Ditikam ‘goda’ isteri rakan niaga
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
GOMBAK: Hanya dikatakan sering menggoda isterinya, seorang peniaga
parah dibelasah rakan niaga selain ditikam dengan pisau di belakang
badan dalam kejadian di Selayang Baru, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun
menaiki van datang ke gerai makan miliknya bersama isteri berusia 38
tahun untuk menghantar bekalan makanan sebelum berjumpa rakan niaga itu.
Menurut sumber, mangsa menyapa lelaki terbabit sambil memberi
senyuman, namun tidak dibalas sebaliknya bertukar tegang apabila dia
dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata kesat.
“Pelik dengan sikap lelaki terbabit yang tiba-tiba naik angin,
mangsa cuba meminta penjelasan, namun terkejut apabila lelaki itu
mendakwa dia sering mengacau dan cuba menggoda isterinya.
“Bagaimanapun, mangsa menafikan dan memberitahu semua itu salah faham
dan dia tidak pernah menggoda isteri lelaki itu tambahan dia sudah
berkahwin,” katanya.
Sumber berkata, lelaki itu enggan
mempercayainya dan menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan
berlaku pergaduhan sebelum kejadian itu disedari isteri mangsa yang
datang membantu.
“Namun, niat wanita terbabit yang ingin meleraikan pertengkaran gagal sebaliknya dia ditumbuk di muka beberapa kali.
“Tidak tahan dipukul mangsa dan isterinya cuba melarikan diri untuk
mendapatkan bantuan menyebabkan lelaki terbabit bertambah berang sebelum
mengambil pisau dan menikam belakang badan mangsa menyebabkan dia
mengerang kesakitan,” katanya.
Menurutnya, lelaki terbabit yang panik melihat mangsa berlumuran
darah melarikan diri sementara isteri mangsa yang ketakutan menjerit
meminta tolong sebelum ia disedari rakan mangsa lain yang datang
membantu dan menghantarnya ke Hospital Selayang.
Isteri mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri dan suami membuat laporan di Balai Polis Selayang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul
Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut
Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
PASIR GUDANG: “Kami pernah menegur sikap wanita itu, tapi dia beri
alasan tidak sanggup tinggal di rumahnya yang daif itu. Kini, kami
membekalkan suami dan dua anaknya makanan tengah hari dan malam.” kata
jiran lelaki separuh lumpuh dan dua anaknya yang diabaikan isteri dan
ibu mereka.
Jiran itu yang enggan mendedahkan identitinya berkata, penduduk di
kawasan itu amat simpati nasib tiga beranak terbabit yang sering
kehabisan bekalan makanan selain menjalani kehidupan tanpa kemudahan
asas seperti air dan elektrik.
“Berdasarkan pemantauan kami,
selepas pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang untuk
menyerahkan bantuan RM300 pada awal bulan, isteri lelaki itu pulang ke
rumah dan tinggal selama dua hingga tiga hari di pondok berkenaan
sebelum kembali menghilangkan diri,” katanya, semalam.
Menurut jiran itu, penduduk khuatir dengan keadaan kesihatan lelaki
berkenaan yang semakin kronik selepas kaki kirinya dijangkiti kuman
akibat diabetes selain gagal mendapatkan rawatan doktor.
“Lelaki berusia 50-an itu dan anaknya yang berumur sembilan juga 13
tahun, tidak lagi sesuai tinggal di sini. Kami harap ada pihak membantu
mereka,” katanya.
Kaca putus urat keting
KUALA TERENGGANU: Akibat tersepak gelas pecah ketika bermain dengan
adiknya, seorang kanak-kanak nyaris kehilangan kaki kiri dalam kejadian
di Kampung Nibong, Dungun, Isnin lalu.
Mangsa, Mohd Firdaus Abd Rahim, 10, bagaimanapun, bernasib baik
apabila serpihan kaca itu hanya memutuskan urat ketingnya dalam kejadian
jam 12.30 tengah hari di rumahnya di kampung berkenaan.
Anak keempat dari enam beradik itu ketika ditemui di Wad Multidisiplin
Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam
berkata dia tidak menyedari gelas berkenaan berada di atas lantai ketika
berkejaran dengan adik bongsunya dalam rumah.
“Kejadian berlaku spontan dan saya tidak tahu bagaimana kaki kanan
boleh tersepak gelas itu sehingga berderai sebelum serpihannya menusuk
bahagian belakang kaki kiri,” katanya.
ibu dibawa beli-belah maut nahas
MUAR: Hasrat seorang wanita membawa ibunya membeli-belah di bandar
ini tidak kesampaian apabila motosikal yang mereka tunggang terbabit
dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman berhampiran Parit Sakai di sini,
kelmarin menyebabkan ibunya itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Jaminah Dariman, 74, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala serta badan.
Anaknya, Suhailah Amal, 51, parah dan kini di rawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Difahamkan, ketika kejadian, dua beranak itu dalam perjalanan ke
bandar Muar untuk membeli pakaian serta barangan keperluan dapur.
Saksi, Ahmad Md Monoto, 20, berkata, ketika kejadian dia mahu melintas
jalan berkenaan bersama rakan sebelum terlihat sebuah kereta jenis BMW
cuba memotong kenderaan di depan, namun gagal.
“BMW terbabit
kemudiannya menghimpit ke bahu jalan dan memasuki laluan motosikal
sebelum bergesel dengan motor ditunggang mangsa.
“Saya lihat penunggang motosikal itu hilang kawalan dan kedua-duanya kemudiannya tercampak ke atas jalan raya,” katanya.
Menurut Ahmad, orang ramai cuba membantu, namun seorang daripada mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan
kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan
1987.
Jenazah mangsa di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Dendam lama dorong bakar motor
KUALA LUMPUR: Akibat dendam, satu keluarga hidup dalam ketakutan
apabila seorang lelaki dikenali mengganggu hidup mereka termasuk
membakar sebuah motosikal milik ahli keluarga itu dalam kejadian di
Bandar Baru Sentul, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun
terkejut selepas dimaklumkan motosikal Honda EX5 miliknya dibakar
seorang lelaki ketika sedang tidur.
Mangsa yang hanya mahu
dikenali sebagai Chandran, 17, berkata, dia menyedari motosikalnya
dibakar selepas dipanggil jiran yang melihat kepulan api marak memenuhi
ruang tempat letak motosikal.
Katanya, sebaik keluar, dia mendapati motosikal kesayangannya
sedang terbakar dan cuba dipadamkan anggota bomba dan penyelamat bagi
mengelakkan merebak ke kenderaan lain.
“Saya mengesyaki
seorang lelaki yang bertanggungjawab membakar motosikal kerana berdendam
dengan saya ekoran pernah ditahan polis selepas memukul saya dan emak
tanpa usul periksa beberapa minggu lalu.
“Akibat kejadian itu, saya dan emak mengalami kecederaan di badan sebelum lelaki itu ditahan polis,” katanya di sini, semalam.
Katanya, selepas dibebaskan, lelaki itu masih menyimpan dendam dengan mengugut terus mengganggu hidupnya sekeluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Pemuzik SonaOne cedera dipukul
13 April 2012
SEORANG pemuzik cedera di bahagian kepala dan muka selepas dipukul
seorang lelaki dikenalinya di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan
Bukit Bintang di sini awal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Mikael Adam Mohd Rafee Michel,
23, didatangi suspek ketika dia dan dua rakan perempuannya baru
memasuki kereta yang kemudian bertindak menariknya keluar dari kereta
dan memukulnya.
"Ketika itu saya baru pulang dari kerja... sebaik ditarik keluar, saya
ditumbuk bertalu-talu sehingga terjatuh sebelum kepala saya dipijak
dengan kuat menyebabkan saya tidak sedarkan diri.
"Saya hanya mampu mempertahankan diri dengan menutup muka dan kepala
dengan kedua belah tangan saya bagi mengelakkan kecederaan lebih parah,"
katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah pusat perubatan
swasta di sini hari ini.
Mikael Adam berkata, dia dibawa ke pusat perubatan tersebut dalam
keadaan tidak sedar oleh seorang rakannya yang dihubungi oleh dua rakan
perempuannya itu.
Dia berkata, rakannya telah membuat laporan polis berhubung kejadian
itu di Balai Polis Tun Razak tidak lama selepas insiden tersebut.
"Saya mahu lelaki itu diambil tindakan kerana memukul saya sesuka hati hingga cedera parah tanpa sebab," katanya.
Mikael Adam yang lebih dikenali dengan nama pentas SonaOne, merupakan artis grafiti, penerbit muzik, pencipta lagu dan rapper.
Dia bernaung di bawah label Kartel Records, yang diterajui artis hip-hop tempatan terkenal Joe Flizzow.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamed Zulkarnain
Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan
siasatan sedang dijalankan. - Bernama
Aidil Serah Hak Jaga Anak Pada Rita
Oleh: Editorial MH
Tarikh:
13 April 2012
Susulan daripada kenyataan Rita Rudaini, 36, yang mempertahankan hak
penjagaan anak-anak jika berlaku perceraian antara dia dan suaminya,
Aidil Zafuan, 25, MH Online mendapatkan kenyataan balas daripada Aidil
sendiri.
Aidil memberitahu bahawa hak penjagaan anak-anak akan diserahkan kepada
Rita kerana dia mengakui bahawa anak-anak lebih rapat dengan ibu
mereka.
"Saya masih bapa kepada anak-anak saya dan saya akan jalan
tanggungjawab saya sebagai seorang bapa," jelas Aidil dalam nada suara
yang bergetar.
Pun begitu, jika hak penjagaan diserahkan kepada Rita, Aidil berharap
agar dia turut diberi kebebasan untuk bertemu dan bermalam dengan
anak-anaknya bila-bila masa tanpa syarat.
"Rita Tidak Pernah Mengadu Masalah" - Ibu
Oleh: Wawann Mohd
Tarikh:
13 April 2012
Setelah mengikuti penjelasan Rita Rudaini dan kenyataan balas Aidil
Zafuan berhubung kisah pergolakan rumah tangga mereka yang hangat
diperkatakan waktu ini, MH Online berjaya mendapatkan kenyataan daripada
ibu Rita, Puan Basariah Ibrahim, 59.
“Saya sedih dengan apa yang berlaku kepada Rita dan anak-anak. Bukan
sekali kejadian seperti ini berlaku, tetapi dia tetap tabah dan kuat
semangat demi anak-anak. Sepanjang perkahwinan mereka, kami sekeluarga
sehabis boleh tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga mereka berdua.
Biarlah mereka selesaikan sendiri dengan cara yang paling baik.
“Namun melihat kepada situasi yang berlaku sekarang ini, saya sebagai
seorang ibu merasa amat kasihan kepada Rita dan anak-anak. Apa yang
boleh saya lakukan, hanya dengan memberikan dia semangat dan berdoa
semoga dia kuat untuk melalui semua ini. Insya-Allah keluarga akan
sentiasa bersama dengan dia dan anak-anak,” ujar ibu Rita sayu.
Menurut ibu Rita juga, buat ketika ini dia banyak meluangkan masa bersama Rita dan anak-anak kerana risaukan keadaan mereka.
“Rita tidak pernah menangis di depan anak-anak, tetapi sebagai orang
yang melahirkan dia, saya tahu kesedihan yang dia rasai. Dia susah nak
mengadu masalahnya kepada saya kerana menganggap hal rumah tangga tidak
perlu dibawa kepada pengetahuan orang lain,” katanya.
TV3 Mohon Maaf Siar Adegan Bogel
Oleh: Editorial MH
Tarikh:
12 April 2012
Stesen TV nombor satu negara, TV3 telah memohon maaf kepada penonton
terhadap penyiaran adegan kurang sopan dalam filem 'Into The Wild' yang
disiarkan pada 24 Mac lalu.
TV3 dalam satu kenyataannya kepada sebuah portal berita menyatakan
pihaknya akur terhadap kesilapan yang berlaku sehingga menimbulkan
bantahan beberapa pihak.
Pertubuhan yang dikenali Allied Coorodinating Committee of Islamic
NGO’s (ACCIN) melalui Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Ab. Kadir dalam
sebuah akhbar membantah tindakan TV3 kerana menyiarkan adegan bogel
terlampau filem berkenaan sehingga menampakkan kemaluan pelakon filem
ini, Emile Hirsch.
Dirogol depan adik, sepupu
Wartawan Sinar Harian
12 April 2012
PETALING JAYA – Enggan hanya berpuas hati dengan hasil samun, seorang
lelaki yang memecah masuk ke dalam sebuah apartmen dihuni lima gadis
bertindak merogol salah seorang daripada mangsa.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek dalam kejadian
jam 4 pagi kelmarin di sebuah apartmen di Damansara Damai.
Menurut sumber, suspek yang pada mulanya hanya ingin mengambil barangan
berharga milik mangsa, berubah fikiran dan ingin melampiaskan nafsunya
ke atas salah seorang mangsa.
Bersenjatakan pisau, suspek mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mereka menjerit atau cuba melarikan diri.
“Penyamun bertopeng itu memilih mangsa berusia 20-an dan merogol mangsa
sambil diperhatikan oleh adik dan sepupunya yang berumur 17 dan 20
tahun di dalam bilik,” katanya.
Mangsa dirogol sambil pisau diletakkan di lehernya oleh suspek yang
melarikan diri sebaik selesai melakukan perbuatan terkutuk itu.
Sumber itu berkata, mangsa sempat mengecam wajah suspek selepas lelaki itu menanggalkan topengnya yang dipakainya.
Suspek memasuki apartmen terbabit dengan memecahkan mangga rumah dan mengambil masa kira-kira sejam sebelum melarikan diri.
“Ketika kejadian terdapat dua lagi rakan serumah mangsa namun mereka
tidak menyedari kejadian itu kerana tidur di bilik lain,” katanya.
Ketiga-tiga mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner
Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan dan suspek terlibat sudah
dikenal pasti.
“Polis ketika ini sedang melancarkan gerakan memburu suspek yang ketika ini berada di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan seksyen 395 samun bersenjata.
Mengadu sakit perut, rupanya mengandung
Wartawan Sinar Harian
13 April 2012
BESUT - Seorang wanita terkejut apabila mendapati kakaknya yang
seorang kurang upaya (OKU), mengadu sakit perut rupa-rupanya mengandung
enam bulan, selepas dipercayai dirogol tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata,
wanita berusia 20 tahun itu membawa kakaknya berusia 27 tahun, ke sebuah
klinik swasta untuk menjalani pemeriksaan, selepas dia mengadu sakit
perut.
Menurut beliau, bagaimanapun pemeriksaan doktor di klinik berkenaan
mendapati, kakaknya yang menghadapi masalah mental sebenarnya sakit
perut kerana sedang mengandung enam bulan.
“Dalam perjalanan pulang dari klinik, mangsa menceritakan siapa yang
telah menyebabkan dia mengandung iaitu seorang lelaki yang dikenali
dengan panggilan Awie.
“Mangsa didakwa dirogol oleh suspek di rumah sewa lelaki berkenaan di
Kampung Gong Manok, iaitu bersebelahan dengan kampung mangsa dekat Kuala
Besut,” katanya.
Kamaruddin berkata, berikutan itu adik mangsa membawa kakaknya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut Isnin lalu.
Menurutnya, bagaimanapun mangsa tidak dapat mengingati masa dan tarikh kejadian disebabkan masalah mental yang dihadapinya.
Bertindak atas laporan itu, polis telah menyerbu rumah sewa suspek yang
dikatakan masih bujang itu, namun gagal menahan kerana suspek telah
berpindah dan usaha mengesan lelaki itu sedang dilakukan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang
sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sri Wani takut keluar rumah
KHALILAH GUSTI HASSAN
13 April 2012
KUALA LUMPUR – Pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah
memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, dia tidak
menyerahkan afidavit injunksi kepada peguam kerana takut keluar rumah.
Dia berkata demikian ketika disoal Hakim Syarie, Abdul Walid Abu,
berkenaan kegagalannya untuk menyerahkan afidavit itu seperti
ditetapkan.
Menurutnya, sejak status jantinanya yang dipertikai suami diketahui
umum, dia bukan sahaja menjadi buruan media, malah ada individu tidak
dikenali turut mengganggunya.
“Saya terpaksa sembunyi di rumah,” katanya. Dia tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, Sri Wani memberitahu mahkamah, dia memerlukan sedikit
masa lagi untuk membuat pindaan afidavit sebelum diserahkan kepada
peguam Muhammad Hafiz Ab Rashid.
“Sebelum ini, peguam ada datang jumpa saya untuk selesai kes cara baik.
Tapi saya takut saya diperangkap. Saya nak masukkan beberapa perkara
baru dalam afidavit ini,” katanya.
Muhammad Hafiz tidak membantah permohonan Sri Wani, namun memohon
afidavit asal turut diserahkan kepadanya bersama afidavit baru sebagai
rujukan.
Mahkamah menetapkan tempoh seminggu kepada Sri Wani untuk melengkapkan
afidavit diikuti 14 hari tempoh kepada Muhammad Hafiz untuk memfailkan
jawapan.
Kes ditetapkan untuk perbicaraan bermula 17 Mei ini.
Sri Wani, 37, menjadi tarikan umum apabila suaminya, bekas dekan
universiti, Bahrom Sunagi, 61, memfailkan permohonan membatalkan
perkahwinan kerana mendakwa dia lelaki.
Bahrom turut memohon mahkamah memerintahkan ujian deoksiribonukleik
(DNA) dijalankan bagi mengesahkan jantina isteri ketiganya itu, yang
dinikahi pada 19 Ogos 2009.
Susulan itu, Sri Wani memfailkan bantahan awal dengan alasan dia dianiaya.
Sri Wani turut memfailkan injunksi ‘ex parte’ (sebelah pihak) terhadap
dua madunya agar tidak mengganggu dan mengeluarkan kata-kata kesat
terhadapnya.
Keputusan mengenai permohonan DNA itu akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 April ini.
Suami isteri dituduh bunuh amah Kemboja
SITI AZILA ALIAS
13 April 2012
BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret
Bukit Mertajam hari ini atas tuduhan membunuh seorang amah Kemboja, 1
April lepas.
Mengikut fakta kes, tertuduh Soh Chew Tong, 43, dan isterinya, Chin
Chui Ling, 41, dituduh dengan niat bersama melakukan pembunuhan terhadap
Mey Sichan, 24, antara 1 Januari hingga 1 April lalu hingga menyebabkan
kematiannya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis dekat Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, namun kedua-dua mereka dilihat tunduk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan.
Majistret Chang Kian Hong menetapkan 7 Jun ini sebagai tarikh sebutan
semula kes sementara menanti laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Michael K.L Chee sementara
pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurdeenie Abdul Rashid.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata,
polis kini sedang berbincang dengan pihak Kedutaan Kemboja untuk urusan
membawa pulang mayat ke negara asalnya dan sehingga kini mayat masih
lagi berada di bilik mayat Hospital Bukit Mertajam (HBM).
Katanya, pihaknya memandang serius akan isu berkenaan kerana ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara.
Mangsa merupakan seorang pembantu rumah yang digaji sejak September lalu.
Hasil siasatan awal polis ke atas mayat mangsa menemui beberapa kesan
calar di bahagian belakang badan, lebam di tangan selain luka di telinga
dan kaki.
Majikan mangsa yang menjalankan perniagaan pertukangan dalam laporan
polisnya memberitahu ada memberi makan kepada mangsa ketika berada di
tingkat bawah rumah kedai berkenaan sehari sebelum kejadian, namun tidak
disentuh mangsa.
Kereta meletup, ahli perniagaan cedera parah
SITI AZILA ALIAS
13 April 2012
SEBERANG JAYA – Seorang tauke sebuah kilang logam dekat Perai, melecur
70 peratus bahagian badannya selepas keretanya yang diletakkan di
hadapan rumahnya, dekat Persiaran Semilang di sini, meletup pagi tadi.
Keretanya mangsa, Lee Cheong Beng, 52, meletup kira-kira jam 8.20 pagi sebaik enjin dihidupkan.
Letupan menyebabkan kereta yang dinaiki terbakar, dan mangsa yang
berada dalam kereta menjerit meminta tolong apabila api mula menyambar
badannya.
Jeritan mangsa kemudiannya didengari seorang orang awam yang bertindak
menarik mangsa keluar dari kenderaan dan segera menelefon ambulan dan
bomba.
Mangsa yang cedera dari bahagian kepala hingga ke bawah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika mengadakan tinjauan
ke lokasi berkata, siasatan dijalankan pihak forensik Polis Diraja
Malaysia (PDRM) bersama forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)
bagi mengetahui punca letupan.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat kesimpulan awal sama ada terdapat
unsur-unsur khianat atau sebaliknya sebelum menerima laporan penuh
siasatan.
“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, letupan dipercayai berlaku
ketika mangsa menghidupkan enjin kereta. Mangsa mengalami kelecuran dan
dikejar ke HSJ, dan sudah pun dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP)
untuk rawatan lanjut.
“Kita masih belum boleh membuat keputusan sama ada kemalangan berlaku
berpunca dari letupan tayar atau disebabkan ada bahan letupan atau bahan
bakar yang terdapat pada kenderaan itu sendiri kerana ia masih dalam
siasatan. Jabatan Kimia akan dipanggil bagi membantu pasukan forensik
sebelum menentukan punca sebenar letupan,” katanya.
Leka layan pelanggan, tak sedar dikepung Imigresen
Wartawan Sinar Harian
13 April 2012
SENAI – Lapan wanita warga Vietnam begitu asyik melayan pelanggan di
sebuah premis hiburan di Johor Jaya tanpa menyedari kehadiran pegawai
penguatkuasa Imigresen dalam Ops 6P, awal pagi, semalam.
Dalam operasi itu, mereka tergamam dan tidak dapat melarikan diri
apabila menyedari premis hiburan sudah dikepung pegawai Imigresen.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen merangkap Ketua Operasinya,
Mohamad Nasir Abas berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 1.40 pagi
dan berakhir hingga sekitar 2.10 pagi turut melibatkan 12 anggota hasil
maklumat orang awam.
“Kehadiran anggota operasi tidak disedari kerana kami berpakaian preman
dan ketika memasuki premis itu, kebanyakan mereka leka layan pelanggan
lelaki sambil menuang minuman keras,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Nasir berkata, lima daripada yang ditahan itu melakukan
kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pasport
manakala tiga lagi warga Vietnam disyaki melakukan kesalahan di bawah
peraturan 39B Peraturan Imigresen kerana salah guna pas.
“Mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta
Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan
Akta Pasport 1960 kini ditempatkan di Depoh Pekan Nanas untuk tindakan
lanjut,” katanya.