Terkejut tasbih ada gambar binatang
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Ramli menunjukkan
tasbih yang bertulis kalimah Allah di hadapannya. Gambar kecil: Di
belakang tasbih yang dikatakan terdapat gambar binatang itu.
PERMATANG PAUH - Seorang penduduk Taman Pauh Indah di sini terkilan
apabila tasbih yang dibelinya didapati terdapat gambar binatang.
Ramli Awang, 50, berkata, dia terkejut apabila isterinya memaklumkan
bahawa gambar yang terdapat pada tasbih itu kelihatan seperti khinzir.
Menurutnya, tasbih itu dibeli di sebuah gerai yang dibuka pada hari minggu berhampiran dengan kediamannya.
“Saya tertarik dengan tasbih yang diperbuat daripada kayu ini kerana
terdapat kalimah ALLAH pada hujungnya. Sewaktu hendak membelek-belek
untuk melihat dengan lebih dekat lagi, peniaga di situ terus meletakkan
tanda harga pada belakang kalimah Allah.
“Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju membeli tasbih ini kerana
peniaganya menawarkan harga RM8 berbanding harga asal RM11.
“Saya sendiri tidak perasan ada sesuatu pada tasbih itu sehinggalah pada hari Selasa lalu,” katanya yang ditemui Sinar Harian.
Ramli bagaimanapun tidak mahu menyalahkan peniaga itu yang
berkemungkinan turut tidak sedar barang jualannya mengandungi gambar
seperti itu.
“Saya tidak mahu tuduh peniaga kerana mungkin dia tidak sedar.
“Bagi saya, isu ini merupakan perkara yang sensitif kerana membabitkan
agama. Tambahan pula, tasbih digunakan untuk berzikir dan di tasbih ini
juga mengandungi kalimah Allah,” katanya.
Tambah Ramli, dia juga tidak mahu ada umat Islam lain yang turut tertipu dengan membeli tasbih seperti itu.
Jambatan rosak ancam nyawa
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Md Shukri (kanan) bersama penduduk lain menunjukkan struktur jambatan yang rosak.
SIK - Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Pokok Jerai, Mukim Jeneri,
resah apabila jambatan gantung di kampung itu rosak sehingga mengancam
keselamatan penduduk.
Jambatan berusia lebih 25 tahun itu mengundang bahaya setelah beberapa
strukturnya semakin mereput sehingga mendatangkan kebimbangan kepada
penduduk kampung.
Penduduk terpaksa berdepan dengan risiko kerana kerana jambatan itu
merupakan laluan utama penduduk ke kawasan kebun atau ke kampung lain.
Penduduk, Md Shukri Yaakup,57, berkata, jambatan sepanjang 100 meter
itu seharusnya diganti baru bagi mengelak sebarang kejadian tidak
diingini.
Menurutnya, seorang warga emas yang menunggang motosikal pernah
terjatuh ketika melalui jambatan itu sehingga dimasukkan ke hospital.
“Mujurlah motosikalnya tersangkut pada jaring, sekiranya tidak, pasti
akan berlaku perkara yang lebih buruk,” katanya kepada Sinar Harian.
Md Shukri berkata, masalah jambatan itu dipanjangkan kepada pihak
berkenaan sejak 2007 tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Kita menghantar permohonan supaya jambatan itu ditukar kepada jambatan konkrit untuk kebaikan penduduk kampung.
“Jambatan ini seharusnya diganti baru berikutan keadaan struktur
jambatan yang terlalu usang sehingga membahayakan penduduk,” katanya.
Menurutnya, penduduk amat berharap masalah penduduk di sini diatasi dengan segera demi keselesaan mereka.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Sik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah,
berkata masalah jambatan itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib.
Menurutnya, laporan lengkap diserahkan kepada Pejabat Kemajuan Negeri
Kedah melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana
Menteri untuk tindakan segera.
Menurutnya, masalah jambatan ini akan diselesaikan dalam kadar segera bagi menjamin keselamatan penduduk di sini.
“Insya-ALLAH, saya berharap penduduk dapat bersabar kerana masalah
jambatan ini telah mendapat perhatian dan akan dilaksanakan tidak lama
lagi,” katanya semasa melawat penduduk.
Rayu tunang pulang, bakal bernikah Disember ini
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Shahidan ditemani
Bariah menunjukkan laporan polis berkaitan kehilangan Nur Fatini semasa
ditemui di Lahar Ikan Mati. Gambar kecil: Gambar kenangan Shahidan dan
tunangnya.
KEPALA BATAS - Seorang pekerja kilang merayu tunangnya, pulang semula ke pangkuan keluarga setelah tiga hari keluar rumah.
Shahidan Shaari, 21, operator kilang di Tikam Batu, Sungai Petani
berkata, tunangnya Nur Fatini Amirah Mohd Rashidi, 17, meninggalkan
rumahnya di Lahar Ikan Mati di sini pagi Isnin lalu tanpa memaklumkan
destinasi yang ingin dituju.
“Kehilangan tunang saya disedari apabila keluarganya mendapati dia
tiada di rumah awal pagi Isnin lalu selepas saya meminta mereka
mencarinya kerana merasa hairan apabila panggilan telefon saya tidak
dijawab.
“Selepas melakukan pemeriksaan, neneknya, Bariah Ahmad, 64, mendapati
Nur Fatini telah meninggalkan rumah di mana pakaian dan barangan
peribadinya turut tiada,” katanya.
Menurutnya, dia kemudiannya bergegas ke rumah tunangnya itu yang
terletak lebih kurang 400 meter dari rumahnya dan selepas berbincang
dengan keluarga Nur Fatini dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu
Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Shahidan berkata, dia telah bertunang dengan Nur Fatini Julai lalu dan
menetapkan bulan Disember ini untuk dilangsungkan majlis nikah dan
kenduri mereka.
“Saya tidak mempunyai masalah dengannya kerana selama dalam tempoh
bertunang ini hubungan kami rapat serta mendapat restu seluruh ahli
keluarganya termasuk ayahnya, Mohd Rashidi Mohd Rashid, 49, dan ibunya,
Norasiah Lazim,48, serta neneknya Bariah.
“Saya telah pun membuat persiapan perkahwinan kami dan sekarang hanya menunggu tarikhnya sahaja,” katanya.
Sementara itu Bariah berkata, dia terkejut dan tidak menyangka cucunya
itu sanggup keluar meninggalkan rumah mereka kerana dia merupakan cucu
kesayangannya.
“Selain tinggal bersama saya sejak kecil kerana ibu bapanya bekerja di
luar daerah, dia lebih rapat berbanding adik beradiknya yang lain dan
sering meminta pandangan saya jika dia mengalami masalah.
“Sepanjang pengetahuan saya hubungan dengan tunangnya, Shahidan juga
didapati baik dan mereka sering keluar bersama jika mempunyai masa
lapang,” katanya.
Bariah berkata, Nur Fatini Amirah merupakan cucu kelima dari sembilan
beradik dan tidak lagi bersekolah selepas tamat tingkatan tiga dua tahun
lalu.
“Kerana sayangkannya, dia tidak dibenarkan bekerja di luar seperti mana
kakaknya yang lain dan hanya membantu saya mengambil upah meleraikan
komponen peralatan eletronik yang dihantar pelanggan di rumah.
“Bapanya hanya pulang seminggu sekali ke rumah kerana bekerja di luar
daerah, ibunya juga bekerja dan sayalah yang banyak menghabiskan masa
bersamanya sejak dia dilahirkan 17 tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, usaha mereka menghubungi telefon bimbit Nur Fatini gagal,
malah dia juga tidak membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang
dihantar mereka.
Sehubungan itu, Bariah dan Shahidan merayu Nur Fatiini pulang segera ke
rumah dan akan membantunya jika dia mempunyai masalah kerana selain
merinduinya mereka juga bimbangkan keselamatan dirinya.
Sesiapa yang terjumpa atau melihat Nur Fatini oleh menghubungi Shahidan
di talian 010-3703309 atau Bariah di talian 014-2442808 atau
melaporkannya ke mana-mana balai polis terdekat.
Garis panduan papan iklan di Alor Setar wajibkan model perlu pakaian sopan
3 Oktober 2012
ALOR SETAR - Mulai tahun depan, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan
menguatkuasakan sepenuhnya garis panduan pemasangan papan iklan di
kawasannya yang meliputi penggunaan bahasa, landskap dan pakaian model
iklan.
Antara perkara yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah model
dalam gambar perlu sopan dan berpakaian tidak menjolok mata dan jika
model itu beragama Islam, dia perlulah menutup aurat.
Datuk Bandar MBAS Mat Noh Ahmad berkata pihak MBAS sedang membuat
operasi di setiap papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan garis
panduan yang ditetapkan oleh MBAS.
"Terdapat rungutan daripada orang ramai tentang penggunaan bahasa
kebangsaan pada papan iklan yang tidak memenuhi standard dan bagi
menangani isu itu, kami akan menjalankan Operasi Bersepadu
Penguatkuasaan Papan Iklan yang dijalankan secara berkala.
"MBAS turut akan menitikberatkan gambar model yang dipaparkan pada papan iklan itu," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata bagi mereka yang ingin membuat iklan di papan iklan
perlulah mengikut syarat yang telah ditetapkan MBAS dengan mengemukakan
permohonan ke Bahagian Kesihatan Awam, MBAS.
"Sekiranya mereka membina papan iklan secara haram, tindakan kompaun
sebanyak RM300 akan dikenakan dan kami juga akan menurunkan papan iklan
itu," katanya.
Mat Noh berkata pada awal tahun hadapan MBAS akan menyeragamkan
papan-papan iklan dari segi saiz papan iklan dan memastikan bahagian
landskap tersusun rapi bagi mengindahkan kawasan papan iklan itu.
Beliau berkata MBAS tidak akan meluluskan sebarang papan iklan untuk
pemilik yang ingin mengiklankan mengenai pusat hiburan atau premis judi.
- Bernama
Lebih sebulan tak lena tidur
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Othman (kiri) menunjukkan lampu jalan yang tidak berfungsi menyebabkan kawasan perumahan Klaster Tenggiri bergelap.
Penduduk khuatir jika keadaan berlarutan bakal mengundang lebih banyak kejadian tidak diingini.
SEBERANG JAYA - Lebih sebulan penduduk Taman Klaster Tenggiri di sini,
tidak lena tidur kerana bimbang kejadian pecah rumah berlaku lagi di
kawasan mereka.
Penduduk terpaksa bergelap apabila lampu jalan di kawasan taman
berkenaan tidak berfungsi lebih sebulan lalu, sehingga memberi peluang
kepada pencuri melakukan kegiatan mereka.
Tinjauan mendapati, lampu jalan di Lorong Tenggiri 18 sehingga 22 tidak
berfungsi dan menyebabkan kawasan rumah itu hanya bergantung kepada
cahaya gerai makan berhampiran yang dibuka pada waktu malam.
Timbalan Pengerusi Surau Al-Islam, Othman Sulong berkata, beberapa
kejadian kecurian dan pecah rumah berlaku di kawasan itu, terutama di
kawasan rumah yang terhalang daripada pandangan dan tidak mempunyai
sumber cahaya.
“Apabila malam kami terpaksa berhadapan dengan masalah gelap. Selepas
senja sahaja, kami hanya bergantung kepada cahaya gerai berhampiran dan
kemudiannya kembali bergelap selepas gerai berkenaan ditutup pada jam 12
tengah malam.
“Sebelum ini, ada kejadian pecah rumah, di mana mesin basuh seorang
penduduk hilang. Selain itu, ada juga yang mencuri pintu pagar yang
belum dipasang.
“Inilah masalahnya apabila lampu jalan tidak berfungsi. Kami khuatir
lebih banyak risiko kejadian tidak elok akan berlaku,” katanya.
Othman berkata, dia juga sudah beberapa kali terserempak dengan dua
lelaki mencurigakan yang meronda pada waktu malam di sekitar kawasan
perumahan itu.
Menurutnya, lebih mengecewakan tiada tindakan diambil pihak berkenaan
walaupun sudah beberapa kali pihaknya membuat aduan berhubung masalah
itu.
“Lampu jalan di sini tidak berfungsi sejak 28 Ogos lalu. Bayangkan
dalam tempoh sebulan lebih, sudah enam kali saya hubungi mereka, namun
tiada maklum balas.
“Mereka ada meminta nama dan nombor telefon saya, tetapi sehingga kini
saya tidak hubungi. Malah setiap kali saya telefon, mereka kata
juruteknik akan datang memeriksa,” katanya lagi.
Selain kes pecah rumah, Othman turut bimbang sekiranya kawasan
berkenaan terus bergelap akan mengundang kegiatan tidak bermoral di situ
seperti gejala maksiat.
20 hari adik menghilangkan diri
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Zulfazly menunjukkan laporan polis yang telah dibuatnya bagi mencari adiknya, Erman Fazli Hadi. Gambar kecil: ERMAN FAZLI HADI
BATU KURAU – "Hari ini (semalam) genap 20 hari adik menghilangkan diri
sejak keluar bekerja 14 September lalu," luah Zulfazly Kamim, 32.
Menurutnya, adiknya, Erman Fazli Hadi Kamim, 17, yang bekerja di sebuah
kilang di Kamunting menaiki van ke tempat kerja kira-kira jam 5.20
petang.
Katanya, sebelum adiknya menghilangkan diri, tidak ada perbalahan berlaku antara Erman Fazli dan ahli keluarga yang lain.
"Bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku selepas 24 jam adik tidak
pulang ke rumah, saya terus ke tempat kerjanya, namun pihak kilang ada
menyatakan adik tidak datang bekerja.
"Keadaan ini semakin membimbangkan kami sekeluarga apabila telefon
bimbitnya juga tidak dapat dihubungi,” katanya kepada Sinar Harian
ketika ditemui semalam.
Zulfazly berkata, dia terus membuat laporan polis pada 16 September lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini.
“Dalam masa yang sama saya terus berusaha mencari dan bertanyakan kepada kawan-kawannya namun, menemui jalan buntu.
“Semasa adik keluar bekerja dia hanya membawa wang RM10 sebagai wang saku untuk berbelanja,” katanya.
Katanya, dia bimbang keselamatan adiknya terancam dan berharap orang
ramai yang mempunyai maklumat segera menghubunginya di talian 012-452
1130 atau di alamat, Kampung Repoh, Batu Kurau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf
Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihak beliau mengesahkan menerima
laporan itu dan kes masih lagi disiasat.
“Sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklumat berhubung keadaan Erman Fazli Hadi.
"Sekiranya orang ramai mengetahui dan mempunyai maklumat berkenaan kes
ini boleh menghubungi IPD Taiping di talian 05-829 1222,” katanya.
20 tahun sepi tanpa berita
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Renganathan ketika
ditemui di Hospital Taiping, kini tidak mampu bergerak kerana strok
yang dialaminya sejak 3 bulan lalu, selain turut menyebabkan
percakapannya tidak lancar.
Anak sulung (kiri) ketika majlis perkahwinan di Nibong Tebal dan anak keduanya (kanan).
TAIPING – Lebih 20 tahun tidak bertemu, seorang warga emas dari Kampung
Boyan, di sini, mengharapkan dua anaknya kembali ke pangkuan keluarga.
P Renganathan, 87, yang tinggal sendirian sejak kematian isterinya,
enam tahun lalu kini mengidap masalah jantung dan strok selain hanya
mampu terlantar serta menghabiskan masa mendapatkan rawatan di Hospital
Taiping.
Pada saat insan lain dijaga rapi ahli keluarga, warga emas itu kini
hanya mengharapkan ihsan jiran tetangga bagi menguruskan rutin
hariannya.
Seorang jiran yang ditemui, Zabedah Abdullah, 38, berkata, sejak lapan
tahun lalu hanya jiran menjadi tempat Renganathan mengadu.
Menurutnya, warga emas itu sebelum ini ada menceritakan serba sedikit
maklumat keluarga termasuk keinginannya melihat dua anak perempuannya
kembali setelah sekian lama tidak bertemu.
“Dia tak cerita semua, tetapi sekadar beritahu dia ada anak dan kini berada di Kuala Lumpur.
“Dia juga ada menyatakan, anak sulungnya pernah berkhidmat sebagai
pramugari, namun selepas berkahwin, anaknya tidak pernah datang
menjenguknya di rumah,” katanya.
Zabedah berkata, sejak kematian isteri, Renganathan enggan lagi bercerita soal anak-anaknya.
"Melihat keadaan warga emas ini, saya bersama beberapa jiran lain
bercadang untuk menghantarnya ke Rumah Seri Kenangan Taiping," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia dan jiran lain sedang berusaha menjejaki kedua-dua anaknya sebelum tindakan lanjut diambil.
“Saya rasa dia lebih selamat kerana ada orang yang boleh membantu dan menjaga sepanjang masa, jika di rumah, dia keseorangan.
“Sebagai jiran saya hanya melakukan apa yang difikirkan betul dan jika
anak-anak mahu berjumpa dengan bapa mereka, inilah masanya,” katanya.
Seorang lagi jiran, P Maria, 30, berkata, selepas Renganathan
dimasukkan ke hospital, dia bersama jiran lain cuba membantu mencari
anak-anaknya.
“Ketika mencari maklumat berkenaan keluarganya, kami terjumpa sebuah beg yang mengandungi beberapa keping gambar keluarga.
“Gambar majlis perkahwinan mungkin ketika persandingan anak sulungnya,
kami harap gambar ini dapat membantu mencari dua anaknya itu, sebab kami
tidak mempunyai maklumat lanjut, hanya gambar sebagai bukti,” katanya.
Renganathan sebelum ini pernah berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya
(JKR), kini dia menjalani hidup dengan wang pencen RM720 setiap bulan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan dua anak perempuan Renganathan
diminta menghubungi Zabedah di talian 017-545 9650 atau 013-502 3740
atau di alamat No2, Tingkat 2, Blok A, Flat Kampung Boyan, Taiping.
Wanita cedera ditendang penjenayah
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Polis membawa suspek yang ditahan ke Balai Polis Teluk Intan untuk siasatan lanjut.
Rafidah bersama abangnya Dzulkifi keluar dari HTI selepas menerima rawatan pesakit luar.
TELUK INTAN - seorang wanita ditendang seorang lelaki tidak dikenali
ketika menunggang motosikal seorang diri di persimpangan lampu isyarat
di Jalan Maharaja Lela berhadapan kilang simen Tan Seng Huat.
Mangsa, Rafidah Abdul Manan berkata, ketika kejadian, dia baru dalam
perjalanan ke Teluk Intan untuk membayar ansuran motosikal sebelum
terlihat sepasukan polis sedang mengejar sebuah kereta berwarna merah.
Menurutnya, ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, tiba-tiba
lelaki itu turun dari keretanya lalu menendangnya sehingga terjatuh di
atas jalan, sebelum melarikan diri menggunakan motosikal miliknya.
"Pada waktu itu, kereta yang dipandu lelaki berkenaan berhenti selepas semua kenderaan di hadapan berhenti di lampu merah.
"Saya bergerak di celah-celah kereta yang berhenti dan secara tiba-tiba
lelaki itu turun dari keretanya lalu terus menendang saya bertubi-tubi
sehingga terjatuh," katanya kepada Sinar Harian.
Kata Rafidah, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan di bahagian
perut dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan oleh
anggota polis.
"Saya bersyukur hanya menerima rawatan pesakit luar dan tidak mengalami
kecederaan serius akibat ditendang penjenayah beberapa kali sehingga
terjatuh," katanya.
Dalam kejadian jam 4 petang semalam, suspek dalam lingkungan 30-an
dikejar sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung
selepas tidak memberi kerjasama ketika ditahan kerana memandu sebuah
kereta yang dilaporkan hilang di Kuala Kangsar.
Timbalan Ketua Polis daerah Hilir Perak, Superintenden Mohd Zaki Harun
berkata, suspek disyaki mencuri kereta jenis Honda Accord di Kuala
Kangsar dan mengubah nombor pendaftaran kenderaan itu sebelum melarikan
diri ke Manjung.
Katanya, setiba di Manjung, suspek ditahan polis di sana, tetapi enggan
memberikan kerjasama sebelum memecut kereta berkenaan menghala ke Teluk
Intan.
"Menyedari beberapa anggota polis keluar dari kereta peronda untuk
menangkapnya, suspek bertindak menendang perut dan menjatuhkan seorang
wanita yang kebetulan memberhentikan motosikalnya berdekatan kereta
dipandu sebelum melarikan kenderaan itu ke arah Kampung Banjar – Kampung
Selabak.
"Suspek berjaya ditahan dua anggota polis cawangan Anti Nakotik IPD
Teluk Intan yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut,"
katanya.
Kata beliau, hasil soal siasat, pihaknya mendapati suspek berasal dari
Terengganu dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau dalam kes dadah
manakala ujian awal air kencing ke atasnya menunjukkan dia positif
heroin.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan
suspek turut dirujuk ke IPD Manjung serta IPD Kuala Kangsar untuk
tindakan lanjut.
Sindiket sorok diesel subsidi tumpas
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Kawasan Perindustrian Tasek, Jalan Kuala Kangsar menjadi lokasi kegiatan menyorok diesel bersubsidi.
IPOH - Kes penyelewengan diesel subsidi bukanlah suatu perkara baru di
negara ini malah ia sering berlaku apabila terdapat pihak yang cuba
mengaut keuntungan dengan cara mudah.
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK)
Perak baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket yang menjalankan
kegiatan itu di sebuah bangunan di kawasan perindustrian Tasek, Jalan
Kuala Kangsar, Isnin lalu.
Timbalan Pengarah PPDNKK Negeri, Rosli Ahmad berkata, seramai enam
pegawai terbabit yang diketuai Ketua Operasi KPDNKK Negeri, Mohd Ziyad
Ismail, dalam serbuan yang dijalankan pada jam 4 petang itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya menemui satu tangki
besar yang digunakan untuk menyembunyikan 8,260 liter diesel subsidi
yang dipercayai cuba dijual kepada pihak industri pada harga lebih
tinggi.
Diesel subsidi yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM15,000 mengikut nilai pasaran.
“Ketika serbuan dilakukan terdapat beberapa lelaki di bangunan tersebut
dipercayai ahli sindiket terbabit namun mereka berjaya melarikan diri
sebaik menyedari kehadiran kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini,
semalam.
Dalam perkembangan sama, Rosli berkata, melalui siasatan awal yang
dijalankan, pihak sindiket akan singgah di beberapa stesen minyak untuk
membeli diesel dalam kuantiti anggaran antara 100 hingga 200 liter.
Tambahnya, sindiket itu menggunakan lori persendirian lengkap dengan
tangki khas bagi memuatkan diesel dibeli sebelum dipindahkan ke tangki
lebih besar yang terletak di bangunan tersebut.
“Berdasarkan maklumat, diesel subsidi berharga RM1.80 seliter itu akan
dijual kepada pihak industri pada harga RM2.60 seliter dan kami percaya
sindiket itu sudah giat beroperasi sejak dua tahun lalu,” katanya.
Rosli berkata, kes itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961
dan pihaknya masih mengesan mereka yang terbabit dalam sindiket
berkenaan.
“Jika sabit kesalahan, individu yang bersalah boleh didenda sehingga
RM100,000 manakala pihak syarikat boleh didenda RM250,000 atau penjara
tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
1,188 mesin judi dirampas
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Jaafar (kanan) menunjukkan sebahagian mesin judi internet yang dirampas sepanjang serbuan dibuat di daerah Manjung.
MANJUNG - Jumlah rampasan mesin judi sepanjang Januari hingga September
tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 471 apabila 1,188 mesin
dirampas dalam 122 serbuan di seluruh daerah ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata,
jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan
rampasan sebanyak 717 mesin judi bagi 100 serbuan yang dibuat dalam
tempoh sama.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan polis sentiasa komited dalam memastikan gejala judi khususnya di daerah ini dikekang.
“Bagi tahun ini juga seramai 89 individu telah ditahan untuk siasatan melibatkan penjaga premis mesin judi.
"Justeru, kita minta orang ramai terus membantu polis dengan
menyalurkan maklumat sebelum tindakan segera dapat diambil,” katanya
dalam satu sidang media, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, aktiviti di pusat hiburan dan
premis makanan yang menyediakan khidmat pelayan warga asing turut tidak
terlepas daripada tindakan polis.
Katanya, bermula Januari hingga September tahun ini, pihaknya telah
membuat 315 serbuan di seluruh daerah dan berjaya menangkap 686 wanita
warga asing.
“Mereka yang ditangkap ini melibatkan warga Vietnam, China, Indonesia
dan Thailand yang kebanyakan berumur antara 30-an dan 40-an.
"Serbuan ini dilakukan secara berterusan bagi membanteras aktiviti pelacuran melibatkan warga asing,” katanya.
Bagi tempoh yang sama tahun lalu, sebanyak 217 serbuan dilakukan melibatkan tangkapan 415 orang.
Jaafar berkata, mereka yang ditahan boleh didakwa di di bawah seksyen 39 b Peraturan Imigresen 1959/63.
“Ini menunjukkan kita tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan bagi membanteras gejala tidak sihat ini.
“Kita berterima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus
menyalurkan maklumat dan berharap kerjasama ini diteruskan,” katanya.
Budak mati tercekik anggur
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Jenazah Taheem diuruskan kakitangan Jabatan Forensik HRPB, semalam.
IPOH - Seorang kanak-kanak warga Bangladesh berusia dua tahun maut dipercayai tercekik buah anggur.
Kejadian berlaku ketika ibunya sedang sibuk mengupas kulit buah itu di
rumah mereka di Kondominium Raya Ria, di Jalan Raja Dr Nazrin Shah,
kira-kiran jam 10 malam kelmarin.
Mangsa Taheem Shahriar, 2, dipercayai berada berhampiran ibunya ketika itu.
Tanpa disedari ibunya, kanak-kanak terbabit mengambil sebiji anggur dan
memasukkan ke dalam mulut sehingga menyebabkan dia tercekik.
Seorang saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dimaklumkan selepas kanak-kanak tersebut meninggal dunia.
Katanya, bapa kanak-kanak malang itu bekerja sebagai Pensyarah
Perubatan di salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di
sini manakala ibunya adalah surirumah.
“Saya difahamkan Taheem mempunyai masalah tonsil dan lehernya sedikit
membengkak menyebabkan buah anggur sebesar guli itu tersekat di
kerongkongnya,” katanya.
Dia ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
Menurutnya, ibu bapa kanak-kanak itu turut cuba menyelamatkan nyawa anak tunggal mereka namun usaha mereka gagal.
“Mereka terus membawa Taheem ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
"Kemudian disahkan meninggal dunia setibanya di hospital malam semalam (kelmarin),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman
Alias mengesahkan ada menerima laporan berhubung kematian kanak-kanak
terbabit.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian ini diklasifikasikan sebagai
kes mati mengejut kerana tiada unsur jenayah ditemui pada mangsa.
“Mangsa yang dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun
disahkan meninggal pada jam 10.25 malam semalam (kelmarin) dan mayatnya
dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat,” katanya.
Jenazah mangsa dijangka dibawa pulang ke Bangladesh untuk dikebumikan.
Bayi maut tersedak susu
ROSDALILAH ZAHARI
4 Oktober 2012
Mayat Zi Xin dibawa masuk ke dalam van oleh pengurus pengebumian untuk dibawa ke rumahnya di Menglembu.
IPOH - Tidak sampai 24 jam insiden tersedak susu yang meragut nyawa
seorang bayi berusia sebulan di Taman Perling, Johor, kejadian yang sama
turut menimpa seorang bayi perempuan di Taman Rishah, Menglembu, di
sini, awal pagi semalam.
Ho Zi Xin, yang baru berusia dua bulan, disahkan meninggal dunia oleh
doktor sebaik tiba di Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH) untuk mendapatkan
rawatan.
Seorang anggota keluarga yang enggan dikenali berkata, kejadian itu
hanya disedari ibunya kira-kira jam 1 pagi semalam selepas melihat wajah
mangsa berubah menjadi pucat dan tidak bergerak selepas diberi minum
susu menggunakan botol.
“Sejurus melihat Zi Xin dalam keadaan tidak sedarkan diri, mereka
segera membawanya ke unit kecemasan KPJ-ISH untuk mendapatkan rawatan
namun disahkan meninggal dunia beberapa minit selepas itu.
“Mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja
Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, setiap hari Zi Xin dihantar kepada pengasuh berhampiran
rumah mereka pada waktu siang memandangkan ibu bapa bayi itu bekerja.
“Pada sebelah malam, mereka akan membawanya pulang ke rumah dan menjaga
anak bongsu daripada empat adik beradik itu. Ia adalah rutin harian
mereka pada hari bekerja,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke pekarangan Jabatan Forensik
HRPB mendapati bapa mangsa berada dalam keadaan sedih dan enggan ditemu
bual.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, laporan bedah siasat pihak hospital mengesahkan bayi itu maut
disebabkan susu yang diminumnya memasuki paru-paru ketika sedang tidur
sehingga menyekat saluran pernafasan.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau kecuaian ditemui pada
mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Lelaki ditahan miliki dadah
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Sebahagian penunggang motosikal yang ditahan atas pelbagai kesalahan ketika Operasi Cegah Samseng Jalanan.
PONTIAN - Seorang lelaki ditahan dalam satu sekatan jalan raya di
kilometer 67, Jalan Johor Bahru berhampiran Simpang Kayu Ara Pasong,
Ahad lalu, kerana disyaki memiliki pelbagai jenis dadah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, lelaki
terbabit ditahan kira-kira jam 12 tengah hari apabila anggota polis
mengarahkannya turun dari kereta Perodua Kancil untuk membuat
pemeriksaan ke atasnya.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis menjumpai pelbagai jenis dadah
di dalam beg sandang yang dibawa lelaki berusia 43 tahun itu.
“Dadah-dadah tersebut ialah empat paket plastik lutsinar dipercayai
heroin, dua paket plastik lutsinar dipercayai syabu, 46 biji pil eramin 5
dan satu tiub straw heroin.
“Turut ditemui wang tunai RM3,000 dan buku catatan,” katanya kepada
Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian, di sini, pagi semalam.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Simpang Renggam itu turut didapati
positif dadah selepas pemeriksaan air kencing dilakukan ke atasnya.
“Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman gantung
sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam kes yang berasingan, sebanyak 360 saman telah dikeluarkan atas
pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Samseng Jalanan selama 15 hari
bermula 15 September lalu.
“Sebanyak 1,489 kenderaan telah diperiksa dalam operasi yang turut
membabitkan pasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor,
Pasukan Polis Sukarelawan (PVR) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat
(Rela).
“Saman yang dikeluarkan meliputi kesalahan seperti tiada lesen memandu,
tidak mempunyai cukai jalan kenderaan yang sah, tidak memakai tali
pinggang keledar, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, tidak
mempunyai lampu brek ketiga dan menggunakan lampu kereta berwarna putih
(HID),” katanya.
Zahaliman berkata, daripada operasi itu juga, sebanyak 108 motosikal dan 14 buah kereta dari pelbagai jenis telah disita.
“Kebanyakan mereka yang terlibat ini berusia di antara 15 dan 40an dan
operasi itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras
kegiatan samseng jalanan khususnya di daerah Pontian,” katanya.
Tangkapan bongkar kes curi
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Sahadan (dua,
kanan) menunjukkan komponen motosikal yang dirampas selepas menahan 12
penagih yang terbabit mencuri motosikal dalam Operasi Lenjang Khas yang
berakhir kelmarin
MUAR - Misteri kehilangan motosikal di sekitar daerah ini terjawab
dengan penangkapan 12 penagih dadah dalam Operasi Lenjang Khas, pada 24
September lalu yang berakhir kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata,
kesemua suspek berumur antara 17 hingga 25 tahun ditahan kerana
menunggang motosikal dalam keadaan yang mencurigakan.
Menurutnya, hasil siasatan awal berjaya membongkar kegiatan mereka yang
didapati terlibat dalam enam kes curi motosikal bagi tempoh sembilan
bulan pertama tahun ini.
“Mereka ditangkap di lokasi berasingan antaranya di Jalan Junid dan
Bukit Pasir termasuk di Sungai Rambai, Melaka yang bersempadan dengan
daerah ini.
“Melalui serbuan di beberapa rumah suspek yang dijadikan bengkel untuk
meleraikan motosikal curi, pihaknya merampas enam enjin motosikal
termasuk komponen-komponennya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi
RM10,000. Kesemua komponen yang dileraikan itu dipercayai untuk kegunaan
sendiri dan sebahagiannya dijual.
“Kita dapati ada antara enjin motosikal yang dirampas itu sudah dipadam nombor pendaftarannya.
“Kesemua suspek tidak bekerja termasuk remaja berusia 17 tahun tersebut yang tidak bersekolah,” katanya.
Katanya, dua daripada mereka yang kedua-duanya berumur 23 tahun pernah mempunyai rekod lampau iaitu juga kes curi motosikal.
Sahadan berkata, hasil siasatan mendapati suspek mencuri motosikal
dengan cara menggunakan kunci pendua selain membuka lampu hadapan dan
menyambung wayar utama untuk menghidupkan motosikal.
“Dengan penangkapan kesemua suspek, pihak polis telah berjaya
menyelesaikan enam kes kecurian motosikal sekitar Muar dalam tahun ini.
“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengesan saki baki yang terlibat dengan kumpulan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 37A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.
Waspada pilih taska elak tragedi
SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
4 Oktober 2012
Ibu bapa perlu
menghantar bayi ke taska yang mendapat kelulusan penuh JKM untuk elak
perkara tidak diingini. (Gambar sekadar hiasan)
SENAI – Masyarakat disaran mengenal pasti taska jagaan bayi yang
berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menghantar
anak masing-masing bagi mengelakkan berlaku kematian atau kemalangan.
Pengarah JKM Negeri, Khatijah Abdullah berkata, setakat ini 121 taska
seluruh Johor mendapat kelulusan penuh dari JKM serta tiga agensi
berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan
pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Manakala terdapat 144 lagi permohonan dari pengusaha taska yang masih
tertangguh kerana belum mendapat kelulusan dari agensi lain yang
berkaitan.
“Selain perlu mendapat kelulusan dari tiga agensi berkenaan, setiap
pengusaha yang berdaftar di bawah JKM juga disyaratkan mengikuti Kursus
Asas Asuhan Kanak-kanak selama 18 hari,” katanya.
Selain itu katanya, pihaknya juga sentiasa menjalankan pemantauan
berkala dari semasa ke semasa terhadap seluruh taska berdaftar bagi
memastikan setiap pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan JKM.
“Pengusaha taska berdaftar yang tidak mematuhi peraturan boleh
dikenakan tindakan pergantungan atau penarikan semula lesen mereka.
“Manakala taska yang beroperasi tanpa berdaftar juga boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan dan denda,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sehingga 30 September lalu, tiada kes kematian
bayi membabitkan taska di Johor dilaporkan sepanjang tahun ini dan hanya
terdapat satu kes kematian bayi di taska berdaftar di Pasir Gudang
akibat jangkitan paru-paru tahun lalu.
Khatijah berkata, pihaknya juga turut menitikberatkan bilangan pengasuh
yang bersesuaian mengikut bilangan bayi atau kanak-kanak yang dijaga
agar keselamatan mereka tidak terabai dan dapat mengurangkan risiko
kemalangan.
“Seorang pengasuh hanya dibenarkan menjaga lima kanak-kanak di bawah
tiga tahun dan setiap sepuluh kanak-kanak tiga tahun ke atas ditetapkan
untuk seorang pengasuh.
“Manakala kami turut menetapkan taska yang beroperasi di teres kediaman
tiga bilik hanya sesuai bagi jagaan 15 hingga 20 kanak-kanak pada
satu-satu masa,” katanya.
Samseng serang kontraktor dakwa lupuskan bukti kemalangan
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Kerja-kerja
mengecat jalan terus dilakukan di kawasan yang didakwa lokasi kemalangan
itu. (Gambar kecil) Cermin lori kontraktor dipecahkan sekumpulan
samseng tidak puas hati.
JOHOR BAHRU - Sekumpulan lelaki bertindak ganas memecahkan cermin
kenderaan milik kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja baik pulih
jalan di Jalan Permas 2, di sini, kelmarin.
Kumpulan terbabit bertindak sedemikian selepas berang apabila
diberitahu rakan mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya
dalam kejadian kemalangan di lokasi sama, awal pagi kelmarin.
Sebelum itu, keadaan seakan menjadi tidak terkawal apabila kumpulan
terbabit mendakwa rakan mereka, Anbalagan Jaya, 40-an, maut kerana
dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian jam
12.15 pagi.
Bagaimanapun kekecohan itu berjaya dileraikan Ketua Kampung Senibong, Mohd Said Budin bersama anggota dari Balai Polis Permas.
Namun suasana kembali tegang apabila kumpulan bermotosikal itu kembali
ke lokasi dan mengganggu kerja-kerja baik pulih yang dilakukan, sehingga
ada di antara daripada mereka sanggup memecahkan cermin lori kontraktor
itu.
Mangsa, Zulkifli Samian, 44, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10
pagi itu, dia bersama lima kontraktor lain yang sedang mengecat lintasan
zebra didatangi lebih sepuluh lelaki yang kemudiannya memarahi dan
memintanya memberhentikan semua kerja.
“Kami terkejut dengan tindakan kumpulan ini. Kami memaklumkan kepada
mereka bahawa kami ditugaskan oleh pihak berkuasa tempatan untuk baiki
jalan, namun mereka mengamuk kerana takut bahan bukti kemalangan akan
lupus.
“Oleh kerana tidak berpuas hati, mereka terus memecahkan cermin lori
kami, namun mujurlah tiada yang cedera,” katanya kepada Sinar Harian
ketika ditemui di tempat kejadian.
Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, motosikal
ditunggang oleh Anbalagan dari arah Bandar Permas Jaya hilang kawalan
sebelum terperosok ke bawah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki
dari arah bertentangan.
“Mangsa terlebih dahulu melanggar bonggol jalan sebelum dilanggar sebuah kereta.
“Pada mulanya, kereta berkenaan tidak menyedari dia telah melanggar
mangsa sehingga merasakan pergerakan kenderaannya tidak lancar seperti
ada objek yang tersekat,” katanya.
Penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Mohd Said berkata, keadaan kawasan berkenaan tidak mempunyai lampu
jalan selain permukaan jalan yang teruk merupakan antara faktor
kemalangan kerap berlaku.
“Garisan lintasan zebra juga tidak nampak dan kita juga kesal kerana
ketika kerja-kerja pembaikan rancak dijalankan di jalan ini, kontraktor
pula diserang,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Hilux jadi penyelamat, pengurup nyaris hilang wang
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
Kenderaan jenis
Toyota Hilux yang dinaiki mangsa dan pekerjanya terbalik selepas
dihimpit lori muatan lapan tan sebelum diserang perompak bersenjata api.
JOHOR BAHRU – Seorang pengurup wang dan tiga pekerjanya berhadapan
situasi mencemaskan apabila diserang sekumpulan perompak bersenjata api
ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah bank, kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang bersama
pekerjanya dikatakan membawa wang tunai RM700,000 menaiki kenderaan
pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan terbabit dalam kemalangan di
Jalan Storey berhampiran bangunan Pacific Mall, di sini, sebelum
diserang.
Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian, kenderaan mangsa dihimpit
sebuah lori muatan lapan tan sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke
premis perniagaan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbabas dan
terbalik.
Bagaimanapun, belum sempat mangsa dan pekerjanya cuba menyelamatkan
diri, mereka kemudiannya diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang
tiba-tiba datang menaiki dua kenderaan jenis Proton Wira dan melepaskan
tembakan ke arah Toyota Hilux yang mereka naiki.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah, Datuk Dr Hashim Haron berkata,
hasil siasatan mendapati, dua perompak dari kenderaan yang datang telah
melepaskan lapan tembakan ke arah kenderaan mangsa dengan tujuan
mendapatkan wang dibawa.
“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri selepas gagal melarikan
wang tunai RM700,000 itu apabila tembakan yang dilepaskan tidak dapat
menembusi kenderaan mangsa yang kalis peluru.
“Pihak polis turut menemui dua kenderaan jenis Proton Wira dinaiki
suspek yang ditinggalkan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian
pada hari yang sama,” katanya.
Hashim berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan
hasil pemeriksaan yang dijalankan, sepucuk pistol ditemui serta
beberapa topeng yang ditinggalkan dalam kereta suspek.
“Kesemua mangsa yang terbabit di dalam kes ini terselamat termasuk
pemandu kenderaan yang hanya mengalami luka ringan kesan dari kemalangan
yang berlaku.
“Kes ini disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan kesemua suspek sedang giat dikesan,” katanya.
Meninggal dalam dakapan ibu
Wartawan Sinar Harian
3 Oktober 2012
RUSSIAH
PONTIAN – Hajat seorang ibu mahu melihat anaknya menduduki peperiksaan
Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula pada minggu hadapan,
tidak kesampaian, apabila anaknya menghembuskan nafas terakhir, awal
pagi kelmarin.
Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal di pangkuan ibunya
Russiah Ibrahim, 44, kira-kira jam 6.05 pagi selepas mengambil wuduk
untuk menunaikan solat Subuh.
Menurut Russiah, anaknya mengadu mengalami pening kepala sebelum rebah secara tiba-tiba di pangkuannya.
“Saya terus memangku Afiff, sambil mengurut bahagian dahinya dengan
minyak, kira-kira 15 minit kemudian saya tengok bibir, kuku tangan dan
kakinya terus menjadi biru.
“Saya terus mengusap bahagian dadanya dan kelihatan Afiff seperti tidur
berdengkur dan selepas itu dia terus diam,” katanya yang menerima
kunjungan dari Pegawai Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng,
di rumahnya di Taman Nilam, di sini, pagi semalam.
Russiah bersama seorang anak lelakinya yang berusia 13 tahun ketika itu
terus meminta pertolongan dari jiran dan menelefon ambulans
memandangkan ketika itu suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, bekerja
shift malam.
Jelasnya, sebaik saja ambulans tiba dan pegawai perubatan membuat
pemeriksaan mereka telah mengesahkan Hafiff sudah meninggal dunia dan
memintanya menghubungi pihak polis untuk membuat laporan.
Russiah berkata, Afiff anak ketiga daripada lima beradik tidak
mempunyai sebarang penyakit dan merupakan seorang yang aktif dalam sukan
bola baling.
“Baru setahun Afiff berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Datuk Penggawa Barat dari Sekolah Menengah Tinggi Melaka, mengikut
ayahnya yang bekerja di Tanjung Bin, Pontian.
“Pada peperiksaan percubaan yang lepas Afiff mendapat keputusan 6A dan 2B,” katanya.
Bapa Afiff, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, berkata, dia diberitahu oleh
isterinya mengenai kejadian itu melalui panggilan telefon kira-kira jam
6.15 pagi.
“Apabila tiba di rumah, anak saya sudah tiada lagi dan saya reda di
atas pemergian anak kesayangan itu kerana ALLAH lebih menyayanginya,”
katanya.
Difahamkan beliau baru dua tahun berpindah ke Pontian kerana sebelum
ini bekerja di Melaka dan isteri serta anaknya pula baru setahun
mengikutnya berpindah.
Menurutnya, anaknya dikebumikan semalam kira-kira jam 10 malam di Tanah Perkuburan Islam Taman Nilam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman
Jamin, mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan sebagai mati
mengejut dan tiada unsur jenayah.