Gadis api diganggu rayu pakar perubatan tradisional
ROSALWANI CHE SOH
15 September 2012
Wan Nor Fatihah menunjukkan api yang muncul secara tiba-tiba, ketika wartawan Sinar Harian menemu bualnya kelmarin.
Antara sebahagian telefon bimbit miliknya serta ahli keluarga yang turut terbakar selepas api misteri itu muncul.
KOTA BHARU - ’Gadis api’ yang mengalami masalah diekori api misteri
sejak dua tahun lalu dari Kampung Penambang, Bunga Emas, di sini, hanya
tenang ketika solat.
Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 14, meminta agar mana-mana pakar perubatan
tradisional atau ustaz dapat merawat gangguan jin yang dikatakan
berdampingan dengannya yang juga menjadi punca diekori api itu.
Menurutnya, sejak diekori api berkenaan, hidupnya tidak keruan selain
sering dicemuh masyarakat kerana menimbulkan kekecohan di kawasan
setempat, setiap kali diekori api misteri itu.
Wan Nor Fatihah berkata, dia begitu mengharapkan pertolongan pihak berpengalaman bagi merawat gangguan itu.
“Saya harap jika ada mana-mana ustaz atau bomoh, yang boleh merawat saya untuk buang gangguan jin ini.
“Lebih teruk lagi, apabila api misteri itu akan muncul hampir 11 kali
setiap hari bermula awal pagi sehingga lewat malam, di dalam rumah
dengan membakar pakaian, telefon bimbit, almari, selimut selain telefon
bimbit dan kamera serta segala peralatan dalam rumah,” katanya.
Pada kunjungan ke rumahnya kelmarin, wartawan Sinar Harian turut
merasai pengalaman mengenai kemunculan api misteri itu kira-kira jam 6
petang, hampir dua kali.
Seperti tidak percaya apa yang dilihat, api misteri itu muncul di
permukaan kain dan keluarganya terpaksa bertungkus lumus memadamkan api
itu.
Sementara itu menurut Wan Nor Fatihah lagi, insiden terbaru,
menyebabkan rumah ibu saudaranya juga yang berada berdekatan, turut
terbakar selepas dia serta neneknya Zainab Sulaiman, 75 berkunjung ke
kawasan itu kelmarin.
“Sudah puas saya ikhtiar sendiri, bertemu berpuluh bomoh dan ustaz di
Kelantan dan luar Kelantan, namun gangguan itu tetap muncul semula dan
api itu akan muncul pada setiap masa.
“Saya sedih apabila masyarakat memandang serong terhadap diri saya,
akibat kejadian ini saya hanya duduk di rumah dan tidak bercampur dengan
penduduk sekitar,” katanya.
Biarpun dicemuh dan kecam, namun dia masih berharap ada sinar baru bagi
dirinya yang ingin hidup seperti manusia normal lain, dan dapat bergaul
dengan masyarakat setempat.
“Saya ingin menjalani hidup seperti orang lain juga, boleh berkawan
dengan sesiapa sahaja dan tidak dibelenggu masalah ini setiap masa.
“Akibat kejadian itu, saya takut untuk berkunjung ke rumah orang lain,
bimbang jika api misteri itu muncul dan menyebabkan mereka terpaksa
menanggung kerugian,” katanya.
Menurut Zainab, dia sentiasa berharap agar cucunya itu dapat menjalani
kehidupan lebih baik selepas ini dan pulih dari gangguan itu.
Ia bukan sahaja menyebabkan dia terpaksa hidup dalam ketakutan, malah
anaknya Rafeah Zakaria, 42, yang merupakan ibu kepada Wan Nor Fatihah,
selain dua cucunya, Wan Mohd Faiz, 16, dan Wan Nurfatini 12, terpaksa
menghadapi kebakaran yang berlaku tidak kira waktu dan ketika.
Mereka turut bertungkus lumus memadamkan api yang membakar apa sahaja yang ada di dalam kediaman mereka.
Sinar Harian sebelum ini, ada melaporkan mengenai kejadian terbabit
yang menghantui gadis dan keluarganya itu sejak dua tahun lalu, namun
walaupun pernah berubat dengan pelbagai pihak termasuk ustaz dan
berjumpa dengan pakar perubatan tradisional, namun kejadian itu tetap
mengganggunya dan keluarga sehingga kini.
Nur Amira disahkan buta
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Beginilah keadaan Nur Amira Umairah yang disahkan buta pada mata sebelah kirinya.
PENDANG – Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak menderita menghidap pelbagai penyakit, apatah lagi jika anak itu masih kecil.
Kesedihan itu dirasakan sepasang suami isteri di Kampung Sungai Baru
Mukim Air Puteh dekat sini, apabila anak sulung mereka Nur Amira Umairah
Mohd Akbal berusia 10 bulan telah disahkan buta pada mata kiri manakala
mata kanan mengalami rabun tahap serius selepas menghidap penyakit
glaucoma apabila kedua matanya terbonjol sejak dilahirkan.
Nur Amira Umairah dikenal pasti menghidap penyakit itu sejak lahir pada
24 November 2011 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar apabila
matanya terbonjol dan semakin membengkak.
Mohd Akbal Baharuddin, 23, dan isteri, Zainon Mohd Tajuddin, 20,
memaklumkan berikutan penyakit anaknya itu mereka kini buntu untuk
menjelaskan bayaran wad dan cermin mata anak yang masih tertunggak
selain kos pengangkutan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap kali
mendapatkan rawatan.
Mohd Akbal berkata, setiap bulan dia perlu membawa anaknya itu ke HSB dua kali dan ke HKL sebanyak tiga kali.
“Pendapatan saya sebagai pembantu kedai runcit hanya RM20 sehari, itu
pun bukan hari-hari saya bekerja. Nak bawa anak ke hospital lagi.
"Zaman sekarang gaji sebanyak itu mana cukup, nak makan hari-hari pun
susah, apatah lagi nak tanggung kos rawatan yang terlalu tinggi.
“Saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang sebanyak RM300 sebulan.
"Ia juga tidak cukup kerana kos pengangkutan ke HKL saja dah cecah
RM1,000 sebulan sehingga saya terpaksa juga berhutang untuk membeli
lampin pakai buang untuk anak,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan derita yang dialami Nur Amira
Umairah ketika dia baru berusia empat bulan berkaitan penyakit yang
dihadapinya itu pada peringkat permulaan.
Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh
menghubungi keluarga terbabit di talian 013-4756126 atau menyumbang
melalui akaun Maybank di nombor 152125198708.
Wartawan diserang lelaki berparang
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Faizah (kiri) melakonkan kembali bagaimana dia diserang lelaki berparang.
PENDANG – Wartawan Sinar Harian Pendang, Ku Noor Faizah Ku Mustafa atau
mesra dipanggil Faizah bersyukur kerana terselamat daripada diserang
seorang lelaki berusia 30-an yang bertindak membawa parang dalam keadaan
marah ke arahnya di Kampung Sungai Rotan semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 11.15 pagi apabila wartawan itu ke kampung
terbabit bagi membuat liputan selepas menerima aduan melalui Pengerusi
Majlis Ketua-Ketua Kampung (MKK) berkaitan masalah perparitan yang
dihadapi beberapa penduduk di situ.
Faizah berkata, dia sempat melarikan diri dengan bertindak masuk segera
ke dalam kereta lalu beredar selepas melihat lelaki terbabit meluru ke
arahnya dengan memegang parang panjang sambil bercakap sesuatu yang
kurang jelas.
Menurutnya, setibanya di hadapan dewan Umno Sungai Rotan, MKK terbabit
yang telah menunggunya di situ dan memaklumkan liputan berkaitan masalah
berkenaan terpaksa dibatalkan.
Kurang dua minit selepas itu tiba-tiba muncul sekali lagi lelaki terbabit dari rumah berhampiran membawa parang ke arahnya.
Sementara itu, MKK Sungai Rotan, Suraini Hamid berkata, beliau juga terkejut dan tidak faham dengan tindakan lelaki terbabit.
"Saya tak tahu apa motif lelaki itu berbuat demikian.
"Ini kerana keluarganya yang meminta saya membawa media melaporkan masalah perparitan di kawasan itu," katanya.
Kes itu telah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.
Mangsa penipuan jual tanah kerugian jutaan ringgit
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
14 September 2012
Abidin (kanan) dan Musa (dua, kiri) menunjukkan laporan polis dan dokumen pembelian tanah palsu oleh sindiket jual tanah.
ALOR SETAR - Hampir 10 pembeli mengalami kerugian ribuan ringgit
setelah menjadi mangsa penipuan sindiket jual tanah di sekitar Kedah
sejak beberapa tahun lalu.
Mangsa sindiket, Musa Abdullah, 74, berkata, dia tidak menyangka akan
ditipu oleh sindiket ini kerana orang tersebut adalah kenalan rapatnya
sejak dulu.
Katanya, ahli sindiket ini bijak berkata-kata dan pandai meyakinkan
pembeli untuk membeli tanah yang ditawarkan dengan beberapa bukti
dokumen pembelian.
“Ketika kejadian, ejen tanah yang juga kenalan rapat saya menawarkan
sebidang tanah di Hutan Kampung untuk dijual dengan harga RM60,000.
Bagaimanapun, sebelum membuat sebarang bayaran, saya dibawanya melawat
ke sebuah tempat yang didakwa kawasan tanah yang akan dijual kepada
saya.
“Setelah berpuas hati dengan lawatan dan dokumen geran yang diberikan,
tanpa berfikir panjang saya terus bayar kepadanya RM60,000,” katanya
kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, katanya, tanah yang ditawarkan adalah bukan di tempat
tersebut, sebaliknya di kawasan lain. Malahan pula, penama penjual tanah
asal dalam dokumen tersebut juga adalah palsu.
“Saya mula sedar ditipu setelah proses penukaran nama di pejabat tanah
ditolak kerana mendakwa dokumen yang diberikan adalah palsu.
“Tidak puas hati dengan penipuan ini, saya meminta ejen tanah itu
supaya pulangkan wang tersebut kerana pembelian itu tidak sah.
Bagaimanapun, dia enggan berbuat demikian.
“Atas faktor keselamatan, saya membuat aduan di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kota Setar. Namun tiada sebarang tindakan dan siasatan
dikenakan terhadap dia sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Abidin Ahmad, 38, berkata, dia didatangi kenalan
rapatnya itu pada 3 Ogos lalu di rumahnya yang terletak di Taman
Hidayah, Jalan Langgar, di sini untuk mengambil wang pendahuluan
pembelian tanah dengan harga RM10,000.
Katanya, selang beberapa hari kemudian, dia pergi ke pejabat tanah
untuk membuat semakan status pembelian tanah tersebut. Namun, jawapan
yang diberikan oleh pejabat tanah bahawa semua dokumen yang diberikan
oleh ejen itu adalah palsu.
“Tidak berpuas hati dengan penipuan ini, saya membuat laporan di IPD Kota Setar untuk tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Abidin berkata, lebih memeranjatkan apabila penama dokumen yang tertera
pada geran tanah tersebut adalah seorang lelaki yang telah meninggal
dunia pada 30 April 1986, namun masih
terdapat tandatangannya pada surat pembelian yang bertarikh 21 Mac 2012.
Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar turut
mengesahkan menerima laporan berhubung isu penipuan pembelian tanah
daripada hampir 10 orang. Menurut jurucakap polis, kes tersebut masih
dalam siasatan.
Penjual laksa didakwa menipu
M JEFFRI RAZALI
14 September 2012
Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari bilik mahkamah, semalam.
AYER KEROH - Seorang penjual laksa mengaku tidak bersalah dan meminta
dibicarakan atas tiga pertuduhan memperdaya dan menipu tiga individu
membabitkan RM38,500 untuk pembelian motosikal berkuasa tinggi serta
pelaburan hartanah.
Khairul Fitri Abdul Rahim, 28, dari Klang, Selangor, membuat pengakuan
berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Sazali Omar setelah
pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Zulkhairi
Abdullah, 45, dengan menawarkan motosikal jenis Kawasaki ZX6 dan saham
MAS yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM6,500
antara bulan Februari dan September tahun ini.
Kejadian berkenaan didakwa dilakukan tertuduh di Restoran Pinang Besar, Cheng.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memperdaya Syahril Manan
berhubung urusan pelaburan hartanah dan perumahan sehingga mendorong
mangsa menyerahkan RM 17,000 pada 21 September 2009 di hadapan sebuah
bank di Taman Melaka Raya.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memperdaya Ahmad Ja’amad
berhubung pembelian sebuah motosikal berkuasa besar sehingga mendorong
mangsa menyerahkan RM15,000 pada 23 September 2011 di hadapan sebuah
kedai kereta di Jalan Semabok.
Ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika sabit
kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi
pertuduhan pertama dan masing-masing RM20,000 bagi pertuduhan kedua dan
ketiga.
Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan atas alasan
kurang berkemampuan kerana hanya bekerja sebagai seorang penjual laksa,
selain perlu menanggung isteri dan seorang anak.
Ahmad Sazali kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk
pertuduhan pertama, RM8,000 untuk pertuduhan kedua serta RM7,000 untuk
pertuduhan ketiga, selain menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh
sebutan semula.
Tangisan bayi beri petunjuk
SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
15 September 2012
Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh tempat mangsa mengajar. Gambar kecil: Normaya.
BAGAN DATOH – Tangisan berpanjangan seorang bayi berusia tujuh bulan
menjadi petunjuk terhadap penemuan mayat seorang wanita yang ditemui
meninggal dunia dalam keadaan terbaring di kuarters guru Sekolah
Menengah Sains Bagan Datoh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu, mangsa, Normaya Mokhtar, 33, tinggal di kuarters berkenaan bersama bayinya.
Bagaimanapun, tangisan bayi yang berlarutan sejak malam Rabu membuatkan
jiran tetangga berasa ragu sebelum bertindak berusaha membuka rumah
berkenaan dengan mencari kunci pendua yang diletakkan di luar rumah.
“Setelah dapat mencari kunci tambahan, saya buka pintu rumah itu dan
cuba memeriksa keadaan dalam rumah sebelum menemui mangsa terbaring
dalam keadaan pucat di katil biliknya,
“Di sebelah mangsa adalah bayinya yang baru berusia tujuh bulan,” kata
seorang saksi yang enggan dikenali kepada Sinar Harian, di sini,
semalam.
Panik dengan keadaan itu, dia segera menghubungi pihak kesihatan untuk memeriksa mangsa.
Saksi berkenaan memaklumkan, sehari sebelum penemuan mangsa, dia ada
mengirim pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), namun tidak
berbalas.
“Saya pelik kerana dia tidak membalas SMS saya, ditambah pula dengan
suara tangisan anaknya yang tidak berhenti menyebabkan saya nekad untuk
mencari kunci tambahan untuk melihat keadaan mereka berdua,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan
Mohamad Zaki Harun ketika dihubungi berkata, mangsa yang berasal dari
Batu Gajah seorang guru mata pelajaran Bahasa Jepun di sekolah
berkenaan.
Katanya, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati, guru berkenaan meninggal dunia disebabkan serangan jantung.
“Polis sedang menjalankan siasatan mendalam berhubung kes tersebut bagi mengetahui punca kejadian berlaku.
“Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut apabila tiada unsur jenayah dikesan terhadap mangsa,” katanya.
Sinar Harian dimaklumkan, ketika kejadian, suami mangsa tidak berada di rumah atas urusan tugasan luar negeri.
Gadis pusat tahfiz jaja jus herba
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Norhafi zah terkejut ketika menyedari kegiatannya dirakamkan.
Noraini cuba mengelak ketika Sinar Harian mendekatinya.
BUKIT BERUNTUNG - Pengunjung stesen minyak sekitar kawasan ini mendakwa
sering didatangi gadis bawah umur yang membawa jus herba dan resit
tertera Pusat Tahfiz Amal yang berpusat di Yan, Kedah.
Dengan skrip sama, mereka yang berusia antara 13 hingga 17 tahun ini
menjual jus RM10 setiap satu. Bagaimanapun, kegiatan mereka diragui sama
ada benar untuk keperluan pusat tahfiz itu atau kepentingan sindiket
yang berselindung di sebalik nama pusat berkenaan.
Untuk itu, Sinar Harian membuat tinjauan bagi menyingkap kegiatan gadis
pusat tahfiz dikatakan aktif menjual jus herba, terutama di beberapa
stesen minyak. Seorang gadis mendakwa dari pusat tahfiz di utara itu,
Noraini Nasri, 14, ketika didekati sedang menjual jus herba kepada
pengunjung sebuah stesen minyak di sini.
“Saya cuma ikut sunnah Rasulullah yang berniaga dengan menemui orang
satu persatu. Ini cara yang saya amalkan dan melatih saya berdikari,”
katanya yang datang bersama seorang lagi rakan dan ditempatkan di stesen
minyak bersebelahan.
Noraini mendakwa mereka melakukan secara sukarela dan dipersetujui ibu
bapanya yang tinggal di Kedah. Menurutnya, bukan mudah untuk dia
melakukan kerja yang didakwa sama seperti amalan Rasulullah SAW.
Ditanya mengapa perempuan yang berniaga dan ke mana perginya pelajar
tahfiz lelaki, Noraini senyap seketika sebelum mengatakan dia hanya
bercakap perkara wajib diperkatakan.
“Saya tak wajib cakap, jadi buat apa saya beritahu,” katanya.
Noraini juga pada awalnya merahsiakan lokasi dia diturunkan dan
mengatakan lupa tempat itu kerana baru tiba di Bukit Beruntung dan
dihantar ‘ustaz’ baru dikenali. Tetapi, setelah didesak dia memberitahu
mereka datang menaiki van turun sebelah pasar raya sebelum berjalan ke
stesen minyak ditetapkan.
Seorang lagi, Norhafizah Azri, 14, pula agak murung dengan pakaian
kurang kemas mengatakan kerja itu dilakukan untuk melatihnya berniaga.
Anak bongsu daripada enam beradik ini mengakui ibu bapa dan semua abang
dan kakaknya melakukan kerja sama di tempat lain.
“Saya mula kerja begini sejak darjah lima sampai sekarang. Mak ayah dan
adik beradik lain pun buat juga dan mereka lagi lama,” katanya.
Menurutnya, dia datang bersama 11 rakan lain dan diturunkan di tempat
berasingan. Norhafizah berkata, walaupun Pusat Tahfiz Amal beroperasi di
Kedah, tetapi mereka tinggal di Damansara dan hanya sesekali pulang ke
negeri berkenaan.
"Kami akan datang pada petang hingga lewat malam kerana sebelah pagi
akan menghafal al-Quran dan mengikuti kelas fardu ain," katanya.
Tidak pernah minta izin
Sinar Harian turut mendapatkan maklum balas pekerja stesen minyak
berkenaan serta pengunjung dan agak terkejut apabila dimaklumkan gadis
terbabit datang hampir setiap hari sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun, kumpulan gadis terbabit tidak pernah bersemuka atau
meminta izin daripada pengurus stesen minyak untuk berniaga di kawasan
itu. Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlan, 32,
berkata, kumpulan gadis tahfiz itu datang berjalan dan pulang tanpa
pernah melihat kenderaan yang menghantar mereka.
“Hampir lima tahun saya di sini, tak pernah tengok atau terserempak
orang atau kenderaan yang hantar mereka. Mereka datang petang, malam
mereka sudah tiada,” katanya.
Menurutnya, pengurus stesen itu pernah cuba mendapatkan maklumat mengenai gadis terbabit namun gagal.
"Gadis berkenaan tidak pernah mendedahkan maklumatdiri dipercayai khuatir sesuatu berlaku kepada mereka," katanya.
Hairan semua wanita
Sementara itu, seorang pengunjung stesen minyak yang enggan dikenali
berkata, umumnya pelajar tahfiz adalah dalam kalangan lelaki dan jarang
sekali wanita.
"Lagipun jika benar mereka ini pelajar tahfiz, mengapa mereka dibiarkan
berkeliaran dan meminta-minta kepada orang ramai yang kebanyakan tidak
senang kehadiran mereka.
“Kita tidak usah persoalkan barang dijual kerana hanya jus herba,
tetapi tindakan membiarkan gadis bawah umur begini sangat bahaya dan
memalukan," katanya.
Menurutnya, gadis bawah umur yang berkeliaran melakukan jualan jus herba atas nama pusat tahfiz tidak sepatutnya berlaku.
“Mereka sepatutnya berada di sekolah dan bukan berniaga pada usia muda
begini. Kita pernah tanya mengapa mereka tidak disediakan tempat khusus
untuk berniaga seperti membuka kiosk di pasar raya, tetapi dengan petah
gadis berkenaan menjawab itu bukan cara Rasulullah," katanya.
Dalam pada itu, dia berharap pihak berkuasa memandang serius kegiatan
kumpulan gadis berkenaan kerana percaya ia didalangi sindiket dan bukan
pusat tahfiz seperti didakwa.
Pemandu van didakwa rogol pelajar
Wartawan Sinar Harian
14 September 2012
KLANG- Seorang pemandu van yang masih dalam jaminan atas tuduhan
merogol, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, semalam
terhadap empat tuduhan sama.
Ahmad Mustapah Ridwan, 20, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan
merogol remaja bawah umur di hadapan hakim Norsyaridah Awang.
Remaja itu didakwa merogol pelajar tingkatan satu di sebuah bilik,
Jalan Mohd Yamin, Kampung Delek Kiri, di sini, jam 8.20 hingga 9.30
malam, 30 Mac lalu.
Dia didakwa mengulangi perbuatan itu dengan mangsa yang sama di bilik tersebut, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 1 Mac lalu.
Bagi tuduhan ketiga Ahmad Mustapah didakwa merogol remaja berusia 15 tahun di bilik sama, jam 9 malam, 19 Febuari 2011.
Bagaimanapun, Ahmad Mustapah mengaku bersalah atas tuduhan merogol
pelajar tingkatan dua di tempat yang sama, pada 11.30 malam, 3 September
lalu.
Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan itu jatuh hukum bagi pengakuan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Hafizza Sauni tidak menawarkan ikat jamin terhadap Ahmad Mustapah.
Hafizza berkata, adalah tidak wajar sekiranya jaminan bagi kes ini
ditawarkan kerana Ahmad Mustapah masih lagi mengulangi kesalahan yang
sama.
“Justeru, saya mohon agar mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin,” katanya.
Kereta terbakar: Pemandu terpaksa merangkak keluar dari kereta
Wartawan Sinar Harian
14 September 2012
Bahagian dalam Mercedes Benz milik Lau yang berdebu akibat asap tebal, semalam.
SEREMBAN - Seorang wanita hadapi saat mencemaskan apabila apabila
kereta jenis Mercedes Benz yang dipandunya hampir terbakar ketika dalam
perjalanan pulang ke pejabat selepas membeli juadah makan tengahari,
semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, pemandu yang hanya mahu
dikenali sebagai Lau, 40, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang
memandu apabila bahagian penghawa dingin keretanya itu secara tiba-tiba
mengeluarkan asap hitam tebal, seperti sesuatu yang telah terbakar.
“Tanpa berfikir lagi, saya menghentikan kenderaan di tepi jalan lalu
meminta pertolongan, memandangkan hampir seluruh kereta saya dipenuhi
asap tebal.
“Saya yang hampir sesak nafas dengan kepulan asap itu terpaksa
merangkak keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika
ditemui Sinar Harian, semalam.
Lau berkata, sebaik sahaja dia berjaya keluar dari dalam kereta, dia
meminta pertolongan daripada pekerja di salah sebuah kedai menjual kedai
perkakasan di tepi jalan tersebut untuk memadamkan api, sementara
menunggu pasukan bomba tiba.
"Saya bernasib baik kerana kereta saya tidak meletup dan sempat keluar
dari kenderaan itu. Kalau tak, sudah tentu saya turut tercedera,”
katanya.
Menurutnya, Mercedez Benz lama yang baru dibelinya awal tahun lalu dipercayai mempunyai masalah di bahagian enjin.
"Saya tidak sangka kereta yang digunakan tidak sampai setahun itu boleh mendatangkan masalah sebegini teruk,” katanya.
Lemas di kolam memancing
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Anggota penyelamat mengusung mayat mangsa.
DURIAN TUNGGAL – Rasa curiga orang ramai terhadap beberapa penemuan
barangan termasuk sebuah motosikal di dalam sebuah pondok terapung di
sebuah kolam ternakan membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.
Dalam kejadian berhampiran Kawasan Perindustrian Gangsa, di sini, mayat
lelaki terbabit berusi awal 30-an ditemui tersangkut di bawah pondok
berkenaan oleh anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan
Kubu, pada jam 1.32 petang semalam.
Mangsa, dikenali sebagai Mazlan Hashim dari Kampung Gangsa dan difahamkan mengalami masalah mental.
Pengusaha kolam memancing, Mohd Rafi Muhammad, 30, berkata dia
mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan telefon daripada
pemilik kolam ternakan ikan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
“Dia minta saya kenal pasti motosikal siapa yang diletakkan di tebing
kolamnya dan apabila tiba, saya dapati ia milik lelaki yang datang ke
kawasan ini petang semalam (kelmarin).
