Ugut ayah dengan cota
FARAH SHAZWANI ALI
15 Mac 2012
KUALA TERENGGANU- Entah apa nak jadi, seorang anak sanggup mengamuk dan
mengugut untuk membunuh ayahnya sendiri dalam satu kejadian pada 6 Mac
lalu di Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang.
Bagaimanapun, tindakannya itu akhirnya terbalas apabila didenda RM2,000
oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh, Mohd Shaheri Mamat, 27, yang bekerja
sebagai mekanik itu bersama seorang lagi rakannya telah ke rumah
ayahnya, Mamat Mohd Nor, 52, di Kampung Kubang Ikan, di sini pada 6 Mac
lalu kira-kira jam 1.30 pagi.
Bagaimanapun, tertuduh yang dalam keadaan marah telah membuat bising di luar rumah ayahnya, sambil membawa cota.
Tertuduh kemudiannya menyuruh ayahnya keluar, namun dia enggan kerana
takut diapa-apakan. Berang dengan sikap ayahnya itu, dia dan rakannya
memukul pintu cermin rumah dengan cota dan mengugut ingin membunuh
ayahnya.
Ayahnya kemudian memberanikan diri lalu mengambil parang dan bertindak
mengejarnya. Terkejut dengan reaksi ayahnya, kedua-dua lelaki tersebut
melarikan diri.
Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahannya pada 8 Mac lalu, kira-kira
jam 1.10 pagi di sebuah bengkel di Wakaf Dua, Bukit Payong.
Dia dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan
terhadapnya, di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan
dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara
selama dua bulan jika gagal membayarnya. Difahamkan, tertuduh membayar
denda tersebut dengan bantuan rakannya.
BN: Terengganu bina 63 masjid baru sejak 2004
14 Mac 2012
DUNGUN - Sebanyak 63 buah masjid baru telah dibina di Terengganu
melibatkan peruntukan kira-kira RM315 juta sejak kerajaan Barisan
Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan negeri itu lapan tahun lepas.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Rozali
Saleh berkata, secara keseluruhannya kini terdapat sebanyak 492 buah
masjid di seluruh negeri ini termasuk yang telah dinaik taraf.
"Setiap sebuah masjid berkenaan dianggarkan bernilai antara RM4 hingga
RM8 juta bergantung kepada kecil atau besar sesebuah masjid berkenaan.
"Malah tahun ini kerajaan negeri akan membina tiga buah lagi masjid
baru iaitu Masjid Paya Pelandang di sini, dan dua lagi di Kuala
Terengganu iaitu Masjid Darat di Batu Rakit dan Masjid Kampung Kebur Air
di Manir," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada Sultan
Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena lawatan baginda ke Pejabat
Agama Daerah Dungun di sini hari ini. Baginda diiringi Menteri Besar
Terengganu Datuk Seri Ahmad Said. - Bernama
Musnah masa depan sendiri
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
KAMPUNG RAJA - Seorang penjawat awam wanita di sebuah jabatan kerajaan
di Kuala Terengganu bakal memusnahkan masa depan kerjayanya sendiri
apabila ditangkap kerana memiliki dan menagih dadah.
Suspek ditahan bersama tiga lelaki dalam serbuan oleh sepasukan pegawai
dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dalam sebuah
rumah di Kampung Gong Kepas.
Dia bukan sahaja berdepan tindakan undang-undang malah mungkin
dikenakan tindakan tatatertib termasuk kemungkinan kehilangan pekerjaan
tetapnya sekiranya disabit bersalah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata,
suspek wanita berumur 35 tahun itu berstatus janda dan mempunyai dua
anak berumur 11 dan 13 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, wanita yang pernah bertugas di
daerah ini pulang bercuti di rumahnya di sini terperanjat apabila sebaik
membuka pintu utama rumah mendapati sepasukan polis sudah berada di
situ.
“Pemeriksaan dalam bilik tidur wanita itu menemui sebiji pil dipercayai
methamphetamine (pil kuda) manakala pemeriksaan lanjut di sebuah bilik
tidur lagi mendapati tiga lelaki sedang lena tidur termasuk abang wanita
berkenaan,” katanya.
Kamaruddin berkata, hasil pemeriksaan dalam bilik tersebut polis
menemui empat botol cerah mengandungi serbuk putih dipercayai dadah
jenis heroin dan 139 biji pil kuda dalam dua plastik berasingan.
Menurutnya, abang wanita itu berumur 36 tahun manakala dua lagi rakannya 37 dan 39 tahun adalah penduduk tempatan.
“Kesemua dadah yang dirampas bernilai lebih kurang RM5,500 dan
ketiga–tiga lelaki yang tidak mempunyai kerja tetap itu dipercayai
pengedar dadah di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek mendapati kesemua mereka positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut.
Suspek wanita tersebut dikatakan pulang ke rumahnya di sini bagi
membuat persiapan untuk pergi kursus yang dikendalikan jabatannya dan
dia sepatutnya menunjukkan contoh yang baik khususnya kepada anak
buahnya.
Kesemua suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik dan jenayah termasuk pernah meringkuk dalam penjara.
Wanita itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 12(1) Akta Dadah
Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000
atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Abang wanita berkenaan dan dua suspek lain pula disiasat di bawah
Syeksen 39B syeksen sama yang sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman
mandatori gantung sampai mati dan turut disiasat di bawah Syeksen 39A(1)
yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta tiga
sebatan.
Tragedi 13 Mac berulang
SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
15 Mac 2012
KUANTAN – Selepas 10 tahun berlalu, tanggal yang sama 13 Mac, rumah
pekerja didiami Mohammad Firdaus Mokhtar, 26, sekali lagi terbakar.
Mohammad Firdaus yang bekerja di kilang papan Seng Peng di Jalan 19 1/4
Gambang di sini berkata, kejadian tersebut adalah yang kedua.
Menurutnya, seramai 15 pekerja kilang papan ini terselamat apabila
kesemua mereka masih lagi bekerja di kilang sebelum berlari pulang ke
rumah masing-masing setelah dimaklumkan rumah kongsi mereka terbakar.
Lapan deret rumah kongsi di sini hangus terbakar pada 4 petang kelmarin
dan kesemua pekerja tidak sempat menyelamatkan barang mereka menjadikan
mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.
“Biasanya kami pulang pada 5.30 petang dan meninggalkan barang-barang
penting di rumah sahaja ketika bekerja. Tidak sangka pula, habis semua
barang kami hangus terbakar termasuklah dompet dan barang berharga yang
lain.
“Kejadian kebakaran kali ini benar-benar membuatkan saya trauma kerana
kali kedua saya mengalami kejadian seumpama ini. Ketika kebakaran masih
lagi terbayang api sepuluh tahun lalu membakar rumah kongsi kami yang
terletak di lokasi sama,” katanya.
Hasil titik peluh turut terbakar
Bagi Suhaimee Harun, 29 yang bekerja di kilang ini sejak lima tahun
lalu sedih apabila barang-barang kesayangan dibelinya daripada hasil
titik peluh bekerja turut terbakar sama.
“Orang lain mungkin tidak kisah barang mereka terbakar, tetapi saya
sedih kerana saya kumpul duit dalam masa yang lama untuk membeli barang
tersebut, kini hanya tinggal arang sahaja,” katanya yang sedih apabila
jam tangan bernilai RM3,000 miliknya terbakar.
Bagi Shahrul Amri Amin, 24, yang baru bekerja di kilang ini tiga bulan
lalu terkilan apabila gambar arwah tunangnya turut terbakar.
“Barang-barang lain seperti televisyen yang baru saya beli kelmarin
turut terbakar, mesin basuh dan barang yang paling saya sayang ialah
gambar arwah tunang yang saya bawa selalu terbakar. Itu sahajalah
kenangan yang saya ada sejak dia meninggal empat tahun lalu,” katanya
sedih.
Selain itu, Shahrul Amri juga tinggal sehelai sepinggang apabila duit dan pakaiannya tidak sempat diselamatkan.
Menurutnya, semasa kejadian, dia hanya memakai baju tanpa lengan dan
sejurus selepas dimaklumkan rumah kongsi yang didudukinya terbakar
lantas dia berlari tanpa menyelamatkan barangnya.
“Apa yang saya pakai hari ini adalah harta yang tinggal, semuanya
seperti sudah tidak bermakna pada saya. Jika tidak kuat iman dan sabar,
saya tak tahu apa yang akan terjadi pada saya,” katanya yang berasal
dari Johor.
Bantuan terus disalurkan
Ketua Kampung Baru Gambang, Yong Fook Siong berkata, beliau akan
berusaha mendapatkan bantuan bagi pekerja yang berstatus warganegara di
sini untuk mendapatkan bantuan susulan.
“Bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan
sumbangan khas Adun Lepar bagi meringankan beban mangsa kebakaran ini.
“Selain itu, saya berharap agar bantuan susulan dapat diberikan kepada
mangsa ini berikutan masing-masing hanya tinggal sehelai sepinggang,”
katanya.
Sementara itu, bagi wakil majikan kilang papan Seng Peng, Low Chee Kang
berkata, pihaknya akan membantu mangsa yang terlibat melalui dana khas
yang diperuntukkan.
Selain itu, rumah kongsi ini juga dikatakan akan dibina semula untuk kemudahan pekerja di kilang ini.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar, Mohd Sohaimi Jusoh
berkata, beliau harap agar mangsa yang terlibat ini bersabar dengan
dugaan ini dan mahu mereka terus berfikiran positif untuk masa depan
yang lebih cerah.
“Saya harap kesemua mangsa yang terlibat sama ada warganegara Malaysia
dan yang lain-lain bersabar kerana ini adalah dugaan untuk mereka yang
cekal.
“Mujur tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan saya harap agar mereka
dapat membina kehidupan baru dengan lebih baik lagi pada masa akan
datang,” katanya.
Penyamun serbu kedai
NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
15 Mac 2012
KUANTAN - Dua pekerja sebuah premis produk jualan langsung tergamam
apabila seorang lelaki tidak dikenali menyerbu masuk ke dalam kedai
sebelum melarikan kira-kira RM500 dalam satu kejadian samun di Jalan
Teluk Sisek
Suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an itu cuba menakutkan pasangan
suami isteri tersebut dengan mengacah senjata seakan pistol daripada
celah baju sebelum mengarahkan mereka menyerahkan wang tunai dalam mesin
di kaunter bayaran.
Pasangan suami isteri berusia lingkungan 50-an yang enggan nama
disiarkan berkata, seorang daripada suspek masuk ke dalam kedai,
manakala seorang lagi menunggu di luar.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar 10.45 pagi dan ketika itu, hanya kami berdua dalam kedai.
“Tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali memakai baju warna
gelap dan bertopi meluru ke arah kaunter sambil cuba mengeluarkan objek
berbunyi seakan pistol,” kata seorang daripada mereka ketika ditemui di
tempat kejadian, semalam.
Mangsa berkata, suspek mengarahkan dia menyerahkan wang tunai sebelum
merampas kira-kira RM500 dari kaunter bayaran sebelum melarikan diri.
“Suspek sempat meminta kupon tebus hadiah, namun tidak sempat berbuat demikian kerana kotaknya sukar dibuka,” katanya.
Wanita itu berkata, kejadian berlaku tidak sampai lima minit sebelum kedua-dua suspek bertindak melarikan diri.
“Kami percaya mereka melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang diletakkan di belakang bangunan ini,” katanya.
Dia berkata, walaupun terkejut, mereka tetap bersyukur kerana tidak dicederakan penjenayah terbabit.
Kejadian samun itu tidak disedari pemilik kedai lain memandangkan premis tersebut menggunakan pintu kaca tertutup.
Seorang peniaga yang juga enggan namanya disiarkan berkata, dia hanya
ternampak kelibat dua lelaki berlari melintasi kedainya dalam keadaan
kelam kabut.
“Mereka berlari ke arah belakang kedai lalu menaiki sebuah kereta yang diletakkan di belakang bangunan ini.
“Lepas itu, barulah kami dimaklumkan mangsa mengenai kejadian yang menimpa mereka hari ini (semalam),” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha ketika
dihubungi petang semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian
itu.
Menurutnya, polis tidak dapat mengesahkan objek digunakan suspek sama
ada pistol atau tidak, namun tidak menolak kemungkinan pistol palsu.
“Mangsa sendiri tidak nampak objek itu dengan jelas kerana suspek tidak
mengacukannya, sebaliknya suspek hanya mengacah dengan menyembunyikan
objek itu di sebalik pakaiannya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek. Kes
disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971
kerana menunjukkan senjata api tiruan dalam melakukan kesalahan
berjadual,” katanya.
Gang Matau sasar pecah rumah pelajar tumpas
15 Mac 2012
MARAN - Polis Maran berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah yang
dikenali sebagai 'Gang Matau' yang menyasarkan rumah pelajar Universiti
Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pahang, di Jengka.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, DSP Ahmad Johari Shahabudin tiga
lelaki termasuk ketua kumpulan berkenaan berusia 20 hingga 37 tahun
berjaya diberkas semalam ketika sedang melepaskan gian menghisap dadah
di sebuah rumah di Taman Jengka Mahkota di sini.
"Dalam serbuan 2.30 pagi semalam, polis turut menemui rantai leher,
cincin emas, komputer riba dan projektor yang dipercayai barang curi.
"Selain itu, polis turut menemui peralatan menghisap dadah dan pelbagai
jenis dadah di dalam rumah tersebut yang dianggarkan bernilai
RM11,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata semua suspek itu juga dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Ahmad Johari berkata penangkapan tiga suspek berkenaan adalah rentetan
daripada tangkapan dua lelaki yang dipercayai anggota kumpulan itu pada 3
Mac lalu dan Selasa lepas.
"Lelaki yang berumur 31 tahun itu ditahan ketika pecah masuk sebuah
rumah di Taman Desa Jaya di sini pukul 4.14 pagi pada 3 Mac lepas.
"Hasil daripada tangkapan lelaki tersebut, pihak polis berjaya menahan
seorang lagi lelaki berumur 30 tahun di Rantau Perintis di sini pada
Selasa lalu," katanya.
Ahmad Johari berkata sindiket itu juga mempergunakan penagih dadah untuk melakukan aktiviti pecah rumah.
"Selepas itu, penagih dadah ini akan menukarkan barang berharga yang
dicuri dengan dadah yang dibekalkan sindiket ini," katanya.
Menurut beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak 2009 dan
dipercayai terbabit dalam 23 kes pecah rumah di sekitar Jengka yang
kebanyakan membabitkan rumah pelajar UiTM cawangan Pahang di sini. -
Bernama
Pemandu selamat 'kereta terjunam ke parit'
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
SABAK BERNAM – Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang pemandu
kereta jenis Perodua Viva terselamat dalam satu kemala- ngan apabila
brek keretanya mengalami kerosakan di Kilometer 38 Jalan Teluk
Intan–Klang di sini.
Difahamkan, mangsa cuba memperlahankan kereta yang dipandunya ketika
melalui selekoh berhampiran sebuah sekolah di lokasi kejadian, namun
brek kenderaan itu langsung tidak berfungsi.
Dalam keadaan itu, kenderaan mangsa kemudiannya melanggar pembahagi
jalan, seterusnya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan terjunam ke
parit.
Mangsa dikenali John, 22, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumah
di Batu 10, Hutan Melintang, Perak selepas selesai berurusan di sebuah
jabatan, di Sungai Besar.
“Setibanya di tempat kejadian, saya menekan brek untuk memperlahankan
kenderaan tetapi entah kenapa brek tidak berfungsi sehingga menyebabkan
insiden ini berlaku.
“Saya bernasib baik, kemalangan ini tidak melibatkan pengguna jalan
raya lain kerana kebetulan tiada kenderaan yang melalui jalan ini ketika
detik cemas itu berlaku,” katanya.
John berkata, beliau tidak menyangka brek kenderaannya bermasalah
kerana sebelum itu brek berkenaan berfungsi dengan baik dan beliau
bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan parah dan hanya luka di beberapa bahagian badan,” katanya.
Anggota bomba hilang selepas terjun ke laut
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
PELABUHAN KLANG - Seorang anggota bomba dari Unit Selam Bomba dan
Penyelamat Northport (Malaysia) Berhad (Northport) dikhuatiri lemas
selepas terjun ke laut untuk memeriksa kontena yang terjatuh ke dalam
laut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong,
berkata kejadian berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Mohd Tajul
Arifin, 30, turun ke dasar laut untuk menjalankan operasi mencari
kontena yang tenggelam di Dermaga 14, Northport.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa bersama seorang lagi rakan, Mohd Norazam, 29, turut terjun ke laut.
Katanya, ketika diarahkan timbul selepas setengah jam kemudian, hanya
Mohd Norazam yang timbul manakala mangsa gagal berbuat demikian.
“Berikutan itu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan
tetapi terpaksa dihentikan pada jam 6 petang ini (semalam) berikutan
keadaan cuaca dan laut tidak mengizinkan.
“Operasi mencari mangsa akan disambung semula pada jam 7 pagi esok (hari ini),” katanya.
Bagaimanapun, pihak bomba ketika dihubungi tidak dapat memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Lapan motosikal hangus
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
JALAN KUALA KETIL – Lapan motosikal yang diletak dalam sebuah kedai
membaiki motosikal hangus dalam kebakaran kira-kira 8.30 malam kelmarin,
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba
Rosdi Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 8.36 malam
dan bergegas ke lokasi kejadian seminit kemudian.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran disertai 12 anggota bersama tiga
buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.
“Ketika sampai ke lokasi, 25 peratus daripada bahagian kedai terbabit
sudah terbakar namun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran supaya
tidak merebak ke bangunan bersebelahan dan bahagian belakang kedai,”
katanya kepada Sinar Harian.
Rosdi berkata, pihak bomba terpaksa memecahkan pintu hadapan kedai
memandangkan kejadian berlaku selepas perniagaan tamat dan tiada sesiapa
dilaporkan berada di dalamnya.
“Kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. Operasi memadam kebakaran turut dibantu lima jentera pasukan Bomba Sukarela.
Pemilik kedai, Goh Aik Heng, 40, berkata, dia membuka perniagaan sejak
20 tahun lalu dan ini merupakan kejadian pertama yang menimpanya.
“Habis sahaja kerja pada hari kejadian, saya mula menutup pintu kedai
jam 7.15 malam dan meninggalkan kedai seperti biasa. Namun sejam
kemudian dikejutkan dengan berita kebakaran,” katanya.
Menurutnya, hanya dia seorang yang bekerja sepenuh masa di kedai terbabit dan dipercayai kebakaran berlaku akibat litar pintas.
Petani dakwa dibelasah
Razif Rosli
15 Mac 2012
TRONOH – Seorang petani membuat laporan polis mendakwa dipukul hingga
cedera dipercayai oleh individu yang tidak berpuas hati dengan kebun
buahnya, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 petang itu, Lee Kong Soon, 56,
dikatakan mengalami lebam-lebam akibat dipukul di bahagian kepala,
tangan dan pipi kiri.
Akibat tidak berpuas hati, Kong Soon kemudian membuat laporan berhubung
kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di sini,
semalam.
Beliau mendakwa pergi ke kebun miliknya selepas pekerjanya mendapati 40
pokok jambu yang sedang berbuah telah dimusnahkan, sedangkan sehari
sebelum kejadian, pokok buah-buahannya masih kelihatan elok.
Menurutnya, setibanya di kebun, beliau cuba mendapatkan penjelasan
daripada pihak yang didakwanya menjadi punca kepada itu, bagaimanapun
dia mendakwa diserang pihak terbabit.
“Belum pun dapat penjelasan daripada mereka, saya diserang dan dipukul bertalu-talu di bahagian kepala dan tangan,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini menyiarkan keluhan enam petani di kawasan
berkenan yang mendakwa dihalau dari kebun mereka dan kemungkinan hilang
mata pencarian setelah mengusahakan tanaman di tanah seluas 32 ekar
sejak 15 tahun lalu.
Kong Soon berkata, beliau turut membuat laporan polis di Balai Polis
Tronoh pada 19 Januari lalu apabila mendakwa menerima panggilan dan
ugutan.
“Saya menerima panggilan daripada individu tersebut lebih 10 kali dalam
sehari yang mahukan saya keluar dari kawasan itu malah turut mengugut
mahu merobohkan kebun dan apa jua yang saya usahakan selama ini. Kami
sekeluarga mengalami tekanan emosi dan nyata mereka cuba
menakut-nakutkan saya supaya saya keluar dari kawasan itu pada kadar
segera. Panggilan telefon berbaur ugutan terhenti sebulan apabila Adun
Tronoh, V Sivakumar merujuk perkara berkenaan ke Pejabat Daerah dan
Tanah Kinta, Batu Gajah namun kini mereka ganggu saya balik,” katanya
lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supe-rintendan Ahmad Nordin
Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Kong
Soon.
“Kita buka kes berkenaan mengikut akta 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Lambaian terakhir
NOR AZURA MD AMIN
15 Mac 2012
PONTIAN – Seorang bapa tidak menduga lambaian anaknya sebelum bertolak
ke tempat kerja adalah yang terakhir sebelum anaknya menemui ajal
selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 100 meter dari rumahnya di
Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa, Muhammad Fitri A Gani, 19,
yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Senai menunggang basikal
sebelum menaiki van kilang yang menunggu di hadapan kampungnya yang
terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Bagaimanapun, basikal yang dinaiki itu terbabit dalam satu kemalangan
membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van pekerja di
Kilometer 1.2, Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, di Kampung Parit Panjang di
sini.
Bapa mangsa, A Gani Ibrahim, 65, Gani, ketika ditemui di rumah mayat
Hospital Pontian pagi semalam memberitahu, dia didatangi jirannya
selepas selesai bersolat subuh di masjid dan diberitahu mengenai
kemalangan yang melibatkan seorang penunggang basikal berhampiran
rumahnya.
“Saya terus berdebar-debar kerana ketika itu saya secara langsung
fikirkan anak saya kerana dia menunggang basikal setiap pagi sebelum
menaiki van kilang, Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ada
seorang mangsa kemalangan sedang tertiarap di tepi jalan,” katanya
kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati mangsa tersebut adalah anaknya sendiri dan terus memapah serta memeluknya.
“Saya dapati bahagian keadaan kepalanya dipenuhi darah," katanya.
Katanya, anak bongsu dari enam beradik itu baru dua bulan bekerja di
Senai.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi
Superintendan, Wan Razani Wan Ibrahim berkata, kemalangan yang berlaku
pada awal pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu basikal, pacuan
empat roda dan van pekerja.
Katanya, pacuan empat roda itu dari arah Bukit Batu ke Ayer Baloi
manakala van pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Ayer Baloi ke
Kulaijaya.
Dalam kejadian itu katanya, empat mangsa mengalami kecederaan ringan
manakala seorang cedera parah di bahagian kaki, manakala Muhammad Fitri
meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Operasi di Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian,
Mohd Zamry Sukarseh bersama enam anggota mengambil masa lebih kurang 20
minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan alat
pemotong.
Lima kemalangan sehari
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
KOTA TINGGI - Sebanyak lima kemalangan berlaku dalam sehari di jalan
utama Felda Sungai Sayong di sini, dipercayai berpunca daripada tumpahan
pati minyak sawit yang dibawa sebuah lori tangki, semalam.
Penduduk, Wahid Abd Wahab berkata, kemalangan yang membabitkan
kenderaan seperti motosikal, kereta dan van berlaku secara berasingan di
laluan tumpahan minyak berkenaan namun tidak mengakibatkan kejadian
yang serius.
“Pada hari ini (semalam), lima kemalangan berlaku akibat tumpahan
minyak berkenaan. Keadaan jalan raya utama di sini, menjadi licin
tambahan pula cuaca hujan menyebabkan kebanyakan kenderaan yang dipandu
hilang kawalan dan terbabas. Malah, kebanyakan mangsa adalah orang luar
yang memandu laju, selain mereka tidak tahu berlaku tumpahan minyak di
jalan berkenaan. Namun, syukurlah mereka yang terlibat hanya cedera
ringan,” katanya kepada Sinar Harian.
Manakala, Jaafar Abdullah, 49, berkata, dia yang memiliki sebuah
bengkel di laluan utama kampung berkenaan melihat sendiri sebuah lori
tangki yang membawa muatan minyak sawit dari arah Kluang mengeluarkan
cecair berkenaan dari bawah kenderaan itu.
“Kira-kira jam 8 lebih, pagi tadi (semalam), saya yang kebetulan berada
di hadapan bengkel berasa hairan apabila terlihat minyak merembes
keluar dari bawah sebuah lori tangki yang melalui jalan berkenaan.
Cecair berkenaan berwarna kekuningan dan melekat di sepanjang jalan
raya, malah, berkemungkinan besar pemandu lori terbabit tidak mengetahui
tentang kebocoran yang berlaku. Niat saya mahu menahan kenderaan
berkenaan untuk memberitahu pemandunya berhubung kebocoran yang berlaku
tidak kesampaian kerana ia bergerak laju dan semakin jauh,” katanya.
Sementara itu, Wahid yang juga Pemangku Ketua Pemuda Umno Cawangan
Felda Sungai Sayong berkata, selepas memaklumkan masalah berkenaan
kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja, Datuk Dr Adham
Baba, tindakan segera terus diambil dengan bantuan Jabatan Bomba dan
Penyelamat Kota Tinggi yang bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba mula melakukan kerja pembersihan kesan minyak berkenaan
pada waktu pagi dengan pancuran air sebelum menabur serbuk kayu dan
bahan penyerap minyak bagi mengelakkan jalan itu terus licin pada
sebelah petang. Tindakan mereka ini sekali gus dapat mengelakkan
daripada berlakunya kejadian kemalangan yang lebih teruk. Malah, kita
juga mahu mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak wakil
rakyat dan semua pihak yang turut sama terlibat membantu mengatasi
masalah ini,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, sebuah jentera bomba dengan lima
anggota sedang melakukan kerja menabur serbuk penyerap minyak di
sepanjang jalan utama kampung tersebut iaitu sejauh 250 meter di kawasan
yang terlibat dengan tumpahan minyak tersebut, petang semalam.
“Menggigil tangan buat pau”
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
PONTIAN – “Menggigil tangan ketika buat pau,” luah Bakri Ahmad, 50,
terhadap situasi bunyi bising yang dihadapinya setiap hari dari tapak
pemprosesan bahan binaan yang terletak berhampiran rumahnya.
Bakri yang merupakan penjual kuih-muih berkata, mereka juga terpaksa
menutup pintu dan tingkap rumah daripada dimasuki debu pasir.
Menurutnya, setiap kali kerja-kerja menuang pasir dilakukan di tapak
pemprosesan bahan binaan berkenaan, rumahnya akan terkena debu pasir
yang diterbangkan angin.
“Ketika kerja-kerja menuang pasir dari lori dilakukan, debu pasir akan
berterbangan, dan sekiranya angin kuat lebih banyak debu yang terhasil.
Kesan debu ini dapat dilihat dengan jelas pada permukaan tingkap yang
penuh dengan debu pasir,” katanya ketika ditemui petang kelmarin.
Katanya, debu pasir berkenaan juga mengancam kesihatan mereka sekeluarga kerana terpaksa menghidu udara yang tidak bersih.
“Kami terpaksa menutup pintu dan tingkap ketika kerja-kerja tapak
pemprosesan berkenaan dijalankan yang bermula dari jam 8 pagi hingga 5
petang,” katanya.
Katanya, penduduk kampung yang sudah berusia berdepan dengan risiko
dihidapi penyakit yang tinggi kesan daripada debu pasir dan bunyi bising
yang dihasilkan.
“Tahap kebersihan di sini juga dikhuatiri terjejas berikutan debu pasir
yang berterbangan pada makanan dan minuman. Ini sudah tentu akan
memberi kesan kepada kesihatan penduduk dan menjejaskan perniagaan
makanan yang diusahakan penduduk kampung,” katanya.
Bakri yang tinggal bersama isteri dan dua orang anak serta seorang cucu
berkata, tidur siang cucunya yang baru sahaja setahun kerap kali
terganggu dan tersentak dengan bunyi bising dari tapak terbabit.
Justeru itu, dia berharap masalah yang dihadapi penduduk ini dapat
diberi perhatian yang sewajarnya dari agensi dan jabatan berkaitan agar
diselesaikan dengan segera.
Sementara itu bagi Penghulu Mukim Api-api, Razali Dahlan, ketika
ditemui, semalam, berkata, masalah yang dihadapi penduduk Kampung Melayu
berkenaan dalam perhatian pihaknya.
Katanya, pentadbiran mukim akan menyemak sama pengusaha terbabit sudah
menukarkan status tanah pertanian kepada tanah industri dan lesen
perniagaan yang dijalankan.
Menurutnya, tapak pemprosesan bahan binaan berkenaan merupakan satu-satunya yang terdapat di Kampung Melayu.