Pergerakan balik raya lancar
PERGERAKAN trafik lancar menghala ke
utara (kanan) yang dirakam dari jejantas Hentian Rehat Sungai Buloh
pada pukul 6.45 petang semalam.
KUALA LUMPUR - Bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka
disambut esok kian terasa apabila semakin ramai warga ibu kota mula
pulang ke kampung halaman masing-masing sejak pagi semalam.
Bagaimanapun, tindakan pihak pengendali lebuh raya memperkenalkan
cadangan waktu perjalanan telah berjaya mengatur pergerakan masuk trafik
secara berperingkat-peringkat dan berjaya mengelak kesesakan di laluan
utama khususnya Lebuhraya Utara-Selatan.
Maklumat Twitter Plustrafik setakat pukul 9.40 malam tadi tidak
melaporkan sebarang kesesakan luar biasa melainkan aliran kenderaan yang
meningkat dari Sungkai hingga ke Tapah.
Laporan LLMinfotrafik pula mendapati aliran trafik meningkat dari
Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah untuk perjalanan ke Pantai Timur
tetapi pergerakan kenderaan masih lancar.
Keadaan yang sama juga dapat dapat dilihat di hentian-hentian bas
utama khususnya Hentian Pudu Raya, Hentian Putra dan Hentian Jalan Duta
semalam.
Tinjauan
Kosmo! mendapati walaupun jumlah penumpang lebih ramai daripada biasa, ia tidak menyebabkan kesesakan di luar jangkaan.
Guru tadika,
Munirah Hashim, 23, terpaksa meminta pelepasan kerja separuh hari daripada majikannya untuk pulang ke Kamunting, Perak pada sebelah petang.
"Saya terpaksa berbuat demikian kerana tiket pada waktu malam sudah
habis dijual di Hentian Pudu Raya walaupun saya telah cuba membelinya
sejak awal Ramadan lagi," katanya.
Bagi
Saizzah Salim, 26, pula, dia lebih selesa menggunakan
pengangkutan awam untuk pulang berhari raya di Kuala Terengganu walaupun
mempunyai kenderaan sendiri.
Katanya, dengan menaiki pengangkutan awam, dia tidak perlu risau untuk menempuhi kesesakan jalan raya.
"Walaupun terpaksa bersesak untuk membeli tiket bas, ia lebih
berbaloi dan menjimatkan. Saya hanya naik dan tunggu untuk tiba sahaja
ke destinasi," jelasnya.
Di
Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh, pasangan warga emas,
Abdul Wahab Saksi, 63, dan
Rokiah Hassan,
63, dari Kampung Gajah mahu beraya di rumah anak mereka, Abdul Fathil
Sham, 30, yang tidak mendapat cuti di Setapak, Kuala Lumpur.
"Tiga lagi anak kami juga menetap di Kuala Lumpur, tak sedap rasanya menyambut Aidilfitri tanpa semua anak dan cucu.
"Baik kami beralah dengan pergi ke rumah anak agar raya lebih meriah," katanya.
Di
Terminal 1, Seremban, pelatih Kolej Hospital Pakar Nilai (KPJ),
Nurul Hazmah Naman, 20, sudah tidak sabar untuk balik raya di Johor.
"Saya pun sudah lama tidak pulang ke kampung halaman sejak belajar di
Nilai, pastinya esok (hari ini) saya dapat membantu keluarga membuat
persiapan terakhir dan bertemu adik-beradik," katanya.
Di
Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam, pelajar Universiti Sains dan Pengurusan (MSU),
Nurul Hidayah Ismail, 18, berkata, inilah tahun pertama dia balik raya sebagai perantau.
"Semoga perjalanan pulang ke kampung di Pendang, Kedah berjalan lancar, terasa rindu sangat kepada ahli keluarga," katanya.
Di
Melaka, warga Indonesia yang beragama Islam membanjiri
Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Melaka, Banda Hilir
semalam untuk menaiki feri pulang beraya.
Peniaga di Kajang,
Yus Kudin, 42, memberitahu, suasana
menyambut hari raya di kampung halaman sendiri di Paya Kumboh, Sumatera
Barat jauh berbeza berbanding menyambutnya di negara ini.
"Suasana hari raya dirasakan lebih meriah dan seronok jika menyambut
Aidilfitri bersama-sama keluarga dan saudara-mara," katanya.
Rakan senegara,
Sri Purwanti, 33, sudah tidak sabar untuk kembali ke Dumai, Indonesia selepas lima tahun beraya di Malaysia.
"Setiap kali hari raya, saya sedih kerana terpaksa menyambutnya di
tempat orang. Tahun ini saya gunakan cuti yang diberi majikan untuk
pulang beraya bersama keluarga," katanya.
Di
Kuching, perkhidmatan bot ekspres menjadi pilihan orang
ramai pulang berhari raya di kampung halaman kerana menjimatkan masa dan
tambang.
Mekanik,
Halippuma Mudah, 25, berkata, perjalanan bot ke kampungnya di Sibu hanya mengambil masa lima jam berbanding lapan jam jika menaiki bas ekspres.
"Sepanjang enam tahun lepas, saya dan isteri memilih bot ekspres
untuk balik berhari raya sebab ia lebih cepat, murah, selesa dan
selamat," katanya ketika ditemui
Kosmo! di Terminal Bot Ekspres Kuching semalam.
Mohd. Sabri Serah, 31, pula memilih bot ekspres kerana perjalanan melalui jalan raya lebih terdedah kepada kemalangan.
"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering hujan, naik bot lebih selamat daripada guna Lebuhraya Pan Borneo," katanya.
Kontraktor bertanggung jawab
Cukup menjengkelkan melihat sampai tidak dikutip di tempat letak kenderaan Kementerian Kewangan, Putrajaya semalam.
|
PUTRAJAYA - Rata-rata warga Putrajaya dan orang ramai yang berurusan
di pusat pentabiran kerajaan Pusat di sini melahirkan rasa kurang puas
hati dengan kualiti penyelenggaraan bandar baharu kebanggaan negara itu.
Perasaan tidak puas hati mereka itu turut dikongsi dengan wartawan
Kosmo! yang melakukan tinjauan selama sejam di kawasan Putrajaya berkenaan semalam.
Tinjauan rambang itu mendapati banyak sampah tidak dikutip oleh
kontraktor, rumput tidak dipotong, lantai pejalan kaki berlumut dan
pokok tidak dipangkas oleh kontraktor yang dilantik.
Suasana menjengkelkan itu terdapat di tempat letak kenderaan
bersebelahan Kementerian Kewangan di Presint 2, kawasan taman bunga di
pintu masuk Kediaman Rasmi Perdana Menteri di Presint 10 serta kawasan
berhampiran tapak bazar Ramadan.
Keadaan tidak menyenangkan itu mengesahkan teguran Presiden
Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat bahawa kontraktor yang
dilantik untuk menyelenggara, menjaga kebersihan serta kecantikan
Putrajaya tidak menjalankan tugas dengan baik.
Seorang peniaga makanan di Putrajaya,
Apendi Hussin, 46, yang
turut menyokong kenyataan Aseh itu berkata, pertukaran kontraktor yang
kerap berlaku mungkin menjadi punca masalah tersebut berlaku.
"Kalau sudah selalu sangat tukar kontraktor, memang kita tidak boleh
harapkan sangat kontraktor baru akan lebih baik daripada yang lama,"
ujarnya.
Kelmarin Aseh dalam pertemuannya dengan para kontraktor
penyelenggaraan di Putrajaya telah menegur mereka kerana tidak
menjalankan kerja dengan baik meskipun Perbadanan Putrajaya
membelanjakan sebanyak RM179 juta setahun untuk tujuan itu.
Seorang peniaga minuman,
Irwan Ahmad, 30, turut mengakui keadaan landskap di Putrajaya memang kurang memuaskan.
"Putrajaya ini akan kelihatan lebih cantik jika keadaan pokok,
rumput, pejalan kaki dan sebagainya dijaga dengan rapi, kalau rumput
panjang sedikit, memang kena potong agar ia kelihatan kemas," ujarnya
Sementara itu,
Amalina Ahmad, 28, yang merupakan guru di
Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) berkata, keindahan Putrajaya
perlu dikekalkan agar identitinya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan
Persekutuan tidak tercemar.
"Sebenarnya Putrajaya ini sebuah kawasan bandar baharu yang perlu
dikekalkan keindahannya. Jadi kontraktor yang bertanggungjawab
menyelenggara kawasan ini perlu menjalankan tugas dengan baik," katanya.
Seorang kakitangan di Kementerian Kewangan,
Indera Krishnasamy, 30, berkata, semua pihak termasuk penduduk harus bertanggungjawab terhadap keindahan Putrajaya.
"Bagi saya Putrajaya ini cukup indah berbanding Kuala Lumpur. Bukan
sahaja kontraktor perlu bertanggungjawab, malah penduduknya juga perlu
memainkan peranan," ujarnya.
Seorang kakitangan di Kementerian Pertanian,
Norafizah Mamat, 30, berkata, dia juga kurang berpuas hati dengan kerja-kerja penyelenggaraan di Putrajaya.
"Kadang-kadang ada juga pemandangan di sesetengah tempat yang
menyakitkan mata misalnya pejalan kaki berlumut, rumput tidak dipotong
dan sampah tidak dikutip," katanya.
Berebut beli daging murah
Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my
ORANG ramai membeli daging lembu tempatan yang dijual pada harga RM18 sekilogram
di gerai program Mantai Perdana di tapak bekas Kem Paroi, Seremban malam kelmarin.
SEREMBAN – Program tahunan Mantai Perdana di tapak bekas Kem Paroi,
di sini sekali lagi mendapat sambutan hangat apabila ia dibanjiri orang
ramai yang mahukan bekalan keperluan hari raya seperti daging, ayam
serta bahan masakan pada harga murah.
Tumpuan tentunya di gerai daging yang menawarkan harga RM18
sekilogram berbanding harga siling RM22 di bawah Skim Kawalan Harga Hari
Raya Aidilfitri 2012.
Turut dijual murah ialah ayam bersih pada harga RM5.90 sekilogram.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, sambutan
daripada orang ramai amat menggalakkan sehingga bekalan peniaga habis
pada malam pelancaran sedangkan program jualan dijadual berakhir
semalam.
“Untuk tahun ini kita sediakan bekalan 200 ekor lembu, kerbau,
kambing dan rusa masing-masing 50 ekor, ayam daging sebanyak 3,000 ekor
dan itik salai pula 1,000 ekor,” katanya pada sidang akhbar Program
Mantai Perdana Aidilfitri 2012 di sini malam kelmarin.
Katanya, program dua hari yang dijalankan sejak lima tahun lalu itu
kini sudah menjadi acara tahunan yang semakin mendapat sambutan di
negeri ini.
“Malah program ini sudah menjadi trademark bagi kita sebab itu kita
sudah buat dua hari berbanding pada tahun pertama hanya buat satu hari.
Ketika itu ramai orang yang tidak berpeluang mendapatkan daging kerana
sudah habis.
“Maka kita buat dua hari, malam ini (malam kelmarin) dan hari ini
(semalam), itupun bergantung kepada bekalan peniaga kerana jika sudah
habis, mereka akan tutup gerai lebih awal,” ujarnya.
Gadis maut dikelar depan pintu
Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my
Anggota polis mengusung mayat Yasuhaidah (gambar kecil) yang ditemui mati di depan pintu di dalam rumah sewanya semalam.
PETALING JAYA – Seorang gadis sempat membuat biskut raya untuk
dikirim kepada ibu bapanya di Beruas, Perak sebelum ditemui mati dengan
lehernya dikelar di depan pintu sebuah rumah flat di Flora Damansara di
sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, mangsa, Yasuhaidah Yeop, 22,
yang merupakan kakitangan pusat perkembangan minda kanak-kanak di
Mutiara Damansara meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai 14 kesan kelaran di leher dan
kepala, kesan luka di kedua-dua belah tapak tangan, empat kesan tikaman
di kedua-dua belah rusuk, satu tikaman di belakang leher dan satu kesan
luka di perut.
Mangsa menyewa di rumah yang terletak di tingkat enam flat berkenaan
bersama seorang kakaknya namun semasa kejadian mangsa berada seorang
diri di rumah tersebut.
Kakak mangsa, Yanoaini Yeop, 35, berkata, dia mengetahui kejadian
malang yang menimpa Yasuhaidah yang mesra dipanggil Ucuk apabila seorang
lagi adik perempuannya yang tinggal bersama mangsa menghubungi
suaminya, Syahar Mohd. Ali, 38, pada pukul 4 pagi.
“Masa menelefon, dia (adik) minta suami saya bertenang sebelum
beritahu Ucuk sudah tiada (meninggal dunia) kena tikam,” kata wanita itu
ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Yanoaini, mangsa menyewa di flat itu bersama kakaknya,
Yazniyana Yeop sejak enam bulan lalu namun semasa kejadian gadis itu
tinggal seorang diri kerana kakaknya keluar bersama teman lelakinya
untuk membeli barangan keperluan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman
(TAR), Kuala Lumpur.
Yanoaoni memberitahu, anak bongsu daripada lapan beradik itu tidak
mengikut kakaknya membeli-belah di Jalan TAR pada malam tersebut kerana
mahu berehat untuk bekerja syif pagi semalam.
“Sebelum keluar rumah, Yazniyana ada pesan dengan Ucuk yang dia akan
pulang lambat dan mahu bersahur bersama-sama,” katanya sambil
memberitahu Yazniyana bekerja di sebuah restoran makanan segera.
Sebelum itu, pada petang kelmarin, dua beradik itu yang menunggang
motosikal berkunjung ke rumahnya di Taman Medan di sini menghantar
biskut raya yang dibuat sendiri oleh mereka untuk dikirim kepada
keluarga di Beruas.
“Petang itu (kelmarin), Ucuk bawa dua anak saya berjalan-jalan di
kawasan rumah sebelum mereka berdua balik ke Damansara selepas berbuka
puasa,” kata Yanoaoni.
“Ini kali pertama Ucuk membuat sendiri biskut raya untuk keluarga,” katanya.
Yanoaini memberitahu, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini,
gadis itu merancang beraya di ibu negara kerana hanya bercuti satu hari
pada hari raya tersebut.
“Ucuk beritahu dia akan pulang beraya ke kampung pada hari raya kelima,” katanya.
Mangsa sebelum ini tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya di kampung
dan pernah beberapa kali menukar pekerjaan sejak datang ke ibu negara
sebelum pulang ke kampung dan datang semula ke ibu negara.
Dalam pada itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali ketika
ditemui Kosmo! berkata, ketika kejadian dia sekeluarga yang bangun untuk
bersahur terdengar suara orang seolah-olah mengerang kesakitan meminta
tolong lebih sepuluh kali.
Selain itu, jiran itu juga mendakwa dia terdengar bunyi seperti orang menendang pintu jeriji beberapa kali.
“Suara meminta tolong itu tidak jelas kerana mangsa mungkin sedang
kesakitan jadi saya minta abang keluar untuk periksa apa yang berlaku,”
katanya yang tinggal di tingkat lima flat yang sama.
Menurut saksi itu lagi, dia yang turut naik ke tingkat atas terkejut
apabila melihat seorang wanita berpakaian lengkap dalam keadaan
terbaring berlumuran darah di depan pintu jeriji yang berkunci tetapi
pintu kayu terbuka sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, dia tidak mengenali mangsa kerana mereka tinggal di tingkat berasingan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi
Mohamed mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes tersebut disiasat
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Difahamkan, polis yang menyiasat lokasi kejadian menemui segumpal
rambut milik mangsa dipercayai direntap oleh suspek. Polis menemui
menemui dua bilah pisau yang dipercayai turut mempunyai kesan darah.
“Tiada kesan umpil dan pecah masuk pada pintu rumah itu,” kata beliau.
ATM gagal dipecah, dua lelaki ditahan
Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
megat@kosmo.com.my
Di bangunan Pusanika, UKM di Bangi inilah lokasi sebuah mesin ATM cuba dirompak oleh lima penjenayah pada Rabu lalu.
SHAH ALAM - Lima penjenayah berputih mata apabila cubaan mereka untuk
merompak sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi pada Rabu lalu gagal selepas
perbuatan tersebut disedari pengawal keselamatan pusat pengajian itu.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, dua daripada perompak terbabit ditahan tanpa mereka mendapat sebarang hasil rompakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner
Mohd. Adnan Abdullah berkata, cubaan merompak itu disedari oleh seorang
pengawal keselamatan yang membuat rondaan. Dia terserempak dengan dua
lelaki mencurigakan berada di hadapan sebuah bank di universiti itu.
Menurut beliau, pengawal keselamatan itu menghampiri kedua-dua lelaki
terbabit yang mendakwa mereka menerima laporan mengenai kerosakan mesin
ATM tersebut dan ditugaskan untuk membaikinya.
"Bagaimanapun, pengawal keselamatan terbabit tidak berpuas hati
dengan jawapan tersebut lalu terus bertanyakan soalan lain sehingga
kedua-dua suspek gagal menjawab sebelum mereka melarikan diri," kata
beliau pada sidang akhbar di sini.
Mohd. Adnan memberitahu, pengawal keselamatan itu kemudian mendapati
pintu jeriji tempat menempatkan mesin ATM dipecah selain berbau hangit.
Katanya, belum sempat pengawal keselamatan itu masuk ke dalam bilik
mesin ATM untuk memeriksa apa yang berlaku, kedua-dua suspek yang
sebelum ini melarikan diri datang semula ke lokasi kejadian.
Pengawal keselamatan itu terus menahan salah seorang suspek itu
manakala seorang lagi melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
"Sejurus selepas itu, tiga perompak lagi tiba-tiba keluar dari bilik
tempat mesin ATM ditempatkan dan mereka juga berjaya melarikan diri
menggunakan dua buah motosikal yang diletakkan di depan bank tersebut,"
kata beliau.
Menurut beliau, pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan
polis dan hasil siasatan berjaya menahan seorang lagi lelaki di sebuah
stesen minyak di Seksyen 7, Kajang pada hari sama.
Bersama dua orang yang ditahan, polis menemui peralatan yang
digunakan dalam cubaan merompak seperti kuku kambing, sarung tangan dan
kunci mangga.
"Siasatan awal pihak kami mendapati kumpulan samun ini dipercayai terlibat dalam beberapa kes sama di Kajang," katanya.
Kedua-dua suspek berumur 23 dan 26 tahun yang bekerja sebagai
pengawal keselamatan di tempat lain direman sehingga hari ini bagi
membantu siasatan.
RM107,000 dilarikan tukang tilik
Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my
HOCK SING menunjukkan rakaman kamera
litar tertutup yang merakamkan penipuan sekumpulan warga China yang
menyamar sebagai tukang tilik di Melaka semalam.
MELAKA - Angkara percaya ramalan tukang tilik bahawa anak bakal
ditimpa kemalangan, seorang suri rumah kerugian barang kemas berjumlah
RM102,000 dan wang tunai RM5,000 dalam kejadian di Medan Selera Malim di
sini pada Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan
Soh Hock Sing berkata, dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, mangsa
yang berusia 50-an pada mulanya didatangi seorang wanita memberitahu dia
sedang mencari bomoh atau tukang tilik dan bertanya sama ada mangsa
mengenali individu sebegitu.
Menurut beliau, ketika mangsa sedang berbual dengan suspek pertama
itu, seorang lagi rakan suspek datang lalu memberitahu mengenali seorang
tukang tilik berkenaan dan membawa mangsa serta suspek pertama berjumpa
dengan tukang tilik tersebut yang sebenarnya rakan subahat mereka.
"Ketika berjumpa tukang tilik yang merupakan wanita warga China itu,
mangsa diberitahu akan ditimpa malang kerana anaknya akan mengalami
kemalangan jalan raya.
"Tukang tilik itu kemudian memberitahu terdapat cara membuang nasib
malang tersebut iaitu dengan menyerahkan barang kemas miliknya untuk
disembahyangkan," kata Hock Sing pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Melaka di sini semalam.
Hock Sing berkata, mangsa yang percaya dengan kata-kata tukang tilik
itu pulang ke rumah dan kemudian menyerahkan barang kemasnya bernilai
RM102,000 yang telah dibalut dengan kain serta wang tunai RM5,000 kepada
suspek.
"Tukang tilik itu kemudian melakukan upacara sembahyang pada barang
kemas itu dan menyerahkan semula dengan berpesan supaya mangsa tidak
membuka bungkusan itu selama sebulan selain tidak memberitahu kepada
sesiapa pun mengenai tilikan berkenaan.
"Tanpa disedari mangsa, kesemua barang kemas di dalam bungkusan itu
sebenarnya telah ditukar sebelum diserahkan semula," katanya.
Menurutnya, mangsa yang pulang ke rumah selepas itu berasa curiga
dengan perkara tersebut lalu membuka bungkusan berkenaan dan terkejut
mendapati barang kemasnya telah hilang sebaliknya diganti dengan jagung
dan dua botol air mineral. Dia kemudian membuat laporan polis.
"Ketiga-tiga suspek berusia 40 hingga 50 tahun dan dipercayai berasal
dari negara China. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun
Keseksaan kerana menipu," katanya.
Dalam pada itu, Hock Sing berkata, sepanjang tahun ini, terdapat
lapan kes seumpama itu dilaporkan melibatkan kerugian RM607,470.
"Kawasan operasi tukang tilik atau bomoh penipu itu ialah di pasar,
medan selera, tokong atau bank dan mereka menjadikan wanita yang
bersendirian sebagai sasaran," katanya.
