Dicekup bersama bukan mahram
MELAKA: Keseronokan sepasang kekasih berusia 19 dan 22 tahun  menjadikan bilik sebuah pangsapuri di Bandar Hilir, dekat sini, sebagai  tempat memuaskan nafsu berakhir apabila ia diserbu sepasukan Jabatan  Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 1.30 tengah malami, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Rahimin Bani berkata, berdasarkan  aduan yang diterima sejak beberapa hari lalu sepasukan anggotanya  menyerbu rumah disewa pekerja sebuah syarikat jualan langsung itu kerana  dikatakan terdapat sepasang pasangan bukan mahram  tinggal bersama di  dalam satu bilik.
Katanya, ketika serbuan pihaknya menemui  dua lelaki sedang tidur di ruang tamu dan pemeriksaan lanjut di sebuah  bilik yang bertutup pintunya mendapati pasangan berkenaan sedang tidur  dengan pakaian lengkap.
“Soal siasat dilakukan mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai  hubungan mahram dan mendapati lelaki berkenaan bukan Muslim dan  kedua-duanya adalah rakan sekerja.
“Wanita itu adalah  jurujual, manakala lelaki berkenaan pula penyelianya dan mereka mengakui  mempunyai hubungan sebagai sepasang kekasih,” katanya, di sini,  semalam.
Rahimin berkata, siasatan lanjut mendapati pasangan  terbabit mengakui sudah bermalam bersama dalam satu bilik sejak beberapa  hari lalu.
Katanya, mereka juga baru berkenalan sejak empat bulan lalu apabila  bekerja di tempat sama dan mengakui terlanjur beberapa kali.
“Pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan  Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.
“Sabit kesalahan boleh didenda  RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tunggu pakar sahkan aktor seks
Pasukan khas Ibu Pejabat Polis Bukit  Aman melakukan siasatan berhubung rakaman video seks ekoran Anwar   membuat laporan polis menafikan lelaki dalam video itu melibatkan  dirinya. Gambar atas Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur yang turut  terlibat dalam penyiasatan tersebut. 
KUALA LUMPUR - Polis sedang menunggu pemeriksaan pakar bagi  mengesahkan lelaki yang melakukan adegan seks dengan seorang pelacur  wanita yang didakwa dirakamkan di sebuah apartmen di Ampang dekat sini  pada 21 Februari lalu merupakan seorang pemimpin pembangkang.
Sumber polis berkata, daripada aspek undang-undang, polis buat masa  ini hanya membuat andaian bahawa lelaki itu merupakan seorang pemimpin  pembangkang seperti yang didakwa oleh kumpulan trio Datuk T.
Bagaimanapun, kata sumber itu, perkara itu hanya andaian semata-mata  kerana pengesahan siapa sebenarnya pelakon dalam video seks itu  memerlukan penyiasatan dan pengesahan daripada pakar.
"Sehingga semalam polis belum mengetahui sama ada imej (aktor) dalam video tersebut sudah diganggu (direka-reka).
"Polis juga tidak boleh sahkan pelakon tersebut adalah si A atau si  B. Kita perlu tunggu pakar (untuk pengesahan)," kata sumber itu kepada
 Kosmo! semalam.
Sehubungan itu, sumber itu berkata, pasukan penyiasat kini dalam pertimbangan untuk meminta khidmat pengarah filem 
Merong Mahawangsa, Yusry Abdul Halim (Yusri KRU) bagi membantu polis mengesahkan ketulenan rakaman video seks itu terlebih dahulu.
"Rakaman itu sendiri perlu disahkan adalah tulen sebelum polis  melakukan langkah kedua untuk mengesahkan pelakon yang dimaksudkan itu,"  kata sumber itu.
Bagaimanapun, sehingga malam tadi pasukan polis belum memutuskan  perkara itu dan ada kemungkinan pakar-pakar lain yang berkemahiran dalam  rakaman video turut dipanggil memberi bantuan.
Penganggur 'kaya' tertangkap
Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
megat@kosmo.com.my
  | 
 
 
MOHAMAD  (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang penganggur di Klang semalam.     | 
KLANG – Kegiatan licik seorang lelaki yang disyaki pengedar pelbagai  jenis dadah di sekitar daerah Klang berakhir apabila dia ditahan di  rumah sewanya di Taman Juara di sini Rabu lalu.
Penganggur berusia 33 tahun itu diberkas pada pukul 6.30 pagi bersama  dadah jenis heroin seberat 915 gram, syabu (629 gram), ketamin (249  gram) dan pil eramin sebanyak 1,000 biji.
Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM160,000.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat  Yusop berkata, ketika serbuan dilakukan ke atas rumah teres setingkat  itu, suspek yang berada di luar rumah tidak sempat melarikan diri.
Menurut beliau, lelaki terbabit kemudian dibawa masuk ke dalam premis tersebut untuk menunjukkan lokasi dadah yang disorok.
“Pihak kami menemui dadah disorok di dalam sebuah bilik di belakang  rumah dan ada beberapa bungkus dadah seberat dua gram setiap satu  disimpan dalam kotak biskut bagi mengelakkan daripada dikesan,” katanya  di sini semalam.
Tembakan misteri awal pagi
Oleh  ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my
  | 
 
 
SEORANG anggota polis melihat keadaan sebuah kereta yang terkena tembakan di Tanjung Bungah, George Town semalam.     | 
GEORGE TOWN - Penduduk yang sedang tidur di taman perumahan di Mount  Erskine dekat Tanjung Bungah di sini dikejutkan dengan beberapa das  tembakan awal pagi semalam.
Tembakan rambang itu dipercayai dilepaskan daripada pistol jenis  automatik oleh individu yang tidak dikenali kira-kira pukul 3 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong  Meng, suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah empat buah rumah  teres dua tingkat di kawasan tersebut.
Katanya, empat buah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan turut terkena tembakan.
"Polis menemui tiga kelongsong peluru pistol jenis automatik dan  peluru pistol jenis kaliber 9 milimeter yang bertaburan di hadapan salah  sebuah kenderaan itu," katanya di sini semalam.
Perbuatan tidak bermoral      
KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  menyifatkan  perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan  seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di  sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.
Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila  perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi  pemimpin sebuah kerajaan negeri.
Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita  mengenai pendedahan skandal terbabit kerana ia dilaporkan oleh semua  media massa di negara ini.
“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara  lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu  dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.
“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak  ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh  tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas menyampaikan  kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.
Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai  gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan  keaiban orang lain.
“Mereka ini diberikan gelaran sedemikian rupa dengan  harapan boleh membimbing rakyat, tapi apa yang berlaku adalah  sebaliknya.
“Kalau pemimpin sanggup buat macam ini, rakyat apa  lagi. Seks ini benda yang aib tetapi tiba-tiba ia dipertontonkan kepada  umum, macam tak ada agama,” katanya.
Isnin lalu, rakaman video aksi seks yang dikatakan  membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertontonkan  kepada editor kanan dan wartawan di Carcosa Seri Negara.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik;  ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan  Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim (kumpulan Datuk T)  mengakui terlibat dalam pendedahan video terbabit.
 Dicekup ketika berasmara                     
SURA HUJUNG – Tin-dakan sepasang kekasih yang  menjadikan satu lorong gelap berdekatan semak untuk memadu asmara pada  waktu malam membawa padah apabila mereka dicekup penduduk kampung dekat  sini, malam kelmarin.  
Pasangan remaja terbabit ketika ditahan dipercayai sedang melakukan  aksi tidak senonoh  dalam sebuah kereta yang diletakkan di satu lorong  sunyi, kononnya sebagai helah untuk mengelakkan dihidu orang ramai yang  lalu lalang di kawasan terbabit.  
Bagaimanapun, keadaan kereta terbabit yang agak mencurigakan  menyebabkan penduduk kampung menghampiri mereka lalu menyoal siasat  pasangan berusia 20-an itu sebelum berjaya membongkar aktiviti tidak  bermoral pasangan yang berasal dari Selangor itu.  
Difahamkan, pasangan lelaki itu kini sedang mengikuti latihan  amali, manakala teman wanitanya juga seorang penuntut semester empat  dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan kunjungan mereka ke  situ hanyalah untuk melepaskan rindu berikutan masing-masing dikatakan  jarang dapat bertemu.  
Pasangan remaja itu kemudiannya diserahkan kepada penguat kuasa  Jabatan Agama untuk diambil keterangan sebelum menyerahkannya semula  kepada pegawai disiplin dari bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kolej  untuk tindakan selanjutnya.
Gagal kawal diri kerana putus cinta                     
SERDANG – Gara-gara bekas teman wanita enggan menerima cintanya  kembali, seorang pemuda sanggup terjun dari sebuah pangsapuri setinggi  15 tingkat di Serdang Perdana, awal pagi semalam.  
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dikatakan nekad  mengambil keputusan terbabit selepas enggan menerima nasihat daripada  rakan-rakan yang dikirim melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke  telefon bimbit miliknya.  
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata,  mangsa berusia 27 tahun itu ditemui orang ramai di tingkat bawah  pangsapuri berkenaan sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.  
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Bukit Serdang bekerja sebagai  pembantu pusat siber di tempat sama bekas teman wanitanya bekerja.  
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan pernah beberapa kali  mengugut untuk membunuh diri dan menyatakan hasrat itu kepada beberapa  rakannya. Ia rentetan mangsa dikatakan tidak dapat menerima hakikat  putus cinta dengan teman wanitanya yang berusia 19 tahun itu.   
“Bimbang sesuatu tidak baik, rakan-rakannya memberikan nasihat dengan  menghantar SMS supaya dia tidak bertindak bodoh. Bagaimanapun, mangsa  benar-benar melakukan tindakan itu pagi semalam,” katanya.  
Abd Razak berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati  mengejut dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah  siasat.  
“Dia dipercayai mati akibat hantukkan kuat selepas terjatuh ke lantai dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.  
“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta  menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya selepas menyerahkan  surat penghargaan kepada empat orang awam dan dua wakil akhbar termasuk  Sinar Harian sempena sambutan Hari Polis ke-204 peringkat Ibu Pejabat  Polis Daerah (IPD) Serdang, pagi semalam.  
Dalam program sama, 30 anggota polis berkhidmat di bawah IPD Serdang  turut diberi surat penghargaan atas kejayaan mereka membanteras jenayah.
Jeritan anak bongkar rahsia                     
TAMAN CENDANA – Insiden seorang kanak-kanak terkena  kejutan elektrik ketika mengambil pakaian daripada mesin basuh  membongkar keadaan penduduk rumah pangsa, di sini yang selama ini  berdepan dalam bahaya.  
Bapa mangsa, Zulkarnain Abd Samad, 36, berkata, semua barangan  elektrik di rumahnya seolah-olah mempunyai arus elektrik kerana terasa  seperti kejutan elektrik apabila dipegang sejak tiga bulan kebelakangan  ini.  
Menurutnya, kemuncaknya apabila anak keduanya, Nor Afidah  Zulkarnain, 10, menjerit selepas terkena kejutan elektrik ketika ingin  mengambil pakaian yang dicuci di dalam mesin basuh.  
“Saya terkejut sebaik mendengar anak menjerit dan sebaik  menghampiri mesin basuh berkenaan saya turut terkena kejutan elektrik,  tetapi alhamdulillah kami selamat.  
“Selepas kejadian itu, semua sistem pendawaian rumah saya  mengalami masalah apabila tiga per empat tidak berfungsi sehingga saya  terpaksa menyambung daripada satu punca menjadi banyak punca,” katanya.  
Seorang lagi penduduk, Halijah Mohd Said, 55, berkata, selama  ini penduduk menyangka barangan elektrik di rumah masing-masing yang  bermasalah mempunyai arus elektrik.  
Menurutnya, peti sejuk, periuk nasi elektrik dan semua barangan  elektrik tidak boleh dipegang sembarangan walaupun suis sudah ditutup  kerana pasti terkena kejutan elektrik sekiranya dipegang.  
“Apabila ada kes budak terkena kejutan elektrik, barulah kami  tahu masalah itu bukan berpunca daripada barangan elektrik  masing-masing, sebaliknya apabila diperiksa wayar bumi blok kami sudah  dicuri.  
“Cucu saya sebelum ini pernah terkena kejutan elektrik ketika  ingin membuka pintu peti ais sehingga kami sekeluarga seperti fobia  ingin menggunakan barangan elektrik di dalam rumah,” katanya.  
Bagaimanapun, katanya, aduan yang dikemukakan kepada Setiausaha  Kerajaan Negeri (SUK) dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyebabkan  tindakan segera baik pulih dilakukan.  
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Penduduknya, Shamsul  Bahrin Ibrahim berkata, pihak SUK diminta melakukan siasatan dan  pemeriksaan di semua 19 blok terlibat.  
Menurutnya, tinjauan rambang yang dibuat menunjukkan majoriti  blok kediaman penduduk tidak mempunyai pendawaian bumi selepas dikesan  dipercayai dicuri oleh penagih dadah.  
“Kita bimbang dengan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak  berikutan ia boleh mengundang litar pintas dan menjadi punca kebakaran  disebabkan ketiadaan pendawaian bumi.  
“Kita menyeru penduduk supaya tampil membuat aduan sekiranya  berdepan masalah barangan elektrik yang tidak boleh dipegang kerana  seperti yang dialami penduduk di blok 42,” katanya.  
Katanya, keadaan pendawaian bumi yang dipasang secara terdedah  di luar bangunan rumah pangsa berkenaan dikatakan menjadi punca tarikan  pencuri.  
Menurutnya, SUK sepatutnya lebih peka keselamatan penduduk  dengan melakukan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian dan  penyelenggaraan di rumah pangsa berkenaan yang melebihi 10 tahun didiami  penduduk.  
“Kita minta SUK membuat penyelenggaraan terhadap sistem  pendawaian di rumah penduduk yang bermasalah kerana kebanyakan penghuni  di sini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Video lucah dan dosa politik
Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun  berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.  Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini  sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.
Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai  senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya.  Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka  itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh  ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.
Samada PAS, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti  itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini.  Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di  lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang  ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap,  hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama  dalam berpolitik.
Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang  tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.  Sedangkan Nabi s.a.w
“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Aib Peribadi
Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak  membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina,  minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.  Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan  orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses  penyaksian.
Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh  dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka  menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina  dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan.  Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang  saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.
Firman Allah(maksudnya):
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada  perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak  membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali  sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya;  kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).
Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan,  bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.  Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan  berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung  bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak  menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu  ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu  jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu  lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki  memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan  dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan  pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya  kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang  demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat”  (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini  khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia  keseluruhannya”.
Bukan Bukti Asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh  dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi.  Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan  dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah  di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi  atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika  pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan  menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau  merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau  kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya.  Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat  kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau  menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang  kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman  kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak  menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada  hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia.  Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap  keaibannya.
Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi  kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan  kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih:  (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang  menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada  seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap  kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi,  Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh,  curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya.  Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap  mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan,  bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang  boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.
Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka  hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun  hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian  juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim,  pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau  orang lain.
Firman Allah: (maksudnya)
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang  dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang);  kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa  Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan,  atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan  terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha  Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).
Tidak Perlu Suruhanjaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes  maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam  al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah  menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud  perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia  nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran)  apabila ia nyata dilakukan.
Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli  hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu  kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus  untuk kita mengintipnya. 
Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. 
Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).
Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah  memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak  wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku  menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah  menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia  berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip  mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya.
Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui  pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah  berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah  yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta  memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi  salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya  dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang  memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan  maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang  berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28,  Beirut: Dar al-Khair 1990).
Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam  kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik.  Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit  dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR  dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari  sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana  sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah  kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu  mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka  memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik  kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan  bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi  Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).
Bangkit Generasi Baru!
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon  atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk  kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir  dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka  menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan  ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka  lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari  golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana  dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah  dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!
Dipetik daripada blog Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin