Monday, March 12, 2012

RAMAI LAGI ORANG MISKIN..MANA PERANAN PUSAT ZAKAT...PELACUR BOLEH BISNES SEBAB ADA PELANGGAN...PELANGGAN TAK TAKUT SEBAB UNDANG2 HUDUD TAK DE...MEREKA TAK HAIRAN PUNYA...

Polis sahkan mayat rentung adalah Dirang
Oleh Mohd Firdaus Yon
12 Mac 2012
Nurul Nadirah Abdullah
SENAI - Polis mengesahkan penemuan serpihan rangka manusia yang rentung di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Masai, 8 Mac lalu, adalah milik Nurul Nadirah atau panggilan manjanya, Dirang, yang hilang sejak 1 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin berkata, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima hasil keputusan ujian DNA ke atas serpihan rangka manusia yang ditemui dan sampel ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, hari ini.
"Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini," katanya lagi.
Laporan Bernama memetik Roslan berkata, walaupun siasatan awal mendapati mayat rentung itu milik manusia dewasa, namun hasil ujian DNA yang dikeluarkan itu mendapati ia adalah milik Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac.
Katanya, faktor keadaan mayat yang rentung teruk juga menyebabkan pengecaman sukar dilakukan oleh pihaknya.
Perkembangan terbaru itu sekaligus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadhirah yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.
Berikutan itu satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Amer Awal dan dibantu pasukan dari Bukit Aman bagi menyelesaikan kes itu.
Kes itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang perseorang yang turut sama membantu mencari dengan mengedarkan poster mengenai kehilangan mangsa.
Hasil siasatan sebelum ini, katanya polis telah menahan empat suspek termasuk bapa kandung mangsa dan jirannya bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.
Roslan berkata, berikutan hasil ujian itu, polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.  
Menurutnya, tempoh tahanan reman keempat-empat suspek akan dilanjutkan bagi membantu siasatan.
Suri rumah terkejut melihat mayat suami dan anak
AHMAD ISMADI ISMAIL
12 Mac 2012
mayat suami
PUCHONG - Seorang suri rumah yang mencari suami dan anak tunggalnya yang gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu terkejut apabila mendapati mereka dalam keadaan mati, dipercayai dibunuh, di rumahnya mereka.

Mayat dua beranak itu ditemui di bilik berasingan oleh polis yang memecah masuk rumah teres itu pada jam 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, suami suri rumah yang berusia 56 tahun telah pulang awal dari Segamat setelah dihubungi oleh anak perempuannya yang memaklumkan dia tidak sihat.

"Sebelum itu mangsa bersama isterinya pulang ke kampung di Segamat, Johor, namun wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu tidak ikut pulang awal setelah mendapat panggilan daripada anak perempuannya empat hari lalu," katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit membuat laporan kehilangan di balai polis Segamat setelah dia gagal menghubungi ahli keluarganya itu sebelum kembali ke Puchong.

“Wanita itu bersama sepasukan polis tiba di rumahnya, sebaik masuk ke dalam rumah yang tidak ditutup lampu itu, kami menemui mayat lelaki terbabit di atas katil di dalam sebuah bilik manakala mayat anak perempuannya ditemui di atas lantai di bilik lain,” katanya.

Menurutnya, mayat anak perempuan mangsa yang ditemui masih lengkap bertudung itu dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan darah di mulut.

"Siasatan juga mendapati tiada kesan geledah di rumah berkenaan tetapi dua telefon bimbit serta kereta Perodua Kenari milik anak perempuan mangsa yang bekerja sebagai pensyarah kolej swasta dipercayai hilang," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, tidak ditemui sebarang kesan kecederaan fizikal pada kedua-dua mangsa dan mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Pensyarah, bapanya mungkin dibunuh orang dalam
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
KUALA LUMPUR -- Kes pembunuhan dua beranak melibatkan seorang pensyarah dan bapanya yang mayat mereka ditemui di rumah mereka di Taman Kinrara, Puchong, di sini malam tadi, berkemungkinan dilakukan oleh 'orang
dalam'.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, polis belum menemui kesan kecederaan seperti kesan tikaman dan kesan pergelutan atau mangsa diserang dengan objek tajam.

Abd Razak berkata mangsa Zara Eleena Omar Peter, 23, yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian swasta di Lembah Klang dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56, ditemui mati di bilik berasingan di rumah itu pada 9.50 malam tadi.

Beliau berkata hanya kesan pendarahan dalaman yang dipercayai menyebabkan darah terkeluar daripada mulut pensyarah wanita itu, manakala kesan darah juga ditemui pada bapa wanita itu.

