Dibunuh sebaik dilahir
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz, Mohd Rafi Mamat dan Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
KUANTAN: “Hampir menitis air mata saya melihat mayat bayi tidak
berdosa itu terperosok dalam lubang tandas, tapi demi tanggungjawab,
saya dan tujuh rakan yang lain kuatkan juga semangat untuk menjalankan
tugas.”
Demikian, kata seorang daripada anggota bomba ditugaskan
mengeluarkan mayat bayi baru lahir yang tersumbat dalam lubang tandas
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Adli, 40-an, berkata, dia dan
rakan-rakan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, mengambil masa
lebih tiga jam untuk memecahkan tandas bagi mengeluarkan mayat bayi itu,
bermula jam 8 pagi.
“Sebaik saja melihat separuh kepala bayi
itu terperosok dalam lubang tandas, kami sedar tiada cara lain untuk
mengeluarkannya kecuali memecahkan mangkuk tandas itu dengan
berhati-hati kerana bimbang ia mencacatkan tubuh bayi berkenaan.
“Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas
itu perlahan-lahan. Kami bergilir-gilir melakukannya. Ketika itu juga
hati saya bercampur baur antara sedih dan geram dengan manusia yang
membuang bayi itu,” katanya.
Buat layar pada bot
Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
SELAMAT...bot yang diikat layar kanvas. Gambar kecil, Ramli.
MELAKA: Dua nelayan yang disangka lemas selepas hilang sembilan jam
di tengah laut, tiba-tiba muncul di Pantai Puteri, Tanjung Minyak di
sini, tengah malam semalam.
Tekong bot, Ramli Mahadi, 48, dari Pantai Rombang dan awak-awaknya,
Supian Kadir, 32, dari Pantai Kundor, pulang ke pantai jam 12.10 tengah
malam menggunakan layar diperbuat daripada kanvas.
Ramli
berkata, dia terpaksa menggunakan alternatif itu selepas botnya
kehabisan minyak dan terkandas pada jam 3 petang ketika dalam perjalanan
pulang selepas menangkap ikan, 25 batu nautika dari pantai.
“Ketika bot kehabisan minyak, saya cuba mengambil minyak simpanan
dalam tong yang biasanya diletakkan di bahagian bawah, namun tiada
kerana tertinggal di tepi pantai.
“Dengan keadaan ribut
sederhana di laut dan tiupan angin yang agak kuat, saya menggunakan
kanvas untuk membuat layar untuk membolehkan bot ini bergerak ke
pantai,” katanya.
Menurutnya, dia keluar ke laut bersama Supian pada jam 6.30 pagi dan kebiasaannya pulang pada jam 4 petang.
Katanya, layar itu dibuat berdasarkan pengalamannya lebih 30 tahun
sebagai nelayan dan sudah beberapa kali tersangkut di tengah laut kerana
mengalami masalah kerosakan enjin.
“Kami tidak panik dan
takut kerana sebagai nelayan perlu berani serta menggunakan akal
mengatasi sebarang masalah. “Ini kali ketiga saya tersangkut di tengah
laut dan dua daripadanya kerana kerosakan enjin,” katanya.
Kehilangan mereka disedari peraih, Baharudin Masaah, 45, yang setiap hari menunggu hasil tangkapan mereka.
Baharudian berkata, kebiasaannya Ramli dan Supian pulang ke pantai membawa hasil tangkapan kira-kira jam 4 petang.
“Petang
tadi (kelmarin) saya tunggu mereka tidak pulang dan kira-kira jam 4
petang saya menghubungi telefon bimbit Ramli, namun isterinya yang
menjawab kerana telefon itu ditinggalkan di rumah,” katanya.
Menurutnya,
kebimbangannya mengenai keselamatan tekong dan awak-awak itu bertambah
selepas melihat tong minyak diletakkan di tepi pantai.
Katanya, dia meminta bantuan nelayan lain mencari mangsa di tengah laut.
“Bagaimanapun pada jam 8 malam nelayan yang mencari pulang kerana tidak menjumpai mereka.
“Saya
membuat laporan polis dan sekali lagi nelayan menggunakan bot besar
mencari mereka pada jam 9 malam namun hampa, katanya. Keluarga mangsa
dan nelayan memenuhi kawasan berkenaan manakala kepulangan mangsa
dengan selamat disambut dengan rasa syukur.
Penyamun maut jatuh kondo
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
DI SINI...lokasi penjenayah mati jatuh kondo ketika melarikan diri dicekup tuan rumah di Taman Cempaka, semalam.
MAUT...mayat penjenayah ditutup sebelum dihantar ke hospital.
AMPANG: Malang bagi seorang penjenayah apabila dia menemui ajal
selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah kondominium ketika cuba
melarikan diri selepas penghuni rumah yang dicerobohinya menyedari
tindakannya dalam kejadian di Taman Cempaka, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun terbabit
dipercayai terlebih dulu memperdayakan pengawal keselamatan di
kondominium berkenaan selepas kehadirannya tidak disedari mereka dan
naik ke tingkat 14 serta memecah masuk sebuah rumah di situ.
Menurut sumber, dia menggeledah rumah terbabit sebelum menemui dompet mengandungi wang tunai dan dokumen pengenalan diri.
“Lelaki itu yang masih tidak berpuas hati dengan hasil rompakan terus menggeledah barangan dalam rumah itu.
“Malah, ketika leka mencari barangan berharga, perompak
terbabit terkejut apabila tiba-tiba pintu rumah dibuka sebelum
pemiliknya masuk menyebabkan dia yang panik melarikan diri ke dapur,”
katanya.
Bakar musuh perniagaan
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
ROSAK...keadaan dalam kabin mangsa yang dibaling botol kaca bersumbu.
DIBALING...kabin milik mangsa di tempat kejadian.
KUALA LUMPUR: Angkara berebut kawasan letak kereta, seorang lelaki
bertindak kejam dengan menyimbah petrol dan membakar musuh perniagaannya
hidup-hidup di sebuah tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di
Cheras, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit
terbakar seluruh badan dan dia yang masih menerima rawatan di Pusat
Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu berada dalam
keadaan kritikal. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek dan mangsa
berselisih faham mengenai kawasan tempat letak kereta yang menjadi
tempat mereka mencari rezeki.
Menurutnya, ketika kejadian
mangsa berada dalam kabin di tempat letak kereta itu seorang diri
sebelum didatangi suspek untuk berunding mengenai hal sama dan akibat
tidak mendapat persetujuan daripada mangsa untuk melepaskan tempat letak
kereta yang dijaganya itu, suspek naik angin dengannya.
“Suspek bertindak agresif dengan menyimbah petrol ke atas mangsa
dan membakarnya hidup-hidup. Lelaki terbabit turut membaling dua botol
kaca bersumbu ke dalam kabin di tempat letak kereta itu,” katanya.
Susulan itu, katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai
yang nampak mangsa dalam keadaan terbakar sebelum pasukan peronda polis
dari Balai Polis Cheras bergegas ke tempat kejadian.
Beliau
berkata, selepas tiba di lokasi, pihaknya menemui mangsa terbaring
dengan kesan melecur seluruh badan dan dikejarkan ke PPUKM untuk rawatan
kecemasan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa dibakar dalam kabin berkenaan di tempat letak kereta itu.
“Mangsa mengalami kesan melecur di seluruh badan dan dilaporkan berada di tahap kritikal.
“Kami memburu suspek yang dipercayai musuh perniagaan mangsa dan
siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan
cubaan membunuh,” katanya.
KUALA LUMPUR: Dua beradik bukan saja berkongsi pekerjaan sama sebagai
pengawal keselamatan, malah mereka turut berkongsi minat sama iaitu
mencuri motosikal di sekitar Setapak dan Hulu Klang sejak beberapa bulan
lalu.
Bagaimanapun, tabiat mencuri kenderaan pasangan adik-beradik itu
terbantut kelmarin selepas mereka dicekup di Medan Aneka, Jalan Genting
Klang bersama sebuah motosikal yang baru dicuri pada 29 Ogos lalu di
Wangsa Maju.
Sumber polis berkata, anggota Unit Kuatkuasa
Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) mengesan motosikal Yamaha Lagenda
berwarna hitam yang digunakan dua beradik itu di Jalan Genting Klang
namun mereka melarikan diri ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, intipan berterusan ke atas kedua-dua suspek
itu berjaya menemui mereka semula jam 8.35 malam dan ketika hendak
menahan mereka, adik-beradik itu menyedari kehadiran polis sebelum
menaiki motosikal untuk beredar.
“Anggota U3K bersama dua
anggota tentera dari Cawangan Siasatan Jenayah yang cuba menahan mereka
dirempuh sebelum seorang daripada mereka diheret lebih 500 meter.
“Namun hasil kekuatan pihak berkuasa, kedua-dua suspek itu ditahan
selepas bergelut dan soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku
mencuri motosikal berkenaan di Jalan AU 1A/1B, Wangsa Maju milik seorang
pelajar pada 29 Ogos lalu,” katanya semalam.
Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur,
Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek
berusia 31 dan 26 tahun yang dipercayai adik-beradik itu berasal dari
Batu 8, Hulu Klang.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik
Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan
sebelum diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut,”
katanya.
‘Hati kami tidak cacat’
REMBAU: “Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama
seperti insan normal lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu,
saya nekad mendirikan rumah tangga walau sedar keadaan diri tidak
sempurna,” kata Azman Misnur,32, yang terpaksa menggunakan kerusi roda
selepas demam panas ketika berumur setahun.
Menurutnya, dia mula berkenalan dengan isteri, Azrina Zafarin, 28,
juga cacat anggota kaki empat tahun lalu ketika belajar dan bekerja di
bengkel Seri Sembilan, Mambau.
“Saya memberanikan diri
melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami
berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang
dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai
suami isteri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Mempelai dan
Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Pemulihan Orang Kurang
Upaya Bersama Bengkel Terlindung Negeri Sembilan bertempat di Dewan Sri
Rembau.
2 beranak pencuri
Oleh Suraya Roslan
urayaroslan@hmetro.com.my
KUALA PILAH: Seorang ayah dan anak lelakinya ‘berganding bahu’
melakukan jenayah terancang apabila sanggup menyewa lori mengangkut
jengkaut yang mereka curi sebelum meleraikan komponennya untuk dijual.
Kegiatan licik suspek berusia 59 tahun bersama anaknya yang berusia
23 tahun dari Simpang Pertang, Jelebu, dekat sini, terbongkar selepas
dua beranak itu dicekup polis pada 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam
kejadian jam 6 petang, 25 Ogos lalu, dua beranak itu mencuri satu
jengkaut dari sebuah ladang Risda di Parit Tinggi, di sini.
“Suspek dipercayai menggunakan gunting menghidupkan enjin
jengkaut terbabit sebelum melarikannya. Ketika kejadian semua pekerja di
ladang itu pulang.
“Siasatan mendapati, suspek menyembunyikan jengkaut itu di kawasan
rumahnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Bomoh, tangkal gugat tauhid
Oleh Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji
ANTARA pesan dan wasiat Nabi yang paling banyak disebut dan
diulang-ulang pada cuping telinga kaum Muslimin ialah bertakwa kepada
Allah. Ia disebut paling kurang setiap minggu setiap kali khutbah
Jumaat. Ketika itu Nabi selalu melazimi dengan memulakan ucapan dengan
wasiat bertakwa kepada Allah.
Persoalannya, tahukah kita apakah itu maksud kalimah takwa? Takwa
bukan sekadar takut kepada Allah SWT tetapi maksud sebenar takwa adalah
kita melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan segala
dilarang-Nya.
Imam An-Nawawi (wafat 676 H) mendefinisikan
takwa dengan ‘mentaati perintah dan larangan-Nya’. Maksudnya menjaga
diri daripada kemurkaan dan azab Allah Subhanahu wa Ta’ala (Tahriru
Al-Fazhil Tanbih, hal 322).
Perintah yang paling besar adalah mentauhidkan-Nya yakni
mengesakan-Nya. Mengesakan Allah daripada segala perkara yang membawa
kepada syirik. Adakah kita sudah mengetahui apakah itu tauhid yang
sebenarnya? Beriman dengan tauhid yang benar Ini adalah perkara
penting dalam kehidupan kita. Bahkan kebanyakan kitab yang ditulis oleh
ulama Ahli Sunah Wal Jamaah, mereka membahaskan tauhid terbahagi kepada
tiga komponen. Kita perlu menguasainya iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid
Uluhiyah dan Tauhid Asma Wa Sifat. Beriman sepenuhnya kepada ketiga-tiga
jenis tauhid ini.
Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabit
(wafat 150 H) menyebutkan: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari
bawah (isyarat kepada Tauhid Asma Wa Sifat), kerana bawah bukan daripada
Rububiyah dan Uluhiyah sesuatupun.” (Kitab al-Fiqh al-Absat, hal 51)
Tauhid Rububiyah iaitu kita beriman kepada kekuasaan Allah yang
memberikan rezeki, yang menciptakan kita. Tauhid Uluhiyah iaitu kita
beribadah kepada Allah, menyembah diri kepada Allah tanpa syirik
kepadanya dengan cara yang unnah bukan bid’ah, dan Tauhid Asma Wa Sifat
iaitu kita beriman kepada nama dan sifat Allah yang diwahyukan di dalam
al-Quran.
Apa yang dijelaskan oleh Nabi tanpa takwil
(mengubah maksud), tamsil (menyerupakan), ta’thil (menidakkan makna),
dan takyif (bertanya bagaimana). (lihat: Syarah Tslalatsatul Ushul karya
Syaikh Utsaimin dan Syarah Al-Aqidah Washithiyah karya Dr Shaleh
Al-Fauzan) Perkara terbesar yang dilarang oleh Allah di dalam perkara
takwa adalah syirik kepada Allah, lawan kepada tauhid. Sekecil-kecil
syirik lebih besar mudaratnya daripada sebesar-besar dosa maksiat selain
syirik. Perkara syirik adalah perkara yang paling pokok yang perlu
dijauhi. Amalan syirik membatalkan tauhid Pertama: Bomoh. Di dalam
hadis sahih daripada Nabi yang bermaksud: “Barang siapa datang berjumpa
tukang tilik (bomoh) dan dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka
sesungguhnya dia sudah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi
Muhammad.” (riwayat Imam al-Bazzar dan Abu Dawud) Bahkan di dalam
hadis lain pula Nabi menyebutkan bahawa barang siapa yang datang saja
kepada bomoh, tidak diterima solatnya 40 hari. Ini tidak bermakna mereka
tidak perlu menunaikan solat, sebaliknya kewajipan solat tidak
terangkat, tetapi solat itu tidak diterima oleh Allah. Pada hari ini,
bomoh, dukun mahupun pawang, mereka tidak lagi memakai ‘name tag’ itu
lagi. Mereka menggunakan nama lain untuk mengelirukan masyarakat yang
tidak mengetahui ciri-ciri bomoh.
Mereka menggunakan nama baik, sedap didengar seperti pakar motivasi,
konsultan, ustaz dan sebagainya. Tetapi jika kita mempelajari, kita
akan mengerti bahawa bomoh itu dikenal bukan pada namanya tetapi pada
ciri-cirinya.
Di antara satu cirinya ialah mereka sentiasa
mengetahui perkara ghaib, sedangkan Allah sajalah yang mengetahui
perkara ghaib. Nabi sendiri tidak mengetahui perkara ghaib melainkan apa
yang diwahyukan kepadanya.
Apabila kita datang kepadanya, bomoh kebiasaannya akan mengatakan
ayat seperti: “Anda ini ada penyakit, penyakit anda sebab ada orang lain
yang buat.” Bagaimana dia mengetahui? Ini antara bahayanya, kerana
datang berjumpa bomoh itu, termasuk di dalam perkara syirik kepada
Allah.
Kedua: Tangkal. Di antara perkara yang kita lihat
kebanyakan masyarakat melakukannya adalah mereka tidak dapat terlepas
daripada menyingkirkan segala musibah ataupun bala kecuali dengan
memakai tangkal. Tangkal adalah sesuatu digantungkan dan dipercayai
dapat menghindarkan pemakainya daripada mudarat. Segala penyakit yang
kita takuti terkena ke atas kita boleh terhindar. Maka itulah dinamakan
tangkal. Hadis Nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang menggantung
tamimah (tangkal), maka sungguh dia syirik.” (sahih, riwayat Imam Ahmad,
4/156) Sebagai contoh, ketika mana anaknya menangis tidak berhenti,
mereka pergi ke hujung kampung kepada orang yang boleh menghentikan
tangisan anaknya. Diletakkannya benang hitam supaya boleh menghilangkan
tangisannya. Jika berhenti tangisan anak itu disebabkan benang tersebut,
ia adalah talbis iblis (perangkap iblis) kepada pelakunya.
Kadangkala kita melihat juga bilamana ada insan hendak melakukan sesuatu
perniagaan, membuka kedai, mahu untung dalam perniagaan, maka mereka
meletakkan tangkal, azimat dan pelaris. Kadang-kadang tangkal itu nampak
seperti bercirikan Islam seperti tulisan jawi, tetapi jika diteliti ia
adalah syirik terhadap Allah. Kalau kita baca fadilat tangkal (yang
dicipta pembuatnya), dikatakan benda ini sekiranya ditampal di rumah
nescaya rumah tidak akan terbakar. Pencuri tidak akan masuk. Perkara
seperti rumah dimasuki pencuri, rumah terbakar, semuanya adalah mudarat.
Mudarat ini hanya Allah yang boleh hindarkan. Maka kita diajar agar
memohon kepada Allah agar menghindarkan perkara buruk, bukan kita
bergantung kepada tangkal.
Ada yang terus mengambil ayat
al-Quran untuk melariskan perniagaannya. Diletakkan ayat seribu dinar,
sedangkan ayat seribu dinar ini Nabi tidak pernah memberi nama seribu
dinar. Tetapi mereka beriman dan percaya sekiranya ayat tersebut
diletakkan maka pelanggan akan datang dan perniagaan akan laris.
Jika ditanggalkan atau diturunkan ayat itu kemudian ditakdirkan tidak
ramai pelanggan yang datang, nescaya dia percaya premisnya tidak
dikunjungi kerana ayat itu sudah ditanggalkan. Inilah yang dikatakan
syirik kepada Allah. Pergantungannya 100 peratus kepada Allah sudah
dihapuskan dengan tangkal yang mereka ciptakan. Bentuk tangkal ini
boleh wujud dalam beberapa bentuk seperti keris, batu-batu, barang antik
dan bermacam lagi yang siap dibungkus. Benda yang dianggap keramat ini
dijadikan tempat meminta sesuatu dan pergantungan, walhal seharusnya
kalau diinginkan sesuatu hendaklah minta terus kepada Allah secara
langsung, kerana sesungguhnya Allah pasti akan menerima doa orang yang
tidak melakukan syirik.
Satu kisah terjadi pada zaman Nabi
berkaitan tangkal, iaitu cerita Imran bin Hushain. Nabi melihat di
tangan sahabatnya ini gelang kuning. Maka Rasulullah bertanya: “Apakah
ini?” Dia menjawab, “Penangkal sakit.” Nabi berkata, “Lepaskannya.
Kerana ia hanya akan menambah kelemahan pada dirimu kerana jika kamu
mati sedang gelang itu masih ada pada tubuhmu, maka kamu tidak akan
beruntung selama-lamanya.” (sahih, riwayat Imam Ahmad) Penulis lulusan
Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM) adalah Ketua Biro
Sekretariat ILMU
9 berhimpit bilik sempit
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: “Kami sembilan beranak terpaksa tidur berhimpit di bilik
sempit ini pada waktu malam setiap kali air hujan menitis menerusi
siling yang bocor di ruang tamu.
“Kami bukan enggan berpindah dari kediaman usang yang hanya
mempunyai sebuah bilik ini namun dengan pendapatan RM600 sebulan, ia
tidak cukup bagi membayar sewa rumah,” kata Ruziah Marzuki, 40, ketika
ditemui di kediamannya di Jalan Labu, Kampung Bendahara di sini,
semalam.
Ruziah berkata, kesempitan wang dihadapi sejak
bergelar ibu tunggal hampir setahun lalu mengakibatkan dia tidak mampu
membaik pulih rumah papan yang dihuni lebih 20 tahun itu.
Menurutnya, dia yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun
terpaksa bekerja sambilan supaya dapat memberi perhatian lebih kepada
mereka sejak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Selain mengambil upah menjahit, saya juga membantu kenalan yang
memiliki perniagaan katering selain mempromosikan mesin layan diri
minuman keluaran sebuah syarikat bagi menambah pendapatan.
“Walaupun melakukan tiga kerja sambilan bermula petang hingga malam, pendapatan diperoleh hanya kira-kira RM600 sebulan.
“Menyedari beban dipikul, anak kedua, Nur Farah Amirah Hamdi yang
berumur 16 tahun bekerja sambilan di sebuah gerai makan berhampiran
kediaman dengan pendapatan RM200 sebulan, ia digunakan bagi menampung
perbelanjaan persekolahan adiknya.
“Begitu juga dengan anak
sulung berumur 18 tahun, Mohd Fariezth, dia lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan mendapat lapan kredit dalam peperiksaan itu.
Bagaimanapun, Fariezth menangguhkan hasrat melanjutkan pelajaran kerana
bekerja sambilan sebagai jurujual di pusat beli-belah bagi membantu
keluarga,” katanya.
Selain Fariezth dan Nur Farah, enam anak Ruziah yang lain ialah
Firdaus, 15; Nurfatihah Natasya,12; Mohd Faiz, 10; Nurfarisha, 17;
Nurfardiena Najwa, tiga tahun dan Nurfarina, setahun.
Ruziah berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini dan berharap ia diluluskan.
Menurut Ruziah, bagi memastikan pendapatan keluarganya mencukupi, dia
juga berjimat dalam soal pemakanan di mana dia hanya memasak makanan
sederhana bagi mengisi perut ahli keluarga.
“Ia juga bagi
mengelakkan keluarga kami terputus bekalan makanan. Saya biasanya
menyediakan lauk telur masak kicap bersama nasi selain mi segera untuk
mengurangkan kos perbelanjaan dapur.
“Melihat kesusahan
kami, ibu saya yang dimamah usia dan tinggal berjiran selain
adik-beradik ada kalanya menyumbang bekalan makanan.
“Hingga
kini, saya tidak pernah mendesak bekas suami menghulurkan bantuan
memandangkan dia juga bukan hidup senang, namun saya berdoa mampu menaik
taraf keadaan keluarga bagi membolehkan anak menjalani kehidupan lebih
selesa,” katanya.
Atuk Zali diberkas lepas cabul budak tiga tahun
SEGAMAT: Aduan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang
mengalami kesakitan di bahagian kemaluan ketika membuang air besar
mendedahkan rahsia dia dicabul oleh seorang lelaki pada Ogos lalu.
Mangsa sebelum itu dihantar ibunya yang berusia 31 tahun untuk
dijaga lelaki terbabit selama seminggu kerana wanita berkenaan mahu
menguruskan beberapa perkara.
Ketua Polis Daerah,
Superintendan Hanafi Daud berkata, pada jam 10 malam, 31 Ogos lalu,
mangsa mengadu sakit di bahagian terbabit kepada ibunya.
“Mangsa yang petah bercakap kemudiannya memaklumkan kepada ibunya
bahawa seorang lelaki dikenali Atuk Zali memasukkan jari ke dalam
kemaluannya menggunakan bedak ibunya itu.
“Wanita berkenaan
membawa anaknya itu ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan sebelum
dimaklumkan mangsa berkemungkinan dicabul selain terkena jangkitan kuman
di bahagian terbabit,” katanya.
Menurut Hanafi, ibu mangsa
menganggap Atuk Zali sebagai bapa angkat dan lelaki terbabit bekerja
sebagai pencuci kereta serta berasal dari pantai timur.
Hanafi berkata, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan berkaitan
kejadian kelmarin sebelum suspek ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau
membabitkan curi dalam bangunan di Jalan Tun Razak serta Dang Wangi,
Kuala Lumpur pada 1993 serta 1997.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul dan suspek masih direman,” katanya.
‘Saya sesal pukul dia’
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
IPOH: “Saya pelik apabila dia mampu membeli pakaian mahal dan
tiba-tiba mempunyai banyak wang. Saya syak dia mempunyai hubungan sulit
dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk,” kata seorang pengurus
pemasaran, Calven Chik Foo Keong, 26, yang terbabit dalam kes memukul
isterinya, Amanda Fong, 19, sebelum kejadian itu menjadi topik hangat di
laman sesawang YouTube.
Dia yang menjadi cemuhan puluhan ribu pengguna Internet sejak tiga
hari lalu menyedari kesilapan dilakukan dan tidak mahu mencari sebarang
alasan bagi menutupi kesalahannya itu.
Menurutnya, dia menyesal kerana memukul isterinya hingga cedera selepas berlaku pertengkaran mulut dengan wanita berkenaan.
“Saya tidak mahu bercerita panjang atau menyalahkan sesiapa, namun
perkara ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk campur tangan
ibu mertua saya,” katanya yang dipetik dari sebuah portal berita.
Calven berkata, dia juga mengesahkan isterinya itu pernah
menghadapi tekanan perasaan sehingga dikatakan pernah menggugut untuk
membunuh diri.
Dua peragut lembik dipukul
Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: Dua peragut dibelasah hingga lembik oleh sekumpulan
individu sejurus ditahan dalam cubaan meloloskan diri selepas meragut
rantai emas milik seorang wanita menyebabkan seorang daripadanya dirawat
di hospital manakala rakannya ditahan polis bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian berhampiran jejantas di Pasar Borong Pandan di sini,
jam 4.40 petang, Selasa lalu, mangsa dikatakan ditolak seorang daripada
suspek sebelum rantai emasnya diragut.
Mangsa menjerit meminta tolong dan orang ramai segera membantu.
Kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan sebelum dibelasah hingga
lembik oleh beberapa individu yang berang dengan tindakan suspek
sebelum diserahkan kepada polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah
Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Abdul Samad Salleh ketika
dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.
“Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dihubungi orang awam yang berjaya memberkas kedua-dua suspek.
“Ketika tiba di situ, kedua-dua suspek dalam keadaan tidak bermaya
manakala tangan mereka diikat oleh orang awam,” katanya, semalam.
Menurut Samad, kedua-dua suspek dihantar ke hospital dan seorang
daripada mereka masih menerima rawatan di wad manakala rakannya dirawat
sebagai pesakit luar.
Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berjaya menemui semula rantai emas didakwa diragut daripada mangsa.
Samad berkata, pihaknya memuji tindakan orang ramai bekerjasama untuk
memberkas kedua-dua suspek, sekali gus menunjukkan sikap prihatin
masyarakat dalam membantu pihaknya membanteras jenayah jalanan.
“Bagaimanapun, orang ramai dinasihati supaya tidak bertindak melulu
dengan memukul suspek sesuka hati kerana dikhuatiri boleh menjejaskan
siasatan yang kami akan jalankan.
“Terima kasih kepada
individu yang membantu menahan suspek, tetapi saya harap, pada masa
depan, jangan belasah suspek sebaliknya tahan mereka dan tunggu hingga
kami tiba,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.
Kuasai Internet
Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
SHAH ALAM: Pendakwah di negara ini perlu menguasai serta meningkatkan
kemahiran penggunaan media sosial yang ada pada masa kini bagi
menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, penggunaan media sosial dilihat relevan kerana berkemampuan
menyampaikan maklumat dengan pantas.
Sehubungan itu,
pihaknya bercadang mengadakan kursus khas membabitkan penguasaan media
sosial kepada pendakwah di negara ini.
“Dengan perubahan teknologi pada masa kini, pendakwah juga perlu
seiring menguasai media sosial seperti facebook, twitter dan pelbagai
lagi untuk memudahkan penyampaian maklumat dan berdakwah,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negara 2012, di
sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata,
pihaknya sudah mencadangkan kepada semua negeri supaya jawatan mufti
dinaikkan setaraf dengan Exco kerajaan negeri masing-masing.
Katanya, kerajaan juga akan menaikkan gred jawatan mufti daripada Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) C kepada gred Jusa B.
“Perak dan Wilayah Persekutuan sudah melaksanakan cadangan itu dan
terpulang kepada kerajaan negeri lain melaksanakannyaKeperluan
menjemput mufti menyertai mesyuarat Exco negeri juga terpulang kepada
kerajaan negeri,” katanya.
KEMAMAN: “Aku amat sayang isteri, anak dan seluruh ahli keluarga
serta waris-waris aku,” itu catatan terakhir Abdul Hisham Ahmad, 23, dua
hari sebelum meninggal dunia selepas cedera di perut dipercayai akibat
tikaman satu objek tajam ketika bergelut dengan abangnya di rumah ibu
bapa mereka di Kampung Telaga Papan, Kerteh, di sini, dalam kejadian jam
8 malam, Selasa lalu.
Isteri mangsa, Ruhil Amani Kamarudin, 17, berkata, pada malam Ahad
lalu, dia mendapati arwah suaminya itu menulis sesuatu dalam buku
catatan manakala anaknya, Abdul Hadi Dhiyauddin Abdul Hisham, 2, tidur
di sebelah arwah dalam bilik.
“Saya menghampiri arwah dan
bertanyakan apa yang ditulisnya, namun arwah memarahi saya supaya tidak
mencampuri urusannya sebelum mengoyak helaian kertas berkenaan,”
katanya. Semalam, Harian Metro melaporkan Abdul Hisham terbunuh
dipercayai ditikam dengan objek tajam selepas bergaduh dengan abangnya
di rumah ibu bapa mereka.
Daniel tidak lagi takut untuk makan, minum
SEBELUM ini, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub yang disambung ke perutnya.
LONDON: Seorang budak yang tidak pernah makan sepanjang hidupnya,
mencipta keajaiban apabila mengambil makanan untuk kali pertama
baru-baru ini, lapor media semalam.
Daniel Harrison, 5, mengalami alahan serius ketika menyusu semasa masih bayi, menyebabkan dia takut kepada makanan atau minuman.
Untuk
meneruskan hidup, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub ke
perutnya. Namun, hasil rawatan pakar di Austria, Daniel kini boleh
menikmati makanan seperti orang lain. Bapanya, Kevin Harrison, 43,
berkata tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaannya melihat Daniel
mengambil makanan seperti budak normal.
“Ia seperti memenangi Piala Perdana, Piala Eropah dan Piala Dunia
sekali gus,” katanya. Menurut Kevin, sesetengah makanan utama perlu
dilenyekkan terlebih dulu kerana Daniel masih sukar mengunyah akibat
otot di mulutnya tidak berkembang dengan baik.
“Daniel boleh
makan apa yang kami makan, dan dia sukakan coklat serta biskut,”
katanya. Menurut Kevin, dia amat bangga dengan perubahan berlaku pada
Daniel.
“Saya berasa seperti akhirnya berjaya melakukan
tanggungjawab sebagai bapa,” katanya. Sebelum ini, Kevin dan isterinya,
Catherine, membawa Daniel ke Hospital Universiti di Graz, Austria,
untuk membolehkan pakar di situ memberi rawatan sewajarnya.
Kaedah disediakan di hospital itu tidak diamalkan di Britain.
Melalui kaedah itu, Daniel berjaya disedarkan bahawa dia memang perlu
dan mahukan makanan. Pakar perubatan menggunakan pelbagai kaedah khusus
bagi memujuk Daniel supaya lebih terdedah kepada makan dan mengurangkan
ketakutan memasukkan makanan ke mulut. Kaedah itu turut dipraktikkan
ke atas 12 pesakit dari seluruh dunia dan semuanya berjaya. - DM
Wartawan diserang ketika rakam gambar menteri
LAGOS: Seorang wartawan akhbar harian Nigeria diserang polis dan
dikasari anggota keselamatan negara itu selepas dia mengambil gambar
rombongan seorang menteri Kabinet tersangkut dalam lumpur, semalam.
Bertugas di akhbar harian The Guardian, Terhemba Daka berkata, dia
mengikuti lawatan Menteri Negara Kenya, Olajumoke Akinjide, bersama
wartawan lain di pinggir Abuja.
Katanya, menteri terbabit dibawa melawat ladang jagung di Kuchibunyi.
“Apabila konvoi menteri itu tersangkut, saya menggunakan telefon bimbit BlackBerry untuk merakamkan gambar berkenaan,” katanya.
Sejurus
kemudian, kata Daka, dia diserang polis dan anggota Perkhidmatan
Keselamatan Negara. “Polis kemudian memadamkan gambar berkenaan dari
telefon bimbit saya,” katanya. Menurut laporan pertubuhan Committee to
Protect Journalists, selain mendapat gaji murah, wartawan di Nigeria
serang dikasari dan diserang anggota keselamatan, manakala sesetengah
mereka juga dibunuh. - AP
Barang kemas Imelda dipamer
MANILA: Filipina bercadang untuk mempamerkan barang kemas bekas
isteri Presiden Ferdinand Marcos, Imelda, yang dirampas 26 tahun lalu
dan berharap ia dapat menjadi daya tarikan pelancong.
Koleksi bernilai kira-kira AS$8 juta (RM25 juta) itu disimpan di peti
besi di bank sejak berpuluh tahun selepas dirampas sebagai sebahagian
aset yang disyaki dicuri oleh keluarga Marcos sebelum melarikan diri ke
Amerika Syarikat pada 1986, selepas 20 tahun memerintah negara itu.
Pegawai Kanan Suruhanjaya Presiden Kerajaan Baik, Maita Gonzaga
berkata, kerajaan bercadang untuk melelong barang kemas itu selepas
mempamerkannya di sebuah muzium.
“Ia dapat menarik pelancong dan menjadi pengajaran yang tidak boleh dilupakan. Ini adalah bukti kukuh mereka mencuri,” katanya.
Sebahagian daripada koleksi barang kemas itu ditemui oleh kerajaan
AS ketika keluarga itu tiba di Honolulu, sementara yang lain dirampas
daripada rakan Greek Marcos ketika cuba menyeludupnya keluar. - MT
Lelaki simpan bahan letupan di rumah diburu polis
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia melancarkan operasi memburu seorang
lelaki setelah menemui bahan letupan di sebuah rumah di luar Jakarta,
kata polis, semalam.
Jurucakap Polis Jakarta, Rikwanto berkata, jiran menelefon polis
apabila melihat asap keluar dari rumah kepunyaan lelaki bernama Muhammad
Toriq, yang kemudian melarikan diri, meninggalkan ibu, isteri dan
anak-anaknya.
“Petang kelmarin, penduduk menelefon polis untuk melaporkan asap
keluar dari rumah Muhammad Toriq. Anggota polis tiba dan satu jam
kemudian, menemui bahan letupan,” katanya.
Katanya, mereka bekerjasama dengan agensi antipengganas dan Polis
Nasional untuk mencari dan menyoal siasat sama ada suspek terlibat
dengan kumpulan pengganas.
Antara bahan yang ditemui adalah alat peledak, serbuk aluminium, sulfur dan beberapa kotak paku.
Kejadian itu berlaku selepas satu kes tembakan minggu lalu di Solo,
Jawa Tengah, yang menyebabkan dua suspek pengganas dan pegawai
antipengganas terbunuh.
Polis menahan seorang lagi suspek kelmarin di luar Jakarta kerana menyerang polis Solo. - Jakarta Post