Monday, April 9, 2012

AIR KECIL MEMBERI MANFAAT....BILA BESAR BAHAYA KEPADA SEMUA...

Jakarta dilanda banjir

SEJUMLAH orang melalui sebuah kawasan yang dilanda banjir di Jakarta semalam.


JAKARTA - Sebahagian Jakarta dilanda banjir ekoran hujan lebat semalaman sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk.
Banjir itu juga bermula kelmarin berikutan limpahan air dari kawasan Bogor.
Menurut laporan Bernama, kebanyakan akhbar harian utama Jakarta menyiarkan berita dan gambar banjir dalam laporan muka depan semalam.
Limpahan air sungai Pesanggrahan dan Ciliwung telah menyebabkan ribuan rumah dinaiki air di empat wilayah Jakarta, kecuali Jakarta Pusat kelmarin.
Wilayah paling teruk ialah Jakarta Selatan dengan ketinggian air antara 20 sentimeter sehingga dua meter termasuk di kawasan Pondok Labu yang menyebabkan sebilangan penduduk di Jalan Haji Ipin terpaksa dipindahkan namun mereka kembali ke rumah masing-masing apabila air surut.
Sebagai langkah mengatasi kesan banjir, Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo telah meminta pihak berkuasa tempatan supaya menyediakan pusat-pusat pemindahan banjir yang secukupnya.
Selain limpahan air Sungai Pesanggrahan, hujan lebat di Puncak Daerah Bogor, Jawa Barat petang kelmarin turut menyebabkan air di Sungai Ciliwung naik hampir ke paras berjaga-jaga Tahap Dua.
Salah satu kawasan kios perniagaan yang terkena banjir ialah Pasar Tekstil Cipulir di Jakarta Selatanyang dinaiki air sehingga paras pinggang orang dewasa sejak Isnin lalu sehingga mengganggu aktiviti perniagaan.
Selain di Jakarta, di Tangerang, Banten, sejumlah rumah juga hingga kini masih dinaiki air sejak kelmarin dan memaksa pihak berkuasa memindahkan sebilangan penduduk ke pusat pemindahan.
- Agensi

Dua gerila pemisah Thai ditangkap


GAMBAR fail menunjukkan lokasi pusat beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza yang rosak akibat letupan bom di Hatyai pada Sabtu lalu.


BANGKOK – Polis menyatakan dua anggota kumpulan pemisah Islam ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengeboman di selatan Thailand pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Thailand, Jeneral Priewpan Damapong semalam berkata, dua suspek itu adalah antara 20 anggota pemisah yang dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan bom kereta ke atas Hotel Lee Gardens Plaza di bandar Hatyai pada Sabtu lepas.
Sebanyak tiga orang terbunuh manakala lebih 200 yang lain cedera dalam serangan itu.
Polis turut percaya bahawa serangan tersebut memiliki kaitan dengan pengeboman pada hari yang sama di wilayah Yala.
Siri pengeboman di Yala meragut nyawa lebih 11 orang.
Lebih 5,000 orang terbunuh di tiga wilayah selatan Thailand sejak gerakan pemisah Islam tercetus pada 2004.
Kejadian letupan bom itu menandakan peningkatan serangan kumpulan tersebut.
Penentangan yang berlaku di selatan Thailand telah meragut nyawa ribuan penduduk Thailand sejak tahun 2004.
Serangan bom atau tembakan yang berlaku hampir pada setiap hari disasarkan terhadap askar dan orang awam sama ada penganut Islam atau Buddha.
Ketua Tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha menyatakan sebelum ini terdapat lebih 3,000 militan Islam terlibat dalam keganasan di selatan Thailand.
Militan terbabit dipercayai bukan sebahagian daripada gerakan jihad global tetapi menentang apa yang didakwa mereka sebagai diskriminasi turun-temurun terhadap etnik Melayu Islam yang dilakukan kerajaan Thai.
Gabenor Songkhla, Grisada Boonrach kelmarin menawarkan ganjaran 500,000 baht (RM49,196) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan setiap seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam letupan bom di hotel tersebut. – Agensi

Treler melayang dipukul puting beliung


SEBUAH treler (dalam bulatan) melayang semasa puting beliung melanda bandar Dallas-Fort Worth, Texas kelmarin.


DALLAS, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah treler melayang semasa puting beliung melanda kawasan Dallas-Fort Worth di negeri Texas kelmarin.
Dua buah bandar di Texas, Arlington dan Lancaster diisytihar zon bencana selepas puting beliung berkembar serta ribut menyebabkan 300 buah rumah di kawasan berkenaan rosak teruk.
Banyak kediaman yang berada dalam laluan ribut berkenaan ranap manakala sejumlah trak dan kereta turut terbalik ditiup angin kencang.
"Saya tidak pernah melihat dua puting beliung melanda dua kawasan metropolitan secara serentak seperti ini," kata seorang pakar meteorologi, Henry Margusity.
Seorang lelaki yang merakamkan gambar satu puting beliung berkenaan di utara Texas, Brandy Kemps memberitahu saluran berita ABC News; "Serpihan berterbangan merata-rata di depan mata saya termasuk debu, batu dan batang kayu.
"Puting beliung itu menuju ke arah kami dan ia kemudian hilang dari arah belakang bangunan apartmen tempat saya tinggal," katanya.
Lebih 12 orang cedera tetapi tiada laporan kemalangan jiwa berlaku dalam bencana tersebut setakat ini. - Agensi

Rugi RM1.8b akibat cetak rompak

GEJALA cetak rompak yang menjadi-jadi semakin menekan sektor industri perisian tulen. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Meskipun tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil ke atas pesalah cetak rompak perisian, peningkatan kegiatan cetak rompak di Malaysia kini membimbangkan, kata seorang penganalisis perisian terkemuka.
"Apa yang tidak disedari oleh orang ramai ialah apabila mereka membeli perisian, mereka sebenarnya membeli lesen untuk menggunakannya, bukannya perisian sebenar.
"Lesen itulah yang menyatakan berapa kali mereka boleh memasang perisian berkenaan. Oleh itu, mereka perlu membacanya. Jika pembeli membuat lebih banyak salinan perisian berbanding yang dibenarkan oleh lesen, mereka sebenarnya melakukan cetak rompak," kata Roland Chan, Pengarah Kanan Business Software Alliance (BSA) kepada Bernama di sini semalam.
Kajian cetak rompak perisian dunia oleh International Data Corporation bagi BSA Malaysia menunjukkan kadar cetak rompak komputer peribadi ialah sebanyak 56 peratus pada 2010.

Dua amah diburu sudah pulang

GOMBAK - Dua amah Indonesia yang melarikan barang kemas, wang dan jam tangan mewah yang kesemuanya bernilai lebih RM500,000 milik pengasas produk kecantikan Aura Seri di Jalan Gombak di sini dipercayai telah pulang ke Indonesia.
Satu sumber polis berkata, Luluk Tanjiyah, 32, dan Udayati, 45, yang kedua-duanya berasal dari Jawa Barat dipercayai menyusup keluar ikut jalan laut dengan bot secara haram di sekitar Pelabuhan Klang selepas mencuri barang milik majikan mereka.
"Polis syak kedua-dua amah tersebut keluar dari negara ini secara haram di kawasan Pelabuhan Klang bersama dengan barang berharga yang dicuri sebelum kejadian itu disedari majikan mereka pada Ahad lalu," kata sumber itu ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Polis juga tidak menolak kemungkinan kedua-dua amah itu dibantu beberapa orang rakan lain dalam urusan pulang ke Indonesia.
Kedua-dua amah yang menaiki bot itu dipercayai tiba di Tanjung Balai, Sumatera sebelum mereka meneruskan perjalanan ke kampung halaman masing-masing.

Syed Sobri ikhtiar bayar hutang


SYED SOBRI (kiri) mengumumkan dirinya muflis di kediamannya di Alor Setar malam kelmarin.


ALOR SETAR – “Saya akan terus ikhtiar bayar hutang walau dengan apa cara sekalipun.”
Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang mengumumkan dirinya muflis malam kelmarin setelah gagal membayar baki hutang bank berjumlah RM8 juta.
Syed Sobri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, ia merupakan sebahagian daripada pinjaman RM50 juta pada tahun 1998 bagi membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn. Bhd., disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia.
“Saya sebagai pengarah syarikat gagal membayar hutang kerana masalah kegawatan ekonomi setelah syarikat gagal disenaraikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bantal, selimut tutup mayat


ANGGOTA polis mengusung mayat Sareah yang ditemui mati di rumahnya di Masjid Tanah, Melaka semalam.


ALOR GAJAH – Misteri menyelubungi kematian seorang wanita apabila mayatnya ditemui atas katil dengan bantal dan kain selimut menutupi muka di rumahnya di Batu 24, Ramuan China Kecil di sini semalam. Bagaimanapun, tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuhnya.
Mayat Amrah @ Sareah Abd. Rahman (gambar kecil), 78, yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Solok Limau Nipis ditemui pada pukul 8 pagi oleh seorang anak lelakinya yang menghantar sarapan ke rumah warga emas itu.
Menurut anak mangsa, Abdul Ghafar Daud, 55, sebelum menemui mayat ibunya, seperti biasa dia menghantar sarapan untuk dijamah ibunya sebelum pergi ke pejabatnya di Batu 25 di Ramuan China Kecil pada setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad.

Pijak darah mangsa bunuh


ANGGOTA polis menyiasat kawasan rumah tempat mayat Letchumi ditemui mati dibunuh di Nibong Tebal, Pulau Pinang kelmarin.


NIBONG TEBAL - Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati makan malam yang disediakan oleh isterinya musnah apabila dia mendapati wanita itu mati dibunuh dalam kejadian di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini kelmarin.
Mayat suri rumah, P. M Letchumi, 54, ditemui oleh suaminya S. Nadharajan, 55, sebaik pulang dari kerja pada pukul 7.45 malam. Dia dijumpai di sebuah bilik dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka pada leher dan tapak tangannya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, ketika tiba di rumahnya, Nadharajan mendapati pintu rumah terbuka dan tiada kesan pecah masuk.
"Kita percaya suspek merupakan orang yang dikenali mangsa. Suspek dikatakan telah menggeledah rumah mangsa kerana terdapat kesan tapak kaki yang terpijak darah di dalam salah sebuah bilik," katanya.

11 penyu agar ditemui mati


PEGAWAI dari Jabatan Perikanan memeriksa bangkai seekor penyu agar yang ditemui mati di pantai Marang, Setiu,Terengganu. - Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU - Tabung Perlindungan Hidupan Liar (WWF) Malaysia memandang serius mengenai masa depan penyu agar di negeri ini apabila rekod menunjukkan sekurang-kurangnya 11 bangkai hidupan laut itu ditemui dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Pengarah eksekutifnya, Datuk Dr. Dionysius Sharma berkata, laporan daripada Jabatan Perikanan dan maklumat awam mendapati bangkai-bangkai penyu agar ditemui di pesisir pantai Marang, Dungun, Kemaman, Kuala Terengganu dan Setiu.
Ujarnya, senario tersebut dipercayai berpunca daripada aktiviti menangkap ikan secara haram di sepanjang perairan negara.

No comments:

Post a Comment