Friday, August 17, 2012

KITA SUSAH PAYAH PELIAHARA....ORANG SENANG2 SEMBELIH...MAKA HUDUD YANG SESUAI UNTUK PEMBUNUH INI


Pergerakan balik raya lancar


PERGERAKAN trafik lancar menghala ke utara (kanan) yang dirakam dari jejantas Hentian Rehat Sungai Buloh pada pukul 6.45 petang semalam.


KUALA LUMPUR - Bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut esok kian terasa apabila semakin ramai warga ibu kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak pagi semalam.
Bagaimanapun, tindakan pihak pengendali lebuh raya memperkenalkan cadangan waktu perjalanan telah berjaya mengatur pergerakan masuk trafik secara berperingkat-peringkat dan berjaya mengelak kesesakan di laluan utama khususnya Lebuhraya Utara-Selatan.
Maklumat Twitter Plustrafik setakat pukul 9.40 malam tadi tidak melaporkan sebarang kesesakan luar biasa melainkan aliran kenderaan yang meningkat dari Sungkai hingga ke Tapah.
Laporan LLMinfotrafik pula mendapati aliran trafik meningkat dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah untuk perjalanan ke Pantai Timur tetapi pergerakan kenderaan masih lancar.
Keadaan yang sama juga dapat dapat dilihat di hentian-hentian bas utama khususnya Hentian Pudu Raya, Hentian Putra dan Hentian Jalan Duta semalam.
Tinjauan Kosmo! mendapati walaupun jumlah penumpang lebih ramai daripada biasa, ia tidak menyebabkan kesesakan di luar jangkaan.
Guru tadika, Munirah Hashim, 23, terpaksa meminta pelepasan kerja separuh hari daripada majikannya untuk pulang ke Kamunting, Perak pada sebelah petang.
"Saya terpaksa berbuat demikian kerana tiket pada waktu malam sudah habis dijual di Hentian Pudu Raya walaupun saya telah cuba membelinya sejak awal Ramadan lagi," katanya.
Bagi Saizzah Salim, 26, pula, dia lebih selesa menggunakan pengangkutan awam untuk pulang berhari raya di Kuala Terengganu walaupun mempunyai kenderaan sendiri.
Katanya, dengan menaiki pengangkutan awam, dia tidak perlu risau untuk menempuhi kesesakan jalan raya.
"Walaupun terpaksa bersesak untuk membeli tiket bas, ia lebih berbaloi dan menjimatkan. Saya hanya naik dan tunggu untuk tiba sahaja ke destinasi," jelasnya.
Di Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh, pasangan warga emas, Abdul Wahab Saksi, 63, dan Rokiah Hassan, 63, dari Kampung Gajah mahu beraya di rumah anak mereka, Abdul Fathil Sham, 30, yang tidak mendapat cuti di Setapak, Kuala Lumpur.
"Tiga lagi anak kami juga menetap di Kuala Lumpur, tak sedap rasanya menyambut Aidilfitri tanpa semua anak dan cucu.
"Baik kami beralah dengan pergi ke rumah anak agar raya lebih meriah," katanya.
Di Terminal 1, Seremban, pelatih Kolej Hospital Pakar Nilai (KPJ), Nurul Hazmah Naman, 20, sudah tidak sabar untuk balik raya di Johor.
"Saya pun sudah lama tidak pulang ke kampung halaman sejak belajar di Nilai, pastinya esok (hari ini) saya dapat membantu keluarga membuat persiapan terakhir dan bertemu adik-beradik," katanya.
Di Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam, pelajar Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Nurul Hidayah Ismail, 18, berkata, inilah tahun pertama dia balik raya sebagai perantau.
"Semoga perjalanan pulang ke kampung di Pendang, Kedah berjalan lancar, terasa rindu sangat kepada ahli keluarga," katanya.
Di Melaka, warga Indonesia yang beragama Islam membanjiri Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Melaka, Banda Hilir semalam untuk menaiki feri pulang beraya.
Peniaga di Kajang, Yus Kudin, 42, memberitahu, suasana menyambut hari raya di kampung halaman sendiri di Paya Kumboh, Sumatera Barat jauh berbeza berbanding menyambutnya di negara ini.
"Suasana hari raya dirasakan lebih meriah dan seronok jika menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan saudara-mara," katanya.
Rakan senegara, Sri Purwanti, 33, sudah tidak sabar untuk kembali ke Dumai, Indonesia selepas lima tahun beraya di Malaysia.
"Setiap kali hari raya, saya sedih kerana terpaksa menyambutnya di tempat orang. Tahun ini saya gunakan cuti yang diberi majikan untuk pulang beraya bersama keluarga," katanya.
Di Kuching, perkhidmatan bot ekspres menjadi pilihan orang ramai pulang berhari raya di kampung halaman kerana menjimatkan masa dan tambang.
Mekanik, Halippuma Mudah, 25, berkata, perjalanan bot ke kampungnya di Sibu hanya mengambil masa lima jam berbanding lapan jam jika menaiki bas ekspres.
"Sepanjang enam tahun lepas, saya dan isteri memilih bot ekspres untuk balik berhari raya sebab ia lebih cepat, murah, selesa dan selamat," katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Bot Ekspres Kuching semalam.
Mohd. Sabri Serah, 31, pula memilih bot ekspres kerana perjalanan melalui jalan raya lebih terdedah kepada kemalangan.
"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering hujan, naik bot lebih selamat daripada guna Lebuhraya Pan Borneo," katanya.

Kontraktor bertanggung jawab

Cukup menjengkelkan melihat sampai tidak dikutip di tempat letak kenderaan Kementerian Kewangan, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Rata-rata warga Putrajaya dan orang ramai yang berurusan di pusat pentabiran kerajaan Pusat di sini melahirkan rasa kurang puas hati dengan kualiti penyelenggaraan bandar baharu kebanggaan negara itu.
Perasaan tidak puas hati mereka itu turut dikongsi dengan wartawan Kosmo! yang melakukan tinjauan selama sejam di kawasan Putrajaya berkenaan semalam.
Tinjauan rambang itu mendapati banyak sampah tidak dikutip oleh kontraktor, rumput tidak dipotong, lantai pejalan kaki berlumut dan pokok tidak dipangkas oleh kontraktor yang dilantik.
Suasana menjengkelkan itu terdapat di tempat letak kenderaan bersebelahan Kementerian Kewangan di Presint 2, kawasan taman bunga di pintu masuk Kediaman Rasmi Perdana Menteri di Presint 10 serta kawasan berhampiran tapak bazar Ramadan.
Keadaan tidak menyenangkan itu mengesahkan teguran Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat bahawa kontraktor yang dilantik untuk menyelenggara, menjaga kebersihan serta kecantikan Putrajaya tidak menjalankan tugas dengan baik.
Seorang peniaga makanan di Putrajaya, Apendi Hussin, 46, yang turut menyokong kenyataan Aseh itu berkata, pertukaran kontraktor yang kerap berlaku mungkin menjadi punca masalah tersebut berlaku.
"Kalau sudah selalu sangat tukar kontraktor, memang kita tidak boleh harapkan sangat kontraktor baru akan lebih baik daripada yang lama," ujarnya.
Kelmarin Aseh dalam pertemuannya dengan para kontraktor penyelenggaraan di Putrajaya telah menegur mereka kerana tidak menjalankan kerja dengan baik meskipun Perbadanan Putrajaya membelanjakan sebanyak RM179 juta setahun untuk tujuan itu.
Seorang peniaga minuman, Irwan Ahmad, 30, turut mengakui keadaan landskap di Putrajaya memang kurang memuaskan.
"Putrajaya ini akan kelihatan lebih cantik jika keadaan pokok, rumput, pejalan kaki dan sebagainya dijaga dengan rapi, kalau rumput panjang sedikit, memang kena potong agar ia kelihatan kemas," ujarnya
Sementara itu, Amalina Ahmad, 28, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) berkata, keindahan Putrajaya perlu dikekalkan agar identitinya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tidak tercemar.
"Sebenarnya Putrajaya ini sebuah kawasan bandar baharu yang perlu dikekalkan keindahannya. Jadi kontraktor yang bertanggungjawab menyelenggara kawasan ini perlu menjalankan tugas dengan baik," katanya.
Seorang kakitangan di Kementerian Kewangan, Indera Krishnasamy, 30, berkata, semua pihak termasuk penduduk harus bertanggungjawab terhadap keindahan Putrajaya.
"Bagi saya Putrajaya ini cukup indah berbanding Kuala Lumpur. Bukan sahaja kontraktor perlu bertanggungjawab, malah penduduknya juga perlu memainkan peranan," ujarnya.
Seorang kakitangan di Kementerian Pertanian, Norafizah Mamat, 30, berkata, dia juga kurang berpuas hati dengan kerja-kerja penyelenggaraan di Putrajaya.
"Kadang-kadang ada juga pemandangan di sesetengah tempat yang menyakitkan mata misalnya pejalan kaki berlumut, rumput tidak dipotong dan sampah tidak dikutip," katanya.

Berebut beli daging murah


ORANG ramai membeli daging lembu tempatan yang dijual pada harga RM18 sekilogram
di gerai program Mantai Perdana di tapak bekas Kem Paroi, Seremban malam kelmarin.


SEREMBAN – Program tahunan Mantai Perdana di tapak bekas Kem Paroi, di sini sekali lagi mendapat sambutan hangat apabila ia dibanjiri orang ramai yang mahukan bekalan keperluan hari raya seperti daging, ayam serta bahan masakan pada harga murah.
Tumpuan tentunya di gerai daging yang menawarkan harga RM18 sekilogram berbanding harga siling RM22 di bawah Skim Kawalan Harga Hari Raya Aidilfitri 2012.
Turut dijual murah ialah ayam bersih pada harga RM5.90 sekilogram.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan sehingga bekalan peniaga habis pada malam pelancaran sedangkan program jualan dijadual berakhir semalam.
“Untuk tahun ini kita sediakan bekalan 200 ekor lembu, kerbau, kambing dan rusa masing-masing 50 ekor, ayam daging sebanyak 3,000 ekor dan itik salai pula 1,000 ekor,” katanya pada sidang akhbar Program Mantai Perdana Aidilfitri 2012 di sini malam kelmarin.
Katanya, program dua hari yang dijalankan sejak lima tahun lalu itu kini sudah menjadi acara tahunan yang semakin mendapat sambutan di negeri ini.
“Malah program ini sudah menjadi trademark bagi kita sebab itu kita sudah buat dua hari berbanding pada tahun pertama hanya buat satu hari. Ketika itu ramai orang yang tidak berpeluang mendapatkan daging kerana sudah habis.
“Maka kita buat dua hari, malam ini (malam kelmarin) dan hari ini (semalam), itupun bergantung kepada bekalan peniaga kerana jika sudah habis, mereka akan tutup gerai lebih awal,” ujarnya.

Gadis maut dikelar depan pintu


Anggota polis mengusung mayat Yasuhaidah (gambar kecil) yang ditemui mati di depan pintu di dalam rumah sewanya semalam.


PETALING JAYA – Seorang gadis sempat membuat biskut raya untuk dikirim kepada ibu bapanya di Beruas, Perak sebelum ditemui mati dengan lehernya dikelar di depan pintu sebuah rumah flat di Flora Damansara di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, mangsa, Yasuhaidah Yeop, 22, yang merupakan kakitangan pusat perkembangan minda kanak-kanak di Mutiara Damansara meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai 14 kesan kelaran di leher dan kepala, kesan luka di kedua-dua belah tapak tangan, empat kesan tikaman di kedua-dua belah rusuk, satu tikaman di belakang leher dan satu kesan luka di perut.
Mangsa menyewa di rumah yang terletak di tingkat enam flat berkenaan bersama seorang kakaknya namun semasa kejadian mangsa berada seorang diri di rumah tersebut.
Kakak mangsa, Yanoaini Yeop, 35, berkata, dia mengetahui kejadian malang yang menimpa Yasuhaidah yang mesra dipanggil Ucuk apabila seorang lagi adik perempuannya yang tinggal bersama mangsa menghubungi suaminya, Syahar Mohd. Ali, 38, pada pukul 4 pagi.
“Masa menelefon, dia (adik) minta suami saya bertenang sebelum beritahu Ucuk sudah tiada (meninggal dunia) kena tikam,” kata wanita itu ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Yanoaini, mangsa menyewa di flat itu bersama kakaknya, Yazniyana Yeop sejak enam bulan lalu namun semasa kejadian gadis itu tinggal seorang diri kerana kakaknya keluar bersama teman lelakinya untuk membeli barangan keperluan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
Yanoaoni memberitahu, anak bongsu daripada lapan beradik itu tidak mengikut kakaknya membeli-belah di Jalan TAR pada malam tersebut kerana mahu berehat untuk bekerja syif pagi semalam.
“Sebelum keluar rumah, Yazniyana ada pesan dengan Ucuk yang dia akan pulang lambat dan mahu bersahur bersama-sama,” katanya sambil memberitahu Yazniyana bekerja di sebuah restoran makanan segera.
Sebelum itu, pada petang kelmarin, dua beradik itu yang menunggang motosikal berkunjung ke rumahnya di Taman Medan di sini menghantar biskut raya yang dibuat sendiri oleh mereka untuk dikirim kepada keluarga di Beruas.
“Petang itu (kelmarin), Ucuk bawa dua anak saya berjalan-jalan di kawasan rumah sebelum mereka berdua balik ke Damansara selepas berbuka puasa,” kata Yanoaoni.
“Ini kali pertama Ucuk membuat sendiri biskut raya untuk keluarga,” katanya.
Yanoaini memberitahu, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, gadis itu merancang beraya di ibu negara kerana hanya bercuti satu hari pada hari raya tersebut.
“Ucuk beritahu dia akan pulang beraya ke kampung pada hari raya kelima,” katanya.
Mangsa sebelum ini tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya di kampung dan pernah beberapa kali menukar pekerjaan sejak datang ke ibu negara sebelum pulang ke kampung dan datang semula ke ibu negara.
Dalam pada itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui Kosmo! berkata, ketika kejadian dia sekeluarga yang bangun untuk bersahur terdengar suara orang seolah-olah mengerang kesakitan meminta tolong lebih sepuluh kali.
Selain itu, jiran itu juga mendakwa dia terdengar bunyi seperti orang menendang pintu jeriji beberapa kali.
“Suara meminta tolong itu tidak jelas kerana mangsa mungkin sedang kesakitan jadi saya minta abang keluar untuk periksa apa yang berlaku,” katanya yang tinggal di tingkat lima flat yang sama.
Menurut saksi itu lagi, dia yang turut naik ke tingkat atas terkejut apabila melihat seorang wanita berpakaian lengkap dalam keadaan terbaring berlumuran darah di depan pintu jeriji yang berkunci tetapi pintu kayu terbuka sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, dia tidak mengenali mangsa kerana mereka tinggal di tingkat berasingan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Difahamkan, polis yang menyiasat lokasi kejadian menemui segumpal rambut milik mangsa dipercayai direntap oleh suspek. Polis menemui menemui dua bilah pisau yang dipercayai turut mempunyai kesan darah.
“Tiada kesan umpil dan pecah masuk pada pintu rumah itu,” kata beliau.

ATM gagal dipecah, dua lelaki ditahan


Di bangunan Pusanika, UKM di Bangi inilah lokasi sebuah mesin ATM cuba dirompak oleh lima penjenayah pada Rabu lalu.


SHAH ALAM - Lima penjenayah berputih mata apabila cubaan mereka untuk merompak sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi pada Rabu lalu gagal selepas perbuatan tersebut disedari pengawal keselamatan pusat pengajian itu.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, dua daripada perompak terbabit ditahan tanpa mereka mendapat sebarang hasil rompakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, cubaan merompak itu disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan. Dia terserempak dengan dua lelaki mencurigakan berada di hadapan sebuah bank di universiti itu.
Menurut beliau, pengawal keselamatan itu menghampiri kedua-dua lelaki terbabit yang mendakwa mereka menerima laporan mengenai kerosakan mesin ATM tersebut dan ditugaskan untuk membaikinya.
"Bagaimanapun, pengawal keselamatan terbabit tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut lalu terus bertanyakan soalan lain sehingga kedua-dua suspek gagal menjawab sebelum mereka melarikan diri," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Mohd. Adnan memberitahu, pengawal keselamatan itu kemudian mendapati pintu jeriji tempat menempatkan mesin ATM dipecah selain berbau hangit.
Katanya, belum sempat pengawal keselamatan itu masuk ke dalam bilik mesin ATM untuk memeriksa apa yang berlaku, kedua-dua suspek yang sebelum ini melarikan diri datang semula ke lokasi kejadian.
Pengawal keselamatan itu terus menahan salah seorang suspek itu manakala seorang lagi melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
"Sejurus selepas itu, tiga perompak lagi tiba-tiba keluar dari bilik tempat mesin ATM ditempatkan dan mereka juga berjaya melarikan diri menggunakan dua buah motosikal yang diletakkan di depan bank tersebut," kata beliau.
Menurut beliau, pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan polis dan hasil siasatan berjaya menahan seorang lagi lelaki di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, Kajang pada hari sama.
Bersama dua orang yang ditahan, polis menemui peralatan yang digunakan dalam cubaan merompak seperti kuku kambing, sarung tangan dan kunci mangga.
"Siasatan awal pihak kami mendapati kumpulan samun ini dipercayai terlibat dalam beberapa kes sama di Kajang," katanya.
Kedua-dua suspek berumur 23 dan 26 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

RM107,000 dilarikan tukang tilik


HOCK SING menunjukkan rakaman kamera litar tertutup yang merakamkan penipuan sekumpulan warga China yang menyamar sebagai tukang tilik di Melaka semalam.


MELAKA - Angkara percaya ramalan tukang tilik bahawa anak bakal ditimpa kemalangan, seorang suri rumah kerugian barang kemas berjumlah RM102,000 dan wang tunai RM5,000 dalam kejadian di Medan Selera Malim di sini pada Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 50-an pada mulanya didatangi seorang wanita memberitahu dia sedang mencari bomoh atau tukang tilik dan bertanya sama ada mangsa mengenali individu sebegitu.
Menurut beliau, ketika mangsa sedang berbual dengan suspek pertama itu, seorang lagi rakan suspek datang lalu memberitahu mengenali seorang tukang tilik berkenaan dan membawa mangsa serta suspek pertama berjumpa dengan tukang tilik tersebut yang sebenarnya rakan subahat mereka.
"Ketika berjumpa tukang tilik yang merupakan wanita warga China itu, mangsa diberitahu akan ditimpa malang kerana anaknya akan mengalami kemalangan jalan raya.
"Tukang tilik itu kemudian memberitahu terdapat cara membuang nasib malang tersebut iaitu dengan menyerahkan barang kemas miliknya untuk disembahyangkan," kata Hock Sing pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini semalam.
Hock Sing berkata, mangsa yang percaya dengan kata-kata tukang tilik itu pulang ke rumah dan kemudian menyerahkan barang kemasnya bernilai RM102,000 yang telah dibalut dengan kain serta wang tunai RM5,000 kepada suspek.
"Tukang tilik itu kemudian melakukan upacara sembahyang pada barang kemas itu dan menyerahkan semula dengan berpesan supaya mangsa tidak membuka bungkusan itu selama sebulan selain tidak memberitahu kepada sesiapa pun mengenai tilikan berkenaan.
"Tanpa disedari mangsa, kesemua barang kemas di dalam bungkusan itu sebenarnya telah ditukar sebelum diserahkan semula," katanya.
Menurutnya, mangsa yang pulang ke rumah selepas itu berasa curiga dengan perkara tersebut lalu membuka bungkusan berkenaan dan terkejut mendapati barang kemasnya telah hilang sebaliknya diganti dengan jagung dan dua botol air mineral. Dia kemudian membuat laporan polis.
"Ketiga-tiga suspek berusia 40 hingga 50 tahun dan dipercayai berasal dari negara China. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Dalam pada itu, Hock Sing berkata, sepanjang tahun ini, terdapat lapan kes seumpama itu dilaporkan melibatkan kerugian RM607,470.
"Kawasan operasi tukang tilik atau bomoh penipu itu ialah di pasar, medan selera, tokong atau bank dan mereka menjadikan wanita yang bersendirian sebagai sasaran," katanya.

Tragedi balik raya


SEORANG tekong (kiri) dan seorang PATI (dua dari kanan) yang berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam berhampiran Tanjung Pengelih, Kota Tinggi sempadan perairan Singapura semalam.


JOHOR BAHRU - Impian enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang beraya di negera asal tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut manakala empat yang lain hilang selepas bot pancung yang dinaiki karam berhampiran Tanjung Pengelih, Kota Tinggi sempadan perairan Singapura kelmarin.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang tekong warga tempatan berusia 44 tahun dan seorang lagi PATI berusia 26 tahun berjaya diselamatkan.
Katanya, bot pancung yang membawa PATI keluar secara haram dari Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang ke Batam, Indonesia itu dipercayai karam akibat dipukul ombak.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan melalui talian 999 daripada seorang nelayan tempatan kira-kira pukul 8.25 malam kelmarin memaklumkan menemui seorang mangsa bot karam.
"Hasil maklumat tersebut, Maritim Malaysia menggerakkan sebuah kapal dan sebuah bot laju dibantu pasukan Polis Marin dari Pangkalan Polis Marin Stulang dengan kekuatan 30 anggota ke lokasi yang dilaporkan bagi gerakan mencari dan menyelamat.
"Nelayan berkenaan telah menyerahkan mangsa kira-kira pukul 9.30 malam dan dalam operasi mencari, kita berjaya menemui seorang lagi mangsa yang berpaut pada boya dan dia dibawa ke jeti Marina yang terletak kira-kira tiga batu nautika dari tempat kejadian untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Adon berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mangsa tersebut, empat lagi mangsa termasuk seorang wanita dipercayai hanyut ke perairan Singapura dengan berpaut pada tong-tong kecil.
"Kira-kira pukul 2 pagi tadi (semalam) pihak Polis Pengawal Pantai Singapura memaklumkan penemuan satu mayat lelaki warga Indonesia yang dipercayai salah seorang mangsa bot pancung yang karam itu," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, hasrat 12 orang PATI untuk pulang beraya di kampung halaman tidak kesampaian apabila mereka ditahan pasukan Polis Marin Wilayah 2 di sebuah kebun dekat Sungai Cemaran, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Rabu lalu.
Timbalan Komander Polis Marin Wilayah 2, Superintendan N. Kalai Chelvan berkata, kesemua mereka yang berusia 20 hingga 46 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam di kawasan kebun berkenaan yang merupakan pusat transit sebelum mereka diseludup keluar dari negara ini secara haram melalui laluan laut.

Kubu pemberontak Syria dibedil


SEORANG anggota Tentera Pembebasan Syria membawa pelancar roket grenad di sebatang jalan raya di Damsyik semalam.


ALEPPO - Tentera Presiden Bashar Al-Assad membedil kubu-kubu pemberontak di sini dan beberapa bahagian lain di Syria semalam dengan pertempuran sengit dilaporkan berlaku di ibu kota Damsyik.
Perkembangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil pulang pasukan pemerhatinya dari Syria.
Negara itu turut berdepan beberapa demonstrasi yang diadakan selepas selesai solat Jumaat.
Konflik berdarah yang berlanjutan selama 18 bulan itu di negara ini tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan reda.
PBB mengumumkan untuk membatalkan misi pemerhati di Syria kelmarin ketika masyarakat antarabangsa masih bertelagah berhubung kaedah yang sesuai untuk menamatkan pertumpahan darah dan menangani rejim Bashar.
Rusia meminta satu mesyuarat tergempar diadakan di New York semalam melibatkan duta-duta daripada anggota kumpulan Tindakan Geneva berhubung Syria.
Namun, masih tidak jelas sama ada negara Barat yang masih marah terhadap Moscow dan Beijing akan menghadiri mesyuarat tersebut.
Rusia dan China sebelum ini menggunakan kuasa veto masing-masing untuk membatalkan resolusi PBB yang dikemukakan Barat bagi menangani krisis di Syria.
Misi pemerhati itu berakhir tiga minggu selepas Kofi Annan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai utusan PBB/Liga Arab ke Syria.
Peletakan jawatan tersebut berpunca daripada kekecewaan Annan berhubung perbezaan pendapat dalam kalangan kuasa dunia dan peningkatan konflik ketenteraan yang menghalang pelan damainya.
Namun, beberapa diplomat dan pegawai berkata, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon masih mahukan kehadiran pasukan pemerhati PBB di Syria.
Menurut mereka, Ki-moon sedang berunding dengan bekas Menteri Luar Algeria, Lakhdar Brahimi untuk mengambil alih tugas Annan.
Menurut beberapa aktivis kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia, lebih 23,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan kuku besi Bashar bermula pada Mac 2011.
Semalam, tentera Bashar bertempur dengan pemberontak Tentera Pembebasan Syria (FSA) dekat sebuah lapangan terbang tentera utama di Damsyik.
Pihak tentera turut membedil bahagian selatan ibu kota itu dan di beberapa kawasan di bandar Aleppo serta wilayah Deir Ezzor di selatan negara itu.
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh selepas 180 orang mati di seluruh negara itu kelmarin.
Ia turut melaporkan bahawa mayat 65 orang yang tidak dikenali turut ditemui di bandar Qatana di barat daya Damsyik tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Di wilayah Hama, berpuluh-puluh orang menyertai satu demonstrasi sambil melaungkan slogan bahawa kemenangan pasti berlaku.
Kelmarin, beberapa aktivis melaporkan bahawa tentera Syria membedil sekumpulan penduduk yang berhimpun di luar kedai roti di sebuah daerah di bandar Aleppo.
Bandar itu kini merupakan pusat pertempuran antara tentera Bashar dengan pemberontak FSA.
Beberapa kumpulan hak asasi menuduh rejim pemerintah Syria itu melakukan kekejaman pada Rabu lepas apabila sekitar 40 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan udara besar-besaran ke atas kubu pemberontak di Aazaz, dekat Turki.
Pihak berkuasa Turki memberitahu, lebih 2,000 orang memasuki sempadan negara itu sejak serangan tersebut berlaku.
Sementara itu, sebuah panel PBB menyatakan, tentera Bashar dan militianya melakukan jenayah kemanusiaan termasuk membunuh dan menyeksa mangsa.
"Kami sedar bahawa kami bukan lagi mangsa keadaan dalam konflik ini kerana Bashar sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran," kata seorang penduduk daerah Saif Al-Dawla di Aleppo, Yasmine Shashati.
Dalam pada itu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengulangi gesaannya supaya Bashar meletak jawatan berhubung serangan yang berlaku terhadap rakyat Syria.
"Dasar Perancis jelas. Kami menganggap Bashar sebagai penyembelih rakyatnya sendiri. Beliau perlu pergi (meletakkan jawatan), lebih cepat (meletakkan jawatan) lebih baik," katanya di Jordan.
Fabius yang berada di Lebanon semalam memberitahu agensi berita AFP bahawa Bashar akan dikejutkan dengan lebih banyak tindakan berpaling tadah tidak lama lagi.
Tekanan terhadap Bashar bertambah apabila Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggantung keanggotaan Syria dalam badan itu kelmarin.
Tindakan yang sama dilakukan oleh Liga Arab pada tahun lalu dengan alasan ia tidak dapat menerima rejim yang membunuh rakyatnya sendiri.
Keputusan OIC tersebut ditolak oleh Syria.
Menurut Syria, keputusan itu merupakan konspirasi terhadap negara berkenaan yang didalangi Barat dan disokong oleh Arab Saudi serta beberapa seteru Damsyik di Asia Barat. - AFP

Empat rentung kelab malam terbakar


SALAH seorang pelancong Perancis yang cedera.


BANGKOK - Sebuah kelab malam yang popular dalam kalangan pelancong di Thailand terbakar awal semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang mati manakala 20 orang lagi cedera, kata beberapa pegawai.
Beberapa pekerja hospital dan warga asing merupakan antara mangsa dalam kebakaran kelab malam itu, Tiger di Phuket.
Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat-mayat mangsa yang rentung dari dalam timbunan kelab malam tersebut selepas api berjaya dipadamkan.
"Empat orang disahkan mati. Kami percaya mereka merupakan pelancong asing tetapi ia masih belum dapat dipastikan," kata Timbalan Gabenor Phuket, Chamroen Tipayapongtada menerusi telefon.

SEORANG lelaki melintasi kelab malam Tiger selepas kebakaran dipadamkan.


"Kebakaran berlaku selepas sebuah transformer di kelab malam berkenaan dipanah kilat dengan api merebak ke seluruh premis itu," tambahnya.
Beberapa petugas hospital di resort tepi pantai Patong memberitahu, mereka yang cedera termasuk warga tempatan dan pelancong asing.
"Kami menerima lebih 20 orang yang cedera dalam kebakaran di pub Tiger. Kebanyakan mereka mengalami sesak nafas," kata seorang pekerja hospital itu.
"Dua lagi berada dalam keadaan kritikal akibat tubuh mereka yang teruk melecur," tambahnya.
Menurut petugas berkenaan, mayat empat orang yang terkorban rentung sehingga sukar untuk pihak berkuasa mengecam identiti mangsa. - AFP

Program realiti tawar tiket ke Marikh


GAMBAR lakaran artis menunjukkan kapsul yang menjadi tempat penempatan angkasawan di Marikh pada April 2023.


THE HAGUE, Belanda - Sebuah program realiti televisyen akan menghantar empat angkasawan ke planet Marikh pada April 2023.
Penghantaran itu tujuh tahun lebih awal daripada rancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS).
Projek itu dikenali sebagai Mars One dan pencarian angkasawan tersebut akan bermula pada tahun depan.
Menurut jurutera mekanikal, Bas Lansdrop, 35, kos untuk melaksanakan misi itu ialah AS$6 bilion (RM18.79 bilion) dua kali lebih tinggi daripada kos kenderaan robotik Curiosity milik NASA.
Kehidupan angkasawan itu akan dirakamkan dan mereka tinggal dalam kapsul yang berasingan.
Kapsul, makanan dan kenderaan robotik akan dihantar antara 2016 dan 2022.
Berdasarkan rancangan Lansdrop, kumpulan pertama melibatkan empat angkasawan itu akan disertai oleh beberapa orang lagi sehingga terdapat satu koloni manusia seramai 20 orang sedekad kemudian di Marikh.
Eksperimen saintifik termasuk mencari petunjuk kehidupan akan turut dilakukan.
Planet itu mempunyai suhu - 55 darjah Celcius manakala ruang udaranya dipenuhi dengan karbon dioksida.
Menurut Landsdrop, bekalan oksigen akan diperoleh daripada air yang ditemui di bawah permukaan Marikh.
Ketika ini Curiosity berada di Marikh selepas mendarat pada 5 Ogos menerusi penerbangan sejauh 566 juta kilometer ke Marikh selepas dilancarkan dari Florida, AS pada 26 November tahun lalu. - Agensi

Mata wang khas di bandar Britain


GAMBAR menunjukkan beberapa mata wang kertas Bristol Pound yang digunakan di Bristol. - AFP


BRISTOL - Ketika masyarakat Britain mengalami tekanan ekonomi ekoran krisis mata wang euro, pihak pentadbiran bandar ini merancang untuk memperkenalkan mata wang sendiri yang dikenali sebagai pound Bristol.
Inisiatif itu bertujuan untuk mengelakkan hasil kekayaan tempatan daripada mengalir ke tangan pihak luar.
Mata wang tersebut yang hanya boleh digunakan di bandar barat daya England ini akan dilancarkan September depan.
Pengasas bersama pound Bristol, Ciaran Mundy berkata, pihaknya menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila ratusan perniagaan di sini bersetuju untuk menggunakan mata wang berkenaan.
"Persepsi mengenai perbankan dan wang adalah ia satu sistem tanpa belas kasihan. Orang ramai akan menggunakan mata wang yang memberi manfaat kepada mereka," kata Mundy.
Menurutnya, wang kertas pound Bristol mempamerkan simbol kemegahan tempatan termasuk imej penulis kurun ke-19, Hannah More dan pesawat supersonik Concorde.
Sebahagian pesawat berkenaan dibina di bandar ini.
Jelas Mundy, pemilik perniagaan boleh membayar cukai tempatan dengan menggunakan pound Bristol manakala 17,000 kakitangan majlis perbandaran di sini boleh memilih untuk menerima sebahagian gaji mereka dengan menggunakan mata wang itu. - AFP

No comments:

Post a Comment