Saya tidak jual anugerah - Datuk Undang Naning
Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my
ABDUL LATIF memegang buku perlembagaan Tambo Alam Naning di Balai Rasmi Datuk Undang Wilayah Naning, Melaka semalam.
|
ALOR GAJAH - "Saya tidak pernah jual sebarang anugerah termasuk anugerah Datuk."
Demikian tegas Datuk Undang Wilayah Naning ke-19, Datuk Abdul Latif
Hashim mengenai isu penjualan anugerah darjah kebesaran yang membawa
gelaran Datuk oleh Datuk Undang Wilayah Naning.
Menurutnya, dia sebagai Datuk Undang Wilayah Naning yang sah tidak
pernah menjual anugerah darjah kebesaran atau melantik wakil untuk
menjual anugerah berkenaan.
"Kami juga tidak merancang mengadakan majlis penganugerahan darjah
kebesaran pada 20 Oktober ini kerana majlis seperti itu telah diadakan
Mei lalu dan hanya akan diadakan sekali lagi pada Mei tahun depan.
"Oleh itu, jangan percaya jika ada yang mengatakan dia mewakili Datuk
Undang Naning dan meminta bayaran bagi pengurniaan anugerah," katanya
ketika ditemui di Balai Rasmi Undang Naning di sini semalam.
Kosmo! Selasa lalu melaporkan kebimbangan seorang ahli
perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 50-an, yang khuatir
ditipu apabila diminta membayar sejumlah wang RM50,000 oleh seorang
individu bagi tujuan pengurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran
Datuk oleh Datuk Undang Wilayah Naning, Melaka.
Amin telah membayar RM5,000 sebagai wang pendahuluan dan suspek
memberi jaminan gelaran itu akan disampaikan jika baki wang berkenaan
dijelaskan secara berperingkat-peringkat menjelang istiadat di Alor
Gajah pada 20 Oktober depan.
Amaran jerebu semakin buruk
GAMBAR kiri panorama Kuala Lumpur
sebelum jerebu melanda manakala kanan, ibu negara tenggelam akibat
fenomena tersebut semalam.
KUALA LUMPUR - Kawasan Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan Indeks
Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat apabila ia terus meningkat kepada 105
pada pukul 5 petang berbanding 101 pada pukul 11 pagi dan 98 pada pukul
7 pagi semalam.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nilai merupakan
satu-satunya kawasan yang berada pada tahap IPU tidak sihat manakala
sebanyak 34 kawasan di seluruh negara berada pada tahap IPU sederhana
dan 14 lagi pada tahap IPU baik.
IPU pada tahap di antara 0 dan 50 merupakan bacaan IPU baik, IPU
sederhana (51-100), IPU tidak sihat (101-200), IPU sangat tidak sihat
(201-300) dan IPU berbahaya (lebih 301).
Semalam Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjangkakan keadaan berjerebu
berterusan beberapa hari akan datang dan menasihatkan orang ramai supaya
tidak melakukan pembakaran terbuka serta bekerjasama untuk memadamkan
kebakaran kecil.
Pertama kali raya sebagai selebriti
BAKAT tiga wanita ini bukan calang-calang. Mereka disatukan selepas
terpilih oleh mentor masing-masing untuk program realiti TV,
Mentor musim kelima.
Baik Salma yang dipilih mentornya, Erra Fazira mahupun Shiha (mentor,
Datuk Sharifah Aini) serta Iqa (mentor, Edry Abdul Halim) masing-masing
mempunyai cerita raya berbeza. Biarpun berpaksikan cerita raya berbeza,
namun ketiga-tiga penyanyi berbakat ini mempunyai satu persamaan iaitu
dapat merasai nikmat hari raya sebagai selebriti buat pertama kali pada
tahun ini.
Ditemui selepas menjalani rakaman
Mentor Raya di Sri Pentas,
Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini, mereka disatukan untuk
berkongsi rasa, pengalaman dan aktiviti sepanjang Syawal ini buat
tatapan peminat.
Salma bergerak sendiri
Kehidupan Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21, selepas dinobatkan sebagai juara
Mentor 5 nyata berubah 100 peratus. Sudah menjadi rezeki buat wanita kelahiran Tawau, Sabah itu berkat bakat dan suara merdunya itu.
"Banyak perubahan sudah saya lalui selepas bergelar juara
Mentor 5. Dulu tak dapat bantu keluarga tetapi sekarang ini sudah boleh bantu, lebih-lebih lagi sempena lebaran kali ini," ujarnya.
Berkongsi cerita, kata Salma, sebelum menjadi artis dia hanya mampu
meraih bayaran kira-kira RM50 untuk satu-satu persembahan, khususnya di
majlis-majlis perkahwinan. Namun, kini dia sudah boleh menarik nafas
lega.
|
KETIGA-TIGA bintang
kelahiran Mentor 5 ini masing-masing mengakui telah mengalami perubahan
besar dalam rutin kehidupan mereka.
|
Namun, ada kepayahan dalam keseronokan yang diraihnya itu. Walaupun
bergelar juara, namun tiada pula syarikat-syarikat rakaman yang sudi
menyunting dirinya untuk bergelar penyanyi rakaman. Pada kebiasaannya,
juara
Mentor akan bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey
Bones, namun lain pula nasib Salma apabila Monkey Bones sebaliknya
memilih naib juara
Mentor 5, Shiha untuk menjadi penyanyi mereka.
"Saya akui bergelar juara bukan satu jaminan besar untuk disunting
oleh mana-mana syarikat rakaman. Mungkin bukan rezeki atau belum rezeki
saya," tuturnya yang kini bergerak sendiri dalam karier nyanyian dan
bersyukur kerana Erra banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar buatnya.
Tidak malu untuk mengakui sejak bergelar juara
Mentor 5 pada
29 Mei tahun ini, dia hanya menerima lima jemputan menyanyi pada
persembahan berskala besar kata Salma: "Sejak bergelar juara
Mentor 5 sejak 29 Mei lepas, saya menerima lima jemputan persembahan dengan bayaran yang lumayan."
Menyentuh tentang raya kali ini pula, ujar ibu tunggal kepada seorang
anak perempuan itu, dia akan berkongsi wang kemenangan sebanyak
RM100,000 bersama para peminatnya dengan mengadakan rumah terbuka.
"Buat pertama kalinya saya buat rumah terbuka untuk peminat-peminat
di Tawau, Sabah pada hari raya ketujuh lalu. Raya tahun ini juga
merupakan tahun pertama saya beri duit raya kepada kanak-kanak," ujarnya
yang turut menyediakan wang untuk memperbaiki rumah ibunya di Tawau.
Salma juga teruja menyediakan kelengkapan raya buat anak
kesayangannya yang baru berusia empat tahun bernama Putri Nurul Huda.
Malah, Salma juga memperuntukkan wang kemenangannya untuk simpanan masa
depan Putri serta pelaburan untuk single terbaharunya nanti.
Shiha rakam single sulung
Ternyata rezeki lebih memihak kepasa Shiha, 24, walaupun protege Datuk Sharifah Aini itu hanya bergelar naib juara
Mentor 5. Selepas disunting Monkey Bones, pemilik nama Nurshiha Muhd. Zikir itu bakal merakamkan single sulungnya selepas raya.
"Alhamdulillah, rezeki saya murah selepas tamat
Mentor 5. Walaupun
Mentor 5
sudah melabuhkan tirai, hubungan saya dan Umi (panggilannya kepada
Sharifah Aini) masih tidak putus. Saya selalu menghubunginya untuk
meminta pendapat dalam merencanakan perjalanan karier saya," ujar gadis
kelahiran Kuala Lumpur itu.
Walaupun sudah bergelar selebriti, Shiha tetap kekal seperti dahulu dengan menyambut Aidilfitri secara sederhana.
"Raya saya pada tahun ini, tidak ada beza disambut sederhana selepas
arwah bapa sudah pulang ke rahmatullah pada tahun 2008," ujarnya yang
merancang untuk membuat haji buat arwah bapanya, Muhd. Zikir Abd. Hamid.
Katanya lagi, raya pertamanya kali ini cuma disambut di Kuala Lumpur
dan kemudiannya dia pulang ke kampungnya di Kuala Batas, Selangor.
|
DARI kiri, Shiha, Salma dan
Iqa terus mengorak langkah mengharungi dunia seni tanah air berbekalkan
bakat yang dimiliki masing-masing usai pendedahan yang diraih mereka
menerusi Mentor 5.
|
Menggemari masakan rendang dan ketupat sebagai juadah wajib di hari
raya, Shiha juga memberitahu dia menyukai keenakan kuih tradisional
makmor dan samprit.
Iqa buat rumah terbuka
Iqa turut mengakui sambutan raya buat dirinya agak meriah pada tahun
ini. Selain dapat membantu menyediakan segala kelengkapan raya, dia juga
kini boleh menitipkan duit raya buat ahli keluarganya.
"Untuk diri Iqa sahaja, sebanyak tiga pasang baju raya disediakan," akuinya.
Tambahnya: "Saya juga buat rumah terbuka pada hari raya ketujuh lalu
di Bukit Beruntung, Selangor," ujarnya yang menggemari hidangan rendang
tok, lontong dan ketupat palas.
Menyentuh tentang nostalgia Ramadan dan Aidilfitri, kata Iqa, ketika
dia masih kanak-kanak, setiap kali tiba bulan Ramadan, dia akan pastikan
dirinya berjaya membaca kitab al-Quran sehingga habis 30 juzuk.
Semuanya gara-gara mahukan habuan daripada ibunya.
"Mak buat syarat, jika saya berjaya baca satu juzuk al-Quran, saya
akan dapat RM10. Jadi saya begitu bersemangat baca al-Quran sampai 30
juzuk," ujarnya yang akan membaca al-Quran sebagai rutin setiap kali
menjelang Ramadan.
Menyentuh tentang karier seninya, pemilik nama sebenar Nursyafiqah
Nasratullah Mohd. Nor, 25, dia tidak menghadapi masalah. Selepas sahaja
tamat Mentor 5, dia terus disambar KRU Records iaitu syarikat rakaman
mentornya, Edry.
"Saya ikat kontrak selama setahun dengan KRU. Alhamdulillah, semua program anjuran KRU saya terlibat," katanya.
Shinta tayang buah dada
|
SHINTA BACHIR
|
SHINTA BACHIR terkenal dengan penampilan berani dalam filem-filem yang dibintanginya.
Terbaru, artis berusia 25 tahun ini nekad tampil seksi dengan menunjukkan sebahagian buah dadanya dalam filem terkininya,
Mati Muda Di Pelukan Janda.
Shinta mengungkapkan sebelum menerima peranan itu, dia sudah memikirkan secara matang untuk melakukan adegan tersebut.
"Saya akan lakukannya dengan cara yang profesional," tegasnya.
Sebelum ini sempat tersiar khabar, pelakon itu bersetuju untuk tampil
seksi kerana menerima bayaran yang mahal. Saat ditanya tentang hal
tersebut, Shinta mengaku sudah jatuh hati dengan peranan yang
ditawarkan.
"Saya terima peranan itu kerana tertarik dengan wataknya. Saya akan
menjadi seorang janda yang nakal. Itu (watak) yang lebih saya utamakan,"
balas pelakon itu.
Malah dia juga sudah bersiap sedia dengan kontroversi yang bakal
dihadapinya nanti. Dia juga berani menanggung impak yang bakal tercetus.
Katanya: "Jika esok nanti ia menjadi kontroversi, saya melihat itu
sebagai satu tuntutan kerja saya dan saya melakukannya dengan
profesional."
Hadis Ke Tiga Puluh Lima : -
LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA
H.R. TERMIZI
Daripada
Ali bin Abi Thalib ra ... Rasulullah SAW Bersabda: " Apabila umat ku
telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada
mereka iaitu:
1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3. Zakat dijadikan hutang.
4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
5. Anak derhaka terhadap ibunya.
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".
Dunia
pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah
SAW ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.
Kaji semula caj enam peratus
Oleh HISHAM IDRIS
hisham.idris@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar)
meminta syarikat telekomunikasi (Telco) supaya mengkaji semula keputusan
mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus kepada pengguna
produk tambah nilai dan pek permulaan talian prabayar kerana ia dilihat
membebankan rakyat.
Najib berkata, keputusan yang diambil sendiri oleh syarikat
telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas
beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pengguna.
Menurutnya, fokus utama ketika ini sepatutnya untuk mengurangkan
beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan untuk menambah beban itu.
"Saya sudah dapat banyak reaksi dan maklumat balas orang ramai bahawa
langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai
perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar
diterima oleh rakyat.
"Kini rakyat terpaksa menanggung kos perbelanjaan serba-serbi dan ada
sesetengah bahan makanan sudah bertambah harga," katanya selepas
melancarkan logo baharu Maybank di di sini semalam.
Najib berkata, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj
cukai enam peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat
telekomunikasi sendiri.
Kempunan rokok sebelum ajal
Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my
|
Wai Keong
|
KUALA LUMPUR - Episod sedih mengenai kehidupan seorang lelaki
kelainan upaya (OKU) yang terpaksa menggunakan tangan untuk bergerak
berakhir apabila dia mati selepas tujuh hari dibelasah dengan rotan
disyaki oleh orang yang enggan memberinya sebatang rokok.
Ng Wai Keong, 59, atau lebih dikenali sebagai Hong Kong Boy yang
hidup merempat sejak rumah keluarganya di Sungai Besi terbakar beberapa
tahun lalu, dilaporkan mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat
jangkitan paru-paru.
Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah
berkata, kejadian berlaku pukul 11 pagi 3 September lalu di hadapan
sebuah kelab malam di Sungai Besi apabila mangsa dikatakan meminta
sebatang rokok daripada seorang lelaki berusia 34 tahun.
Bagaimanapun katanya, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol
enggan memberikan rokok tersebut hingga memaksa mangsa mendesaknya
beberapa kali.
"Perbuatan mangsa itu telah menimbulkan kemarahan suspek yang terus
memukul kepala mangsa hingga pengsan dengan menggunakan rotan yang
diambil dari but keretanya. Mangsa kemudian dikejarkan ke HKL untuk
rawatan," katanya di sini semalam.
Mati dipeluk teman wanita
Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my
|
RUMAH yang menjadi tempat
Muhammad Faizal ditemui mati diruang tamu selepas meminum racun serangga
manakala Zuzziana pula parah di Taman Bunga Sejati, Rantau semalam.
|
SEREMBAN – Kisah cinta bak ‘Romeo dan Juliet’ sepasang kekasih yang
sepatutnya mengecapi kebahagiaan berakhir dengan tragedi apabila si
lelaki maut manakala teman wanitanya pula parah selepas mereka meminum
racun serangga setelah kecewa hubungan itu dihalang keluarga.
Kejadian pukul 8 pagi di sebuah rumah di Taman Bunga Sejati, Rantau
dekat sini semalam itu mengakibatkan Muhammad Faizal Raj Abdullah, 28,
mati di tempat kejadian manakala Zuzziana Rahmat, 18, pula parah dan
dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban di sini.
Difahamkan, Muhammad Faizal yang baru beberapa bulan memeluk Islam
berasal dari Nilai manakala Zuzziana berasal dari Sungai Pelek,
Selangor.
Pasangan itu ditemui dalam keadaan berpelukan di lantai ruang tamu
oleh jiran mereka, Suthir Baba, 26, sebaik dia pulang dari kerja.
Selain bekas minuman berisi sejenis cecair berwarna putih disyaki
racun serangga, turut dijumpai dekat pasangan itu ialah sekeping nota
yang tertulis mereka berbuat demikian kerana kecewa selepas hubungan
cinta dihalang keluarga.
Mengimbau semula kejadian itu, Suthir memberitahu, sebaik sampai di
rumah, dia ternampak wanita berkenaan keluar rumah untuk membuka pintu
pagar sebelum masuk semula.
Katanya, tidak lama kemudian, dia merasa pelik apabila terdengar bunyi orang bernafas dengan kuat dari dalam rumah mangsa.
“Saya kemudian mengajak beberapa lagi jiran untuk meninjau dan
terkejut apabila mendapati wanita itu sudah terbaring di dada Muhammad
Faizal. Kedua-duanya sudah kejang dengan mulut masing-masing keluar
buih.
“Kami kemudian cuba membawa kedua-dua mangsa ke dalam kereta milik
Muhammad Faizal untuk dibawa ke hospital tetapi malang kenderaan itu
pula gagal dihidupkan sebelum menghubungi ambulans,” ceritanya di sini
semalam.
Khianat awal pagi
Oleh ABD RAZAK OSMAN
razak@kosmo.com.my
TINESH menunjukkan kesan minyak petrol yang disyaki digunakan untuk
membakar motosikal dan kereta di Flat D20, Seberang Jaya, Bukit Mertajam semalam.
BUKIT MERTAJAM – Entah apa motifnya, sebanyak enam motosikal dan
sebuah kereta milik penghuni Flat D20 Seberang Jaya di sini musnah
disyaki dibakar orang tertentu semalam.
Kejadian pukul 4 pagi itu membabitkan dua buah motosikal jenis Honda
EX5, masing-masing satu Honda Wave, Yamaha, Modenas dan sebuah kereta
Perodua Kelisa.
Pemilik motosikal, K. Tinesh Kumar, 23, berkata, dia enggan menuduh
sesiapa tetapi dapat merasakan ia disebabkan oleh perbuatan khianat
pihak tertentu.
“Beberapa hari lalu, saya ada menegur sekumpulan remaja yang bergaduh
di sini dan mereka marah hingga hampir bertumbuk pula dengan saya.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti pula sama ada mereka ingin membalas
dendam dan saya serahkan saja kepada polis untuk menyiasat,” ceritanya
yang kerugian hampir RM4,000.
Tambahnya, dia menyedari kejadian itu selepas dikejutkan ibunya yang terdengar bunyi bising.
Menurut Tinesh, sebaik turun, dia dapati motosikalnya hangus dan dia
turut menemui satu bekas berisi petrol berhampiran tempat kejadian.