Sunday, September 9, 2012

JENAYAH ..MAKSIAT SERTA KEMALANGAN DISANA SINI

Guna untuk jenayah

Oleh SHAMRAN SARAHAN, MOHD AZAM SHAH YAACOB dan FARDY BUNGGA
am@metroahad.com.my

MACAM ASLI... senjata paintball diguna penyamun.
MACAM ASLI... senjata paintball diguna penyamun.
PISTOL... tiruan
PISTOL... tiruan
KUALA LUMPUR: Asalnya ia hanya digunakan untuk sukan terutama di kalangan golongan remaja dan belia. Bagaimanapun, akhir-akhir ini beberapa senjata yang digunakan untuk paintball sama ada berbentuk senapang atau pistol disalah guna termasuk untuk tujuan jenayah.
Ini berikutan ada antara senjata ini yang dipanggil ‘marker’ hampir 95 peratus menyamai senjata asli, bahkan bentuk luaran, saiz, kelongsong dan kelopak peluru, picu serta warnanya menyamai warna asal senjata tulen.
Lebih membimbangkan, selain boleh dijadikan muslihat untuk melakukan jenayah, senjata berkenaan menjadi lebih berbahaya jika diubah suai hingga boleh menggunakan ‘peluru’ berbahaya seperti bebola besi, guli atau paku yang mampu mencedera atau meragut nyawa jika terkena manusia.

Berdasarkan tinjauan Metro Ahad, senjata ini bukan saja digunakan secara berleluasa, malah mudah diperoleh di negara ini, sama ada membelinya di kedai ataupun melalui Internet.

Saya ingat dah mati



TAWAU: “Saya hanya ingat mati kerana sudah tidak berupaya menahan sakit selepas ‘pitik’ itu menembusi belakang leher ketika pergaduhan. Syukur, umur saya masih panjang,” kata Ciko, 17, yang pernah merasai azab ditusuk paku tajam dijadikan senjata oleh sekumpulan samseng di sini.
Remaja itu antara seorang daripada mangsa senjata buatan sendiri yang makin berleluasa di negara ini. Selain senjata itu, penggunaan senjata permainan paintball yang disalahgunakan untuk kegiatan jenayah juga cukup membimbangkan dan sewajarnya dibendung pihak berkuasa.

Sebagai contoh, senjata untuk permainan paintball yang cukup popular di kalangan remaja kini direka menyerupai senjata sebenar, sekali gus memungkinkan pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk kegiatan jenayah seperti rompakan terutama pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelirukan mangsa.
Menurut Ciko, dalam kejadian baru-baru ini, dia terpaksa dikejarkan ke hospital dengan sebatang anak panah yang masih terpacak di belakang leher selepas diserang lebih 10 lelaki secara tiba-tiba.

“Insiden ini berlaku ketika saya bersama abang sedang berbasikal di Persiaran Traulsen sebelum ditahan sekumpulan lelaki.

“Ketika ditahan, seorang daripada mereka bertanyakan sama ada saya ‘budak flat’ dan belum sempat menjawab pertanyaan itu, salah seorang terus melepaskan tumbukan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.
Katanya, tidak puas dengan tindakan itu, seorang daripada penyerang terbabit mengeluarkan pitik lalu terus membidik ke arah saya sehingga mengena belakang leher. Menurut Ciko, tusukan itu menyebabkan dia menjerit kesakitan sebelum pengsan, namun diselamatkan abangnya yang berjaya melarikan diri sebelum itu.

Katanya, ketika di hospital, doktor terpaksa melakukan pembedahan kecil untuk mengeluarkan pitik yang tersangkut di lehernya.
“Saya harap pihak berkuasa memantau perbuatan segelintir remaja samseng yang menjadikan pitik sebagai senjata.

“Saya bimbang perbuatan ini makin berleluasa berikutan pitik mudah dibuat menggunakan paku, kayu dan getah,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 21, berkata insiden ditusuk pitik berlaku ketika dia dan seorang rakannya mahu menziarahi rakan mereka di kampung berhampiran.

“Ketika mula memasuki kampung berkenaan, kami dihampiri beberapa individu dan bertanyakan niat kami ke situ. Tidak berpuas hati dengan jawapan kami, seorang daripada mereka melepaskan pitik ke arah saya lalu terkena perut.

“Tiba-tiba saya merasakan darah membasahi baju dan sebaik menundukkan kepala, saya melihat perut saya ditusuk sejenis besi tajam dikenali sebagai pitik hingga menembusi belakang badan,” katanya.

Katanya, insiden itu berlaku terlalu pantas dan sebaik melihat dia berlumuran darah, semua samseng berkenaan melarikan diri.

“Saya dihantar ke hospital sebelum doktor terpaksa melakukan pembedahan mengeluarkan pitik sepanjang lebih 20 sentimeter,” katanya.

Difahamkan, pitik yang berasal dari Filipina juga dipanggil ‘plem padel’ oleh penduduk di sini dan dibuat menggunakan paku yang dikikir tajam.

Senjata itu kelihatan seperti anak panah dengan hujungnya yang runcing dan terbelah dua seperti mata kail dipercayai sengaja dilakukan bagi memastikan pitik sukar ditarik keluar jika tertusuk mangsa dan untuk mengeluarkannya, mangsa perlu dibedah.

Pitik memerlukan peralatan seperti getah lastik untuk melepaskan anak panah ke sasaran. Biasanya, lastik berkenaan diperbuat daripada kayu berukuran kira-kira lima sentimeter yang dibalut getah selain tiub tayar untuk dijadikan sebagai pembidik.

Menurut seorang penduduk, Amir Aziz, 26, dia sering terdengar daripada rakan lain mengenai pergaduhan menggunakan senjata itu di sekitar daerah ini.

“Pihak berkuasa perlu memandang serius perkara ini termasuk melakukan serbuan di kedai atau premis yang menjual pitik,” katanya.

“Senjata ini bukan saja boleh membawa maut, malah mampu mengakibatkan kecacatan kekal jika menembusi kepala,” katanya.

Setiap hari ada pembeli senjata

KUALA LUMPUR: “Boleh dikatakan hampir setiap hari ada yang mahu membeli senjata ini dan sanggup membayar lebih untuk mendapatkannya,” kata Eksekutif Pemasaran Pro Paintball Resources Sdn Bhd, Lee Agas Guang, yang menjual dan membekalkan senjata permainan paintball atau dikenali sebagai marker.
Lee berkata, ramai yang datang membeli peralatan berkenaan selalunya memberi alasan untuk digunakan bagi menjaga tanaman mereka dengan menakut-nakutkan binatang perosak.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menjual peralatan berkenaan secara sembarangan, sebaliknya hanya menjual kepada individu yang benar-benar terbabit dalam sukan paintball atau ahli mana-mana kelab paintball.
“Peralatan yang saya jual ini memang untuk permainan tapi jika disalahgunakan ia boleh membahayakan orang ramai.

“Ini kerana jika tidak diubah suai sekalipun, tembakan peluru berkenaan boleh menyebabkan buta kepada sesiapa saja jika dituju pada bahagian mata,” katanya.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan bagi mengelak peralatan itu disalah guna, pihaknya terlebih dulu meminta individu yang ingin membeli peralatan berkenaan untuk mendaftar sebagai ahli di mana-mana kelab permainan paintball.
Katanya, tempoh tiga bulan diberikan kepada individu berkenaan menyertai sukan itu dan bagi memastikan mereka layak membeli peralatan seperti itu, pihaknya juga merujuk kepada kelab berkenaan mengenai tahap penyertaan mereka.

“Langkah ini dibuat supaya mereka tidak mempunyai niat lain untuk membeli senjata ini melainkan hanya digunakan dalam aktiviti sukan paintball saja,” katanya.
Selain perlu menjadi ahli kelab paintball, Lee berkata, antara langkah lain yang diambil pihaknya ialah dengan meminta individu berkenaan mendapatkan lesen daripada mana-mana balai polis di negara ini.

“Lesen ini langkah terakhir untuk memastikan senjata ini dijual kepada orang yang betul.

“Jika hendak membeli, mereka perlu tunjukkan lesen kebenaran daripada balai polis yang tertakluk mengikut akta senjata. Jika tidak ada, kami tidak akan jual walaupun diletakkan harga tambahan yang lebih tinggi,” katanya.

Senapang angin mampu ragut nyawa haiwan serta manusia

KUALA LUMPUR: Segelintir individu mampu mencipta senjata berbahaya seperti senapang angin yang lazimnya digunakan bagi tujuan memburu haiwan liar tetapi boleh menyebabkan kematian jika terkena manusia.
Ini diakui Ali, 32, yang mendakwa pernah menghasilkan senapang angin buatan sendiri dan digunakan bersama beberapa rakannya untuk memburu haiwan secara haram.

Menurutnya, modal mencipta senapang berkenaan hanya antara RM100 hingga RM200 dan mengambil masa seminggu hingga dua minggu untuk disiapkan.

“Sebenarnya tak susah sangat nak buat. Sebelum tahu buat senapang angin, saya hanya belajar berdasarkan pemerhatian apabila tengok kawan-kawan lain membuatnya.

“Paling susah ialah untuk memastikan ia boleh ditembak dalam jarak jauh serta tepat, kukuh, tidak mudah rosak dan boleh digunakan untuk jangka masa lama.

“Haiwan yang terkena tembakan senapang angin sama ada menggunakan peluru bebola besi atau batang paku kebiasaannya akan mati sebaik ditembak. Jika haiwan boleh mati, manusia pun boleh maut atau cedera parah jika terkena tembakan senapang angin pada jarak dekat,” katanya.

Ali berkata, senapang angin yang pernah dibuat dia dan rakannya hanya boleh digunakan untuk menembak sasaran sejauh lima hingga 10 meter dan perlu diisi angin setiap kali mahu melepaskan tembakan.

“Tapi saya pernah tengok senapang angin yang diubah suai dan boleh melepaskan lima tembakan dalam satu masa.

“Tak mustahil ada orang cuba membuat senapang yang boleh melepaskan banyak tembakan dalam satu masa disebabkan mudah mendapatkan peralatan membuatnya,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang terbabit dalam aktiviti memburu secara haram, dia dan beberapa rakannya sudah beberapa kali melakukan ubah suai kepada senjata berkenaan.

Katanya, jika dulu senapang yang dihasilkan tidak boleh ditanggalkan, kini ada yang sudah boleh dipisahkan dan dipasang semula.

“Kekuatan senapang ini terletak pada tekanan angin dan panjang larasnya. Dulu kami buat dalam bentuk selaras yang tak boleh ditanggal atau dipasang semula.

“Tapi disebabkan sukar menyorok senapang berkenaan, kami ubah suai supaya ia bukan saja boleh ditanggal serta dipasang semula, tapi boleh ditambah dengan alat lain,” katanya.

Ali berkata, jika senapang angin berkenaan boleh dibuat orang sepertinya, tidak mustahil senjata tiruan yang menggunakan peluru sebenar boleh dibuat mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang kimpalan dan peralatan mekanikal.

Mayat suami bawah bata

OLEH NORASIKIN DAINEH
norasikin@hmetro.com.my

ANGKAT... anggota polis dan tentera membawa mayat Yunus. Gambar kecil, Yunus.
ANGKAT... anggota polis dan tentera membawa mayat Yunus. Gambar kecil, Yunus.
KOTA KINABALU: Perasaan bimbang seorang wanita terhadap suaminya yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin terjawab apabila lelaki terbabit ditemui mati dalam timbunan batu bata sebuah kedai di Kompleks Citymall, Luyang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa dikenali sebagai Yunus Osman, 37, dipercayai bekerja sebagai buruh ditemui ahli keluarganya dalam keadaan tidak bernyawa selepas dihempap dinding yang dipercayai runtuh.
Menurut seorang ahli keluarga yang enggan dikenali, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, meskipun selepas habis waktu bekerja.

Oleh kerana risau dengan keadaan mangsa, mereka mencarinya di premis berkenaan dan ketika ditemui, mangsa tertimbus di bawah timbunan batu-bata

Perjuang hak

Oleh HADZLAN HASSAN dan NURUL HUSNA MAHMUD
metahad@hmetro.com.my

SEBAK... Jue menceritakan keperitan hidup tanpa negara.
SEBAK... Jue menceritakan keperitan hidup tanpa negara.
KUALA LUMPUR: Warga tanpa negara. Begitulah situasi dihadapi enam remaja serta seorang wanita yang terpaksa berdepan pelbagai kesulitan akibat kesilapan lampau ibu bapa dan peraturan ketat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hingga menyebabkan mereka tidak boleh menjalani kehidupan seperti orang lain akibat tiada status pengenalan diri.
Akibatnya, mereka terpaksa mengikat nafsu kerana tidak boleh berkahwin berikutan khuatir zuriat mewarisi kesulitan, jauh sekali bersekolah atau bekerja, selain terperap di rumah disebabkan risau berdepan tindakan pihak berkuasa.
Apa yang menghairankan, dua daripada remaja terbabit gagal memperoleh pengenalan diri kerana ibu bapa tidak mempunyai sijil nikah sedangkan empat abang dan kakak tidak berdepan masalah sama.

Berikut pengakuan tiga ibu malang yang kini tidak putus-putus berusaha mendapatkan hak warganegara untuk anak mereka yang dilahir dan dibesarkan di negara ini bagi mengelak masalah itu berlarutan hingga ke generasi seterusnya

Terbunuh rempuh rombongan pengantin

Oleh ZUL IKHWAN MUHAMMAD
metahad@hmetro.com.my

TRAGEDI... mangsa maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Exora dan Proton Wira di KM 13 Jalan Mersing-Endau.
TRAGEDI... mangsa maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Exora dan Proton Wira di KM 13 Jalan Mersing-Endau.
ENDAU: “Kami tidak sangka perjalanan menghantar adik ipar melangsungkan pernikahan malam ini (kelmarin) di Rompin, Pahang, berakhir di hospital dan bukannya rumah pengantin apabila Proton Exora kami naiki bertembung sebuah Proton Wira,” kata Zaiton Abdul Fatah, 44, menceritakan kemalangan maut di Kilometer 13 Jalan Mersing-Endau di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 7.15 malam itu, seorang remaja Fadhil Ariffin, 18, dari Simpang Renggam yang duduk di tempat penumpang belakang Proton Wira meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala dua lagi rakannya cedera ringan.

Proton Wira dinaiki arwah dari Endau menuju ke Mersing dikatakan hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh Proton Exora dinaiki tujuh sekeluarga itu menyebabkan pasangan warga emas, Abdul Fatah Idris, 84, serta isterinya, Indok Akok Dayang Sitakak, 78, cedera parah.
Penumpang lain cedera ringan dan semua mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Mersing.

Zaiton berkata, walaupun hujan dia dapat melihat Proton Wira itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung kenderaan dipandu suaminya, Mohd Amin Masot, 48.

“Kejadian berlaku dalam keadaan hujan dan jalan licin selain cuaca gelap. Sebaik tiba di selekoh itu, kereta itu memasuki laluan kami menyebabkan kami bertembung.
“Akibatnya, saya dapat melihat seorang penumpang kereta itu tercampak dari kenderaan itu namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana cedera,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga dari Benut, Pontian dan menuju ke Rompin, Pahang, untuk perkahwinan adik iparnya.
Katanya, mereka dibawa ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan manakala sebuah MPV lain dinaiki saudara mara lain terpaksa meneruskan perjalanan menghantar bakal pengantin yang melangsungkan pernikahan malam kelmarin.

“Kejadian itu menyebabkan kami terpaksa membatalkan hasrat menghantar pengantin. Kami reda dengan kejadian ini dan kini, bimbangkan keselamatan ibu bapa yang cedera parah.

“Walaupun tidak dapat menghadiri majlis berkenaan, kami bersyukur kerana semuanya selamat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira hilang kawalan sebelum berpusing lalu bertembung Proton Exora dari Mersing itu.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Adun kena tumbuk

Oleh SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my

KANGAR: Hanya kerana perniagaan merosot, seorang lelaki menumbuk muka wakil rakyat yang didakwanya menjadi punca masalah dialaminya dalam kejadian di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Mat Hassan bersama isterinya pergi menziarahi jenazah seorang penduduk di kampung berkenaan sebelum didatangi lelaki terbabit.

Difahamkan, mangsa yang mahu pulang kemudian diajukan soalan oleh lelaki berusia 36 tahun itu kononnya mewakili peniaga di Pasar Kuala Perlis di sini, yang mendakwa kekurangan pelanggan sejak pembukaan pasar di Kampung Seberang Tok Pi di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Mohd Nashir Ya berkata, lelaki berkenaan mendakwa orang ramai lebih gemar mengunjungi pasar di Kampung Seberang Tok Pi yang dimonopoli warga Myanmar berbanding Pasar Kuala Perlis.

Mayat bayi lelaki dalam beg pakaian di surau



KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam beg pakaian di Surau al-Falah, Danau Kota, Setapak di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Mayat bayi berkenaan ditemui seorang pelajar kolej yang datang ke surau terbabit untuk menyertai aktiviti gotong-royong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis yang menerima maklumat mengenai penemuan itu kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap beg berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat sekeping nota tertulis dalam bahasa rumi dan jawi yang berbunyi, saya.... meminta tolong pengurus masjid tolong urus anak ini.

“Turut ditemui bersama sepasang baju kurung kuning, lampin dan seluar panjang warna hitam,” katanya. Menurut Zakaria, berdasarkan keadaan mayat bayi berkenaan polis percaya bayi berkenaan berusia tujuh hari dan dipercayai sudah meninggal dunia dua hari lalu.

Difahamkan, ketika ditemui, mayat mangsa sudah reput di bahagian kepala, perut dan kemaluan selain mula berbau.
“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Samun guna pemetik api



SEREMBAN: Mendakwa kononnya mahu melangsaikan hutang along, seorang lelaki nekad menyamun sebuah restoran di Seremban Jaya, di sini, dengan menggunakan pemetik api berbentuk pistol tidak ubah seperti senjata sebenar, Selasa lalu.
Bagaimanapun, kelicikan suspek berusia 30-an menyamun RM1,200 daripada pengusaha restoran yang juga pasangan suami isteri masing-masing berumur 38 tahun itu akhirnya tumpas tidak sampai enam jam apabila ditahan di rumahnya di Rahang, di sini.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang pada 4 September lalu itu, suspek menyerbu sebuah restoran yang sedang dikemas berikutan pengusahanya mahu menamatkan operasi.
"Suspek yang memakai cermin mata gelap dan menggunakan kereta Proton Saga Aeroback berwarna hitam itu nekad memasuki restoran berkenaan menerusi pintu hadapan yang ditutup separuh.

"Kemudian suspek terus mengacukan 'pistol' kepada pengusaha restoran iaitu pasangan suami isteri masing-masing berusia 38 tahun sebelum memaksa menyerahkan wang.

"Mangsa yang takut apabila diacukan 'pistol' itu menyerahkan sejumlah wang sebelum suspek melarikan diri dengan keretanya diletakkan di luar premis," katanya.
Menurutnya, polis kemudian dapat mengesan alamat suspek pada hari sama kejadian itu menerusi nombor pendaftaran sebenar kereta digunakan untuk menyamun.

Kira-kira jam 11 malam hari sama kejadian itu, suspek ditahan di rumahnya di Taman Bunga Blossom, Rahang, di sini, di hadapan isteri dan anak-anak suspek.

Layan Mat Korea

Oleh Na'imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

AMPANG: Terkejut diserbu polis, beberapa wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) lari lintang pukang sehingga tertinggal kasut dalam operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di sini, semalam.
Operasi bermula jam 12 tengah malam yang diketuai Inspektor Joycelyn Liza Edmund itu bagaimanapun berjaya menahan enam wanita warga Mongolia dan China berusia antara 29 hingga 41 tahun.

Joycelyn Liza berkata, pusat hiburan itu baru beroperasi empat bulan dengan menyasarkan pelanggan Korea dan China dengan mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM350 kepada mereka yang melanggan GRO terbabit.
“Dua wanita terbabit menggunakan pas pelajar, dua lagi memiliki pas lawatan sosial manakala selebihnya gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

“Turut ditahan seorang pelelaki warga Korea berusia lingkungan 30-an,” katanya.

Menurut Joycelyn, ketika serbuan, ramai GRO serta pelanggan melarikan diri menggunakan laluan khas, namun berjaya ditahan.
“Layanan diberikan GRO dengan menari dan berhibur di depan pelanggan menggunakan tamborin.

“Polis menemui beberapa kondom disyaki dibuang GRO terbabit dan percaya terdapat kegiatan seks di premis berkenaan,” katanya.
Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk proses dokumentasi serta tindakan lanjut.

Mati ditikam



RANTAU PANJANG: Hanya kerana tindakannya menegur rakan serumah yang terbabit dalam gejala dadah, seorang pekerja lombong bijih besi ditikam dua kali hingga mati dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Setol, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, mangsa, Mohd Yusof Zakaria, 41, ditikam menggunakan pisau sepanjang enam inci sebelum terkena pada bahagian jantung menyebabkannya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk bedah siasat.

Bagaimanapun selepas kejadian itu, suspek yang berasal dari Benut, Johor menyerah diri kira-kira jam 10.30 pagi di Balai Polis Lubok Setol. Sebelum kejadian, suspek berusia 30-an meluru ke arah mangsa yang sarapan di kantin bersama isterinya, Norfadilah Zainal, 21, yang turut bekerja di lombong terbabit.
Menurut salah seorang rakan mangsa, Mohd Zulkarnain Mohd Ariffin, 29, kejadian berlaku begitu pantas dan suspek dilihat berada dalam keadaan sangat marah.

“Suspek menjerit memanggil suspek dengan panggilan kesat sebelum menikamnya. Mangsa terpaksa menekup di bahagian tikaman itu sebelum dua lagi rakan meleraikan pergaduhan itu.

“Mangsa terjatuh beberapa meter dari kantin sebelum saya, rakan serta isteri mangsa menghantarnya ke klinik,” katanya.

No comments:

Post a Comment