Amah balas madu dengan tuba
GOMBAK – Dua pembantu rumah Indonesia langsung tidak tahu mengenang budi walaupun mereka sudah dianggap sebagai keluarga sendiri oleh seorang jutawan kosmetik apabila tergamak mencuri barang berharga milik majikannya bernilai RM500,000.
Dalam kejadian di Jalan Gombak di sini Ahad lalu, Luluk Tanjiyah, 32, dan Udayati, 45, dari Jawa Barat, Indonesia, didakwa lesap bersama beberapa barang berharga dan wang ketika majikan mereka yang merupakan jutawan kosmetik, Datin Ira Abdul Ghani, 35, berada di Singapura.
Usahawan itu ke republik tersebut pada Jumaat lalu bersama suaminya, pakar motivasi Datuk Dr. Ibrahim Ahmad, 46, atas urusan perniagaan dan dijangka pulang pada hari kejadian.
Dua anak lelaki mereka yang berusia lapan dan 13 tahun serta seorang anak saudaranya ditinggalkan bersama Tanjiyah dan Udayati di rumah teres tiga tingkat milik mereka di sini.
Antara barang yang dilarikan termasuk 19 utas jam tangan mewah, barang kemas, lebih 30 helai baju berjenama dan wang RM15,000.
Jam tangan jenama Rolex, Tag Heuer, Ball, Guess, Rado, Breitling dan Victorinox itu disimpan di dalam peti simpanan berkunci di bilik tidur utama.
Selain itu, 12 bentuk cincin berlian, satu beg tangan jenama Bvlgari, seutas rantai leher jenama Cerruti, beberapa cincin, subang dan pasport dua amah tersebut yang disimpan turut lesap.
Mayat anak depan kedai ibu
PASIR MAS - Seorang pemuda mati manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki di Rantau Panjang dekat sini semalam.
Ketika kejadian pada pukul 11.15 pagi itu, Mohamad Nazuri Mohd. Zain, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Lemal di sini menaiki kereta yang dipandu rakannya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang duduk di sebelah penumpang hadapan ditembak penunggang motosikal berkenaan semasa kereta itu melalui Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Rantau Panjang.
"Rakan mangsa kemudian memecut kereta ke Pekan Rantau Panjang dan berhenti di hadapan gerai mi milik ibu mangsa.
"Hasil pemeriksaan mendapati dua tembakan mengenai mangsa, satu di bahagian rahang kiri dan satu di bahagian dada sebelah kiri," kata beliau di sini semalam.
Wanita samun kakak ipar dicari
NIBONG TEBAL - Polis sedang mencari seorang wanita yang dikenali sebagai Zarina Begum Sujaudeen (gambar kecil), 32, bagi membantu siasatan berhubung kes samun mengakibatkan kerugian RM125,000 di rumah kakak iparnya di Taman Cempaka, Batu Kawan dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, Zarina bersama seorang lelaki yang tidak dikenali dikatakan pergi ke rumah kakak iparnya pada pukul 8.50 pagi semalam.
"Dia (Zarina) yang tinggal di Nombor 181, Jalan Bendahara, Happy Garden, Ipoh, Perak pergi ke rumah kakak iparnya yang berusia 45 tahun bagi meminta pertolongan selepas mendakwa keretanya rosak," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Dua mangsa bom Hatyai pulang
HATYAI - Sepasang suami isteri dari Petaling Jaya, Selangor yang cedera dalam serangan bom di sebuah hotel di sini Sabtu lepas terharu dengan bantuan daripada kerajaan Malaysia yang membawa mereka pulang ke Malaysia semalam.
Pasangan itu, Choo Kok Boon, 46, yang merupakan rakyat Malaysia dan isterinya, Somkhid Luagnut, 37, (rakyat Thailand) dibawa pulang dari Hospital Rajyindee di sini menggunakan sebuah ambulans Kelab Putera 1Malaysia dan terus dihantar ke Hospital Universiti Malaya, Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Malaysia.
Kok Boon berkata, dia berterima kasih dan menghargai usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membantu mereka yang dalam kesusahan akibat kecederaan dan kehilangan dokumen pengenalan diri.
"Saya gembira kerana dapat balik ke Malaysia dan berjumpa saudara-mara yang sedia menunggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Bakal bangunan tertinggi Eropah terbakar
|
MOSCOW - Tingkat teratas bangunan pencakar langit Vostok yang dalam pembinaan di sini terbakar kelmarin.
Ia akan menjadi bangunan tertinggi di Eropah jika siap dibina sepenuhnya pada tahun 2013.
Beberapa buah helikopter digunakan untuk memadamkan kebakaran dengan menggunakan air yang diambil dari sebuah sungai berdekatan.
Menara Vostok itu jika siap akan memiliki ketinggian 360 meter.
Bahagian yang terbakar itu di tingkat 65.
Ia akan mempunyai 95 tingkat jika siap sepenuhnya.
Pemilik bangunan berkenaan, Sergei Polonsky memberitahu saluran televisyen Rusia, 24, tiada kecederaan berlaku atau risiko struktur itu runtuh.
Beliau memberitahu, api merebak dengan cepat ke tingkat atas ekoran angin bertiup kencang.
Vostok terdiri daripada bangunan menara berkembar yang dikenali sebagai Kompleks Persekutuan apabila menara kedua, Zapad atau Barat siap kelak.
Punca kejadian masih belum didedahkan. - Agensi
'Universiti ganja' diserbu
OAKLAND, Amerika Syarikat (AS) - Sejumlah ejen Persekutuan AS kelmarin menyerbu Universiti Oaksterdam di Teluk San Francisco kerana menyediakan kelas penanaman dan perniagaan ganja.
Universiti Oaksterdam itu sebelum ini giat berkempen supaya ganja dibenarkan di AS.
Serbuan itu dilakukan oleh ejen-ejen Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS.
Universiti Oaksterdam itu diasaskan oleh Richard Lee.
Seorang jurucakap IRS, Arlette Lee memberitahu wartawan bahawa mereka melakukan serbuan selepas memperoleh waran geledah persekutuan.
Namun, dia enggan mengulas secara terperinci tentang tujuan serbuan tersebut dilakukan.
"Tempat ini telah ditutup," katanya.
Ejen-ejen itu turut menyerbu rumah Lee dan menahannya seketika semasa serbuan dilakukan tetapi lelaki berkenaan tidak ditangkap. - Agensi
Willis dapat anak pada usia 57 tahun
LOS ANGELES - Pelakon veteran Hollywood, Bruce Willis menjadi bapa sekali lagi pada usia 57 tahun selepas isteri keduanya, Emma Heming-Willis selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang juga merupakan anak pertama buat mereka, kata seorang jurucakap pasangan itu kelmarin.
Menurutnya, pereka dan model, Heming-Willis, 33, telah melahirkan bayi yang diberi nama Mabel Ray Willis pada Ahad lalu di sini.
Jurucakap itu berkata, mereka sangat gembira menyambut kehadiran ahli keluarga baharu itu.
"Ibu dan bayi itu sihat. Berat bayi itu 4.08 kilogram," katanya.
Willis yang sudah berkahwin dengan pereka dan model itu sejak tiga tahun lalu sebelum ini telah mempunyai tiga anak perempuan, Rumer, 23, Scout, 20, dan Tallulah Belle, 17, hasil perkahwinan pertamanya dengan aktres Demi Moore.
Pelakon itu berkahwin dengan Heming-Willis pada Mac 2009. - AFP
Kereta terbang selama lapan minit
DEE-ANN DURBIN, Amerika Syarikat (AS) - Prototaip kereta terbang ciptaan syarikat Terrafugia Inc. berjaya menamatkan penerbangan sulung pada bulan lalu.
Kenderaan itu yang dinamakan Transition memiliki dua tempat duduk, empat tayar dan sayap yang boleh dilipat.
Ia mampu terbang pada ketinggian 426 meter selama lapan minit dalam ujian yang diadakan pada 23 Mac lalu.
Setakat ini, kira-kira 100 orang telah membayar deposit sebanyak AS$10,000 (RM30,502) untuk membeli Transition.
Bilangan pembeli dijangka meningkat selepas kereta itu dipamerkan semasa Pameran Automotif New York berlangsung pada hujung minggu ini.
Menurut syarikat berkenaan, Transition dijual pada harga AS$279,000 (RM850,952).
Kenderaan tersebut turut memerlukan landasan untuk terbang.
Ketika ini, kereta itu menjalani satu siri ujian kemalangan bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan AS.
Menurut jurucakap syarikat itu, kelajuan Transition boleh mencecah 112 kilometer sejam (km/j) di jalan raya dan 185km/j di udara. - Agensi
Lelaki tukar jantina mungkin jadi peserta ratu cantik
NEW YORK - Organisasi Ratu Cantik Universe yang beribu pejabat di sini mengumumkan kelmarin, seorang lelaki yang telah menjalani pembedahan untuk menjadi wanita, Jenna Talackova mungkin dibenarkan menjadi peserta.
Penyertaan Talackova, 23, sebelum ini dibatalkan oleh pihak penganjur Ratu Cantik Universe Kanada pada bulan lalu kerana dia didapati dilahirkan sebagai lelaki.
Pertandingan Ratu Cantik Universe di Kanada akan diadakan pada bulan depan.
Pengumuman itu dibuat di laman web Ratu Cantik Universe di Kanada.
Talackova dari Vancouver menjalani pembedahan penukaran jantina empat tahun lalu.
Pengguguran Talackova menyebabkan dia menerima simpati meluas dan mencetuskan persoalan sama ada pihak penganjur berhak mengklasifikasinya sebagai wanita.
Pertukaran jantinanya bukan menjadi satu rahsia lagi kerana dia pernah bertanding pada pertandingan ratu cantik untuk golongan transeksual di Pattaya, Thailand pada tahun 2010.
Dalam satu temu bual sempena pertandingan itu, Talackova menyatakan, dia menjalani kehidupan sebagai seorang perempuan sejak berusia empat tahun, menjalani terapi hormon pada usia 14 tahun dan menukar jantina ketika berumur 19 tahun. - Agensi
No comments:
Post a Comment