“Semalam (kelmarin), dia terjun di kolam hadapan tetapi keluar semula
kerana airnya cetek dan khuatir tindakannya, kami menghubungi polis
sebelum dia meninggalkan kawasan ini," katanya.
Menurutnya, dia bertambah curiga apabila menemui sehelai baju, selimut dan botol bedak di dalam pondok berkenaan.
Katanya, dia segera menghubungi polis dan pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Malah saya dapati sofa di dalam pondok ini juga sudah dialih ke
bahagian tepi dan keadaan itu menguatkan sangkaan saya bahawa mangsa
lemas di dalam kolam ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Ayer Keroh, Wan Azlan Wan Abdul Jalil
berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.30 pagi dan tiba di lokasi
kejadian jam 11.45 pagi.
“Dua anggota unit skuba dari Balai Bomba Jalan Kubu memulakan operasi
mencari dan menyelamat mangsa pada jam 12.55 tengah hari dengan dibantu
tujuh lagi anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh.
“Mayat mangsa kemudian ditemui tersangkut di bawah sebuah pondok terapung di kolam berkenaan pada jam 1.32 petang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali
Shaifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes
diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Anak tuntut harta ibu
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Rashid yang berkerusi roda di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
SEREMBAN – Seorang anak membuat tuntutan untuk mendapatkan harta ibunya yang telah meninggal dunia daripada ayahnya.
Tuntutan itu dibuat Norzay Rashid, 44, di hadapan Hakim Kamal Basha Muhammad di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
Dalam tuntutan yang difailkan pada 16 Februari 2012, Norzay memohon
perintah mahkamah bahawa setengah daripada sebidang tanah milik bapanya,
Rashid Jani, 75, yang dianggarkan bernilai RM150,000 diisytiharkan
sebagai harta sepencarian bagi pihak ibunya, Kering Aman.
Malah, dia juga mahu bahagian harta arwah ibunya yang meninggal dunia
pada 2008 dibahagikan mengikut faraid kepada setiap warisnya.
Norzay, dalam tuntutannya berkata, ayah dan ibunya berkahwin pada 1953
dan dikurniakan tujuh anak, iaitu enam perempuan dan seorang lelaki.
Namun, ibunya meninggal dunia empat tahun lalu dan bapanya berkahwin
lain pada September 2009 sebelum menetap di hartanah tersebut.
Sementara itu, peguam, Hanif Hassan, yang mewakili Rashid berkata, anak
guamnya kecewa dengan tindakan anak keenamnya itu dan telah membuat
penyataan pembelaan serta tuntutan balas.
“Dalam tuntutan itu Rashid mendakwa kehidupannya tidak terurus sejak
isteri pertama meninggal dunia dan kehidupannya berubah selepas
berkahwin kali kedua.
“Malah pada 2011, plaintif dan anak-anaknya yang lain tidak pernah
datang melawatnya yang sakit dan semua urusan penjagaannya diuruskan
dengan baik oleh isteri sekarang,” katanya.
Menurutnya, pada 1998 anak guamnya mendapat wang tunai berjumlah RM1.6
juta hasil pengambilan tanah ladang seluas 3.6 hektar oleh Kerajaan
Negeri.
Malah, katanya, Rashid telah membahagikan wang tersebut kepada isteri
dan semua anaknya dengan masing-masing mendapat RM50,000 setiap seorang.
"Disebabkan kesal dengan tindakan anaknya itu, Rashid telah memfailkan
tuntutan balas, iaitu menuntut plaintif memulangkan semula wang tunai
berkenaan kepadanya berikutan pembatalan hibah yang dibuat olehnya.
"Anak guam saya juga menuntut hak bagi harta milik arwah isterinya,
iaitu sebuah rumah yang kini diduduki oleh plaintif dan wang dalam akaun
Tabung Haji serta barangan kemas yang kini dalam milikan plaintif
sebelum bahagian itu dibahagikan mengikut faraid,” katanya.
Hanif berkata, anak guamnya juga menuntut plaintif memberikan nafkah
kepadanya sebanyak RM1,000 setiap bulan sepanjang hayatnya. Kamal Basha
menetapkan 12 Oktober ini untuk keputusan perbicaraan.
Kereta tersadai tayar pancit
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Sebahagian kereta ditunda ke Plaza Tol Bukit Beruntung untuk dibaiki.
BUKIT BERUNTUNG - Lebih 50 kenderaan tersadai di bahu jalan sepanjang
lapan kilometer bermula di Kilometer 435 hingga Kilometer 427 Lebuhraya
Utara Selatan arah Utara malam kelmarin akibat tayar pancit.
Kesemua kenderaan ringan itu dikatakan terkena besi skru bertaburan di
atas jalan dipercayai terjatuh daripada kenderaan membawa muatan
tersebut.
Pengguna, Yeoh Seok Oo, 51, berkata, jadual perjalanannya daripada
Johor ke Pulau Pinang lewat hampir empat jam apabila dua tayar belakang
keretanya pancit terkena skru.
“Saya kena kira-kira jam 9.55 malam dan sekarang baru selesai.
“Saya sedar selepas dapat isyarat kereta dan keadaan ketika itu agak
terkawal walaupun kereta sudah bergerak beralun-alun,” katanya yang
menyambung semula perjalanannya jam 1.50 pagi semalam.
Menurutnya, walaupun dapat meneruskan perjalanan namun dia bimbang
kerana terdapat lima kesan skru pada tayar digunakan selepas ditampal.
Katanya, tayar simpanan hanya ada satu dan dia terpaksa menggunakan semula tayar bertampal untuk meneruskan perjalanan.
Kejadian itu mula disedari antara jam 9.45 malam hingga 12 tengah malam
di mana satu persatu kenderaan berhenti kerana tayar pancit.
Keadaan itu sangat jarang berlaku lebih-lebih lagi melibatkan jumlah
kenderaan yang banyak dan beberapa pengguna lain turut meluahkan rasa
pelik dan kesal dengan kejadian tersebut.
Menurut mereka, keadaan itu amat berbahaya dan risiko kemalangan tinggi
tambahan pula laluan tersebut pernah menjadi lokasi kemalangan.
Kempunan miliki kamera DSLR
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Wan Mohd Samsudin
RAUB – Seorang wanita terpaksa berputih mata apabila kamera digital
dibelinya secara dalam talian tidak sampai walaupun dia sudah membayar
hampir keseluruhan harga ditawarkan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata,
wanita berusia 20-an itu membuat pembelian kamera Digital Single Lens
Reflection (DSLR) bernilai RM2,500 menerusi satu laman web.
Menurutnya, selepas perbincangan, harga kamera itu dikurangkan kepada
RM1,700 dan wanita terbabit diarahkan membuat pembayaran menerusi dua
akaun berlainan.
“Bagi akaun pertama, mangsa dikehendaki memasukkan RM200 dan baki RM1,000 dimasukkan ke dalam akaun kedua.
“Mangsa kemudian dihubungi lagi dan diminta menjelaskan baki RM500 walaupun masih belum menerima barang tersebut,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa berjanji akan membuat bayaran sebaik
sahaja menerima barangan itu, tetapi diugut penjual yang mengatakan
kamera itu tidak akan dihantar sekiranya dia tidak melunaskan baki
bayaran.
Katanya, akibat berasa tertipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita harap
masyarakat sentiasa berhati-hati sebelum melakukan sebarang transaksi
walaupun membeli barangan secara dalam talian.
“Sila dapatkan pengesahan tepat dan diyakini berkaitan sesuatu perusahaan terlebih dahulu walaupun menerusi internet,” katanya.
Beliau berharap masyarakat dapat memanfaatkan talian kilat 09-3554999
untuk menyalurkan sebarang maklumat demi keselamatan dan keamanan
komuniti.
Tujuh beranak huni rumah usang
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Rumah kayu berusia lebih 50 tahun ini menjadi tempat teduh Hamisah atas ihsan adik iparnya.
BANDAR MARAN - Umurnya seusia tahun kemerdekaan negara, namun hidup
seorang ibu tunggal di sini, yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 seakan
tersisih apabila mendakwa permohonannya untuk mendapatkan bantuan rumah
tidak dilayan.
Ibu kepada tujuh anak, Hamisah Mastor, 55, berkata, sejak 20 tahun lalu
selepas pemergian arwah suaminya, Abdul Mubin Abdul Rani akibat barah
hati, dia sekeluarga terpaksa menumpang di sebuah rumah atas ihsan
seorang adik ipar di Kampung Berkat.
Bagaimanapun katanya, rumah berusia lebih 50 tahun itu kini semakin
usang di mana lantai dan tiang kayu reput sehingga melendut di bahagian
tengah, selain bumbung bocor di merata tempat.
“Bukan tidak mahu gantikan dengan yang baru, tapi saya memang tidak
mampu kerana perbelanjaan bulanan bergantung kepada pencen Jabatan Kerja
Raya (JKR) arwah suami sebanyak RM380.
“Anak-anak pula tidak mempunyai kerja tetap, tetapi ada memberi sedikit
perbelanjaan cuma sekadar menampung keperluan utama sahaja. Seorang
anak sudah berkahwin dan yang lain masih tinggal dengan saya termasuk
anak ketiga berusia 30 tahun yang kurang upaya,” katanya kepada Sinar
Harian.
Hamisah berkata, dia sangat berharap permohonannya untuk mendapatkan
bantuan di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)
dipertimbangkan demi keselesaan mereka sekeluarga.
Katanya, sebelum ini dia ada memohon bantuan menggantikan bumbung yang bocor, namun tidak berjaya atas alasan tiada peruntukan.
“Rasa seperti tersisih lebih-lebih lagi selepas termakan janji manis
pemimpin mengenai perkara ini, malah sangat terkilan kerana terpedaya
apabila dijanjikan tapak tanah untuk membina kediaman lebih selesa.
"Semua itu hanya janji kosong dan tambah derita, berlaku perebutan
tanah antara saya dengan pihak satu lagi angkara janji pemimpin
berkenaan,” katanya.
Taktik baru curi kereta
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Engsel pagar rumah mangsa diumpil dan dialihkan penjenayah sebelum mereka membawa keluar kenderaan dari garaj.
BENTONG – Malang buat seorang penduduk Taman Bentong Makmur, dekat
sini, apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux yang diletakkan di
dalam garaj rumahnya, dicuri awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian
itu disedari mangsa ketika dia ingin keluar bekerja kira-kira jam 7.30
pagi.
Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa, dia tidak menyedari mengenai
kejadian itu kerana kali terakhir kenderaan tersebut dilihatnya selepas
balik kerja pada petang kelmarin.
“Kejadian dipercayai dilakukan penjenayah pada awal pagi. Berdasarkan
siasatan, mereka menggunakan taktik baru dengan mengumpil engsel pagar
sebelum mengeluarkan kenderaan daripada garaj.
“Sebelum ini, kebanyakan kes berlaku membabitkan kenderaan diletakkan
di luar kawasan rumah. Namun kejadian ini cukup berbeza kerana pintu
pagar rumah mangsa diumpil walaupun berada dalam keadaan berkunci,”
katanya.
Abdul Aziz berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bentong.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan dan dalam masa sama
memerlukan kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berhubung
perkara itu.
“Pemilik kenderaan terutama pacuan empat roda dinasihatkan supaya lebih
berhati-hati kerana kenderaan jenis itu sering menjadi sasaran
penjenayah.
“Dalam masa sama, penduduk terutama di kawasan perumahan diminta peka
dengan kehadiran individu atau kumpulan tidak dikenali. Mereka perlu
segera melaporkannya kepada polis untuk mengelakkan kejadian tidak
diingini,” katanya.
Nyaris jadi mangsa sindiket gores dan menang
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Mangsa sempat membuat laporan polis setelah menyedari sudah menjadi mangsa sindiket gores dan menang.
KUANTAN – Seorang Suri rumah lega setelah terselamat daripada terus
menjadi mangsa bertuah sindiket gores dan menang yang telah menukar
modus operandinya kepada ‘buka dan menang’ dalam satu kejadian di salah
sebuah pusat membeli-belah dekat sini, 10 September lepas.
Mangsa hanya ingin dikenali sebagai Linda, 38, berkata, dia hampir
kehilangan wang sebanyak RM8,900 hasil daripada pemberian kupon oleh
seorang lelaki Cina yang memperkenalkan diri sebagai Jimmy hingga
membolehkannya memperoleh sama ada kereta mewah, pakej pelancongan atau
wang.
“Kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat membeli-belah kira-kira jam
4.30 petang apabila saya didatangi lelaki terbabit dan meminta saya
membuka satu kupon.
" Walaupun sudah berulang kali menolak tetapi dia mendesak secara
keterlaluan dan dia juga sanggup menyerahkan kad pengenalannya agar saya
terus mempercayai kupon yang hendak diberikan, akhirnya saya akur.
“Apabila selesai membukanya, pada kupon tersebut terdapat warna kelabu
membolehkan saya memenangi sama ada kereta jenis Toyota Camry atau
beberapa jenama kereta mewah yang lain tetapi saya perlu ke pejabatnya
untuk menentukan jenis kereta yang bakal dimiliki,” katanya kepada Sinar
Harian, semalam.
Menurut Linda, sebelum ini sudah mempunyai pengalaman ditipu dengan
kupon gores dan menang yang datang dari rumah ke rumah menyebabkan dia
sudah dapat mengagak perkara yang sama berlaku ke atas dirinya.
“Walaupun saya sudah dapat mengagak sesuatu yang tidak betul tetapi
lelaki tersebut seakan memaksa dan memarahi saya sekiranya tidak pergi
menuntut hadiah di pejabatnya.
“Disebabkan tiada sebarang bayaran dikenakan dan lelaki tersebut
sanggup menemani saya ke pejabatnya terletak di Air Putih, sekali lagi
saya mengikutnya.
“Setibanya di sana, saya diminta mengisi borang mengenai butir peribadi
dan terus terkejut apabila diminta membayar terlebih dahulu wang
sejumlah RM8,900 sebelum memberitahu kereta jenis apa yang akan
dimenangi,” katanya.
Katanya, keadaan pada ketika itu sedikit tegang memandangkan dia sudah dijanjikan tidak mengeluarkan sebarang bayaran.
“Di dalam pejabat tersebut dipenuhi dengan lelaki berbadan tegap,
sedikit garang dan pekerja yang menyuruh saya membayar wang tersebut
turut memarahi dan memaki hamun disebabkan keengganan saya membayar.
“Kebetulan di dalam beg tangan saya baru sahaja mengeluarkan wang
simpanan sebanyak RM400 jadi demi menjaga keselamatan saya terus sahaja
bersetuju untuk membayar pendahuluan sebanyak mana yang dimiliki.
“Mereka menerima wang tersebut dan mengarahkan untuk saya kembali ke
premis itu keesokan harinya dengan membawa baki bayaran yang perlu
dijelaskan dan mengarahkan untuk memakai pakaian cantik kerana mendakwa
beberapa orang wartawan akan hadir untuk mengambil gambar saya bersama
kereta yang kini sudah tersedia untuk diserahkan,” katanya.
Dia yang tidak mahu terus menjadi mangsa penipuan terus membuat laporan
di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Pejabat Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang untuk mendapatkan
semula wangnya.
“Berkat usaha saya dan bantuan daripada pihak polis dan beberapa
pegawai KPDNKK, belum sempat saya menunggu giliran untuk ke mahkamah
tribunal, dalam masa tidak sampai tiga hari syarikat tersebut sudi
membayar semula namun saya meminta agar penyerahan tersebut dilakukan di
Balai Polis Air Putih bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku.
“Walaupun nilainya RM400 dan dianggap kecil bagi sesetengah orang,
namun bagi saya tidak berbaloi dengan membuka kupon yang hanya
menunjukkan pelbagai warna perlu membayar sehingga beratus ringgit.
“Jadi saya harap orang ramai perlu berhati-hati dengan sebarang kupon
meragukan, ini kerana kemungkinan besar akan terus terpedaya dengan
kata-kata pihak terbabit yang mengugut untuk kita menuruti kehendak
mereka,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya ingin orang ramai menjadikan peristiwa
dilaluinya sebagai satu panduan untuk tidak terperangkap memandangkan
rata-rata mengeluarkan bayaran berikutan memikirkan soal keselamatan
yang mungkin terjejas.
Nyaris maut melecur
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Ahmad menunjukkan kawah yang mula-mula disambar api sebelum ia menjulang dan menyambar bumbung bengkel.
TOK SABOH - Seorang pekerja membuat keropok segera nyaris maut melecur
ketika cuba memadam api apabila kawah berisi minyak panas disambar api
di sebuah bengkel keropok di sini dekat Kuala Besut, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, Ahmad Yaakob, 30, sedang
menyambung sudip kayu dengan kayu lebih panjang untuk digunakan bagi
menyelerakkan bara api yang terletak kira-kira 15 meter dari kawah
tempat menggoreng keropok berkenaan.
Dia yang hanya baru hari kedua bekerja di bahagian dapur itu berkata,
kejadian mungkin disebabkan minyak terlalu panas selain terdapat sisa
keropok di tepi kawah yang terbakar menyebabkan minyak dalam kawah
disambar api lalu turut terbakar.
Menurutnya, dalam kawah itu mengandungi lebih daripada 100 kilogram
minyak masak yang digunakan untuk menggoreng keropok keping sejak dari
jam 8 pagi lagi.
Bagaimanapun, sebuah lagi kawah terletak berdeka-tan tidak terbakar.
“Apabila melihat kawah itu terbakar saya segera mengambil pasir dalam
baldi untuk memadamkan api t yang mula merebak ke bahagian lain selain
meminta pertolongan.
“Dalam keadaan kelam kabut, penduduk sekitar yang mengetahui perkara
itu bergegas ke tempat kejadian dan cuba menyiram air ke ke dalam kawah
namun api semakin marak dan menjulang serta merebak ke bahagian bumbung
bengkel kayu sebelum merebak ke bahagian lain,” katanya.
Pemilik bengkel, Alias Ismail, 32, berkata, ketika kejadian dia berada
di rumah yang terletak kira-kira lima kilometer dari situ dan diberitahu
menerusi panggilan telefon oleh pekerjanya.
Katanya, kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan bernilai RM25,000
apabila seluruh bengkel menggoreng keropok segera itu hangus termasuk
dua kawah besar.
“Saya risau memikirkan perusahaan keropok diambil alih daripada arwah
bapa sejak lapan tahun lalu itu berikutan sukar menjelaskan pinjaman
mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) yang diperoleh sebelum ini,” katanya.
Rohana ibu tunggal tabah
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Rohana membantu
ibunya, Chik Bilal mengalami sakit tua sambil diperhatikan adiknya yang
lumpuh, Wan Yusri di rumahnya di Kampung Durian Bador.
KAMPUNG DURIAN BADOR- Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Demikian diibaratkan kehidupan dilalui seorang ibu tunggal di sini, yang
terpaksa membesarkan anaknya sendirian sejak dua tahun lalu.
Lebih malang, ibu tunggal ini turut menghidap penyakit jantung yang tidak membolehkan dia melakukan kerja berat.
Selain itu, Rohana Wan Hitam, 42, turut menjaga ibunya, Chik Bilal
Ahmad, 70, dan adiknya, Wan Yusri, 37, yang mengalami lumpuh akibat
strok memandangkan rumah ibunya terletak kira-kira 300 meter mengalami
kebocoran atap.
Menurut Rohana, sejak suaminya meninggal akibat mati mengejut dia kini
hanya membantu kakaknya berniaga di kedai kopi bagi menyara anaknya,
Shahira Natasya Shah Shaiman, 14.
Biarpun turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) RM100 sebulan namun jumlah itu jauh daripada mencukupi keperluan
mereka dua beranak.
“Sebelum ini, saya tinggal di Kedah namun pulang ke kampung empat tahun
lalu. Kami menyewa sementara menanti rumah dibina siap, tetapi apakan
daya belum sempat siap, suami pula meninggal dunia.
“Walaupun hanya sempat dibina ruangan kecil seperti sebuah bilik,
namun saya me-ngambil keputusan untuk tinggal di sini biarpun sempit dan
kurang selesa," katanya.
Bagaimanapun, Rohana tidak bersendirian mengharung dugaan ini kerana
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyalurkan
peruntukan sebanyak RM10,000 April lalu bagi menyiapkan rumahnya.
Kata Rohana, dia sangat bersyukur dengan keprihati-nan banyak pihak yang sudi meringankan beban yang dialami.
“Selain rumah saya, rumah ibu turut mendapat peruntukan Pejabat Daerah
Hulu Terengganu untuk membaiki atap, dinding dan tandas yang rosak,"
katanya.
Katanya, walaupun kerja baik pulih dinding rumah ibunya sudah siap
bulan puasa lalu namun kerosakan tanda dan atap yang masih belum dibaiki
membuatkan ibu belum dapat kembali ke rumahnya.
"Ibu turut menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan manakala adik saya yang lumpuh masih dalam proses permohonan," katanya.
Dipanah petir ketika pegang telefon bimbit
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Aniq Syazwan
sambil diperhatikan bapanya (kanan) melakonkan semula bagaimana keadaan
tangannya yang kaku selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan
petir.
Ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.
CHUKAI – “Waktu itu saya sedang caj telefon bimbit dan letakkannya atas
paha sambil tangan diletakkan atas telefon itu namun tak semena-mena
saya rasakan terkena renjatan elektrik lalu saya yang berada di atas
katil dalam bilik tidur tercampak di tepi dinding dengan badan kaku
serta kejang,” kata Aniq Syazwan Abu Bakar, 16.
Aniq Syazwan nyaris maut akibat panahan petir menyambar wayar elektrik
hingga menyebabkan dia terkena renjatan dalam kejadian ketika hujan
lebat dan kilat sambar menyambar kira-kira jam 8.12 malam di rumahnya di
Taman Mawar 2, Jalan Tempurung, dekat sini, tiga hari lalu.
Pelajar tingkatan empat ini yang masih sedarkan diri sejurus renjatan
itu hanya mampu membuka mata dan melihat kedua-dua tangannya bertukar
menjadi biru kehitaman sebelum tidak sedarkan diri ketika kedua ibu
bapanya memasuki bilik tidurnya.
“Semasa terkena renjatan itu saya lihat cahaya menyambar tangan lantas
saya tercampak ke tepi dinding. Kejadian ini buatkan saya trauma dan
serik untuk memegang telefon bimbit lagi semasa petir atau kilat,”
katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sementara itu, bapa Aniq Syazwan yang juga kakitangan Pejabat
Penerangan Daerah Kemaman, Abu Bakar Abdullah, 55, berkata, semasa
kejadian dia sedang berwirid di ruang solat di rumahnya sebelum
terdengar bunyi ‘prakkk’ lalu bekalan elektrik terpadam sebelum
terdengar sayup-sayup anak bongsunya daripada lima beradik itu meraung
kesakitan.
“Ketika itu terdetik di hati saya mungkin anak bongsu saya sudah
meninggal. Lalu dalam keadaan gelap saya dapat capai telefon bimbit
isteri sebagai sumber cahaya dan menuju ke bilik adik (nama panggilan
untuk Aniq).
“Bila masuk ke biliknya, saya suruhnya mengucap kerana sangkakan
keadaannya sudah tenat tapi Alhamdulillah waktu saya masuk ke dalam
biliknya bersama isteri, Pasiah Hamzah, 51, dia masih sedarkan diri
tetapi badannya kejang seperti robot sebelum kami menghantarnya ke
Hospital Kemaman,” katanya sambil menganggap kejadian berkenaan satu
keajaiban dan kebesaran Allah SWT kerana anaknya masih selamat.
Difahamkan akibat panahan petir itu, televisyen dan mentol di rumah dua
jiran mereka turut meletup. Aniq Syazwan ditahan dalam wad selama dua
hari kerana dikhuatiri kesan arus elektrik boleh memudaratkan otak dan
jantungnya sebelum dibenarkan pulang petang kelmarin.
Remaja antara dituduh rompak bersenjata
Wartawan Sinar Harian
14 September 2012
KOTA BHARU – Tiga termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dihadapkan
ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan
bersenjata ke atas seorang kakitangan hotel di Tanah Merah, bulan lalu.
Tertuduh pertama, pesalah juvenil yang sudah tidak bersekolah didakwa
bersama dua lagi rakannya, Mohammad Faqrie Zakaria, 22, dan Mohd Firdaus
Mian, 28.
Mereka bertiga berdepan tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas
merompak mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Roslee, 16, dengan menggunakan
senjata parang serta sabit.
Kesalahan dikatakan berlaku pada jam 3 pagi, 23 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, wang tunai mangsa berjumlah RM400 dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Duos dilarikan.
Pada prosiding semalam, kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Susulan itu, Hakim Azman Mustpha menetapkan sebutan semula pada 19 September depan.
Kes bersambung di Mahkamah Pasir Mas. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari.