Wednesday, April 11, 2012

HENTIKAN MAKSIAT...JANGAN TAKBUR LEBIH2 PADA ALLAH...HINGGA MENOLAK HUKUM ALLAH..INGATLAH PADA GOLONGAN ULAMAK PEMBODEK DAN PENGAMPU...KEJAR DUNIA MACAM TAK INGAT MATI...INGAT! ALLAH BOLEH BUAT APA SAJA...KORANG TUNGGU AJE...JANGANLAH KITA SESAT KEMUDIAN MENYESATKAN ORANG LAIN...

Duit kutu dikebas tiga peragut



RAHANA (kanan) bersama Siti Nazirah melakonkan semula bagaimana peragut menarik beg tangannya dalam kejadian di Kota Bharu, Kelantan kelmarin.



KOTA BHARU – Hasrat seorang peniaga sayur untuk pergi ke pejabat peguam bagi menguruskan tuntutan insurans kemalangan melibatkan anaknya terbantut apabila dia kerugian RM20,000 selepas diragut tiga lelaki di hadapan sebuah klinik berhampiran Balai Islam, Lundang, dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika Rahana Majid, 44, yang menunggang motosikal bersama anaknya, Siti Nazirah Fauzi, 16, berhenti untuk menghubungi peguam berkenaan bagi mengetahui lokasi tepat pejabatnya.
Mengimbau semula kejadian itu, Rahana memberitahu, semasa membuat panggilan, dia meletakkan beg yang mengandungi wang kutipan kutu RM9,700; wang miliknya, RM5,000 dan seutas rantai bernilai RM4,700 yang baru dibeli Sabtu lalu di dalam raga motosikal.
Katanya, tidak lama kemudian, tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira berhenti berhampirannya sebelum salah seorang keluar dan terus melarikan begnya.
“Lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam kereta dan terus melarikan diri.
“Saya tidak berani melawan kerana bimbang mengenai keselamatan diri dan takut-takut kalau penjenayah tersebut memiliki senjata tajam,” ceritanya lagi.

Penculik masuk perangkap polis


DI kedai makan inilah Mohd. Azhan diculik oleh dua lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol dalam kejadian
di Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan kelmarin.


KOTA BHARU – Dua penculik tidak sempat berjoli dengan wang tebusan berjumlah RM3,000 yang diperoleh apabila mereka dicekup selepas menerima habuan berkenaan di Kampung Sireh di sini semalam.
Kedua-dua suspek berusia 30 tahun tersebut dicekup pada pukul 7.30 pagi di persimpangan lampu isyarat di situ selepas menculik seorang peniaga kereta, Mohd. Azhan Mohamed Adam, 30, di Kampung Belimbing, Tanah Merah. Mangsa diculik kira-kira 10 jam sebelum itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang minum di sebuah restoran di Kampung Belimbing di sini bersama tujuh rakannya didatangi dua lelaki berkenaan pada pukul 9.30 malam.
Katanya, dua suspek itu kemudian bertengkar dengan mangsa sebelum salah seorang penjenayah mengeluarkan dua pucuk pistol lalu diletakkan di atas meja.
“Mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah kereta Perodua Myvi menghala ke Pasir Mas sebelum suspek menghubungi rakan mangsa beberapa jam kemudian untuk meminta wang RM10,000. Bagaimanapun ia dapat dikurangkan kepada RM3,000 selepas berunding.
“Rakan mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 6.40 pagi sebelum polis melakukan intipan di Kampung Sireh yang menjadi tempat wang itu akan diserahkan,” katanya.

Aidil mohon cerai Rita Rudaini


RITA RUDAINI dan Aidil Zafuan ketika saat bahagia sebagai pasangan suami isteri.



SEREMBAN – Pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Abdul Radzak mengesahkan bahawa dia sudah memfailkan permohonan untuk bercerai dengan isterinya yang juga aktres popular, Rita Rudaini Mokhtar.
Aidil Zafuan, 25, berkata, permohonan itu difailkan oleh peguamnya di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Katanya, dia tidak mahu berselindung mengenai perkara itu dan mengakui telah memfailkan tuntutan permohonan bercerai di mahkamah.
“Saya menyerahkan segala urusan tersebut (permohonan perceraian) kepada peguam dan saya sedang menanti perkembangannya di mahkamah.
“Saya juga tidak mahu mengulas lanjut berhubung tindakan ini kerana tidak mahu memburukkan isteri saya dan tidak mahu masalah kami menjadi kontroversi umum,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas mengenai dakwaan Rita Rudaini, 36, bahawa dia mengabaikan tanggungjawab terhadap dua anaknya hasil perkahwinan mereka, Aidil Zafuan berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Jurulatih didakwa raba atlet


NIKOLOZ di Mahkamah Sesyen Melaka semalam selepas didakwa mencabul seorang atlet perempuan.


MELAKA – Angkara meraba kemaluan atlet remaja perempuan, seorang jurulatih gimnastik artistik Georgia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Bagaimanapun, tertuduh Nikoloz Mikeladze, 64, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.
Mengikut pertuduhan, Nikoloz didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang atlet perempuan berusia 16 tahun (waktu kejadian) dengan meraba kemaluan mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pusat latihan gimnastik negeri, Ayer Leleh pada 16 Ogos 2011, pukul 5 petang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM15,000 dengan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mati bogel dalam hotel


ANGGOTA polis mengusung mayat Rajes yang ditemui mati dalam keadaan berbogel di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Dua pekerja sebuah hotel bertaraf lima bintang yang baru hendak membersihkan sebuah bilik di tingkat lima premis itu terperanjat besar apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan berbogel dan berlumuran darah semalam.
Mayat R. Rajes, 37, ditemui tertiarap di atas katil pada pukul 3 petang di hotel yang terletak di Jalan Ampang di sini itu.
Sehubungan itu, polis kini sedang mencari seorang rakan mangsa bagi membantu siasatan kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Lelaki itu dipercayai berada di tempat kejadian sebelum mayat Rajes ditemui.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul dengan objek keras di kepalanya berkali-kali hingga mati.
Katanya, pukulan tersebut menyebabkan kepala mangsa berlumuran darah selain tengkuknya turut mempunyai kesan cedera.
"Mangsa sepatutnya keluar pada pukul 2 petang tadi (semalam) selepas mendaftar masuk lewat petang semalam (kelmarin).

Gempa turut gegar Semenanjung


ORANG ramai keluar dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town.


KUALA LUMPUR – Dua gegaran dalam tempoh hampir dua jam yang berpunca daripada gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara Indonesia semalam mencetuskan suasana panik di kalangan penduduk di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.
Gegaran pertama berlaku kira-kira pukul 4.50 petang dan disusuli pada pukul 6.45 petang itu menyebabkan penghuni di kediaman tinggi dan berhampiran pantai di negara ini meninggalkan rumah masing-masing.
Antara negeri yang merasai gegaran tersebut ialah Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.
Di pulau pinang, perkhidmatan feri yang menghubungkan Butterworth dan Goerge Town telah dihentikan pada pukul 8.30 malam berikutan gegaran kedua pada 6.45 petang tetapi disambung semula 45 minit kemudian setelah amaran tsunami ditarik balik.
Bagaimanapun, Jambatan Pulau Pinang dibuka seperti biasa.
Seorang penduduk flat Bukit Gedung, Siti Nur Zuriani Zaini, 25, memberitahu, orang-ramai lari lintang-pukang sebaik menyedari gegaran berlaku.
“Bayangkan bunyi gegaran itu sangat luar biasa seperti tanah sedang bergerak manakala pintu dan perabot rumah pula bergoncang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Operasi buru PATI bermula



Beberapa penguat kuasa menahan beberapa PATI di Sungai Merab, Kajang semalam.



KAJANG - Sebuah perkampungan warga asing di kawasan Dato Abu Bakar Baginda, Sungai Merab di sini diserbu penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam Operasi Sepadu Program 6P semalam.
Dalam operasi dari pukul 1 hingga pukul 3 pagi semalam, 43 lelaki warga Indonesia, 11 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Putrajaya, Marie Ajeng berkata, 28 wanita warga Indonesia turut ditahan dalam operasi itu.
"Mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal melebihi masa," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, pemeriksaan mendapati seramai 877 orang warga asing tinggal di kawasan penempatan tersebut.
"Semua yang ditahan ditempatkan di Depoh Imigresen di Sepang untuk tindakan lanjut," katanya.

Ustazah hamil rayu suami pulang


SITI KHOLIJAH bersama Ainun Mardhiah (kanan) dan Adni Nawar melihat gambar Nasrul yang hilang sejak Disember tahun lalu di Kuala Nerang semalam.


KUALA NERANG - Seorang ustazah bimbang dengan nasib suaminya yang tidak pulang selepas keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital di Alor Setar pada Disember lalu.
Siti Kholijah Ramli, 31, memberitahu, kebiasaannya suaminya, Nasrul Mohd. Fadli Saat, 33, sampai di rumah kira-kira pukul 5 petang, namun pada 20 Disember tahun lalu dia tidak pulang.
"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah sempat bersalam dengan saya dan anak-anak sebelum pergi bekerja dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 7.15 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rambutan di sini semalam.
Siti Kholijah mendirikan rumah tangga dengan Nasrul yang berasal dari Selayang, Selangor pada tahun 2005 dan mempunyai dua orang anak iaitu, Ainun Mardhiah, 6, dan Adni Nawar, 2.

Dua gempa bumi kuat di Indonesia


SEJUMLAH orang berhimpun di Masjid Baiturrahman selepas gempa bumi berlaku.



JAKARTA - Sekurang-kurangnya tiga ombak tsunami setinggi sehingga 80 sentimeter (sm) melanda pesisiran pantai Indonesia selepas satu gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter menggegarkan Pulau Sumatera semalam.
"Alat pengukur ombak dan boya kami merekodkan tsunami kecil," Pegawai Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Kristiawan.
Menurutnya, tsunami paling tinggi berukuran 80sm dicatatkan di Meulaboh, barat Aceh dengan beberapa ombak lebih kecil berlaku di kawasan pesisir pantai dekat rantau berkenaan.
Semua tsunami berlaku hampir sejam setengah selepas gempa bumi pertama melanda pada waktu petang, katanya.
Selain Indonesia, tsunami kecil setinggi 10sm turut melanda Pulau Andaman di Thailand semalam.
Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa bumi pertama berpusat 33 kilometer di bawah dasar laut sekitar 434 kilometer dari wilayah Aceh.
Bencana tersebut menyebabkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami untuk Indonesia, India, Sri Lanka, Australia, Myanmar, Thailand, Maldives dan kepulauan lain di Lautan Hindi, Malaysia, Pakistan, Somalia, Oman, Iran, Bangladesh, Kenya, Afrika Selatan serta Singapura.
Satu gempa susulan kemudian berlaku dengan kekuatan 8.2 magnitud yang berpusat dari Banda Aceh.
Gempa bumi pertama berlaku pada pukul 3.38 petang waktu tempatan manakala yang kedua berlaku pada pukul 5.43 petang.
"Kami sekali lagi mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa kedua berlaku," kata seorang lagi pegawai Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia Prih Harjadi dalam wawancara secara langsung bersama saluran televisyen TVOne.
Menurutnya, penduduk di sepanjang pantai barat Pulau Sumatera dan Mentawai telah diarahkan supaya berpindah ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Gempa susulan berlaku selama empat minit dan ia kuat," kata seorang koresponden agensi berita AFP di Banda, Aceh.
"Orang ramai panik dan bergegas keluar dari kediaman mereka dan bangunan," tambahnya.
Amaran tsunami kemudian ditarik balik sekitar pukul 7.45 malam waktu Indonesia.
"Orang ramai boleh kembali ke kediaman masing-masing," kata Ketua Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Woro Harijono kepada saluran televisyen Metro TV.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan, Indonesia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan bencana terbaharu itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment