‘Masak’ duit chef
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Siti Na’imah Mohamed dan Shahrul Redzuan Zulkifli
am@hmetro.com.my
SUBANG JAYA: Dia mengaku bersedia menjadi isteri, malah sanggup
tinggal bersama sebelum diijab kabul, namun itu semua sekadar helah
seorang wanita berusia 33 tahun bagi mengikis duit lelaki yang terpedaya
sebelum dia licik menghilangkan diri.
Menjalankan aktiviti penipuan itu sejak 10 tahun lalu, suspek
dipercayai sudah menipu sekurang-kurangnya lima lelaki yang setiap
seorang kerugian RM20,000 hingga RM80,000.
Ini bermakna
suspek mempunyai lebih daripada seorang teman lelaki serentak dan
semuanya dijanji untuk berkahwin sebelum menghilangkan diri selepas
sejumlah wang yang besar dimasukkan dalam akaunnya, konon untuk belanja
mengurus majlis perkahwinan.
Mangsa terbarunya ialah seorang chef sebuah hotel terkemuka di sini
dikenali sebagai Roslan, 39, yang kerugian hampir RM40,000 selepas
diperdaya wanita terbabit sebelum laporan dibuat di Balai Polis Subang
Jaya, jam 11 malam kelmarin.
Roslan berkata, dia mengenali
wanita itu pada 2002 selepas dihubungi melalui telefon sebelum memberi
alasan tersalah nombor telefon.
“Seminggu kemudian, dia
meminta bantuan mendakwa dilanda masalah kerana melarikan diri daripada
tempat kerjanya serta memerlukan perlindungan.
“Biarpun mengetahui saya tinggal di rumah bujang dengan dua rakan lain, dia bertegas untuk tinggal bersama saya,” katanya.
“Dia meminta wang daripada saya RM800 hingga RM1,000 sebulan yang
dikatakannya mahu digunakan untuk perbelanjaan dan simpanan bagi majlis
perkahwinan yang dirancang pada hujung tahun ini,” katanya.
Menurutnya, suspek turut membawanya pulang ke kampung di selatan tanah air bagi bertemu keluarganya.
Roslan berkata, disebabkan terlalu menyayangi suspek dia akur setiap permintaannya.
“Sebelum saya berpindah ke Brunei untuk bekerja di sana selama tiga
tahun, saya membuka akaun bank untuk dia menyimpan wang bagi majlis
perkahwinan kami.
“Memang ada rakan memberitahu dia
perempuan liar, tapi saya tak percaya. Saya tidak pasti sama ada disihir
atau tidak, tetapi setiap permintaannya saya patuhi seperti lembu
dicucuk hidung,” katanya.
Roslan berkata, apabila dia
kembali semula ke tanah air, dia mengajak suspek berkahwin, apatah lagi
wang simpanan mereka sudah mencukupi.
“Namun, bila diajak
berkahwin pada 2005, dia mula mengelak dengan memberikan pelbagai
alasan. Awal bulan ini, saya memintanya memulangkan semula wang simpanan
kami jika dia enggan berkahwin dan selepas itu dia menghilangkan diri,”
katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang
Jaya, Superintendan Tan Ah Chua ketika dihubungi mengesahkan menerima
laporan kejadian berkenaan.
‘Kaki saya hancur’
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: “Tolong, sakit, kaki saya hancur,” raung Lee Fong Chan,
58, selepas kedua-dua kakinya hancur dilenyek bas henti-henti di Jalan
Teratai, Taman Johor Jaya di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa yang juga penumpang bas
berkenaan, turun dari kenderaan itu yang berhenti berhampiran
persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak.
Bagaimanapun, pergerakan lambat Fong Chan dari Taman Johor Jaya, di
sini, tidak disedari pemandu yang menyangka warga emas itu sudah
benar-benar turun dari bas, lalu memandu kenderaan itu. Seorang saksi
yang dikenali sebagai Haikal, 18, berkata, ketika kejadian, wanita itu
sedang menuruni tangga bas apabila kenderaan berkenaan tiba-tiba
bergerak.
“Ia menyebabkan wanita berkenaan terjatuh dan kedua-dua kakinya
dilenyek tayar bas. Saya serta beberapa orang lain yang berada di situ
cuba membantu dengan menenangkannya sementara menunggu ambulans,”
katanya.
Menurut Haikal, keadaan menjadi kecoh apabila
beberapa individu bertengkar dengan pemandu bas serta cuba menyerang
lelaki berkenaan, tetapi keadaan reda apabila polis tiba di tempat
kejadian.
“Sebagai penumpang, kami berharap pemandu bas lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian seperti ini berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan
Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas terbabit tidak
berhenti di hentian bas yang disediakan dan pihaknya sedang menjalankan
siasatan lanjut.
“Pemandu itu turut mendakwa tidak
menyedari mangsa menuruni tangga bas. Berikutan kejadian itu, mangsa
dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan untuk rawatan lanjut,”
katanya.
Bakar rebut parkir
Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Balas dendam dikatakan menjadi punca sebuah kenderaan
pacuan empat roda milik seorang lelaki dibakar menggunakan molotov
koktel di Taman Desa, Setapak, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kenderaan Nissan Frontier milik lelaki berusia 40-an itu
diletakkan di tepi jalan berhampiran rumahnya sebelum kejadian.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berada di dalam rumahnya
terdengar bunyi letupan kuat sebelum keluar memeriksa kawasan rumahnya.
Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila mendapati api marak sedang membakar kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika
dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435
Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat
hendak menyebabkan kerosakan.
Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui tiga botol air mineral yang terbakar berisi cecair disyaki petrol.
“Setakat ini, tiada saksi melihat kejadian berkenaan dan belum ada
sebarang tangkapan dibuat manakala kenderaan mangsa terbakar di bahagian
depan,” katanya.
Katanya, polis masih menyiasat punca
kejadian, tetapi tidak menolak ia berlaku disebabkan berlaku salah faham
antara suspek dan mangsa yang berebut meletak kenderaan.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa ada bertengkar dengan dua
lelaki di Seksyen 2, Desa Setapak, yang tidak berpuas hati dengan
tindakan lelaki itu meletak kenderaan di kawasan kedai miliknya
sedangkan pada masa sama dia mahu menurunkan barang.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan perkara itu kerana tidak
berpuas hati dan berniat untuk membalas dendam terhadap mangsa,”
katanya.
Agenda Kristian Untuk Malaysia Terbongkar Di Jerusalem
Kembara Universiti Kehidupan Ke 10 ke al-Aqsa bermula dari 26 November hingga 3 Disember 2012.
Seperti biasa, hari pertama kami sampai ke Jerusalem, kami akan masuk
ke dalam hotel, berehat sebentar dan kami akan terus ke masjid al-Aqsa
untuk mendirikan solat Maghrib dan Isyak di al-Aqsa.
Pulang waktu Isyak, kami akan makan malam di kafe hotel.
Mahmood, pemandu pelancong yang biasa dengan saya mencuit bahu saya dan mengajak saya ke satu sudut.
“Muhammad, mari sini” katanya.
“Kenapa?” tanya saya agak kehairanan kenana wajahnya agak serius,
nada suaranya, agak perlahan seolah-olah ada rahsia yang ingin dibisikan
pada saya.
“Tinggal bersama kamu di hotel ini satu rombongan dari Malaysia” terang Mahmood.
“Oh ye ke!” saya agak gembira mendengar berita itu.
“Tapi mereka rombongan Kristian” kata Mahmood lagi.
“Ye ke, ah, di sinikan banyak tempat penting buat Kristian, tentu mereka nak ziarah” kata saya.
“Sepanjang perjalanan dari border Jordan-Israel, mereka memang
mengutuk Islam dan sangat tidak puas hati dengan orang Islam di
Malaysia, mereka memang anti Islam” Mahmood Menambah.
“Mereka tak tahu aku Islam, mereka ingat aku Kristian” Mahmood
semakin rancak berbual dengan saya di satu sudut di bahagian tangga.
“Memang bukan Islam di mana-mana pun tak suka Islam” kata saya tenang.
“Tak, mereka ini lain, mereka memang anti Islam di Malaysia” terang Mahmood bersungguh-sungguh.
Perbualan malam pertama itu habis dengan rasa tidak puas hati Mahmood terhadap rombongan Kristian dari Malaysia ini.
Selama berhari-hari kami di hotel yang sama, berselisih di dewan
makan, memang rombongan ini tidak menegur kami sedangkan mereka dari
Malaysia, duduk di Malaysia.
Tidak ada sepatah pun bahasa Melayu yang keluar dari mulut mereka sedangkan kami saling mengetahui, sama-sama dari Malaysia.
Ada juga kami ingin menegur siapa, tetapi tidak di jawab atau jawapan yang sangat dingin.
Saya tidak tahu, apakah tujuan mereka datang, sama ada untuk lawatan atau ada apa-apa persidangan Kristian yang mereka hadiri.
Saya tidak mengambil perhatian apa yang berlalu walaupun pada
tiap-tiap malam, Mahmood akan menceritakan pada saya mengenai ketidak
puasan hati mereka pada Islam di Malaysia.
Mahmood memarahi saya…
“Apa dah jadi pada kamu orang Islam di Malaysia hingga hilang sensitviti dalam mempertahankan hak kamu?”
Apa yang mampu saya jawab hanyalah…
“berpecah, dan ramai yang berpecah…”
Jawapan yang sangat tidak bersemangat dan seolah-oleh maksudnya, “apa nak jadi, jadilah…”
Ya, kurang rasa sensitiviti….
Allah ingin menunjukkan pada saya sesuatu terhadap jawapan di atas……
1 Disember 2012 jam 8.30 pagi, hari terakhir kami di Palestin…
Biasanya hari terakhir saya akan membawa jemaah semua ke Mount Of
Olive (Jabal Zaitun), Pemandangan al-Aqsa dari atas bukit ini terlalu
cantik terutama pada waktu pagi, ketika memancarnya cahaya matahari dari
arah timur, ia menyerlahkan lagi warna emas Dome Of Rock.
Bas yang kami naiki pada pagi ini adalah bas yang dinaiki oleh rombongan Kristian dari Malaysia sehari sebelumnya.
Seorang jemaah menghampiri saya dengan membawa beberapa helaian kertas yang terdapat di dalam bas ini.
Saya menatap kertas yang diberikan pada saya. Mata saya tertumpu pada
tulisannya dan ia menjadikan jantung saya berdegup kencang, mungkin
seperti degupan jantung Mahmood sejak seminggu lalu.
Tulisan itu berbunyi..
Decree For Malaysia
“We decree and declare that Malaysia will be a “Rainbow Nation” in
seding missonaries to bring the gospel to the surrounding nations as
well as be the gateway to open its doors to outside missionaries to
preach the gospel here..”
Ini agenda Kristian di Malaysia, inilah yang cuba Mahmood ceritakan pada saya sejak semingga lalu.
Ketika di Malaysia, saya selalu mendengar tentang agenda pendakyah
Kristian, dan setiap kali berita itu keluar saya cuba untuk tidak
mempercayainya kerana masih bersangka baik pada mereka.
Lebih-lebih lagi, ada sahaja golongan ahli politik yang memberikan komen popular yang menafikan fakta ini.
Kalau ada orang yang cuba bawa fakta ini, orang itu akan dicap sebagai penipu dan pembohong.
Hal ini menjadikan ramai orang Islam kita merasa berada di zon selesa kerana mempercayai ahli politik yang punyai kepentingan.
Bagi pendakyah pula, mereka memang berada di zon paling bagus kerana
usaha dan perancangan mereka di nafikan sendiri oleh orang Islam. Mereka
boleh buat apa sahaja kerana orang Islam sangat tidak sensitif, malahan
ada yang membela perbuatan mereka.
Ada beberapa perkara yang saya ingin tekankan:-
- Bagi pendakyah Kristian, jangan pandang rendah kemampuan pendakwah
Islam yang tidak berkepentingan di Malaysia. Kami para pendakwah dan
orang-orang yang ikhlas akan tetap mempertahankan kedaulatan Islam di
Malaysia sama ada menang atau kami mati di dalam usaha ini.
- Malaysia bukan milik orang politik yang ada kepentingan yang
menyokong tindakan kamu kerana harapkan sokongan, Malaysia di dokong
oleh ramai pejuang agama Islam, bangsa muslim dan tanah air umat Islam.
Kalau orang politik sibuk dengan perpecahan mereka, maka perjuangan itu
tetap dibahu oleh umat Islam dari bidang lain.
- Bagi umat Islam di Malaysia, ini bukan gimik popular, saya bukan
ahli politik yang inginkan popular, Biarkan ahli politik bergaduh sesama
mereka, yang boleh kita damaikan, kita damaikan atau sedarkan dengan
apa cara sekalipun. Perpecahan ini satu yang sangat merugikan. Orang
Kristian berbincang hingga ke luar negara merancang untuk
mengkristiankan Malaysia, kita hanya menafikan dan hilang sensitiviti.
- Bagi sahabat-sahabat dari Jabatan Agama Islam, anjurkanlah banyak
program-program untuk menjaga dan mengawal umat Islam di Malaysia,
bahagian zakat jangan berbangga dengan jumlah kutipan, tetapi usahakan
untuk kepentingan umat Islam melalui lapan asnaf seperti yang disebut
dalam al-Quran.
- Bagi semua penguatkuasa agama. Jangan percaya dengan zon selesa yang
dibisikkan dan penafian yang dicanangkan oleh orang berkepentingan.
Jalankan pemantauan dan penguatkuasaan menurut enakmen yang telah
diputuskan.
- Bagi orang kaya, tolong infak harta untuk menganjurkan program-program keagamaan, semoga Allah sentiasa bersama anda sekelian.
- Bagi sekelian yang membaca, kita umat Islam terlau beriya-iya ingin
menjaga hati orang bukan Islam, adakah orang bukan Islam menghormati dan
menjaga sensitiviti kita? Jalankanlah tugasan masing-masing di dalam
ruang lingkup kemampuan anda semua, semoga Allah membantu usaha kita.
Semoga pendedahan ini memberi inspirasi pada saya untuk terus membahu
Islam, yang ingin bersama mari, yang mahu mencebek dan tidak percaya
silakan, yang mahu berfikir, renungkan dan yang mahu mendokan, doakan
semua umat Islam di Malaysia agar terpelihara dari agenda global orang
kafir.
“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
6 Disember 2012 jam 1.15 pagi
Patah sayap bertongkat paruh, Imemperjuangkan dan mempertahakan Islam
akan tetap menjadi keutamaan di dalam hidupku, biar berputih tulang,
jangan berputih mata…
al-Fatihah untuk seluruh pejuang Islam terdahulu, tuan-tuan guru kita
terdahulu dah pahlawan Islam Nusantara yang telah mendahului kita di
dalam tugasan mereka. Hari ini tugasan itu diwariskan pada kita, semoga
kita dapat menyambungnya, amin…
Ustaz Amin
Remaja maut terpelanting
PUTRAJAYA: “Saya nampak kereta itu terhuyung-hayang, kemudian
terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan,” kata
seorang penunggang motosikal dikenali sebagai Mohd Rafi, 35, yang
melihat kemalangan maut membabitkan sebuah Proton Perdana dipandu
seorang remaja, Muhammad Azzeem Suhaimi Sulaiman, 17, di sini, semalam.
Menurutnya, kejadian di Persiaran Timur arah ke Dengkil itu berlaku
ketika hujan lebat kira-kira jam 5 petang dengan mangsa terpelanting
keluar dan mati di tempat kejadian manakala kereta dipandu terputus dua.
“Sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu berkenaan kereta itu
memotong motosikal yang saya tunggang dari belakang dengan laju. Saya
sendiri terperanjat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, malah mayat
mangsa sudah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat sebelum
diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengkebumian.
Mangsa cinta siber marah polis
KUALA LUMPUR: Seorang mangsa sindiket cinta Internet mengamuk
memarahi pegawai polis yang menjalankan siasatan sebaik diberitahu dia
menjadi mangsa penipuan ‘teman lelaki’ mayanya, malah turut memaksa
polis ke Scotland untuk menemui lelaki terbabit yang dikatakan belajar
di sebuah universiti.
Meskipun sudah diyakinkan dia ditipu lelaki Afrika melalui jerat
cinta Internet namun mangsa enggan mengakui perkara itu sehingga
bertindak emosional dan memarahi pegawai yang menjalankan soal siasat.
Difahamkan, mangsa berusia 25 tahun dan tidak bekerja itu mengenali
seorang lelaki Mat Salih melalui laman sosial facebook, Oktober lalu
sebelum lelaki terbabit berjanji untuk datang ke Malaysia bertemu
mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Asisten
Komisioner Kamarudin Md Din berkata, mangsa tidak percaya dia menjadi
mangsa jerat cinta Internet seperti yang dilaporkan akhbar dan sanggup
bertegang urat mempertahan lelaki terbabit.
Menurutnya,
mangsa kerugian RM5,000 selepas memasukkan wang berkenaan dalam akaun
bank yang diberikan selepas percaya hadiah istimewa yang dikirimkan
teman lelakinya ditahan kastam di lapangan terbang.
“Polis
tidak menolak suspek anggota sindiket penipuan cinta Internet yang
didalangi lelaki Afrika, tetapi menggunakan watak lelaki Mat Salih bagi
mengaburi mangsa.
“Berdasarkan siasatan, mangsa mengaku raut wajahnya yang kurang
menarik, tubuh badan yang sedikit gempal serta kurang bersosial antara
alasan dia mengejar cinta melalui laman sosial dan Internet,” katanya.
Katanya, suspek berjanji menghantar hadiah kepada mangsa kononnya
sebagai bukti kasih sayangnya dan memaklumkan dia datang ke Sabah dalam
masa terdekat.
Ruang tamu penuh darah
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
TELUK INTAN: Seorang isteri pilu dan tergamam apabila mendapati
suaminya mati dalam keadaan terbaring berlumuran darah di lantai ruang
tamu rumah mereka di Pangsa Damai, Jalan Pasir Pendamar, di sini, pagi
kelmarin.
Liow Yok Kwan, 34, menemui mayat suaminya, Cheong Soong Leong, 40, yang kaku dan lengkap berpakaian, kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurut Yok Kwan, sebelum kejadian, suaminya melawat dia dan anak
lelaki berusia setahun di rumah ibunya yang terletak kira-kira 10
kilometer dari rumahnya.
“Sebelum kejadian, saya pulang ke rumah ibu yang terletak tidak
jauh dari rumah kami selepas anak lelaki kami demam dan memerlukan
perhatian.
“Ketika suami datang melawat kami di rumah ibu,
dia langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun sudah
menganggur sejak tiga hari lalu.
“Cuma, dia ada meluahkan rasa tertekan dengan apa yang berlaku sebelum pulang ke rumah,” katanya.
Yok Kwan berkata, dia langsung tidak mengesyaki apa-apa akan
berlaku terhadap suami yang pernah bekerja sebagai jurukimpal di sebuah
kilang di daerah ini.
Menurutnya, sebaik pulang, dia
terkejut apabila menemui mayat suami dalam keadaan terbaring berlumuran
darah di ruang tamu rumahnya.
“Setahu saya, suami tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak
dan tidak mempunyai apa-apa masalah walaupun sudah beberapa hari
menganggur.
“Dia seorang yang lelaki penyayang dan kuat bekerja,” katanya sebak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh
Kok Liang, mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan polis menemui
beberapa kesan cedera di bahagian badan.
“Polis percaya
mangsa mati di rumahnya selepas mengalami kecederaan di perut, leher dan
pergelangan tangan kiri. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan
untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah membabitkan kejadian itu namun siasatan masih dijalankan.
Tak perasan peluru tembus pinggang
GEORGETOWN: “Saya tidak menyangka bunyi letupan kuat seperti mercun
itu adalah bunyi tembakan yang mengenai serta hampir meragut nyawa
saya,” kata seorang anggota sukarelawan polis, Jabatan Pertahanan Awam
Malaysia (JPAM) yang cedera ditembak ketika menjalankan tugas cegah
jenayah di depan Gereja St Ann, Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah
(SPT), di sini, malam kelmarin.
Konstabel Adi Luqman Zainal, 27, berkata, dalam kejadian kira-kira
jam 11.15 malam itu, dia hanya menyangka letupan itu bunyi mercun, namun
beberapa minit kemudian badannya berasa lemah dan sakit terutama di
bahagian belakang.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat darah mengalir keluar dari bahagian pinggang.
Adi Luqman berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya
termasuk dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan cegah
jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak kelibat dua lelaki
berusia antara 20 dan 30-an menunggang motosikal dalam keadaan
mencurigakan.
Katanya, ketika dia cuba menghampiri mereka,
kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal Honda
EX5 dan bertindak mengejar sehingga beberapa meter sebelum tiba
berhampiran gereja St Ann dia terdengar bunyi letupan.
“Selepas diperiksa dan melihatkan darah mengalir, saya rasa mungkin
ditembak yang mengenai pinggang kiri serta menembusi belakang badan.
“Tembakan itu menyebabkan badan saya lemah dan tidak bermaya sebelum meminta bantuan rakan.
“Saya kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan
awal, sebelum dihantar Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan
dan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,”
katanya.
Adi Luqman berkata demikian ketika menerima kunjungan Timbalan
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar di Wad C10, HPP, di
sini semalam. Turut hadir, bapa Adi Luqman, Zainal Abidin Che Rose.
Adi Luqman berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu
walaupun kecewa kerana gagal memberkas kedua-dua suspek.
“Walaupun kecewa, tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini akan saya
teruskan, malah kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus
membanteras jenayah,” katanya yang sudah berkhidmat selama empat tahun
sebagai sukarelawan polis.
Sementara itu, Abdul Rahim
berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas diketuai Timbalan Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nasir Salleh untuk
melakukan siasatan terhadap kejadian itu.
Menurutnya,
pihaknya berbangga di atas keberanian Adi Luqman dan kejadian itu kali
pertama berlaku ke atas anggota JPAM Pulau Pinang.
“Melalui
pasukan khas ini kita percaya dapat menyelesaikan kes ini secepat
mungkin dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengesan
identiti kedua-dua suspek.
“Siasatan dilakukan mengikut
Seksyen 307, Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan jika disabitkan
kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau
kedua-duanya,” katanya.
Budak maut akibat cedera dalam kepala
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun meninggal
dunia, kelmarin selepas bertarung nyawa lebih 24 jam akibat kecederaan
kepala ketika dalam jagaan pengasuhnya.
Difahamkan, ibu kanak-kanak itu yang berusia 30 tahun menghantar
mangsa, Nur Kailysah Jamaluddin ke Unit Pediatrik Hospital Kuala Lumpur
(HKL) selepas dimaklumkan anak bongsu daripada enam beradik itu
mengalami sesak nafas ketika berada di rumah pengasuhnya.
Sumber berkata, kejadian itu hanya diketahui ibu mangsa sebaik menerima
panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan mangsa sesak nafas.
“Terkejut dengan panggilan itu, wanita berkenaan bergegas pulang ke
rumahnya di Hiliran Ampang, Pudu dan terus menghantar anaknya ke HKL.
“Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu terkejut selepas dimaklumkan doktor
yang anaknya mengalami pendarahan dalam kepala selepas melakukan ujian
imbasan selain kesan lebam di dahi,” katanya.
Katanya, doktor memaklumkan mangsa berada dalam keadaan kritikal.
“Ibu mangsa cuba mendapatkan penjelasan, namun pengasuh itu mendakwa tidak mengetahui punca mangsa mengalami masalah itu.
“Berikutan itu, polis yang menerima laporan daripada doktor yang
memeriksa mangsa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca
kematian itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa dimasukkan ke HKL kira-kira jam 3 petang, 5
Disember lalu dan meninggal dunia kira-kira jam 4.55 petang kelmarin.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku
Chin Wah mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kanak-kanak
berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala.
Menurutnya, pengasuh kanak-kanak berkenaan sudah dirakamkan keterangan, namun tiada tangkapan dilakukan.
Bunuh, buang ke longkang
Oleh Riaty Abada
hmkk@hmetro.com.my
SANDAKAN: Seorang gadis berusia 19 tahun ditemui mati dalam keadaan
mengerikan dengan kesan tikaman pada badan dan mayatnya pula dihumban ke
dalam longkang berhampiran bengkel motosikal di kawasan perindustrian
Sedco, Batu Tiga, di sini, semalam.
Mayat mangsa, Arwidah Misran, 19, yang lengkap berpakaian, ditemui
orang ramai yang lalu di kawasan itu dalam keadaan mengiring di dalam
longkang dipenuhi air kumbahan dari kilang berhampiran pada jam 7 pagi.
Pemangku Ketua Polis Sandakan, Superintendan Fadzil Mohd Ali
berkata, mangsa yang juga warga Filipina dipercayai mati beberapa jam
sebelum ditemui akibat ditikam benda tajam di dada dan leher.
“Pemeriksaan menemui tujuh kesan tikaman pada tubuhnya selain wang
dan jam tangan mangsa tidak dilarikan penjenayah,” katanya.
Fadzil berkata, polis menolak kemungkinan mangsa disamun dan masih mencari motif sebenar kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDK)
untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan.
Sementara itu, pekerja bengkel berhampiran yang enggan dikenali
berusia 30 tahun berkata, ketika mahu membuka bengkel, dia melihat orang
ramai mengerumuni longkang berhampiran dan sebaik meninjau ke dalamnya,
dia melihat tubuh seorang perempuan dalam keadaan mengiring.
“Terdapat beberapa kesan tikaman di badan mangsa termasuk dada dan leher,” katanya.
Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja pada sebelah malam.
“Mangsa dijumpai dengan berbaju kemeja petak dan berseluar hitam,” katanya.
PASIR MAS: “Setiap kali hujan, kami terpaksa duduk berkumpul di tepi
pintu supaya mudah melarikan diri jika rumah runtuh,” kata suri rumah,
Hazlina Hassan, 34, yang tinggal di rumah usang di Kampung Kubang Nyiur,
Lemal, di sini sejak 17 tahun lalu akibat kemiskinan hidup.
Menurutnya, dia memberi tumpuan sepenuh masa menjaga enam anaknya di
rumah berusia antara lima bulan dan 14 tahun manakala suami, Abdul Wahab
Hamid, 39, bekerja sebagai buruh.
Katanya, dia tidak mampu
melelapkan mata ketika dilanda angin kencang dan hujan lebat kerana
sentiasa memikirkan keselamatan mereka sekeluarga.
Katanya, mereka juga terpaksa menahan kesejukan apabila terkena tempias hujan lebat.
“Tiada
perkara lain merunsingkan fikiran apabila setiap masa terdetik rasa
bimbang rumah ini mungkin runtuh kerana hampir keseluruhan rumah sudah
usang,” katanya.
Tinjauan Harian Metro ke rumah keluarga itu
semalam memang menyedihkan apabila struktur rumah senget hingga
ditongkat dengan kayu selain bumbung bocor.
Rumah itu hanya mempunyai sebuah bilik dan tidak dilengkapi bilik air
serta tandas menyebabkan mereka menumpang rumah jiran untuk menggunakan
kemudahan asas itu.
Hazlina berkata, rumah itu berusia lebih 30 tahun selepas ditinggalkan bapa saudara kepada suaminya.
Katanya, kediaman itu tidak dapat dibaiki lagi kerana reput dan hanya menunggu masa runtuh.
“Sebelum ini kami pernah menerima bantuan zink, namun terpaksa menolak kerana tidak dapat dipasang akibat kayu reput.
“Pendapatan suami tidak menentu untuk menyediakan rumah lebih selesa kepada kami sekeluarga,” katanya.
Hari nikah bongkar rahsia
IPOH: Seorang wanita berketurunan Cina, Norbai’ah Mohamed atau nama
asalnya, Yia Ah Heng, 46, yang dipelihara keluarga Melayu berhasrat
bertemu keluarga asalnya selepas 46 tahun terpisah.
Norbai’ah, ibu kepada tiga anak berkata, dia berharap dapat menatap
wajah kedua ibu bapa kandungnya sebelum kembali ke rahmatullah.
Menurutnya, sudah lama dia mencari keluarga kandungnya yang dipercayai
berasal dari Singapura, tetapi menemui jalan buntu kerana tidak
mempunyai maklumat atau mengenali mana-mana ahli keluarganya itu.
“Saya hanya mengetahui status anak angkat pada hari pernikahan dengan
suami kira-kira 20 tahun lalu. Ketika itu, saya terkejut dan tidak
terfikir saya anak angkat dalam keluarga memandangkan sijil kelahiran
saya sendiri adalah sijil kelahiran Malaysia.
“Begitupun, saya tidak terlalu mempersoalkan kedudukan itu
memandangkan kasih sayang keluarga angkat tidak pernah kurang sejak
kecil hingga dewasa,” katanya.
Norbai’ah berkata, keluarga
asal menyerahkannya kepada keluarga angkatnya ketika dia berusia lima
hari di Singapura, malah kedua-dua ibu dan bapa angkatnya, Allahyarham
Muhammad Sirin dan Allahyarhamah Asmah Abd Manan sudah meninggal dunia
lapan tahun lalu.
“Saya menghadapi masalah bertemu atau
mengetahui siapa keluarga kandung saya kerana ibu bapa angkat saya
(Muhammad Sirin dan Asmah Abd Manan) enggan mendedahkan perkara sebenar
dan mendakwa saya anak kandung sehingga mereka meninggal dunia.
“Namun, saya semakin sangsi diri saya adalah anak angkat kerana
menurut sijil lahir yang didaftarkan di Bukit Panjang, Singapura saya
seorang berbangsa Cina,” katanya.
Dia yang sebelum ini
menetap di Johor Bahru sebelum berpindah ke rumah suaminya di sini dan
kini menjalankan perniagaan produk kecantikan secara kecil-kecilan.
Katanya, abang sulungnya juga anak angkat, manakala kakak dan adik lelakinya adalah anak sebenar keluarga angkatnya.
“Saya sudah lama berhasrat untuk mencari keluarga asal, tetapi atas
faktor sering berpindah-randah sebelum ini dan arwah ayah angkat yang
selalu sakit membuatkan saya terpaksa menangguhkan keinginan itu,”
katanya pada sidang media di Biro Aduan MCA, di sini, semalam.
Beberapa tahun lalu, dia pernah pergi ke selatan tanah air di Johor
Bahru serta Singapura untuk menjejaki keluarga kandungnya, tetapi gagal
kerana tiada penduduk mengenali mereka memandangkan maklumat yang
terlalu terhad.
“Saya tidak memiliki sebarang gambar atau
pengenalan diri mengenai keluarga kandungya melainkan sekeping surat
daftar kelahiran yang disimpannya, namun tiada alamat lengkap.
“Jika mempunyai kesempatan dan izin Allah, saya ingin bertemu dengan keluarga kandung saya,” katanya.
Kopi tahi gajah jadi idaman
BANGKOK: Di dalam hutan di kawasan pergunungan Chiang Rai, utara
Thailand, sekumpulan orang sanggup menghabiskan masa dan tenaga
mendapatkan kopi paling mahal di dunia - dihasilkan daripada tahi gajah.
Kopi yang mempunyai aroma unik itu dihasilkan melalui proses
penghadaman biji kopi dan tindak balas di dalam tubuh haiwan berkenaan
dipercayai menghasilkan bau istimewa.
Pemungut tahi gajah bergegas mengumpul bahan kumuhan gajah itu sebaik saja ia keluar dari tubuh haiwan berkenaan.
Walaupun sebilangan penggemar kopi mungkin menghadapi masalah loya,
ia tidak menghalang produk berkenaan dijual pada harga begitu mahal di
pasaran di seluruh dunia. Ketika ini, sekilogram kopi tahi gajah itu
dijual pada harga kira-kira AS$1,100 (RM3,360).
Justeru, hanya
penggemar tegar yang mampu menghirup kopi unik berkenaan. Penjualan
kopi itu dilancarkan di hotel mewah terpilih di beberapa lokasi di
seluruh dunia beberapa bulan lalu, bermula di utara Thailand, diikuti
Maldives dan kini Abu Dhabi.
Secawan kopi tahi gajah itu
dijual dengan harga AS$50 (RM153) Pencipta kopi itu, Blake Dinkin,
berkata kajian saintifik mendorongnya menghasilkan kopi menggunakan
sistem perkumuhan semula jadi gajah.
Dinkin - menghabiskan lebih RM900,000 untuk mengembangkan idea
berkenaan - berkata, apabila gajah memakan buah kopi, asid dalam perut
haiwan itu memecahkan protein yang menyebabkan rasa pahit dalam buah
berkenaan “Akhirnya, anda menikmati minuman yang sangat lembut dan tanpa
rasa pahit seperti kopi biasa,” katanya. Kopi itu dianggap sama
seperti satu lagi kopi mahal ketika ini, di kenali sebagai Kopi Luwak,
yang terhasil daripada proses perkumuhan musang. Masa antara 15 hingga
30 jam diperlukan untuk seekor gajah menghadam kopi berkenaan sebelum ia
dikeluarkan secara semula jadi. Kata lelaki berasal dari Kanada itu,
gajah juga diberi makan pisang, tebu dan pelbagai bahan lain. “Ia
memberikan rasa tambahan yang menarik,” katanya. - DM
Menteri Sukan letak jawatan
JAKARTA: Menteri Sukan Indonesia meletak jawatan semalam selepas
dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah melibatkan beratus juta dolar
dalam satu skandal terbaru dalam parti pemerintah menjelang pilihan raya
2014.
Andi Mallarangeng adalah menteri pertama meletak jawatan atas dakwaan
kes rasuah sejak Suruhanjaya Menentang Rasuah (KPK) mula beroperasi
pada 2003 untuk membanteras rasuah yang berleluasa.
Perletakan jawatan Andi, yang sebelum ini jurucakap presiden, memberi
malu kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang menang besar untuk
penggal kedua pada 2009 atas platform menentang rasuah.
Indonesia menunjukkan peningkatan dalam memerangi rasuah sejak
sedekad lalu tetapi nampaknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia
semakin berkurangan.
Minggu ini, ia jatuh di kedudukan ke-118
daripada 176 negara yang dalam indeks tahunan Transparency
International yang menilai keadaan rasuah negara di dunia.
Kelmarin, KPK mengumumkan Andi adalah suspek dalam kes pembinaan pusat sukan bernilai 2.5 trilion rupiah (RM797 juta).
“Sehubungan dengan pengumuman KPK itu... saya menemui Presiden dan
memberikan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Sukan, berkuatkuasa
hari ini,” kata Andi yang kemudian menegaskan dia tidak bersalah.
Katanya, dia tidak mahu menjadi beban kepada Presiden dan Kabinet.
Kerajaan perlu meneruskan tugas mereka dan perkara perundangan peribadi
itu adalah tanggungjawabnya.
Susilo menerima perletakan jawatan Andi dan berkata dia menjadi
“contoh baik di mana seseorang yang menghadapi masalah perundangan itu
bimbang ia akan memberi kesan kepada tugasnya sebagai Menteri Sukan dan
hal ehwal Kabinet.” KPK turut menamakan beberapa anggota parti Presiden
sebagai suspek dalam beberapa kes sebelum ini. - Jakarta Post
Pelayan kapal mewah nyaris maut dibaham buaya
PERTH: Percutian seorang pelayan kapal mewah di Australia Barat
baru-baru ini ternyata meninggalkan ‘kesan mendalam’ kepadanya apabila
dia diserang buaya.
Bagi Tara Hawkes, 23, dia sangat bersyukur kerana terselamat walaupun
serangan reptilia ganas sepanjang tiga meter itu menyebabkan dia
mengalami parut di pahanya.
Kata Tara, dia sedang mengayuh sampan di kolam air tawar di Dugong Bay ketika serangan berlaku.
“Tanpa disedari, buaya itu membaham paha kiri dan menarik saya ke dalam air.
“Saya tak mampu berbuat apa-apa dan buaya itu memperlakukan saya seperti anak patung mainan,” katanya.
Menyangka
nyawanya akan melayang, Tara menjerit meminta tolong sekuat hati tetapi
rakannya tidak berbuat apa-apa pada peringkat awal.
Sementara itu, rakan Tara, Al Sartori, berkata dia menyangka kejadian itu adalah antara helah Tara untuk mengenakannya.
“Hanya selepas ternampak air bertukar merah, barulah saya sedar Tara
dalam bahaya,” katanya. Bersama seorang lelaki lain, Sartori berenang
ke arah Tara.
Kata Sartori, dia terpaksa bergelut dengan buaya berkenaan sebelum kaki Tara dilepaskan dan wanita itu ditarik ke tebing.
Disebabkan hilang terlalu banyak darah, Tara terpaksa diterbangkan dengan helikopter ke hospital berhampiran.
Doktor menghabiskan masa selama empat jam untuk menyelamatkan kaki Tara. - TS
2 sami khayal dadah, tonton filem porno kena tahan
AYUTTHAYA: Dua sami ditahan polis atas kesalahan berkelakuan tidak
senonoh, memiliki pil methamphetamin (syabu), minuman keras, bahan porno
dan pistol.
Polis berkata, Phra Suksawad Sutiyano 31, dan Phra Ponsit Prapatoh
42, ditangkap ketika sedang minum bir dan menonton filem porno di Wat
Phra Ngam.
Anggota polis juga menemui pil syabu dan pistol dengan peluru di tempat tinggal sami itu.
Selepas disoal siasat, sami itu mengaku mengambil pil syabu sebelum
berpesta. Mereka berkata, beberapa remaja tempatan menjual dadah itu
kepada mereka dengan harga 150 baht (RM15) sebutir.
Polis
menyerbu tempat tinggal Suksawad selepas menerima aduan daripada orang
kampung dan Pejabat Lembaga Pengawalan Dadah (ONCB) mengenai kelakuan
buruk sami itu.- Bangkok Post