Monday, April 9, 2012

BILA DADAH MENGUASAI DIRI....MEMBAHAYAKAN DIRI...

Drama cemas suami mahu kelar isteri

SAKDAWUT menghisap rokok sambil mengacukan pisau dekat leher isterinya di sebatang jalan raya di Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang lelaki, Sakdawut Hamsiri mengacukan pisau dekat leher isterinya dalam drama tebusan yang berlaku selama enam jam di Thailand.
Sakdawut yang bersenjatakan sebilah pisau menawan isterinya, Thawee Naiyanit di sebatang jalan raya di sini semalam.
Lelaki berusia 30 tahun itu nekad menjadikan wanita berkenaan sebagai tebusan dan berulang kali menolak permintaan polis supaya mangsa tersebut dibebaskan.
Insiden tersebut hanya berakhir apabila polis menggunakan pistol renjatan elektrik terhadapnya.
Dia ditangkap dan dibawa ke sebuah balai polis untuk disoal siasat selepas rebah terkena renjatan itu.
Polis kemudian memberitahu, Sakdawut berada di bawah pengaruh dadah ketika insiden tersebut berlaku. - Agensi

Whitney Houston mati ambil dadah berlebihan

LOS ANGELES - Legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston (gambar) mati mungkin disebabkan pengambilan dadah, ubat-ubatan dan minuman keras yang berlebihan, menurut laporan koroner dalam dokumen setebal 42 muka surat.
Menurut dokumen tersebut, dia mengambil dadah dan ubat-ubatan itu sebelum lemas dengan mukanya menghadap ke dalam tab mandi, kata pegawai koroner dalam satu laporan terbaharu.
Ia memberikan butiran terperinci berbanding laporan awal yang dikeluarkan sebelum ini.
Pada bulan lalu, satu laporan siasatan menyimpulkan bahawa Houston maut kerana lemas secara tidak sengaja di dalam tab mandi selepas mengambil kokain yang mungkin menyebabkannya diserang sakit jantung.
"Dia mungkin mengambil sejenis dadah, ubat-ubatan preskripsi, ubat-ubatan yang diambil tidak menerusi kaunter perubatan sah dan alkohol dengan dos berlebihan," kata laporan penuh yang dikeluarkan kelmarin oleh Pejabat Koroner Los Angeles County.
Menurut laporan itu, tiada sebarang tanda-tanda perbuatan khianat terhadap penyanyi yang berusia 48 tahun itu.
Laporan tersebut menyatakan pembantu peribadi Houston menemui dia tidak bernyawa di dalam bilik Hotel Beverly Hilton pada 11 Februari lalu beberapa jam sebelum Anugerah Grammy berlangsung.
"Pembantu peribadi memasuki bilik mandi dan dia menemui Houston tertiarap dengan mukanya di dalam tab mandi, serta tidak sedarkan diri. Tab mandi dipenuhi air dan terdapat air di lantai bilik air," menurut laporan itu.
Butiran lanjut mengenai keadaan tubuh Houston menyatakan terdapat darah yang keluar dari hidungnya.
Laporan tersebut menyatakan, satu bahan yang kemudian dipastikan sebagai kokain turut ditemui dalam bilik tidurnya.
Pelbagai botol ubat juga ditemui dengan 12 ubat preskripsi yang diperoleh daripada lima doktor yang berlainan.
Para penyiasat turut menemui satu lubang pada septum dalam hidungnya yang mungkin disebabkan penggunaan kokain bagi tempoh yang lama. - AFP

Serbuk tanduk sumbu popular di Vietnam


TANGAN Giang menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu pada pinggang seramik.


HANOI, Vietnam - Seorang wanita, Nguyen Huong Giang gemar berparti tetapi dia benci kesan alkohol yang menyebabkan kepalanya berasa sakit.
Bagi menghilangkan kesakitannya, dia menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu di atas permukaan pinggan seramik sehingga menjadi serbuk dan meminum ramuan itu bersama air.
Giang memiliki tanduk berwarna coklat sepanjang 10 sentimeter itu yang diberikan oleh bapanya.
Ia dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk sakit kepala dan kanser.
"Saya tidak tahu harga sebenar tanduk ini," kata Giang, 24, selepas menunjukkan tanduk badak sumbu itu di apartmennya di sini.
"Saya cuma tahu ia mahal," tambahnya.
Tanduk badak sumbu terdiri daripada keratin, bahan protein yang turut ditemui dalam rambut dan kuku manusia.
Beberapa pakar menyatakan sebahagian tanduk badak sumbu yang dijual di Vietnam didapati palsu.
Giang meminum serbuk tanduk badak sumbu bersama air apabila dia mengalami alahan atau selepas mengambil terlalu banyak minuman keras.
Serbuk berkenaan popular dalam kalangan penduduk di Vietnam.
Seorang penjual ubat tradisional memberitahu bahawa setiap paket serbuk tanduk badak sumbu dijual pada harga 200,000 dong (RM30.65) di Vietnam.
Beberapa pegawai Amerika Syarikat pula menyatakan serbuk itu berharga sekitar AS$55,000 (RM168,575) bagi setiap satu kilogram di Asia sekali gus menjadikan ia lebih mahal daripada kokain. - Agensi

Suami dakwa isteri seorang lelaki


BAHROM yang curiga dengan status isteri, Sri Wani bawa kes ke mahkamah syariah.


KUALA LUMPUR - Terkejut dan tertipu! Itulah reaksi seorang bekas dekan sebuah universiti awam selepas menyedari isteri ketiga yang dinikahinya selama setahun di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009 rupa-rupanya seorang lelaki yang menyerupai wanita.
Curiga dengan status perkahwinan tersebut, Profesor Dr. Bahrom Sanugi, 61, bekas dekan Fakulti Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Gombak.
Semasa pernikahan ketiga berlangsung, Bahrom masih memegang jawatan dekan USIM.
Lanjutan aduan itu, pejabat agama pada 23 November 2010 mengarahkan Bahrom dan isterinya, Sri Wani Choo Abdullah, 37, seorang pengusaha butik kecantikan supaya berpisah sementara kerana berlaku keraguan mengenai pernikahan tersebut.
Pasangan itu juga difahamkan sempat mendapatkan sijil nikah palsu di Kedah sejurus mereka berkahwin di Songkhla untuk mengesahkan pernikahan tersebut.
Difahamkan, jabatan agama dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih menyiasat mengenai status jantina Sri Wani.
Bagi segera menyelesaikan kemelut itu, Bahrom yang diwakili peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid kemudian memfailkan permohonan faraq (memisahkan perkahwinan) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini terhadap Sri Wani pada 17 Januari 2011.
Susulan itu, Bahrom membuat permohonan pada 18 Januari lalu supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan jantina sebenar Sri Wani.

Kaut RM4 bilion hasil tipu, judi

KAJANG – Tembelang satu sindiket yang menyewa enam buah banglo mewah dua tingkat di kawasan Country Heights di sini untuk menempatkan seramai 144 anggotanya bagi melakukan penipuan dan judi bola sepak Internet sebanyak RM4 bilion sejak sebulan lalu terbongkar apabila diserbu semalam.
Serbuan pukul 1.30 petang itu dapat menahan 54 wanita dan 90 lelaki pelbagai warganegara asing seperti China dan Taiwan berusia lingkungan 20 dan 30-an yang ditugaskan untuk membuat panggilan rambang bagi tujuan penipuan kad kredit.
Ketika serbuan itu, seorang wanita patah kaki kiri dan seorang lelaki patah tangan kiri apabila mereka bertindak terjun dari tingkat dua banglo tersebut.
Difahamkan, anggota sindiket tersebut tidak keluar rumah dan segala keperluan mereka termasuk makanan akan dibeli oleh seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai runner. Lelaki itu turut dicekup.
Tinjauan Kosmo! mendapati, jarak antara banglo tersebut kira-kira dua kilometer dan pintunya sentiasa ditutup.
Susunan perabot di dalam banglo itu pula tidak ubah seperti pejabat di mana ruang tamu di tingkat atas dan tingkat bawah dilengkapi meja, telefon serta kertas.

220kg abu al-Quran dibuang ke laut


MUHAMMAD RAMLI (kanan depan) bersama kakitangan JHEAT membuang abu al-Quran ke laut ketika melupuskan naskhah ayat suci berkenaan di perairan Pulau Kapas, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Lebih 200 kilogram (kg) abu al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks ayat-ayat suci itu dibuang di tengah laut di sini semalam sebagai satu cara pelupusan naskhah suci tersebut.
Acara pelupusan itu dilakukan pada tepat pukul 10.37 pagi di perairan Kuala Terengganu yang terletak kira-kira sembilan batu nautika dari jeti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur dekat sini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pelupusan abu al-Quran itu dengan cara membuangnya ke tengah laut merupakan pendekatan terbaik untuk menjaga kesuciannya.
Menurut beliau, usaha tersebut telah dilakukan sejak empat tahun lalu oleh bahagian penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bermula dengan proses mengumpul al-Quran yang telah rosak dan salah cetak sehinggalah kepada proses membakar serta membuangnya ke laut.
"Kita biasa mendengar orang melupuskan al-Quran dengan cara menanamnya ke tanah selepas dibakar tetapi ramai yang tidak tahu bahawa melupuskan naskhah suci itu dengan membuangnya ke tengah laut adalah lebih baik," katanya selepas mengetuai rombongan JHEAT dan media pada acara pelupusan itu di sini semalam.

Peniaga diburu ah long akibat hutang rakan


SAM (kiri) dan Keng Heng (tengah) mengadu masalah mereka yang diganggu ah long kepada Michael di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang peniaga kedai perabot menjadi sasaran ah long selepas rakan kongsinya meminjam wang RM360,000 tanpa pengetahuannya.
Mangsa, Tan Keng Heng, 42, berkata, rakannya yang dikenali sebagai Ying, 40, dipercayai menggunakan tiga cek milik syarikat yang bernilai RM200,000, RM100,000 dan RM60,000 sebagai cagaran untuk membuat pinjaman.
Katanya, dia menyedari perkara itu selepas lapan cek milik syarikatnya hilang pada 22 September lalu.
"Yong yang menjadi rakan kongsi saya sejak tahun 2004 telah melarikan diri pada Disember tahun lalu disebabkan hutang keliling pinggang.
"Saya kesal kerana dia turut meniru tanda tangan saya dan menandatangani ketiga-tiga cek bernilai RM360,000 untuk membuat pinjaman dengan ah long," katanya selepas membuat aduan kepada Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di sini semalam.

Guna kapal seludup diesel RM1.4 juta


NORZAID (kiri) bersama Othman (kanan) memeriksa kapal tangki yang ditahan kerana cuba menyeludup diesel bersubsidi di Pelabuhan Klang semalam.


PELABUHAN KLANG – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup hampir 500,000 liter minyak diesel subsidi bernilai RM1.4 juta dipercayai untuk dihantar ke Singapura berjaya ditumpaskan oleh Pasukan Polis Marin di Jeti Awal Idaman, Pulau Indah di sini kelmarin.
Ketika serbuan pada pukul 3 petang itu, sembilan orang lelaki sedang sibuk melakukan kerja-kerja memindahkan minyak diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah kapal tangki yang berlabuh di jeti tersebut melalui saluran paip.
Mereka yang terdiri daripada tujuh anak kapal warga Myanmar dan dua pemandu lori tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan anggota daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi, Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, pemeriksaan mendapati 452,940 liter minyak diesel telah dipindah ke dalam tangki kapal terbabit.

No comments:

Post a Comment