Monday, September 10, 2012

ADAKAH KITA MENGUNDANG BALA DARI ALLAH...TERUS-TERUSAN MEMBUAT PERKARA YANG ALLAH LARANG@TEGAH...DISAMPING MENOLAK HUKUM2 ALLAH SWT

Bertaruh di Indonesia, beroperasi di Kemboja

KAKI judi gemar membuat pertaruhan judi melibatkan perlawanan bola sepak Liga Perdana England. - Gambar hiasan


PHNOM PENH - Pihak berkuasa Kemboja pada Isnin lalu telah menahan seramai 114 warga Indonesia dalam satu serbuan perjudian bola sepak secara online di sekitar bandar raya ini.
Menurut Chhay Sinarith dari Kementerian Dalam Negeri Kemboja, sekumpulan 90 lelaki dan 24 wanita itu ditahan di dua buah rumah kediaman di bandar tersebut.
"Mereka ditahan ketika sedang menjalankan operasi perjudian yang diharamkan di negara ini.
"Mereka terlibat dalam pertaruhan bola sepak," katanya kepada AFP.
Beliau berkata, kumpulan itu mengambil pertaruhan bola sepak daripada orang ramai di Indonesia dan semua urusan perjudian dibuat melalui akaun bank secara online.

Teguran Sultan Johor dihargai


MODEL Rapid Intervention Vehicle yang terdapat di pasaran.


KUALA LUMPUR - Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) atau kenderaan intervensi pantas untuk kegunaan tentera yang diutarakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam titah baginda Sabtu lepas akan disiasat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kementeriannya mengambil secara positif komen tersebut dengan menganggapnya sebagai satu keprihatinan yang ditunjukkan baginda yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas.
"Kementerian Pertahanan mengambil maklum terhadap komen baginda dengan cara positif di mana saya sendiri akan lakukan penyiasatan terhadap perbezaan di antara harga RIV yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal.
"Mungkin terdapat spesifikasi yang berbeda yang akan saya teliti," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai titah Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor Sabtu lepas.

Tiada pencerobohan berlaku di Tasik Chini


AKTIVITI pembangunan di sekitar Tasik Chini di Pahang masih terkawal. - Gambar hiasan


BENTONG - Aktiviti pembangunan di sekitar Tasik Chini di Pekan dekat sini masih terkawal dan tiada sebarang pencerobohan berlaku dalam kawasan tasik itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, situasi itu disaksikan sendiri olehnya pada minggu lepas ketika meninjau tasik tersebut yang diwartakan sebagai Taman Pelancongan pada tahun 1989 itu.
"Saya lihat sendiri air tasik itu masih jernih, tidak kotor seperti yang didakwa dan keadaan nampak terkawal. Setakat ini, pembangunan di sekitar Tasik Chini oleh agensi kerajaan seperti Risda dan Felcra dibenarkan kecuali dalam kawasan yang telah digazetkan tidak boleh diteroka," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Pelangai di Sekolah Menengah Kebangsaan Pelangai dekat sini kelmarin.

Derita ibu muda dijangkiti penyakit kanser rahang


ROHANA (kiri) menyampaikan bantuan kepada Siti Suniza sambil diperhatikan Normah (tengah) di Kulim, Kedah kelmarin.


KULIM - Sudahlah menghidap kanser rahang, seorang ibu muda, Siti Suniza Suid, 21, di sini semakin menderita kerana terpaksa membesarkan anaknya yang sakit bersendirian selepas diceraikan suaminya di Kampung Manggis, Sungai Karangan di sini baru-baru ini.
Siti Suniza yang menghidap kanser sejak tujuh bulan lalu itu kini menumpang di Perumahan Keda ibu bapanya, Suid Budin, 54, dan Normah Che Ani, 52, setelah suaminya, Mohamad Kasa, 25, menceraikannya sejak bulan lalu.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak, Nurul Sarah Anisah berusia dua tahun tiga bulan.
Menurut Normah, Siti Suniza baru sahaja menjalani pembedahan sejak empat bulan lalu di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.
Akibatnya, dia tidak dibenarkan memakan makanan biasa dan dibenarkan meminum susu khas yang disyorkan doktor.
"Kami terpaksa beli susu berharga RM36 setin dan ia boleh digunakan dalam masa empat hari sahaja. Sedih melihat keadaan kesihatannya," katanya ketika ditemui semasa lawatan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Rohana Yusof di kediamannya di sini kelmarin.
Sementara itu, Rohana berkata, bantuan JKM akan boleh disalur kepada Siti Suniza melalui skim pesakit kronik.
"Mulai bulan ini, JKM Kulim akan mula menyalurkan bantuan bulanan RM300 kepada Siti Suniza," katanya.

