, seorang renjer berusia 50 tahun sedang duduk di bahagian
hadapan pejabatnya di Pulau Rinca tengah hari kelmarin apabila seekor
biawak komodo sepanjang dua meter tiba-tiba menerpa masuk.
Pulau berkenaan menempatkan Taman Kebangsaan Komodo.
"Dia panik selepas melihat biawak Komodo itu dan cuba melompat ke
atas sebuah kerusi. Namun, binatang buas itu dengan pantas menangkap dan
menggigit kakinya," kata Heru,
Katanya, renjer itu merupakan mangsa serangan serupa oleh biawak komodo pada 2009.
Seorang lagi mangsa yang berusia 35 tahun telah mendengar jeritan dan
dengan segera berlari untuk memberi bantuan tetapi dia turut diserang
reptilia ganas itu.
Kedua-duanya berada dalam keadaan stabil selepas menerima beberapa jahitan di sebuah klinik kesihatan berdekatan, ujar Heru.
Bagaimanapun, katanya, mereka kini diawasi di sebuah hospital bagi memastikan tiada jangkitan berlaku.
Biawak komodo dipercayai memburu menggunakan strategi 'gigit dan tunggu.'
Binatang buas itu menggunakan bakteria beracun dalam air liur untuk melemahkan atau membunuh mangsa.
Namun, penyelidikan terbaharu mendapati rahang cicak raksasa itu
mempunyai kerandut racun yang boleh menyebabkan mangsa menjadi lumpuh
dan kejang serta pendarahan.
Reptilia tersebut tinggal di beberapa buah pulau di Indonesia. - AFP
Terjunan Baumgartner lebih laju
GAMBAR fail menunjukkan Baumgartner terjun dari sebuah kapsul dari langit negeri California pada 14 Oktober tahun lalu. - AP
|
VIENNA - Penerjun udara Austria, Felix Baumgartner (gambar kecil)
yang terjun di pinggir angkasa lepas Oktober tahun lalu jatuh pada
kelajuan 1.25 kali ganda lebih pantas daripada bunyi, kata pihak
penganjur semalam.
Sebelum ini, kiraan awal mendapati kelajuannya hanya 1.24 kali ganda lebih pantas daripada bunyi.
Menurut analisis terakhir pasukan Baumgartner, Red Bull Stratos,
lelaki berusia 43 tahun itu mencecah kelajuan 1,357.6 kilometer sejam
atau Mach 1.25 dalam terjunam bebas itu.
Menurut Red Bull Stratos, Persekutuan Aeronautik Antarabangsa kini
menimbang untuk mengesahkan terjunam tersebut sebagai mencatat rekod
dunia.
Baumgartner terjun dari sebuah kapsul pada ketinggian 38,969.4 meter
di langit negeri California, Amerika Syarikat pada 14 Oktober tahun lalu
dengan aksinya ditonton oleh berjuta-juta orang di kaca televisyen dan
internet. - AFP
257 peniaga ingkar kena kompaun
Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my
LIAN HOE (tengah) meninjau harga
ayam yang termasuk dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru
Cina di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Seramai 257 peniaga di seluruh negara telah dikenakan
kompaun sebanyak RM30,431 sepanjang tahun lalu kerana melakukan pelbagai
kesalahan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.
Tindakan tersebut dikenakan terhadap peniaga terbabit oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
kerana melanggar peraturan skim tersebut pada musim perayaan Tahun Baru
Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan
Krismas.
Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, daripada jumlah
itu, 181 kes adalah disebabkan kegagalan peniaga menggunakan tanda harga
khas berwarna merah jambu, 13 kes tiada tanda harga, manakala 12 kes
menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.
“Dalam operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh tersebut, KPDNKK
telah melakukan pemeriksaan terhadap 209,680 perniagaan borong dan
runcit dengan nilai rampasan berjumlah RM25,999.79,” katanya selepas
membuat pemantauan harga di Pasar Taman Muda, Ampang dan TLC Hypermarket
di sini semalam.
Wanita Malaysia diherdik jika enggan melacur
KERATAN akhbar Kosmo! keluaran Selasa
lalu yang menyiarkan kisah wanita Malaysia jadi hamba seks di Sydney.
SYDNEY - Seorang wanita dari Malaysia yang dipaksa menjadi pelacur
memberitahu sebuah mahkamah Australia bahawa dia diherdik kerana enggan
melakukan aksi seks dan dipaksa bekerja 17 jam sehari di sebuah rumah
pelacuran di sini, lapor agensi
Australian Associated Press semalam.
Mahkamah Daerah Sydney di sini diberitahu semalam bahawa seorang ibu
ayam, Wong Chee Mei mengajar wanita tersebut aksi-aksi seks yang perlu
dilakukan dan memarahinya selepas seorang pelanggan mengadu dia enggan
melakukan beberapa aksi lucah itu.
Chee Mei, 37, mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan menjalankan
perniagaan melibatkan perkhidmatan seks dan enam pertuduhan mengupah dan
mengeksploitasi warga asing dengan melanggar syarat visa mereka.
Mahkamah mendakwa Chee Mei yang juga dikenali sebagai Yoko
menguruskan rumah pelacuran Diamonds brothel di Willoughby, utara bandar
raya ini antara 2008 hingga 2010.
Mahkamah diberitahu, dia mengupah enam wanita berdarah India yang
direkrut di Malaysia dan dihantar ke Australia dengan menggunakan visa
pelajar untuk menjadi pelacur.
Menyamar anak Sultan Kedah
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my
MOHD. ASZURAIDI (kanan) didakwa
menyamar sebagai anak Sultan Kedah bagi memperdaya pegawai bank di
Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Gara-gara mendakwa dirinya putera kepada Sultan Kedah,
seorang pesawah padi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas
13 pertuduhan memperdaya seorang pegawai bank tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Aszuraidi Abd. Aziz, 31, mengaku tidak bersalah
ke atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azlan
Shah Mohd. Alias.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memperdaya seorang pegawai
bank, Akbar Mohamad, 53, antara 8 Ogos hingga 27 November tahun lalu di
Taman Istimewa Pandan di sini dengan mengaku dirinya anak kepada Sultan
Kedah dan mempunyai banyak harta di bawah nama ‘ayahandanya’ itu.
Tertuduh yang berasal dari Alor Setar, Kedah mendakwa mahu membuat
urusan penukaran nama harta Sultan Kedah kepada namanya dan memerlukan
sejumlah wang untuk tujuan itu.
Dia kemudian berjumpa dengan mangsa dan melakukan penipuan hingga
mendorong pegawai bank berkenaan menyerahkan wang kepadanya secara
berperingkat-peringkat yang keseluruhannya berjumlah RM1,898.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan penjara antara setahun hingga
10 tahun dan sebat serta sebatan bagi setiap pertuduhan.
Mohd. Azlan Shah Mohd. Alias kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali dan
Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan kes
akan disebut semula pada 6 Mac ini.
Cuba seludup 'kopi' syabu
Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com.my
HAMZA (kiri) menunjukkan syabu yang dibungkus menggunakan paket Alicafe pada sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam.
KOTA KINABALU - Taktik dua keldai dadah membungkus 1.5 kilogram syabu
bernilai RM440,000 menggunakan dua pembungkus minuman bertenaga jenama
Alicafe Power Root terbongkar apabila mereka diberkas sebelum sempat membawa bahan khayal tersebut ke luar negara Isnin lalu.
Kedua-dua suspek berusia 24 dan 34 tahun tersebut diberkas pada pukul
6.40 pagi di tebing Sungai Pasir Putih, Tanjung Batu Logpond, Tawau
ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan
mencurigakan. Salah seorang suspek merupakan warga Indonesia.
Difahamkan, sebelum itu, mereka yang sering melakukan penyeludupan
pada waktu subuh sedang menunggu rakan untuk membawa dadah tersebut ke
luar negara melalui laut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, sepasukan polis
diarahkan membuat intipan sebaik mendapat maklumat awam yang curiga
melihat kehadiran kereta berkenaan.
Katanya, ketika diserbu, salah seorang suspek cuba melarikan diri, namun gagal apabila diberkas oleh polis marin daerah Tawau.
"Pemeriksaan di dalam kereta tersebut menemui satu beg berwarna hitam mengandungi dua pembungkus minuman Alicafe Power Root.
"Sebaik dibuka, kita menemui 13 paket plastik lut sinar mengandungi
syabu seberat 1.5 kilogram dianggarkan bernilai RM440,000," katanya pada
sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, selain itu, pihaknya turut merampas wang RM40,606, kereta Proton Iswara, sebentuk cincin dan seutas rantai emas.
Menurut Hamza, polis kemudian dibawa ke sebuah rumah milik salah
seorang suspek berdekatan kawasan tersebut dan merampas sebuah kenderaan
pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Kita percaya mereka dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket
antarabangsa yang hanya menjalankan kegiatan itu pada waktu subuh untuk
mengelak dari dikesan," katanya yang percaya suspek bukan pertama kali
melakukan kegiatan haram itu.
Kedua-dua suspek kini direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Taman Warisan Batu Sapi terbiar
Oleh SANTE VILLIAMON
berita@kosmo.com.my
SARMAN melihat sampah sarap yang mencemari di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan semalam.
SANDAKAN - Keindahan Taman Warisan Batu Sapi yang menjadi kebanggaan
penduduk daerah ini suatu ketika dahulu kini hanya tinggal kenangan.
Terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar, taman tersebut
yang terkenal dengan bongkah batu yang menyerupai sapi (lembu) terus
terbiar sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang penyelenggaraan.
Tinjauan
Kosmo! ke taman tersebut baru-baru ini mendapati,
hampir keseluruhan kawasannya berada dalam keadaan daif dengan kemudahan
awam seperti tandas, jejantas dan rumah rehat telah rosak.
Lebih menyedihkan, taman yang pernah menjadi tumpuan pelancong luar
negara itu turut dijadikan tempat pemujaan berdasarkan penemuan
kain-kain kuning dan makanan yang diletakkan di atas bongkah batu
menyerupai seekor lembu itu.
Seorang penduduk, Sarman Ali, 50, berkata, taman tersebut yang
menjadi sebahagian daripada mercu tanda daerah tersebut sepatutnya
dijaga sebaiknya kerana mempunyai nilai warisan tinggi untuk tatapan
generasi akan datang.
"Setiap kali datang ke sini, saya berasa sedih dan kecewa kerana
taman ini dibiarkan begitu sahaja dengan dipenuhi semak samun dan
sampah," katanya di sini semalam.
SEORANG penduduk menunjukkan kemudahan tandas yang terbiar dan rosak di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan.
Sarman yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan memberitahu, dia
pernah membuat kerja-kerja pembersihan dan penaiktarafan di kawasan
berkenaan pada tahun 2006 bersama Lembaga Pelancongan Negeri Sabah,
namun selepas itu, ia tidak dijaga dan diselenggara dengan baik.
"Lihat sahaja sekarang, kemudahan awam semua rosak dan hanya tinggal
tiang konkrit sahaja, selain jalan untuk masuk ke taman ini berlumpur
dan dipenuhi semak," jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Chik Utu, 48, berkata, taman tersebut pernah menjadi pusat pelancongan terkenal di Sabah.
Katanya, orang ramai datang untuk melihat keunikan dan daya tarikan bongkah batu tersebut.
"Disebabkan bongkahnya menyerupai lembu, pada masa ini, ada golongan
tertentu menjadikannya sebagai tempat pemujaan sama ada untuk bernazar
atau tolak bala," katanya.
Beli petrol sebelum rentung
MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
SALAH sebuah stesen minyak yang
dipercayai menjadi tempat empat beranak membeli petrol sebelum membakar
diri di Sungai Siput kelmarin.
IPOH – Misteri kematian empat beranak yang ditemui rentung di dalam
banglo yang terbakar di Taman Bukit Medan, Sungai Siput dekat sini
kelmarin semakin terungkai apabila siasatan lanjut polis mendapati
mangsa telah membeli petrol dalam kuantiti yang banyak.
Petrol melebihi 30 liter berharga RM60 tersebut dibeli di sebuah
stesen minyak berdekatan rumah mereka beberapa jam sebelum kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, minyak itu
dibeli oleh S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya iaitu R. Thilagawati,
23, R. Puvaneswary, 21 serta R. Suhan, 17.
Berdasarkan maklumat terbaharu itu, polis masih mengekalkan kes
tersebut sebagai mati mengejut kerana ia tidak melibatkan sebarang unsur
jenayah.
Berdasarkan maklumat jiran-jiran, kali terakhir kelibat empat beranak
itu dilihat di pekarangan rumah antara pukul 6 petang hingga 7 malam.
“Jiran-jiran memberitahu, mereka tidak mendengar sebarang
pertengkaran atau pergelutan dari dalam banglo yang disewa sejak setahun
lalu oleh keluarga berkenaan pada malam kejadian,” katanya kepada
pemberita di sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, empat beranak tersebut ditemui rentung
selepas disyaki membakar diri setelah tertekan dan tidak dapat menerima
hakikat berhubung kematian ketua keluarga mereka, S. Rajan, 48, yang
meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Jumaat lalu.
Keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja
Permaisuri Bainun di sini daripada pengetahuan keluarga terdekat dan
jiran-jiran.
Menurut Mohd. Shukri, siasatan percaya keluarga berkenaan begitu
tertekan dengan kematian Rajan empat hari sebelum kejadian hingga
sanggup mengambil tindakan drastik tersebut.
Tambahnya, keluarga Jayalatchumy juga disifatkan sebagai orang yang kurang bergaul dengan masyarakat setempat.
Namun menurut Mohd. Shukri, pihaknya masih menunggu laporan forensik untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
Sementara itu, Pengawai Kanan 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak,
Rushisha Haris pula berkata, siasatan lanjut pihaknya percaya kebakaran
di dalam banglo itu telah menyebabkan tong gas di dapur meletup.
“Rumusan itu dilakukan selepas unit forensik bomba melakukan
pemeriksaan di dalam banglo yang telah 80 peratus musnah itu semalam
(kelmarin),” katanya.
Tauke stevia didakwa
Oleh WAZIHA WAHID
Waziha@kosmo.com.my
ZUBIR berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam.
|
KUALA LUMPUR – Usahawan internet dan Ketua Pengarah Eksekutif
Syarikat Megaherbs Bioextreme Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di
sini semalam atas dua tuduhan membuat tawaran pembelian saham
membabitkan skim pelaburan ‘Rakan Niaga Kontrak Stevia’ yang tidak sah
tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Dr. Zubir Yahya, 46, yang pernah menerbitkan filem
seram Gentayangan empat tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah
terhadap kedua-dua tuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.
Megaherbs Bioextreme adalah syarikat yang menjalankan perniagaan
serta kursus keusahawanan berasaskan penanaman pokok stevia bagi
menggantikan gula sebagai bahan pemanis.
Syarikat tersebut mendapat publisiti meluas dan sering menyiarkan
iklan bukan sahaja di akhbar-akhbar tetapi juga di media elektronik.
Zubir didakwa menawarkan kepada orang awam pembelian saham bagi skim
pelaburan itu walhal syarikatnya bukan menjalankan perniagaan
sedemikian.
Tawaran itu dilarang mengikut Seksyen 363 (3) Akta Syarikat 1965 dan
jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 10 tahun atau denda
RM250,000.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menawarkan pembelian saham
skim pelaburan yang sama walhal tidak mempunyai surat ikatan yang
diluluskan.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan antara 1 April 2011
hingga 13 April 2012 di Megaherbs Bioextreme, di 36-3, Blok G, Platinum
Walk, No. 2, Jalan Langkawi, Danau Kota di sini.
Bagi tuduhan kedua, Zubir didakwa melakukan kesalahan di bawah
Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan dihukum mengikut Seksyen 94(1) akta
sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000.
Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Zulkhairi
Kamaruzaman yang menawarkan jaminan RM30,000 dan RM20,000 masing-masing
untuk setiap tuduhan memberitahu, tertuduh telah menyerah diri kepada
polis dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Zubir kemudian memaklumkan dia telah mempunyai peguam namun gagal
hadir pada prosiding semalam selain memohon dikurangkan wang jaminan
dengan isteri hadir sebagai penjamin.
Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak
RM25,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 12 Mac depan untuk
sebutan kes. Tertuduh membayar jaminan tersebut.
Filem Gentayangan yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta diarahkan
oleh Zulkiflee M. Osman dan dibintangi pelakon Rusdi Ramli, Nasir Bilal
Khan, Hasnol Rahmat dan Yasmin Hani. Ia mengisahkan empat sekawan yang
pulang bercuti di sebuah kampung, namun menemui pelbagai peristiwa
misteri dan dan menyeramkan.
Bagaimanapun, penayangan filem itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.
Speaker DUN Perak fail saman malu
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
GANESAN (tengah) bersama Azad
Bashir (kiri) menunjukkan writ saman malu terhadap lima ADUN DAP Perak
di Mahkamah Tinggi, Ipoh semalam.
IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan
memfailkan saman malu RM25 juta terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) DAP Perak di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Lima ADUN pembangkang itu ialah Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan), V.
Sivakumar (Tronoh), Nga Kor Ming (Pantai Remis), A. Sivasubramaniam
(Buntong) dan Lim Pek Har (Menglembu).
Ganesan yang juga Timbalan Pengerusi MIC Perak berkata, kesemua
defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah ke atasnya selepas Sidang
Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini baru-baru ini.
“Sebelum ini, saya telah memaklumkan akan melakukan tindakan
perundangan kepada individu yang menerbitkan, menyebabkan untuk
diterbitkan, menerbitkan semula, mengulangi, menyebabkan untuk
mengulangi perkataan yang telah memfitnah saya dengan mengatakan
terdapatnya cakera padat salah laku saya.
“Saya juga telah membuat laporan polis supaya siasatan terperinci
dapat dilakukan terhadap pihak-pihak terlibat pada 22 Disember lalu,”
katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Terdahulu, beliau melalui peguam, Azad Bashir Abdul Karim Bashir
menyerahkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.53 pagi.
Ganesan memberitahu, kelima-lima defendan gagal memberi maklum balas
ke atas surat tuntutan agar mereka menarik balik tuduhan tersebut dan
memohon maaf kepada beliau yang dihantar peguamnya pada 15 Januari lalu.
Sehubungan itu, beliau telah memfailkan tindakan saman malu terhadap
kesemua defendan untuk mendapat ganti rugi injuksi, faedah dan kos.
Pada 21 Disember lalu, Sivakumar dan Sivasubramaniam pada sidang
akhbar berkenaan mendakwa menerima sampul surat berisi cakera padat yang
tertera di atasnya gambar lucah Ganesan bersama seorang wanita.