Friday, September 14, 2012

BILA DAH JADI...MAKA ITU DAH JADI TAKDIR...TAKDIR KETETAPAN ALLAH...JADI WAJIB REDA...TAK REDA SAMA MEMPERTIKAI KETENTUAN ALLAH...BOLEH ROSAK IMAN...HUDUD KENA BUAT...TU PERINTAH ALLAH SWT

Meraung kaki berlipat

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

SAKIT...Mohd Saiful yang hampir putus kaki kanan ditenangkan ahli keluarga dan orang ramai di tempat kejadian, kelmarin.
SAKIT...Mohd Saiful yang hampir putus kaki kanan ditenangkan ahli keluarga dan orang ramai di tempat kejadian, kelmarin.
ALOR GAJAH: “Pilu hati ini melihat mangsa menggelupur di bahu jalan sambil merayu bantuan dan meraung menunjukkan kaki kanannya yang berlipat dan betis yang cedera parah,” kata Shamsul Arifin, 42, yang menyaksikan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kampung Tanjung Dahan, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, mangsa, Mohd Saiful Azhar, 14, pelajar tingkatan dua sekolah menengah di daerah ini hampir putus kaki kanan selepas dirempuh kereta berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang membonceng motosikal Yamaha Lagenda ditunggangi bapa saudaranya, Mohd Yusuf Idris, 54, datang dari arah Kampung Nelayan, Kuala Linggi menuju pekan Kuala Sungai Baru.
Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai cuba membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki dua pelajar kolej yang berada di laluan sama.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak di bahu jalan, namun penunggang motosikal dan kedua-dua pelajar itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Shamsul, saksi yang terawal tiba di tempat kejadian berkata, dia terkejut apabila melihat mangsa tercampak ke bahu jalan.
“Saya kemudian segera memberhentikan motosikal dan mendekati mangsa yang masih sedarkan diri. Pada masa sama, saya melihat penunggang motosikal berkenaan turut terbaring tidak jauh daripada mangsa sebelum kembali bangun dalam keadaan terpinga-pinga.

“Saya sedih melihat kaki mangsa yang terkulai dan berlipat seperti hampir putus. Melihat keadaan itu, saya terus menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Bagi pemandu kereta, Syed Ahmad Ali, 19, dia dari rumahnya di Kampung Tanjung Agas, Pasir Panjang, Negeri Sembilan, sebelum terbabit dalam nahas itu berkenaan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya sudah memintas sebuah motosikal lain terlebih dulu dan memastikan laluan di depan selamat sebelum memotong motosikal mangsa.

“Saya bagaimanapun terkejut melihat motosikal itu tiba-tiba membuat pusingan U dan segera menekan brek menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut itu, pembonceng motosikal itu tercampak.

Ketua Polis daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Melaka.

“Orang ramai yang melihat kemalangan diminta tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Minat belajar kembali segar

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

SEPAKAT...Noraini dibantu anak-anaknya  menyiapkan tempahan makanan pelanggan.
SEPAKAT...Noraini dibantu anak-anaknya menyiapkan tempahan makanan pelanggan.
JOHOR BAHRU: “Saya tidak sangka dapat menjejakkan kaki kembali ke sekolah selepas berhenti belajar sejak akhir tahun lalu demi meringankan beban tiga adik yang kerap ponteng untuk menjual nasi lemak bagi menyara keluarga.
“Melihat keadaan keluarga yang bertambah baik selain dorongan ramai, saya berminat belajar semula dan mengejar cita-cita menjadi guru,” kata kakak kepada tiga murid yang ponteng sekolah 100 hari, Nazirah, 16, di sini, semalam.

Kisah Nazirah dan tiga adiknya, Alyah, 8; Nabilah, 9; dan Hamirul, 11, didedahkan Harian Metro pada 23 Julai lalu, selepas ibunya yang mahu dikenali sebagai Noraini, 35, digantung tidak bertali.
Akibat kesukaran hidup, Nazirah berhenti sekolah manakala Alyah, Nabilah, dan Hamirul berjalan kaki tiga kilometer sehari menjual nasi lemak kerana mahu membantu menampung perbelanjaan keluarga sehingga terpaksa ponteng sekolah 100 hari.

Selepas kisah kesusahan Noraini dan anak-anaknya disiarkan akhbar ini, mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru serta Majlis Agama Islam Johor (Maij), selain sumbangan orang ramai dan pasar raya Econsave yang menyumbang barangan harian bernilai RM1,300.

Nazirah berkata, dia berterima kasih kepada Jabatan Pelajaran Johor yang memberi peluang kepadanya menyambung pelajaran dalam tingkatan lima tahun depan.
Menurutnya, sementara menunggu tempoh persekolahan bermula tahun depan, dia yang ketinggalan dalam pelajaran hampir setahun meluangkan masa secukupnya untuk mengulang kaji pelajaran setiap hari.

“Saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan berjanji menjadi contoh baik kepada adik.
“Dalam tempoh empat bulan sebelum sesi persekolahan bermula, saya berusaha mengulang kaji pelajaran sebanyak mungkin sebelum masuk ke kelas,” katanya yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Rahmat.

Noraini berkata, dia sekeluarga bersyukur dengan rezeki diterima termasuk bantuan daripada JKM.

“Antaranya bantuan kanak-kanak berjumlah RM400 sebulan selain geran pelancaran perniagaan RM2,700.

“Saya bercadang membuka gerai makan pada masa depan menggunakan wang bantuan geran pelancaran perniagaan itu,” katanya.

Menurutnya, kini anaknya tidak perlu lagi bersusah-payah menjual nasi lemak, sebaliknya mereka hanya menghantar tempahan makanan dibuat penduduk di Taman Kemas, Tampoi, di sini, pada hujung minggu.

Pelajar belasah guru disiplin

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Hanya kerana menegur sekumpulan pelajar tingkatan lima tidak menyertai perhimpunan, seorang guru disiplin dibelasah ala samseng oleh sekumpulan pelajar dalam kelas di sebuah sekolah menengah di sini, Selasa lalu.
Kejadian jam 7.30 pagi itu bermula apabila guru terbabit yang berusia 40-an mengesan 15 pelajar lelaki tidak menghadiri perhimpunan sebaliknya membuat bising dalam kelas mereka.
Menurut sumber, guru itu ke kelas berkenaan dan meminta semua pelajar terbabit keluar dari kelas dan pergi ke perhimpunan bersama pelajar lain.

“Selepas memberi arahan itu, guru terbabit meninggalkan kelas namun hanya selepas beberapa langkah dia mendengar pelajar itu semakin bising, seolah-olah memprotes serta mengingkari arahannya.

“Apabila guru itu masuk semula dalam kelas, dia melihat sebahagian pelajar terbabit menendang pintu dan ada yang bertindak lebih berani dengan memecahkan cermin tingkap kelas,” katanya.

Rentung dalam kereta

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

RENTUNG...anggota pasukan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Selangor memeriksa lokasi kereta terbakar menyebabkan seorang lelaki maut di Banting, semalam.
RENTUNG...anggota pasukan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Selangor memeriksa lokasi kereta terbakar menyebabkan seorang lelaki maut di Banting, semalam.
BANTING: “Kami fikir gempa bumi apabila tiba-tiba terdengar letupan kuat di luar rumah, manakala rumah pula bergegar,” kata pelajar kolej swasta, Andy Lim, 22, saksi kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback menyebabkan seorang lelaki rentung di Taman Baiduri, di sini, semalam.
Menurutnya, ketika kejadian dia berkunjung ke rumah rakannya di taman perumahan berkenaan dan sedang berbual apabila berasa impak letupan daripada kereta yang terbakar itu kira-kira jam 2 petang.

“Saya dan rakan segera berlari keluar kerana bimbang rumah akan runtuh sebelum ternampak kereta sedang terbakar dari dalam.
“Kami tidak menyangka ada orang dalam kereta terbakar itu berikutan asap tebal menyelubungi ruang dalam kenderaan sehingga tidak nampak sesiapa,” katanya.

Katanya, penduduk mula memenuhi kawasan tempat kejadian itu sebelum seorang wanita warga emas muncul tiba-tiba sambil menangis.

“Ketika kebakaran berlaku, seorang wanita datang dan menjerit anaknya ada dalam kereta terbakar itu dan meminta orang ramai mengeluarkannya.
“Beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan anaknya, tetapi api semakin marak menyebabkan tiada sesiapa pun berani mendekati kereta itu sebelum berlaku satu lagi letupan,” katanya.

Andy berkata, dia segera menghubungi balai bomba kerana bimbang kebakaran melarat sehingga ke rumah penduduk berikutan kedudukan tempat kejadian hampir dengan kediaman.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.02 petang.

“Pasukan diketuai Pegawai Bomba, Subakri Basran, tiba enam minit kemudian tetapi api sudah membakar 90 peratus kereta berkenaan.

“Api dapat dipadam sebelum anggota bomba dan penyelamat menemui mayat seorang lelaki berusia 40-an rentung di tempat duduk penumpang,” katanya.

Misteri 5 kereta terbiar

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

KUCHING: Misteri lima kenderaan dibiarkan terlalu lama di tempat letak kereta berhampiran milik syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terjawab apabila polis mendapati kenderaan itu sebanarnya dicuri.
Difahamkan, satu daripada kenderaan berkenaan milik bekas pegawai polis dilaporkan hilang Ahad lalu di Batu 4, Jalan Penrissen, ditemui bersama empat lain, jam 5 petang.

Sumber berkata, sepasukan anggota diketuai Ketua Balai Sekama, Inspektor Ahmad Naim Ayub memeriksa lokasi selepas intipan selain menerima maklumat awam.
“Polis mengambil masa empat hari membuat intipan bagi mengenal pasti pemilik semua kenderaan itu, tapi tiada siapa datang mengambilnya. Semua roda hadapan bengkok bagi menandakan kenderaan itu dicuri manakala kunci didapati rosak dicungkil,” katanya.

Katanya, kenderaan ditemui di lokasi ialah pacuan empat roda, Toyota Unser dan Proton Perdana.

“Kami dapati nombor pendaftaran sama seperti dilaporkan pemilik. Polis turut menghubungi pemilik memaklumkan penemuan kenderaan terbabit.” katanya.
Sementara itu, pemilik Proton Perdana berumur 35 tahun berkata, keretanya dilaporkan hilang jam 8 malam, di Jalan Hui Sing, Khamis lalu.

Remaja dinodai dua abang angkat

KANGAR: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bertindak merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sejak tahun lalu.
Mangsa ketika itu berusia 12 tahun dijadikan adik angkat oleh remaja lelaki terbabit sebelum melakukan hubungan seksual dengan mangsa di rumahnya, di sini.

Difahamkan, mangsa turut menyatakan pernah dirogol di atas motosikal termasuk di rumah abang angkatnya itu di Kampung Bakong, di sini dan berlanjutan sehingga mangsa berada di tingkatan satu sebelum mempunyai seorang lagi abang angkat seusia dengan suspek yang turut merogolnya.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, bagaimanapun kejadian yang menimpa pelajar itu hanya disedari bapanya kelmarin.

Menurutnya, selepas lebih setahun dibelenggu kejadian malang yang menimpa mangsa, bapanya menyedari perubahan terhadap pelajar berkenaan yang hidup dalam kemurungan.

“Bapa mangsa kemudian bertanyakan sesuatu kepada mangsa selepas dia tidak banyak bercakap dan kerap memencilkan diri.
“Selepas ditanya beberapa kali, mangsa kemudian menceritakan kejadian menimpanya termasuk dirogol dua abang angkatnya pada masa berlainan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Nadzri berkata, susulan pengakuan berkenaan, bapa mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Arau, kelmarin.
Katanya, selepas beberapa jam laporan dibuat, pihaknya menahan suspek pertama pada jam 11.45 pagi kelmarin sebelum menahan suspek kedua beberapa jam selepas itu.

“Kedua-dua suspek berusia 16 tahun berkenaan mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa dan kini ditahan bagi tindakan susulan,” katanya.

Siasat sumber pistol diperoleh

IPOH: Polis menyiasat bagaimana suspek lelaki yang menembak anak tirinya sebelum dia membunuh diri, mempunyai pistol model Norincho secara tidak sah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya mengenal pasti bagaimana mendiang S Ravindran, 44, yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memiliki pistol yang tidak berdaftar.

“Senjata api yang ditemui berhampiran mayat Ravindran sudah dihantar ke Jabatan Balistik untuk siasatan lanjut.
“Kematian Ravindran diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan hasil bedah siasat mendapati tembakan menembusi kepalanya selain satu kelongsong peluru ditemui berhampiran mayatnya,” katanya pada sidang media di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

Dzuraidi berkata, siasatan awal mendapati Ravindran dan isterinya sudah berpisah sejak dua bulan lalu dan hubungan mereka lebih dingin selepas Ravindran menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Ravindran dipercayai membunuh diri dengan menembak kepala dan mayatnya ditemui orang awam di kebun sayur berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Rapat di sini, jam 10.30 pagi kelmarin.

Rugi RM190,000 dapat 3 cek tendang



KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat kerugian hampir RM190,000 dipercayai ditipu selepas cek dibayar dua pelanggannya bagi urusan penjualan minyak pelincir adalah cek tendang.
Mangsa yang berusia 40-an dikatakan menerima tiga keping cek dari dua syarikat dipercayai milik pelanggannya itu masing-masing bernilai RM99,840, RM82,900 dan RM6,300.

Menurut sumber, cek itu diterima Jumaat dan Isnin lalu yang diposkan ke alamat pejabat mangsa di Jalan Dutamas sebagai bayaran baki hutang mereka.
Difahamkan, syarikat mangsa sebelum itu membuat urusan perniagaan berkaitan jual beli minyak pelincir dengan dua syarikat swasta terbabit pada Ogos lalu.

Sumber berkata, ketika urusan jual beli itu dibuat, mangsa hanya menerima bayaran tempahan daripada pelanggannya manakala baki pula sudah dijanjikan untuk dibayar melalui cek.

“Mangsa menerima tiga cek berkenaan iaitu dua daripada syarikat pertama manakala satu daripada syarikat kedua yang terbabit dalam urusan perniagaan itu.
“Ketiga-tiga cek berkenaan juga sudah didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat mangsa melalui cawangan bank di Segambut sehari selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun, pihak bank menghubungi mangsa kelmarin dan memberitahu ketiga-tiga cek berkenaan gagal ditunaikan kerana akaun pembayar dikatakan mengalami masalah.
Sumber berkata, ekoran kejadian itu, pengurus syarikat berkenaan menghubungi pelanggannya melalui talian telefon bimbit yang diberikan tetapi gagal.

‘Janji saya tak buat lagi’

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Penjaga gol bola sepak kebangsaan, Mohd Farizal Marlias mengaku salah berkhalwat dengan jurusolek yang ketika itu masih isteri orang, di rumah rakan wanita itu tahun lalu dan didenda RM2,500 Mahkamah Rendah Syariah, di sini.
Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Mohd Tohar mengenakan denda sama terhadap Zaiton Othman, 29, selepas dia turut mengaku salah atas tuduhan itu. Mahkamah juga memerintahkan pasangan itu menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah milik rakan Zaiton di Kelana Jaya di sini, jam 3.40 pagi, pada 12 Oktober 2011.
Mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat dan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, selepas menerima aduan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu ke rumah berkenaan sebelum pintu dibuka tertuduh wanita yang memakai baju-T berwarna merah jambu agak ketat dalam keadaan terbalik dan seluar panjang hitam serta menutup kepalanya. Selepas memeriksa ke dalam rumah, Jais mendapati tertuduh lelaki berada di dalam bilik kedua berselimut di atas katil dengan memakai baju dan seluar pendek, malah pemeriksaan ke dalam rumah itu mendapati tiada penghuni melainkan mereka berdua yang didapati tidak mempunyai hubungan suami isteri atau mahram yang boleh menimbulkan syak.

Terdahulu, dalam rayuannya, Mohd Farizal mengakui kesalahan dilakukan dan sudah insaf serta berjanji tidak mengulangi kesilapannya, malah merancang berkahwin dengan Zaiton.
Farizal memberitahu mahkamah dia masih dalam perancangan merisik Zaiton dan hanya bekerja secara kontrak. “Pekerjaan saya sekarang adalah secara kontrak. Berita ini yang keluar surat khabar menjejaskan reputasi saya dan maruah keluarga. Ada yang cemuh dan pandang serong pada saya dan keluarga.

“Saya juga memohon supaya denda dikurangkan kerana perlu menanggung ibu serta adik yang masih belajar. Selain itu saya perlu bayar pinjaman rumah dan kereta serta bayaran lain,” kata anak kelima.
Zaiton pula dalam nada tenang merayu mahkamah mengurangkan denda terhadapnya kerana dia ibu tunggal dan menyara dua anak dan ibunya di Johor dengan pendapatan tidak menentu.

Farizal dan Zaiton membayar denda itu dan dilihat meninggalkan mahkamah selepas itu.

Jenayah korporat makin meningkat

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mendedahkan jenayah korporat atau jenayah perdagangan di negara ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding jenayah ragut, jalanan, rompakan dan bunuh sehingga dilihat mampu menjatuhkan negara pada masa depan sekiranya tidak dibendung.
Antara kegiatan jenayah disenaraikan adalah penipuan, menggelapkan wang syarikat, pecah amanah dan jenayah siber.

Menurutnya, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mendapati individu yang memegang jawatan tertinggi di dalam sesebuah organisasi seperti bank dan syarikat di negara ini semakin tamak mengaut keuntungan sehingga mengabaikan kepentingan umum.
“Golongan ini mementingkan keuntungan dalam menjalankan perniagaan sehingga sanggup menggunakan cara salah untuk mendapatkannya,” katanya pada sidang media selepas memberikan ucapan dalam seminar pencegahan jenayah korporat di Bandar Sunway, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, berdasarkan perangkaan indeks PDRM, kes jenayah seperti samun, bunuh, rompakan dan jenayah jalanan dapat dikurangkan, namun jumlah jenayah korporat didapati meningkat.

“Faktor ini kerana kecanggihan dan kemodenan teknologi maklumat (IT) yang semakin berkembang pesat dari semasa ke semasa hingga memudahkan individu atau orang tertentu melakukan jenayah korporat dan jenayah perdagangan.
“Namun, PDRM sentiasa bersedia menjalankan penguatkuasaan menerusi semua jabatan terutama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi menangani kegiatan jenayah korporat terutamanya membabitkan penipuan internet dan siber,” katanya memberitahu pihaknya mempunyai pegawai yang berkebolehan dalam bidang berkaitan bagi memastikan siasatan dan tindakan dijalankan dengan sebaik mungkin.

Katanya, PDRM, Bank Negara dan syarikat korporat sentiasa bekerjasama mendapatkan maklumat baru mengenai kegiatan jenayah korporat dan perdagangan melalui seminar serta perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik mengatasi aktiviti berkenaan.
“PDRM juga sedar dengan tindakan kumpulan tertentu yang beroperasi dari luar negara dan menjadikan Malaysia sebagai hab atau negara transit bagi menjalankan aktiviti jenayah penipuan akaun bank terutama melalui aktiviti jenayah siber dan penipuan Internet.

“Ingin saya tegaskan kepada semua pihak supaya tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa sesuatu aktiviti yang dirasakan mencurigakan sekiranya dihubungi mana-mana pihak menerusi emel, telefon atau kiriman pos kerana ia adalah sebahagian daripada jenayah penipuan korporat,” katanya.

Mangsa mati di klinik disah maut dibunuh

SHAH ALAM: Kematian seorang wanita Indonesia yang pada mulanya disiasat sebagai kes mati mengejut (SDR) bertukar kepada kes bunuh apabila hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat pendarahan teruk di kepala dipercayai dipukul, Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 22 tahun dibawa seorang ejen pekerjaan warga tempatan dan kakaknya ke sebuah klinik di Desa Tun Razak, Cheras selepas mangsa mengadu sakit kepala.

Difahamkan, mangsa menumpang di rumah ejen terbabit di Taman Perindustrian Kinrara, Puchong.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan Perundangan), Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Laporan dibuat pihak hospital dan kes disiasat sebagai kematian mengejut. “Bagaimanapun, hasil bedah siasat melaporkan ada kesan hentakan objek di kepala mangsa dan menjadi punca kematiannya.

“Sebaik menerima laporan bedah siasat daripada PPUM, polis memanggil empat wanita berusia 27 hingga 36 tahun iaitu masing-masing seorang ejen sebuah syarikat pembantu rumah, seorang wanita tempatan selain wanita seorang warga Indonesia dan Vietnam yang bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya.
Beliau berkata, mereka ditahan pada jam 6.30 petang hari sama sejurus diambil keterangan berikutan maklumat yang dikemukakan bercanggah dengan laporan hospital.

Rusdi berkata, siasatan mendapati suspek yang juga ejen pembantu rumah membawa mangsa tinggal di rumah kakaknya sementara menunggu mangsa menerima tawaran pekerjaan.
Katanya, mangsa juga dilaporkan pernah bekerja di negara ini sebelum ini, namun menggunakan khidmat ejen berkenaan untuk mendapatkan kerja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wanita berani mati tertiarap

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mohamad Naufal Mohamad Idris
am@hmetro.com.my

PELABUHAN KLANG: “Dia memang seorang yang berani kerana pernah tolong saya ketika diserang seorang lelaki dulu,” kata jiran kepada Lim Peck Lan, 65, yang mayatnya ditemui dengan tangan dan kakinya diikat pita pelekat manakala mulut ditutup menggunakan bahan sama di rumahnya di Jalan Seroja, di sini, petang kelmarin.
Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh itu ditemui adiknya jam 6 petang dalam keadaan tertiarap atas tilam dengan kesan tompokan darah.

Lelaki berusia 40-an yang enggan dikenali itu berkata, dia hanya tahu kejadian itu selepas melihat ramai polis berada di rumah mangsa petang kelmarin.

‘Jangan hanya salahkan saya’

IPOH: “Jangan hanya salahkan saya kerana Amanda turut ‘dirasuk’ apabila menggigit, mencakar dan mencucuk mata saya kerana cemburu pada kenalan wanita dalam facebook,” kata ahli perniagaan, Calven Chik Foo Keong, 26, yang terbabit dalam kes memukul isterinya, Amanda Fong, 19, sebelum kejadian itu menjadi topik hangat di laman sesawang YouTube.
Menurutnya, tindakan menyebarkan rakaman kejadian pergaduhan itu di laman sosial menyebabkan dia menjadi sasaran maki hamun, ugutan serta dilabel lelaki paling kejam di Malaysia sejak dua minggu lalu.

“Tidak cukup dengan kata-kata nista itu, ada individu yang tidak mendapat gambaran jelas berhubung kejadian itu turut menghantar mesej mahu mencederakan saya jika ditemui di lokasi awam.
“Rakaman pergaduhan ditonton lebih 50,000 pengguna Internet itu turut ditonton masyarakat antarabangsa, sekali gus menjejaskan imej saya,” katanya pada sidang akhbar khas diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, pagi semalam.

Pada majlis itu, Chik turut menayangkan semula rakaman penuh kamera litar tertutup (CCTV) di butiknya pada 23 Ogos lalu bagi menepis dakwaan dia mencekik, menumbuk dan mendera isterinya di dalam premis.

“Saya ingin buktikan bahawa pergaduhan itu berpunca daripada perlakuan cemburunya selepas mendapati saya berhubung dengan salah seorang pelanggan wanita melalui facebook.
“Saya tidak mempunyai maksud lain, sebaliknya hanya menjemput pelanggan itu datang ke butik untuk melihat barangan dan pakaian yang baru sampai ke kedai kami,” katanya.

Menurutnya, Amanda tiba-tiba marah dan menyerang dia dulu dengan menarik baju dan cuba menyucuk matanya.
“Saya terpaksa melawan dan menolaknya beberapa kali kerana dia mencakar lengan, muka dan mata saya. Berdasarkan rakaman ini, saya hanya menolak dan menepis tangannya berulang kali.

“Tindakan itu terpaksa dilakukan kerana Amanda menjadi agresif hingga menyebabkan baju yang saya pakai terkoyak ditariknya. Saya terpaksa menolaknya jauh dari kaunter pembayaran kerana bimbang dia akan mencapai gunting atau objek berbahaya lain,” katanya.

Menurutnya, rakaman penuh CCTV itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan lanjut.

“Rakaman itu jelas menunjukkan saya tidak mengurungnya di dalam kedai berikutan pintu premis tidak dikunci, malah dia masih mampu berjalan ke tandas,” katanya.

Umpan RM112,140

Oleh Mahaizura Abd Malik
metrojb@yahoo.com

JOHOR BAHRU: “Saya bukan saja terkejut, malah keliru apabila akaun Maybank yang sepatutnya berbaki RM600 tiba-tiba berubah sekelip mata menjadi RM112,140 dalam tempoh tiga bulan selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan pelaburan emas.
“Lebih menghairankan bagaimana semua maklumat peribadi saya diceroboh dan digunakan sewenang-wenangnya sedangkan saya tidak pernah memberikannya kepada lelaki terbabit,” kata penjawat awam, Nor Al Zaharah Aziz, 35, di sini, semalam.

Menurut Nor Al Zaharah, pada Februari lalu, dia dihubungi seorang individu memperkenalkan diri sebagai Zulkifli menerusi telefon yang menawarkan pelaburan jual beli emas secara dalam talian tanpa modal.

Kembar bercakap selepas 4 tahun ‘bisu’



KIRSTIE (kiri) bercakap dengan loghat Australia, manakala Catherine mengikut loghat Amerika Syarikat.
KIRSTIE (kiri) bercakap dengan loghat Australia, manakala Catherine mengikut loghat Amerika Syarikat.
LONDON: Pasangan kembar seiras yang mengalami penyakit paling jarang ditemui di dunia menerima hadiah amat bermakna sempena hari lahir mereka yang ke-18, semalam.
Kirstie dan Catherine Fields adalah satu-satunya pasangan di dunia mengalami penyakit Fields Condition yang menjejaskan otot mereka.
Disebabkan penyakit itu tidak pernah ditemui sebelum ini, pakar perubatan merujuknya dengan nama pasangan terbabit (Fields).

Penyakit itu menyebabkan mereka tidak boleh bersuara sejak empat tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka yang berasal dari Llanelli, South Wales, boleh bercakap semula selepas diberi mesin elektronik sempena hari lahir mereka.

Keadaan itu juga membolehkan kenalan mereka membezakan di antara Kirstie - yang bercakap dengan loghat Australia - dengan Catherine (loghat Amerika Syarikat).

Menurut Catherine, sebelum ini mereka selalu berborak ketika malam.

“Kirstie lebih becok dan boleh bercerita sepanjang malam,” katanya.

Sejak kehilangan suara, katanya, mereka sukar berkomunikasi.

Justeru, kata Catherine, alat bantuan diterima semalam “membuka lembaran baru” dalam hidup mereka.

Bagi Kirstie pula, dia berharap orang ramai tidak terlalu bersimpati dengan apa yang menimpa mereka.

“Hidup hanya sementara. Justeru, nikmati hidup dengan gembira,” katanya.

Sementara itu, kekangan kesihatan tidak menghalang sifat lucu pasangan kembar terbabit.

Kata Kirstie, dia ada soalan yang ingin ditanyakan kepada ibunya tetapi terpaksa dipendam terlalu lama.

“Saya mahu bertanya - adakah ibu masih berasmara dengan bapa?” katanya.

Fields Condition menyebabkan Kirstie dan Catherine mengalami kekejangan lebih 100 otot yang menyakitkan setiap hari.

Ibu bapa mereka, Lyn, 43, dan Chris, 50, ternyata gembira apabila alat berkenaan diterima hasil pembiayaan kerajaan.

Kata Lyn, dengan adanya alat itu, Kirstie dan Catherine kini boleh bertengkar atau berborak seperti selalu.

“Saya bangga dengan apa yang mereka lalui,” katanya. - DM

Anjing robotik boleh berkata-kata dicipta untuk bantu tentera Amerika


BOLEH membawa beban hampir 200 kilogram sejauh lebih 30 kilometer.
BOLEH membawa beban hampir 200 kilogram sejauh lebih 30 kilometer.
ANJING robotik boleh ditugaskan membantu tentera marin.
ANJING robotik boleh ditugaskan membantu tentera marin.
LONDON: Dua anjing robot yang dihasilkan Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) menampakkan kemajuan luar biasa. Penyelidik kini merancang mengembangkan kebolehan robot itu supaya ia boleh bercakap.
‘Haiwan’ robotik itu dicipta untuk membantu tentera melalui laluan paling mencabar, serta membawa bebanan hampir 200 kilogram sejauh lebih 30 kilometer tanpa perlu diisi minyak.
Dinamakan Sistem Bantuan Skuad Berkaki, jurucakap syarikat pengeluarnya berkata, mereka merancang membina operator radio pada robot berkenaan bagi membolehkan ia menerima arahan.

“Pada masa sama, anjing itu boleh bersuara untuk memaklumkan pengendalinya keadaan semasanya,” katanya. - TS

Lif terhempas: 19 pekerja binaan maut

BEIJING: Sekurang-kurangnya 19 orang maut apabila lif di tapak pembinaan di tengah China terhempas ke tanah dari tingkat 30, kata pihak berkuasa, semalam.
Jurucakap Pengurusan Bandar berkata, kejadian itu berlaku di bandar Wuhan, wilayah Hubei di tapak pembinaan perumahan.

“Lif itu digunakan untuk kerja-kerja pembinaan,” katanya yang enggan namanya disiarkan dan mengesahkan 19 mati dalam kejadian itu.

Agensi berita Xinhua melaporkan, semua mangsa di dalam lif itu terbunuh. - AFP

Facebook kena saman



SAN FRANCISCO: Universiti California, pemegang lesen hak paten, yang sebelum ini menyaman beberapa syarikat besar di Amerika Syarikat, kini mengambil tindakan ke atas tiga syarikat gergasi lagi, Facebook Inc, Wal-Mart Stores Inc dan Walt Disney Co.
Eolas Technologies dan Regents dari Universiti California memfailkan saman semalam, untuk empat hak paten yang dipercayai dilanggar oleh syarikat berkenaan.

Hak paten untuk teknologi interaktif, termasuk paparan hipermedia dan interaksi, dikeluarkan kepada universiti itu dan dilesenkan kepada Eolas, syarikat dari Texas yang dipengerusikan oleh Michael Doyle.

Syarikat itu dibangunkan untuk membantu Universiti California mengkomersialkan teknologi hak paten, kata laman webnya, termasuk paten yang dibangunkan oleh Doyle dan pasukannya ketika bekerja dengan Universiti California, San Francisco.

Jurucakap Universiti California berkata, paten itu dianggap aset awam dan “perlu dibayar dengan nilai setimpal apabila ada orang ketiga yang mengeksploit aset universiti untuk keuntungan.”

Jurucakap Facebook pula berkata, syarikat itu akan berusaha sedaya upaya untuk menentang mereka.

Jurucakap Wal-Mart berkata, syarikat peruncit terbesar dunia itu menghormati hak intelek orang lain.

Katanya, “Kami mengambil serius dakwaan yang dibuat dan akan menyiasat perkara ini.”

Disney tidak memberi komen apabila diminta berbuat demikian.

Jurucakap dan beberapa peguam Eolas juga tidak memberi sebarang komen apabila diminta.

Dua paten yang disebut dalam saman itu diisytihar tidak sah Februari lalu oleh juri di Texas dalam fail saman berbeza. Saman itu dibuat terhadap Amazon Inc, Google Inc, Yahoo Inc dan lain-lain lagi. - Reuters

2 comments:

  1. Percayakah Anda dengan membuka aura seseorang bisa membuang sial dan meraih kesuksesan serta kekayaan. .

    kami punya jawabanya silahkan klik disini Cara membuka aura keberuntungan, Cara membuka aura Kecerdasan,Cara membuka aura kecantikan

    jika Anda ingin membuka Aura kami juga melayaninya GRATIS hanya di bulan ini.

    silahkan klik disini Layanan Buka Aura Gratis

    ReplyDelete
  2. Saya Widya Okta, saya ingin memberi keterangan kerja yang baik dari Allah dalam hidup saya kepada bangsaku yang sedang mencari untuk pinjaman di Asia dan bahagian lain perkataan, kerana ekonomi yang buruk di beberapa negara. Adakah mereka sesiapa yang mencari pinjaman di antara kamu? Kemudian, anda perlu berhati-hati kerana banyak syarikat pinjaman penipuan di sini di internet, tetapi mereka masih tulen sekali dalam syarikat pinjaman palsu. Saya telah menjadi mangsa yang 6 kredit peminjam penipuan, saya hilang begitu banyak wang kerana saya mendapatkan pinjaman daripada syarikat mereka. Saya hampir mati dalam proses kerana saya ditahan oleh rakyat hutang saya sendiri, sebelum i adalah pembebasan dari penjara dan seorang kawan saya yang saya menerangkan keadaan saya kemudian memperkenalkan saya kepada sebuah syarikat pinjaman reliabl yang SANDRAOVIALOANFIRM. Saya mendapat pinjaman saya Rp900,000,000 dari SANDRAOVIALOANFIRM sangat mudah dalam tempoh 24 jam yang i digunakan, Jadi saya membuat keputusan untuk berkongsi kerja yang baik dari Allah melalui SANDRAOVIALOANFIRM dalam kehidupan keluarga saya. Saya meminta nasihat anda jika anda memerlukan pinjaman anda lebih baik hubungan SANDRAOVIALOANFIRM. menghubungi mereka melalui e-mel:. (Sandraovialoanfirm@gmail.com)
    Anda juga boleh menghubungi saya melalui e-mel saya di (widyaokta750@gmail.com) jika anda mendapati sukar atau mahu prosedur untuk mendapatkan pinjaman.

    ReplyDelete