Monday, October 1, 2012

KENA BERDISIPLIN BENAR2...BARU MUDAH UNTUK BAYAR HUTANG

Lelaki curah racun dalam loji, 3,000 terputus bekalan air

LOJI rawatan air di Simunjan, Sarawak terpaksa ditutup untuk sementara waktu bagi memastikan air yang disalurkan kepada pengguna bebas daripada dicemari racun rumpai.


SIMUNJAN – Lebih 3,000 penduduk di empat buah kampung, sebuah taman perumahan serta pekan Simunjan disini terputus bekalan air akibat tindakan seorang lelaki berusia 30-an yang bertindak mencurah racun rumpai ke dalam air di loji rawatan air Jabatan Kerja Raya (JKR) Simunjan semalam.
Pekan Simunjan terletak kira-kira 120 kilometer di tenggara Kuching.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, seorang lelaki bertindak di luar batasan dengan mencurahkan kira-kira lima liter racun rumpai ke dalam saluran paip utama di loji tersebut di Jalan Nanas, Sekendu di sini.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan, Mohd. Zaini Morshidi berkata, lelaki yang berasal dari Kampung Sageng itu dipercayai melakukan perbuatan khianat itu selepas tidak tahan menghadapi krisis air yang melanda kampungnya sejak Jun lalu.
“Ketika kejadian, kebetulan beberapa penduduk kampung melalui kawasan tersebut dan ternampak tindak-tanduk lelaki itu yang mencurigakan.
“Akibat disergah oleh penduduk kampung, lelaki tersebut kemudian melarikan diri dan berjaya mengelak daripada ditangkap penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

JAIP jalin kerjasama dengan Yala


HARUSSANI


IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) perlu menjalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam Yala dalam usaha untuk mengekang masyarakat Islam dari negara ini daripada berterusan mengunjungi Betong iaitu sebuah pekan di selatan Thailand untuk tujuan maksiat.
Penasihat Agama Islam kepada Menteri Besar Perak, Datuk Kapten (B) Mohd. Najmuddin Elias berkata, melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak berkuasa agama terbabit boleh memantau dan bertindak terhadap individu yang didapati melakukan maksiat di pekan tersebut.
“Bagi jangka masa panjang, usaha merealisasikan kerjasama ini amat penting untuk mengekang gejala maksiat rakyat Malaysia yang beragama Islam daripada melanggan pelacur di Betong.
“Kita akan jalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam Yala,” katanya ketika mengulas usaha untuk menyekat tindakan segelintir rakyat Malaysia yang beragama Islam mengunjungi Betong untuk melakukan maksiat.

Pelajar IPT tidak dapat BR1M

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berumur 21 tahun ke atas tidak termasuk dalam kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0.
Mereka bagaimanapun layak menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 yang diberi buat kali kedua.
Pemberian baucar buku itu bakal memberi manfaat kepada seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan semalam, kementerian tersebut memberitahu, program Baucar Buku 1Malaysia yang dulunya bernilai RM200 adalah kesinambungan hasrat kerajaan untuk meringankan beban kos membeli buku kepada para pelajar dan ia melibatkan peruntukan sebanyak RM325 juta.

Penjelasan itu dibuat susulan beberapa laporan akhbar semalam berhubung pemberian BR1M 2.0 yang menyebut bahawa golongan siswazah dan penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan dan berusia 21 tahun ke atas layak menerima bantuan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2013 pada Jumaat lepas memaklumkan bahawa di bawah projek BR1M 2.0 hanya isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah layak menerima bantuan sebanyak RM500.

Bantuan kali ini turut dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan dan mereka layak menerima bantuan sebanyak RM250.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai dalam satu majlis di sini mengesahkan pelajar IPT tidak berhak mendapat BR1M 2.0 kerana mereka telah menerima baucar buku bernilai RM250.
“Mereka tidak boleh mendapatkan kedua-dua insentif berkenaan. Mereka dapat satu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Insurans Malaysia 2012 di sini semalam.
Mengulas lanjut, Siang Chai berkata, borang permohonan BR1M 2.0 dijangka diedarkan dalam bulan ini kepada kumpulan sasarannya.
“Pengumuman berhubung pengedaran borang BR1M 2.0 akan dimaklumkan dalam tempoh antara satu hingga dua minggu lagi,” katanya.
Tambah beliau, angka penerima bantuan berkenaan kali ini dijangka meningkat lebih tinggi berbanding 4.3 juta orang sebelum ini yang menyaksikan 2.7 juta yang bujang turut mendapat manfaat.

777 pelajar asing ditahan lakukan pelbagai kesalahan


ANGGOTA penguat kuasa imigresen memeriksa dokumen perjalanan dan pas pelajar warga asing di Nilai baru-baru ini. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Seramai 777 penuntut asing ditahan antara tahun 2011 hingga Ogos tahun ini atas pelbagai kesalahan jenayah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.
Beliau berkata, antara kesalahan melibatkan penuntut asing itu ialah mendatangkan kecederaan, mencuri serta terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan jenayah komersial.
Menurut Abu Seman, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2011, sebanyak 11 kes iaitu tiga mendatangkan kecederaan dan lapan kes curi direkod dengan 16 tangkapan.
“Pada tahun lepas, seramai 128 pelajar asing ditahan berkaitan penyalahgunaan, penyeludupan serta pengedaran dadah dan 305 orang pula ditahan membabitkan jenayah komersial.
“Dalam tempoh lapan bulan tahun ini, seramai 101 pelajar asing ditahan atas kesalahan dadah dan 227 orang membabitkan jenayah komersial,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Suami pukul isteri didakwa


AMANDA menunjukkan kesan kecederaan akibat perbuatan suaminya pada sidang akhbar di Ipoh pada September lalu.


IPOH – Seorang peniaga pakaian dan aksesori wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memukul isterinya yang hamil dua bulan di sebuah butik milik pasangan itu di sini pada Ogos lalu.
Calven Chik Foo Keong membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Haslinda Raof selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Calven, 26, didakwa dengan niat mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Amanda Fong Kim Yen, 19, dengan memukul wanita itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 4 petang 23 Ogos lalu di butik milik pasangan itu di Amanda & Co., No. 30, Taman Ipoh Selatan di sini.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar.
Calven diwakili tiga peguam
iaitu Dexter Mah Koh Leong, Hassanuddin Mohd. Yusoff dan Nur Syaira Othman.
Majistret Haslinda menetapkan 31 Oktober depan bagi sebutan semula kes itu.

Suami jadi hero


MOHAN SINGH menunjukkan bilah gunting rumput dan beg tangan mangsa ragut yang berjaya diselamatkan pada sidang akhbar di Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki layak digelar hero apabila berjaya mendapatkan semula beg tangan isterinya yang diragut selepas dia mengejar tiga penjenayah sejauh empat kilometer dalam kejadian di Taman Perkasa, Cheras di sini semalam.
Kejadian penuh drama tersebut berlaku pada pukul 2.40 pagi ketika pasangan berusia lingkungan 30-an yang menaiki sebuah kereta itu baru tiba di rumah selepas menghadiri satu majlis perkahwinan kenalan mereka di bangunan Felda di Jalan Semarak di sini.
Ketika isterinya yang berusia 31 tahun turun untuk membuka pintu pagar, tiga lelaki menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z dan bersenjatakan bilah gunting pemotong rumput menghampirinya lalu meragut beg tangan wanita berkenaan. Pasangan itu bekerja di sebuah stesen televisyen swasta berbayar dengan isterinya bertugas sebagai wartawan.
Beg itu hanya mengandungi bunga telur.

Polis buru tiga beradik samseng

KUALA TERENGGANU – Polis kini giat memburu tiga beradik berusia 20-an yang dipercayai menyerang dan memukul seorang pembantu tadbir berusia 50 tahun di Bukit Tunggal di sini, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam tersebut, mangsa yang bertugas di Jabatan Pendidikan Marang itu sedang berada di sebuah kedai makan sebelum diserang kumpulan remaja berkenaan.
“Ekoran kejadian itu mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala, muka, perut serta badan akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu bertindak demikian kerana perselisihan faham dengan anak mangsa, namun kumpulan itu gagal mengesan anak mangsa berusia 20-an itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Juruhebah radio diculik 4 jam


JD menunjukkan keretanya yang kemek selepas dihimpit kenderaan penjenayah semasa diculik.


JOHOR BAHRU – Seorang juruhebah radio Johor melalui detik-detik cemas selama empat jam apabila dia diculik dan diugut untuk dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan lelaki di sini pada Sabtu lalu.
Sebelum kejadian pada pukul 1 pagi, mangsa berusia 34 tahun yang popular dengan panggilan JD diculik ketika memandu kereta Proton Neo seorang diri. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Danga dari tempat kerjanya di stesen radio Best 104 di sini.
“Ketika tiba berhampiran Tune Hotel di Lebuh Raya Pesisir Pantai, kereta saya dihalang sebuah kereta Proton Iswara yang dinaiki beberapa lelaki tetapi ketika itu saya berjaya memandu terus.
“Sejurus selepas itu, datang sebuah kereta Proton Wira pula menghimpit kereta saya menyebabkan saya tidak dapat berbuat apa-apa sebelum seorang lelaki masuk ke dalam kereta dan mengacukan pisau rambo,” kata JD sambil memberitahu lelaki itu kemudian menutup mukanya manakala tangannya diikat.

Madrasah At-Taqwa tidak sesat


muhammad Nidzam ketika mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah At-Taqwa yang dulunya dikenali sebagai Madrasah At-Taqwa tiada kaitan sama sekali dengan ajaran sesat Juruzon sebagaimana dakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia (PAYM) yang menaungi rumah anak yatim itu menegaskan, pengasas ajaran sesat Juruzon bukan individu yang sama menubuhkan madrasah berkenaan.
Ketua Pentadbiran dan Kewangan PAYM, Muhammad Nidzam Sulaiman berkata, sejak ditubuhkan pada 2008, anak-anak yatim di rumah tersebut tidak pernah terlibat dengan ajaran sesat itu.
Beliau berkata, mereka sebaliknya berada di bawah pengawasan pengetua terdahulu iaitu guru agama yang ditauliahkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
“Segala pendidikan agama mahupun pembelajaran harian yang diterima oleh anak-anak yatim itu berdasarkan silibus dan kokurikulum Kelas al-Quran dan Fardu Ain.
“Mereka juga mengikut jadual harian yang ditetapkan oleh pihak pentadbir dan diselia oleh warden-warden yang bertugas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Lapan bulan penduduk derita bau busuk sampah Tasik Metropolitan


BAU busuk telah menyebabkan penduduk tidak lagi mengunjungi Tasik Metropolitan di Kuala Lumpur seperti biasa.


KUALA LUMPUR – Lebih 600 keluarga di Taman Laman Rimbunan, Kepong di sini menderita kerana terpaksa menghidu bau busuk berpunca daripada sampah dan air kumbahan yang mengalir ke Tasik Metropolitan sejak lapan bulan lalu.
Lebih menyedihkan, rata-rata mereka mendakwa, sisa-sisa sampah yang dibuang oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk di Taman Metropolitan yang terletak kira- kira 300 meter dari kawasan yang sama terpaksa menanggungnya kesannya.
Pengerusi persatuan penduduk di kawasan perumahan tersebut, Go Kim Peng, 52, (gambar kecil) berkata, bau busuk yang meloyakan itu berpunca daripada tindakan loji rawatan air kumbahan yang dipercayai mengalirkan air ke parit besar sebelum bercampur dengan air tasik.
“Sejak taman ini wujud kira-kira empat tahun lalu, masalah ini tidak pernah berlaku dan kami penduduk di sini selesa dengan keindahan dan udara segar.
“Namun, sejak lapan bulan lalu, penduduk tidak dapat bersenam atau bersiar-siar di kawasan tasik kerana ia berbau busuk.
“Lebih teruk, ada anak-anak penduduk mengadu sakit kepala dan ada yang muntah akibat bau dan kesan pencemaran alam yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

11 kaki judi leka bertaruh ditahan


BEBERAPA anggota polis memeriksa mesin judi berkomputer yang dirampas di Ipoh semalam.


IPOH - Polis merampas 79 mesin judi berkomputer yang dianggarkan bernilai RM140,000 dalam serbuan di dua premis berasingan di Kampung Tawas dekat sini kelmarin.
Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 5 petang itu, sekumpulan anggota polis merampas 49 mesin di Jalan Tan Fei Tong sebelum melakukan serbuan berikutnya di Taman Tawas 2 kira-kira sejam kemudian.
Serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan 12 anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hasil risikan dan maklumat awam.
Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Hasbullah Ali berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, seramai 11 kaki judi berusia 30 hingga 40 tahun ditahan ketika leka bertaruh.
Katanya, selain merampas 79 unit komputer, polis turut merampas wang tunai RM2,452 dipercayai hasil kutipan kegiatan haram itu dan menahan tiga penjaga premis tersebut.
"Kita telah melakukan risikan ke atas kedua-dua premis ini sejak tiga bulan lalu dan mendapati mereka beroperasi tanpa lesen sejak enam bulan lalu.
"Pemeriksaan awal mendapati pelanggan yang masuk ke kedai itu dipantau melalui sistem kamera litar tertutup sebelum dibenarkan masuk ke premis berkenaan untuk berjudi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Pembeli minta PKNS langsai hutang rumah


SEBAHAGIAN daripada pembeli rumah mengadakan demonstrasi di pekarangan pejabat PKNS di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seramai 350 pembeli pangsapuri kos rendah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membantu melunaskan pembiayaan kediaman mereka melalui kaedah pengambilalihan hutang daripada pihak bank.
Mereka yang merupakan pembeli rumah PKNS di Petaling Jaya Selatan 1, Taman Datuk Harun, Kelana Jaya dan Shah Alam berdepan masalah gagal membayar hutang rumah yang berharga antara RM50,000 hingga RM80,000.
Lebih menyedihkan apabila 20 pembeli yang kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana dijangka kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka bakal dilelong oleh bank.
Pengerusi badan bukan kerajaan Prihatin, S. Vigneswaran berkata, pembeli yang sebahagian besar merupakan pekerja kilang, gagal membayar pinjaman kira-kira RM600 sebulan ekoran kesempitan hidup dan terpaksa menanggung beban keluarga.
Katanya, pembeli terbabit berharap PKNS dapat membantu mereka kerana langkah sama pernah dilakukan kerajaan negeri ketika membeli hutang Talam Corporation (Talam) sebelum ini.

Penyewa tandatangan perjanjian


RAJA NONG CHIK (belakang, tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian skim pembiayaan khas pembelian perumahan PPR dan PA DBKL di PPR Pantai Ria, Lembah Pantai, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR – Seramai 401 penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) menandatangani perjanjian pembelian rumah tersebut membabitkan pembiayaan bernilai RM14.98 juta.
Perjanjian tersebut dibuat antara penyewa dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL) dan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, penyewa berkenaan adalah sebahagian kecil kumpulan pertama yang telah diberikan surat tawaran pembelian di bawah Skim Pembiayaan Khas Pembelian Perumahan MTEN dan PA DBKL.

Bangladesh kerah anggota tentera ke Cox's Bazaar

ANGGOTA tentera Bangladesh mendirikan khemah berhampiran kuil Buddha Lal Ching di Ramu semalam.


DHAKA - Pihak berkuasa Bangladesh semalam telah menghantar pasukan tenteranya untuk menjaga keselamatan kawasan penempatan penganut Buddha selepas kumpulan perusuh Islam menyerang beberapa buah kuil dan rumah berikutan timbulnya gambar yang menghina kitab al-Quran di Facebook.
Sekurang-kurangnya enam buah kuil diserang di wilayah Cox's Bazaar kelmarin dengan beribu-ribu penunjuk perasaan memecahkan patung Buddha sebelum polis antirusuhan menyuraikan orang ramai.
Keganasan itu tercetus selepas terdapat dakwaan seorang budak lelaki penganut Buddha memuat naik gambar menghina al-Quran di Facebook.
"Kami menembak peluru getah bagi menyuraikan orang ramai," kata timbalan ketua polis wilayah tenggara, Faruk Ahmed.
Polis berkata, seramai 107 orang telah ditahan berhubung keganasan yang berlaku pada hari Sabtu dan malam kelmarin.
"Ini merupakan satu serangan yang dirancang. Kami tidak akan melepaskan sesiapa pun yang didapati bertanggungjawab," kata Ahmed.
Jelas Ahmed lagi, semua anggota tentera ditugaskan untuk melakukan rondaan di kawasan penempatan penganut Buddha dan kuil di Cox's Bazaar bagi mencegah keganasan baharu. - AFP
“Fasa satu skim ini melibatkan seramai 3,137 pembeli yang bersetuju untuk menerima tawaran pembiayaan bernilai RM111.62 juta manakala fasa kedua pula akan melibatkan sejumlah 4,047 pembeli dengan anggaran pembiayaan bernilai RM145.6 juta,” katanya semasa merasmikan majlis menandatangani perjanjian itu di sini kelmarin.

Terminator simpan banyak rahsia daripada isteri

ARNOLD Schwarzenegger dan isterinya, Maria Shriver (kanan) meninggalkan satu upacara pengebumian di Potomac dekat Washington pada 22 Januari 2011.


SACRAMENTO - Bekas Gabenor Negeri California, Arnold Schwarzenegger menyatakan, sikapnya yang gemar berahsia dan kebolehannya menyembunyikan emosi membolehkan dia menyimpan banyak rahsia daripada isterinya, Maria Shriver.
Namun, perangainya membawa kepada keruntuhan rumah tangga mereka apabila beliau akhirnya terpaksa mengaku mempunyai seorang anak luar nikah hasil hubungan sulit bersama pembantu rumah keluarganya beberapa tahun lalu.
Sepanjang 25 tahun mereka berkahwin, Schwarzenegger berkata, beliau tidak mahu memberitahu Shriver tentang beberapa keputusan penting yang pernah dibuat dalam hidupnya seperti menjalani pembedahan jantung dan bertanding untuk jawatan Gabenor California.
Menurut Schwarzenegger, beliau berbuat demikian kerana bimbang isterinya akan memberikan reaksi keterlaluan dan mendedahkan perkara itu kepada keluarga dan rakan-rakannya.
Dalam buku biografi baharunya, Total Recall: My Unbelievably True Life Story dan wawancara bersama program televisyen 60 Minutes, bekas Gabenor California itu mengakui kesukarannya untuk bersikap jujur melukakan perasaan mereka yang paling rapat dengannya.
Temu bual tersebut disiarkan di Amerika Syarikat kelmarin.
"Beginilah cara saya menangani sesuatu perkara dan ia sentiasa berjaya. Sebenarnya, maksud saya, ia tidak berjaya kerana cara ini bukan terbaik buat mereka yang paling rapat dengan saya kerana ada beberapa perkara saya tidak akan memberitahu mereka," kata Schwarzenegger kepada wartawan, Lesley Stahl dalam program televisyen 60 Minutes.
Bekas penyandang gelaran bina badan Mr. Universe itu menyatakan, sikap berahsia sudah lama diamalkannya iaitu sejak beliau berkecimpung dalam sukan tersebut.
Menurutnya, pendedahan emosi akan membawa kegagalan kepada seseorang atlet.
"Justeru, saya menjadi pakar dalam hidup dalam penafian," kata bintang filem Terminator dan bekas gabenor berkenaan.
Schwarzenegger memuji Shriver dalam buku biografi tersebut sebagai pasangan dan rakan yang penting untuk kejayaannya.
Namun, pada masa yang sama, beliau turut mengakui merahsiakan banyak keputusan tentang kerjayanya daripada pengetahuan Shriver.
Wanita itu memohon perceraian pada Julai lalu.
Walaupun beliau menimbang untuk bertanding jawatan Gabenor selama lebih setahun, Schwarzenegger hanya memberitahu Shriver tentang hasratnya beberapa hari sebelum tempoh penyerahan borang penamaan calon untuk pilihan raya pada 2003 itu berakhir. - Agensi

Dua anak harimau bintang mati dipukul


SEKUMPULAN penduduk kampung mengangkat bangkai dua ekor anak harimau bintang di daerah Sivasagar, dalam negeri Assam pada 29 September lalu.


JORHAT, India - Dua ekor anak harimau bintang dipukul hingga mati oleh penduduk sebuah kampung dalam daerah Sivasagar, di negeri Assam, timur laut India.
Menurut laporan akhbar The Economic Times baru-baru ini, insiden tersebut berlaku selepas kedua-dua ekor haiwan itu muncul di kawasan penempatan penduduk dan menakutkan orang ramai.
Akhbar berkenaan menyatakan, dua pegawai perhutanan bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi oleh penduduk setempat.
"Pasukan kami bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan anak-anak harimau bintang ini. Tetapi orang kampung bertindak membunuh haiwan tersebut terlebih dahulu," kata seorang pegawai berkenaan, Sivasagar Praneswar Das.
Kedua-kedua anak harimau itu mati akibat kecederaan teruk setelah dipukul dengan senjata selama setengah jam oleh sekumpulan penduduk.
Das memberitahu, peristiwa itu berlaku selepas seekor harimau bintang betina dan dua ekor anaknya kerap dilihat merayau-rayau di kampung tersebut sejak seminggu lalu. Penduduk kampung percaya ibu harimau bintang itu telah menyerang beberapa ekor lembu peliharaan mereka. - Agensi

Pistol pasangan penjenayah AS dilelong RM1.5 juta


DUA pucuk pistol yang ditemui pada mayat pasangan penjenayah, Bonnie Parker dan Clyde Barrow selepas mereka dibunuh oleh pihak berkuasa pada tahun 1934.


NEW HAMPSHIRE - Dua pucuk pistol yang pernah dimiliki oleh pasangan gengster Amerika Syarikat (AS), Bonnie dan Clyde apabila mereka terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa dijual pada harga AS$504,000 (RM1.5 juta) pada satu majlis lelongan di sini kelmarin.
Senjata api itu merupakan antara sejumlah 134 artifak yang mencatatkan harga keseluruhan AS$1.1 juta (RM3.3 juta) dalam acara berkenaan.
Sekitar dua pertiga barangan yang dilelong milik pasangan Clyde Barrow dan Bonnie Parker. Sementara sebahagian lagi dimiliki oleh beberapa penjenayah kejam lain di AS termasuk Al Capone, Pretty Boy Floyd dan John Dillinger.
Timbalan Presiden firma lelongan RR Auction yang mengendalikan lelongan tersebut, Bobby Livingston berkata, pistol jenis .38 kaliber Detective Special yang dilekatkan oleh Bonnie di pahanya apabila dia terbunuh pada 1934 mencatat tawaran tertinggi untuk dijual pada harga AS$264,000 (RM806,916).
Menurut Livingston, pistol automatik Colt. 45 milik Clyde pula dilelong pada harga AS$240,000 (RM733,560) kepada pembida sama yang tidak mahu identitinya didedahkan.
"Anda boleh menjangkakan keterujaan seperti ini apabila ada barangan yang sukar didapati dilelong," kata Livingston.
Seutas jam poket milik Clyde pula dijual pada harga AS$36,000 (RM110,034) dalam lelongan itu. - Agensi

Pantai merah menyala di China


GAMBAR pada 20 September lalu menunjukkan sekumpulan pengunjung melawat Pantai Merah di Panjin, timur laut China.


BANDAR RAYA PANJIN, China - Sebuah pantai yang terletak di Delta Sungai Liaohe dekat sini terkenal dengan keunikan permukaannya yang berwarna merah.
Fenomena itu berlaku ekoran kehadiran sejenis rumpai laut beralkali yang tumbuh melata di bahagian dasar pantai berkenaan.
Rumpai laut berkenaan mulai tumbuh sekitar April atau Mei lalu dan berwarna hijau sepanjang musim panas. Namun, apabila tiba musim luruh, warna tumbuhan maritim itu mula bertukar kepada merah bara, sekali gus menjadikan permukaan pantai itu kelihatan seolah-olah sebuah hamparan permaidani merah yang besar.
Dikenali sebagai Pantai Merah, sebahagian besar pantai itu ditutup kepada orang ramai. Cuma satu bahagian yang agak terpencil dibuka kepada pelancong. - Agensi

Anjing sertai pertandingan luncur ombak


SEEKOR anjing dipukul ombak dalam pertandingan luncur di Pantai Huntington, Amerika Syarikat kelmarin.


PANTAI HUNTINGTON - Lebih 40 ekor anjing pelbagai saiz dan rupa mengambil bahagian dalam Pertandingan Luncur Anjing Surf City di negeri California, Amerika Syarikat.
Berlangsung di sini pada Sabtu lepas, kejohanan tahunan kali ketiga itu dibahagikan kepada beberapa kategori berat bermula daripada anjing di bawah sembilan kilogram (kg) hingga kepada lebih 27kg.
Pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton sejak ia diperkenalkan.
Selain bersaing sesama sendiri, anjing-anjing itu cuba mencipta rekod dunia dengan meluncur bersama-sama di atas sebuah papan luncur pada satu masa.
Salah seorang pemilik anjing, Mark Bednorz memberitahu anjingnya telah menyertai sukan berkenaan sejak dua tahun yang lalu. Malah, anjingnya amat gemar melakukannya.
"Hampir semua anjing suka berada di sini," kata Bednorz. - Agensi

No comments:

Post a Comment