Wednesday, September 12, 2012

BUKAN CEMAS NAMPAKNYA...NAMPAK RELAX AJE...API NI GAMBARAN API NERAKA...INSAFLAH

Suspek ragut, tetak pembantu klinik dicekup

DUA suspek kes tetak dan ragut seorang pembantu klinik dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bahru untuk mendapat perintah reman semalam.


KOTA BHARU - Polis yakin dapat menyelesaikan kejadian seorang wanita yang diragut dan tangankirinya ditetak oleh dua penyamun pada 29 Ogos lalu apabila menahan dua lelaki di dua buah rumah di kawasan Pintu Geng dan Bunut Payong, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, suspek berusia 32 dan 25 tahun itu ditahan dalam operasi selama enam jam bermula pukul 7.50 pagi oleh sepasukan polis di sini.
"Selain tangkapan, kita turut merampas sebilah pisau, pedang, sehelai jaket dan dua topeng. Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg mengandungi rantai tangan dan lima bentuk cincin.
"Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dicuri di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar semalam.
Pada 30 Ogos lalu Kosmo! melaporkan, seorang pembantu klinik, Rohairani Abdullah (gambar kecil), 36, cedera parah selepas diragut dan ditetak ketika berjalan menuju ke sebuah kedai tudung di Jalan Sultanah Zainab, dekat sini.
Mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kiri selepas ditetak tujuh kali dengan parang oleh suspek.
Menurut Ismail, kedua-dua suspek juga positif dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah selain dipercayai terlibat dalam tiga lagi kes ragut di sekitar daerah ini.
Tambahnya, perancangan rapi Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman membolehkan anak buahnya menangkap suspek dalam tempoh dua minggu dan ia harus diberi pujian. Suspek kini direman selama tujuh hari.
Sementara itu, Rohairani ketika ditemui di rumahnya di Pintu Geng di sini berharap suspek dijatuhi hukuman setimpal jika terbukti bersalah.
"Saya masih trauma dengan kejadian itu walaupun saya sudah boleh menggerakkan jari-jari," luahnya.
Tambahnya, dia kini berteman jika hendak ke mana-mana dan tangannya mengambil masa beberapa bulan lagi untuk sembuh.

Wanita cemas kereta terbakar


REAKSI Umi selepas melihat kenderaannya terbakar ketika melalui jejambat Jalan Tun Razak dekat bulatan Loke Yew semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan jenis Mitsubishi Storm yang dipandunya terbakar di atas jejambat Jalan Tun Razak berhampiran bulatan Loke Yew di sini semalam.
Kejadian mencemaskan pukul 11 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Umi memberhentikan kenderaan berkenaan selepas enjinnya terhenti secara tiba-tiba.
Pekerja di sebuah syarikat swasta itu kemudian cuba menghidupkan kenderaannya tetapi gagal sebelum anggota polis yang tiba selepas menerima aduan kesesakan jalan membantunya untuk menolak kenderaan itu ke tepi.
Tanpa disangka, kenderaan itu terus disambar api di bahagian enjin sebelum wanita itu bergegas keluar sebaik melihat api tersebut.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras yang menerima maklumat pada pukul 11.08 pagi bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.
Jurucakap bomba memberitahu, pihaknya mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk mengawal kebakaran itu namun kenderaan itu telah terbakar sepenuhnya ketika mereka tiba.

Isteri dibunuh angkara cemburu

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah tempat Novi dibunuh di Seksyen 26, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Perasaan cemburu yang meluap-luap oleh seorang lelaki sampai ke kemuncaknya apabila dia menetak kepala seorang wanita dipercayai isterinya dengan kapak hingga mati selepas hilang pertimbangan ketika bertengkar di rumah sewa mereka di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.15 malam itu mengakibatkan seorang suri rumah, Novi Aryani, 34, dari Jawa, Indonesia mati selepas ditetak sebanyak dua kali di belakang kepala selain dicekik.
Mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas lantai biliknya oleh seorang rakan penyewa rumah sama. Rumah setingkat yang memiliki lima bilik itu turut didiami oleh tujuh individu lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, pemeriksaan menemui sebilah kapak di sisi mayat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.
Katanya, siasatan mendapati, sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan telah bertengkar. Lelaki itu telah melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.
“Kita percaya motif kejadian akibat cemburu buta namun masih menyiasat punca sebenar. Lelaki itu dipercayai suami mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pasangan itu tidak mempunyai permit namun mereka sudah menyertai Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui di mana Ahmad Syafi, 35, berada supaya menghubungi pihaknya di talian 03-5510 2220 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, rakan serumah mangsa, Ahmad Noer Lukman, 33, mendakwa, dia melihat suami mangsa bergelar Mat itu membawa beg dan menyangkut sehelai baju di bahu sebelum memecut laju dengan motosikal.

Kontraktor didakwa cederakan petinju negara


MUHAMAD FARKHAN (kiri) menunjukkan kecederaan yang dialaminya akibat dipukul
di Johor Bahru baru-baru ini.


JOHOR BAHRU - Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd. Haron dalam kejadian empat bulan lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Ariff Husin, 35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama dua rakan lain dan empat individu yang masih bebas didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas Muhamad Farkhan dengan menggunakan senjata tumpul.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di No. 4, Jalan Molek 3/2, Taman Molek di sini di antara pukul 4.30 pagi dan 7 pagi pada 6 Mei lalu.
Mohd. Ariff didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Hakim Zamri Bakar menetapkan ikat jamin sebanyak RM12,000 kepada tertuduh dan tarikh 1 hingga 3 Oktober ini bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dzul Iswari Mohd. Jaafar manakala tertuduh diwakili peguamnya Mazri Mohamad.
Pada 25 Jun lalu, dua rakan tertuduh, Tunku Nick Tazuddin Izwan Shah Tunku Qadir, 27, dan Alex Foo Hee Wee, 41, telah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan sama dan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Kosmo! pada Jun lalu melaporkan, Muhamad Farkhan, 24, yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 mengalami kecederaan akibat dibelasah sekumpulan lelaki sehingga patah tulang pipi dan terpaksa digantikan dengan tulang rusuk kanan selain menerima 18 jahitan di muka.

1,466 poster, iklan ah long dimusnah


ZAIZUL RIZAL (dua dari kanan) melihat sebahagian daripada poster ah long yang ditanggalkan di Kuantan semalam.


KUANTAN - Kegiatan ceti haram atau ah long terus menjadi-jadi di bandar ini apabila mereka semakin berani memasang poster dan iklan pelbagai saiz yang menawarkan pinjaman wang kepada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohd. Jasmani Yusof berkata, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, pihaknya telah menanggal serta memusnahkan sebanyak 1,466 poster dan pelekat ah long di sekitar Kuantan.
"Dalam operasi hari ini (semalam) kita berjaya menurunkan 480 poster lagi di kawasan Kubang Buaya, Air Putih, Bukit Setongkol dan Indera Mahkota.
"Operasi dari pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu melibatkan enam anggota yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Kuantan, Asisten Superintendan Zaizul Rizal Zakaria dan lapan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan," katanya selepas operasi itu di sini semalam.
Mohd. Jasmani berkata, perbuatan menampal pelekat atau poster iklan perkhidmatan pinjaman wang di tempat awam menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (pindaan 2011).
"Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta dan minimum RM250,000," ujarnya.
Jelasnya, dalam tempoh lapan bulan lalu, pihaknya menerima tiga aduan membabitkan mangsa yang meminjam wang daripada ah long.

Tanggung azab diikat lima jam


ANGGOTA polis menyiasat pejabat syarikat pengeluaran produk tenusu yang disamun empat lelaki bertopeng di Kepong kelmarin.


KEPONG – Seramai 11 pekerja sebuah syarikat produk tenusu terpaksa menanggung azab selama lima jam sebelum dapat melepaskan diri dari diikat sekumpulan empat perompak bertopeng yang melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM200,000.
Kejadian pukul 5.30 petang kelmarin di Metro Perdana di sini itu berlaku ketika mereka yang sedang asyik menjalankan tugas di pejabat urusan syarikat tersebut didatangi kesemua perompak yang mengacukan parang dan pistol.
Suspek kemudian telah mengumpulkan kesemua pekerja berusia lingkungan 20 dan 30-an tersebut sebelum mengikat mereka lalu mula menggeledah. Difahamkan, mereka melarikan wang 2,500 Euro (RM9,899), telefon bimbit, barang kemas dan pelbagai barangan berharga lain.
Tidak lama kemudian, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Avanza.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kesemua pekerja warga tempatan terbabit tidak cedera.
“Perompak melarikan diri dengan sebuah kereta dipercayai jenis Toyota Avanza berwarna putih. Polis masih menjalankan siasatan lanjut,” ujarnya.
Difahamkan, jumlah kerugian keseluruhan yang terpaksa ditanggung syarikat berkenaan mencecah RM200,000.

Sindiket raket tiruan Yonex


WAN AHMAD UZIR (tengah) bersama pegawai penguat kuasa menunjukkan raket tiruan jenama Yonex yang dirampas di Kuching semalam.


KUCHING – Menyedari populariti jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mampu melariskan perniagaan, satu sindiket tempatan dikesan mengambil kesempatan menjual raket tiruan jenama Yonex dengan 'meminjam' nama atlet berkenaan.
Aktiviti jualan peralatan sukan tiruan terbabit berjaya dibongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak disertai wakil jenama Yonex dari ibu negara dan Pegawai Undang-Undang dari Singapura menyerbu beberapa premis di sekitar pusat bandar raya pada pukul 9 pagi semalam.
Pengarah PPDNKK Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, dalam serbuan itu, sejumlah peralatan sukan badminton jenama Yonex terdiri raket dan peralatan sukan lain bernilai RM2,000 dirampas.
Menurutnya, sindiket terbabit dikesan menjual raket tiruan jenama Yonex yang seakan-akan sama digunakan oleh pemain badminton terkenal itu semata-mata mengaut keuntungan.
“Pengguna yang membeli peralatan sukan terbabit langsung tidak menyedari ia barangan tiruan kerana harga dan kualitinya tidak banyak berbeza dengan yang tulen.

Cipta perisian kesan ijazah palsu


Dr. Muhammad Zaly menunjukkan perisian pengimbas kod bar yang boleh mengesan sesuatu produk itu halal atau tidak.


SKUDAI – Penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan perisian baharu yang didakwa mampu mengesan ketulenan ijazah graduan.
Sebagai permulaan, perisian itu akan diuji pada bakal graduan majlis konvokesyen universiti itu yang dijadualkan berlangsung pada Oktober nanti.
Menjelaskan lebih lanjut, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah UTM, Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammmad Hussein berkata, teknologi yang diberi nama Imbas Pembaca itu merupakan sebuah sistem pengesan identiti sekali gus dapat mengetahui sijil milik individu tersebut sah atau sebaliknya.
Katanya, perisian itu yang boleh dimuat turun secara percuma tidak lama lagi menerusi satu laman web yang sedang dibangunkan berfungsi mengimbas kod bar pada setiap sijil ijazah.
Tambahnya, Imbas Pembaca bukan sahaja boleh digunakan di universiti malah berguna kepada majikan untuk memastikan bakal tenaga kerja mereka menggunakan sijil sah atau palsu.
“Ciptaan ini memang menjimatkan masa kerana sebelum ini majikan perlu menghubungi pihak universiti untuk dapatkan pengesahan tetapi tidak lagi dengan adanya perisian baharu ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Zaly turut memperkenalkan satu lagi ciptaannya iaitu aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan status halal produk.

Golongan belia paling ramai hidap HIV

KUALA LUMPUR - Golongan belia berusia dari 18 hingga 40 tahun merupakan kelompok tertinggi menghidap HIV di negara ini.
Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia (MAM), Roswati Ghani berkata, lebih 76 peratus daripada keseluruhan kes HIV hingga akhir tahun 2010 membabitkan golongan itu dengan jumlah 69,747 orang.
"Pada tahun 2011 pula bagi setiap empat kes baharu jangkitan HIV, satu dilaporkan daripada kalangan orang muda dan belia dalam lingkungan umur 13 hingga 29 tahun," katanya kepada pemberita pada Majlis Amal Rumah Terbuka MAM, di sini semalam.
Beliau berkata, antara faktor penyumbang kepada angka itu ialah golongan belia merupakan kelompok majoriti penduduk negara dan banyak daripada mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat.
"Mereka juga dipengaruhi media sosial seperti Internet yang membolehkan kita berhubung sesiapa sahaja dalam masa yang pantas," katanya.
Sehubungan itu, Roswati berkata, MAM mengambil inisiatif melancarkan Kelab Belia Riben Merah pada 6 September lalu untuk menangani penularan virus tersebut dalam kalangan belia negara ini.
"Kita baru mulakan program untuk belia menerusi pelancaran kelab ini dan ia boleh menjadi satu wadah bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan menyebarkan informasi yang tepat bagi mengenai HIV dan AIDS di kalangan belia," katanya.
Katanya, MAM sedang giat menjalankan kempen mencari anggota menerusi pendaftaran dalam talian dan untuk keterangan lanjut orang ramai boleh melayari laman Facebook kelab itu.
Roswati berkata, sebanyak 14 selebriti terbabit menjadi duta dalam kelab itu, antaranya penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan pelakon Aaron Aziz serta Fahrin Ahmad.
"Kita merasakan penglibatan artis dalam kerja sukarela seperti ini mampu memberi kesan yang besar sebab ia sedikit sebanyak dapat mempengaruhi belia menerusi maklumat yang golongan artis sampaikan," katanya. - Bernama

Salah pelajar, bukan sekolah


MAHADZIR memujuk Muhammad Faiz supaya tabah dalam pertemuan
di rumah mereka di Bukit Beruntung semalam.


KUALA LUMPUR - Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.
Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.
"Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.
"Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.
Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.
Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.
Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Dadah untuk 2 juta penagih dirampas


MOHD. MOKHTAR (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan pistol dan sebahagian dadah yang dirampas daripada tujuh individu pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


MUAR - Polis semalam mendedahkan satu sindiket yang dikesan menjadikan tiga unit rumah di Pangsapuri Pemandang Tanjung di Jalan Junid di sini sebagai makmal dadah pada Sabtu lalu berselindung di sebalik perniagaan ikan kelisa bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan jiran-jiran.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sindiket telah meletakkan lebih 100 buah akuarium mengandungi ikan tersebut di tingkat bawah apartmen dan menjalankan kegiatan haram tersebut di dalam rumah.
Lebih mengejutkan katanya, nilai sebenar dadah yang dirampas mencecah RM68 juta dan ia mungkin meningkat jika memasuki pasaran gelap. Dadah itu boleh menampung keperluan seramai 2,221,561 penagih.
"Selain apartmen itu, kita turut menyerbu dua buah rumah di sekitar bandar ini dan jumlah tangkapan seramai tujuh individu termasuk dua wanita berusia 24 hingga 50 tahun.
"Kita turut merampas bahan mentah dadah, peralatan memproses, sepucuk pistol jenis HK P7 dengan tujuh butir peluru, wang RM9,268, barang kemas bernilai RM6,704, sebuah kereta Toyota Estima serta Peugeot yang kedua-duanya bernilai RM459,268," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan, polis menyerbu tiga unit rumah di pangsapuri tersebut dan merampas pelbagai jenis dadah yang ketika itu dianggarkan bernilai lebih RM1 juta serta menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga emas pada pukul 6.30 pagi.
Menurut Mohd. Mokhtar, antara dadah yang dirampas ialah syabu, heroin, ketamin, serbuk dan pil ekstasi, pil eramin 5 dan kafein yang kesemuanya seberat lebih satu tan bernilai RM68 juta.

Bapa PM Australia derma tubuh

FOTO bertarikh 16 Ogos 2010 ini menunjukkan Gillard memeluk bapanya dalam kempen Parti Buruh Australia di Brisbane. John Gillard meninggal dunia pada Sabtu lalu ketika berusia 83 tahun.


SYDNEY - Bapa Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menderma tubuhnya kepada sains. Mendiang juga tidak mahu dikebumikan atau dikenang pada majlis pengkebumian, tetapi hanya mahu satu majlis berkabung, jelas wasiatnya semalam.
John Gillard, 83, mati mengejut pada pagi Sabtu lalu di bandar Adelaide, menyebabkan Gillard bergegas pulang dari persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APAEC) di Rusia untuk bersama keluarganya.
Satu notis kematian dalam iklan akhbar tempatan Adelaide menggambarkan Gillard sebagai seorang yang suka merendah diri dan sentiasa membantu orang lain. Dia mahu mereka yang mengenang jasanya menderma kepada rumah kebajikan kesukaannya iaitu Medecins San Frontieres.
John Gillard dan isterinya Moira berpindah ke negara ini dari Wales pada tahun 1996 di bawah satu skim imigresen dengan membawa bersama seorang anak kecil yang menjadi Perdana Menteri wanita pertama di sini.
Wayne Swan yang memangku tugas Perdana Menteri berkata, Gillard akan berehat sehingga hujung minggu ini. - AFP

Peminat beli rumah asal Muhammad Ali


RUMAH Muhammad Ali dengan papan tanda untuk dijual dipacak di laman kediaman tersebut di Louisville, Kentucky pada 27 Ogos lalu - AP


LOUISVILLE, Kentucky - Seorang peminat setia Muhammad Ali telah membeli rumah yang menjadi tempat petinju legenda berkenaan membesar.
Seorang ejen hartanah Amerika Syarikat memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa peminat berkenaan, Jared Weiss membeli hartanah tersebut yang terletak di sini, dalam negeri Kentucky, awal minggu ini.
Ejen hartanah berkenaan, Dave Lambrechts berkata, Weiss membayar AS$70,000 (RM217,840) untuk rumah kecil berwarna putih itu.
"Lelaki ini peminat setia Ali, faktor ini mendorong dia membeli rumah berkenaan," kata Lambrechts.
Weiss merupakan seorang pelabur hartanah di bandar raya Las Vegas.
Ali yang pernah menjadi juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali kekal sebagai antara manusia paling dikenali di dunia. - AP

Raih pendapatan RM66 sehari menarik rakit di Babelan


Seorang lelaki menarik tali untuk menggerakkan rakitnya menyeberangi sebatang sungai di Babelan, pinggir bandar raya Jakarta semalam. - REUTERS


JAKARTA - Berbekalkan keringat, sebuah rakit kayu dan tali yang diikat menyeberangi sebatang sungai di Babelan, dekat sini, beberapa penarik rakit mampu meraih pendapatan yang agak lumayan.
Mereka memberikan khidmat kepada orang ramai yang mahu menyeberangi sungai berkenaan dengan mengenakan bayaran semurah 30 sen untuk sehala.
Namun, seorang penarik rakit berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Ali memberitahu, dia mampu memperoleh pendapatan mencecah 200,000 rupiah (RM66) sehari hasil pekerjaan tersebut. - Reuters

Aktivis bantah penjualan daging anjing


TIGA aktivis persatuan People Love Pet mewarnakan wajah mereka semasa mengadakan tunjuk perasaan di Bangkok semalam. - REUTERS


BANGKOK - Sekumpulan aktivis di Thailand mewarnakan wajah mereka menyerupai wajah anjing dalam satu tunjuk perasaan di negara berkenaan semalam.
Aktivis-aktivis pertubuhan sosial People Love Pet itu mengadakan satu tunjuk perasaan di luar Kementerian Dalam Negeri di sini.
Protes tersebut bertujuan untuk menggesa pihak berkuasa Thai supaya menghentikan perdagangan daging anjing di negara berkenaan.
Akhbar Huffington Post melaporkan puluhan ribu ekor anjing di Thailand diseludup keluar untuk dijual kepada pengedar daging anjing di Vietnam pada harga sekitar AS$10 (RM31) seekor. - Agensi

Nenek mangsa buli dapat derma RM2.1 juta




TORONTO, Kanada - Seorang pengawas bas sekolah yang dibuli tanpa belas kasihan oleh empat pelajar sekolah menengah rendah di New York menerima lebih AS$700,000 (RM2.1 juta) dalam derma yang dikumpulkan oleh seorang lelaki Kanada.
Karen Klein (gambar), 68, menerima cek berkenaan pada satu majlis di sini kelmarin.
Seorang jurucakap untuk kempen dana tersebut berkata, lebih 30,000 orang dari 84 buah negara telah menyumbang bagi membantu meringankan beban Klein.
Jumlah derma terkumpul itu jauh melebihi jangkaan seorang lelaki Kanada, Max Sidorov yang memulakan inisiatif mengmpulkan dana AS$5,000 (RM15,560) supaya Klein boleh pergi bercuti untuk menenangkan fikirannya.
Simpati orang ramai terbit susulan insiden buli tersebut yang dirakam oleh seorang pelajar di dalam bas berkenaan dan disiarkan di YouTube pada Jun lalu.
Klip video itu menunjukkan Klein cuba untuk tidak menghiraukan cemuhan, cacian dan ugutan yang dilemparkan terhadapnya oleh keempat-empat pelajar itu. - AP

Pembikin filem anti-Islam sembunyikan diri


PENUNJUK perasaan mengoyakkan bendera AS di luar pejabat kedutaan AS di Mesir kelmarin sebagai tanda bantahan. - AFP


LOS ANGELES - Pembikin filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam kerana menghasilkan filem menghina Nabi Muhammad SAW dikatakan sedang menyembunyikan diri.
Filem yang dihasilkan oleh penulis dan pengarah, Sam Bacile telah mengakibatkan tunjuk perasaan di kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Mesir dan Libya, serta membunuh seorang pegawai Jabatan Negara AS di sana.
Bacile yang bercakap melalui telefon dari lokasi tidak diketahui tetap membela diri dengan mengatakan Islam adalah satu barah dan mahu filemnya menjadi satu kenyataan politikal.
Lelaki berusia 56 tahun itu turut mendedahkan dirinya sebagai Yahudi Israel. Menurutnya, filemnya itu akan membantu Israel dengan mendedahkan keburukan Islam kepada dunia.
Petikan filem yang dialih bahasa ke dalam bahasa Arab telah disiarkan di laman video YouTube. Filem itu mencetuskan kemarahan kerana ia menghina Nabi Muhammad SAW sebagai seorang kaki perempuan dan membenarkan gangguan seksual ke atas kanak-kanak.
Bacile menyatakan kekesalan atas kematian kakitangan kedutaan itu, tetapi menyalahkan kawalan keselamatan premis terbabit. - AP

Mati akibat suntikan silikon pada kemaluan




NEWARK, New Jersey - Seorang wanita tidak mengaku salah menyebabkan kematian seorang lelaki selepas dia didakwa menyuntik silikon melebihi dos sewaktu menjalankan prosedur membesarkan alat kelamin.
Kasia Rivera, 35, (gambar) tidak mengaku cuai dan menyebabkan mangsa, Justin Street yang berusia 22 tahun meninggal dunia.
Street yang merupakan bapa kepada dua orang anak dikatakan berjumpa Rivera untuk membesarkan kemaluannya selepas membaca iklan mengenai perkhidmatan tersebut.
Rivera menjalankan prosedur itu di rumahnya. Dia yang didakwa tidak memiliki lesen atau latihan perubatan telah menyuntik silikon ke kemaluan Street. Lelaki tersebut meninggal dunia keesokan harinya. Ujian perubatan mendapati dia mati akibat embolisme silikon.
Pasukan penyiasat percaya Rivera ada melakukan prosedur sama sebelum ini, tetapi tiada saksi baharu yang tampil. Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$75,000 (RM230,294). Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun. - AP

Facebook mahu bina sistem untuk peranti mudah alih

SAN FRANCISCO - Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kelmarin berkata, gergasi laman sosial itu sedang memberi fokus kepada sistem peranti mudah alih. Ia perlu dilihat sebagai satu langkah bijak walaupun kemunculannya dalam pasaran saham sebelum ini mengecewakan.
"Ia amat jelas daripada statistik dan gerak hati saya bahawa ekosistem menuju ke arah peranti mudah alih dan bukan komputer meja. Itulah masa hadapan. Kami akan menghasilkan produk terbaik," kata Zuckerberg ketika ditemu bual pada persidangan TechCrunch Disrupt di sini.
Zuckerberg menegaskan bahawa syarikat itu pernah dipandang rendah dan kini berada di landasan betul untuk menjana keuntungan menerusi peranti mudah alih berbanding komputer.
Ini merupakan penampilan pertama beliau sejak nilai tawaran awam (IPO) Facebook pada 18 Mei lalu yang sepatutnya mendapat sambutan tetapi gagal. Saham Facebook susut setengah daripada nilainya IPO asalnya iaitu AS$38 (RM116.8) sesaham.
Zuckerberg bagaimanapun menafikan pihaknya akan menghasilkan telefon pintarnya sendiri. "Apple, Google dan semua orang menghasilkan telefon. Kami menuju ke arah berlawanan. Kami mahu membina sistem yang boleh diintegrasi di antara semua peranti pintar," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment