Monday, April 9, 2012

SEJUTA...BANYAK TU...BILA MANUSIA SUKA PADA KEMEWAHAN...MATA DUITAN...

Jangan buang helaian al-Quran sesuka hati – JHEAT

KUALA TERENGGANU – Pengusaha pusat fotostat dinasihatkan supaya jangan membuang helaian al-Quran sewenang-wenangnya bagi memelihara kesucian ayat suci itu.
Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan Negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pengusaha pusat fotostat perlu lebih peka dalam menjaga kesucian al-Quran dengan tidak membiarkan naskhah suci itu terabai.

“Kita tidak mahu kertas-kertas al-Quran ini dicampakkan begitu sahaja dan dibuang ke dalam tong sampah bersama-sama sampah dan kotoran lain selepas melakukan proses salinan,” tegasnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selain itu, menurut Muhammad Ramli, jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini dinasihatkan supaya melupuskan al-Quran buruk secara baik dan jangan membiarkannya berlonggok di dalam stor.
Justeru, katanya, satu pekeliling akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) kepada semua masjid agar naskhah al-Quran yang telah rosak dapat dilupuskan dengan baik.

Peniaga tergamam gerai kena sita


BEBERAPA anggota penguat kuasa MBAS merampas sebuah gerai minuman yang gagal membayar sewa bulanan tertunggak dalam operasi di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang peniaga di Sudut Selera Putra di sini tergamam apabila gerai minumannya diangkut Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam Operasi Sita pada pagi semalam gara-gara gagal menjelaskan tunggakan sewa sebanyak RM5,600.
Peniaga terbabit yang berusia dalam lingkungan 40-an didapati gagal membuat bayaran sewa gerai sebanyak RM140 sebulan sejak lebih tiga tahun lalu.
Selain gerai minuman itu, turut menghadapi tindakan sita adalah dua buah gerai makanan di Taman Selera Mergong di sini yang masing-masing mempunyai tunggakan sewa sebanyak RM1,500 dan RM1,200 sejak Disember tahun lalu.
Menurut Ketua Unit Sewaan MBAS, Shaari Abdullah, dalam operasi tersebut, sebanyak lapan buah gerai di dua medan selera di sini dengan tunggakan keseluruhan berjumlah RM22,720 diperiksa oleh 25 pegawai dan penguat kuasa MBAS.
Katanya, dua buah gerai kekal di Taman Selera Mergong telah dikenakan tindakan kunci manakala sebuah gerai mudah alih di Sudut Selera Putra diangkut ke MBAS kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa.

Subahat rasuah dengan isteri


SURAYA, isteri kepada Noor Mohamed Khan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang Timbalan Pengarah Bahagian Kandungan dan Penguat Kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersubahat dengan isterinya serta seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta berhubung kesalahan rasuah RM250,000 pada Mac lalu.
Tertuduh, Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, 39, didakwa bersubahat dengan isterinya, Suraya Hani Ahmad Zaki yang sedang mengandung dan Noorshidin Mohd. Noor, iaitu menerima bagi diri mereka wang RM250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn. Bhd., Mohd. Shukri Othman.
Perbuatan itu sebagai upah kononnya membantu syarikat itu memperoleh surat penganugerahan bagi tender mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, pada pukul 10.25 pagi, 14 Mac lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Berebut minyak masak ‘percuma’


ORANG ramai berebut mendapatkan minyak masak ‘percuma’ daripada sebuah lori tangki yang kemalangan di Jalan Langgar, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Kira-kira 5,000 penduduk kampung dan kawasan perumahan berhampiran Jalan Langgar di sini tidak melepaskan peluang mendapatkan minyak masak ‘percuma’ daripada tangki sebuah lori yang bocor selepas terlibat dalam kemalangan semalam.
Orang ramai dilihat mula membanjiri kawasan tersebut dari pukul 12 tengah hari sehingga pukul 8 malam dan ada yang masih menadah minyak masak tersebut ketika hujan pada sebelah petang.
Lori tangki dari Butterworth, Pulau Pinang yang membawa sebanyak 18 tan minyak masak dianggarkan bernilai kira-kira RM45,000 itu tersadai di bahu jalan selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sportage dari arah belakang kira-kira pukul 11.55 pagi.
Ketika kejadian, lori tersebut dalam perjalanan menghantar bekalan minyak tersebut ke sebuah kilang untuk proses pembungkusan di Kampung Bukit, Naka di sini.
Pemandu lori, Azizan Hashim, 47, memberitahu, akibat kemalangan itu, bahagian bawah tangki bocor menyebabkan muatan minyak masak tumpah ke jalan raya dan longkang bersebelahan.

Banduan dijel kali kedua kerana ugut bunuh jiran

MELAKA – Seorang pemandu lori yang sedang menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas didapati bersalah mencederakan seorang jirannya pada Februari lalu, sekali lagi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengugut orang yang sama.
Majistret Ida Rahayu Sharif menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Helmi Mohd. Yunos, 47, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Helmi didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan iaitu 'mahu bunuh' terhadap Husin Dalip, 59, sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 6 petang, 27 Februari lalu di halaman sebuah rumah di Kilometer 14, Kampung Paya Rumput di sini.

Pemandu didakwa sebab kematian


SUGUMARAN dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong, Pahang semalam atas tuduhan menyebabkan kematian pelancong India.


BENTONG – Seorang pemandu bas persiaran tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kemalangan sehingga meragut dua nyawa pelancong warga India dalam kemalangan pada 5 Mac lalu.
Tertuduh R. Sugumaran, 26, dituduh memandu bas persiaran itu sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di Kilometer 4.5, Jalan Genting Highlands dekat sini.
Kemalangan itu menyebabkan dua daripada 22 pelancong dalam bas itu maut. Dua mangsa yang terkorban ialah Rajindra Kumar Agarwal, 67, dan Anita Aggarwal, 59.
Akibat kejadian itu, Sugumaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun hingga maksimum 10 tahun dan denda RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Isteri nusyuz dituntut bayar RM1 juta


CINTA FACEBOOK... Gambar perkahwinan Muhammad Sem dan Norlysalfarina pada 12 November 2010 di Terengganu.


KUALA LUMPUR – Terkilan dan sedih dengan tindakan isteri yang didakwa lari bersama teman lelakinya, seorang mualaf memfailkan permohonan nusyuz terhadap jururawat sebuah hospital kerajaan selain menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memungkiri perjanjian perkahwinan.
Pembantu arkitek, Muhammad Sem Yap Abdullah, 39, selaku plaintif mengemukakan permohonan tersebut terhadap isterinya, Norlysalfarina Zainal, 30, di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 16 Januari lalu.
Plaintif dalam afidavit permohonan tersebut berkata, sebelum berkahwin, mereka telah membuat perjanjian perkahwinan bertarikh 7 November 2010 iaitu sekiranya defendan mungkir janji syarat-syarat perkahwinan, dia perlu membayar ganti rugi RM1 juta kepada plaintif.
Jelas plaintif, dia dan Norlysalfarina berkenalan menerusi laman sosial Facebook sebelum mengambil keputusan bernikah di Kerteh, Terengganu pada 12 November 2010 demi menyelamatkan wanita itu yang didakwa ketika itu mempunyai masalah dalaman. Hantaran perkahwinan pasangan itu berjumlah RM15,000.
“Namun selepas bernikah kami terpaksa tinggal berasingan atas alasan kerja dengan defendan menetap di Kerteh. Bagaimanapun, pada Jun 2011, atas usaha saya, defendan berpindah ke Hospital Selayang,” kata Muhammad yang memeluk agama Islam sejak 1994.

Wanita dera anak kekasih dipenjara 8 tahun


Wanita dera anak kekasih dipenjara 8 tahun


KLANG – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan teman lelakinya yang berusia 13 tahun hingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Shalina Sundiri Abdullah (gambar), 42, telah mendera mangsa dengan menyimbah air panas, memukul menggunakan getah paip dan kayu besar serta memasukkan batang kayu mop dan cili padi ke dalam kemaluan kanak-kanak malang itu.
Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kelima-lima pertuduhan itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei 2011.
Siti Noraida turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas bapa kanak-kanak itu selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa dengan memukulnya menggunakan kayu.
Shalina didakwa melakukan kesemua perbuatan itu ke atas mangsa di sebuah pangsapuri di sini, antara 25 Disember 2010 sehingga akhir April tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Sekat sebar SMS porno, permainan terselindung


KERAJAAN mahu SKMM dan syarikat Telco menyekat penyebaran SMS yang tidak diperlukan kepada orang ramai. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi (Telco) digesa mencari satu kaedah terbaik bagi menangani penyebaran maklumat yang tidak diperlukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Maklumat tersebut diedar secara rambang dan mengenakan caj tidak munasabah kepada pengguna.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kedua-dua pihak berkenaan diberi tempoh dua bulan untuk mencari jalan untuk menyekat penyebaran SMS tersebut selain daripada mengenakan tindakan undang-undang.
“Kita tidak mahu SMS yang berunsur pornografi atau permainan terselindung dihantar terutamanya kepada anak-anak kita yang masih kecil.
“Sehubungan itu, kita meminta agar syarikat Telco dan SKMM dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membendung perkara itu,” katanya pada Kempen 10 Juta Tandatangan bagi membantah caj enam peratus yang dikenakan oleh syarikat Telco di sini semalam.

Stesen minyak Esso kering petrol, diesel

SALAH sebuah stesen minyak Esso di Lembah Klang yang kehabisan bekalan petrol dan diesel sejak 1 April lalu.


KUALA LUMPUR – Pengusaha stesen minyak Esso di Lembah Klang mendakwa perniagaan mereka kini terjejas setelah tidak menerima bekalan petrol dan diesel daripada syarikat petroleum tersebut sejak 1 April lalu.
Gangguan bekalan minyak itu menimbulkan persoalan di kalangan pengusaha stesen minyak berkenaan kerana bekalan minyak petrol RON95 dan diesel yang dihantar oleh syarikat pembekal secara tidak berjadual.
Menurut pengusaha terbabit, masalah kekurangan bekalan mungkin ada kaitan dengan tindakan syarikat San Miguel Corp. melalui Petron Corp. (Petron) membeli 65 peratus kepentingan dalam Esso Malaysia Bhd. dan semua saham ExxonMobil Borneo Sdn. Bhd. serta ExxonMobil Malaysia Sdn. Bhd. berkuat kuasa 1 April lalu.
Tinjauan Kosmo! di beberapa stesen minyak Esso sekitar ibu negara dan Petaling Jaya mendapati, ada antara stesen minyak tersebut yang terputus bekalan minyak RON95 sejak tiga hari lalu dan ada yang mengalami masalah yang sama sejak seminggu lalu.

No comments:

Post a Comment