Wednesday, March 14, 2012

BANYAK LAGI PERLU BANTUAN PIHAK ZAKAT...DAN KEMENTERIAN KEBAJIKAN..YANG TIRIS BERJUTA2...RAKYAT TERABAI....

Emas susut, tukar warna kelabu
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Emas susut, tukar warna kelabu
PENDANG – Seorang suri rumah terpaksa mengalami rugi besar apabila semua barang kemas miliknya rosak dan beratnya makin berkurangan setelah mencuba khidmat mencuci barangan berharga itu yang ditawarkan tiga individu, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, seorang lelaki dan dua perempuan menaiki sebuah kereta berwarna putih mendakwa datang dari Jitra, pergi ke rumah jirannya dengan menawarkan perkhidmatan mencuci emas dan turut menjual emas Korea.

Mangsa, Aishah Jaafar, 58, berkata, ketiga-tiga suspek datang ke rumah jirannya kerana ketika itu ramai penduduk kampung sedang mengadakan gotong-royong untuk majlis kenduri sempena jirannya yang ingin mengerjakan umrah.

“Mereka datang sambil menawarkan khidmat cuci emas dan menjual emas Korea pada kira-kira 20 penduduk wanita pada masa itu. Ketiga-tiga mereka meminta barang kemas dipakai beberapa penduduk untuk dicuci dengan bayaran hanya RM2 untuk satu barang,” katanya kepada Sinar Harian.

Aishah berkata, pada masa itu, salah seorang daripada suspek menarik tangannya dan meminta rantai tangan yang dipakainya untuk dicuci. Menurutnya, namun dia enggan memberikan barangan terbabit kerana bimbang ditipu.

“Selepas enggan memberi rantai tangan untuk dicuci, saya bertanya sama ada mereka boleh membaiki rantai tangan jenis batu yang putus. Mereka mengakui boleh melakukannya dan terus meminta saya mengambil rantai tangan itu di rumah.

“Disebabkan yakin mereka ingin membaiki rantai tangan itu, saya mempelawa mereka ke rumah saya dekat situ, sehinggakan saya cepat-cepat berlari balik ke rumah,” katanya.

Aishah berkata, tiba di rumahnya, dia segera mengeluarkan rantai tangan terputus itu dan memberikan kepada mereka, namun suspek memaklumkan ia tidak boleh dibaiki.

Katanya, dia seolah dipukau tiga individu terbabit apabila terus membenarkan mereka membuka semua barang kemas dipakainya, iaitu seutas rantai tangan dan rantai leher serta mengambil satu gelang lagi yang disimpan di dalam bilik untuk dicuci.

“Mereka memujuk saya agar semua barang kemas itu dicuci dengan bayaran hanya RM2 dan tiga barang milik saya dikenakan RM6. Mereka mencuci barang kemas dengan cara membakar semua barang kemas itu dan memasukkan semuanya dalam botol serta terus menggoncang kuat botol itu sehingga cecair di dalamnya menjadi warna kuning keemasan,” katanya.

Menurutnya, selepas proses itu dia tidak menyedari gelangnya rosak dan berat barang kemasnya makin susut hingga tiga individu itu beredar.

Aishah berkata, selepas kumpu-lan licik itu pulang, dia baru tersedar semua barang kemasnya menjadi ringan daripada berat asal.

“Gelang saya makin nipis dan rosak, rantai leher menjadi kecil dan bertukar warna hampir kelabu. Saya terkejut kerana semua barang kemas itu telah dibeli lebih enam tahun lalu dengan harga RM4,000 ketika itu, namun semuanya menjadi ringan. Saya cuba menimbang dan mendapati semua berat barang kemas itu hanya 10 gram,” katanya.

Menurutnya, dia pasti tiga individu terbabit mencuri emas melalui cecair yang digunakan.

Aishah difahamkan, tiga individu itu sudah tiga kali ke kampungnya menawarkan khidmat mencuci barang kemas dengan kenderaan berlainan kemungkinan mengelakkan penipuan mereka dikesan.

Anaknya yang enggan dikenali berkata, dia maklum isu ramai penduduk di bandar tertipu dengan servis mencuci emas dari rumah ke rumah, namun tidak menyangka ia turut ditawarkan di kampung.
Cemas rumah bergoyang
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Cemas rumah bergoyang
AYER HITAM - Seorang bapa nekad mengajak dua anaknya berlari keluar selepas rumah mereka bergoyang dipukul ribut sebelum bumbung rumah mereka di Kampung Teluk Tui di sini pula diterbangkan pada petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Rusli Mahamud, 42, yang ketika itu sedang berehat di rumah bersama dua lagi anak lelakinya bergegas keluar rumah sebaik rumah mereka bergoyang dipukul ribut kuat.

Rusli berkata, mereka segera keluar dari rumah kerana bimbang ia akan runtuh memandangkan struktur rumah papan setingkat itu juga semakin usang dan mereput sejak beberapa tahun lalu.

“Mujur kami sempat berlari keluar dan selang beberapa minit selepas itu angin kuat menerbangkan beberapa keping bumbung zink di bahagian ruang tamu rumah. Nasib tiada perkara buruk yang menimpa kami tiga beranak yang kebetulan pada masa itu sedang berehat di ruang tamu itu,” katanya semalam.

Rusli yang bekerja sebagai nelayan bersyukur kerana penduduk kampung membantunya memasang sementara beberapa kepingan zink bagi menggantikan bumbung yang telah diterbangkan ribut.

Menurutnya, sekurang-kurangnya mereka sekeluarga tidaklah tidur dalam kebasahan pada malam tersebut.

“Buat masa ini saya tidak mampu untuk membaiki bumbung kerana pendapatan juga tidak seberapa bagi menanggung kos pembaikan itu,” katanya.

Difahamkan, tujuh rumah di Jerlun terjejas ribut yang melibatkan empat kampung termasuk Kampung Teluk Tui, Matang Kenanga, Kuala Sanglang dan Hilir Enam Kupang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif yang meninjau beberapa kawasan yang dilanda ribut memberitahu sebanyak lima rumah terbabit akan diberi bantuan segera bagi membaiki rumah mereka dalam tempoh dua hari ini.

Menurutnya, pihaknya menggunakan peruntukan Ahli Parlimen bagi membantu mangsa membaiki segera rumah mereka yang rosak akibat ribut.

“Manakala dua rumah lagi akan dirujuk segera kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah (ICU) bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Keluarga gesa siasat segera
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Keluarga gesa siasat
SUNGAI SIPUT (U) - Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Terkok, Lintang, di sini, meninggal dunia selepas mengalami simptom-simptom seperti jangkitan kuman kencing tikus atau Leptospirosis.

R. Vinoth 18, yang berasal dari Shah Alam, Selangor meninggal dunia kira-kira jam 11.30 malam di Hospital Sungai Siput selepas dua hari ditahan di wad, di sini, kelmarin.

Kematian secara mengejut pelatih berkenaan yang dijadualkan akan menamatkan siri latihan dalam beberapa hari lagi menimbulkan rasa tidak puas hati ahli keluarganya dan mereka mempersoalkan kenapa mangsa tidak dihantar untuk rawatan pakar.

Bapa mangsa, S. Raman, 47, berkata, pada 9 Mac lalu anaknya dihantar ke Hospital untuk mendapatkan rawatan kerana dipercayai demam tetapi dibenarkan pulang semula ke kem selepas mendapatkan rawatan.

Menurutnya, pada 11 Mac lalu, anaknya sekali lagi dihantar ke Hospital Sungai siput serta ditahan di wad dan dia sempat datang melawat anak bongsunya itu.

“Ketika itu, anak saya berada dalam keadaan baik walaupun demam dan mengalami simptom seperti cirit-birit, muntah darah, hidung berdarah serta beberapa lagi simptom. Saya berbual-bual dengan dia dan dia menyuruh saya pulang kerana katanya dia tidak apa-apa.

“Semalam kira-kira jam 10.10 malam saya menerima panggilan mengatakan anak saya berada dalam keadaan kritikal dan saya bergegas ke hospital.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan kira-kira jam 11.30 malam saya menerima satu lagi panggilan memberitahu anak saya sudah meninggal dunia,” katanya kepada ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sungai Siput, di sini, semalam.

Katanya, anaknya mengalami simptom seperti terkena penyakit kencing tikus tetapi terkilan anaknya tidak dihantar untuk rawatan pakar.

“Saya tidak berpuas hati dengan kematian anak saya dan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Sungai Siput. Sekiranya dia di hantar ke Hospital Ipoh kemungkinan penyakit dialami boleh dikesan dan dirawat dengan segera,” katanya.

Menurutnya lagi, Vinoth seorang anak yang baik dan sepanjang hidupnya tidak pernah berpisah jauh dari keluarga serta inilah kali pertama dia mengikuti kem seperti ini.

Hadir sama, Pengerusi Parti Gerakan Sungai Siput, S.Kalimuthu yang turut menggesa pihak berwajib menjalankan bedah siasat dengan segera bagi mengetahui punca sebenar kematian demi kepentingan ahli keluarga mangsa.

Manakala, Ketua Polis Daerah Sungai Siput , Superintendan Azman Salim mengesahkan menerima laporan mengenai kematian pelatih berkenaan.

“Pihak kami ada menerima laporan mengenai kes berkenaan tetapi punca sebenar atau kematian atau penyakit yang menyebabkan kematian masih belum diketahui. Kita tidak boleh mengesahkan sama ada dia terkena jangkitan Kencing tikus atau tidak dan kita perlu menunggu laporan bedah siasat bagi mengesahkannya,” katanya.
Pelajar tingkatan tiga hilang sejak 8 Mac lalu
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Pelajar tingkatan tiga hilang sejak 8 Mac lalu
IPOH - Seorang ibu merayu anaknya, David Lim Kar Chun, 15, yang tidak pulang ke rumah selepas keluar 8 Mac lalu, agar kembali ke pangkuan keluarga.
Wong Keng Wah, 56, meminta orang ramai yang mengenali Kar Chun supaya membantunya mengesan anaknya itu yang juga merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Micheal.
Beliau yang tinggal di Taman Ipoh Timur mendakwa anaknya bersikap pelik selepas pulang daripada sekolah Rabu lalu.
“Dia (Kar Chun) ada mengemas pakaian sejurus pulang sekolah namun tidak memberitahu ke mana arah tujunya.
“Selepas itu, dia meninggalkan rumah hanya dengan memakai singlet putih dan seluar pendek hijau namun tidak pulang ke rumah sehingga hari ini (semalam),” katanya.
Keng Wah yang bimbang bertindak mencari anaknya di sekolah tetapi pihak sekolah memberitahu tiga pelajar lain turut hilang pada hari yang sama.
“Setahu saya mereka yang hilang itu adalah rakan kepada anak saya, mungkin mereka melarikan diri bersama namun saya tidak tahu puncanya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak berputus asa dan cuba menghubungi Kar Chun tetapi gagal.
“Bagaimanapun, beberapa hari lalu saya ada mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai anak saya.
“Mula-mula dia beritahu saya dia di Singapura kemudian di Kuala Lumpur. Tiba-tiba dia beritahu dia dalam tahanan polis dan talian terputus serta merta selepas itu.
“Saya percaya dia masih di negara ini kerana kad pengenalan dan pasportnya tidak dibawa bersama,” katanya.
Sebagai ibu, Keng Wah tidak akan memarahi anaknya itu tetapi berharap dapat pulang ke pangkuannya dengan keadaan selamat.
Sementara itu, Penyelaras BN Bercham, Lim Huey Shan berkata, pihaknya turut mencuba untuk menghubungi Kar Chun beberapa kali.
“Seseorang ada menjawab panggilan tersebut tetapi tidak memberitahu lokasi sebenar di mana Kar Chun berada. Selepas itu, orang terbabit tidak menjawab panggilan seterusnya,” katanya.
Bagi mereka yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Kar Chun boleh menghubungi talian 012-5556208.
Pelajar sekolah gantung diri
Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2012
Pelajar sekolah gantung diri
SUNGAI SIPUT (U) - Mayat seorang remaja berusia 17 tahun ditemui tergantung di dalam bilik air rumahnya, di Kampung Muhibbah Fasa 3, di sini, semalam dipercayai membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa pada jam 12.15 tengah hari.
Beliau pada awalnya menyangka anak bongsu daripada sembilan beradik itu sedang mandi.
Menurutnya, sewaktu kejadian bapa mangsa bersama beberapa lagi ahli keluarga berada di rumah tetapi tidak mengesyaki kejadian seperti itu akan berlaku.
“Pada awalnya bapa mangsa menyangka anaknya itu sedang mandi tetapi selepas beberapa ketika anaknya tidak juga keluar dari bilik air. Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku bapa mangsa membuka pintu bilik air dan terkejut melihat anaknya tergantung serta sudah tidak bernyawa,” katanya.
Azman berkata, mayat pelajar tingkatan lima dari sebuah sekolah di Sungai Siput itu ditemui tergantung menggunakan kain Punjabi.
“Bapa mangsa menghantar sendiri mayat anaknya ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat jerutan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Punca sebenar kenapa mangsa mengambil tindakan sedemikian masih belum diketahui dan masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Jumpa ulat dalam mi kari
ROSDALILAH ZAHARI
13 Mac 2012
Jumpa ulat dalam mi kari
IPOH - Seorang ahli perniagaan yang sedang menikmati malam di sebuah restoran kopitiam di bandar raya ini tergamam selepas menemui seekor ulat di dalam hidangan yang dipesannya, malam kelmarin.
Ziyad Solleh, 26, mendakwa kejadian itu berlaku semasa dia bersama rakan-rakan berkunjung ke restoran berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.
Beliau mendakwa selepas hampir selesai menikmati juadah mi kari kering itu, dia terlihat seekor ulat sepanjang 2.5 sentimeter di dalam pinggan hidangannya.
“Selepas melihat ulat itu, tekak saya mula berasa loya dan hampir muntah kerana ia sangat menjijikkan,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.
Akibat tidak berpuas hati, Ziyad segera memanggil pengurus restoran untuk menyelesaikan masalah itu.
“Malangnya, hanya penyelia restoran sahaja yang muncul dan menyatakan pengurus mereka sudah pulang ke rumah. Penyelianya pula hanya memohon maaf di atas kecuaian tersebut dan tanpa melakukan apa-apa tindakan,” katanya yang kesal dengan perkhidmatan diberikan kakitangan restoran tersebut.
Dalam keadaan tidak puas hati, beliau terus mendesak supaya pengurus restoran tampil memberi penjelasan.
Akhirnya pengurus restoran terbabit datang semula dan selepas berbincang, mereka tidak mengenakan sebarang caj ke atas makanan yang di pesan Ziyad dan rakan-rakannya.
“Bukan niat kami mahu mengaibkan mana-mana pihak, cuma berharap mereka dapat pengajaran dan ambil iktibar daripada insiden itu. Premis yang menjual makanan perlu mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan supaya kejadian seperti yang saya alami ini tidak berlaku lagi ,” katanya.
Untuk rekod, dua tahun lalu, seorang penuntut sebuah kolej memfailkan saman terhadap dua syarikat yang berkaitan dengan sebuah restoran kopitiam terkemuka di Bandar Bukit Tinggi, Klang selepas mendakwa menemui sepasang kaki katak dalam makanan yang dipesannya.
Merangkak selamatkan diri
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Merangkak selamatkan diri
JOHOR BAHRU – Seorang gadis tidak menyangka tidur lenanya pagi semalam dikejutkan dengan keadaan rumah dipenuhi asap manakala ibunya terpaksa merangkak ke pintu dapur dalam keadaan terbakar untuk menyelamatkan diri.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi semalam, sebuah rumah lot dua tingkat di Kampung Melayu Kangkar Pulai, di sini dilaporkan terbakar dipercayai angkara bapa mangsa yang sebelum itu berselisih faham dengan ibunya.

Bagaimanapun bapa mangsa meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Kejadian menyayat hati itu turut menyebabkan ibu mangsa, melecur hampir seluruh badannya dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) manakala dua lagi anaknya turut mengalami kecederaan.

Mangsa yang berusia 16 tahun berkata, ketika terjaga dari tidur, dia melihat sendiri ibunya merangkak dalam keadaan menahan kesakitan dengan seluruh badannya disambar api.

“Ketika itu saya sedang tidur di bilik dan tiba-tiba terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi riuh dan terbau asap dari ruang tamu rumah. Apabila keluar dari bilik saya melihat ibu sedang merangkak menuju ke dapur manakala bahagian hadapan rumah dipenuhi api.

“Keadaan ketika itu amat kelam-kabut dan orang ramai sudah memenuhi halaman rumah untuk membantu memadamkan api,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad mengesahkan kejadian yang berlaku dan memberitahu pihaknya masih mengumpul maklumat berhubung punca kejadian.

“Kita ada menerima maklumat bahawa punca kejadian disebabkan oleh si mati yang bertindak membakar rumah berkenaan. Namun kita masih menjalankan siasatan dan sedang mengumpul maklumat untuk mengetahui punca kejadian sebenar,” katanya.

Dalam pada itu Nor Hashim berkata, seramai tujuh orang berada di dalam rumah berkenaan ketika kejadian berlaku termasuk si mati, isterinya dan anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment