Jurujual dibunuh ketika tunggu kakak pulang beli persiapan Aidilfitri
17 Ogos 2012
Mangsa, Yasuhaidah Yeop, 22, berasal dari Pantai Remis, Perak, dibunuh di rumahnya di tingkat enam, Blok A, apartmen Flora Damansara di sini.
Terdapat kesan kelar dalam pada leher Yasuhaidah dan beberapa kecederaan lain di anggota badannya.
Difahamkan, polis turut menemui rambut mangsa yang terputus dipercayai akibat kesan pergelutan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian itu disedari jiran yang mendengar jeritan mangsa, kira-kira jam 3 pagi.
Katanya, Yasuhaidah yang lengkap berpakaian ditemui terbaring berlumuran darah di belakang pintu utama.
“Tiada kesan umpil pada pintu dan gril. Rumah juga tidak berselerak dan tiada barangan berharga dilarikan. Kita percaya pembunuhan ini dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Arjunaidi berkata, sebilah pisau dipercayai digunakan pembunuh turut ditemui di dalam rumah mangsa.
Beliau berkata, siasatan mendapati rumah tersebut disewa oleh mangsa dan kakaknya. Hanya mereka yang mempunyai kunci rumah.
“Kakak mangsa memaklumkan mengunci pintu dan gril ketika keluar, kira-kira jam 11 malam. Kita sedang menyiasat individu sebenar yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, polis sedang menyiasat motif sebenar pembunuhan itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi balai polis berdekatan untuk bantu siasatan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Biskut raya terakhir
“Ini kali pertama Ucuk (Yasuhaidah) buat biskut raya untuk kami sekeluarga.” Demikian luah kakak Yasuhaidah, Yanoaini Yeop, 35, yang tidak menyangka hasil tangan adik kesayangannya merupakan hadiah terakhir buat mereka sekeluarga.
Yanoaini berkata, adiknya menghantar biskut Chocolate Chip kepadanya ketika mereka berbuka puasa malam semalam.
“Ini pertama kali dia buat biskut raya untuk dihantar ke kampung kerana tidak dapat cuti dan akan pulang pada hari raya kelima.
“Dia sangat teruja kerana dapat siapkan biskut untuk dinikmati bersama pada hari raya nanti walaupun hasil biskut agak keras,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur di sini.
Dia berkata, ibunya yang tinggal di Kampung Pulau Kabong, Beruas, Perak pengsan selepas menerima berita kematian adiknya itu.
Menurutnya, sebelum ini, mereka adik-beradik pernah melarang Yasuhaidah bekerja di ibu negara tetapi adiknya bertegas dengan keputusannya.
Katanya, anak bongsu daripada lapan beradik itu baru enam bulan tinggal di Flora Damansara, Petaling Jaya bersama seorang lagi adiknya, Yazniana, 30.
Dia berkata, arwah pernah tinggal bersamanya setahun selepas tamat tingkatan enam di Taman Medan, Petaling Jaya dan pulang ke kampung sebelum pindah semula pada Disember tahun lalu.
Yanoaini berkata, sambutan raya kali ini tidak bermakna selepas pemergiannya dilihat cukup kejam.
Jenazah Yasuhaidah dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kota.
Remaja perempuan dibakar kekasih masih kritikal
17 Ogos 2012
Bapanya, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata Nurul Firzanah dibedah di bahagian leher bagi membolehkan saluran pernafasannya kembali berfungsi seperti biasa.
Beliau berkata, dengan keadaan Nurul Firzanah, yang 25 peratus terbakar dan masih kritikal, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lagi membawa sebarang erti kepada keluarganya.
"Isteri saya, Norliyati Abdul Hamid masih tidak dapat menerima tragedi yang menimpa anak kedua daripada tiga adik beradik dan setiap kali masuk ke bilik Nurul, dia akan menangis kerana terbayangkan keletah manja satu-satunya anak perempuan kami itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini hari ini.
Nurul Firzanah sebelum itu dilaporkan koma selepas disimbah petrol dan dibakar, dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, selepas keluar bersahur bersama Selasa lepas.
Ekoran kejadian itu mangsa dikatakan mengalami kecederaan di muka, dada dan tangan.
Mat Zaki berkata selepas kejadian, keluarga kenalan anaknya datang bertemu keluarganya bagi memohon maaf atas tindakan anak lelaki mereka yang berumur 19 tahun itu, namun sebagai bapa, katanya beliau tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan ke atas anaknya itu.
"Sebagai bapa, saya tidak dapat memaafkan perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.
Beliau berkata, mereka sekeluarga tahu mengenai persahabatan di antara Nurul Firzanah dengan pemuda itu dan tidak menghalang perhubungan itu, namun tidak menyangka perkenalan tersebut membawa derita kepada anaknya.
Susulan kejadian itu, polis Kuala Lumpur memulakan gerakan memburu pemuda itu.
Terdahulu, Nurul Firzanah menerima sumbangan RM2,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Bernama
Curi jubah di bazar Ramadan cari duit raya
17 Ogos 2012
Alasan tertuduh, Jairi Mohd Anuar, 34 dari Taman Desa Mayang, Jeram, Selangor itu bagaimanapun tidak dapat diterima mahkamah sebaliknya Majistret Rini Triany Mohamd Ali menegur perbuatannya yang dianggap kurang bijak.
“Perbuatan mencuri bukan satu tindakan bijak walaupun kamu benar-benar terdesak sebaliknya banyak pekerjaan lain yang boleh kamu lakukan untuk mencari wang bagi menyambut Aidilfitri,” katanya.
Mengambil kira rayuan dan kesalahan tertuduh, Rini dalam keputusannya mengarahkan lelaki itu dipenjara sebulan dari tarikh tangkap dan denda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskannya.
Tertuduh yang pernah menjalani hukuman penjara kerana kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan didakwa memasuki ruang menyimpan stok jubah milik peniaga bazar Ramadan itu lalu mengambil satu ikatan pakaian tersebut.
Kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu bagaimanapun disedari pemilik gerai berusia 32 itu lalu dia bertindak mengejar tertuduh yang cuba melarikan diri bersama barang yang dicuri.
Nasib tertuduh tidak baik apabila berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis pada hari yang sama.
Tertuduh yang mengalami masalah pendengaran kelihatan terpinga-pinga ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam mahkamah itu semalam.
Disebabkan masalah yang dihadapi, juru bahasa terpaksa berada berhampiran kandang tertuduh bagi mengulanginya bacaan pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilah Md Ali.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah komputer riba, wang tunai RM1,500 dan empat telefon bimbit milik seorang penduduk di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, kelmarin.
Tertuduh, Wan Amir Azuwa Wan Azman, 20 dari perkampungan sama didakwa bersama seorang rakan yang masih bebas melakukan perbuatan tersebut antara jam 8.20 hingga 10.15 malam, 13 Ogos lalu.
Akibat perbuatan mereka, pemilik rumah berusia 54 tahun kerugian kira-kira RM3,000.
Berikutan perbuatannya itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Tertuduh yang minta dibicarakan ditawarkan ikat jamin RM4,000 bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM3,300 selepas dia membuat rayuan berhubung jumlah jaminan itu dengan alasan pendapatan rendah sekitar RM600 sebulan sebagai pencuci kereta.
Mahkamah menetapkan 12 September depan sebagai tarikh pra bicara kes tersebut dalam mahkamah sama.
Pelukis pelan tak sempat bertunang
17 Ogos 2012
Bakal tunangan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Shila, 20-an, masih terkejut dengan kejadian itu dan memaklumkan kali terakhir dia menghubungi mangsa, sekitar jam 6 petang, kelmarin.
Menurut Shima, dia telah menghubungi mangsa ketika itu dan meminta mangsa menunggunya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor pada jam 7 malam untuk menghantarnya pulang ke rumah.
“Saya menghubunginya berulang kali sebaik tiba di R&R Sungai Buluh, namun gagal sehinggalah panggilan saya dijawab seorang kakitangan ambulans yang memaklumkan kejadian berkenaan.
“Saya berkejar ke Hospital Slim River. Luluh dan terkilan hati saya kerana setibanya saya di hospital berkenaan, Mohd Hazlailee telah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Menurutnya, dia terkilan kerana kekasihnya itu pernah berjanji untuk membawanya membeli belah di Kuala Lumpur sebelum pulang beraya ke rumah ibu bapanya di Pasir Mas, Kelantan.
“Kami sudah mengatur rancangan untuk mengikat tali pertunangan hujung tahun ini. Malangnya hasrat itu terkubur,” katanya.
Sementara itu, Ketua PolisOthman Nayan memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 6.30 petang dan mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Laksamana, Batu Caves, Selangor selepas menyiapkan tugasan di Pulau Pinang.
Menurutnya, mangsa memandu kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki bersama seorang rakan, Mohd Jamadil Awal Mat Isa, 23 (duduk di tempat duduk penumpang bahagian hadapan).
“Kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah kereta mewah di hadapannya, sebelum melanggar pembahagi jalan, menyebabkan kereta berkenaan terbalik.
“Kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat dan mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga, manakala Mohd Jamadil Awal turut dirawat di hospital sama kerana mengalami kecederaan kecil.
Ibu, teman lelaki direman
17 Ogos 2012
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, dua individu yang di reman adalah ibu mangsa, 33, dan teman lelakinya, berusia 27 tahun.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian kanak-kanak berusia empat tahun itu.
“Kami masih menyiasat motif dan punca sebenar kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Kelmarin, J Pavitra, maut akibat pendarahan di kepala dipercayai didera teman lelaki ibunya di bilik sebuah bilik sewa di Kampung Tawas.
Kanak-kanak perempuan tersebut didapati meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Didera ketika bapa tiada
17 Ogos 2012
Menurut sumber, kanak-kanak berkenaan yang dikatakan sering dimarahi dan menjadi mangsa dera ibu tirinya, telah menceritakan kejadian itu kepada rakan sekolah sehingga diketahui gurunya.
“Pada malam kejadian, bapa mangsa keluar ke kedai di taman perumahan mereka. Selepas didera ibu tirinya, mangsa diancam supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa.
“Mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik dan dipercayai abangnya yang berusia 11 tahun, turut menerima nasib sama dengannya,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Katanya, abang mangsa sudah tiga kali lari dari rumah kerana tidak tahan didera.
Difahamkan, abang mangsa kini ditempatkan di rumah datuknya sejak minggu lalu, manakala ibu kandung mangsa adalah seorang mualaf dan telah bercerai dengan bapa mereka.
Berikutan kejadian itu, pihak sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat laporan polis dan menghantar mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pegawai JKM Kota Tinggi, Sabariah Salim berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi dan kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut berhubung kecederaan pada tubuhnya.
Menurutnya, terlalu awal untuk menyatakan tindakan selanjutnya terhadap mangsa, namun langkah pertama JKM adalah menyelamatkan mangsa daripada terus didera dengan menempatkannya di lokasi selamat.
“Mangsa kini di bawah pengawasan JKM hingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Manakala, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik turut mengesahkan laporan tersebut.
Menurutnya, mangsa mempunyai kesan kecederaan di beberapa bahagian tubuh terutamanya di punggung.
“Siasatan akan dijalankan dengan mengambil keterangan daripada pihak terbabit termasuk laporan perubatan, keluarga mangsa, guru dan kanak-kanak itu sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment