Saturday, September 8, 2012

TAK FAHAMLAH...NI BIDANG SAPE...JANGAN RAKYAT SELANGOR TAK SERONOK...MACAM ADA YANG TAK KENA...TAK PE PRU13 DAH DEKAT...PANDAILAH RAKYAT SELANGOR MEMILIH....

Sultan batal projek Laguna Mersing



MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar semalam menitahkan bahawa projek pusat peranginan mega Laguna Mersing yang bernilai RM22 bilion telah terbatal dengan sendirinya berikutan kegagalan pihak pemaju memenuhi syarat asas perjanjian.
Dalam titahnya, baginda menegaskan, projek terbabit terbatal selepas pihak pemaju induk, Radiant Starfish Development Bhd. gagal meningkatkan modal berbayar sebanyak RM200 juta dalam masa enam bulan.
Syarat itu terkandung dalam perjanjian antara syarikat terbabit dengan Kerajaan Negeri Johor pada 25 Februari lalu.
"Namun sehingga hari ini, setelah tamat tempoh enam bulan, pihak pemaju masih gagal untuk memenuhi syarat asas tersebut. Ekoran kegagalan tersebut, maka projek ini dengan sendirinya adalah terbatal," titah baginda pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar Mersing di sini semalam.
Majlis pecah tanah projek Laguna Mersing itu yang berlangsung pada 14 April lalu dirasmikan sendiri oleh baginda.
Serentak dengan itu juga, Sultan Johor menasihatkan kerajaan agar sentiasa berhati-hati apabila menerima cadangan pembangunan dan menilainya dengan teliti agar pemaju yang benar-benar komited dan berkemampuan sahaja diberi kelulusan melaksanakan projek.
"Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang seperti ini di negeri Johor," titahnya.
Laguna Mersing yang dijadual siap pada tahun 2019 meliputi kawasan seluas 809 hektar yang dipecahkan kepada 22 lot dan dijual kepada pemaju dari luar negara untuk dibangunkan dengan hotel atau taman tema.

Kelengkapan Gerak Khas tidak bermutu

MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.
Baginda turut meluahkan rasa kecewa kerana permintaan untuk mempertingkat kelengkapan kor itu tidak diendahkan seolah-olah Kor Gerak Khas dianaktirikan.
"Beta amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana ia modal insan yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan yang tidak bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk mereka terbunuh adalah amat tinggi.
"Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan, maka beta rasa lebih baik beta sahaja yang mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah baginda.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin.

Jenazah 2 pelajar maut di Rusia selamat dikebumi


DIMYATI MOHAMAD menyiram air mawar di pusara anaknya, Adzreen sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Jenazah pelajar Malaysia, Adzreen Dimyati, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Rusia pada Isnin lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini semalam.
Jenazah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam kelmarin menerusi pesawat Emirates Airlines dari Dubai.
Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Iman Presint 9 untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira pukul 1.40 pagi semalam.
Ibu saudara mangsa, Datuk Rabeahtul A. Abbas yang mewakili keluarga mangsa menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat mengendalikan urusan membawa pulang jenazah.
"Maaf, ibu bapa arwah belum bersedia untuk bertemu media kerana mereka masih terkejut dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3 pagi Isnin lalu (11 malam Ahad waktu Rusia), Adzreen bersama enam lagi pelajar Malaysia dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Moscow ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod.
Malangnya, bas yang mereka naiki terbabit dengan kemalangan di wilayah Vladimirskaya, 120 kilometer dari wilayah Nizhny ekoran kegagalan pemandu mengawal kenderaan kerana dipercayai terlelap.
Adzreen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mangsa, Hanisah Muhd. Shah, 22, yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat maut di tempat kejadian.

Bajet 2013: Peruntukan hampir semua kementerian naik

IPOH - Secara keseluruhannya, peruntukan kepada hampir semua kementerian akan dinaikkan menerusi Bajet 2013 yang dijadual dibentangkan di Parlimen 28 September ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata, Kabinet telah meluluskan draf Bajet 2013 yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuaratnya Rabu lepas dan pihaknya telah meneliti satu persatu perbelanjaan kesemua kementerian.
"Kita telah meminta bantuan Bank Dunia dan di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kita telah meneliti perbelanjaan (kementerian) satu persatu. Jadi, asasnya, kesemua kementerian akan mendapat peruntukan dan hanya satu atau dua akan berkurangan berikutan inisiatif rasionalisasi," katanya ketika menghadiri jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pasar raya borong Mydin di Gugusan Manjoi di sini semalam.
Berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan sejak tahun lepas antaranya mengenai cukai, cukai pendapatan dan cukai korporat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan perkara itu, katanya.
"Kita tidak berhasrat untuk meningkatkan kadar cukai," katanya.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan kepada kementerian akan dibantu oleh peningkatan jumlah hasil kerajaan.
"Seperti yang saya kata, di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kami telah melakukan kajian indeks perolehan khususnya mengenai cukai pendapatan di mana kita mengkaji kelemahan. Kita percaya ia akan terus menyumbang kepada pendapatan tinggi bagi negara," katanya.

Tender Empangan Langat 2 dikeluarkan tidak lama lagi

PAGOH - Tender pembinaan Empangan Langat 2 akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tetap meneruskan pelaksanaan projek itu walaupun tidak mendapat kelulusan perintah pembangunan daripada kerajaan Selangor demi kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Air Selangor yang dipengerusikan oleh beliau.
"Dia lulus atau tak lulus, demi kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita tidak boleh melengah-lengah.
"Dia sudah ada jadual tertentu yang mesti kita tunaikan dan kalau itu tertangguh hanya disebabkan oleh abainya kerajaan Selangor, maka esok rakyat akan persoalkan," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini semalam.

Penyelia lombong bijih besi mati ditikam rakan

RANTAU PANJANG - Seorang penyelia kualiti bijih besi maut selepas dipercayai ditikam seorang pekerja di hadapan sebuah kantin berhampiran tapak lombong Kampung Rahmat, Lubok Stol di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, Mohd. Yusoff Zakaria, 41, disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang akibat cedera parah di dada kiri.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim memberitahu, kejadian berlaku selepas mereka dikatakan bertengkar sebelum suspek yang berusia 37 tahun bertindak menikam mangsa dengan sebilah pisau sepanjang 15 sentimeter.
Menurutnya, tikaman pertama terkena tangan kiri mangsa yang cuba mempertahankan diri tetapi tikaman kedua terkena dada kiri menyebabkan mangsa rebah.

Ibu kandung tidak maafkan Ayah Mi

TAIPING - Ibu kandung kanak-kanak perempuan yang maut akibat didera di Taman Seri Telok Emas, Telok Mas, Melaka Ahad lalu mahu individu yang menyebabkan kematian anaknya dikenakan hukuman setimpal.
Noor Azwana Mat Paduzi, 31, berkata, meskipun tidak menjaga Noor Sofia Syaqira Abdullah, 6, sejak anak keempatnya itu berusia dua bulan, dia mengakui tidak boleh menerima perbuatan kejam terhadap kanak-kanak tersebut.
"Walaupun tidak dapat mencurahkan kasih sayang seperti anak-anak saya yang lain, Noor Sofia Syaqira adalah darah daging saya.
"Kini tiada lagi panggilan 'ibu' daripadanya kepada saya dan hanya mereka yang mempunyai anak tahu bagaimana perit menerima khabar sedih ini. Saya harap suspek mendapat balasan setimpal," katanya kepada wartawan Kosmo! di Kampung Pasir, Kamunting di sini semalam.
Noor Azwana memberitahu, kali terakhir dia bertemu anak perempuannya itu pada Disember lalu.
Jelasnya, dia tidak mengenali kekasih kakak sulungnya iaitu Amiezul Al-Ikram Mohamed atau dikenali sebagai 'Ayah Mi' yang merupakan suspek utama kes kematian anaknya.

Korban gempa bumi cecah 89 orang

SEORANG wanita membawa anak-anaknya berpindah dari runtuhan sebuah bangunan di bandar Luozehe di daerah Yiliang semalam.


SHANGHAI - Pasukan penyelamat di barat daya China cuba untuk sampai dan membantu penduduk di pedalaman semalam selepas sekurang-kurangnya 89 orang terkorban manakala ribuan bangunan turut rosak dalam bencana gempa bumi berkembar, lapor media negara berkenaan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, dua gempa bumi cetek berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan kawasan pergunungan di China kelmarin dengan angka kematian dijangka terus meningkat ekoran ketibaan laporan dari beberapa kawasan yang terputus hubungan.
Bencana itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan mencetuskan tanah runtuh yang menghalang laluan jalan-jalan raya sekali gus menggugat usaha menyelamat.
Selain situasi tersebut, anggota-anggota penyelamat dijangka berdepan hujan lebat yang diramalkan turun selama tiga hari bermula hari ini.
Stesen televisyen China menyiarkan imej dinding-dinding bangunan runtuh manakala jalan-jalan raya dipenuhi timbunan batu dan runtuhan.
Lebih 200,000 orang di wilayah Yunnan dipindahkan selepas gempa bumi berkembar itu meruntuhkan lebih 6,600 buah rumah dan merosakkan ribuan lagi bangunan.
Menurut beberapa pegawai, hingga 740,000 penduduk di enam daerah di wilayah berkenaan paling teruk terjejas dalam bencana kali ini.
Di wilayah Guizhou yang berjiran dengan Yunnan pula, lebih 11,700 buah rumah rosak dengan kehidupan hampir 28,000 orang terjejas.

ORANG ramai berlindung di sebuah dataran selepas dua gempa bumi melanda daerah Yiliang di wilayah Yunnan kelmarin.


Xinhua melaporkan lebih 800 orang cedera akibat dua gempa bumi tersebut.
Kebanyakan mangsa yang cedera berasal dari daerah Yiliang dalam wilayah Yunnan, berhampiran pusat gempa.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Wen Jiabao mengadakan satu mesyuarat tergempar di dalam pesawatnya semasa beliau menuju ke zon bencana lewat kelmarin.
Xinhua melaporkan, Jiabao tiba di Yilian sejurus selepas tengah malam dan meluangkan masa melawat mangsa-mangsa terselamat di beberapa buah kampung serta hospital di daerah berkenaan.
Pasukan penyelamat di Yunnan menyatakan, mereka telah tiba di kebanyakan kawasan paling teruk terjejas di wilayah berkenaan dengan Jabatan Hal Ehwal Awam memberitahu, kerugian ekonomi akibat bencana kali ini dianggarkan sekitar 3.5 bilion yuan (RM1.71 bilion).
Gempa pertama berlaku pada pukul 11.19 pagi kelmarin (waktu tempatan) disusuli gegaran kedua sekitar 45 minit kemudian pada kedalaman 10 kilometer (km) di bawah tanah.
Gempa bumi berpusat kurang 70km dari permukaan bumi dianggap cetek dan boleh mendatangkan kemusnahan besar walaupun pada magnitud rendah.
Pada 2008, sekitar 87,600 orang terbunuh di wilayah Sichuan, barat daya China apabila gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda. - Reuters

PM Australia tinggalkan APEC selepas bapa meninggal dunia


JULIA GILLARD


SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menyatakan beliau akan meninggalkan forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Rusia lebih awal kerana bapanya meninggal dunia di tanah airnya.
Dalam satu kenyataan semalam, Perdana Menteri berkenaan berkata, John Gillard menghembuskan nafas terakhir pagi semalam di bandar raya Adelaide.
Justeru kata Gillard, beliau akan pulang secepat mungkin untuk "berkabung bersama keluarga saya."
Lelaki berkenaan berusia 93 tahun.
"Beliau jatuh sakit sejak beberapa tahun lalu tetapi kematiannya mengejutkan saya dan keluarga," katanya.
Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan Gillard tiba di bandar raya Vladivostok, timur Rusia kelmarin untuk menyertai rundingan peringkat tinggi tetapi gagal menghadiri sesi pembukaan APEC.
Menurut pemimpin berkenaan, Menteri Perdagangan, Craig

Lelaki terkaya Perancis pohon kewarganegaraan Belgium


BERNARD ARNAULT


BRUSSELS - Lelaki terkaya Perancis dan keempat terkaya di dunia, Bernard Arnault telah memfailkan permohonan untuk menjadi warganegara Belgium, menurut beberapa laporan semalam.
Permohonan tersebut difailkan selepas Paris merancang untuk mengenakan cukai kekayaan sebanyak 75 peratus di negara berkenaan.
Akhbar Belgium, La Libre Belgique memetik seorang pegawai sebagai menyatakan, bilionair berusia 63 tahun itu yang mengetuai empayar barangan mewah LVMH telah mengemukakan permohonannya pada minggu lalu.
"Permohonan beliau akan dilayan sama seperti permohonan-permohonan lain," kata ketua Suruhanjaya Naturalisasi, Georges Dallemagne.
"Kami kini menerima 47,000 permohonan untuk diproses."
Arnault tinggal di Paris tetapi memiliki kediaman di ibu negara Belgium, Brussels.
Menurut majalah Forbes, lelaki berkenaan yang memiliki anggaran kekayaan bernilai AS$41 bilion (RM127.5 bilion) merupakan sekutu rapat bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. - AFP

No comments:

Post a Comment