Wednesday, April 11, 2012

REZEKI BOLEH BERKURANG DAN BOLEH BERTAMBAH...ITU HAK ALLAH

500 stesen Esso hilang bisnes


SEBUAH stesen minyak Esso di Taman Maluri, Kuala Lumpur terpaksa menghentikan sementara operasi selepas kehabisan minyak semalam.



KUALA LUMPUR - Masalah ketiadaan bekalan minyak RON95 dan diesel yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak Esso di Lembah Klang rupa-rupanya menjadi isu besar memandangkan kes yang sama turut berlaku di kira-kira 500 stesen minyak jenama sama di seluruh negara sejak beberapa hari lalu.
Kosmo! difahamkan, masalah tersebut menyebabkan setiap stesen minyak kerugian transaksi jualan RON95 dan diesel berjumlah RM110,000 sehari atau keseluruhannya RM55 juta jika membabitkan 500 stesen.
Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Esso Malaysia (EPDAM), Abd. Razak Harun berkata, keadaan tersebut menyebabkan para pengusaha stesen minyak semakin tertekan ekoran keuntungan perniagaan mereka banyak bergantung kepada hasil jualan minyak.
Menurut beliau, isu tersebut perlu ditangani segera bagi mengelak tanggapan negatif pelanggan terhadap operasi syarikat minyak itu.
"Kita akan mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan, Petron Corp. esok (hari ini) bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan rungutan beberapa pengusaha stesen minyak Esso di Lembah Klang yang mendakwa perniagaan mereka terjejas setelah tidak menerima bekalan RON95 dan diesel daripada pembekal syarikat petroleum tersebut sejak 1 April lepas.
Pada masa ini terdapat lebih 3,200 buah stesen minyak di seluruh negara dengan kira-kira 500 buah di bawah jenama Esso.

Kerajaan tidak cadang wajibkan e-filing

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan tidak bercadang untuk mewajibkan proses pembayaran cukai melalui sistem e-filing berikutan cadangan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan proses pembayaran cukai melalui e-filing,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ketua Pengarah LHDN, Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar baru-baru ini telah mencadangkan usul kepada kementerian untuk mewajibkan pembayaran cukai melalui sistem e-filing.
Pada masa ini sebanyak 2.5 juta pembayar cukai menggunakan e-filing iaitu hampir 70 peratus daripada keseluruhan pembayar cukai di negara ini.

Pasukan peronda cegah maksiat di Aceh


SEORANG anggota polis peronda pencegah maksiat memeriksa kad pengenalan satu pasangan yang belum berkahwin di Banda Aceh kelmarin.


BANDA ACEH - Anggota-anggota polis pencegah maksiat di sini melakukan rondaan dengan menaiki trak dan kenderaan lain bagi memastikan penduduk beragama Islam tidak melakukan perbuatan yang menyalahi ajaran agama itu.
Mereka akan menghampiri pasangan yang dilihat berdua-duaan dan memberi nasihat kepada mereka supaya pulang ke rumah.
Aceh merupakan sebuah wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang syariah.
Terdapat 1,000 anggota polis itu yang dikenali sebagai Wilayatul Hisbah di sini.
Pada minggu lalu, seorang wanita memakai tudung dengan tergesa-gesa manakala satu pasangan kekasih yang menaiki motosikal beredar di sebuah kawasan di tepi pantai apabila melihat anggota-anggota peronda Wilayatul Hisbah menghampiri mereka.
Namun, satu pasangan kekasih lain yang bersembunyi di belakang sebuah batu besar ditahan oleh anggota-anggota polis itu.
"Adakah kamu sudah berkahwin?" soal seorang anggota polis tersebut yang bermisai tebal.
Pasangan kekasih itu kemudian menggelengkan kepala mereka.
"Perbuatan ini tidak dapat diterima di Aceh. Kita mempunyai undang-undang syariah di sini. Pergi pulang sekarang," kata anggota polis tersebut selepas memeriksa kad pengenalan pemuda dan gadis itu. - AFP

Isteri nusyuz dituntut bayar RM1 juta


CINTA FACEBOOK... Gambar perkahwinan Muhammad Sem dan Norlysalfarina pada 12 November 2010 di Terengganu.


KUALA LUMPUR – Terkilan dan sedih dengan tindakan isteri yang didakwa lari bersama teman lelakinya, seorang mualaf memfailkan permohonan nusyuz terhadap jururawat sebuah hospital kerajaan selain menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memungkiri perjanjian perkahwinan.
Pembantu arkitek, Muhammad Sem Yap Abdullah, 39, selaku plaintif mengemukakan permohonan tersebut terhadap isterinya, Norlysalfarina Zainal, 30, di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 16 Januari lalu.
Plaintif dalam afidavit permohonan tersebut berkata, sebelum berkahwin, mereka telah membuat perjanjian perkahwinan bertarikh 7 November 2010 iaitu sekiranya defendan mungkir janji syarat-syarat perkahwinan, dia perlu membayar ganti rugi RM1 juta kepada plaintif.
Jelas plaintif, dia dan Norlysalfarina berkenalan menerusi laman sosial Facebook sebelum mengambil keputusan bernikah di Kerteh, Terengganu pada 12 November 2010 demi menyelamatkan wanita itu yang didakwa ketika itu mempunyai masalah dalaman. Hantaran perkahwinan pasangan itu berjumlah RM15,000.
“Namun selepas bernikah kami terpaksa tinggal berasingan atas alasan kerja dengan defendan menetap di Kerteh. Bagaimanapun, pada Jun 2011, atas usaha saya, defendan berpindah ke Hospital Selayang,” kata Muhammad yang memeluk agama Islam sejak 1994.

Pemandu didakwa sebab kematian


SUGUMARAN dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong, Pahang semalam atas tuduhan menyebabkan kematian pelancong India.


BENTONG – Seorang pemandu bas persiaran tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kemalangan sehingga meragut dua nyawa pelancong warga India dalam kemalangan pada 5 Mac lalu.
Tertuduh R. Sugumaran, 26, dituduh memandu bas persiaran itu sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di Kilometer 4.5, Jalan Genting Highlands dekat sini.
Kemalangan itu menyebabkan dua daripada 22 pelancong dalam bas itu maut. Dua mangsa yang terkorban ialah Rajindra Kumar Agarwal, 67, dan Anita Aggarwal, 59.
Akibat kejadian itu, Sugumaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun hingga maksimum 10 tahun dan denda RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Banduan dijel kali kedua kerana ugut bunuh jiran

MELAKA – Seorang pemandu lori yang sedang menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas didapati bersalah mencederakan seorang jirannya pada Februari lalu, sekali lagi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengugut orang yang sama.
Majistret Ida Rahayu Sharif menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Helmi Mohd. Yunos, 47, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Helmi didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan iaitu 'mahu bunuh' terhadap Husin Dalip, 59, sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 6 petang, 27 Februari lalu di halaman sebuah rumah di Kilometer 14, Kampung Paya Rumput di sini.

Wanita dera anak kekasih dipenjara 8 tahun


Wanita dera anak kekasih dipenjara 8 tahun


KLANG – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan teman lelakinya yang berusia 13 tahun hingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Shalina Sundiri Abdullah (gambar), 42, telah mendera mangsa dengan menyimbah air panas, memukul menggunakan getah paip dan kayu besar serta memasukkan batang kayu mop dan cili padi ke dalam kemaluan kanak-kanak malang itu.
Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kelima-lima pertuduhan itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei 2011.
Siti Noraida turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas bapa kanak-kanak itu selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa dengan memukulnya menggunakan kayu.
Shalina didakwa melakukan kesemua perbuatan itu ke atas mangsa di sebuah pangsapuri di sini, antara 25 Disember 2010 sehingga akhir April tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Sekat sebar SMS porno, permainan terselindung


KERAJAAN mahu SKMM dan syarikat Telco menyekat penyebaran SMS yang tidak diperlukan kepada orang ramai. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi (Telco) digesa mencari satu kaedah terbaik bagi menangani penyebaran maklumat yang tidak diperlukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Maklumat tersebut diedar secara rambang dan mengenakan caj tidak munasabah kepada pengguna.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kedua-dua pihak berkenaan diberi tempoh dua bulan untuk mencari jalan untuk menyekat penyebaran SMS tersebut selain daripada mengenakan tindakan undang-undang.
“Kita tidak mahu SMS yang berunsur pornografi atau permainan terselindung dihantar terutamanya kepada anak-anak kita yang masih kecil.
“Sehubungan itu, kita meminta agar syarikat Telco dan SKMM dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membendung perkara itu,” katanya pada Kempen 10 Juta Tandatangan bagi membantah caj enam peratus yang dikenakan oleh syarikat Telco di sini semalam.

Peniaga tergamam gerai kena sita


BEBERAPA anggota penguat kuasa MBAS merampas sebuah gerai minuman yang gagal membayar sewa bulanan tertunggak dalam operasi di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang peniaga di Sudut Selera Putra di sini tergamam apabila gerai minumannya diangkut Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam Operasi Sita pada pagi semalam gara-gara gagal menjelaskan tunggakan sewa sebanyak RM5,600.
Peniaga terbabit yang berusia dalam lingkungan 40-an didapati gagal membuat bayaran sewa gerai sebanyak RM140 sebulan sejak lebih tiga tahun lalu.
Selain gerai minuman itu, turut menghadapi tindakan sita adalah dua buah gerai makanan di Taman Selera Mergong di sini yang masing-masing mempunyai tunggakan sewa sebanyak RM1,500 dan RM1,200 sejak Disember tahun lalu.
Menurut Ketua Unit Sewaan MBAS, Shaari Abdullah, dalam operasi tersebut, sebanyak lapan buah gerai di dua medan selera di sini dengan tunggakan keseluruhan berjumlah RM22,720 diperiksa oleh 25 pegawai dan penguat kuasa MBAS.
Katanya, dua buah gerai kekal di Taman Selera Mergong telah dikenakan tindakan kunci manakala sebuah gerai mudah alih di Sudut Selera Putra diangkut ke MBAS kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa.

Subahat rasuah dengan isteri


SURAYA, isteri kepada Noor Mohamed Khan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang Timbalan Pengarah Bahagian Kandungan dan Penguat Kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersubahat dengan isterinya serta seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta berhubung kesalahan rasuah RM250,000 pada Mac lalu.
Tertuduh, Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, 39, didakwa bersubahat dengan isterinya, Suraya Hani Ahmad Zaki yang sedang mengandung dan Noorshidin Mohd. Noor, iaitu menerima bagi diri mereka wang RM250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn. Bhd., Mohd. Shukri Othman.
Perbuatan itu sebagai upah kononnya membantu syarikat itu memperoleh surat penganugerahan bagi tender mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, pada pukul 10.25 pagi, 14 Mac lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Undang-undang baharu ganti ISA lebih terbuka

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Rang undang-undang itu dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beliau juga mencadangkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu dibuat pada persidangan ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, rang undang-undang itu akan dibacakan untuk kali kedua dan dibahas Isnin ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 September lepas mengumumkan ISA akan dimansuh dan satu akta baharu akan diwujudkan bagi menggantikan akta itu.
Antara yang terkandung dalam rang undang-undang baharu itu ialah pada Bahagian 5 Fasal 12 yang mencadangkan supaya semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Pada Bahagian Dua rang undang-undang tersebut pula, ia menyatakan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata kerana kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.
Bahagian yang sama turut memperuntukkan kuasa khas bagi kesalahan keselamatan iaitu seorang pegawai polis boleh, tanpa waran menangkap dan menahan ke atas orang yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.
Seseorang yang ditangkap pula, hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera alasan ditangkap dan orang yang ditangkap dan ditahan, boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan.

Man Kuchai penjenayah berbahaya



KERATAN Kosmo! 7 April 2012.



KUALA LUMPUR - Man Kuchai, penjenayah yang meloloskan diri dari lokap Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Jumaat lalu adalah individu berbahaya kerana dia dipercayai memiliki pistol dan bersikap agresif apabila terdesak.
Suspek yang merupakan ketua kumpulan penjenayah sempena nama gelarannya Man Kuchai itu didapati banyak terlibat dalam kegiatan samun bersenjata dan rompakan premis perniagaan 24 jam di sekitar ibu negara.
Modus operandi penjenayah Man Kuchai adalah menyamar sebagai pegawai polis atau melanggar belakang kereta mangsa sebelum menyamun mangsanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Man Kuchai atau nama sebenarnya Mohd. Redzuan Abd. Rahman, 33, dianggap penjenayah berbahaya kerana dia merupakan seorang yang agresif dan sanggup mencederakan mangsa ketika melakukan samun.
"Pada 6 April lalu, Man Kuchai sepatutnya dibicarakan bagi empat kesalahan jenayah melibatkan kes samun dan menyamar sebagai penjawat awam di Cheras, Brickfields dan Dang Wangi.
"Man Kuchai semasa itu dibawa dari Penjara Sungai Buloh bersama 45 tahanan lain ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta namun dia berjaya melarikan diri sebelum dibicarakan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Akhbar pada Sabtu lalu melaporkan, suspek itu melarikan diri dari kompleks mahkamah selepas berjaya mengeluarkan tangan daripada gari semasa menyimpan barang dalam loker di lokap mahkamah.

Geng penyamun masuk perangkap



MOHAN SINGH (tengah) menunjukkan sebahagian barang kes yang dirampas daripada Geng Snooke dan Geng Wan Toncet pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Penglibatan sekumpulan lelaki bergelar Geng Snooke yang giat menyamun, meragut dan mencuri di daerah Cheras berkubur apabila lima anggota kumpulan itu diberkas baru-baru ini.
Suspek-suspek berusia antara 24 dan 25 tahun itu ditahan selepas polis menyiasat laporan seorang wanita yang diragut penjenayah berkenaan di Batu 6, Jalan Cheras pada pukul 11.30 malam, 28 Januari lalu.
Kelima-lima suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Cheras Baru di sini pada pukul 1 pagi, 3 April lalu. Dua daripada mereka positif ganja.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pemeriksaan di dalam rumah itu polis menemui beberapa senjata dan barangan dipercayai hasil samun, ragut dan curi.
"Antara barangan yang dirampas termasuk sebilah sabit, sebilah parang, dua bilah pisau, lima buah telefon bimbit, beberapa buah komponen motosikal, nombor plat palsu, beg sandang, kad akses hotel, enam buah motosikal dan tiga buah kereta," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sula bandar raya paling ganas di dunia



GAMBAR pada 11 Mac 2012 menunjukkan mayat seorang lelaki dan wanita terbaring di sebuah pusat snuker selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng di San Pedro Sula, Honduras.



SAN PEDRO SULA - Bandar yang terletak di Honduras, negara rantau Amerika Tengah ini merupakan bandar raya paling ganas di dunia.
Hampir setiap hari, penduduknya disajikan dengan adegan kumpulan penjenayah bertempur menggunakan raifal AK-47 dan grenad, pembunuh menyerang pada siang hari dan anggota polis meminta wang suapan.
Di Honduras, negara yang memiliki populasi lapan juta orang, satu kes pembunuhan dilaporkan pada setiap 74 minit.
Beberapa pakar memberitahu, keganasan yang melanda negara berkenaan berkait rapat dengan aktiviti penyeludupan dadah dan gejala rasuah. - AFP

No comments:

Post a Comment