Monday, April 9, 2012

BILA TV ...MEMANG TAK PENDULI HALAL HARAM....MACAM TAK PENDULI HUKUM ALLAH SWT

Pereka Porsche 911 meninggal


PORSCHE bergambar bersama kereta Porsche 901 pada tahun 1963.


FRANKFURT, Jerman - Pereka model kereta sport Porsche 911, Ferdinand Alexander Porsche meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Cucu pengasas jenama automotif mewah itu menghembuskan nafas terakhirnya di Salzburg, Austria kelmarin. Punca kematiannya tidak didedahkan.
Dikenali sebagai F.A dalam kalangan kakitangan Porsche, beliau mengetuai sebuah firma reka bentuk pada tahun 1960-an.
Firma tersebut diberi tugas menggantikan model Porsche 356.
Porsche kemudian tampil dengan idea reka bentuk yang kemas, selain menggantikan enjin empat silinder kepada enjin lebih berkuasa iaitu enam silinder.
Model Porsche 911 dihasilkan pada tahun 1963. Sudah memasuki generasi ketujuh, model itu terus dikenali sehingga ke hari ini.
Pada asalnya, Porsche mahu menggunakan nama 901.
Namun, nombor itu ditukar kerana pengeluar kereta dari Perancis, Peugeot mendakwa pihaknya sudah mempatenkan nama kenderaan dengan nombor '0' pada bahagian tengahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Matthias Mueller menyatakan penghormatannya ke atas Porsche dan menyifatkan beliau sebagai pengasas budaya reka bentuk dalam syarikat Porsche yang menjadikan kereta sport Porsche dikenali sehingga ke hari ini.
Lahir di Stuttgart, Jerman pada tahun 11 Disember 1935, Porsche ialah anak Ferry Porsche.
Beliau melanjutkan pelajaran ke Ulm School of Design dan menyertai syarikat Porsche pada tahun 1958.
Pada tahun 1972, Porsche menubuhkan Porsche Design Studio yang bertanggungjawab mereka bentuk askseori seperti cermin mata, jam dan pen. - Agensi

'Kapal hantu' ditenggelamkan


AFP - ASAP menjulang dari kapal Ryou-Un Maru.


JUNEAU, Amerika Syarikat (AS) - Pelayaran kapal nelayan Jepun, Ryou-Un Maru berakhir di perairan Alaska kelmarin apabila ia ditenggelamkan dengan menggunakan bedilan meriam dari kapal Pengawal Pantai AS.
Kapal sepanjang sekitar 50 meter itu hanyut di Lautan Pasifik sehingga ke perairan Alaska ekoran bencana tsunami yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac tahun lalu.
Seorang pegawai pengawal pantai, Kip Wadlow dalam satu kenyataan memberitahu, 'kapal hantu' itu terbakar dan tenggelam dalam tempoh empat jam.
Ia tenggelam ke dasar laut pada kedalaman lebih 1,830 meter, 290 kilometer ke barat daya perairan Alaska.
Pihak berkuasa AS memutuskan untuk menenggelamkan kapal berkenaan bagi mengelakkan ia membahayakan kapal-kapal lain. - Agensi

Gambar pembunuh bersiri didedah

KOMBINASI gambar Manson dari tahun 1969 sehingga tahun lalu.


LOS ANGELES - Gambar baharu banduan digeruni, Charles Manson yang dipenjara selama 40 tahun kerana terlibat dalam satu siri pembunuhan kejam telah didedahkan oleh pihak berkuasa penjara California kelmarin.
Manson yang berusia 77 tahun dikatakan akan menghadiri perbicaraan parol yang baharu pada Rabu depan.
Gambar itu menunjukkan dia kelihatan tidak kemas dengan rambut beruban dan berjambang.
Dia juga masih mempunyai tatu sawastika pada dahinya.
"Kali terakhir dia menghadiri perbicaraan parol ialah pada Mei 2007. Dia kemudian tidak diberi parol selama lima tahun," kata seorang pegawai, Terry Thornton dari Jabatan Pemulihan California.
Manson merupakan salah seorang banduan paling digeruni di Amerika Syarikat.
Dia dipenjarakan di penjara negeri Concoran, 300 kilometer dari Los Angeles.
Pada tahun 2007, dia dinafikan untuk mendapat parol buat kali ke-11.
Dia pernah mengetuai satu kumpulan ajaran sesat dan merancang plot pembunuhan di kawasan perumahan mewah yang dihuni oleh penduduk kulit putih sebelum menyatakan jenayah itu dilakukan oleh penduduk Afrika-Amerika.
Manson dikenakan hukuman mati kerana peranannya membunuh tujuh orang mangsa termasuk isteri pembikin filem Roman Polanski, Sharon Tate yang hamil pada Ogos 1969.
Namun, hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup selepas hukuman mati diharamkan di California pada tahun 1972. - AFP

Tiada larangan terhadap watak lesbian, gay di TV

KERAJAAN tidak mewujudkan sebarang larangan berhubung watak yang digambarkan sebagai lesbian, gay, biseksual dan transeksual dalam saluran-saluran televisyen milik kerajaan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, tidak wujud larangan berhubung watak yang digambarkan sebagai lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dalam saluran-saluran televisyen milik kerajaan.
"Tidak ada larangan atas mana-mana persembahan seni oleh mana-mana segmen masyarakat termasuk yang disifatkan sebagai lelaki 'lembut' (atau kewanita-wanitaan)," katanya dalam Twitter.
Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya masih berhak untuk memilih kandungan yang sesuai untuk orang awam memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, agama dan budaya.
Rais memberi penjelasan berhubung laporan satu berita portal mengenai perkara itu, yang berasal daripada satu entri Facebook oleh Jabatan Penerangan.

Sri Wani dan Dr. Bahrom wajib dipisahkan sementara


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan bahawa perkahwinan antara pasangan sesama jantina adalah dilarang dan tidak diiktiraf sama sekali dalam Islam.
Menurut beliau, mengikut hukum syarak, setiap perkahwinan perlu meliputi lima rukun nikah yang wajib dituruti iaitu suami (lelaki), isteri (perempuan), wali, dua orang saksi serta akad nikah.
Justeru, katanya, jika salah satu daripada kelima-lima rukun itu tidak dipenuhi, perkahwinan tersebut adalah tidak sah.
“Walaupun secara luarannya, seseorang itu kelihatan seperti seorang wanita tetapi hakikatnya, dia masih kekal sebagai seorang lelaki. Oleh itu, dia tidak boleh bergelar isteri.
“Mana-mana individu sama jantina yang berkahwin boleh didakwa mengikut Seksyen 11 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan jika sabit kesalahan, mahkamah berhak membatalkan perkahwinan tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kit identiti bantu kes kehilangan kanak-kanak


ISMAIL (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada ibu Allahyarham Nurul Nadirah, Roselyn Alan (dua dari kiri) di Masai, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kumpulan Perbankan RHB menjalinkan kerjasama bagi menghasilkan Kit Pengenalan Kanak-kanak sebagai usaha memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan sekiranya berlaku kes kanak-kanak hilang atau culik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kit tersebut akan menyimpan maklumat terperinci mengenai kanak-kanak terbabit termasuk gambar terbaharu, biodata, kumpulan darah, cap jari serta tanda kelahiran.
Jelasnya, kit yang mula diperkenalkan pada tahun lalu itu akan disimpan sendiri oleh ibu bapa dan diserahkan kepada polis sekiranya berlaku kes kehilangan anak mereka.
“Dalam situasi semasa, apabila berlaku kes kehilangan kanak-kanak, polis tidak mempunyai data yang cukup untuk menjalankan siasatan.
“Dengan adanya kit ini, kita akan dapat menjalankan siasatan dengan lebih cepat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) seluruh negara di sini semalam.

Wanita kudung kaki jual bayi


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof melihat dua bayi lelaki yang didukung dua anggota polis pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang semalam.


KLANG – Seorang wanita Singapura yang kudung kaki kirinya antara enam ditahan polis di sebuah restoran, salah sebuah pusat beli-belah Bukit Tinggi di sini semalam kerana disyaki mendalangi sindiket penjualan bayi.
Dalam serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, polis menyelamatkan dua bayi lelaki masing-masing berusia 22 hari dan berusia tiga bulan yang dalam proses dijual.
Daripada enam orang yang ditahan, dua merupakan pasangan suami isteri berketurunan India yang dipercayai mahu membeli seorang bayi itu.
Bayi yang baru berusia 22 hari itu dilengkapi pasport antarabangsa yang diberi nama Lee Kelvin.
Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan (gambar kecil) berkata, sindiket menjual bayi yang dipercayai berpusat di sebuah rumah di sini dipercayai baru memulakan kegiatan haram mereka itu tiga bulan lalu.
“Maklumat awal, polis dimaklumkan ada empat bayi akan dijual namun ketika ditahan hanya ada dua bayi dan kemungkinan dua daripada bayi lagi telah berjaya dijual,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Ada motif hapuskan Sosilawati

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa bekas peguam, N. Pathmanabhan mempunyai motif untuk 'menghapuskan' jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin berkata, antaranya Pathmanabhan didesak Sosilawati supaya mempercepatkan tarikh pada cek RM3 juta dari 9 September 2010 kepada 30 Ogos 2010.
Cek itu dikeluarkan bagi pembayaran penjualan tanah Sosilawati di Pulau Pinang dan kemasukan cek itu disahkan menerusi keterangan pegawai bank, Tiong Guat Choo.
Namun, mengikut keterangan Guat Choo, akaun Pathmanabhan hanya mempunyai RM1.38 juta. Pathmanabhan juga mengetahui wangnya tidak cukup sekiranya tarikh cek itu dipercepatkan.
"Keterangan saksi menunjukkan RM2.9 juta dipindahkan ke akaun peribadi Pathmanabhan dan dikeluarkan pada 11, 25 dan 26 Ogos 2010.
"Bagi mewajarkan pengeluaran wang milik Sosilawati, Pathmanabhan telah menulis surat bertarikh 11 Ogos 2010 yang membenarkan dia memindahkan wang itu ke akaun peribadinya dengan jumlah pengeluaran pertama sebanyak RM500,000," katanya di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Lagi banglo mewah kena serbu


SEBAHAGIAN daripada 83 anggota sindiket yang ditahan dalam serbuan di empat buah banglo di Seri Kembangan, Selangor semalam.


SERI KEMBANGAN – Siasatan polis ke atas 144 anggota sindiket penipuan dan judi Internet di enam buah banglo mewah di kawasan Country Heights, Kajang kelmarin dapat membongkar satu lagi pusat penipuan melibatkan sindiket yang sama tetapi berlainan kumpulan.
Serbuan pukul 11.30 pagi ke atas empat buah banglo mewah di Bukit Gita Bayu di sini itu dapat menahan 83 lagi anggota sindiket iaitu 66 lelaki dan lapan wanita Taiwan, dua lelaki serta lima wanita China dan dua lelaki tempatan.
Jarak antara dua tempat itu kira-kira 15 kilometer. Banglo itu disewa RM18,000 sebulan berbanding RM15,000 hingga RM20,000 di Country Heights.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kumpulan itu di bawah kendalian sindiket yang sama cuma bezanya, kumpulan di sini hanya melakukan penipuan.

Geng 'Awang Hitam' godam e-mel tipu peniaga


HOCK SING menunjukkan salinan pasport milik warga Nigeria yang ditangkap di Melaka semalam.


MELAKA - Kegiatan penipuan yang didalangi oleh warga Afrika semakin menjadi-jadi apabila kerap menukar modus operandi yang digunakan untuk menipu mangsa khususnya menggunakan medium Internet.
Terbaru, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka membongkar satu lagi bentuk penipuan yang didalangi oleh warga Afrika dengan cara menggodam e-mel mangsa sebelum menyamar sebagai rakan niaga dan meminta mangsa menjelaskan bayaran hutang.
Ketua JSJK negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, pada 30 Mac lalu, seorang peniaga yang menjalankan urusan import eksport berusia 45 tahun menerima e-mel daripada sebuah syarikat di Indonesia menuntut menjelaskan bayaran barangan yang dibelinya berjumlah RM85,000.
"Mangsa yang beranggapan e-mel itu daripada syarikat pembekal barangan yang mempunyai kaitan dengan perniagaannya kemudian membuat bayaran sebanyak dua kali iaitu RM45,000 dan RM40,000 melalui akaun sebuah bank yang dinyatakan dalam e-mel tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini semalam.

23 pekerja terhidu gas dikejarkan ke hospital


SALAH seorang pekerja yang terhidu gas ammonia dimasukkan ke wad Hospital Dungun kelmarin.


DUNGUN - Kira-kira 300 pekerja yang baru memulakan kerja lebih masa di Loji Memproses Gas Petronas, Kerteh, Kemaman gempar apabila mereka terhidu gas dipercayai ammonia kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika kesemua pekerja sedang memasuki salah sebuah loji untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan di loji tersebut.
Kejadian itu mengakibatkan sebanyak 23 pekerja terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami pedih mata, loya dan muntah-muntah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 15 pekerja dirujuk ke Hospital Dungun dan seorang lagi yang berusia 28 tahun terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selepas mengalami simptom yang lebih serius.
Pekerja-pekerja yang lain menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan, Paka di sini.
Menurut Penyelia Keselamatan loji berkenaan, Fazeli Alias, 29, ketika kejadian, kira-kira 50 pekerja sudah memasuki loji berkenaan manakala sebahagian lagi menunggu giliran untuk masuk.
"Tiba-tiba kami terhidu bau busuk dan bergegas ke pejabat tapak untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini.

No comments:

Post a Comment