Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2013 di
Dewan Rakyat, yang keempat bagi beliau sebagai Menteri Kewangan.
Berpakaian
baju Melayu berwarna hijau lengkap bersamping, Najib mula membentangkan
Bajet, bertema "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji
Ditepati" pada 4 petang, dan ia disiarkan secara langsung oleh
stesen-stesen radio dan televisyen utama.
Dengan pilihan raya
umum ke-13 bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja, rakyat Malaysia
teruja untuk mengetahui apakah berita baik untuk mereka dalam
Belanjawan kali ini berikutan kebimbangan mereka terhadap punca
pendapatan yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan mereka.
Rakyat
mengharapkan kerajaan akan menangani isu-isu berkenaan dan pada masa
yang sama memastikan keadaan ekonomi negara kekal kukuh berikutan
ketidaktentuan ekonomi global.
Menjelang pembentangan Bajet
hari ini, pakar ekonomi, ahli politik serta rakyat biasa dan setiap
lapisan masyarakat telah menyuarakan pendapat mereka mengenai apa yang
Najib patut masukkan di dalam Belanjawan.
Najib telah menulis dalam blog beliau bahawa Bajet ini disediakan selepas mengambil kira pelbagai pandangan daripada rakyat.
"Terima
kasih atas input anda , ini benar-benar mewakili sesuatu yang
disuarakan oleh rakyat, untuk rakyat – dan saya berharap semua lapisan
rakyat Malaysia dapat melihatnya daripada isu-isu yang ditangani," tulis
beliau.
Bajet ini akan dibahaskan dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 24 Sept dan akan berakhir pada 27 November.
Bajet
ini juga adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan
berikutan mandat kerajaan akan tamat pada 28 April, 2013. Najib boleh
memohon membubarkan Parlimen pada bila-bila masa antara sekarang dan
akhir April.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil peluang ketika membentangkan
belanjawan terakhirnya dalam penggal pentadbiran kali ini untuk
menyerang pemimpin pembangkang.
Tanpa menyebut nama Anwar, beliau
berkata ketua pembangkang itu "tidak melaksanakan apa yang dikokokkan"
ketika berada di dalam kerajaan.
"Kalau
hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya,
apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak
melaksanakan apa yang dikokokkan.
"Hakikatnya, jika ketika
berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan
mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang?," katanya.
"Bukankah
apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini
dibuatkanya?," katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat.
Walau tidak
menyebut mana-mana individu, serangan itu dilihat ditujukan kepada ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan menteri kewangan
ketika krisis kewangan Asia melanda.
Najib juga mendakwa, Pakatan Rakyat masih belum menunaikan janji di negeri yang dikuasai mereka.
"Jika
kini, di negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam
manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka
boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa?," katanya.
Beliau turut
menyelar pembangkang apabila mengumumkan bayaran Bantuan Rakyat
1Malaysia yang menurutnya "tidak membahayakan masa depan orang ramai".
"Bukan
seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini
percuma, itupun percuma, hutang pun tak perlu bayar," kata Najib.
Katanya,
bayaran bantuan yang diumumkan kerajaan hari ini bukanlah pemberian
subsidi secara pukal tetapi disasarkan kepada kelompok yang memerlukan.
Dalam
belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion itu Najib mengumumkan subsidi
berjumlah RM37.6 bilion, berkurangan daripada jumlah subsidi RM42.4
bilion dalam belanjawan 2012.
Perdana
menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, kerajaan meningkatkan had
pendapatan isi rumah untuk kelayakan membeli kediaman bawah Skim Rumah
Pertamaku kepada RM10,000.
Kelayakan
itu adalah untuk hartanah yang bernilai tidak lebih daripada RM400,000,
katanya ketika dalam ucapan pembentangan Bajet 2013 di Dewan Rakyat
hari ini.
Had kelayakan pendapatan untuk pembeli perseorangan dalam skim berkenaan pula ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.
Syarat syarat keperluan simpanan tiga bulan deposit serta tempoh minimum bekerja juga dimansuhkan, katanya.
Bagi tujuan sama, kerajaan pertuntukan RM1.9 bilion untuk bina 123,000 rumah mampu milik di kawasan strategik, katanya.
"Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara," katanya.
Seterusnya,
Bernama
melaporkan, PR1MA akan membelanjakan RM500 juta untuk membina 50,000
unit rumah dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit.
PR1MA
juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah RM500 juta
untuk membina 30,000 unit rumah secara usaha sama dengan pemaju
perumahan swasta, katanya.
Harga
rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih
rendah berbanding harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan
dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka, katanya.
Selain
itu, sebanyak RM320 juta diperuntukkan melalui SPNB untuk membina 22,855
unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra
rakyat serta rumah mampu milik, katanya.
"Projek perumahan yang
SPNB akan laksanakan segera termasuk membina 1,855 unit apartment kos
sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh
yang akan dijual pada harga sekitar RM120,00 hingga 220,000 seunit,"
katanya.
Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, Najib berkata SPNB
akan membina 21,000 unit rumah untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000
dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas
pinjaman sebanyak dua peratus, katanya.
Selain itu, peruntukan
sejumlah RM543 juta akan disediakan untuk Jabatan Perumahan Negara
melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR)
melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Sistem
Pembinaan Berindustri (IBS), yang akan dijual antara RM30,000 hingga
RM40,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 seunit.
Bajet 2013: Rayuan Najib, sindirian Anwar
Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Ahli-ahli
Parlimen pembangkang mengangkat laporan Bajet Pakatan Rakyat 2013 sebaik
tamatnya pembentangan belanjawan oleh Najib Tun Abdul Razak petang
tadi. - Foto Bernama
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Sementara Datuk Seri Najib Tun Razak mengakhiri ucapan
Bajet 2013 dengan menegaskan masanya hampir tiba apabila rakyat akan
membuat pilihan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula
mendakwa pembentangan bajet kali ini oleh Perdana Menteri adalah untuk
menaikkan popularitinya.
Anwar berkata, pembentangan bajet itu hanya memberi kekayaan ekonomi kroninya sahaja.
Katanya, "ya, dekat pilihan raya, isu untuk menjadikannya (bajet) populariti itu betul, kalau kecil-kecil tak mengapa."
"Tapi Najib perlu menyatakan isu-isu berkaitan harga barang keperluan
dan perkhidmatan (GST) perlu difokuskan bukannya dengan hanya memberi
insentif," katanya kepada pemberita di luar bangunan Parlimen petang
ini.
Sebelum ini, ramai pihak termasuklah pemimpin PR mengatakan Najib akan
menggunakan Bajet 2013 sebagai menaikkan kembali popularitinya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini
pernah berkata, bajet yang akan dibentangkan Najib hari ini akan
menjadikannya sebagai platform untuk meraih kembali popularitinya.
Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya
(Umcedel), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata,
kemungkinan trend semasa akan naik semula memandangkan Najib akan
mengumumkan Bajet 2013 hari ini.
Justeru, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, bajet yang dibentangkan Najib bersifat gimik politik dan bukan untuk rakyat.
Tambahnya, pembentangan bajet tersebut hanya mengetengahkan ekonomi
negara yang kukuh tetapi tidak menekankan cara untuk meningkatkan
pendapatan negara.
Dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Barisan
Nasional (BN) berkata, masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat
pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka sambil
menggesa rakyat memberikan mandate kepada kerajaan yang ada untuk
meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.
Perdana Menteri berkata persoalan yang perlu ditanya semasa membuat
keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding
semalam dan sama ada hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan
peluang serta potensi.
"Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada
kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada,"
katanya ketika membentangkan Bajet 2013 berjumlah RM251.6 bilion di
Dewan Rakyat, hari ini.
Najib yang mengumumkan bahawa Bajet 2013 sebagai yang terakhir sebelum
pilihan raya umum ke-13, berkata ia merupakan antara siri-siri
belanjawan yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian
wawasan nasional.
"Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru rakyat menilai
secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki
oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah
selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat
Malaysia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata, hakikat rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan BN
sebanyak 12 kali tanpa putus sejak 1959 bermakna sesuatu yang betul
telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada.
"Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk
membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang
demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga
ada hak, namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan
mendapat mandat melalui peti undi," kata beliau.
Sambil memetik madah pujangga, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana
yang tidak retak, Najib turut mengakui bahawa kerajaan BN tidak bebas
daripada kekhilafan tetapi yang membezakan BN dengan pakatan pembangkang
ialah mereka tidak mempunyai ketawadu'an untuk mengakui kesilapan
sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan
orang lain.
Najib berkata, pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka.
"Kerana mereka bukan tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di
kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang
mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa
negeri mereka juga mengepalai kerajaan.
"Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus
bertanya, apabila kerajaan berkenaan, ketika masih berjawatan dulu,
kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan.
"Hakikatnya, jika kita berpeluang, tidak melaksanakan segala yang
dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa
sekarang," katanya.
"Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya?" kata beliau.
Katanya jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang
terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana
mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.
"Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan
sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan
menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya
mengambil sikap asal menang, segala-galanya sanggup dipertaruhkan.
Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana."
Najib berkata, kerajaan BN juga pada hakikatnya tidak pernah
menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala kepada rakyat sebaliknya
sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan terhadap segala
masalah mereka.
Memetik kata-kata seorang ahli falsafah Yunani "The measure of a man is
what he does with power" Najib berkata justeru pada hari ini, untuk
berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan
bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi
kerakusan kuasa.
Katanya, kerajaan BN dibimbing prinsip "fastabiqul khairat" seperti
yang terkandung dalam ayat al-Quran yang dibacanya di awal ucapannya,
iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Beliau turut membidas sikap pihak tertentu yang mencadangkan supaya
keseluruhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
dimansuhkan dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang amat tidak
bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, rakyat Malaysialah yang akan
terbeban menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN.
Katanya, pada hakikatnya kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan
kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin
menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian dan
kerajaan difitnah serta dituduh semahunya.
"Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN
dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan
rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi
membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang
mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu,
yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang
memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.
"Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada
antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi
cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan
dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah
realiti dari impian.
Kepada ALLAH kita berserah," katanya mengakhiri ucapan pembentangan Bajet 2013 itu.
Najib umum BR1M 2.0, RM250-RM500
Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Budget 2013 di Bangunan Parlimen, petang ini.
SHAH ALAM - Kerajaan mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia Kedua (BR1M 2.0) iaitu antara RM250 dan RM500.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, RM500 akan
diberikan kepada isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 manakala RM250
kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan
pemberian BR1M sebanyak RM250 kepada rakyat yang masih bujang akan diberikan bermula awal tahun hadapan.
Katanya, "Rakyat bujang yang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan
tidak melebihi RM2,000 sebulan diberikan bantuan sebanyak RM250."
"Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah
satu langkah populis malah manifesto sebuah kerajaan bertanggungjwab dan
mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah," katanya pada
perbentangan Bajet 2013 hari ini.
Anwar cabar Najib hadir sesi bahas bajet Isnin ini
NURUL AINI MOHAMED ALI
28 September 2012
Daruk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak mendengar perbahasannya berhubung Bajet 2013 yang
dibentangkan beliau, Isnin ini.
Anwar selaku Ketua Pembangkang akan membahaskan cadangan Bajet 2013 Isnin ini.
"Saya cabar najib untuk turut hadir dan mendengar perbahasan Isnin ini.
"Jika selama ini Barisan Nasional (BN) hanya tahu mengkritik apa yang
pembangkang lakukan, beliau (Najib) mesti berani juga untuk hadir Isnin
ini," tegas beliau ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Bajet
2013.
Bajet 2013: Bonus kakitangan awam ditambah satu bulan
Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Datuk Seri Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Bajet 2013 menyediakan bonus satu setengah bulan gaji bagi
kakitangan awam, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini.
Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan kepada kakitangan
awam, jumlahnya 1.3 juta orang, sempena sambutan Aidilfitri lalu.
Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan
pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.
"Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian
bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah tersebut, setengah
bulan telah pun diberikan menjelang Aidilfitri yang lepas," kata Najib
yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan
Rakyat hari ini.
Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan
minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500
bagi menyambut Aidilfitri.
Najib berkata, pemberian bonus tersebut diharap dapat mengurangkan
beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi musim
persekolahan yang akan bermula Januari depan.
Bajet: Pencen minimum pesara kerajaan RM820
28 September 2012
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Budget 2013 di Bangunan Parlimen, petang ini.
KUALA LUMPUR - Kadar pencen minimum bagi pesara kerajaan yang
berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan dinaikkan daripada RM720
kepada RM820, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelarasan pencen itu akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Jan 2012.
"Kerajaan tidak akan lupa jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.
"Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen
terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun,"
katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini,
hari ini.
Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan pengurangan caj bayaran
pemprosesan pasport berkuatkuasa Januari 2013 dalam usaha mengiktiraf
golongan warga emas.
Najib berkata caj bayaran pemprosesan pasport untuk tempoh sah laku
selama lima tahun bagi warga emas akan dikurangkan sebanyak 50 peratus
daripada RM300 kepada RM150.
"Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80," katanya.
Tambahnya, pengurangan caj bayaran pasport itu turut diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. - Bernama
Inti pati Bajet 2013
Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Budget 2013 di Bangunan Parlimen, petang ini.
BERIKUT inti pati Belanjawan 2013 yang bertemakan Memakmur Negara,
Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati, yang dibentangkan oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini:
* Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
* KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.
* Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.
* Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.
* Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.
* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.
* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion
di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti
penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.
* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.
* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan
Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS
terlibat.
* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga
kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta
setahun.
* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000
bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program
Transformasi Perniagaan.
* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.
* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan
pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun
bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.
* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali
bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
* DanaInfra Nasional Bhd akan terbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk biayai pembangunan MRT.
* Perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit akan diberi
potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
* Pelabur individu diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.
* Suruhanjaya Sekuriti perkenal inisiatif Graduate Representative Program dengan sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan.
* Peruntukan modal Danajamin ditambah sebanyak RM400 juta dalam tempoh
dua tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara
RM4.0 bilion hingga RM6.0 bilion.
* RM100 juta disediakan kepada Yayasan Pasaran Modal melalui Tabung
Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti.
* Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat
berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX
Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.
* Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi
tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil
kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.
* RM9.0 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
* Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1.0 bilion akan disediakan
oleh SME Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat
milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti
untuk dijual.
* Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan
diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta
kelayakan manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20
juta.
* Pembiayaan TEKUN bagi usahawan kecil dan sederharna diberi
peruntukkan RM350 juta termasuk RM50 juta bagi Skim Usahawan Masyarakat
India.
* Skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah RM200 juta akan
ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures dengan kerajaan memberi subsidi
kadar faedah sebanyak dua peratus dan jaminan 50 peratus melalui Credit
Guarantee Corporation bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek
sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan.
* Peruntukan sebanyak RM19 juta bagi program latihan penilai harta
intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan
platform pasaran harta intelek.
* Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan
aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai
bersamaan dengan jumlah pelaburan.
* Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan
penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100
peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.
* Potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan oleh pelabur
pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis
pendapatannya.
* Dana Skim Pembiayaan Teknologi Hijau akan ditambah sebanyak RM2.0
bilion lagi dan tempoh permohonan skim ini dilanjutkan sehingga 31
Disember 2015
* Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi
paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada
tiga peratus menjelang 2015
* Sistem percukaian negara akan diperkukuhkan dengan sistem cukai yang menyeluruh dan saksama
* Perolehan kerajaan dan pembelian adalah berdasarkan prinsip "nilai untuk wang"
* Peruntukkan RM6 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program
untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Antara projek yang dikenal pasti termasuk membaik pulih dan
menyelenggara sekolah, klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki
air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.
* Peruntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga
berpatutan di kawasan strategik, dan akan dilaksanakan oleh PR1MA,
Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan Jabatan Perumahan Negara.
* Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan
hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun mulai tarikh
perolehan dikenakan pada kadar 15 peratus, bagi tempoh pegangan melebihi
dua hingga lima tahun dikenakan pada kadar 10 peratus dan bagi tempoh
pegangan melebihi lima tahun tidak dikenakan CKHT.
* Peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai
* Insentif cukai pemulihan rumah terbengkalai untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta
* Kadar cukai pendapatan diturunkan satu mata peratusan bagi setiap
kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000.
* Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan antara satu dan tujuh mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan bercukai.
* Felda akan membangunkan 20,000 projek perumahan dalam kawasan Felda,
membaiki rumah-rumah kampung tradisi, program latihan dan latihan
kemahiran.
* Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran
pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah untuk pelajar prasekolah
di kawasan pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program
membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.
* Syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan RM500 juta untuk
menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam bidang
pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam sekitar.
* RM1.2 bilion diperuntukkan untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia
KAR1SMA) yang meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak,
elaun pekerja Orang Kurang Upaya serta bantuan penyakit kronik.
* RM400 juta diperuntukkan untuk program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) yang dijangka memanfaatkan 58,330 peserta.
* Menambah enam pusat Anjung Singgah dan mewujudkan lima Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh.
* RM738 juta diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan. RM15 juta
diperuntukkan bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan
antarabangsa, RM50 juta lagi untuk tempoh empat tahun khusus untuk
persiapan Sukan Olimpik Rio 2016.
* Tahun 2013 diisytiharkan sebagai Tahun Kesukarelawan Nasional.
* RM50 juta diperuntukkan bagi mewujudkan "New Entrepreneur Foundation"
untuk membantu usahawan muda dalam bidang ICT dan RM50 juta lagi untuk
mewujudkan "Young Entrepreneur Fund".
* Memberi rebat RM200 secara "one-off" bagi pembelian satu unit telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun.
*RM6 juta diperuntukkan sebagi bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan seni yang berdaftar.
Belia beli telefon pintar 3G dapat rebat RM200
Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Najib menunjukkan
beg berisi buku Laporan Bajet 2013 di perkarangan Perbendaharaan
Malaysia, Kementerian Kewangan hari ini. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Golongan belia akan menikmati rebat sebanyak RM200
secara one-off atau bayar sekali bagi pembelian satu unit telefon mudah
alih pintar 3G, yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada
lebuh raya maklumat, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.
Perdana Menteri berkata, pakej khas itu, yang akan diperkenalkan
kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
dan syarikat telekomunikasi, terbuka kepada belia berumur antara 21
hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.
"Sebanyak RM300 juta disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia,"
kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan
2013 di Dewan Rakyat, hari ini.
Najib berkata, kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya
yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara sempena perisytiharan
tahun 2013 sebagai Tahun Kesukarelaan Nasional.
Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini berjaya mengumpulkan kehadiran
1.5 juta belia pada Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya pada Mei lepas.
Najib berkata dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti
tinggi, berintergriti, kreatif dan berinovasi, kerajaan melancarkan
program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara.
Bagi mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara, kerajaan akan
melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia for Youth atau 1M4U bagi
golongan
itu mempersembah idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan.
"Tiga idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia," kata Najib.
Katanya bagi membantu usahawan muda dalam bidang informasi, komunikasi
dan teknologi (ICT), sebuah yayasan dengan nama New Entrepreneur
Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50
juta bagi program latihan dan bimbingan.
Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan RM50 juta, disediakan oleh SME Bank.
Dana pinjaman mudah alih ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke
bawah dengan subsidi kadar pinjaman sebanyak dua peratus dan had
maksimum pinjaman sebanyak RM100 serta bayaran balik selama tujuh tahun.
Bajet 2013 RM251.6 bilion, garis 5 fokus
28 September 2012
Intipati Bajet 2013
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
membentangkan Belanjawan 2013 yang menggariskan lima fokus utama untuk
meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara.
Belanjawan yang dibentangkan Najib yang juga Menteri Kewangan itu juga
bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah
dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan
mengutamakan kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta
manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek
pembangunan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 berjumlah
RM251.6 billion di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Belanjawan bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah
Janji Ditepati" itu bakal memberi keselesaan kepada pelbagai lapisan
masyarakat termasuk masyarakat desa, petani, buruh, nelayan, guru,
pekebun kecil, pensyarah, karyawan, penjawat awam dan golongan
profesional serta usahawan.
Najib berkata pada 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang
dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih
kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus.
"Julung kalinya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras RM1 trilion," katanya.- Bernama
Belanjawan tidak guna kalau rugi RM28 bilion
Abdul Aziz Mustafa,
|
28 Sep 2012
|
KUALA LUMPUR: Sebaik mana pun belanjawan
dibentangkan, ia tidak berguna kepada rakyat kalau perlaksanaan penuh
penyelewengan dan rugi RM28 bilion setahun, kata Timbalan Presiden PAS,
Mohamad Sabu.
"Saya tidak boleh kata belanjawan yang
dibentangkan oleh (Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk
Seri) Najib (Tun Razak) adalah belanjawan yang baik dan bertanggungjawab
kepada negara dan generasi akan datang sebab (bekas Perdana Menteri,
Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri kaitkan Najib dengan perbuatan beli
undi.
"Tetapi, kalau Najib mempunyai kebolehan untuk
membentangkan belanjawan yang baik sekalipun, ia tidak berguna kepada
rakyat apabila Ketua Audit Negara sendiri dedahkan negara mengalami
kerugian sehingga RM28 bilion setahun yang diakibatkan oleh kelemahan
pengurusan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," katanya.
Mohamad bersetuju dengan pandangan ramai bahawa belanjawan yang dibentangkan oleh Najib hari ini adalah "belanjawan beli undi".
Dr
Mahathir sebelum ini mengakui bahawa tindakan pentadbiran Najib memberi
wang tunai kepada rakyat menghampiri kepada pembelian undi.
Bagi
Mohamad, pembelian undi adalah rasuah terang-terangan tetapi lebih
buruk lagi penyelewengan dalam perlaksanaan apa yang dibentangtkan dalam
belanjawan.
"Dalam belanjawan hanya nyatakan hendak beli peralatan tentera. Itu baik.
"Tetapi dalam perlaksanaannya, gasak duit rasuah dalam pembelian kapal selam malah sehingga berbunuh-bunuh," katanya.
Ayat-ayat hendak minta duit dalam belanjawan, katanya, boleh dikatakan hampir semuanya manis-manis belaka.
"Tetapi
dalam perlaksanaan, beli pemutar skru lima kali daripada ganda harga
biasa," katanya sambil menyatakan contoh itu hanya contoh terlalu kecil
dari pelbagai perbuatan khianat kepada negara yang menyebabkan negara
mengalami kerugian sehingga RM28 bilion seperti yang didedahkan oleh
Ketua Audit Negara.
Mohamad juga menggelar belanjawan Najib
sebagai belanjawan sembunyi fakta berikutan keengganan kerajaan
membentang laporan Ketua Audit Negara bersama belanjawan.
Pada kebiasaannya, laporan audit tahunan itu dibentangkan bersama dengan belanjawan.
Tetapi, dalam pemerintahan Najib, iaitu bermula tahun lalu, laporan audit dibentangkan selepas belanjawan.
Dalam
perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan, belanjawan yang
dibentangkan oleh Najib dijangka akan menggula-gulakan pengundi kerana
kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang lebih diutamakan dari
menangani hutang negara yang semakin meningkat.
Subsidi gula dikurangkan 20 sen mulai esok
Harakahdaily,
|
28 Sep 2012
|
KUALA LUMPUR: Mulai esok, 29 Sept, kerajaan akan
mengurangkan subsidi gula sebanyak RM0.20 sekilogram sebagaimana
diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan
Bajet 2013 di Dewan Rakyat, petang ini.
Antara alasan kerajaan, gula yang diambil berlebihan ia mampu menjadi
racun memandangkan sekitar 26 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes.
Ekoran pengurangan subsidi itu, kerajaan menyeru para peniaga jangan
membebankan pengguna dengan kenaikan harga gula, sebaliknya kurangkan
pengambilan gula.
Bajet 2013 tidak dapat selesai hutang negara
Hazayani Zakaria,
|
28 Sep 2012
|
KUALA LUMPUR: Bajet 2013 didakwa memberi tumpuan yang lebih kepada golongan sasar untuk menarik undi mereka pada Pilihan raya Umum ke-13.
Ahli
Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pemberian one off
kepada golongan belia, nelayan, petani dan pesara tentera menunjukkan
kerajaan sedang menawan hati golongan itu.
"Apa yang kerajaan
beri dalam bentuk one off kepada golongan 21 tahun ke atas seperti rebat
pembelian smartphone, pelajar sekolah dapat RM100 baucer, RM250 baucer
buku kepada pelajar IPT, ini semua sasaran kerajaan dalam pilihan
raya," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen, petang tadi.
Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat itu juga berkata, tiada sesuatu yang baru dalam
Bajet 2013 selain tidak menyelesaikan masalah bebanan hidup rakyat.
"Semua ini tidak menyelesaikan bebanan hidup. Kita mahu kalau boleh ada isu harga minyak tapi tak ditekankan.
"Saya
menganggap bajet ini berada dalam kerangka lama, tidak ada sesuatu yang
baru dan bajet pilihan raya kerana semuanya akan diberi pada 2013.
Selain itu katanya, masalah hutang negara juga tidak dapat diselesaikan jika kerajaan terus mengamalkan pemberian one off.
"Masalah
hutang negara tidak digarap dan meningkap 10.1 peratus dalam laporan
ekonomi iaitu hutang dalaman RM484.8 bilion berbanding dahulu iaitu
lebih kurang RM430 bilion," katanya.
Bajet 2013 tidak prihatin pembangunan wanita
Salmiyah Harun,
|
28 Sep 2012
|
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak memperlihatkan ketidakprihatinan terhadap wanita negara ini
apabila hanya memperuntukkan RM50 juta untuk pembangunan di Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sedangkan, satu peruntukan yang cukup besar telah diberikan kepada prasekolah termasuklah Permata iaitu sebanyak RM1.2 billion.
Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd
Yusoff kecewa apabila peruntukan untuk prasekolah jauh lebih besar
berbanding pembangunan wanita.
"Saya tersentuh hati sebagai pimpinan Muslimat apabila bajet untuk wanita sedikit berbeza sebelum ini," katanya.
Beliau menyifatkan tindakan ini satu penghinaan kepada kaum wanita apabila menteri wanita tidak menerajui kementerian wanita.
"Inilah akibatnya orang lelaki jadi menteri wanita. Dia tidak prihatin dan peka terhadap pembangunan wanita," katanya.
Malah katanya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, ia merupakan
perkara yang memalukan dan meminta wanita di luar sana harus peka dengan
situasi ini.
Ketika ditemui, Zailah berkata bajet kali ini banyak menabur janji
temasuk pemberian 'one off' menampakkan Najib terdesak untuk
menyelamatkan keadaan di saat kebangkitan rakyat menjelang pilihan raya.
Membandingkan bajet Pakatan Rakyat dengan BN, Zailah berkata bajet
Pakatan Rakyat lebih menjurus kepada keseimbangan dan kemampuan negara
dengan kedudukan hutang yang semakin bertambah.
Tetapi katanya apa yang diwar-warkan Najib lebih kepada tawaran untuk
pancing undi dengan menawarkan insentif kepada kakitangan awam, petani,
dan golongan muda dengan memberi rebat untuk 'smart phone'.
Justeru, katanya, insentif-insentif ini tidak akan menggugat sokongan
rakyat terhadap Pakatan Rakyat kerana mereka sedar pengurusan kewangan
negara banyak berlaku ketirisan dan penyelewengan.
Bajet 2013 sekadar janji politik BN
KUALA LUMPUR: Bajet 2013 yang dibentang Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini hanya ucapan panjang yang
penuh janji-janji manis bagi menghadapi pilihan raya umum.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata beliau kecewa
dengan bajet ini kerana ianya merupakan janji politik BN, selain tidak
menyentuh isu utama ekonomi negara.
"Rakyat ingin apakah dasar kerajaan bagi membasmi kemiskinan, dasar
membela rakyat. Kos hidup yang begitu tinggi juga tidak disentuh. Kadar
tol yang tinggi, harga kereta yang tidak diturunkan," kata beliau kepada
Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang ditemui selepas Najib membentangkan Bajet 'Memakmurkan
Negara, Mensejahterakan Rakyat, Sebuah Janji Ditepati' juga berkata,
kekecewaan itu turut dirasai rakyat Kelantan.
Lebih-lebih lagi, tambah beliau apabila bajet tersebut tidak
menyentuh soal pemberian royalti yang dinanti-nantikan seluruh rakyat
Kelantan.
Selain isu royalti, kata beliau kos perubatan dan pendidikan yang
tinggi turut tidak disebutkan dalam bajet 2013 itu, sedangkan ia
memerlukan perhatian daripada kerajaan.
Bajet bukan sekadar angka tapi manfaat untuk rakyat
Harakahdaily,
|
28 Sep 2012
|
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul
Hadi Awang, berkata apa yang lebih penting dari pengumuman insentif
dalam bajet adalah mekanisma penyampaiannya kepada rakyat.
Menurut beliau, tidak guna jika pengumuman dengan angka dan jumlah
berbilion ringgit tetapi manfaatnya tidak sampai dan tidak dirasai
rakyat.
Malah lebih menyedihkan, tambah Ahli Parlimen Marang
itu, perlaksanaannya selama ini hanya lebih menguntungkan kroni
berbanding rakyat kebanyakan.
"Bajet bukan sekadar angka-angka
dan duit berbillion untuk melaksanakan projek semata-mata, tetapi yang
lebih penting ialah bagaimana membetulkan prinsip dan pelaksanaannya
serta kesannya selama ini telah tidak sampai kepada manfaat rakyat
terbanyak.
"Projek-projek berskala besar pula dipergunakan
untuk mendapat laba keuntungan berlipat ganda menerusi naungan dan kroni
politik Umno-putra," katanya kepada Harakahdaily.
Kenyataan itu sebagai ulasan ringkas terhadap Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan hari ini mengumumkan bajet dengan
jangkaan hasil kerajaan pada 2013 sebanyak RM208.6 bilion berbanding
RM207 bilion pada 2012.
Beberapa isentif bersifat "one-off"
juga diumumkan termasuk bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar
sekolah dan baucar buku RM250 kepada pelajar universiti.
Selain
itu beliau turut mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M) RM250
kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan
bawah RM2,000 serta pemberian bonus sebulan setengah kepada penjawat
awam.
Biarpun menyambut baik pengumuman insentif itu, namun apa yang harus dibimbangi adalah mekanisme penyampaiannya.
"Selama puluhan tahun dibentang dan dijanjikan, rakyat perlu sedar
tentang ketirisan berbillion duit khazanah negara yg telah hilang entah
ke mana," kata Tuan Guru Abdul Hadi.