Wednesday, March 14, 2012

PUSAT ZAKAT KENA AMBIK TAHU...BANYAK TERABAI...JAWABLAH DIHADAPAN ALLAH...HANYA BANGGA KUTIPAN BERJUTA2...AGIHAN ADA YANG TAK SAMPAI...

'Saya perlu ikut kehendaknya'
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
'Saya perlu ikut kehendaknya'
ALOR SETAR - “Ini merupakan pengalaman yang saya tidak akan lupakan kerana bukan mudah untuk menenangkan perasaan atau jiwa seseorang yang berada dalam situasi keliru,” kata Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan, semalam.

Adzaman berjaya memujuk seorang lelaki yang cuba terjun dari tingkat empat bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sekitar jam 5 petang, Ahad lalu, setelah hampir tiga jam perlu menggunakan pendekatan psikologi dan keagamaan.

Beliau berkata, bukan mudah memujuk lelaki yang dipanggil dengan gelaran Mat itu kerana dia tidak membenarkan dirinya dihampiri.

Menurutnya, pengalaman sebagai pegawai soal siasat di Jabatan Narkotik Bukit Aman pada tahun 2005 turut digunakannya sewaktu memujuk lelaki tersebut.

“Sewaktu berada di atas bangu-nan itu, saya terpaksa mengikut kehendaknya termasuklah menggolekkan botol air dan telefon milik saya kepadanya kerana dia tidak mahu didekati.

“Malah, lelaki itu juga memberitahu yang dia tidak mahu ada sesiapa di atas bangunan tersebut melainkan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Adzaman ketika itu menurut kehendak lelaki berkenaan mengarahkan anggotanya mengosongkan kawasan tersebut dan sekali lagi cuba memujuknya turun.

Menurutnya, sebelum Mat menuruni anak tangga, dia sempat menjenguk di bahagian bawah sama ada masih ada orang lain atau tidak.

“Sewaktu dia jenguk suasana di bahagian tangga, saya turut mengarahkan agar mengosongkan tempat tersebut atas permintaannya. Dia tidak mahu ada sesiapa di bawah kerana bimbang dia akan ditangkap dan malu atas perbuatannya itu,” katanya.

Adzaman kemudiannya mengajak Mat yang dianggap sebagai tetamu itu ke biliknya untuk bersembang lebih terperinci sebelum memanggil pegawai perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) merawat lelaki itu.

Beliau berkata, sewaktu berada di dalam biliknya, Mat pada awalnya duduk bersila di lantai dan kemudiannya bangun duduk di sofa setelah diajak oleh Adzaman.

Menurutnya, setelah mendapatkan rawatan, Mat kemudiannya diajak ke HSB bagi menerima rawatan lanjut kerana bimbang dengan kesan minyak pelincir yang diminumnya.

“Sekali lagi, saya terpaksa memujuknya untuk ke HSB. Hampir 15 minit saya pujuk, barulah dia mahu menaiki ambulan untuk ke HSB, namun Mat sekali lagi meminta agar mengosongkan pintu masuk kerana tidak mahu ada orang melihatnya.

“Sebelum itu, Mat bersalaman dengan anggota polis dan pegawai perubatan, namun sewaktu bersalaman dengan saya, dia mencium tangan saya,” katanya.

Adzaman berkata, sepanjang tempoh dua tahun dia berkhidmat sebagai ketua polis daerah ini, kes seumpamanya merupakan kejadian pertama yang berlaku.

Menurutnya, kebiasaannya, kes sedemikian berlaku disebabkan individu itu mengalami masalah seperti putus cinta dan bercerai atau mengambil dadah dengan dos tinggi menyebabkan fikirannya terganggu.
Pegawai eksekutif Petronas dipenjara
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Pegawai eksekutif Petronas dipenjara
KUALA TERENGGANU – Hakim Azman Mustapa, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM35, 000 ke atas seorang pegawai eksekutif petronas, Jasmi Mohd Jemadi, 45 setelah didapati bersalah bersabit dua kes rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Selepas mendengar keterangan pihak pembela dan pendakwa, Azman menetapkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara dua tahun dan denda RM20,000 bagi pertuduhan kedua.

Azman, bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Sazli Abdul Khairi berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 17 Februari 2009 kira-kira jam 6.09 petang di Maybank cawangan Paka, Dungun telah secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu RM1,500 daripada Azmi Abu Bakar yang dimasukkan ke dalam akuan tertuduh.

Wang tersebut diberikan sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perkara berhubung dengan hal ehwal prinsip iaitu tidak melaporkan kepada ibu pejabat Petronas Dagangan Berhad berkenaan injap kompak yang dibekalkan syarikat Dual Metal Sdn Bhd milik pengadu kepada Depoh Petronas Melaka yang dikatakan telah bocor.

Manakala, dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 24 Februari 2009 pada jam kira-kira 3 petang, di lokasi yang sama, tertuduh telah menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada orang yang sama bagi tujuan serupa.

Atas kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman lapan bulan penjara dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.
Cabul remaja bawah umur, lelaki 38 tahun dipenjara
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Bersalah cabul remaja bawah umur sembilan tahun lalu
KUALA TERENGGANU – Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM10, 000 dan penjara 10 bulan ke atas seorang lelaki setelah didapati bersalah mencabul seorang remaja bawah umur dan memecah masuk kediaman mangsa kira-kira sembilan tahun lalu.
Tertuduh, Kamal Juhan, 38, hanya tunduk ketika Majistret, Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman ke atasnya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul dan Seksyen 457 KK kerana pecah rumah.
Mengikut pertuduhan pertama, Kamal didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun di Kampung Surau Haji Daud, di sini, kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003.
Bagi pertuduhan itu, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau 10 bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Sementara itu, Kamal yang didakwa memecah masuk kediaman mangsa dengan masuk melalui tingkap rumah di alamat dan tarikh sama kira-kira jam 2.30 pagi turut dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan dan Abdul Hayyi memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan bermula dari tarikh sabitan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memecah kediaman mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003 dan bertindak memukul mangsa atas alasan mahu membalas dendam.
Tertuduh bertindak mencabul mangsa dan mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mangsa enggan menuruti kehendaknya.
Mangsa cuba menjerit meminta tolong tetapi gagal disebabkan tertuduh menutup mulutnya dengan tangan.
Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan dia hanya tinggal bersama adiknya. Bagaimanapun, perbuatan itu tidak disedari adiknya sebelum mangsa membuat laporan selepas tertuduh beredar dari kediamannya, tertuduh berjaya ditahan pada 18 Ogos 2003.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ibu dalam pantang dipenjara
NURUL HUDA HUSAIN
14 Mac 2012
Ibu dalam pantang dipenjara
KUALA TERENGGANU –Gara-gara membuat laporan palsu berhubung penemuan bayi yang sebenarnya miliknya , seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Mengikut pertuduhan, Wan Syafira Wan Nazri, 23, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Beladau Kepong, di sini, dengan sengaja memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam (polis) menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang
undang mendatangkan bencana kepada seseorang yang lain.
Wan Syafira yang juga ibu kandung kepada bayi malang berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
Tertuduh yang hadir berbaju kurung dan bertudung biru serta masih dalam pantang, tenang ketika membuat pengakuan bersalah atas kesalahan yang dilakukan pada 25 Februari lalu, di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sinar Harian 26 Februari lalu melaporkan seorang nenek berusia 70 tahun dicari bagi membantu siasatan kes buang bayi berusia lima hari yang ditinggalkan di atas alas kaki di sebuah rumah di Kampung Beladau, Kepong, di sini.
Bagaimanapun, pihak polis akhirnya berjaya menamatkan teka-teki setelah mendapati suspek merupakan pengadu kes tersebut.
Rompak: Bapa dijel 10 tahun, dua sebatan
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Rompak: Bapa dijel 10 tahun, dua sebatan
KOTA BHARU- Padah merompak rumah peguam, seorang bapa terpaksa meringkuk 10 tahun dalam penjara dan dua sebatan selepas didapati bersalah melakukan kegiatan tersebut pada 23 Mac tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Saleh menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Radzuan Isa, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan rompakan secara berkumpulan pada tarikh tersebut.
Mengikut pertuduhan, Radzuan yang beralamat dari Kampung Belukar Machang bersama empat lagi yang masih bebas didapati dengan niat melakukan rompak berkumpulan terhadap mangsa di Laman Eastana Jalan Pasir Puteh, Peringat kira-kira jam 4.15 pagi.
Tertuduh melakukan rompakan menggunakan senjata pemotong besi warna kelabu, pemutar skru dan pisau kecil. Turut merompak wang tunai bernilai RM25,000, barang kemas pelbagai jenis kira-kira RM80,000; tujuh jam tangan berbagai-bagai jenama; dua beg jenama Adidas dan sebotol minyak wangi.
Barangan lain pula adalah sepasang kasut jenama Adidas dan beberapa wang kertas Dollar Amerika dan Singapura.
Tertuduh yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Bagi Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwi Mat Ripin.
Peniaga bebas tuduhan rogol remaja sekampung
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Peniaga bebas tuduhan rogol remaja sekampung
KOTA BHARU-Bagaikan langsai hutang sejuta dan sangat bersyukur bagi seorang peniaga muda apabila Mahkamah Sesyen di sini, semalam memutuskan dia bebas daripada tuduhan merogol remaja sekampung dengannya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Imran Mohamed Nor, 22, didapati merogol seorang remaja berusia 15 tahun di rumah tanpa nombor di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah kira-kira jam 8 malam.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 376 (1) Kanun Keseksaan iaitu rogol hendaklah diseksa dan penjara yang boleh sampai 20 tahun.
Bagaimanapun, Hakim Zainal L Salleh menetapkan keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan primafacie ke atas tertuduh.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T merah tersebut dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.
Mahkamah mendapati keterangan mangsa tidak disokong oleh laporan perubatan doktor yang merawatnya. Malah, mangsa juga tidak pasti sama ada kejadian rogol berlaku atau sebaliknya.
Mohd Imran yang ditemani peguamnya Muhammad Hasif Hassan senyum ketika berjalan keluar dari mahkamah semalam.
Ambulans langgar lembu
Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2012
Ambulans langgar lembu
LABOK – Gara-gara seekor lembu, sebuah ambulans terbalik menyebabkan lima penumpang dan pemandunya cedera ringan selepas terlanggar seekor lembu di Labok, pagi semalam.
Kemalangan kira-kira jam 8 pagi, di depan Pejabat Pelajaran Daerah Machang itu menggemparkan penduduk tempatan, dan pengguna jalan raya apabila ia melibatkan ambulans yang membawa pesakit.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, kesemua mangsa termasuk pesakit selamat dan tidak mengalami kecederaan parah.
Katanya, ambulans dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian itu dalam perjalanan menghantar pesakit yang juga warga emas ke Hospital Kuala Krai sebelum terlibat dalam kemalangan itu.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, lembu itu dipercayai tiba-tiba melintas jalan. Akibat kejadian itu, lembu tersebut mati di tempat kejadian” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Tinjauan wartawan juga mendapati dua lampu jalan di kawasan itu turut rosak akibat kemalangan itu.
Pada masa sama, pengguna jalan raya, Hussin Alias, 45 meminta pihak berkenaan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi kejadian itu untuk mengelak kejadian sama berulang.
Katanya, kemalangan melibatkan haiwan ternakan kerap kali berlaku di kawasan itu, dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya demi keselamatan pengguna.
“Bukan hanya menyebabkan kecederaan atau kerugian kepada pengguna jalan raya, juga mengancam nyawa sedangkan penternaknya mengaut keuntungan dengan mudah.
“Perkara ini bukan perkara baru namun, sering berbangkit dan seolah-olah tiada penyelesaian malah berulang kali berlaku. Bukan masanya lagi untuk berlembut dengan penternak yang degil itu, sedangkan ia menyebabkan kematian, kesakitan dan kerugian­ kepada orang lain,” katanya.
Nenek daif mohon dibantu
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Nenek daif mohon dibantu
KAMPUNG BARU RPK –Seorang nenek di sini, tinggal menyewa dan hidup daif bersama anak dan cucunya.
Gayah Awang Kechik, 77, berkata, dia tidak pernah merasa tinggal di rumah sendiri seperti orang lain yang mempunyai rumah sendiri dan hidup selesa.
Menurutnya, rumah yang disewa cucunya juga tidak sempurna, berikutan bahagian­ bumbung yang bocor dan hanya mempunyai sebuah bilik sekali gus tidak dapat menampung sembilan isi keluarganya.
“Rumah yang disewa RM70 sebulan ini, sempit dan tidak selesa untuk didiami kami sekeluarga.
“Selain itu, bekalan air tiada menyebabkan anak dan cucu terpaksa mengangkut air di telaga yang jaraknya 500 meter dari rumah, ”katanya kepada Sinar Harian.
Gayah berkata, dia bersyukur kerana mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, dan dapat meringankan beban anak dan cucunya untuk membeli keperluan harian.
“Saya hanya mahu rumah yang selesa kerana sudah tidak tahan lagi tinggal menyewa, namun sehingga kini impian ingin memiliki kediaman sendiri masih tidak kesampaian. Saya hanya mampu berdoa dan berharap ada pihak yang sudi membantu,” katanya.
Cucu sulungnya, Rasidah Abd Wahad, 32, berkata, ketiadaan tanah menyukarkan impian neneknya untuk tinggal di rumah sendiri, dan terpaksa tinggal menyewa bersamanya.
Menurutnya, dia yang sejak kecil tinggal bersama neneknya sering berpindah.
“Saya dan suami sudah dua tahun tinggal menyewa dekat sini, bersama nenek dan bersama bapa saudara. Mereka hanya bekerja kampung dan tidak mampu untuk beli tanah dan bina rumah sendiri.
“Berikutan itu, saya minta pihak berkenaan bantu nenek untuk peroleh rumah sendiri,” katanya.
Masuk parit elak lembu
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Masuk parit elak lembu
KAMPUNG BARU – Masalah lembu berkeliaran di sini membimbangkan penduduk kampung kerana kehadiran haiwan itu bukan sahaja merosakkan tanaman malah mengganggu lalu lintas sehingga boleh mengundang risiko kemalangan.

Dalam tempoh lima tahun ini, pelbagai masalah dilaporkan termasuk kemalangan maut dan kecederaan kepada penunggang motosikal akibat terlanggar atau mahu mengelak sekumpulan haiwan ini yang berkeliaran.

Seorang penduduk, Yunus Abd Wahid, 48, berkata, dia pernah terlibat kemalangan baru-baru ini apabila kereta yang dinaiki bersama anak perempuannya berusia 15 tahun terbabas ke dalam parit berdekatan Jalan Haji Saie, di sini kerana cuba mengelak seekor lembu melintas.

“Ketika kejadian, hujan renyai dan saya dalam perjalanan pulang ke rumah setelah mengambil anak pulang dari sebuah sekolah di batu 38. Entah dari mana secara tiba-tiba muncul seekor lembu melintas jalan.

“Saya cuba mengelak sehingga menyebabkan kereta terbabas masuk ke dalam parit. Syukur saya dan anak selamat dan saya hanya mengalami cedera ringan sahaja, “ katanya.

Yunus berkata, masalah lembu berkeliaran sering menimbulkan kemarahan penduduk kampung terutamanya pengguna jalan raya masih berterusan biarpun ia telah disuarakan kepada pemimpin masyarakat.

“Kita mahu masalah ini diatasi segera agar tidak timbul masalah di kemudian hari. Kita tahu lembu di sini ada tuannya tetapi yang dikesalkan apabila ditanya, tiada siapa yang mahu mengaku. Sepatutnya pemilik haiwan ini bertanggungjawab ke atas peliharaannya supaya tidak menyusahkan penduduk lain,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, Abdullah, 40, terdapat beberapa jalan yang terlibat antaranya Jalan Haji Saie, Jalan Haji Mahmud, Jalan Sekolah, jalan menuju ke Tebuk Berihun dan Tanjung Jawa.

Katanya lembu yang itu bergerak dalam bilangan besar sekitar 80 ekor ataupun kumpulan kecil antara dua atau tiga ekor.

“Kita difahamkan, masalah ini sudah diberikan perhatian oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan dan Negeri, selain mendapat perhatian Jabatan Veterinar namun masing-masing tidak mampu menyelesaikannya.

“Apa yang penduduk dan pengguna harapkan akan ada pihak yang mampu menyelesaikannya demi keselesaan dan keselamatan kami di sini,” katanya.

Difahamkan, terdapat lembu yang telah ditambat masih mengganggu lalu lintas kerana tali penambat panjang sehingga membolehkannya berkeliaran atas jalan raya.
Arwah mahu pergi bercuti jauh
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Arwah mahu pergi bercuti jauh
ALOR GAJAH - Pemergian ­seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rembia yang terbabit dalam ­ke­malangan ngeri, dekat sini, begitu dirasai seorang rakan sekerjanya yang ­sem­pat berseloroh dengannya ­se­belum tamat sesi persekolahan, Jumaat lalu.

Mangsa, Manisah Md Diah, 32, maut ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah selepas kereta yang dipandu dirempuh sebuah lori muatan baja. Tayar hadapan lori terbabit meletup, menyebabkan ia ­memasuki laluan bertentangan di Kampung Air Hitam Lendu, dekat sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.


Berseloroh dengan rakan sekerja, mahu bercuti jauh

Rakan sekerja arwah, Rosliza Ali, 42, berkata, kali terakhir dia berbual dengan arwah pada Jumaat lalu sebelum pulang ke rumah selepas ­selesai sesi persekolahan. Menurutnya, dia menyedari ­perubahan ­arwah yang tidak seperti kebiasaannya.

“Arwah sempat berseloroh ­mengatakan tidak pasti bila lagi akan berjumpa rakan sekerja dan akan pergi bercuti jauh. Perubahan sikapnya begitu ­ketara pada Jumaat lalu apabila dia kelihatan banyak termenung. Saya menyatakan sepatutnya dia gembira kerana cuti sekolah akan bermula, namun sikapnya begitu berbeza,” katanya.

Rosliza berkata, Manisah ­seorang yang mudah dibawa berbincang dan suka membantu rakan.

“Saya senang berkawan de­ngannya dan kami ibarat seperti adik beradik sejak arwah mula mengajar di sekolah ini. Arwah juga rajin menyediakan ­minuman pagi untuk rakan sekerja dan sering membawa kuih-muih untuk bersarapan bersama kami di sekolah,” katanya.


Enggan jamah pulut kuning

Katanya, pada hari sama juga ­arwah sempat menjamah secubit pulut kuning yang dibawa seorang guru kaunseling sekolah berkenaan.

“Pada mulanya dia enggan ­menjamah pulut kuning yang ­dibawa guru terbabit dan saya memintanya menjamah sedikit. Arwah pula berkata, tidak sempat ­ merasainya lagi jika ajal menjemputnya. Sama ada di tempat kerja mahupun selepas tamat persekolahan, kami memang akrab apatah lagi t­empat duduk kami saling berhadapan di ­pejabat,” katanya kepada Sinar Harian di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, kelmarin.


Hubungi kakak ipar

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Noraini Ahmad, 48, berkata, arwah sempat menghubunginya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum kejadian untuk memaklumkan dia meninggalkan dua anaknya, Mohd Akhbar Norazahan, 4, dan Nur Umairah Norazahan, 3, di rumah ibunya di pekan Masjid Tanah untuk pulang sebentar ke rumahnya di Lendu.

Menurutnya, arwah memaklumkan dia meninggalkan anaknya di rumah ibu untuk pulang mengemas rumahnya di Lendu.

“Dalam perbualan telefon itu, ­arwah memberitahu dia meninggalkan dua anaknya itu dan tidak akan pulang lagi. Saya bertanya kenapa dia ­berkata demikian kerana sebelum kejadian arwah tidak memperlihatkan sebarang perubahan sikap,” katanya.

Noraini berkata, arwah juga terlalu bersedih dengan ­pemergian bapa mentuanya, yang meninggal dunia kira-kira seminggu lalu.

“Arwah memang terlalu rapat dengan arwah ayah, malah kebajikan ayah cukup terjaga sepanjang di bawah jagaan arwah, membuatkan kami cukup terasa kehilangannya yang tidak pernah mensia-siakan orang di sekelilingnya. Pada malam sebelum kejadian, anak arwah tidak boleh tidur awal seperti biasa dan leka bermain bersama ­arwah ibunya,” katanya.
Anak terpaksa berlapar ke sekolah
Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2012
Anak terpaksa berlapar ke sekolah
TELOK EMAS - Seorang bapa yang hilang punca pendapatan selepas kemalangan, sedih melihat empat anak berusia tujuh hingga 15 tahun, ke sekolah tanpa duit belanja.
Hairuddin Muhammad, 47, dari Taman Seri Telok Emas di sini, berkata, dia tidak mampu bekerja selepas kakinya patah tiga bulan lalu, akibat kemalangan di tempat kerja.
Menurutnya, mereka sering terputus bekalan makanan dan hanya berlaukkan telur, sumbangan individu yang simpati dengan nasib mereka sekeluarga.
“Saya bimbang soal makan minum keluarga saya kerana anak terpaksa berlapar tanpa wang belanja ke sekolah. Adakala saya teringin makan lauk asam pedas tetapi isteri hanya mampu sediakan kuahnya sahaja tanpa ada ikan ataupun daging,” katanya ketika menerima kunjungan beberapa ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Ranting Telok Emas, di sini, semalam.
Hairuddin sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah pusat pengajian agama di Padang Temu, patah kaki selepas meleraikan sekumpulan pelajar yang bergaduh pada Disember lalu.
Hairuddin berkata, sebelum ini dia tidak berdepan sebarang masalah dengan pendapatan RM500 sebulan dan ditambag dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kini hidup saya sekeluarga tak menentu. Ansuran rumah sudah tiga bulan tertunggak, begitu juga bil elektrik dan air,” katanya.
Melambung depan klinik
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Melambung depan klinik
ALOR GAJAH - “Saya dan rakan sedang berbual, tiba-tiba terdengar dentuman kuat dan saya nampak objek melayang serta motosikal terbakar serta-merta.” Itu pengakuan saksi kejadian kemalangan maut, yang juga rakan mangsa, Laila Khamis, 58.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seorang pembantu farmasi Klinik Kesihatan Masjid Tanah maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta Perodua Viva yang membelok masuk di persimpangan berhampiran sebuah stesen minyak di pekan Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Firdaus Yahya, 32, dari arah Paya Rumput menuju ke arah pekan Masjid Tanah merempuh kereta dinaiki dua beranak dari pekan Masjid Tanah yang tiba-tiba membelok ke kanan, ke arah Kampung Lekok.

Laila berkata, ketika kejadian, dia berada di pekara­ngan Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

“Saya sedang berbual dengan rakan, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi den­tuman yang amat kuat. Saya cuma nampak mangsa melambung sebelum terjatuh di atas jalan raya dan segera berlari untuk membantu mangsa tetapi saya seperti hilang arah apabila mengetahui mangsa adalah rakan sekerja saya,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke klinik untuk rawatan kecemasan.

“Seorang anggota bomba yang kebetulan melalui jalan terbabit membantu memadamkan api yang semakin marak membakar motosikal mangsa selepas tercampak kira-kira 10 meter akibat rempuhan berkenaan. Mangsa yang parah gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Laila berkata, arwah rajin bekerja dan amat mengejutkan apabila semua gambar arwah yang terdapat di papan carta organisasi sudah dicabut sendiri, malah cuti tahunannya yang berbaki 30 hari lagi juga sudah dipadamkan tanpa disedari mereka.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit berusia 25 tahun berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Lekok selepas mengambil ibunya berusia 56 tahun, dari tempat kerja di Pengkalan Balak.

Menurutnya, dia tidak menyedari kemunculan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Sebaik melepasi lampu isyarat dan hendak membelok ke kanan, menuju ke Kampung Lekok, saya hanya menyedari terdapat sebuah kereta yang membelok masuk ke arah Kampung Lekok dari arah Paya Rumput namun tidak pula menyedari sebuah motosikal menuju terus ke arah pekan.

“Apabila saya membelok ke kanan, berlaku dentuman kuat apabila motosikal yang ditunggang mangsa merempuh pintu sebelah penumpang,” katanya.

Ibu mangsa, Normala Sham Ramli, 56, berkata, arwah tidak menampakkan perubahan sikap ketika kali terakhir berjumpanya.

“Ketika itu dia sibuk menyediakan barangan untuk berniaga burger, di rumah neneknya di Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah, petang sebelum kejadian,” katanya.

Allahyarham Mohd Fir­daus adalah anak pertama daripada empat beradik dan meninggalkan seorang isteri, Norain Hashim, 29, yang kini menjalani kursus di Maktab Perguruan Tun Hussin Onn, Batu Pahat.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubok Redan.
Merangkak selamat diri
HAMIZAH BASIR
13 Mac 2012
Merangkak selamat diri
SEREMBAN – Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang pelajar kolej apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam gaung di Batu 7, Jalan Bukit Mantin, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, R Ganeshkumar, 24, cedera ringan selepas kereta Toyota Corolla yang dipandunya terbabas lalu terhumban ke dalam gaung.
Menceritakan detik cemas itu, Ganeshkumar yang juga pelajar jurusan Kejuru­teraan Mekanik dari Kolej Lagenda Mantin berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari rumah di Port Dickson ke asrama kolej.
Menurutnya, insiden berpunca apabila dia cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan tiba-tiba.
“Saya cuba mengelak dan menekan pedal brek namun kereta berpusing beberapa kali kerana jalan licin akibat hujan, ditambah pula kawasan itu menuruni bukit. Akibat gagal mengawal kenderaan, kereta saya terhumban ke dalam gaung sedalam 50 meter,” katanya, semalam.
Menurutnya, sejurus terhumban, dia cuba keluar dari kereta namun gagal kerana pintu tidak boleh dibuka.
“Saya keluar menggunakan pintu penumpang untuk menyelamatkan diri kerana bimbang berikutan kereta terhumban ke sebuah anak sungai. Sebaik keluar, saya lihat enjin kereta terbakar dan saya terus ke tebing sungai,” katanya.
Ganeshkumar berkata, dia cuba mendapatkan ban­tuan dengan menjerit minta tolong tetapi tidak berjaya kerana kawasan berkenaan adalah hutan, selain kejadian pada waktu malam.
“Saya beranikan diri merangkak menaiki tebing gaung dengan bercahayakan lampu telefon bimbit. Pendakian selama 30 minit dengan memaut akar pokok membolehkan saya naik ke atas tebing sebelum menghubungi rakan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Menurutnya, beberapa minit kemudian, rakannya tiba memberikan bantuan dan membawanya ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk menerima rawatan lanjut.
“Saya bersyukur kerana masih selamat walaupun mengalami kecederaan di dada, pinggang, tangan dan kaki," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Mantin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mazlan Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.51 malam dan sebuah jentera bersama enam anggota segera ke tempat kejadian.
“Sejurus tiba, anggota kami tidak dapat mengesan lokasi kereta terhumban tersebut berikutan terdapat maklumat mengelirukan. Operasi mencari bermula dari Kampung Belihoi hingga ke kawasan gaung terpaksa dihentikan kira-kira jam 1.07 pagi,” katanya.
Menurutnya, usaha mencari diteruskan keesokan harinya (semalam) kira-kira jam 8.26 pagi yang disertai enam anggota dan sebuah jentera bersama pihak polis.
“Selama enam minit usaha mencari, pihak kami menemui sebuah kereta dalam keadaan remuk di kawasan anak sungai. Bagaimanapun, mangsa tiada di tempat kejadian dan pihak kami dimaklumkan, mangsa sudah dibawa ke hospital untuk menerima rawa­tan,” katanya.
Ustazah maut kereta diseret
Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2012
Ustazah maut kereta diseret
ALOR GAJAH - Seorang ustazah yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Rembia, di sini, terbunuh bersama kandungannya yang baru berusia tiga bulan, selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan sebaik melepasi selekoh di Kampung Air Hitam Lendu, di sini, kira-kira jam 3 petang semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Manisah Md Diah, 32, memandu berseorangan dari Alor Gajah menuju ke arah Masjid Tanah bertembung dengan lori satu tan sarat dengan muatan baja dipercayai hilang kawalan selepas tayar hadapan sebelah kanan lori terbabit meletup.
Saksi yang juga penduduk kampung, Jefridin Ali Mohamad, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan terdengar bunyi letupan kuat dari arah Masjid Tanah.
“Ketika itu saya berada di luar rumah, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat tayar kenderaan pecah disusuli dentuman kuat. Saya berlari ke arah jalan raya dan melihat sebuah lori dari arah Masjid Tanah itu sedang menyeret sebuah kereta, kira-kira 15 meter di laluan bertentangan. Saya menjerit meminta bantuan orang awam dan berlari ke arah mangsa yang semakin lemah. Mulutnya berbuih selain mangsa me-ngalami cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.
Jefridin berkata, dia bersama beberapa orang awam membantu mengeluarkan mangsa menerusi pintu belakang sebelah kanan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata, mangsa seorang guru yang mengajar Pendidikan Islam dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada letupan tayar satu tan yang dipandu seorang lelaki berusia lingku­ngan 40-an, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu mangsa. Mangsa mengalami kecederaan parah di kedua belah kaki, badan dan muka dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil atau menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Arwah abah sempat bergurau
Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2012
Arwah abah sempat bergurau
TAMPIN – Salah seorang anak mangsa kemalangan di kilometer 27, Jalan Tampin-Gemas, berdekatan Geduk, Gemencheh, pagi semalam tidak menyangka perbezaan sikap abahnya pada sebelah petang sebelum kejadian petanda abahnya akan pergi buat selama-lamanya.
Nurul Shafini Azlan, 24, berkata, dia tidak menyangka sikap arwah abahnya yang sempat bergurau bersama ibu, Supiah Mahmod, 48, adik bongsu, Naziratul Azira Azlan, 15, dan anak buahnya adalah petanda terakhir.
Menurutnya, jika sebelum ini, abahnya agak tegas dan serius ketika bersama keluarga. Namun, abahnya tidak seperti biasa dan sempat duduk dibuai bersama ibu selama lebih sejam serta bergurau bersama mereka.
“Abah kata, abah ingin menunaikan umrah tetapi hanya seorang diri sahaja dan sudah meminta maaf daripada semua kenalannya. Malah, abah sempat bergurau dengan adik dan adik meminta sebuah bilik daripada abah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat, Hospital Tampin (HT), semalam.
Mangsa yang juga pemandu van kilang dari Felda Jelai 3, Gemas, dekat sini, maut apabila kereta dipandunya dari arah Gemas bertembung de­ngan sebuah bas henti-henti dari arah bertentangan di kilometer 27, Jalan Tampin-Gemas, berdekatan Geduk, Gemencheh, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Proton Wira dipercayai dirempuh bas henti-henti tanpa penumpang susulan bas berkenaan terbabas ke arah bertentangan selepas merempuh seekor lembu.
Sementara itu, Supiah berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan suaminya adalah jam 5.30 pagi sebelum suaminya berangkat ke tempat kerja di Alor Gajah dan pada pagi berkenaan, suaminya tidak menikmati sarapan yang disediakan seperti kebiasaannya.
“Ketika arwah ingin ke tempat kerja, akak sempat bertanyakan padanya kenapa pergi kerja dengan kereta dan bukannya van kilang, namun dia menyatakan akan bertukar dengan kenalan di Gangsa, Alor Gajah. Selepas itu, akak sangat terperanjat apabila dimaklumkan orang kampung yang datang ke rumah sekitar jam 7.30 pagi mengatakan suami akak kemalangan,” katanya.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang yang mengesahkan keja­dian­ itu berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah bas henti-henti dari arah bertentangan.
Katanya, susulan pertembungan itu, kereta yang dipandu mangsa terhumban ke dalam kebun kelapa sawit sejauh lima meter. Mayat mangsa dihantar ke HT untuk bedah siasat dan pemandu bas tidak cedera.

No comments:

Post a Comment