Tragedi balik raya
Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my
SEORANG tekong (kiri) dan seorang
PATI (dua dari kanan) yang berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam
berhampiran Tanjung Pengelih, Kota Tinggi sempadan perairan Singapura
semalam.
JOHOR BAHRU - Impian enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga
Indonesia untuk pulang beraya di negera asal tidak kesampaian apabila
seorang daripada mereka maut manakala empat yang lain hilang selepas bot
pancung yang dinaiki karam berhampiran Tanjung Pengelih, Kota Tinggi
sempadan perairan Singapura kelmarin.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama
Maritim Adon Shalan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah
hari itu, seorang tekong warga tempatan berusia 44 tahun dan seorang
lagi PATI berusia 26 tahun berjaya diselamatkan.
Katanya, bot pancung yang membawa PATI keluar secara haram dari
Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang ke Batam, Indonesia itu dipercayai
karam akibat dipukul ombak.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan melalui talian 999
daripada seorang nelayan tempatan kira-kira pukul 8.25 malam kelmarin
memaklumkan menemui seorang mangsa bot karam.
"Hasil maklumat tersebut, Maritim Malaysia menggerakkan sebuah kapal
dan sebuah bot laju dibantu pasukan Polis Marin dari Pangkalan Polis
Marin Stulang dengan kekuatan 30 anggota ke lokasi yang dilaporkan bagi
gerakan mencari dan menyelamat.
"Nelayan berkenaan telah menyerahkan mangsa kira-kira pukul 9.30
malam dan dalam operasi mencari, kita berjaya menemui seorang lagi
mangsa yang berpaut pada boya dan dia dibawa ke jeti Marina yang
terletak kira-kira tiga batu nautika dari tempat kejadian untuk
rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Adon berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mangsa
tersebut, empat lagi mangsa termasuk seorang wanita dipercayai hanyut ke
perairan Singapura dengan berpaut pada tong-tong kecil.
"Kira-kira pukul 2 pagi tadi (semalam) pihak Polis Pengawal Pantai
Singapura memaklumkan penemuan satu mayat lelaki warga Indonesia yang
dipercayai salah seorang mangsa bot pancung yang karam itu," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, hasrat 12 orang PATI untuk
pulang beraya di kampung halaman tidak kesampaian apabila mereka ditahan
pasukan Polis Marin Wilayah 2 di sebuah kebun dekat Sungai Cemaran,
Bandar Penawar, Kota Tinggi, Rabu lalu.
Timbalan Komander Polis Marin Wilayah 2, Superintendan N. Kalai
Chelvan berkata, kesemua mereka yang berusia 20 hingga 46 tahun itu
ditahan pada pukul 8 malam di kawasan kebun berkenaan yang merupakan
pusat transit sebelum mereka diseludup keluar dari negara ini secara
haram melalui laluan laut.
Kubu pemberontak Syria dibedil
SEORANG anggota Tentera Pembebasan Syria membawa pelancar roket grenad di sebatang jalan raya di Damsyik semalam.
ALEPPO - Tentera Presiden Bashar Al-Assad membedil kubu-kubu
pemberontak di sini dan beberapa bahagian lain di Syria semalam dengan
pertempuran sengit dilaporkan berlaku di ibu kota Damsyik.
Perkembangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil pulang pasukan pemerhatinya dari
Syria.
Negara itu turut berdepan beberapa demonstrasi yang diadakan selepas selesai solat Jumaat.
Konflik berdarah yang berlanjutan selama 18 bulan itu di negara ini tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan reda.
PBB mengumumkan untuk membatalkan misi pemerhati di Syria kelmarin
ketika masyarakat antarabangsa masih bertelagah berhubung kaedah yang
sesuai untuk menamatkan pertumpahan darah dan menangani rejim Bashar.
Rusia meminta satu mesyuarat tergempar diadakan di New York semalam
melibatkan duta-duta daripada anggota kumpulan Tindakan Geneva berhubung
Syria.
Namun, masih tidak jelas sama ada negara Barat yang masih marah terhadap Moscow dan Beijing akan menghadiri mesyuarat tersebut.
Rusia dan China sebelum ini menggunakan kuasa veto masing-masing
untuk membatalkan resolusi PBB yang dikemukakan Barat bagi menangani
krisis di Syria.
Misi pemerhati itu berakhir tiga minggu selepas Kofi Annan
mengumumkan peletakan jawatannya sebagai utusan PBB/Liga Arab ke Syria.
Peletakan jawatan tersebut berpunca daripada kekecewaan Annan
berhubung perbezaan pendapat dalam kalangan kuasa dunia dan peningkatan
konflik ketenteraan yang menghalang pelan damainya.
Namun, beberapa diplomat dan pegawai berkata, Setiausaha Agung PBB,
Ban Ki-moon masih mahukan kehadiran pasukan pemerhati PBB di Syria.
Menurut mereka, Ki-moon sedang berunding dengan bekas Menteri Luar Algeria, Lakhdar Brahimi untuk mengambil alih tugas Annan.
Menurut beberapa aktivis kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi
Manusia, lebih 23,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang
pemerintahan kuku besi Bashar bermula pada Mac 2011.
Semalam, tentera Bashar bertempur dengan pemberontak Tentera
Pembebasan Syria (FSA) dekat sebuah lapangan terbang tentera utama di
Damsyik.
Pihak tentera turut membedil bahagian selatan ibu kota itu dan di
beberapa kawasan di bandar Aleppo serta wilayah Deir Ezzor di selatan
negara itu.
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh selepas 180 orang mati di seluruh negara itu kelmarin.
Ia turut melaporkan bahawa mayat 65 orang yang tidak dikenali turut
ditemui di bandar Qatana di barat daya Damsyik tanpa mendedahkan butiran
lanjut.
Di wilayah Hama, berpuluh-puluh orang menyertai satu demonstrasi sambil melaungkan slogan bahawa kemenangan pasti berlaku.
Kelmarin, beberapa aktivis melaporkan bahawa tentera Syria membedil
sekumpulan penduduk yang berhimpun di luar kedai roti di sebuah daerah
di bandar Aleppo.
Bandar itu kini merupakan pusat pertempuran antara tentera Bashar dengan pemberontak FSA.
Beberapa kumpulan hak asasi menuduh rejim pemerintah Syria itu
melakukan kekejaman pada Rabu lepas apabila sekitar 40 orang termasuk
wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan udara besar-besaran
ke atas kubu pemberontak di Aazaz, dekat Turki.
Pihak berkuasa Turki memberitahu, lebih 2,000 orang memasuki sempadan negara itu sejak serangan tersebut berlaku.
Sementara itu, sebuah panel PBB menyatakan, tentera Bashar dan
militianya melakukan jenayah kemanusiaan termasuk membunuh dan menyeksa
mangsa.
"Kami sedar bahawa kami bukan lagi mangsa keadaan dalam konflik ini
kerana Bashar sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran," kata
seorang penduduk daerah Saif Al-Dawla di Aleppo, Yasmine Shashati.
Dalam pada itu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengulangi
gesaannya supaya Bashar meletak jawatan berhubung serangan yang berlaku
terhadap rakyat Syria.
"Dasar Perancis jelas. Kami menganggap Bashar sebagai penyembelih
rakyatnya sendiri. Beliau perlu pergi (meletakkan jawatan), lebih cepat
(meletakkan jawatan) lebih baik," katanya di Jordan.
Fabius yang berada di Lebanon semalam memberitahu agensi berita AFP
bahawa Bashar akan dikejutkan dengan lebih banyak tindakan berpaling
tadah tidak lama lagi.
Tekanan terhadap Bashar bertambah apabila Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) menggantung keanggotaan Syria dalam badan itu kelmarin.
Tindakan yang sama dilakukan oleh Liga Arab pada tahun lalu dengan
alasan ia tidak dapat menerima rejim yang membunuh rakyatnya sendiri.
Keputusan OIC tersebut ditolak oleh Syria.
Menurut Syria, keputusan itu merupakan konspirasi terhadap negara
berkenaan yang didalangi Barat dan disokong oleh Arab Saudi serta
beberapa seteru Damsyik di Asia Barat. - AFP
Empat rentung kelab malam terbakar
SALAH seorang pelancong Perancis yang cedera.
BANGKOK - Sebuah kelab malam yang popular dalam kalangan pelancong di
Thailand terbakar awal semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya
empat orang mati manakala 20 orang lagi cedera, kata beberapa pegawai.
Beberapa pekerja hospital dan warga asing merupakan antara mangsa dalam kebakaran kelab malam itu, Tiger di Phuket.
Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat-mayat mangsa yang rentung dari
dalam timbunan kelab malam tersebut selepas api berjaya dipadamkan.
"Empat orang disahkan mati. Kami percaya mereka merupakan pelancong
asing tetapi ia masih belum dapat dipastikan," kata Timbalan Gabenor
Phuket, Chamroen Tipayapongtada menerusi telefon.
SEORANG lelaki melintasi kelab malam Tiger selepas kebakaran dipadamkan.
"Kebakaran berlaku selepas sebuah transformer di kelab malam
berkenaan dipanah kilat dengan api merebak ke seluruh premis itu,"
tambahnya.
Beberapa petugas hospital di resort tepi pantai Patong memberitahu,
mereka yang cedera termasuk warga tempatan dan pelancong asing.
"Kami menerima lebih 20 orang yang cedera dalam kebakaran di pub
Tiger. Kebanyakan mereka mengalami sesak nafas," kata seorang pekerja
hospital itu.
"Dua lagi berada dalam keadaan kritikal akibat tubuh mereka yang teruk melecur," tambahnya.
Menurut petugas berkenaan, mayat empat orang yang terkorban rentung
sehingga sukar untuk pihak berkuasa mengecam identiti mangsa. - AFP
Program realiti tawar tiket ke Marikh
GAMBAR lakaran artis menunjukkan kapsul yang menjadi tempat penempatan angkasawan di Marikh pada April 2023.
THE HAGUE, Belanda - Sebuah program realiti televisyen akan menghantar empat angkasawan ke planet Marikh pada April 2023.
Penghantaran itu tujuh tahun lebih awal daripada rancangan
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika
Syarikat (AS).
Projek itu dikenali sebagai Mars One dan pencarian angkasawan tersebut akan bermula pada tahun depan.
Menurut jurutera mekanikal, Bas Lansdrop, 35, kos untuk melaksanakan
misi itu ialah AS$6 bilion (RM18.79 bilion) dua kali lebih tinggi
daripada kos kenderaan robotik Curiosity milik NASA.
Kehidupan angkasawan itu akan dirakamkan dan mereka tinggal dalam kapsul yang berasingan.
Kapsul, makanan dan kenderaan robotik akan dihantar antara 2016 dan 2022.
Berdasarkan rancangan Lansdrop, kumpulan pertama melibatkan empat
angkasawan itu akan disertai oleh beberapa orang lagi sehingga terdapat
satu koloni manusia seramai 20 orang sedekad kemudian di Marikh.
Eksperimen saintifik termasuk mencari petunjuk kehidupan akan turut dilakukan.
Planet itu mempunyai suhu - 55 darjah Celcius manakala ruang udaranya dipenuhi dengan karbon dioksida.
Menurut Landsdrop, bekalan oksigen akan diperoleh daripada air yang ditemui di bawah permukaan Marikh.
Ketika ini Curiosity berada di Marikh selepas mendarat pada 5 Ogos
menerusi penerbangan sejauh 566 juta kilometer ke Marikh selepas
dilancarkan dari Florida, AS pada 26 November tahun lalu. - Agensi
Mata wang khas di bandar Britain
GAMBAR menunjukkan beberapa mata wang kertas Bristol Pound yang digunakan di Bristol. - AFP
BRISTOL - Ketika masyarakat Britain mengalami tekanan ekonomi ekoran
krisis mata wang euro, pihak pentadbiran bandar ini merancang untuk
memperkenalkan mata wang sendiri yang dikenali sebagai pound Bristol.
Inisiatif itu bertujuan untuk mengelakkan hasil kekayaan tempatan daripada mengalir ke tangan pihak luar.
Mata wang tersebut yang hanya boleh digunakan di bandar barat daya England ini akan dilancarkan September depan.
Pengasas bersama pound Bristol, Ciaran Mundy berkata, pihaknya
menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila ratusan perniagaan di
sini bersetuju untuk menggunakan mata wang berkenaan.
"Persepsi mengenai perbankan dan wang adalah ia satu sistem tanpa
belas kasihan. Orang ramai akan menggunakan mata wang yang memberi
manfaat kepada mereka," kata Mundy.
Menurutnya, wang kertas pound Bristol mempamerkan simbol kemegahan
tempatan termasuk imej penulis kurun ke-19, Hannah More dan pesawat
supersonik Concorde.
Sebahagian pesawat berkenaan dibina di bandar ini.
Jelas Mundy, pemilik perniagaan boleh membayar cukai tempatan dengan
menggunakan pound Bristol manakala 17,000 kakitangan majlis perbandaran
di sini boleh memilih untuk menerima sebahagian gaji mereka dengan
menggunakan mata wang itu. - AFP