Monday, April 9, 2012

MENCURI TENTU ADA SEBAB...SEKURANG2 BILA HUKUM ISLAM DIABAIKAN...HUDUD JUGA TIDAK DILAKSANAKAN...

15 pelajar berkhemah dipanah petir

MOHD. ALI melawat pelajar yang dipanah petir dalam kejadian ribut di Bukit Katil, Melaka semalam.


MELAKA - Seramai 15 pelajar lelaki yang sedang mengikuti program perkhemahan di Kem Pengakap Bukit Katil di sini cedera disambar petir ketika berteduh di bawah khemah masing-masing sewaktu hujan lebat semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, pelajar yang menganggotai Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) dari Sekolah Menengah St. Francis, Bandar Hilir berusia 15 hingga 17 tahun tersebut menerima rawatan di jabatan kecemasan, Hospital Melaka.
Difahamkan, sebelum kejadian, semua pelajar yang berjumlah 584 orang dari sekolah seluruh negeri Melaka sedang menjalani sesi perkhemahan di kawasan terbabit sebelum hujan lebat dan petir berlaku.
Seorang mangsa, Mohd. Faisal Othman, 15, berkata, ketika kejadian dia dan rakan yang lain diarah masuk ke dalam khemah yang menempatkan enam pelajar lain kerana hujan lebat.

Hidup tertekan bisnes merosot




KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha produk kecantikan mendakwa bukan sahaja tertekan akibat menerima persepsi negatif masyarakat malah bisnesnya turut mengalami kerugian hampir RM180,000 sejak suaminya memfailkan dakwaan di mahkamah terhadap dirinya yang dikatakan lelaki menyerupai wanita.
Sri Wani Choo Abdullah, 37, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 setiap bulan sejak suaminya, Profesor Dr. Bahrom Sanugi, 61, memfailkan kes tersebut tahun lalu.
“Semua andaian yang dibuat mengenai status jantina saya menyebabkan saya tertekan dan menjatuhkan maruah diri, keluarga serta perniagaan.
“Saya juga terpaksa menutup premis selama dua hari kerana tertekan dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Kosmo! di premis perniagaannya semalam.

Politik bukan beban - Shahrizat

KUALA LUMPUR – “Politik tidak pernah menjadi beban kepada saya, ia datang secara semula jadi.”
Demikian tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika ditanya adakah beliau akan meninggalkan arena politik selepas pelbagai isu yang melanda dirinya.
Beliau yang menamatkan perkhidmatannya sebagai menteri selama 11 tahun semalam berkata, sebagai seorang muslim, beliau menerima segala ketentuan Tuhan.
“Tempoh lima bulan lepas merupakan bulan yang paling mencabar dan saya bersyukur apabila orang yang saya jumpa secara peribadi tidak menunjukkan sikap dingin atau menjauhkan diri sebaliknya menyatakan sokongan tidak berbelah bagi,” katanya selepas menghadiri majlis Swadaya Mahabbah Tahfiz 1Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Jururawat HUSM didakwa mencuri


DI pasar raya Giant Pusat Dagangan Kota Bharu di Jalan Parit Dalam inilah Zubaidah dituduh mencuri beberapa barangan.


KOTA BHARU – Seorang jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri satu kotak seluar dalam lelaki jenama Edwin dan beberapa barangan lain di sebuah pasar raya di sini pada minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Zubaidah Yaacob, 26, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di depan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor.
Zubaidah didakwa melakukan perbuatan tersebut di pasar raya Giant Pusat Dagangan Kota Bharu (KBTC) di Jalan Parit Dalam di sini pada pukul 2.30 petang, 3 April lalu.
Selain satu kotak seluar dalam jenama Edwin, Zubaidah turut didakwa mencuri dua helai baju-T lelaki jenama Polo, sehelai baju perempuan jenama LD Mat, satu tali pinggang kulit, sepasang selipar jenama G-Style, satu getah pengikat rambut jenama G-Style dan satu klip rambut jenama G-Style milik pasar raya tersebut.
Difahamkan nilai keseluruhan barangan yang didakwa dicuri jururawat itu sebanyak RM190.82.
Zubaidah dari Kampung Padang Lati Bekelam, Bachok, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan menawarkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM4,500.
Bagaimanapun, Zubaidah yang berada di kandang tertuduh memohon supaya wang jaminannya dikurangkan.
“Saya banyak hutang, tanggungan ramai, saya mohon wang jaminan dikurangkan,” kata Zubaidah yang difahamkan sudah berkahwin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,800 dan menetapkan 30 April ini untuk sebutan kes.
Sementara itu, Zubaidah dilihat sudah berada di mahkamah sejak pagi.
Zubaidah menutup mukanya dengan tangan apabila jurugambar mahu merakam wajahnya. Dia membayar wang jaminan.

Masuk hospital angkara hutang


MANGSA yang cedera selepas dipercayai diculik oleh ah long dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah dipercayai menjadi mangsa sekumpulan ah long yang menculik dan membelasahnya selepas gagal melangsaikan hutang sebanyak RM40,000 yang didakwa dipinjam mangsa.
Sebelum kejadian itu, mangsa yang berusia 54 tahun keluar dari rumahnya di Sungai Long di sini pada pagi Jumaat lalu dengan menunggang motosikal seorang diri sebelum dia dipercayai dilarikan ah long di satu lokasi yang belum diketahui.
Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan selain patah tulang rusuk kini dirawat di sebuah hospital di ibu negara selepas ditemui di sebuah kawasan di Petaling Jaya pada malam pada hari sama.
Sebelum kejadian, anak perempuan mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa bapanya berhutang sebanyak RM40,000.

Penjenayah berputih mata


Penduduk di Desa Setapak, Wangsa Maju malam kelmarin keluar beramai-ramai mencari penjenayah yang memecah masuk sebuah rumah di kawasan itu.


KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah dicekup ketika cuba bersembunyi dengan hasil curi di atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Setapak, Wangsa Maju di sini kelmarin selepas memecah masuk rumah jiran bersebelahan.
Lelaki warga tempatan itu dikatakan memecah masuk sebuah rumah yang pada ketika itu tiada berpenghuni pada kira-kira pukul 10 malam serta melarikan beberapa barang yang dicuri.
Bagaimanapun, perbuatannya itu disedari jiran tetangga yang bertindak memberkas suspek sebelum menghubungi polis.
Ramai penduduk di kawasan perumahan itu keluar bagi membantu menangkap penjenayah terbabit.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, suspek berumur 36 tahun itu melarikan diri dengan memasuki rumah bersebelahan dan bersembunyi berhampiran tangki air yang terletak di siling rumah tersebut sebelum diberkas polis dan penduduk setempat.
Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Cif Inspektor Mispani Hamdan berkata, polis turut menemui barangan dipercayai hasil pecah rumah antaranya komputer riba, kamera dan telefon bimbit daripada suspek.

Hidup merempat selepas kemalangan


HISYAM (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Amutha dan suaminya, Sugendran (kanan) sambil diperhatikan oleh Amir Hamzah (kiri) di pejabat Pembela BN, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.


MELAKA – Masalah kesempitan hidup menyebabkan seorang ibu di sini hampir setiap hari hanya mampu menghidangkan nasi berlauk telur yang dibahagi empat kepada empat anaknya.
Lebih perit, pasangan suami isteri, P. Sugendran, 23, dan M. Amutha, 23, serta empat anaknya yang berusia antara dua hingga enam tahun dari Taman Kesidang di sini juga menunggu masa untuk dihalau keluar oleh pemilik rumah sewa yang didiami mereka sekeluarga.
Ia berikutan sudah enam bulan pasangan berkenaan gagal melunaskan bayaran sewa rumah berjumlah RM250 sebulan.
Keluarga tersebut ditimpa kesempitan hidup selepas Sugendran terlibat dalam kemalangan jalan raya di Malim dekat sini kira-kira setahun lalu dan mengalami kecederaan pada kaki.
Menurut Amutha, sejak itu, suaminya yang bekerja sebagai buruh menurap jalan dengan pendapatan RM700 sebulan sering bercuti sakit apabila mengalami kekejangan pada kaki kanannya menyebabkan pendapatannya tidak menentu.

500,000 gagal ujian Puspakom


CHO HA menandatangani plak perasmian Puspakom cawangan Manjung sambil diperhatikan Hisham (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan (dua dari kanan) di Manjung semalam.


SERI MANJUNG - Lebih 500,000 kenderaan tidak melepasi ujian pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di seluruh negara sepanjang tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Menurut beliau, jumlah itu meliputi 19 peratus daripada lebih tiga juta kenderaan yang dihantar menjalani pemeriksaan berkala di agensi terbabit pada 2011.
"Secara statistiknya sebanyak 577,689 buah kenderaan yang dihantar gagal dalam ujian pemeriksaan Puspakom sepanjang tahun lalu.
"Kebanyakan kenderaan itu tidak menepati standard ditetapkan," katanya selepas merasmikan Pusat Pemeriksaan Puspakom Manjung di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh dekat sini semalam.

Imigresen pantau warga Afrika


MASALAH sosial dan jenayah melibatkan warga Afrika di negara ini semakin membimbangkan.- Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen tidak sesekali akan membenarkan pelajar warga asing, khususnya warga Afrika masuk sewenang-wenangnya ke negara ini, terutamanya mereka yang pernah disenarai hitam atas kesalahan jenayah.
Itu tegas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad dan pihaknya menyemak secara teliti setiap rekod keluar masuk warga asing, termasuk mereka yang berstatus pelajar di pintu masuk utama di negara ini.
"Kami hanya akan mengeluarkan pas pelajar setelah mendapat kelulusan daripada KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) atau KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia)," ujarnya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan banyak pihak mengenai kegiatan sesetengah warga asing, terutamanya warga Afrika yang melakukan jenayah di negara ini.
Sesetengah mereka dikatakan telah menyalahgunakan status pelajar dan terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram, perjudian dan aktiviti tidak bermoral.

No comments:

Post a Comment