Aseh ada bukti 200 keping gambar
|
PUTRAJAYA - Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat semalam menyuarakan rasa kurang berpuas hati dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan oleh kontraktor di Putrajaya.
Beliau menegur kontraktor-kontraktor yang diberi kepercayaan menjaga kebersihan serta kecantikan Wilayah Persekutuan itu supaya lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.
Katanya, kerja yang dilaksanakan sesetengah kontraktor seperti khidmat menyelenggara kebersihan dan kecantikan pokok di tepi jalan, pengurusan sampah, taman, tasik, longkang, tandas awam dan papan tanda jalan kurang memuaskan.
"Saya ada mengambil lebih 200 gambar mengenai keadaan kebersihan dan kecantikan. Pokok-pokok tak dipangkas, lantai berlumut, sampah di merata tempat, tandas kotor. Maknanya tidak ada penyelia mengawasi apa yang dilakukan oleh pekerja.
"Kalau depan mata saya nampak tak bersih dan cantik, macam mana nak pastikan seluruh Putrajaya ini cantik, indah dan bersih. Budaya penyelenggaraan perlu dititikberatkan," katanya dalam satu majlis perjumpaan dengan para kontraktor di sini semalam.
Difahamkan Perbadanan Putrajaya membelanjakan RM179 juta setahun bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan awam di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.
Ini termasuk kerja penyelenggaraan taman-taman awam, jalan raya, tandas awam, kutipan sampah dan sebagainya.
Mangsa dibaham ketika memukat udang untuk menambah pendapatan menjelang raya
Lelaki disambar buaya depan anak
TAWAU – Hajat seorang ayah bagi mencari pendapatan menjelang Aidilfitri berakhir dengan tragedi apabila dia dikhuatiri maut selepas disambar seekor buaya sebelum ditarik ke dalam sungai ketika memukat udang di Sungai Udin kira-kira 50 kilometer dari sini kelmarin.
Kejadian menakutkan pada pukul 4.30 petang itu disaksikan anak mangsa, Azwan Jailani, 16, yang berdiri hanya beberapa meter daripada ayahnya, Jailani Indersaya, 54.
Cerita Azwan, sebelum kejadian, dia sedang memancing di tepi sungai manakala ayahnya pula memukat udang.
“Tiba-tiba saya nampak seekor buaya warna hitam menerkam ke arah ayah sebelum menarik ayah masuk ke dalam sungai. Saya tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun, menurut Azwan, selepas kelibat ayahnya hilang, dia cuba mengejar jejak buaya itu dari atas tebing sungai berdasarkan kocakan air dari tebing sungai.
“Saya takut dan sedih tapi saya cuba cari juga buaya tersebut tetapi tidak menemui ayah,” kata remaja itu.
Paling menyedihkan, Azman memberitahu, kejadian menimpa ayah berlaku hanya tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
“Buaya yang sambar ayah sangat besar dan reptilia itu hanya mengambil masa beberapa saat untuk membawa ayah ke dalam sungai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, gerakan mencari dilancarkan bagi mengesan mangsa yang hilang.
Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga petang semalam pasukan mencari dengan bantuan orang kampung belum menemui mangsa.
Kata beliau, selain Sungai Udin, kes manusia disambar buaya pernah berlaku di Sungai Kalumpang dan Sungai Serudong.
Mati serentak menjelang Aidifitri
LAWAS – Hari Raya Aidifitri yang dijangka disambut pada Ahad ini memberi makna yang memilukan buat sebuah keluarga apabila lima ahlinya menemui ajal selepas van yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 5, Jalan Sundar-Terusan di sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.50 petang itu mengakibatkan Mohd. Tafia, 45; Nur Khairunisa Nazwa Omar, 17; Zaimah Mohd. Taib, 12; dan Nurul Husna Izzati Imbran, 17, maut di tempat kejadian manakala ibu Nur Khairunisa Nazwa, Mariah Awang, 37, meninggal dunia di Hospital Lawas.
Kesemua mereka menaiki sebuah van jenis Toyota Hiace bersama tujuh ahli keluarga lagi yang dipandu Mohd. Tafia.
Kemalangan berlaku apabila van itu terbabas lalu merempuh sebuah pembetung air yang terletak di bahu jalan.
Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Awat-Awat di sini selepas membeli kelengkapan raya di pekan Sipitang. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 50 kilometer.
Difahamkan, sebelum membeli-belah, Mariah bersama suami, Omar Abdul Rahman, 40-an, pergi ke pekan Sipitang untuk menjemput Nur Khairunisa Nazwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gadis itu menuntut di Politeknik Kuching, Sarawak.
Abang ipar Sabturiah ditahan
|
|
SHAH ALAM - Polis menahan seorang pemuda yang merupakan abang ipar kepada Sabturiah Faisal, 19, bagi membantu siasatan kes bunuh dan rogol gadis itu di sebuah rumah di Taming Jaya, Balakong pada Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang kelmarin di sebuah kilang di Jalan Semenyih, Kajang tempat suspek bekerja.
"Siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah kilang sama dengan adik iparnya yang menjadi mangsa bunuh dan isteri suspek sendiri.
"Setakat ini, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kematian Sabturiah," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.
Menurut beliau, abang ipar mangsa ditahan dan direman sehingga 21 Ogos lalu selepas lelaki itu dipercayai memberi keterangan meragukan kepada polis berhubung kejadian yang menimpa anak ketujuh daripada 12 adik-beradik itu.
Difahamkan, pada hari kejadian, abang ipar Sabturiah dikatakan 'hilang' dari tempat kerjanya selama satu jam pada waktu tengah hari sebelum kembali menyambung tugas pada sebelah petang.
Akhbar pada Rabu lalu melaporkan, mayat Sabturiah yang berasal dari Kampung Merotai Besar dekat Tawau, Sabah dijumpai dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada pukul 7 malam Isnin lalu.
Laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh pakar patologi dari Hospital Serdang menunjukkan hampir semua organ dalaman mangsa yang masih bujang lebam manakala hati mangsa pecah.
Pemeriksaan juga mendapati mangsa dirogol selepas kematiannya dipercayai pada waktu tengah hari sebelum mayatnya dijumpai pada sebelah petang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Dalam kes berasingan, Tun Hisan memberitahu, pihaknya mengesan seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dan anak lelakinya bagi membantu siasatan kes seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah tapak perniagaan di kawasan Downtown, Seri Kembangan Isnin lalu.
Syawal ceria bagi 13 beranak miskin
JITRA – Syawal kali ini amat bermakna bagi 13 beranak miskin di Kampung Baru, Padang Perahu di sini kerana kebimbangan bumbung rumah bocor dimasuki air apabila hujan sudah tinggal kenangan.
Mereka yang terdiri daripada dua keluarga boleh menarik nafas lega kerana atap yang terpaksa diikat bagi mengelak diterbangkan ribut sudah diganti baharu akhir April lalu.
Fatimah Doon, 56, memberitahu, dia dan keluarga bersyukur boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan ceria tanpa bimbang rumah digenangi air apabila hujan.
“Tidak dapat dibayangkan kegembiraan saya sekeluarga Syawal ini apabila melihat bumbung rumah yang bocor lebih empat tahun lalu sudah dibaiki,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pembaikan bumbung yang meliputi kerja-kerja menggantikan atap dan kayu alang baharu yang menelan kos RM8,000 itu dibuat hasil sumbangan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Rumah tiga bilik itu juga didiami suami, Ahmad Mad Saman, 59, serta anak perempuannya yang sudah berkahwin, Hasnita, 29, dan suaminya, Mohd. Rafi Halim, 24, serta dua anak mereka.
Tujuh lagi anak pasangan itu yang menetap bersama ialah Harun Ridzuan, 25, Siti Hajar, 22, Siti Hawa, 19, Hasanuddin, 16, Mohd. Hakimi, 15, Marina, 13, dan Husin Al-Hafiz, 11, manakala dua anak yang sudah berkahwin Hamidah, 34, dan Halimatun, 32, tinggal berasingan.
Menurut Fatimah, dia dan keluarga tidak dapat melupakan peristiwa malam Syawal dua tahun lepas apabila hujan lebat menggenangi rumah mereka.
“Ketika itu saya dan keluarga sibuk membuat persiapan termasuk merebus ketupat tetapi disebabkan air masuk rumah, bekas mengisi ketupat terpaksa digunakan untuk menadah air hujan dan rumah pula terpaksa dicuci,” katanya.
Ribuan tinggalkan bandar India
BANGALORE - Ribuan penduduk meninggalkan bandar-bandar di selatan India semalam selepas khabar angin tersebar bahawa mereka akan diserang oleh orang Islam dalam tindak balas berhubung keganasan etnik yang berlaku baru-baru ini, kata beberapa pegawai.
Beberapa pegawai kereta api berkata, mereka menambah perkhidmatan kereta api dari sini menuju ke negeri Assam di timur laut negara berkenaan bagi memenuhi permintaan orang ramai selepas 6,000 tiket telah dijual sejak kelmarin.
Pihak berkuasa memberitahu, khabar angin itu disebarkan melalui laman sosial seperti Twitter, telefon bimbit dan internet.
Orang ramai yang tiba di Guwahati di negeri Assam turut memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa mereka membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk meninggalkan Hyderabad dan negeri Kerala di selatan India.
Seorang daripada mereka, Anirban Das memberitahu agensi berita AFP bahawa dia memutuskan untuk meninggalkan bandar ini selepas mendengar khabar angin tersebut.
"Kami mendengar bahawa kami akan diserang, justeru saya menaiki sebuah kereta api dan tiba di bandar Guwahati," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis India menyatakan, mereka kini menyiasat sumber dan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu.
"Pengacau-pengacau ini menyalahgunakan media sosial dan internet untuk menyebarkan khabar angin dan mencetuskan ketakutan kepada penduduk di selatan negara ini," kata Timbalan Ketua Polis Bangalore, Vincent S. D'Souza.
Sebelum ini, pertempuran selama tiga minggu antara puak Bodo dengan penduduk Islam telah meragut 80 nyawa dan menyebabkan 400,000 orang menjadi pelarian. - AFP
Iran kritik OIC gantung syria
|
TEHERAN - Iran semalam mengkritik keputusan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggantung keanggotaan Syria dalam badan tersebut.
Teheran menegaskan bahawa keputusan OIC tersebut adalah "tidak adil dan tidak patut".
Syria merupakan sekutu rapat Iran.
"Syria sepatutnya dipelawa ke mesyuarat OIC ini untuk mempertahankan dirinya," jelas Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi kepada agensi berita IRNA di kota Mekah.
Terdahulu, pada penghujung mesyuarat tergempar OIC di Mekah semalam, OIC mengumumkan bahawa ia menggantung keanggotaan Syria dalam organisasi 57 buah negara itu.
Pertubuhan itu turut menyuarakan kebimbangan serius berhubung pembunuhan beramai-ramai dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Syria.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dan Ali menghadiri sidang tergempar itu tetapi gagal menghalang keputusan tersebut.
Sidang tergempar itu dipanggil oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.
Negara berkenaan menyokong perjuangan pemberontak yang dikenali Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad.
FSA mula mengambil alih pentadbiran beberapa buah bandar yang dirampas mereka.
Di bandar Darat Azzah yang terletak di Aleppo, sebuah sekolah menengah dijadikan balai polis, mahkamah dan dewan sementara oleh FSA yang berjuang menamatkan pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.
Para pemberontak turut menguasai beberapa bandar utama di Syria seperti Aleppo, Damsyik dan Homs.
Menurut kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia, lebih 21,000 orang terbunuh sejak konflik Syria tercetus 17 bulan lalu.
Ketika itu, rakyat Syria bangkit menentang Bashar kerana menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi.
Sementara itu, serangan udara tentera Syria di sebuah kawasan perumahan di bandar Azaz, utara negara itu telah menyebabkan lebih 40 orang terbunuh.
Bandar tersebut turut dikuasai oleh pemberontak. - Agensi
Jet hipersonik AS gagal ujian
LOS ANGELES - Sebuah jet hipersonik tanpa juruterbang yang direka untuk terbang enam kali ganda melebihi kelajuan bunyi berkecai di Lautan Pasifik beberapa saat selepas melakukan penerbangan ujian ekoran masalah pada ekor pesawat, kata Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Menurut kenyataan tentera AS, masalah pada ekor pesawat X-51A atau Waverider itu dikenal pasti dalam penerbangan ujian pada Selasa lalu.
Masalah teknikal itu berlaku 16 saat selepas roket penggalak melepaskan jet kawalan jauh itu daripada sayap pesawat pengebom B-52.
"Selepas 15 saat apabila X-51A terpisah daripada roket penggalak tersebut, jet tersebut hilang kawalan akibat masalah pada ekornya," kata kenyataan tersebut.
Secara keseluruhan, penerbangan ujian tersebut berlangsung selama 31 saat sekali gus gagal mencapai matlamat tentera AS untuk X-51A berada di udara selama lima minit.
"Pesawat itu berkecai serta-merta dan jatuh ke dalam Lautan Pasifik dekat Mugu Point di barat daya bandar raya Los Angeles," kata seorang jurucakap Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson di Ohio, Daryl Mayer.
Menurutnya, jet X-51A itu direka untuk mencapai kelajuan Mach 6 atau 7,350.06 kilometer sejam.
Pada kelajuan tersebut, perjalanan dari Paris ke New York di AS sejauh 5,837 kilometer cuma mengambil masa sekitar 46 minit.
- Agensi
Budak peroleh RM31.28 sehari di jalanan
|
KATHMANDU, Nepal - Seorang budak lelaki, Drumpal Choudhary dan dua saudaranya memperoleh pendapatan AS$10 (RM31.28) sehari dengan membuat pelbagai persembahan tarian di jalanan di sini.
Dia datang dari India lima tahun lalu.
Menurut Choudhary, keluarganya seramai 10 orang tinggal di sebuah pondok tanpa tandas yang sempurna dan keperluan asas. - Reuters
No comments:
Post a Comment