Monday, October 1, 2012

JODOH PERTEMUAN DITANGAN ALLAH SWT...KITA TAU YANG TERSURAT SAJA...YANG TERSIRAT DALAM ILMU ALLAH TAALA JUA

5 kenderaan dihempap tiang telefon
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
Kereta kelisa yang pecah cermin akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
Kereta kelisa yang pecah cermin akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
Deretan motosikal rosak akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
Deretan motosikal rosak akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
KOTA BHARU - Dua kereta dan tiga motosikal rosak teruk dihempap enam tiang telefon selepas sebuah lori treler muatan barang runcit merempuh kabel tiang terbabit, di Jalan Sri Cemerlang di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, dipercayai berlaku ketika sebuah lori yang melalui jalan terbabit  merempuh kabel telefon di kawasan berkenaan yang kendur dan akibat daripada perlanggaran itu menyebabkan tiang telefon terbabit jatuh menghempap beberapa kereta dan motosikal yang diparkir di kawasan itu.

Rempuhan itu juga menyebabkan, seorang mangsa, Wan Zakaria Wan Hamat, 39, turut mengalami kecederaan di bahagian leher, namun hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Saksi kejadian, Tengku Arif Azuan Long, 32, berkata sebelum rempuhan itu, dia berada di dalam pejabat syarikat telekomunikasi untuk menjelaskan bil telefon bimbitnya.

“Tidak sampai 10 minit berada di dalam bangunan itu, saya dengar bunyi dentuman kuat seperti sebuah pelanggaran dan ketika saya keluar dari pejabat itu, motosikal saya yang diparkir di luar bangunan serta beberapa motosikal lain serta kereta pecah di bahagian cermin sisi
dan remuk akibat dihempap tiang telefon," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian.
Kereta terjunam dalam parit
Azura Mohamad
1 Oktober 2012
RANTAU PANJANG – Seorang parah manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah Persona dan Myvi di Kilometer 6, Jalan Rantau Panjang Pasir Mas, malam kelmarin.

Mangsa yang parah, adalah penumpang bahagian hadapan kereta Proton Persona yang tersepit setelah kereta dinaikinya terjunam ke dalam parit.

Namun, atas kerjasama bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta orang awam, mangsa berjaya dikeluarkan.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Rantau Panjang, Lans Koperal Zulilawati Abdullah berkata, panggilan diterima daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira 10.23 malam.

Menurutnya, beliau bersama dua anggota JPAM ke tempat kejadian dan mendapati pemandu Persona, pemandu Myvi dan tiga penumpangnya dikeluarkan lebih awal oleh orang ramai.

“JPAM menghantar kesemua mangsa yang cedera ringan manakala mangsa yang tersepit dibawa ke Hospital Pasir Mas dengan ambulans,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang cedera ringan ialah Mohd Azlan Abd Wahab, 23; Mohd Rozmi Abdullah, 30; Shazrul Zamir Zulkifli, 28; Khaidir Abdullah, 39, dan Mohd Nurzul Hisham Ismail.

Kemalangan ini berlaku tidak jauh dari lokasi seorang wanita dirempuh sebuah lori ketika sedang berniaga buah, Ramadan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Psir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Suami sakit, isteri ambil tempahan masak sara keluarga
Wartawan Sinar Harian
30 September 2012
Suami sakit, isteri ambil tempahan masak sara keluarga
Kamarudin (kiri) ketika diziarahi Penyelaras Umno Dun Jelawat, Datuk Dr Ilias Husain di kediamannya.
BACHOK - Seorang isteri di sini, sanggup mengambil tempahan memasak untuk menyara keluarga selepas suaminya diserang angin ahmar sejak 2010.

Isteri, Natijah Dollah, 53, berkata, akibat keadaan suaminya itu, dia berusaha menjana pendapatan sendiri.

"Saya terima tempahan memasak pelbagai jenis makanan, termasuk kek demi menampung perbelanjaan kami selain kos perubatan suami," katanya.

Menurutnya, ketika diberitahu keadaan suaminya kira-kira dua tahun lalu, dia hairan kerana suaminya, Kamarudin Mohd Zin, 57, disahkan tidak mempunyai penyakit kronik yang boleh menyebabkan strok.

“Dia sihat, tidak mempunyai tekanan darah tinggi, diabetes atau sakit jantung, tetapi tetap diserang angin ahmar," katanya.

Natijah berkata, keadaan suaminya semakin pulih selepas berubat, malah mampu berjalan dan menguruskan diri.

"Namun, tiga bulan lalu dia terjatuh ketika berada di dapur, sejak itu keadaan suami saya makin teruk dan perlu penjagaan sepenuhnya.

"Bahunya juga dikatakan tercabut dan tidak dapat dipulihkan walaupun melalui kaedah perubatan tradisional," katanya.

Dia berkata demikian ketika lawatan Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelawat, Datuk Dr Ilias Husain di kediaman mereka.

Difahamkan, pasangan ini mempunyai empat anak. Bagaimanapun, hanya anak kedua mereka, Mohd Farid, 24, yang tinggal bersama.
Ibu kendong tiga anak redah asap
Nik Muhd Rafiq Abd Ghani
1 Oktober 2012
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
rumah terbakar
Ketua Cawangan Pas Alor Tembesu, Hassan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Umno Cawangan Alor Tembesu, Ramlee Abdul Rahman (dua,kiri) sepakat menyelesaikan masalah dihadapi Hasmah.
rumah terbakar
Anggota bomba dibantu orang awam bertungkus lumus memadamkan api yang turut memusnahkan sebahagian besar struktur kediaman banglo dua tingkat milik pasangan Mohd Nasir dan Norai
Dungun - Tindakan nekad seorang ibu mengendong tiga anaknya termasuk dua pasangan kembar meredah asap berjaya menyelamatkan diri daripada disambar api yang marak dengan cepat selepas rumah mereka terbakar, dalam satu tragedi kebakaran di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu dipercayai berlaku ketika Hasmah Kadmin, 48, bersama tiga anaknya, Putra Alis, 8, dan pasangan kembar, Putri Shalwani, 4, serta Putri Shalwana sedang berada di ruang tamu di rumah sewanya, dekat sini.

Seorang lagi anak lelakinya, Mohd Nor Hafiz Syekih,19, difahamkan berada di tempat kerjanya di Batu 48.

Menurut Hasmah yang bekerja sebagai pembantu kedai, ketika kejadian dia tidak bekerja dan sedang melihat anaknya melukis sebelum tiba-tiba melihat percikan api dari bahagian siling rumah.
Hasmah berkata, seketika kemudian, api tiba-tiba semakin besar lalu marak dengan cepat sehingga menyambar siling rumah menyebabkan dia bertindak memaut tiga anaknya meredah asap sebelum berlari keluar sambil menjerit meminta tolong jiran.

Katanya, biarpun menyedari bahaya yang bakal menimpa, namun demi keselamatan anaknya, dia sanggup meredah asap lalu berjaya keluar daripada kawasan rumah yang letaknya kira-kira 50 meter dari jalan berturap itu.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari keluar menyelamatkan diri sambil mengendong tiga anak saya.

“Masa itu, saya hanya ingat Tuhan yang boleh selamatkan anak-anak saya,” kata Hasmah yang masih hiba dengan tragedi berkenaan.

"Bagaimana nak ke mahkamah"

Hasmah berkata, lebih memeritkan apabila tugas menggalas tanggungjawab menyara keluarga kini terletak atas bahunya berikutan suaminya kini sedang menjalani tahanan di penjara atas kesalahannya mencederakan dan hampir membunuh seorang anaknya, dua minggu menjelang Aidilfitri lalu.

Menurutnya, keesokan harinya (hari ini) dia sepatutnya memberi keterangan di mahkamah Kuala Terengganu mengenai dakwaan ke atas suaminya itu.

“Saya hendak ke mahkamah macam mana? Semua dokumen termasuk kad pengenalan saya hangus.

“Pakaian pula tiada, duit apatah lagi,” kata Hasmah yang masih trauma dengan kejadian menimpa mereka tiga beranak itu.

Katanya, kehidupannya sekarang amat terhimpit kerana terpaksa memulakan hidup baru tanpa sebarang harta, apatah lagi dia terpaksa melaluinya seorang diri.
“Saya tak tahu hendak tinggal di mana, rumah sewa, pakaian kami semua hangus.

 “Ujian terhadap saya terlalu berat, saya tidak tahu bagaimana menghadapinya,” katanya.
Hasmah buat sementara waktu tinggal di rumah jiran sebelum pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Tembesu menguruskan tempat tinggalnya secara tetap.

Lari sebaik lihat api

“Sebaik terhidu bau asap, saya jenguk melalui tingkap lalu lihat api di rumah sebelah, saya terus menjerit mengarahkan anak-anak supaya menyelamatkan diri kerana ada kebakaran,” kata Noraini Zakaria, 46, mangsa yang terselamat dalam kebaka-ran melibatkan empat rumah di Alor Tembesu, dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian, Noraini bersama tiga anaknya, Mohd Arif Fitri Zakaria, 19, Nor Farah Nabihah, 14, Mohd Hazim, 5, seorang anak saudaranya, Mohd Mukhli Mahathir, 7, serta ibunya, Mek Ngah Mohd, 68, berada dalam rumah tersebut.
Noraini berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, dia sempat mendapatkan beg tangan yang mengandungi wang dan dokumen sebelum berlari keluar menyelamatkan diri bersama ahli keluarga termasuk ibunya, Mek Ngah yang uzur itu.

“Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Zuhur, api dari rumah sebelah marak dengan cepat menyebabkan kami semua panik.

“Nasib baik semua dapat menyelamatkan diri, jika tidak mungkin kami akan terperangkap dalam api dan asap tebal,” katanya.
Ketika kebakaran, suami Noraini, Mohd Nasir Zakaria, 49, difahamkan berada di Johor Bahru atas urusan kerja.

Menurut anak perempuan Noraini, Nor Farah Nabihah, ketika kebakaran itu bermula, dia sedang berehat di ruang tamu sebelum terdengar jeritan abangnya selepas melihat api melalui tingkap rumah.

“Masa itu saya baru pulang dari sekolah dan sedang berehat.
“Tiba-tiba abang saya terpandang api lalu menjerit agar kami keluar menyelamatkan diri,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun.


Sebuah rumah gagal diselamatkan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan jam 3.40 petang sebelum mengarahkan dua jentera bersama anggota penyelamat bergegas ke lokasi dan tiba beberapa minit kemudian.
Sebuah rumah gagal diselamatkan manakala tiga lagi yang lain termasuk sebuah banglo dua tingkat hampir 60 peratus musnah.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba Paka turut dipanggil untuk membantu operasi memadam api.
“Punca kejadian dan nilai keseluruhan kerugian dialami empat keluarga mangsa terlibat masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Turut membantu memadam api termasuk unit kebakaran Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli dan Pembantu Khas Pegawai Pembangunan Dun Sura, Hafizu Din turut hadir menziarahi mangsa terlibat.
Polis buru tiga beradik serang pembantu tadbir di Kuala Terengganu

1 Oktober 2012
KUALA TERENGGANU - Polis kini sedang giat memburu tiga beradik berusia 20an yang dipercayai menyerang dan memukul seorang Pembantu Tadbir berusia 50 tahun di Bukit Tunggal di sini, Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu mangsa yang bertugas di Jabatan Pendidikan Marang itu sedang berada di sebuah kedai makan sebelum diserang kumpulan remaja itu.
"Ekoran kejadian itu mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, perut serta badan akibat dipukul dengan objek tumpul.
"Siasatan awal mendapati kumpulan itu bertindak demikian kerana perselisihan faham dengan anak mangsa, namun kumpulan itu gagal mengesan anak mangsa berusia 20an itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata kejadian itu hanya disedari oleh anak saudara mangsa selepas dimaklumkan oleh orang ramai sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Manoharan berkata mangsa sudah kembali stabil setelah menjalani pembedahan dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.-Bernama
Staf pejabat pelajaran parah dibelasah
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
KUALA TERENGGANU- Dipercayai motif dendam, seorang kakitangan Pejabat Pelajaran daerah Marang cedera parah di kepala dan badan selepas dibelasah oleh sekumpulan lelaki dalam satu kejadian gaduh di sebuah kedai makan di Bukit Tunggal, di sini, malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam, mangsa, 50, parah dan tidak sedarkan diri akibat dipukul objek tumpul.

“Kejadian yang menimpa mangsa hanya disedari anak saudaranya yang berusia 20 tahun selepas dimaklumkan orang ramai sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dan perut dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dan kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, menurut Manoharan, mangsa yang sudah menjalani pembedahan dilaporkan stabil.

Katanya, berdasarkan kecederaan mangsa, pihaknya percaya berkemungkinan dia dipukul menggunakan kayu.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermotifkan dendam dan polis sudah mengenal pasti tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam keja-dian ini," katanya.
Bapa tiga anak dipenjara 4 tahun ragut beg
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
KUALA TERENGGANU- Seorang bapa kepada tiga anak dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, disini, semalam selepas mengaku bersalah meragut beg tangan seorang gadis, 18 September lalu.

Tertuduh, Muhamad Azmi Md Ghani, 40, dari Kampung Tok Ba, Tepoh, di sini, mengaku meragut beg tangan mangsa, Norsuzilamurni Mohamad, 21, di Kampung Paya Lima Amas kira-kira jam 10.30 malam.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Muhamad Nazri di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris, tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Muhamad Azmi merayu agar diringankan hukuman kerana mendakwa sudah insaf dan menyesal dengan perbuatannya selain mendakwa terpaksa menanggung tiga anak yang masih kecil selain seorang isteri dan ibu.

Sementara itu mangsa yang turut dipanggil mahkamah bagi menceritakan perasaannya kesan kejadian itu memberitahu dia masih dalam keadaan trauma terutama ketika pulang dari tempat kerja pada waktu malam.

Selain itu, mangsa turut menyuarakan perasaan amarah dan geram dengan perbuatan tertuduh terhadapnya sambil menjeling tajam ke arah tertuduh yang ketika itu berada di kandang pesalah.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan dua beranak iaitu mangsa bersama ibunya nekad mengejar tertuduh yang meragut beg tangannya yang diletakkan di dalam raga motosikal ditungganginya ketika dalam perjalanan pulang daripada membeli makanan.

Semasa kejadian, mangsa baru sahaja memberhentikan motosikalnya sebelum didatangi tertuduh yang secara pantas meragut beg tangan lalu melarikan diri.

Mangsa dan ibunya nekad mengejar tertuduh dengan motosikal sehingga ke Klinik Bukit Tunggal, di sini, sebelum meminta bantuan orang kampung dan tertuduh yang ketakutan terus bertindak mencampakkan beg mangsa di hadapan klinik itu.
RM300 sudah cukup, kami tidak perlu minta sedekah
Wartawan Sinar Harian
30 September 2012
RM300 sudah cukup, kami tidak perlu minta sedekah
Walaupun cacat penglihatan, Imbab (kanan) tetap dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri manakala Razali menanggung dua anaknya yang tinggal bersama isteri pertama.
MARANG - Razali Muda, 44, dan isterinya, Imbab Ahmad, 58, yang kedua-duanya cacat penglihatan dan tinggal di Taman Rahmat di sini, adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Mereka tidak mempunyai apa-apa kemahiran. Namun, walaupun cacat penglihatan, masih mampu menjalani kehidupan seperti insan lain dan tabah membesarkan dua anak mereka dengan bergantung sepenuhnya bantuan kerajaan itu.

Razali ketika ditemui Sinar Harian di Taman Rahmat di sini, berkata, mereka tinggal di situ sejak 15 tahun lalu. Dia mempunyai dua anak hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya tetapi bercerai sebelum berkahwin semula dengan Imbab dua tahun lalu.

“Saya hanya bergantung dengan wang bantuan JKM tetapi kesemua wang berjumlah RM300 itu saya berikan kepada bekas isteri untuk menyara anak kami. Kami berdua pula hidup dengan bantuan bulanan isteri kedua (Imbab) sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Razali berkata, walaupun hanya RM300 sebulan mereka tetap tabah dalam menjalani kehidupan walaupun mengakui berhadapan keperitan menempuh kehidupan harian kerana kecacatan mereka tetapi bersyukur kerana mereka tidak pernah berlapar.

“Walaupun hanya ada nasi dan ikan sebagai lauk dan kadang kala makan nasi dan sayur sahaja tetapi wang itu cukup untuk kami berdua. Kami juga tidak mahu bergantung kepada simpati orang ramai termasuk terpaksa meminta sedekah,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Imbab berkata, seperti isteri normal lain, tanggungjawabnya sebagai isteri juga tetap ditunaikan seperti menyediakan makan dan minum kepada suami, membasuh dan mengemas rumah walaupun dia cacat penglihatan.
Hati-hati taktik cuci emas
NORFARAHAH OTHMAN
1 Oktober 2012
BENTONG – Golongan wanita terutama di kawasan luar bandar dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tawaran mencuci emas dengan kadar yang murah berbanding ditawarkan di kedai emas.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, berdasarkan laporan yang diterima sebelum ini terdapat kes yang dilaporkan melibatkan penipuan mencuci emas melibatkan sindiket tertentu.

Menurutnya, kebiasaannya mereka yang menjalankan aktiviti menipu sebegini datang ke kawasan kampung atau tanah rancangan dan menyasarkan suri rumah sebagai mangsa.
“Tawaran yang biasa diberi semurah RM5 bagi setiap cucian emas.
“Aktiviti mencuci emas akan dilakukan di hadapan mangsa dengan menggunakan sejenis bahan kimia,” katanya pada sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dekat sini.
Abdul Aziz berkata, bahan kimia itu dipercayai digunakan untuk melarutkan barang kemas tanpa disedari mangsa.

Menurutnya, selepas itu sekiranya mangsa mensyaki berat barangan kemas yang dicuci menjadi bertambah ringan, mereka akan terus membayar sejumlah wang untuk menutup mulut.

“Justeru itu, masyarakat diminta berwaspada dengan modus operandi sebegini kerana akan menyebabkan mangsa kerugian dari segi berat barangan kemas dan susut nilai di pasaran.” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga emas yang dipercayai terlibat dalam kejadian tipu cuci emas yang dilaporkan pada 7 Disember 2011.
Menurutnya, lelaki itu kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 18 September lalu.

“Namun lelaki warganegara Cina berusia 61 tahun itu membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin tempatan dan kes disebut semula pada 18 Oktober depan,” katanya.
Nekad lari sekatan JPJ
ERMA YUSNIDA JUSOH
1 Oktober 2012
Salah seorang remaja yang gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya itu disoal penguat kuasa JPJ.
Salah seorang remaja yang gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya itu disoal penguat kuasa JPJ.
KUANTAN - Seorang remaja nekad lari dari sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia di Jalan Teluk Sisek, malam semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, remaja itu nekad meninggalkan motosikal jenis RXZ yang ditungganginya di tengah pembahagi jalan sebelum melarikan diri.

Namun, rakannya yang berumur 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha EX5 gagal berbuat demikian sebelum berjaya ditahan anggota bertugas.

Selepas pemeriksaan dilakukan, kedua-dua motosikal terbabit dikenal pasti tidak mempunyai cukai jalan yang sah selain kedua-dua penunggang tidak mempunyai lesen.

Bagaimana pun, remaja berusia 16 tahun itu yang turut menjalani ujian air kencing namun didapati negatif.
Remaja tersebut ketika ditemui berkata, dia bersama rakan menaiki dua motosikal berasingan dari Gambang untuk bertemu rakan di Tanjung Api.

“Saya terkejut dan takut  melihat ada sekatan jalan raya oleh polis  dan JPJ, tapi saya tidak sempat melarikan diri seperti rakan saya.
“Saya takut sebab tidak ada lesen dan cukai jalan, tolong jangan beritahu ayah saya,” demikian pengakuan remaja terbabit selepas ditahan pihak berkuasa dalam operasi itu.
Dalam operasi itu, 115 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Khas JPJ antara polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPJ, Mohd Johari Mat Nor berkata, pelbagai kesalahan dikesan dan saman dikeluarkan dalam operasi membabitkan 50 anggota lima agensi.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 26 motosikal disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh manakala sebanyak 10 notis amaran cermin gelap turut dikeluarkan.
“Selain itu, melalui saringan ujian air kencing yang dilakukan AADK, sebanyak lima sampel didapati positif daripada 71 sampel yang diperiksa.
“Operasi sebegini akan diadakan secara berterusan iaitu sebanyak dua kali sebulan dengan memberi tumpuan di laluan utama,” katanya.
Suspek pecah mesin ATM orang luar
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
SUNGAI BESAR - Polis tidak menolak kemungkinan kejadian pecah mesin juruwang automatik (ATM) di pintu masuk Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Ahad lalu didalangi penduduk sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, kemungkinan itu berdasarkan modus operandi digunakan suspek mempunyai persamaan kes berlaku di Kuala Selangor sebelum ini.
"Menerusi siasatan, polis yakin suspek yang melakukan jenayah itu adalah orang luar berdasarkan beberapa klu ditemui.
"Biarpun tidak mendapat maklumat lengkap daripada orang awam, kita akan terus menyiasat berdasarkan maklumat diperolehi di tempat kejadian," katanya ketika mengulas perkembangan terkini kes berkenaan, semalam.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan cubaan tiga suspek berpakaian serba hitam dan bertopeng merompak mesin ATM berkenaan, terpaksa berputih mata apabila usaha yang mereka lakukan lebih dua jam itu gagal.

Manakala pengawal bertugas tidak sampai 10 meter dari lokasi mesin ATM itu diikat kaki, tangan dan mulut sebelum ditemui rakan sekerjanya yang selesai melakukan rondaan dalam kawasan institusi itu kira-kira jam 6 pagi, hari kejadian.

Mesin ATM berkenaan disediakan PSIS untuk kemudahan penuntut di institusi tersebut memandangkan lokasinya jauh daripada kawasan pekan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh beberapa anggota digerakkan bagi menyiasat kes tersebut.

"Siasatan awal kita di lokasi kejadian sebelum ini, mengesyaki kegiatan rompakan itu dilakukan kumpulan penjenayah tidak profesional.

“Ini kerana semburan cat tidak menyeluruh dan penjenayah tersalah sembur pada alat penggera yang disangka CCTV,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai jenayah itu hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam menerusi 03-32242222 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Masri Md Hassan: 019-2050142.
Bajet 13 belanjawan talian hayat
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
ALOR SETAR - Bajet 2013 disifatkan sebagai belanjawan talian hayat Barisan Nasional (BN) untuk terus mengekalkan kuasa, selain bajet terdesak untuk meraih undi golongan muda, wanita dan kakitangan awam.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berkata, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, daripada keseluruhan peruntukan RM251.6 bilion, sejumlah RM201.9 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus manakala RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

“Peruntukan pembangunan dilihat semakin susut sejak beberapa tahun kebelakangan, ini trend yang membimbangkan. Ia hanya sekitar 18 peratus, berbanding sebelum ini 21 peratus,” katanya.

Menurutnya, ini menunjukkan perbezaan yang ketara di mana membuktikan habuan ditawarkan lebih tinggi kepada pelbagai golongan, terutama golongan muda.

“Tiada inisiatif diumumkan untuk kurangkan hutang negara yang meningkat 10 peratus, iaitu RM502 bilion daripada RM456 bilion tahun 2011, sedangkan iapenting untuk elak negara terus tanggung beban hutang yang tinggi,” katanya.

Mohd Nasir berkata, kerajaan juga harus menilai semula projek-projek besar antaranya pembangunan infrastruktur untuk mengelak negara berdepan defisit pada masa depan.

“Projek pembekalan di seluruh negeri perlu dipantau rapi kerana Audit Negara sudah membuat teguran sebelum ini. Ia perlu dipantau untuk elak rasuah, seterusnya meningkatkan kos projek,” katanya.

Mohd Nasir turut membidas kerajaan BN kerana menawarkan diskaun 20 peratus pinjaman PTPTN bagi penyelesaian sekaligus, memandangkan sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) dianggap tidak realistik apabila mengumumkan akan memansuhkan PTPTN.

“Ini membuktikan PTPTN tidak mendatangkan kerugian pada negara jika PR mahu laksana pemansuhannya, jika kerajaan boleh berikan diskaun, bermakna ia logik untuk diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman menyifatkan bajet 2013 sebagai gula-gula untuk rakyat.

“Banyak habuan diberikan kepada golongan sasaran pengundi, antaranya belia 21 tahun ke atas, pesara, tentera, wanita. Malah tidak dinyatakan garis panduan seperti belanjawan lalu, untuk menambah pendapatan dan bagaimana perbelanjaannya, ini membimbangkan kerana boleh menyebabkan hutang negara terus meningkat,” katanya.

Menurutnya, langkah untuk menambah pendapatan negara tidak banyak dibuat, selain pengumuman subsidi gula dikurangkan 20 sen sekilogram.

“Defisit disasar mahu dikurangkan kepada 4.0 peratus berbanding 4.5 peratus tahun ini, tetapi tidak dinyatakan kaedahnya. Jika bajet ini berterusan dalam jangka panjang, dikhuatiri boleh merencatkan ekonomi negara sebab tidak diperjelas sumber kewangan untuk habuan yang ditawarkan,” katanya.

Mohd Hayati berkata, kerajaan harus memberi penekanan untuk mengurangkan hutang negara yang disifatkan tinggi, kerana secara puratanya, setiap rakyat negara ini menanggung hutang RM17,000 .
Tiada sijil perakuan B, DVD haram dirampas
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
Tiada sijil perakuan B, DVD haram dirampas
Zaki (kiri) bersama anggota KDN Perak menunjukkan DVD tiada sijil perakuan B yang dirampas dari sebuah premis di Parit Buntar, kelmarin.
BAGAN SERAI - Sebanyak 4,427 cakera video digital (DVD) yang dijual secara terbuka di Parit Buntar dirampas pasukan penguat kuasa Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri kelmarin.

Ketua Cawangannya, Zaki Mohamed berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan di sebuah premis menjual DVD di kawasan Pusat Bandar Parit Buntar kira-kira jam 6.15 petang.

Menurutnya, ketika diperiksa, pihaknya mendapati premis itu menjual DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B dan daripada jumlah itu, sebahagiannya didapati video lucah.

“Pada operasi yang disertai lima anggota dan pegawai dari KDN Kedah itu, kami turut menahan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan yang dilakukan di dalam premisnya itu akhirnya menemui lima kotak berisi 4,427 DVD cetak rompak dengan anggaran nilai RM26,500 mengikut harga pasaran,” katanya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Zaki berkata, kesemua rampasan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan sijil Perakuan B.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun," katanya.
Guru besar sudah disiasat kes cabul murid
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
TELUK INTAN - Polis sedang menunggu 'lampu hijau' daripada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk pendakwaan terhadap seorang guru besar yang didakwa mencabul dua murid sekolahnya pada 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisoner Goh Kok Liang berkata, pihaknya sudah selesai menyediakan kertas siasatan berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek sebelum ini dan kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

“Kami masih belum mendapat tarikh pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Sebelum ini, seorang guru besar di salah sebuah sekolah rendah di bandar ini,  didakwa melakukan perbuatan mencabul dua murid sekolahnya.

Namun begitu, perbuatan tidak moral yang dilakukan terhadap dua murid perempuan berusia 11 tahun itu menjerat dirinya sendiri apabila satu laporan polis telah dibuat pada 24 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang, suspek berusia 52 tahun itu menumpangkan kedua-dua mangsa untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Bagaimanapun, suspek tidak menghantar terus kedua-dua muridnya pulang sebaliknya membawa mereka ke rumahnya di Pekan Baru, dekat sini.

Semasa di rumah suspek, kedua-dua mangsa telah dipeluk dan dicium oleh suspek sebelum mangsa menjerit dan mendesak supaya dihantar pulang ke rumah," katanya.

Menurut Kok Liang, satu laporan polis dibuat oleh penjaga murid tersebut pada 24 September lalu dan berdasarkan maklumat itu, pihaknya telah menahan guru besar terbabit untuk membantu siasatan.

Setelah selesai soal siasat dilakukan, suspek dilepaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama 10 tahun atau denda dan sebat.
Dikelar dalam kilang
Wartawan Sinar Harian
1 Oktober 2012
SUNGAI SIPUT – Seorang anggota Pasukan Keselamatan Sukarela menerima 12 jahitan di tapak tangan kanan selepas dikelar dengan pisau oleh seorang lelaki ketika melakukan rondaan di sebuah kilang terbiar, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Ng Hooi Fong, 40, cedera ketika bergelut dengan suspek berusia 41 tahun di kawasan perindustrian di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, mangsa bersama anggota lain menggeledah kilang itu selepas mencurigai terdapat sebuah kenderaan di hadapa kilang berkenaan.

Menurutnya, mereka berjaya memberkas seorang pencuri besi berusia 26 tahun dan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Mereka tidak menyangka terdapat seorang lagi rakan suspek di kilang berkenaan. Suspek berusia 41 tahun itu kemudiannya menuju ke arah kereta untuk melarikan diri.

“Tindakan itu disedari oleh mangsa dan berlaku pergelutan kecil sebelum supek mengeluarkan pisau dan mengelar tangan kanannya. Suspek memecut melarikan diri ke arah Ipoh,” katanya.

Azman berkata, suspek berjaya diberkas selepas anggota peronda mengejar kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 452 Kanun Keseksaan kerana menceroboh premis dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta positif dadah. Manakala, mangsa pula mendapat rawatan di Hospital Sungai Siput sebagai pesakit luar,” katanya.
Samun lima minit guna parang
Wartawan Sinar Harian
30 September 2012
Samun lima minit guna parang
Hong Meng menunjukkan rokok dan wang tunai yang dicuri di kedai terbabit.
IPOH - Sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang nekad melarikan rokok dan wang tunai lebih RM1,000 di sebuah kedai serbaneka 24 jam dalam satu kejadian samun bersenjata yang berlaku di Taman Desa Pakatan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, seorang wanita sarat mengandung yang sedang membeli barang di kedai berkenaan turut menjadi mangsa apabila kumpulan penjenayah terbabit melarikan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,000 daripadanya.

Keadaan bertambah panik apabila penjenayah terbabit turut mengugut untuk mencederakan wanita mengandung dan dua pekerja di kedai itu menggunakan parang jika mereka cuba menyelamatkan diri.
Kumpulan itu hanya mengambil masa lima minit untuk menyamun kedai berkenaan sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Viva.

Ketua Persatuan Kepolisian Masyarakat Negeri, Liew Hong Meng berkata, sewaktu kejadian dia bersama beberapa anggota lain sedang melakukan rondaan di sekitar Taman Desa Pakatan.

“Ketika itu kami sedang melakukan rondaan sebelum mendapat maklumat berhubung kejadian samun di kedai berkenaan.

“Sewaktu tiba di kedai tersebut kami sempat melihat kelibat kumpulan penjenayah itu yang sedang melarikan diri menaiki kereta. Berikutan itu, kami bertindak mengejar mereka sejauh satu kilometer.

“Anggota polis yang tiba turut cuba membantu bagaimanapun, kereta tersebut lesap ketika menghala ke arah Taman Pinji Mewah,” katanya ketika ditemui semalam.

Hong Meng berkata, mengikut ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 22 ke 30 tahun itu, mereka melihat kumpulan penjenayah tersebut membawa dua beg untuk memasukkan hasil samun yang diperoleh dari premis itu.

“Tiga daripada mereka memakai topi dan masuk ke dalam kedai dengan membawa parang manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

“Ketiga-tiga mangsa amat bernasib baik kerana tidak dicederakan,” katanya yang memberitahu premis itu pernah mengalami kejadian sama pada tahun lalu.

Menurutnya, mereka berharap polis dapat mengesan kumpulan penjenayah terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam kedai serbaneka itu.

Katanya, mangsa membuat laporan polis dibuat pada hari yang sama di Balai Polis Simpang Pulai dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kesemua suspek.
Bukan cinta biasa
Khalilah gusti
1 Oktober 2012
Pasangan bahagia.
Pasangan bahagia.
Nisa - Seli
Nisa bahagia di samping Seli.
Pasangan istimewa Seli dan Nisa bersama tiga cahaya mata mereka.
Pasangan istimewa Seli dan Nisa bersama tiga cahayamata mereka.
"Pabila mata
bertentang mata…
Hati di dalam
bagai nak gila…"

Lagu itu bergendang di telinga Seli. Hati berbisik menyatakan dia sudah dilamun cinta.

Bila mata bertemu... pandangan terpaku kaku. Seperti terkena renjatan elektrik. Seli sudah nekad. Perasaan cinta itu akan dizahirkan. Akan diluahkan kepada Nisa, gadis kerdil yang kini berada di hadapan mata.

"Inilah jodoh aku dunia akhirat," hati Seli berkata.  Sungguh! Itu nawaitu Seli pada pertama kali melihat Nisa.

Sebelum ini, Seli pernah dengar ada gadis kerdil di Kolej Yayasan Pelajaran Mara, Cheras tapi Seli tidak pernah lihat. Sebab itu bila bertemu Nisa, hatinya ada getar kerana panahan mata itu… Seli nekad mahu memperisterikan Nisa suatu hari nanti.

“Dahlah jom balik!” Sergahan Ijat buat Seli tersedar dari lamunan. Hari itu, di taman berdekatan kolej berkenaan, Seli hanya melihat Nisa dari jauh. Sempat juga Seli ambil nombor telefon Nisa daripada Ijat.

‘Nak ajak dating!’

Seli atau Rosli Hassan, 34, tidak lokek menceritakan detik bagaimana pertemuan tanpa suara yang hanya berisyaratkan mata itu akhirnya menyatukan dia dan isteri, Saidatunnisak Ishak, 30.

Wanita itu amat istimewa baginya.

Pasangan yang bernikah pada 21 Ogos 2004 itu dikurniakan tiga cahaya mata; Muhammad Khalaf, 12; Nur Hanifah Hanan, 4 dan Nur Hafni Hanan, 11 bulan.

Ketiga-tiga anak mereka dilahirkan dan membesar normal. Malah, anak sulung lebih tinggi enam sentimeter daripada ibunya!

Detik melamar

Menceritakan detik dia dilamar Seli, Nisa berkata, suaminya seorang yang lucu dan suka mengusik. Dia tidak nafikan sikap itu yang membuatkan hatinya terbuka untuk menerima Seli.

“Abang beri Nisa masa sehingga kiraan tiga untuk jawab. Masa tu Nisa cuma diam dan tak tahu nak kata apa walaupun dalam hati punyalah suka.

“Abang kira pun tak betul. Lepas dua, dua suku, dua setengah... Bila habis kiraan tiga, tiba-tiba abang kata ‘awak... saya kira lagi sekali ya!” Cerita Nisa diiringi ketawa.

Ertinya, Nisa tiada pilihan lain melainkan terima lamaran Seli. Selaku pelajar dan anak gadis berusia 19 tahun ketika itu, Nisa segera mendapatkan pandangan ibu sebelum membuat keputusan.

“Masa tu mak tak izin. Mak suruh belajar dulu. Nisa belajar jurusan Diploma Perakaunan. Lagipun Nisa rasa rendah diri. Nisa tahu kemampuan Nisa tapi kerana fizikal tidak sama dengan orang, tentu orang lain terlebih dahulu meletakkan kemampuan Nisa pada satu satu tahap,” katanya.

Tidak menafikan kadangkala hatinya bungkam, Nisa akui cepat-cepat memujuk diri agar bersifat kuat dan tidak mudah mengalah.

“Terus terang dulu Nisa tak nak jumpa dengan orang kerdil lain. Nisa tak mahu masuk persatuan sebab Nisa fikir nanti akan bertemu jodoh dalam kalangan sama. Nisa nekad nak cari lelaki tinggi. Tak sangka akhirnya niat termakbul,” katanya.

Berlaku peristiwa aneh selepas mereka selesai menunaikan solat Asar di Pasar Seni pada suatu hari, apabila sebuah keluarga Arab menghulurkan derma.

Nisa teringat sebelum itu seorang wanita Arab ada bertanyakan waktu kepadanya dan Nisa menjawab dalam bahasa Arab.Menganggap derma itu sebagai biasa, Nisa tidak menolak wang tunai yang dihulurkan mereka.

“Nisa peluk wanita itu sebagai tanda terima kasih. Masa peluk Nisa rasa macam peluk span. Bila Nisa pusing semula untuk bertanyakan hotel penginapan, mereka sudah hilang.

“Nisa dan abang kira jumlah keseluruhan derma yang mereka bagi. RM680. Kami betul-betul terkejut. Tak pernah terima sebanyak itu,” katanya.

Menurut Nisa, dia merujuk kepada ibunya mengenai perkara itu dan dinasihatkan untuk membeli sesuatu yang berkekalan. Mereka kemudian berkeputusan membeli cincin.

“Abang ada ambil dalam RM10 untuk beli bateri kamera. Anehnya bateri kamera itu hilang masa abang tunaikan solat Jumaat di masjid sedangkan kamera tidak hilang!” beritahu Nisa.

Berfizikal berbeza, namun pasangan romantik ini mempunyai hobi sama: mendaki gunung.

“Hobi ni turun kepada anak sulung kami sebab masa daki Gunung Stong, Kelantan; Gunung Irau, Pahang; Gunung Nuang, Hulu Langat dan Gunung Datok, Negeri Sembilan, kami bawa dia bersama. Masa tu umurnya setahun tiga bulan,” kata Seli.

Ditanya bagaimana pengalaman memanjat gunung dengan anak dan isteri, Seli sambil ketawa berkata; kadang-kadang saya yang kena panjat!

Ini kerana ada ketika dia akan mendukung Khalaf, dan ada ketika mendukung isterinya pula. Pengalaman itu merapatkan hubungan mereka sekeluarga sekali gus membuahkan bahagia yang tidak bertepi.

“Bulan depan kami nak daki Gunung Nuang lagi," katanya.

Berniaga malam

Berkerjaya sebagai eksekutif akaun, Nisa tidak sesekali menjadikan fizikalnya alasan untuk berehat daripada membantu suami.

“Malam abang berniaga char kuey tiaw. Selepas balik kerja Nisa akan terus bantu abang di gerai.

“Kalau nak rasa datanglah ke Taman Tun Perak, Cheras. Char kuey tiaw ni istimewa sebab kami guna sos buatan sendiri,” kata Nisa.

Seli menambah, kehadiran Nisa di gerainya juga sebenarnya satu tarikan istimewa.

“Bila orang lalu, automatik mereka singgah untuk beli,” usiknya diiringi jelingan manja oleh Nisa.

“Saya percaya kasih sayang ALLAH. Alhamdulillah sekarang anak-anak kami sihat dan pandai macam ummi mereka. Saya bangga memiliki Nisa. Dia isteri saya dunia akhirat,” kata Seli.

Semoga pasangan ‘bukan cinta biasa’ ini berkekalan ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment