Tuesday, October 2, 2012

BELIAU JUGA MANUSIA...JIKA BELIAU TERMASUK LEPAS TANGGUNG JAWAB AGAMA...SEPERTI SINDROM DOWN...MAKA IA ADALAH AHLI SYURGA

JD diculik sebab dendam, marah


SEBAHAGIAN daripada lima suspek berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU – Lima lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes menculik juruhebah (DJ) stesen radio Best 104, Johor pada Sabtu lalu selepas mangsa dikatakan menolak cinta seseorang Ahad lalu diberkas semalam menjadikan penculik yang ditahan setakat ini meningkat kepada tujuh orang.
Pada Ahad lalu, polis memberkas dua suspek termasuk bekas kekasih juruhebah yang popular dengan panggilan JD itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr. Hashim Haron berkata, kelima-lima suspek yang berumur 15 hingga 21 tahun itu ditahan di sekitar negeri ini pada pukul 2 pagi.
Kelima-lima suspek itu direman bermula semalam hingga 8 Oktober depan manakala bekas kekasih JD dan seorang lagi suspek direman sehingga 7 Oktober ini.

Virus korona tidak jejas jemaah haji di Mekah



BERJUTA umat Islam termasuk dari Malaysia kini berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah haji.



KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr. Abdullah Abdul Aziz Ar-Rabeeah berkata, virus korona yang dikesan di negara itu adalah terkawal dan tidak membahayakan jemaah haji yang berada di Tanah Suci.
Setakat ini, dua orang maut termasuk seorang warga Arab Saudi kerana virus itu tetapi pihak berkuasa negara itu mengesahkan tiada seorang pun daripada jemaah yang tiba di negara itu dijangkiti sebarang virus atau penyakit.
Jangkitan virus korona menyebabkan sindrom pernafasan akut teruk (SARS) yang menjejaskan sistem pernafasan dan boleh membawa maut.
Abdullah yang dipetik oleh Emirates News Agency pada Isnin berkata, jangkitan virus korona yang mencatatkan dua kes baru-baru ini masih terkawal dan tidak perlu dibimbangkan.

UTM hasilkan kereta elektrik teknologi tinggi Mizz EV



PASUKAN penyelidik UTM bersama kereta elektrik Mizz EV yang hasilkan dengan menggunakan casis kereta Proton Saga BLM di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU – Sekumpulan 30 orang penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia berjaya mentransformasikan sebuah kereta Proton Saga BLM kepada sebuah kenderaan elektrik berteknologi tinggi yang diberi nama Mizz EV.
Menariknya, kereta elektrik yang dihasilkan dengan kerjasama sinergi pasukan UTM Evolt yang diketuai oleh Pengurus Pasukannya, Dr. Shahrin Md. Ayob itu berjaya disiapkan dalam tempoh sembilan bulan sahaja.
Menurut Shahrin, Miss EV yang akan dibawa untuk pertandingan Cabaran Mobiliti Hijau Proton 2012 pada 6 hingga 7 Oktober ini dilengkapi aspek pembinaan sistem kenderaan elektrik, pengurusan sistem bateri, pengurusan haba dan teknologi pemacu motor.
“Kereta elektrik yang dibina khas untuk tujuan perlumbaan itu menggunakan casis Proton Saga BLM dan ia adalah hasil aplikasi daripada penyelidikan makmal dan pembelajaran yang dilakukan oleh UTM sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Penganggur dituduh bunuh penoreh getah

KANAGESWARAN (depan) yang dituduh membunuh Kaliany dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah semalam.


SUNGAI PETANI – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang penoreh getah di Ladang Bukit Lembu, Bedong, dekat sini pada pertengahan bulan lalu.
Tertuduh, S. Kanageswaran, 25, dari Taman Sari, Batu 2, di sini, dituduh dengan niat membunuh K. Kaliany, 55, dengan menembak menggunakan sepucuk pistol pada pukul 11.45 malam, 17 September lalu di hadapan rumah mangsa.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Feri hangus, penumpang terkandas



ORANG ramai melihat kebakaran sebuah feri di Terminal Feri Labuan semalam.



LABUAN – Beratus-ratus penumpang di Terminal Feri Labuan di sini gempar apabila sebuah feri yang mampu memuatkan hampir seribu penumpang tiba-tiba terbakar semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu menyebabkan beratus penumpang yang mahu menuju ke pekan Menumbok terkandas apabila keseluruhan kabin penumpang dan bilik jurangan hangus.
Difahamkan kejadian itu berlaku ketika para penumpang bersiap-siap untuk menaiki Feri Wawasan Perdana berkenaan bagi perjalanan menuju ke Menumbok yang dijadualkan pada pukul 7.30 pagi.
Jarak perjalanan antara Labuan ke Menumbok kira-kira 25 kilometer dengan tempoh perjalanan selama sejam.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari dapur kantin dalam kabin penumpang sebelum merebak ke seluruh feri tersebut.

Kenderaan mangsa kebal peluru



ANGGOTA polis memeriksa Toyota Hilux kalis peluru yang terlibat dalam kejadian cubaan merompak di Johor Bahru kelmarin.



JOHOR BAHRU – Sekumpulan lima perompak bersenjatakan pistol terpaksa berputih mata apabila cubaan mereka untuk merompak RM700,000 yang dibawa oleh seorang pengurup wang gagal dalam kejadian di Jalan Storey berdekatan bangunan Pacific Mall di sini kelmarin.
Wang tersebut terselamat selepas perompak gagal memecahkan cermin kenderaan kalis peluru jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa bersama dua pekerja dan seorang pengawal keselamatan walaupun penjenayah telah melepaskan lapan das tembakan.
Kejadian pukul 5 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke premis perniagaannya di pusat bandar selepas mengambil wang berkenaan dari sebuah bank.
Difahamkan, sebelum itu, kumpulan penjenayah itu telah ‘mencipta’ satu kemalangan apabila melanggar kenderaan mangsa dengan lori dipandu seorang lelaki. Kenderaan itu kemudian terbabas lalu terbalik sebelum dihempap pula lori berkenaan.

Penduduk Desa Hartamas risau diserang anjing jiran

LAY CHOU (kiri) menunjukkan kesan gigitan anjing kepada Michael di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang peniaga alat ganti kenderaan terpaksa menanggung derita dan hidup dalam ketakutan selepas banyak kali diserang anjing jirannya yang berkeliaran di kawasan perumahan sejak beberapa tahun lalu.
Law Lay Chou, 42, yang tinggal di Desa Hartamas di sini mendakwa, anjing tersebut daripada jenis Golden Retriever sering mengejar dan menyerang penduduk di kawasan itu sehingga menyebabkan mereka takut untuk berjalan atau bersiar-siar di luar rumah.
“Saya sudah banyak kali dikejar dan digigit anjing tersebut setiap kali bertembung dengannya sewaktu bersiar-siar bersama anjing peliharaan saya.
“Kejadian pertama menimpa saya pada Mac lalu dan walaupun kejadian ini dimaklumkan kepada pemilik anjing berkenaan, dia tidak menghiraukannya,” dakwanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Wanita lembam dibawa ke Ipoh



ZAITON mengesat air mata Zuraini sebelum dia dihantar oleh JKM ke Bengkel Bina Semangat di Ipoh semalam.



BUTTERWORTH – Wanita lembam, Zuraini Abdul Kadir, 29, yang dibuang keluarganya sendiri kini sudah mempunyai tempat baharu untuk berlindung.
Dia yang pernah tinggal di Rumah Perlindungan Taman Sinar Harapan Jubli, Johor Bahru selama 18 tahun sejak berusia lapan tahun itu bakal ditempatkan di Bengkel Bina Semangat di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, Perak.
Sepanjang tinggal di sana nanti, Zuraini yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) itu akan mengikuti latihan kemahiran sambil bekerja dan boleh memperolehi duit poket sendiri.
Zuraini ketika ditemui berkata, dia mengambil keputusan untuk tinggal di asrama bengkel itu demi masa depannya selain tidak sabar untuk berjumpa kawan-kawan baharu.
“Saya tak mahu balik rumah dah, saya pun tak nak ingat mak dan ayah sebab mereka sudah buang saya,” dakwanya yang diiringi dua pegawai JKM daerah Seberang Perai Utara untuk ke Ipoh.

38 maut feri karam di Hong Kong

FERI Lamma IV tenggelam semasa operasi menyelamat di perairan Hong Kong semalam.


HONG KONG - Seramai 38 orang terkorban dan lebih 100 yang lain cedera apabila sebuah feri persiaran yang membawa mereka tenggelam selepas berlanggar dengan sebuah feri lain, kata beberapa pegawai semalam.
Lebih 120 penumpang dan kru dikatakan berada di atas feri Lamma IV milik syarikat Hong Kong Electric untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan Victoria Harbour sempena cuti Hari Kebangsaan.
Kejadian berlaku dekat Pulau Lamma di sini pada petang Isnin lalu.
Sejumlah penumpang tercampak ke dalam laut yang berombak sebelum kapal malang berkenaan karam dalam tempoh beberapa minit sahaja.
"Seramai 28 mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala lapan yang lain disahkan mati semasa tiba di hospital.
"Usaha menyelamat akan diteruskan kerana Jabatan Perkhidmatan Bomba tidak boleh mengesahkan sama ada masih terdapat mangsa di dalam kapal atau sudah hilang," kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Semua mangsa yang mati dan cedera dipercayai penumpang atau kru kapal syarikat Hong Kong Electric. Menurut beberapa pegawai syarikat itu, kapal berkenaan dipenuhi kakitangan dan keluarga mereka.
Sementara itu, sebuah lagi feri yang terlibat dalam pelanggaran tersebut telah berlabuh di salah sebuah jeti di Pulau Lamma semalam.
Terdapat kesan lubang besar di bahagian kiri feri berkenaan.
Feri itu dipercayai belayar dari Hong Kong ke Pulau Lamma apabila pelanggaran berlaku berdekatan destinasinya, sekali gus sempat menurunkan penumpang sebelum ia dipenuhi air.
Pegawai Kanan Jabatan Marin, Chung Siu-man menyatakan masih terlalu awal untuk menentukan kapal mana yang bersalah.
Dalam perkembangan berkaitan, tujuh kru daripada kedua-dua feri tersebut ditangkap kerana mendatangkan bahaya kepada nyawa orang lain di lautan.
Komisioner polis Hong Kong, Tsang Wai-hung memberitahu, lebih banyak tangkapan akan dibuat berhubung tragedi berkenaan.
Beribu-ribu orang berkunjung ke Pulau Lamma sempena cuti umum hari kebangsaan China. - Agensi

20 cedera kereta api tergelincir di California


PASUKAN penyelamat membantu operasi menyelamat apabila sebuah kereta api tergelincir selepas melanggar sebuah treler.


HANFORD, California - Dua buah kereta dan sebuah kereta api Amtrak yang membawa kira-kira 169 penumpang tergelincir dari landasan kelmarin selepas bertembung dengan sebuah lori treler di Central Valley, California.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 20 penumpang mengalami kecederaan. Kemalangan itu dikatakan berlaku apabila pemandu lori treler yang membawa pakaian gagal untuk mengelak dan melanggar kereta api berkenaan.
Impak pelanggaran kemudian telah menolak dua buah kereta penumpang dan lokomotif keluar dari laluan masing-masing.
Pegawai Peronda California, Scott Harris berkata, kereta api itu tergelincir sejauh 180 meter selepas pelanggaran itu sebelum berpusing.
Penolong Sherif King Country, Dave Putnam memberitahu kemalangan itu berlaku di lintasan yang lengkap dengan pintu kawalan.
Kebanyakan penumpang dikatakan mengalami kecederaan seperti bengkak, lebam, calar dan mungkin patah tulang.
Menurut Amtrak, kereta api itu sedang dalam perjalanan ke Bakersfield dari Oakland.
Jurucakap Peronda Lebuh Raya California (CHP), Jerry Pierce berkata, pemandu treler itu mengalami cedera ringan. - Agensi

DUNIA


Ikan paus terdampar dijadikan lauk


BEBERAPA penduduk melihat bangkai ikan paus pilot yang terdampar di pantai Pulau Savu di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia semalam.


SAVU, Indonesia - Penduduk tempatan di sebuah pulau terpencil di timur Indonesia semalam melapah beberapa ekor ikan paus pilot untuk dijadikan makanan selepas 41 ekor mamalia itu mati terdampar, kata beberapa pegawai.
Sejumlah 44 ekor ikan paus pilot terdampar pada malam kelmarin di pantai Pulau Savu di wilayah Nusa Tenggara Timur, yang mengamalkan budaya memburu paus untuk dijadikan makanan.
"Penduduk tempatan telah memotong kira-kira 11 ekor ikan paus setakat ini dan mungkin dagingnya dijadikan lauk," kata ketua pejabat perikanan Savu, Dominggus Widu Hau kepada agensi berita AFP.
Ketika nelayan tempatan menjumpai paus-paus itu sebelum tengah malam kelmarin, ia masih hidup. Namun, sudah terlewat dan orang tidak cukup untuk menolaknya kembali ke laut.
Berpuluh-puluh orang termasuk nelayan, tentera laut dan pegawai polis bertungkus-lumus sehingga tengah hari semalam untuk memastikan tiga ekor paus yang terselamat terus hidup.
"Kami berjaya menolaknya kembali ke kawasan perairan, tetapi ia kembali ke pantai," tambah Hau.
Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta mengenal pasti mamalia yang terdampar kira-kira 150 meter dari pantai sebagai ikan paus pilot.
Kata Hau, semua ikan puas yang terdampar itu berukuran antara dua hingga lima meter panjang .- AFP

1,000 pelajar berpakaian seperti Gandhi

SEKUMPULAN pelajar India memakai pakaian menyerupai Mahatma Gandhi di Ahmedabad bagi memecahkan rekod dunia semalam.


AHMEDABAD - Kira-kira 1,000 orang pelajar berpakaian seperti Mahatma Gandhi, mengambil bahagian sempena majlis sambutan ulang tahun kelahiran bapa pejuang kemerdekaan India itu.
Mereka berkumpul dalam majlis yang dikenali sebagai Ahinsa Dandi Yatra di bandar ini semalam.
Perhimpunan tersebut berjaya mendapat pengiktirafan Guiness World Records sebagai rekod dunia baharu untuk bilangan orang paling ramai berpakaian seperti Gandhi.
Gandhi atau nama sebenarnya Mohandas Karamchand Gandhi dilahirkan pada 2 Oktober 1869 dan meninggal dunia pada 30 Januari 1948 ketika berusia 78 tahun. - Agensi

Finalis ratu cantik jadi jurulatih bola sepak

BEKAS finalis Ratu Sukan Croatia, Tihana Nemcic menunjuk aksi menimbang bola kelmarin.


VOJAKOVAC, Croatia - Seorang wanita, Tihana Nemcic, mahu dirinya dilayan sama seperti ketua jurulatih yang lain.
Nemcic, 24, yang merupakan bekas pemain bola sepak antarabangsa Croatia dan model sambilan kini mendapat perhatian luar biasa.
Ini kerana dia telah mengambil alih tugas sebagai jurulatih pasukan bola sepak lelaki Croatia bagi pasukan NK Viktorija Vojakovac yang beraksi dalam divisyen kelima.
Nemcic, bekas pemain kelab di Croatia, memperolehi ijazah dari Universiti Sukan negara ini pada Julai lalu.
Sejak menggalas tugas sebagai jurulatih pasukan NK Viktorija Vojakovac, Nemcic menegaskan bahawa dia bertanggungjawab ke atas pasukan bimbingannya dan bukan untuk mendapat publisiti media.
"Saya ialah ketua jurulatih. Saya mempunyai kebebasan penuh untuk mencipta dan merancang taktik pasukan," kata Nemcic.
Pasukan bimbingannya kini berada pada kedudukan ke-16 dalam liga dengan empat mata selepas mencatat satu kemenangan, satu kekalahan dan seri.
Nemcic yang juga merupakan 15 finalis bagi merebut gelaran Ratu Sukan Croatia pada tahun 2008 mengakui berdepan cabaran tertentu dalam melatih pemain lelaki. - Agensi

No comments:

Post a Comment