Amaran kepada pengendali feri


SYARIKAT pengendali feri di Langkawi masih gagal melaksanakan pemberian kadar tambang istimewa kepada penduduk tempatan. - Gambar hiasan


LUMUT - Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengendali feri penumpang di Langkawi yang dilaporkan masih gagal melaksanakan sepenuhnya pemberian kadar tambang istimewa kepada penduduk tempatan di pulau tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pihaknya kesal dengan sikap syarikat feri tersebut yang masih berdegil dan enggan memberikan kadar tambang istimewa walaupun dipersetujui sebelum ini.
"Persetujuan ini (kadar tambang istimewa) kepada penduduk Langkawi bukan perkara baru iaitu sejak 2005 lagi. Sepatutnya mereka kena patuhi janji yang dipersetujui. Isu tersebut sepatutnya tidak timbul lagi," katanya.

Mayat reput dalam plastik hitam


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang sudah reput dengan keadaan tangan dan kaki terikat di Kilometer 15, Jalan Ulu Yam semalam.


ULU YAM – Seorang pemotong rumput tidak menyangka bungkusan plastik hitam yang ditemuinya di tepi jalan di Kilometer 14.5, Jalan Ulu Yam dekat Batu Caves di sini semalam rupa-rupanya berisi mayat seorang lelaki.
Mayat lelaki yang sudah reput serta berulat itu ditemui pada pukul 2 petang ketika pekerja tersebut sedang memotong rumput di kawasan semak terbabit.
Pekerja tersebut yang curiga dengan bau busuk kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Turut ditemui ialah sebuah kenderaan yang tersadai di tepi jalan tidak jauh dari tempat mayat mangsa ditemui.
Pemeriksaan mendapati, mangsa memakai seluar panjang dan kemeja lengan panjang berwarna coklat dan putih, dengan bahagian tangan dan kepala hanya tinggal tulang.

Nekad terus berniaga di Padang Kota Lama


SEBAHAGIAN peniaga kecil bersama ahli keluarga berkumpul bagi membantah tindakan MPPP menghalang mereka berniaga di Padang Kota Lama, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Seramai 30 penjaja kecil di Padang Kota Lama di sini nekad untuk terus di kawasan pelancongan terbabit biarpun dihalang Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Mereka terdiri peniaga bergerak menggunakan van yang menjual makanan, minuman, barangan mainan, kraf tangan dan refleksologi.
Rata-rata daripada penjaja memberitahu, mereka tidak akan sesekali berganjak dari lokasi itu yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan sejak lapan tahun lalu.
Wakil penjaja, M. Balakrishnan, 54, berkata, tindakan kerajaan negeri dan MPPP mengusir mereka daripada terus berniaga di situ merupakan satu penindasan terhadap golongan penjaja kecil di negeri ini.
Dia yang membuka perniagaan refleksologi memberitahu, sehingga kini mereka masih tidak berpeluang memperoleh lesen perniagaan secara sah walaupun berkali-kali berjumpa dengan pihak berkuasa.
"Kami tidak kira walau apa perkara yang terjadi, kami tetap akan berniaga di sini. Kami merayu kepada mereka (MPPP) supaya jangan mengganggu periuk nasi kami di sini.
"Sekiranya mereka masih bertindak menghalau dan merampas peralatan berniaga, kami akan melakukan satu perkara paling besar di Pulau Pinang satu hari nanti," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tipu mangsa guna Facebook


HUI FHEN (duduk, kanan), Jia Wei (duduk, kiri) dan Michael (duduk, tengah) menunjukkan laman web yang memperdayakan pengguna Facebook di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar mendakwa akaun laman sosial Facebook miliknya digodam selepas menyertai peraduan menerusi satu pautan laman web dari sebuah syarikat pengurusan acara pada 4 September lalu.
Akibatnya, penggodam berkenaan telah menggunakan Facebook miliknya untuk meminta rakan-rakan pelajar terbabit membeli kad prabayar bernilai RM10 untuk diisikan kepada satu nombor telefon dipercayai milik penjenayah siber itu.
Menurut mangsa, Koh Hui Fhen, 19, beberapa orang rakannya telah terjerat dengan penipuan yang dilakukan penggodam yang menggunakan Facebook peribadinya.
“Kejadian ini berpunca daripada tindakan saya yang menekan butang ‘kongsi’ apabila diminta mengundi untuk sebuah syarikat, D-sire Se7en Sdn. Bhd. pada 4 September lalu untuk memenangi tawaran hadiah berupa kad prabayar bernilai RM30.
“Akibatnya, tindakan itu telah memberi peluang kepada penggodam untuk mencuri kata laluan saya sebelum menipu wang daripada rakan saya melalui Facebook,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Pengawal kerabat diraja ugut kontraktor didenda


AHMAD ASRI (kiri) didapati bersalah mengugut seorang kontraktor di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang pengawal peribadi kerabat diraja Johor didenda RM10,000 selain diarah membayar pampasan RM40,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah melakukan peras ugut terhadap seorang kontraktor dua tahun lepas.
Majistret Noor Aisyah Ahmad membuat keputusan tersebut selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.
Noor Aisyah turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Asri Mohd. Redzuan, 35, dipenjara masing-masing 36 bulan dan lapan bulan sekiranya gagal membayar denda kepada mahkamah dan pampasan kepada mangsa.
Beliau mengguna pakai Seksyen 426 Kanun Acara Jenayah untuk mengarahkan Ahmad Asri membayar wang pampasan itu.
Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Asri yang masih bujang didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Zainal Awang, 53, di tempat letak kereta Perling Mall di sini antara pukul 3 hingga 4 petang 21 September 2010.

Pengawal hilang senapang patah

SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta yang menjaga pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Cawangan Sungai Buloh yang baru pulang daripada menunaikan solat Subuh, terkejut apabila mendapati senapang patah dan tiga butir peluru miliknya hilang pada Sabtu lalu.
Selain itu, ruang tamu pejabat yang turut menyimpan kutipan duit bayaran orang awam turut digeledah dalam kejadian yang hanya disedari kira-kira pukul 6.45 pagi itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, berikutan kejadian tersebut, pihaknya menahan tiga lelaki termasuk pengawal berkenaan yang berumur antara 32 hingga 56 tahun.
“Kita menahan tiga lelaki yang merupakan pengawal keselamatan syarikat swasta yang ditugaskan menjaga pejabat MBSA berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Kita juga sedang menjalankan siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di pejabat itu untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Wanita kecewa ugut mahu terjun hotel


ANGGOTA polis membawa wanita itu ke balai polis untuk membantu siasatan sebaik sahaja dia diselamatkan.


SANDAKAN – Kakitangan sebuah hotel di sini semalam gempar apabila seorang wanita yang gagal menagih cinta teman lelakinya bertindak nekad untuk terjun dari tingkat enam premis itu dalam kejadian di Bandar Labuk di sini semalam.
Drama hampir satu jam bermula pukul 9 pagi itu bukan sahaja mengejutkan kakitangan hotel malah orang ramai yang melalui kawasan tersebut turut tersentak dengan tindakan wanita berusia 33 tahun terbabit.
Difahamkan, wanita itu baru beberapa jam tiba dari Semenanjung sebelum mendaftar masuk di hotel berkenaan. Dia kemudian yang kecewa apabila teman lelakinya enggan datang dan menerima cintanya, bertindak berdiri di luar tingkap bilik.

Padah ragut wanita dalam lif


KESAN tompokan darah jelas kelihatan di tempat seorang peragut dibelasah oleh orang awam di Chow Kit semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah tegar bukan sahaja gagal melarikan barangan yang diragut malah dia cedera parah apabila dibelasah orang ramai yang geram dengan tindakannya menyamun seorang wanita di dalam lif flat Wisma Hock Ann, Jalan Haji Hussein, Chow Kit di sini semalam.
Kejadian pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika suspek berusia 30 tahun tersebut cuba melarikan diri selepas mencekik dan melarikan rantai leher, dua bentuk cincin emas, loket serta telefon bimbit milik wanita tersebut yang kesemuanya bernilai RM2,800.
Mangsa berusia 33 tahun dan merupakan pekerja salon.
Seorang saksi, Kamal Ngah, 57, berkata, orang ramai yang mendengar jeritan meminta bantuan kemudian ternampak suspek yang ketika itu cuba melarikan diri ke arah Masjid Jamek.
Katanya, peragut itu kemudian dapat diberkas ketika dia cuba menyelinap masuk ke lorong di belakang sebuah warung.
“Ketika kejadian, saya sedang minum dengan kawan-kawan di warung berhampiran dan melihat seorang lelaki telah diberkas dan dibelasah oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis,” ceritanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Tragedi ngeri ragut lima nyawa


SEORANG lelaki melihat keadaan kereta Honda City yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Sekinchan, Sabak Bernam semalam.


SABAK BERNAM – Hasrat tiga beranak dan dua beradik untuk pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dari Teluk Intan, Perak dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda City berkecai apabila kesemuanya maut dalam kemalangan ngeri semalam.
Kejadian pukul 2.30 petang di Kilometer 70, Jalan Teluk Intan-Klang, Sekinchan di sini itu mengakibatkan pemandu kereta, Yeap Chin Hong, 52; anak perempuannya, Yeap Chen Wee, 25; anak lelakinya, Yeap Soon Keong, 19, serta dua wanita yang dipercayai adik-beradik, Ling Siew Mooi, 26, dan Ling Li Min, 25, maut.
Kesemua mangsa mati di tempat kejadian kecuali Chen Wee yang menemui ajal ketika dirawat di Hospital Tanjong Karang.
Difahamkan, mereka hendak ke KLIA untuk menghantar Soon Keong yang mahu menyambung pelajaran ke Taiwan.

Suspek pengebom menyerah diri


SEORANG anggota polis bersenjata mengawal rumah Toriq selepas pihak berkuasa menemui alat-alat membuat bom di dalam kediaman terbabit.


JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia menyatakan seorang suspek pembuat bom yang melarikan diri dari rumahnya telah menyerah diri kepada polis di sini.
Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Rikwanto semalam memberitahu, Muhammad Toriq yang berusia 32 tahun menyerah diri pada lewat Ahad lalu.
Toriq dikatakan memakai seutas tali pinggang yang berisi alat letupan. Dia juga menyerahkan sepucuk pistol dan peluru.
Suspek melarikan diri selepas penduduk di kawasan perumahan pergi ke kediamannya apabila asap keluar dari rumahnya. Polis kemudian menemui alat-alat membuat bom di dalam rumah terbabit.
Toriq dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan militan yang merancang untuk menembak polis dan mengebom bangunan Parlimen Indonesia sebagai usaha mencetuskan 'perang suci' serta menubuhkan sebuah negara Islam. - Agensi

Hospital di India upah kaki pukul kawal keselamatan


DUA kaki pukul beruniform berkawal di hadapan pintu masuk ke wad di Hospital Deen Dayal Upadhyay di New Delhi pada 21 Ogos lalu.


NEW DELHI - Sebuah hospital di India mengupah sejumlah kaki pukul bagi mengelakkan kakitangannya daripada menjadi mangsa keganasan di tempat kerja.
Seorang kaki pukul berkenaan, Pradeep Kumar dan lebih 20 rakan sekerjanya bertugas mengawal wad kecemasan dan bersalin Hospital Deen Dayal Upadhyay (DDU) di sini.
Mereka akan memastikan saudara-mara dan rakan pesakit tidak memenuhi dan mengganggu ketenteraman di kedua-dua wad berkenaan.
"Orang ramai yang datang bersama pesakit yang mengalami trauma atau wanita mengandung mudah hilang sabar," kata Pradeep.
"Sebab itu, kami hanya membenarkan seorang pelawat untuk seorang pesakit di wad kecemasan," tambahnya.
Kumpulan kaki pukul itu melayan pelawat ke wad berkenaan dengan sopan tetapi wajah garang dan tubuh sasa mereka membuatkan orang ramai berfikir dua kali untuk tidak menghiraukan arahan lelaki-lelaki berkenaan.
"Mereka kelihatan ganas seperti watak dalam filem aksi," kata seorang bapa, Pawan Desai semasa membawa anak perempuannya yang berusia empat tahun ke DDU bagi merawat luka pada tangannya.
Pekerja hospital di India berdepan risiko bahaya dengan beribu-ribu serangan berlaku pada setiap tahun.
Kebanyakan serangan itu ekoran rasa tidak puas hati saudara-mara dan rakan pesakit.
Pada April lalu, beberapa rakan seorang pesakit di wad kecemasan DDU menumbuk muka seorang doktor dan mematahkan hidungnya sebelum mengamuk dengan bersenjatakan beberapa kayu hoki.
Mereka menghayunkan senjata itu terhadap staf perubatan dan memecahkan sejumlah tingkap, lampu dan perabut hospital berkenaan. - Agensi

Traktor berentap di Jerman


SEBUAH traktor yang diubah suai beraksi pada pertandingan traktor di bandar Fuechtorf, Jerman kelmarin.


FUECHTORF - Satu pertandingan traktor diadakan di sini, barat Jerman kelmarin.Dinamakan Tractor Pulling Euro Championships, acara tersebut disertai oleh 80 buah pasukan dari seluruh benua Eropah.
Pertandingan selama dua hari itu menyaksikan penyertaan pelbagai jenis traktor yang diubah suai dan berkuasa tinggi.
Traktor yang dapat menarik beban sejauh mungkin di atas trek sejauh 100 meter akan memenangi pertandingan tersebut. - Reuters

Dilema pelacur Bangladesh


WANITA ini, sama seperti ramai penghuni lain di rumah pelacuran Madaripur, tidak akan berganjak ke tempat lain walupun diusir.


TARA DAS memberitahu, dia merupakan generasi kelima dalam keluarganya yang bekerja di rumah pelacuran yang sama di Bangladesh. Namun, apa yang membimbangkan, dia kini terpaksa berhadapan dengan penunjuk perasaan orang Islam yang mahu perniagaan pelacuran ditutup.
Kawasan pelacuran yang terletak di bandar Madaripur itu telah beroperasi kira-kira 150 tahun lalu dan pekerja seks percaya kehadiran kumpulan penunjuk perasaan berkenaan didalangi syarikat pemaju yang ingin mengambil alih tanah di situ.
Pada bulan lalu kira-kira 10,000 orang yang diketuai oleh kumpulan Islam iaitu Islahe Kaom Parishad (Majlis Reformasi Kebangsaan) telah mengadakan protes. Mereka memaksa rumah pelacuran ditutup dan menghalau keluar seramai 500 pelacur.
"Sejak mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran, saya menjadi bingung dan sukar melelapkan mata. Ke mana harus saya pergi selepas ini?
"Lagipun, hanya rumah kecil dan pekerjaan ini yang saya kenali sejak zaman kanak-kanak. Mohon selamatkan kami daripada kumpulan agama itu," kata Tara.
Jika diimbas, rumah pelacuran itu dibuka untuk pedagang jut ketika zaman kolonial Britain. Ia beroperasi di dalam bangunan batu berlumut tiga tingkat yang berbumbungkan atap zink. Ia terletak di tengah-tengah bandar Madaripur iaitu 60 kilometer dari Dhaka.
Sebelum Bangladesh mencapai kemerdekaan sekitar tahun 1971, perniagaan pelacuran beroperasi secara sah tetapi kini bisnes itu diancam pelbagai aktivis daripada kumpulan Parishad.
Kumpulan Islamik itu telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan melobi pihak berkuasa dengan menekankan bahawa rumah pelacuran merosakkan lelaki muda dan ia harus dihapuskan.
Golongan pekerja seks percaya protes itu dianjurkan oleh ahli perniagaan yang berkait rapat dengan kumpulan politik tempatan. Mereka turut melaporkan mengenai kempen tunjuk perasaan termasuk peranti bahan letupan yang ditemui baru-baru ini dan dua cubaan serangan membakar.
Kontroversi tanah
"Kami tidak sesekali akan meninggalkan tempat ini. Pekerjaan kami ini sah di sisi undang-undang. Kami juga tidak mempunyai pekerja seks bawah umur. Lagipun tempat ini diwarisi daripada nenek moyang kami malah sesetengah daripada mereka masih lagi hidup.
"Hakikatnya ia sebuah konspirasi untuk merampas tanah kami yang bernilai tinggi," jelas Momo Rani Karmakar yang merupakan ketua pekerja seks Madaripur.
Dia turut menambah bahawa seramai 110 kanak-kanak yang menghuni di rumah pelacuran masih dihantar ke sekolah setiap hari.
Sejak aktiviti tunjuk perasaan dijalankan, anggota polis mula mengawasi kawasan manakala pihak kerajaan memberitahu bahawa keputusan akhir untuk melakukan pembangunan baharu di situ masih belum diputuskan.
Pada masa yang sama, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan pentadbir wilayah telah ditubuhkan dan berusaha untuk membuka rundingan bagi menggalakkan pemulihan dalam kalangan pekerja seks.
"Orang Muslim dan golongan elit tempatan tidak mahu era pelacuran terus wujud di bandar ini. Mereka berpendapat aktiviti tidak bermoral ini mungkin satu keperluan pada zaman lalu tetapi kini tidak lagi," jelas ketua jawatankuasa, Siddiqur Rahman.
Tambahnya, pihak berkuasa wajar memulakan proses pemulihan dengan menjalankan kajian bagi mengenal pasti jumlah pekerja bawah umur.
"Jika proses pemulihan ini dijalankan, saya fikir pekerja seks golongan dewasa akan beralih mencari pekerjaan lain termasuklah melibatkan diri dalam kerja sukarelawan," tutur Rahman.
Namun begitu, kumpulan pekerja seks menegaskan mereka tidak akan meninggalkan rumah pelacuran mahupun mencari kerja baharu. Segelintir daripada mereka pernah mencuba bidang lain tetapi diusir oleh masyarakat tempatan.
"Jika kami tidak mempunyai pelanggan, bagaimana saya ingin membeli makanan untuk lima orang anak saya dan menguruskan hal akademi mereka.
"Kini, pelanggan mula bimbang dengan situasi yang sedang berlaku. Mereka menyangka rumah pelacuran ini akan ditutup tidak lama lagi," luah Jhumur, 45.
Melindungi maruah
Ramai pekerja seks mendakwa bahawa tujuan utama kempen penunjuk perasaan itu berlaku adalah disebabkan sebahagian besar keluarga Muslim yang sudah mendirikan bangunan bersebelahan kawasan pelacuran.
Walau bagaimanapun, kumpulan Parishad menyangkal dakwaan itu dan mereka memberitahu tindakan protes diambil bagi melindungi maruah dan moral masyarakat Islam.
"Rumah pelacuran salah satu penyumbang utama pada aktiviti jenayah di wilayah ini. Ia perkara yang memalukan dan tidak layak digelar pekerjaan.
"Mereka turut mengusahakan kedai arak secara haram dan membiarkan kanak-kanak perempuan bawah umur membelinya untuk dijual kepada pengedar dadah terbesar," jelas Setiausaha Kumpulan Parishad, Ali Ahmed Chowdhury.
Sehingga kini, pertelagahan antara kumpulan konservatif Muslim dan rumah pelacuran di Bangladesh yang berlaku telah menyebabkan sekurang-kurangnya empat rumah pelacuran di daerah itu terpaksa ditutup.
"Sudah berkali-kali kami diingatkan bahawa mereka boleh menembak kami pada bila-bila masa. Tetapi, mereka masih tidak boleh mengusir kami.
"Kami akan memusnahkan rumah pemimpin Muslim sekiranya mereka datang ke sini untuk menghalau kami," jelas Morzina yang kehilangan suami pada dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa kembali ke rumah pelacuran. - AFP

No comments:

Post a Comment