Derita angkara jurujual kereta
BUKIT MERTAJAM: “Sudahlah nama saya disenaraihitamkan malah akibat  kejadian ini suami diberhentikan kerja kerana terlalu kerap mengambil  cuti menemani saya,” kata Salmiah Budin, 42, yang menghadapi masalah  dalam urusan jual beli kereta membabitkan seorang jurujual syarikat  kereta terkenal di Juru.
Salmiah berkata, kejadian berlaku pada 28 Oktober 2009 apabila dia  mahu menjual kereta Proton Waja untuk membeli kereta baru dengan seorang  jurujual wanita syarikat berkenaan yang bertindak sebagai orang tengah.
Katanya, dia dan suami, Khidhir Shamsuddin, 43, mempercayai jurujual  itu untuk melakukan urusan penjualan kereta lamanya dengan syarikat  kereta terpakai.
“Jurujual itu memberitahu kami, selepas menjual kereta Proton Waja  itu, dia akan menyelesaikan pembayaran baki wang kepada bank kira-kira  RM29,700.
“Pada masa sama dia tidak menyatakan harga kereta  itu selain tidak mengemukakan dokumen untuk ditandatangani bagi urusan  tukar hak milik kereta sebaliknya menyatakan ada di syarikat kereta  terpakai,” katanya di Pejabat Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA  Negeri, di sini, semalam.
Menurut Salmiah, beberapa hari  selepas itu dia menghubungi jurujual terbabit bertanyakan proses  berkenaan tetapi pelbagai alasan diberikan malah jurujual itu seperti  mengelak menemuinya.
Katanya, pada Julai tahun lalu, dia mahu membeli kereta baru dan  membuat pinjaman bank namun tidak diluluskan kerana ada tunggakan empat  bulan yang belum dibayar.
“Saya hairan kerana masih ada  tunggakan kereta Proton Waja yang sudah dijual dan apabila menghubungi  jurujual itu, dia tak layan sebelum saya berjaya menghubunginya,”  katanya.    Menurutnya, berdasarkan maklumat, dia dan suami terkejut  apabila mengetahui kereta Proton Waja miliknya berada di sempadan Perlis  dan melalui bantuan beberapa pihak, kenderaan itu berjaya dibawa pulang  dan kini dalam simpanan mereka.
“Menyedari ada tidak kena, kami membuat semakan dengan bank dan  terkejut mendapati kereta Proton Waja itu ada tunggakan RM24,155.
“Disebabkan itu, nama saya disenaraihitamkan Credit Tip Off Service  Sdn Bhd (CTOS) bulan lalu. Bukan itu saja, saya kini terpaksa menanggung  beban hutang, kereta baru perlu bayar pinjaman RM800 sebulan selain  tunggakan kereta Waja RM619 sebulan.
“Lebih menyedihkan,  kerana terlalu kerap mengambil cuti menemani saya, suami yang bekerja di  sebuah syarikat swasta diberhentikan kerja,” katanya yang berharap  namanya dan suami dibersihkan.
Sementara itu, Pengerusi Biro  Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, Tan Teik Cheng berkata,  pihaknya akan membantu pasangan itu menyelesaikan masalah dihadapi  dengan menghubungi syarikat pengeluar kereta terbabit.
Suami ditahan
Oleh Raja Noraina  Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku suami  kepada seorang wanita yang dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dikerat  bersama anak lelakinya yang berusia 20 bulan di sebuah pangsapuri di  tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, Taman Kosas, Ampang,  ditahan semula untuk membantu siasatan.
Difahamkan, lelaki berasal dari Sabah itu ditahan reman mulai  kelmarin hingga 15 Ogos ini berikutan kegagalannya mengemukakan dokumen  perkahwinan.
Sebelum ini, lelaki terbabit dibebaskan  selepas keterangannya diambil. Lelaki itu dipercayai tidak melaporkan  kehilangan isteri dan anaknya itu kerana menyangka mereka pergi  menziarah rumah keluarga.
Setakat ini, polis sudah menahan sembilan lelaki termasuk lapan  warga Bangladesh bagi membantu merungkai kejadian yang bermotifkan cinta  dan cemburu.
Kedua-dua mangsa yang juga warga Indonesia  dipercayai dipukul dengan tukul besi sebelum mayat mereka dikerat dan  dibuang dalam tandas di unit pangsapuri berkenaan yang tidak dihuni  sejak 10 tahun lalu.     Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior  Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya menahan lelaki  terbabit bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita dan  kanak-kanak pada 3 Ogos lalu.
Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti sama ada lelaki terbabit  suami kepada mangsa seperti dakwaannya sebelum ini.
“Kami menahan reman dia selama enam hari sehingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di sebuah  pangsapuri terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia  yang sudah berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas di tingkat  lima bangunan itu.     Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut  ditemui dalam tiga bungkusan plastik berasingan di atas siling tandas  dan beberapa tempat di dalam rumah berkenaan.     Dipercayai, mangsa  dibunuh tidak lebih dari seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat  melebihi 15  bahagian.
‘Insaflah pak cik’
Oleh Asmizan Mohd Samiran
mizan@hmetro.com.my
KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun yang mengalami  masalah kesihatan, termasuk darah tinggi, bernasib baik tidak  menghabiskan bulan Ramadan ini di penjara apabila dibenarkan diikat  jamin selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas  tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, 27 Julai  lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Saleh, membenarkan tertuduh, Mat  Amin Hussin yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, diikat  jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira faktor  usia tertuduh.
Dalam prosiding semalam, Zainal berkata,  tertuduh dan ahli keluarga serta rakannya tidak dibenarkan menghampiri  atau mengganggu mangsa.
“Dalam kebanyakan kes rogol, saya jarang membenarkan orang yang  kena tuduh dikenakan jaminan, namun mengambil kira kepada fakta usia,  saya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin  dan kes akan disebut semula 15 September depan.
“(Bagaimanapun), jika ada sebarang gangguan terhadap mangsa yang tinggal  sekampung dengan tertuduh, jaminan itu akan dibatalkan serta-merta dan  tertuduh akan ditempatkan di penjara sehingga kes ini selesai,” katanya.
Zainal berkata, sepatutnya dalam usia lanjut, tertuduh perlu sentiasa  menginsafi diri dengan banyak melakukan kerja amal, bukan masih  terbabit kesalahan seperti itu.
“Sepatutnya pada peringkat usia pak cik, harus sentiasa berada di  surau atau di masjid, tidak sesuai berada dalam kandang orang salah  seperti hari ini (semalam),” katanya.
Berdasarkan kertas  pertuduhan, pada kira-kira jam 2 petang 22 Julai lalu di sebuah rumah  tidak bernombor di Kampung Beris Gajah Mati, Tawang, Bachok, tertuduh  didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan boleh  dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan  hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Hasrat berbuka bersama isteri  tak sampai
BENTONG: Hasrat seorang penghantar surat khabar yang dalam perjalanan  pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama isterinya, berakhir dengan  tragedi apabila dia maut selepas van yang dipandunya terbabas dan  melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 74.4, Lebuhraya  Kuantan-Kuala Lumpur, di Sungai Dua, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Zulazmi  Nuwawo, 40, dari Taman Pulai Idaman, Temerloh, meninggal dunia di tempat  kejadian akibat cedera di kepala dan dada.
Pemangku Ketua  Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor,  berkata sebelum kejadian, mangsa yang memandu berseorangan dipercayai  dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kuala Lumpur selepas selesai  menyelesaikan urusan kerja.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai  hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang  pokok.
Katanya, akibat rempuhan kuat itu, mangsa tersepit  di tempat duduk pemandu sebelum mayatnya dikeluarkan sepasukan anggota  Bomba dan Penyelamat Bentong.
“Anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
“Rawatan awal yang cuba diberikan kepada mangsa di tempat  kejadian juga gagal kerana mangsa sudah meninggal dunia. Mayatnya  dihantar ke Hospital Bentong (HB),” katanya.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.
Ikut lelaki 400km
Oleh Kasdi Ali
kasdi@hmetro.com.my
KAMPAR: Misteri kehilangan gadis berusia 17 tahun sejak seminggu lalu  akhirnya terjawab selepas mangsa ditemui dalam keadaan ‘bingung’ di  satu lokasi kira-kira 400 kilometer (km) dari rumahnya, kelmarin.
Seri Najwa Ferda Hasan yang didakwa diculik seorang lelaki menaiki  skuter merah ketika dalam perjalanan ke sekolah pada 4 Ogos lalu,  ditemui bersama seorang lelaki berusia 19 tahun kira-kira jam 9 malam  kelmarin di Air Hitam, Batu Pahat, Johor.
Lebih pelik,  mangsa difahamkan ditemui ketika sedang membeli makanan ringan bersama  dengan ‘penculiknya’ di kawasan pekan berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di  sini, untuk dipertemukan kembali dengan ahli keluarganya kira-kira jam  1.30 tengah hari semalam.
Ibu mangsa, Seri Wangi Mokhtar, 42, bersyukur ke hadrat Ilahi berikutan anaknya itu ditemui semula dalam keadaan selamat.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dan media  dalam usaha mencari anak saya sehingga berjaya ditemui. Saya anggap  kejadian ini satu dugaan daripada Tuhan pada bulan Ramadan.
“Saya reda menghadapinya kerana dugaan ini tidak akan diberikan  kepada insan yang lemah. Ia mengajar kami sekeluarga supaya lebih tabah  dan mempunyai hikmah di sebaliknya,” katanya.
Difahamkan  Najwa dipujuk lelaki berkenaan untuk melarikan diri dari rumah sebelum  dibawa ke Johor atas sebab-sebab tertentu.
Ditanya sama ada dia ingin mengambil tindakan terhadap teman lelaki  anaknya, Seri Wangi menyerahkan siasatan dan tindakan selanjutnya  kepada pihak polis.
“Saya enggan memberi sebarang komen  mengenai perkara itu dan minta diberikan masa kepada kami untuk  berbincang.    “Perkara paling penting Najwa ditemui selamat.  Insya-Allah kami akan mengadakan kenduri doa selamat dan berharap ia  adalah dugaan pertama dan terakhirnya seumpamanya dihadapi keluarga  kami,” kata Seri Wangi yang juga ibu tunggal.
Sementara itu,  Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan  mendapati kes kehilangan mangsa bukan disebabkan diculik.
“Mangsa ditemui di Air Hitam, Batu Pahat, Johor malam semalam (kelmarin)  dalam keadaan selamat dan siasatan mendapati, mangsa bukan diculik tapi  mengikut rakan lelakinya. Seorang suspek lelaki kini ditahan bagi  membantu siasatan,” katanya.
Bapa subahat
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
JITRA: Tindakan duda membawa teman wanitanya pulang ke rumah hampir  setiap malam akhirnya membawa padah apabila dia dan pasangannya dicekup  berkhalwat di  rumah di Kampung Darat, Changlun, di sini, awal pagi  semalam.
Lelaki berusia 28 tahun yang mempunyai dua anak itu  dikatakan  menjadikan rumah bapanya sebagai tempat memuaskan nafsu bersama  pasangannya berusia 18 tahun berasal dari Kampung Alor Janggus, Napoh,  di sini.
Ketika kejadian, bapanya berusia 70 tahun yang   tidur dalam bilik berasingan di rumah itu terkejut apabila pintu rumah  mereka diketuk sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam  Daerah Kubang Pasu (PADKP)  jam 1.15 pagi.
Difahamkan, kegiatan maksiat lelaki itu pernah ditegur penduduk  kampung kerana tidak mahu bersubahat tetapi disebabkan takut dengan  ugutan si anak, si bapa  mendiamkan diri dan membenarkan anaknya  bergelumang dengan dosa terutama pada Ramadan ini.
Mereka  memberi alasan terpaksa tinggal bersama di rumah itu kerana hubungan  cinta tidak direstui keluarga  perempuan walaupun mereka berhasrat  berkahwin.
Sumber berkata, berdasarkan aduan, pihaknya  memeriksa rumah terbabit dan ternampak kelibat lelaki itu cuba melarikan  diri melalui pintu belakang, tetapi gagal apabila dikepung anggota  penguat kuasa.
Katanya, lelaki yang berkemeja-T dan memakai boxer itu  gagal  meloloskan diri apabila dia terperangkap lalu terpaksa menyerah diri.
“Hasil pemeriksaan menemui wanita memakai kain pelikat dan berkemeja-T keluar dari bilik dipercayai bilik pasangannya itu.
“Selepas disoal siasat, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai ikatan suami isteri,” katanya.
Selain pasangan itu, bapa lelaki terbabit turut ditahan untuk diambil  keterangan kerana bersubahat dan membenarkan anaknya melakukan maksiat.
Katanya, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untukt laporan tangkapan.
Tempah rojak sebelum samun keluarga 
PUCHONG: Sekumpulan lelaki menggunakan taktik mahu membuat tempahan  rojak sebelum mengikat dan menyamun satu keluarga di Taman Puchong  Utama, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian  jam 11 malam itu, mangsa mendakwa didatangi  seorang lelaki di depan rumah mereka bertanyakan perniagaan bapanya yang  menjual rojak dan bagaimana untuk membuat tempahan.     Sumber berkata,  mangsa berusia 22 tahun yang ketika itu berada di rumah bersama adiknya  tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini memang ramai yang datang ke  rumahnya untuk membuat tempahan rojak yang diusahakan mereka  sekeluarga.
“Bagaimanapun, sedang mangsa rancak memberikan  penerangan berkenaan tempahan itu, tiba-tiba muncul tiga lelaki  bertopeng dan bersenjatakan parang keluar dari sebuah kereta Honda Civic  berwarna hitam yang diletakkan berhampiran sebelum bergegas mahu masuk  ke rumah mangsa.
“Mangsa  melarikan diri ke dalam rumah dan mengunci pintu namun  keempat-empat lelaki terbabit memecahkan pintu berkenaan sebelum memukul  dan mengikat mangsa bersama adiknya,” katanya.
Menurutnya, selepas mengikat kaki dan tangan dua beradik itu, mereka menggeledah rumah mangsa.
Kira-kira 10 minit selepas itu, kedua ibu bapa mangsa pulang dan turut diikat bersama kedua-dua anak mereka.
“Selain barang kemas dan wang tunai, kereta keluarga mangsa jenis Toyota Hilux turut dilarikan kumpulan terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner  Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan  kejadian itu.
Rugi RM300,000 disamun 2 ‘polis’
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar warga Iran berusia 28 tahun kerugian  RM300,000 termasuk wang tunai RM6,000 dan sebuah kereta jenis Toyota  Alphard apabila disamun dua lelaki menyamar polis di Jalan Kiara 2, di  sini petang kelmarin.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa  dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum menyedari diekori dua lelaki  warga tempatan berusia lingkungan 20-an.
Menurut sumber,  mangsa mula menyedari dirinya diekori lelaki terbabit yang menaiki  kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih ketika mereka berada di satu  lampu isyarat berhampiran One Mont Kiara sebelum salah seorang daripada  mereka mengarahkan mangsa berhenti.
ORANG YANG BAIK BERKURANGAN SEDANG 
YANG JAHAT BERTAMBAH BANYAK
H.R. THABRANI
Daripada  Aisyah ra berkata : "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Tidak  akan berlaku hari kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan  (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang  dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang  tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi  berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan  orang-orang baik".
Diantara tanda-tanda kiamat ialah : -
1. Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.
2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.
3. Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.
4. Orang yang berbuat baik sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
5. Anak-anak sudah berani melawan orang tua.
6. Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang baik dan tidak segan terhadap mereka.
Nampaknya  corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya dari apa yang  disebutkan oleh Rasulullah SAW tadi. Setiap hari kita melihat kebenaran  daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.
Kita berdoa,  mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita dan anak cucu kita dari  tergolong di kalangan mereka yang disebutkan tadi.
ZAMAN DI MANA ORANG TIDAK PEDULIKAN
DARI MANA MENDAPATKAN HARTA
H.R. NASAK (nun..sim..alif.hamzah)
Daripada  Abu Hurairah ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW : "Akan datang suatu  zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta,  apakah dari sumber yang halal atau pun haram."
Di  zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman  materialisme, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia  cakar mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin kekayaan. mereka  tidak memperdulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah  dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting, harta  dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu atau  pun untuk melayan kehendak isteri atau anak-anak mereka.