Keluarga pelatih PLKN terima pampasan insurans
|
SHAH ALAM - Walaupun sudah hampir lima bulan, R. Vinoth, 18, (gambar kecil) meninggal dunia ketika menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Terkok, Sungai Siput, Perak, kehilangannya masih dirasai ahli keluarga di Flat Sungai Rasau, Jalan Batu Tiga Lama, Seksyen 16 di sini.
Menurut ibunya, R. Vasantah, 47, dia masih masih terkenang detik-detik manis bersama anak bongsu daripada empat beradik itu yang sebelum ini begitu teruja untuk menyertai PLKN.
"Dialah anak bongsu yang paling disayangi dan menjadi harapan keluarga untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. Mungkin sebab itu kami sukar menerima hakikat telah kehilangan dia," kata Vasantah ketika ditemui di sini semalam.
Dia ditemui selepas menerima cek bayaran pampasan insurans PLKN bernilai RM55,000 yang disampaikan oleh Ahli Majlis PLKN yang juga Setiausaha Agung MIC, Datuk V. Murugesan. Turut hadir ialah Pengarah Pengurusan PLKN, R. Manoranjitham.
Vinoth dilaporkan meninggalkan dunia pada 12 Mac lalu disebabkan demam dipercayai akibat jangkitan kencing tikus ketika menjalani latihan di dalam kolam.
Sementara itu, bapa Vinoth, S. Raman, 47, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia sering menangis apabila melihat gambar mendiang anaknya yang dikalungkan bunga setiap hari.
Cuaca panas, kering sampai Oktober
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan keadaan panas dan kering di rantau ini berpanjangan sehingga Oktober depan.Berikutan itu, orang ramai dinasihat tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi memastikan status kualiti udara di seluruh negara berada pada tahap sihat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya semalam menyebut terdapat beberapa kebakaran kecil di negara ini yang menjadi punca kemerosotan kualiti udara setempat seperti di belakang Taman Sains Selangor di Cyberjaya, Jalan Kebun dan Johan Setia, Klang serta berhampiran Lebuh Raya Kesas.
Punca kemerosotan juga disebabkan 42 hektar tanah gambut yang masih berasap di kawasan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS), Bestari Jaya.
JAS berkata, Perintah Larangan Pembakaran Terbuka bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak masih berkuat kuasa.
Menurutnya, kemerosotan kualiti udara di pantai barat Semenanjung Malaysia sejak kelmarin berpunca daripada pencemaran jerebu yang merentasi sempadan.
Ibu buaya Sungai Telaga Air diburu
KUCHING - Keluarga nelayan yang berjaya menangkap seekor buaya yang hampir memasuki rumah mereka malam kelmarin, bertekad untuk menangkap seekor lagi reptilia tersebut yang kerap dilihat muncul di Sungai Telaga Air dekat sini.
Mohd. Saiful Sulaihi, 35, berkata, dia bersama rakannya kini merancang untuk memburu buaya yang dipercayai ibu kepada reptilia yang ditangkap malam kelmarin meskipun terpaksa mempertaruhkan nyawa bagi memastikan keselamatan anak-anaknya terjamin.
Menurutnya, mereka merancang untuk memasang empat mata kail dengan menggunakan umpan ayam selain tali sepanjang 18 meter pada setiap kali waktu air pasang bagi menangkap haiwan ganas berkenaan.
"Pada ketika air pasang adalah masa terbaik untuk menangkap ibu buaya tersebut memandangkan masa tersebut haiwan ganas itu gemar muncul ke permukaan air.
"Buaya yang difahamkan sepanjang 4.8 meter itu dipercayai bertelur di kawasan tepi Sungai Telaga Air ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Saiful memberitahu, lokasi yang dekat dengan sungai dan sentiasa dinaiki air pada waktu air pasang menjadi tempat buaya bertelur.
Menurutnya, beberapa penduduk kampung sering ternampak tapak kaki buaya berhampiran dengan kediaman masing-masing.
Lelaki 'warak' jadi pencuri
KUALA LUMPUR - Para pengusaha stesen minyak kini berdepan dengan jenayah licik seorang penganggur yang bertindak mencuri wang dari stesen berkenaan beberapa jam selepas diambil bekerja.
Kosmo! difahamkan sekurang-kurangnya tiga stesen minyak di Lembah Klang telah mengalami kerugian beribu-ribu ringgit akibat dipedayakan oleh lelaki berusia 20-an itu.
Terbaharu, lelaki terbabit berjaya mempedayakan pengusaha sebuah stesen minyak di Puchong, Selangor untuk mengambilnya bekerja pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, lelaki yang menggunakan identiti palsu semasa memohon kerja itu mencuri RM4,268 dari stesen minyak itu.
Penyelia stesen minyak tersebut, Noorzieanna Naim berkata, dia tidak menyangka pemuda yang kelihatan warak itu didapati bertanggungjawab mencuri wang di stesen minyak berkenaan.
"Semasa dia minta kerja, kami lihat dia begitu baik dan jujur serta mempunyai pengetahuan dalam urusan stesen minyak.
"Mujur kami berjaya merakam perbuatannya mencuri melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Siling runtuh, empat cedera
SERDANG – Seorang pegawai perubatan dan tiga jururawat cedera apabila dihempap 15 keping siling yang runtuh ketika sedang bertugas di kaunter jururawat wad kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Serdang di sini semalam.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu berlaku apabila siling-siling yang runtuh itu menghempap kepala dan belakang badan keempat-empat kakitangan berkenaan yang berada di kaunter tersebut. Beberapa pesakit yang berada di dalam bilik rawatan berhampiran tidak cedera.
Ekoran itu, seorang jururawat terpaksa menerima jahitan di tangan manakala tiga yang lain cedera ringan.
Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr. Ardi Awang (gambar kecil) berkata, siasatan awal pihaknya mendapati runtuhan berlaku apabila salah satu skru yang digunakan untuk mengikat dua penyokong lantai bumbung tercabut hingga menyebabkan satu lagi penyokong patah.
“Runtuhan itu kemudian telah menimpa seorang pegawai perubatan dan tiga jururawat berusia lingkungan 20-an. Mereka kemudian diberi rawatan segera dan tidak melibatkan kecederaan serius.
“Hanya seorang jururawat menerima jahitan di tangan akibat terkena serpihan runtuhan. Mereka kemudian meneruskan tugas seperti biasa hari ini (semalam),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Penipu wanita sunyi dicekup
MELAKA - Warga Afrika seperti tidak pernah serik dengan kegiatan menipu wanita kesunyian walaupun banyak tangkapan telah dilakukan dan yang terbaru tiga Awang Hitam itu dan seorang wanita tempatan berketurunan Portugis diberkas atas kesalahan sama di sini kelmarin.
Suspek-suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun tersebut diberkas dalam serbuan di sebuah apartmen di Batu Berendam di sini pada pukul 12 tengah hari selepas polis melakukan risikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, sindiket tersebut menyasarkan wanita sunyi yang gemar melayari laman sosial untuk mencari teman berbicara.
Katanya, suspek menggunakan gambar lelaki kacak untuk menyamar dan memerangkap mangsa supaya jatuh cinta sebelum mula memperdaya wanita-wanita itu.
"Suspek kemudian menunjukkan beberapa sijil palsu menggunakan logo kerajaan Malaysia kononnya mereka diberikan projek bernilai jutaan ringgit termasuk pernah menerima cek berjumlah AS$1.8 juta (RM5.6 juta).
"Kesemua dokumen itu dihantar melalui e-mel dan mangsa yang sudi membantu suspek mengendalikan projek itu kemudian diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun kononnya untuk membayar cukai, komisen dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar semalam.
Mati selepas samun warga emas
SUNGAI PETANI - Seorang penyamun tidak sempat menikmati hasil rompakan sebanyak RM20,000 apabila dia tiba-tiba diserang sakit jantung sebaik melakukan jenayah itu bersama tiga lagi rakannya dalam kejadian di Taman Orkid, Sungai Layar di sini semalam.
Kejadian pukul 10.15 pagi itu berlaku selepas suspek berusia 46 tahun tersebut menyamun seorang warga emas, Yeoh Ah Seng, 66, yang baharu mengeluarkan wang daripada sebuah bank di Taman Pekan Baru, di sini.
Mengimbau semula kejadian itu, Ah Seng memberitahu, kejadian berlaku apabila dia dalam perjalanan pulang dengan menaiki sebuah motosikal dengan wang itu dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
Katanya, tanpa diduga, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal kemudian menghalangnya manakala dua lagi suspek mengacukan parang memaksanya berhenti.
"Suspek kemudian mengoyakkan poket seluar saya dan merampas wang tersebut. Saya kemudian lari ke sebuah rumah untuk bersembunyi.
"Ketika itulah saya ternampak salah seorang suspek terjatuh dari motosikal dan tidak lagi bergerak,"
Tentera Syria perhebat serangan
KAHERAH - Tentera Syria semalam meningkatkan serangan di beberapa buah bandar yang didiami kumpulan pemberontak, kata seorang aktivis daripada pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Askar-askar Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertempur dengan para pemberontak di wilayah Daraa dekat sempadan Jordan.
Para pemberontak merampas sebuah kenderaan berperisai daripada pihak tentera dalam pertempuran di bandar Tafs di Daraa.
Tentera Syria turut membedil daerah yang menyokong pemberontak di al-Shaar dan Hananu di timur bandar Aleppo.
Pertempuran juga berlaku antara tentera Syria dan para pemberontak di daerah Salaheddin di Aleppo.
Pada awal minggu ini, para pemberontak terpaksa melarikan diri dari kubu kuat mereka di Aleppo ekoran serangan besar-besaran tentera Bashar.
Kedua-dua pihak telah bertempur selama tiga minggu untuk menguasai bandar Aleppo.
Bandar Aleppo merupakan pusat komersial Syria.
Lebih 20,000 dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara tentera Bashar dengan para pemberontak bermula pada Mac tahun lalu.
Kumpulan pemberontak menuntut supaya Bahsar meletakkan jawatan selepas beliau gagal untuk membawa banyak pembaharuan pentadbiran di negara tersebut. - Agensi
250 maut gempa bumi di Iran
DUBAI - Beberapa buah hospital di barat laut Iran semalam menerima limpahan ribuan mangsa gempa bumi yang berlaku di sekitar bandar Tabriz kelmarin dengan mengakibatkan 250 orang terbunuh.
Ribuan penduduk lagi membuat khemah dan tidur di jalanan selepas gegaran gempa bumi berlaku.
Menurut beberapa pegawai, angka kecederaan dan kematian mungkin meningkat dengan ratusan mangsa masih terperangkap di celah runtuhan.
Anggota-anggota penyelamat berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan dalam kejadian gempa bumi yang berlaku pada bulan Ramadan.
"Saya melihat sejumlah orang yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan semua ternakan mereka turut mati," kata seorang jurugambar tempatan, Tahir Sadati menerusi telefon kepada agensi berita Reuters.
Menurutnya, dia melihat beberapa buah kampung mengalami kemusnahan teruk.
"Suatu perkara yang baik ialah gempa bumi itu berlaku ketika ramai orang tidak berada di dalam rumah.
"Jika ia berlaku pada waktu malam, angka kematian akan menjadi lebih buruk," katanya.
Kawasan yang teruk dilanda kemusnahan terletak di kampung-kampung luar bandar yang mengelilingi bandar Ahar, Varzaghan dan Harees dekat bandar utama Tabriz, menurut laporan media Iran.
Kebanyakan kampung sukar untuk dilalui menerusi jalan sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat.
Beberapa hospital di Tabriz, Ardabil dan bandar-bandar lain mempunyai ramai mangsa yang cedera.
Terdapat barisan pesakit yang panjang menunggu untuk dirawat.
Menurut seorang penduduk, dia pergi mendermakan darah di sebuah hospital kelmarin dan melihat kakitangan hospital terlalu sibuk untuk merawat pesakit yang ramai.
Kebanyakan pesakit dihantar oleh keluarga mereka sekali gus menunjukkan kekurangan ambulans.
"Orang ramai takut dan tidak mahu kembali ke rumah mereka kerana bimbang bangunan (tempat tinggal mereka) tidak selamat," kata seorang penduduk.
Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa bumi pertama berlaku pada kekuatan 6.4 magnitud.
Ia berlaku 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz.
Gempa bumi kedua berukuran 6.3 magnitud dan berlaku 11 minit kemudian dekat Varzaghan, 49 kilometer ke timur laut Tabriz.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Hassan Ghadami, sebanyak 110 buah kampung mengalami kerosakan.
Jurucakap Pertubuhan Palang Merah, Hossein Derakhshan memberitahu agensi berita Fars, lebih 2,000 orang dipercayai cedera.
Seorang pegawai Pertubuhan Palang Merah, Mahmoud Mozafar memberitahu agensi berita Mehr, kira-kira 16,000 orang telah diberi bantuan kecemasan.
Seorang wakil rakyat, Mohammad Hassan-Nejad berkata, jika bantuan tidak dipertingkatkan, angka kematian akan meningkat.
Bekalan air, elektrik dan telefon di Varzaghan terputus sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat, lapor Press TV.
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Zeinab di Kampung Mirza Ali Kandi memberitahu agensi berita AFP, dia melihat adiknya berumur lapan tahun dan kakaknya mati di depan matanya.
"Saya berada di luar rumah untuk bermain apabila ia (gempa bumi pertama berlaku.
"Saya berlari ke luar melihat adik saya dan mendapati dia berada di bawah runtuhan. Saya cuba untuk menariknya keluar. Kemudian saya mendengar kakak saya menangis dan apabila saya menoleh, batu besar berada di atas kepalanya. Saya kemudian berlari," katanya sambil menangis.
- Agensi
Kapal tentera AS berlanggar
MANAMA, Bahrain - Salah sebuah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengalami kerosakan kecil selepas ia berlanggar dengan kapal tangki minyak semalam dekat Selat Hormuz di Asia Barat.
Perlanggaran itu menyebabkan sebuah lubang kecil terbentuk pada badan kapal tersebut.
Menurut Tentera Laut AS dalam satu kenyataan, tiada seorang pun yang cedera dalam kejadian itu.
Perlanggaran itu melibatkan kapal tentera laut pemusnah, USS Porter dengan kapal tangki minyak M/V Otowasan yang mengibarkan bendera Panama.
Selat Hormuz terletak di Teluk Parsi yang merupakan laluan utama kapal-kapal minyak.
Ketegangan telah meningkat berhubung ancaman Iran utnuk menyekat laluan kapal tangki minyak di laluan tersebut sebagai tindak balas terhadap sekatan Barat.
Sebelum ini Barat melakukan pelbagai sekatan ke atas Iran termasuk larangan mengimport minyak dari negara tersebut ekoran isu nuklear.
Iran tidak mahu menghentikan program nuklearnya dengan mengemukakan alasan ia digunakan untuk tujuan menjana tenaga elektrik. - Agensi
ceritanya ketika ditemui semalam.
Arab Saudi sumbang AS$50 juta
|
RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah (gambar kecil) mengarahkan bantuan sebanyak AS$50 juta (RM155.79 juta) dihantar kepada etnik Rohingya di Myanmar.
Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, penduduk Muslim itu menjadi sasaran serangan pembunuhan, rogol, perpindahan secara paksa dan pembersihan etnik.
"Raja Abdullah telah mengarahkan bahawa bantuan berjumlah AS$50 juta akan diperuntukan kepada warga Muslim Rohingya di Myanmar," menurut satu laporan yang disiarkan media Arab Saudi semalam.
Bagaimanapun, media itu tidak menyatakan pihak yang melakukan penderaan ke atas etnik Rohingya.
Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch menyatakan pada 1 Ogos lalu bahawa etnik Rohingya ditangkap beramai-ramai, dibunuh dan dirogol anggota-anggota pihak berkuasa.
Terdapat 800,000 etnik Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai penduduk di Myanmar.
Pada minggu lalu, Kabinet Arab Saudi mengutuk keganasan terhadap penduduk Muslim di Myanmar.
Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 31 Julai lalu di Jeddah, Arab Saudi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak anggota-anggotanya menghantar bantuan kepada etnik Rohingya.
Keganasan di Rohingya bermula pada Jun lalu setelah beberapa orang daripada etnik itu dituduh merogol seorang wanita etnik Rakhine yang beragama Buddha.
Kumpulan etnik Rakhine kemudian menyerang penduduk Rohingya sehingga menyebabkan sebahagian mereka melarikan diri ke Bangladesh.
- Agensi
No comments:
Post a Comment