"Kita sudah hantar kedua-dua mayat mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kita masih menunggu laporan forensik untuk mengesahkan sama ada mangsa diracun atau dibunuh dengan cara lain," katanya.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tiada sebarang tanda menunjukkan rumah mangsa disamun dan dipecah masuk.

Kedua-dua mangsa dipercayai mati sejak empat hari lepas di mana mayat Zara Eleena ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan kesan darah di mulut, manakala mayat bapanya ditemui tertiarap di katil dengan beberapa kesan darah ditemui di rumah mereka.

Menurut saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata Zara dan bapanya merupakan seorang yang peramah dengan saudara-mara dan tidak mempunyai masalah dengan orang lain.

 "Saya selalu melawat Zara, sebab dia tinggal seorang diri di rumahnya dan saya dapati dia tidak mempunyai sebarang masalah...saya difahamkan sebelum kejadian ini Zara ada menelefon bapanya mengatakan beliau mengalami sakit perut lalu bapanya datang ke rumah untuk melihat keadaan anaknya itu dan dari situ tiada khabar berita mengenai mereka," katanya ketika ditemui di HKL.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- Bernama
Suami isteri antara 4 maut kemalangan

12 Mac 2012
IPOH - Empat orang termasuk sepasang suami isteri maut dalam kemalangan berasingan di negeri ini semalam.
Dalam kejadian pertama, pemandu kereta pacuan empat roda Saidon Riduan, 65, dan isterinya Fatimah Abdul Kadir, 64, maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Land Rover di Km 5 Jalan Jalan Kuala Gula-Gunung Semanggol, Parit Buntar 125 km dari sini pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata kedua-dua mangsa yang berasal dari Subang Jaya, Selangor mengalami cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mereka dihantar Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, pemandu Land Rover hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.
Mat Fauzi berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota-Harrier yang dipandu Saidon dalam perjalanan dari Kuala Gula ke Pekan Semanggol dikatakan gagal dikawal lalu terbabas.
Pada masa sama sebuah kenderaan jenis Land Rover yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut.
Sementara itu, dalam kejadian di Hilir Perak, seorang warga emas, Mohamad Razlan Shaari, 63, maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan motosikal yang ditunggang seorang remaja di kawasan taman perumahan Desa Maju Perak, Teluk Intan, pukul 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang hari ini berkata bagaimanapun remaja 15 tahun itu tidak cedera.
Dalam satu lagi kejadian di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, seorang penunggang motosikal terbunuh selepas hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
Mangsa Mohd Ridzuan Mahathir, 23 berasal dari Butterworth cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. - Bernama
Rumah runtuh, hanyut
NURULFATIHA MUAH
12 Mac 2012
runtuh
KLANG - Penduduk di Kampung Nelayan, Telok Gong, di sini, tidak menyangka retakan tanah sepanjang 30 meter berhampiran jeti kawasan itu kelmarin bakal menjadi mimpi ngeri buat mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang semalam, lapan bangunan dan sembilan bot yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM100,000, runtuh serta tenggelam dalam tempoh kurang setengah jam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan telefon jam 2.16 petang dan tiba dengan tujuh jentera dari Pelabuhan Klang 11 minit kemudian.

Katanya, dalam kejadian itu, lapan premis melibatkan empat stor dan empat kedai runtuh serta tenggelam secara perlahan-lahan dipercayai akibat arus deras menyebabkan hakisan, sebelum runtuh.

“Terdapat 10 orang berada di premis itu ketika kejadian, tetapi mereka berjaya melarikan diri ke kawasan selamat.

“Stor itu milik nelayan simpan barang. Kita masih siasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Mohd Sani berkata, jeti itu akan ditutup buat sementara waktu sehingga dipastikan selamat dan pihaknya bersama anggota polis akan memantau kawasan itu untuk mengelak kejadian sama berulang.

Seramai 15 anggota bomba, 10 polis dan anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam operasi itu.


48 rumah tenggelam sehari sebelum bencana

SEMENTARA itu, Ahli Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Telok Gong, Wazirudin Mokhtar berkata, sehari sebelum kejadian, 48 buah rumah di kampung berkenaan tenggelam akibat banjir.

“Banjir dipercayai berlaku akibat hujan lebat kerana masalah sistem perparitan dan air pasang. Apabila air pasang dan kunci air dibuka, ia akan melimpah sehingga mengakibatkan banjir.

“Saya percaya, banjir semalam (kelmarin) juga memberi kesan kepada kejadian hari ini (semalam) kerana pengaliran air yang tidak lancar sehingga menyebabkan hakisan dan runtuhan,” katanya.

Mengulas mengenai insiden runtuh dan tenggelam itu, Wazirudin berkata, pihaknya masih belum menerima notis supaya penduduk di kawasan berhampiran jeti dipindahkan ke kawasan lain.

“Kita akan bincang dahulu perkara ini dengan pejabat daerah dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun), sebelum sebarang tindakan diambil. Jika penduduk hendak pindah kerana tidak selamat, mereka boleh berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Rais Mohd Jamil, 35, berkata, sehari sebelum kejadian, rumahnya yang terletak berhampiran jeti dinaiki air, bagaimanapun ia tidak melimpah masuk ke dalam kediaman mereka.

Katanya, air naik sehingga empat inci selama lebih dua jam, tetapi surut kembali seperti kebiasaannya.

“Saya ada di rumah ketika itu tetapi tidak langsung berasa cemas kerana keadaan seperti itu kerap berlaku dan selalunya tiada apa-apa yang berlaku pun. Keadaan itu berlaku dalam dua jam lebih.

“Tidak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku. Nasib baik saya simpan peralatan menangkap ikan di rumah, kalau simpan di stor, sudah tentu hanyut hari ini (semalam),” katanya.


Pemilik premis rugi barang hanyut

SEORANG pemilik kedai makan dan stor, Saharudin Abdul Rahman 42, berkata, dia kerugian kira- kira RM30,000 kerana tidak sempat menyelamatkan barang- barang niaganya.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah dan dimaklumkan seorang rakan sebelum ke lokasi kejadian, tetapi tidak sempat. Saya Nampak hakisan tanah berlaku sedikit demi sedikit sebelum menenggelamkan kedai dan stor saya.

“Semua barang niaga, enjin sangkut dan peralatan menangkap ikan hanyut. Walaupun sehari sebelum kejadian ini ada berlaku retakan tanah, tetapi saya tidak sempat punggah apa-apa pun barang kerana tidak sangka perkara seperti ini akan berlaku.

Seorang lagi pemilik kedai makan, Rahimah Samilon, 60, berkata, dia reda dengan musibah itu dan menyifatkan kejadian itu sebagai ujian daripada ALLAH.

“Esok (hari ini), saya dan suami akan menunaikan umrah di Makkah. Walaupun sedih, tetapi saya tidak mahu fikir apa-apa buat masa ini. Tunggulah apabila saya pulang ke sini selepas umrah nanti,” katanya.

Rahimah berkata, ketika kejadian, dia tiada di kedai kerana sedang bercuti dan perkara itu hanya diketahui selepas dimaklumkan pembantunya.

Berlainan pula dengan Azami Ismail, dia sempat memunggah semua barang-barang dari kedainya setelah mengetahui tanah retak kelmarin.

“Saya dimaklumkan bapa saudara yang menyatakan kedai sudah hendak runtuh kerana tanah retak, selepas itu kami bergegas angkut semua barang,” katanya.
Maut disengat 'peringat'
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Maut disengat 'peringat'
KASAR – Siapa sangka, seekor lebah yang lebih dikenali ‘peringat’ oleh masyarakat Kelantan, menyebabkan seorang penduduk, maut selepas mengikuti aktiviti gotong–royong di Kampung Sakar Sungai, Jumaat lalu.
Aktiviti anjuran Jawatankuasa Kampung Sakar bersama Umno Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Pasir, tergendala selepas mangsa yang juga Penghulu Tanpa Mukim Kampung Sakar, Chia Siew Hai, 44, tiba-tiba pengsan, pada jam 10.30 pagi.
Isteri mangsa, Ong Lee Sew, 39, berkata, suaminya keluar rumah pada jam 10 pagi untuk memulakan kerja membersihkan kampung bersama 30 penduduk kampung.
“Ketika kejadian, saya bersama dua anak saya, berada di rumah, manakala suami saya keluar bersama penduduk lain dan ditemani adik saya, Ong Soon Been, 36. Soon Been kata, dia melihat abang iparnya, keluar daripada kawasan pohon buluh dan mengadu sakit, setelah disengat seekor peringat, di bahagian kepala,” katanya, selepas upacara pengebumian mangsa, semalam.
Menurutnya, semua penduduk beranggapan, dia hanya bergurau kerana peringat tersebut, terlalu kecil dan kelihatan tidak merbahaya.
Namun katanya, penduduk mulai panik, apabila mendapati Siew Hai tiba-tiba rebah dan pengsan, beberapa minit selepas disengat peringat berkenaan.
“Adik saya terus membawa suami saya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) untuk mendapatkan rawatan. Namun, doktor mengesahkan suami saya, meninggal ketika dalam perjalanan,” katanya, semalam.
Sementara itu, Naib Ketua Umno Pasir Mas, Abd Aziz Mohammad mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap, keluarga mangsa bersabar dengan kejadian yang menimpa,” katanya.
Bayang rambut dalam air
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Bayang rambut dalam air
CHUKAI – Bayang rambut dalam air yang dilihat salah seorang orang ramai yang membanjiri tempat kejadian membantu Pasukan Bomba dan Penyelamat menemui mayat seorang buruh yang lemas petang semalam selepas terjatuh ke dalam sungai di belakang Pasar Besar Chukai kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Mayat mangsa dijumpai pada jam 4.17 petang semalam tidak jauh dari tempat dia terjatuh selepas misi mencari dan menyelamat mangsa, Mohd Sazali Ismail, 36, yang beralamat di Kampung Jabor, Chukai, dilancarkan kira-kira jam 10.49 pagi semalam oleh pasukan bomba.
Saksi yang melihat bayang rambut mangsa, Ablah @ Nordin Tahir, 63, segera memaklumkan apa yang dilihat kepada unit skuba yang sedang menyelam sebelum pasukan penyelamat memeriksa dan menemui mayat terbabit yang kakinya tersekat di dalam selut di dasar sungai berkenaan.
Lihat bayang selepas 10 minit di tempat kejadian
Ablah @ Nordin dari Kampung Tengah Chukai berkata, dari jeti nelayan tempat dia melihat operasi mencari dan menyelamat dilakukan jelas dia melihat bayang kehitaman rambut mangsa di permukaan air di tengah sungai kerana air sungai yang kian surut.
“Saya segera menjerit memberitahu apa yang saya nampak kepada pihak bomba dan penyelamat yang sedang menyelam,” katanya yang melihat bayang itu selepas 10 minit berada di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman merangkap Pegawai Operasi, Penolong Penguasa Mahazan Mat Junus berkata, misi mencari dan menyelamat berkenaan membabitkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, enam anggota unit skuba Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menggunakan dua bot penyelamat bomba.
Menurutnya, misi mencari dan menyelamat itu dimulakan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kes lemas tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun terpaksa dihentikan seketika pada jam 1.30 petang kerana keadaan arus sungai yang deras dengan kedalaman air sedalam 2.2 meter sebelum operasi disambung semula jam 3 petang.
Dengar orang minta tolong
Gerakan mencari turut dilakukan hingga ke sekitar kawasan Kuala Kemaman dan ke Sungai Bukit Kuang kerana dikhuatiri mangsa dihanyutkan arus.Sinar Harian difahamkan, mangsa yang juga seorang duda dan memiliki seorang anak terjatuh ke dalam sungai terbabit ketika air sungai mulai pasang.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hopital Kemaman untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.
Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Zawawi Hashim, 27, yang juga seorang penjual ikan berkata, dia menyedari kejadian lemas itu selepas mendengar sayup-sayup bunyi orang meminta tolong.
“Ketika itu saya dan tiga lagi kawan baru sahaja habis menonton televisyen di bangsal rehat nelayan di tepi jeti. Tiba-tiba terdengar bunyi percikan air kuat seperi benda jatuh ke dalam sungai. Saya dan kawan segera keluar dari bangsal dan waktu itu saya lihat seorang lelaki terkapai-kapai sambil meminta tolong sebelum jeritannya hilang sambil dia tenggelam. Namun, dua daripada kawan saya yang terjun ke dalam sungai tidak sempat menyelamatkannya kerana dia terlebih dalulu tenggelam,” katanya.
Menurutnya yang berasal dari Jalan Dato’, Chukai, jarak mangsa terjatuh dari bangsalnya berehat hanya selang sebuah bot.
Mohd Zawawi kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan di Balai Polis Chukai.
Difahamkan selepas lemas, penduduk kampung turut berusaha mencari mengsa di kawasan sekitar tetapi usaha berkenaan gagal.
Banjir landa tiga kampung
NORFARHIZA MOHD ATAR
12 Mac 2012
Banjir landa tiga kampung
KUALA MEDANG - Hujan lebat selama tiga hari di Hulu Sungai Jelai dan Sungai Telom menyebabkan air Sungai Jelai naik mendadak seterusnya melimpahi tebing lalu menenggelami beberapa perkampungan berhampiran, dekat sini, pagi semalam.
Banjir itu juga menyebabkan seramai 120 penduduk daripada 21 keluarga di sini, Kuala Serau dan Bertang terputus hubungan berikutan jalan raya ke kampung berkenaan turut ditenggelami air.
Manakala, sebanyak 10 keluarga iaitu tiga di Kampung Kuala Medang dan tujuh di Kuala Serau kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir setelah rumah mereka ditenggelami air sedalam dua meter bermula jam 7 pagi semalam.
Sehubungan kejadian itu, seramai 12 anggota bomba, 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Lipis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta polis terbabit dalam operasi bantuan keselamatan dan pemindahan mangsa menggunakan bot.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail turut turun padang untuk meninjau keadaan kampung di persisiran sungai yang terbabit dalam kejadian itu serta menemui mangsa banjir.
Hadir sama, Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd Razaki Abd Razak.
Mohd Razaki berkata, air naik mendadak menyebabkan keluarga terbabit dipindahkan segera ke tempat selamat di balai raya kampung berkenaan.
“Sebanyak dua kedai makanan di Pekan Sehari Kuala Medang turut dinaiki air, manakala sebuah jeti pusat santuari ikan di Kuala Serau pula musnah dihanyutkan banjir,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu dengan menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di balai raya kampung berkenaan.
“Saya akan berbincang dengan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Bencana Alam (Banjir) untuk menimbang bantuan kecemasan kepada mangsa hari ini (semalam). Kerajaan Negeri sedia menimbang untuk membantu membaik pulih rumah mangsa apabila banjir surut,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Kampung Kuala Serau, dekat sini, semalam.
Sempena kunjungan itu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai turut memberi sumbangan bantuan daripada Pejabat Dun berkenaan bernilai RM300 kepada setiap ketua keluarga terbabit.
Mereka yang tinggal berdekatan sungai dinasihati mengawasi anak masing-masing pada cuti persekolahan kali ini dan memastikan mereka tidak main air atau mandi di sungai berarus deras.
Port judi ayam digempur
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Port judi ayam digempur
SHAH ALAM - Polis menahan 25 lelaki warga asing dan empat rakyat tempatan ketika mereka sedang bermain judi sabung ayam di belakang sebuah kuil di Seksyen 17, di sini, semalam.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abd Karim berkata, meskipun ada yang cuba melarikan diri, polis berjaya menangkap semua lelaki berkenaan.
Menurutnya, dalam serbuan bersama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu, polis juga menahan seorang wanita warga asing yang menjual minuman kepada pelanggan.
“Serbuan dilakukan selepas intipan dilakukan, kita dapati mereka sering berkumpul dan mengadakan perlawanan pada hujung minggu. Polis percaya, mereka melakukan pertaruhan sehingga RM50,000 setiap kali pertarungan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Izwan berkata, sembilan ekor ayam didapati digunakan dalam pertarungan itu dan polis merampas wang tunai berjumlah RM3,020, papan golek dan carta belangkas.
Mereka juga dipercayai bermain judi bola golek dan judi belangkas berdasarkan penemuan set permainan itu di lokasi serbuan.
Mereka dibawa ke IPD Shah Alam dan ditahan untuk siasatan.
Terbalik selepas gagal memotong lori lain
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Terbalik selepas gagal memotong lori lain
ALOR GAJAH - Seorang lelaki nyaris maut apabila lori lima tan yang dipandu terbalik selepas bergesel dengan sebuah lori lain di Kilometer 208.3 arah utara ke selatan, berhampiran Restoran Jejantas, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dari Kuala Lumpur menuju ke Johor hilang kawalan dan terbalik di laluan kecemasan sebelum disusuli satu lagi rempuhan oleh sebuah pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, ketika kejadian pemandu berkenaan mahu memasuki semula laluan paling kiri selepas gagal memotong sebuah lori lain di hadapan.
“Lalu menyebabkan lori mangsa bergesel dengan lori berkenaan sebelum hilang kawalan dan terbalik. Malangnya, lori mangsa kemu­diannya dihentam sebuah pacuan empat roda yang tidak sempat mengelak. Bagaimanapun, mangsa berjaya keluar melalui cermin hadapan yang pecah dan bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, lori yang gagal dipotong mangsa tidak memberhentikan kenderaan, sebaliknya memecut lebih laju dan polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran lori terbabit.
Sementara pemandu pacuan empat roda terbabit, Lim Boon Chai, 41, berkata, dia dari Kuala Lumpur menuju ke Batu Pahat, Johor, berada di laluan paling kiri dan tidak sempat mengawal kenderaan lalu merempuh lori mangsa yang sudah terbalik.
Treler muatan petrol terbabas
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Treler muatan petrol terbabas
PERAI – Sebuah treler yang membawa muatan 32,000 liter petrol terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan papan tanda dalam satu kejadian berhampiran Jalan Perusahaan Perai, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kemalangan sekitar jam 5.45 petang itu berlaku ketika pemandu baru hendak memulakan perjalanan menuju ke Ipoh, Perak dari syarikatnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
Kejadian bukan sahaja mencemaskan pengguna yang bimbang berlaku kebocoran, malah turut menyebabkan kesesakan sejauh lebih satu kilometer hingga ke bulatan Perai.
Bagaimanapun, pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun bahagian hadapan kenderaannya hampir remuk.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Balai Bomba Perai, Mohd Azri Mad Saad berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dari orang awam pada jam 5.50 petang
Menurutnya, pasukan yang tiba dua minit selepas itu bertindak membuat pemeriksaan ke atas treler berkenaan, bagi mengesan jika berlaku sebarang kebocoran pada tangki yang bermuatan petrol itu.
Bagaimanapun, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berpunca daripada kerosakan pada bahagian stereng.
“Meskipun hanya kemalangan kecil, namun kami tidak boleh memandang remeh kerana apa saja boleh berlaku jika tangki itu bocor. Begitu pun, hasil pemeriksaan mendapati, tiada kebocoran mahu pun keretakan pada tangki petrol yang dibawa. Akan tetapi, kami perlu bersedia sepanjang proses menunda lori berkenaan keluar dari kawasan rumput ini bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya.
Terbabas 50 meter
ROSDALILAH ZAHARI
12 Mac 2012
Terbabas 50 meter
IPOH - Seorang juruteknik di sebuah kilang pendingin hawa maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di kawasan perindustrian Menglembu, lewat malam kelmarin.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam semasa Cheah Chee Sheong, 19, memandu kereta jenis Proton Iswara berseorangan ke arah jalan Ipoh-Lumut.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Pusing, didapati gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Akibatnya, kenderaan yang dipandu mangsa bertembung secara berhadapan dengan sebuah bas persiaran yang sedang menghala ke arah bandar raya Ipoh. Bas tersebut membawa tiga penumpang termasuk seorang pemandu yang dipercayai mempunyai ikatan keluarga dan dalam perjalanan untuk menikmati makan malam,” katanya.
Mangsa dilaporkan maut serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah pada muka dan beberapa bahagian badan yang lain.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan sudah dituntut keluarga untuk upacara pengebumian hari ini (semalam),” katanya.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian semalam mendapati berlaku kesesakan jalan raya sepanjang 200 meter di kawasan tersebut.
Orang ramai yang melalui jalan tersebut turut mengambil kesempatan melihat anggota keselamatan mengeluarkan mangsa selain merakam foto melalui telefon bimbit masing-masing.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abdul Rahman Mohd Som berkata, beliau tiba bersama enam anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih kira-kira jam 11.45 malam.
Katanya, anggotanya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kaki mangsa tersepit di bawah stereng kereta tersebut.
“Kami mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang remuk dan rosak teruk akibat kemalangan itu. Selain itu, bas terbabit turut terbabas masuk ke dalam longkang berhampiran kira-kira 50 meter daripada kereta tersebut namun penumpang serta pemandunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, operasi yang turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tamat pada jam 12.40 tengah malam.
Lautan sampah bawah rumah
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Lautan sampah bawah rumah
KUKUP - Penduduk perkam­­pungan atas air di Air Masin, dekat sini menggesa agar tin­dakan segera diambil bagi mengatasi masalah timbunan sampah yang sudah berlarutan sejak sekian lama di situ.
Masalah sampah sarap yang memenuhi kawasan tebing laut yang menjadi tempat kediaman lebih 100 penduduk itu mengundang pelbagai ma­salah terutama kepada kesihatan penduduk yang sering diancam demam denggi.
Penduduk, Zaid Abdullah, 32, berkata, sekiranya air pasang, jumlah sampah akan me­­ningkat dengan begitu mendadak sehinggakan ruang di bawah rumah penduduk turut dipenuhi sampah.
Dakwanya, kepesatan pem­­­­­bangunan industri pelancongan yang menyaksikan pertumbuhan chalet dan resort di atas air telah menghasilkan pelbagai jenis sampah yang dibuang begitu sahaja ke laut.
Menurutnya, dengan kedudukan kampung yang terletak berhampiran chalet men­­jadikan ia sebagai lokasi him­­punan sampah yang dibuang ke laut.
“Sampah yang dibuang pelbagai jenis, dari plastik pembungkus makanan sehinggalah kepada barangan keperluan diri seperti syampu, sabun dan sebagainya memenuhi setiap ruang di bawah rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.
Sementara itu bagi Zahadi Hisham, 40, masalah sampah berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dengan pelbagai cara digunakan bagi mengatasinya.
“Antaranya dengan memasang jaring perangkap sampah, namun tidak berjaya berikutan sampah yang begitu banyak perlu ditampung sehinggakan jaring koyak,” katanya.
Selain itu katanya, gotong-royong membersihkan sampah bersama penduduk kerap dilakukan, namun bilangan sampah yang banyak tidak mam­­pu diangkut oleh penduduk kampung.
Katanya, sampah yang terlalu banyak menyebabkan nya­muk Aedes membiak sekali gus mengancam nyawa penduduk.
“Kami harap dapat hidup dalam keadaan yang lebih bersih tanpa dibelenggu dengan ma­­salah sampah yang menimbun di bawah rumah dan sekitar rumah,” katanya.
Zahadi berkata, dia berharap agar satu tindakan yang lebih drastik dapat diambil bagi mengatasi masalah berkenaan supaya penduduk dapat hidup dalam keadaan yang lebih selesa.
'Ayam muda' hanya RM40
KAMARUL HALIM M KAMAL
12 Mac 2012
'Ayam muda' hanya RM40
BATU PAHAT – Jika dilihat dari luar, hotel bajet ini sama sahaja seperti hotel murah lain, namun tidak ramai yang tahu ia menyediakan 'perkhidmatan' istimewa di belakang tabir.
Di sinilah kebanyakan anak muda tempatan dan warga asing berhidung belang singgah untuk mendapatkan layanan 'ayam muda' cantik yang berasal dari Sabah.
Namun, khidmat ini berkubur kelmarin apabila premis itu diserbu Jabatan Agama Islam Batu Pahat dengan kerjasama beberapa penguatkuasa daerah Johor Bahru, Kluang, Pontian dan Muar.
Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, khidmat pelacur di hotel bajet berkenaan menjadi tumpuan kerana bayaran yang dikenakan murah iaitu sekitar RM40.
“Semasa serbuan, terdapat tujuh pelacur yang sedang bersiap-siap menunggu pelanggan mereka. Dua daripadanya sedang asyik melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran kami. Daripada tujuh pelacur terbabit, lima daripadanya berasal dari Sabah dan dua lagi merupakan pelacur berbangsa Cina, dipercayai warga tempatan yang aktif menjalankan kegiatan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Saiful Ariffin, pada mulanya kesemua pelacur terbabit tidak mengaku menjalankan kegiatan berkenaan, tetapi setelah didesak selain beberapa kondom dijumpai, barulah mereka memberitahu perkara sebenar.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan ini merupakan satu operasi khas secara mengejut, bertujuan mencegah kegiatan perjudian dan juga pelacuran di Batu Pahat.
“Dalam operasi berkenaan, turut disoal siasat ialah dua remaja lelaki berumur 20 tahun yang dipercayai mahu mendapatkan perkhidmatan di situ. Keterangan dua remaja berkenaan direkod seterusnya diberikan sesi kaunseling dan juga nasihat bertujuan memberikan kesedaran," katanya.
Saiful Ariffin berkata, bagaimanapun kesemua pelacur berkenaan dilepaskan selepas butir diri direkodkan kerana mereka bukan beragama Islam.
“Tindakan selanjutnya terhadap hotel pula kami serahkan kepada pihak polis,” katanya.
Tiga beranak ikat perut
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Tiga beranak ikat perut
BERANGAN ENAM – “Walaupun saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan, namun kadangkala kami terpaksa juga mengikat perut,” kata seorang ayah yang menyara dua anak lelakinya dengan bergantung harap pada bantuan JKM.
Daud Hamzah, 69, berkata, dua anak lelakinya yang berumur 30 dan 36 tahun tidak bekerja kerana mengalami penyakit mental.
Menurutnya, wang bantuan JKM yang diterimanya hanya cukup untuk makan sahaja dan jika terpaksa digunakan untuk tujuan lain, mereka akan mengikat perut.
“Saya akan beli beras dan lauk untuk kami bertiga dengan menggunakan wang JKM memandangkan dua anak saya tidak bekerja kerana sakit,” katanya.
Daud berkata, kini dia tinggal di rumah pusaka yang tiada bilik air dan tempat memasak.
“Setiap hari saya perlu mengambil air dari perigi untuk memasak mahupun mandi selain memasak menggunakan dapur kayu,” katanya.
Katanya, diharap penderitaan hidup mereka akan berakhir sekiranya pihak berkenaan dapat membina sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di hadapan rumah pusaka berkenaan.
“Saya juga mahu hidup selesa seperti orang lain dan berharap pihak berkenaan akan prihatin dengan penderitaan kami,” katanya.
Selain itu, Daud juga meminta pihak berkenaan menurap jalan di hadapan rumahnya bagi mengelakkan masalah debu.
Sesudu susu jadi juadah akhir
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Sesudu susu jadi juadah akhir
SUNGAI PETANI - ‘’Dia hanya sempat minum satu sudu susu pagi tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir di tempat tidurnya’’, kata ibu, R Muniammah, 50, berhubung kematian anaknya secara tiba-tiba pagi semalam.
Muniammah berkata, dia mendengar anaknya, S Velautam, 29, memanggilnya berkali-kali dan menyangka kemungkinan anaknya yang terlantar itu mahu minum susu lalu membancuh susu untuknya.
Kejadian jam 9.30 pagi di Taman Kempas, Sungai Petani itu hanya disedari apabila anak kelima dari tujuh beradik itu mengalami sesak nafas selepas diberi minum.
“Sebelum meninggal, dia ada panggil nama saya ‘mak, mak’ dan saya datang tengok dia, saya ingat mungkin dia mahu minum susu, tapi hanya sempat beri dia satu sudu susu. Kemudian apabila saya datang semula, dia sudah sesak nafas dan tidak sangka panggilan itu adalah yang terakhir saya terima daripadanya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.
Muniammah berkata, Velautam baru sahaja menerima rawatan selama dua minggu di hospital dan keluar wad lima hari lalu.
Menurutnya, anak lelakinya pernah berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata namun, bercerai setahun lalu.
“Anak sulung mangsa, Sumitha (cucu) berusia lima tahun berada dalam jagaannya manakala seorang lagi anak di bawah penjagaan bekas isteri yang kini menetap di Baling. Kami sekeluarga akan menjaga cucu ini sampai bila-bila dan akan hantar dia ke sekolah macam kanak-kanak lain,” katanya.
Menurut rakan mendiang yang enggan dikenali, sejak dua hari lalu, Velautam dilihat tidak lagi bercakap berbanding sebelumnya.
“Dia memang terlantar sejak beberapa bulan lalu dan tidak menyangka akan meninggal dalam usia muda,” katanya.
Sumber polis memberitahu, si mati yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim sejak Februari lalu menghidap HIV positif.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kematian berkenaan.
Redah sungai cari daun nipah
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
Redah sungai cari daun nipah
MARANG - Walaupun pada usia emas menjangkau 70 tahun, Midah Taib dari Kampung Jenang di sini, sanggup meredah Sungai Marang di kampung itu untuk mencari daun nipah bagi dijadikan atap rumah sebagai mata pencariannya.
Malah, pokok nipah yang tumbuh meliar sepanjang Sungai Marang di kampung itu, menjadi punca pendapatan Midah dan rakan seusianya sejak berpuluh tahun lalu malah aktiviti itu masih terus ‘bernyawa’ berikutan permintaannya yang masih ada.
 “Atap dari daun ini masih mendapat permintaan daripada pelanggan. Mereka gemar atap nipah kerana ia menjadikan suasana keliha­tan lebih tradisional, nyaman dan sejuk berbanding atap zink yang panas,” katanya yang juga ibu tunggal kepada empat anak.
Midah berkata, antara pelanggannya terdiri daripada pengusaha chalet dan pengusaha restoran yang mahu chalet atau tempat mereka mempunyai atap daun nipah agar kelihatan lebih menarik termasuk orang ramai untuk dijadikan atap rumah mereka.
“Setiap keping atap daun nipah saya kenakan harga RM1 dan setiap hari saya boleh menyiapkan lebih 50 keping hingga 100 keping atap daun nipah dalam masa sehari dan pendapa­tan diperoleh agak lumayan jika tempahan banyak diterima,” katanya.
Midah yang kematian suaminya, Salleh Embong 15 tahun lalu akibat penyakit jantung berkata, sebelum dijadikan atap, daun nipah dijemur dan dibersih terlebih dahulu sebelum diikat mengunakan tali rotan mengikut saiz yang ditempah.
“Kerja ini rumit, lebih rumit apabila saya terpaksa meredah sampah menyusuri Sungai Marang untuk mengumpul daun nipah walaupun hati snagat bimbang kalau-kalau terserempak dengan haiwan berbisa,” katanya.
Midah yang turut dibantu anak perempuannya, Safiah Salleh, 36, bagaimanapun tidak bergantung sepenuhnya dengan penjualan atap daun nipah sebagai punca pendapatan keluarganya kerana mendapat bantuan bulanan daripada kerajaan.
Walaupun pendapatan agak terhad namun bagi Midah, usaha itu perlu diteruskan bagi mengelak produk tradisional itu pupus ditelan zaman. Malah berkat rezeki menjual daun nipah, Midah juga mampu menjaga seorang anak angkat berusia 11 tahun.

No comments:

Post a Comment