Wednesday, August 15, 2012

KITA TETAP MATI..JADI...JANGAN BUAT JAHAT DALAM DUNIA

Legenda badminton negara meninggal dunia

PUNCH GUNALAN bersama Boon Bee ketika mereka menjuarai acara beregu lelaki pada Kejohanan Seluruh England tahun 1971.


KUALA LUMPUR – Bekas jaguh badminton negara, Datuk Punch Gunalan meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya dekat sini pagi semalam akibat barah.
Gunalan, 68, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 6.20 pagi di pusat perubatan yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Subang Jaya itu selepas terlantar sakit tenat sejak dua minggu lalu.
Mendiang meninggalkan balu, P. Vijeyakumari, 64, dan seorang anak lelaki, Roshan Gunalan, 36, yang kini merupakan seorang doktor ortopedik.
Gunalan merupakan antara pemain badminton yang paling berbakat dalam acara perseorangan dan beregu yang pernah dilahirkan di negara ini apabila menyumbang beberapa butir pingat untuk negara pada beberapa kejohanan badminton antarabangsa.
Penglibatan cemerlang Gunalan dalam sukan badminton bermula pada awal 1960-an dengan menjadi juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan bagi acara perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran (1961-1963).
Sumbangan terbesar beliau ialah pernah muncul juara pada kejohanan badminton berprestij All England dalam acara beregu lelaki bersama pasangannya, Ng Boon Bee pada tahun 1971.

Perogol bersiri tikam gadis dijel

KOTA BHARU – Seorang perogol bersiri yang sedang menjalani hukuman penjara 28 tahun atas kesalahan rogol dan cabul di negeri ini sekali lagi dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah menikam paha seorang gadis yang gagal dirogolnya.
Majistret Muhamad Hafiz Mohd. Noor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Amran Che Jaafar, 30, seorang duda yang pernah dikaitkan dengan 20 kes rogol serta cabul.
Beliau menetapkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai semalam dan diarah berjalan serentak dengan tempoh hukuman penjara 28 tahun yang disabitkan sebelum ini.
Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 28 tahun.
Sebaik hukuman dijatuhkan semalam, Amran sempat mengucapkan selamat hari raya kepada Muhamad Hafiz.
“Selamat Hari Raya Yang Arif,” ujarnya sambil tersenyum.
Amran dibawa ke hadapan mahkamah dengan kawalan ketat apabila dua pegawai penjara yang mengawalnya turut masuk ke dalam kandang tertuduh.
Tertuduh mengaku mencederakan promoter sebuah pusat membeli-belah berusia 25 tahun itu di bilik asrama tingkat atas sebuah kedai perkakasan di Jalan Hamzah di sini dengan menggunakan sebilah pisau pada pukul 8.30 pagi 15 Mei tahun lalu.

Penjahat bulan Ramadan dicekup


DUA suspek yang terlibat kes pecah rumah di Seksyen 1, Wangsa Maju ditahan di Balai Polis Wangsa Maju kelmarin.


KUALA LUMPUR – Ketika umat Islam sibuk membuat amal ibadat pada hari-hari terakhir bulan Ramadan, lain pula perangai dua lelaki yang mengambil kesempatan memecah masuk beberapa buah rumah di Wangsa Maju di sini dipercayai bagi mengumpul duit raya.
Dua suspek warga tempatan itu bijak memilih masa apabila menyasarkan apartmen yang tiada penghuni sama ada pemiliknya keluar ke surau, masjid atau berbuka puasa.
Kegiatan dua sahabat itu terbongkar apabila mereka dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar-legar di sekitar sebuah flat di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 30-an itu kemudian cuba memecah masuk dua buah rumah di Blok A1 dan Blok A10 tetapi tidak berjaya kerana ramai penghuni lalu lalang di flat itu.
Selepas kegagalan itu, kedua-dua suspek berpisah untuk melakukan pecah rumah secara berseorangan.

Geng Simpang curi kereta tumpas


EMPAT buah kereta yang dirampas daripada tiga anggota Geng Simpang yang diberkas di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan baru-baru ini.


SRI KEMBANGAN – Kegiatan sebuah kumpulan penjenayah dikenali Geng Simpang yang aktif mencuri kenderaan dan melakukan samun tiga bulan lalu tumpas, ekoran tertangkapnya tiga lelaki di tempat letak kenderaan di Taman Puncak Jalil di sini baru-baru ini.
Kumpulan penjenayah itu digelar Geng Simpang kerana ketiga-tiga suspek yang berusia 25 hingga 28 tahun itu pernah ditahan di Simpang, Renggam, Johor dua tahun lalu.
Modus operandi anggota Geng Simpang ialah menggunakan pisau dan melarikan kenderaan mangsa yang enjinnya baru dihidupkan. Kawasan sasaran kegiatan jenayah kumpulan itu pula di sekitar kawasan perumahan.
Dalam kejadian di Taman Lestari Perdana di sini pada 3 Ogos lalu, sebuah kereta Perodua Myvi milik seorang wanita berusia 20-an dilarikan oleh tiga lelaki Geng Simpang.

Muka cedera selepas guna pakej percuma


PEE LAY (kanan) dan Book (tengah) menunjukkan laporan polis dan gambar kerosakan pada kulit mukanya di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Gara-gara mahukan kulit yang cantik dan menawan, seorang wanita terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan di bahagian muka berikutan alahan selepas menerima tawaran mencuci muka secara percuma di sebuah pusat kecantikan pada 30 Mei lalu.
Wanita tersebut, Choo Pee Lay, 34, berkata, sesi mencuci muka secara percuma tersebut diberi berdasarkan pakej kecantikan yang diambilnya pada 29 April lalu dengan bayaran deposit sebanyak RM3,800.
“Saya merupakan ahli kepada pusat kecantikan tersebut selama dua tahun dan sebelum ini saya tidak mengalami sebarang masalah selepas menggunakan produk mereka.
“Namun saya tidak tahu kenapa muka saya menjadi merah dan gatal selepas dicuci menggunakan produk pakej percuma sehinggakan saya tidak dapat bekerja selama seminggu,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA Selangor di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book.

Bayi ditinggal pengasuh melecur


Meysshvin yang melecur hampir seluruh badannya selepas rumah pengasuhnya di Flat Mak Mandin, Butterworth terbakar semalam.


SEBERANG JAYA – Seorang bayi lelaki kini terpaksa bertarung nyawa selepas 70 peratus bahagian badannya melecur teruk apabila rumah pengasuhnya yang terletak di tingkat empat Flat Mak Mandin, Butterworth dekat sini terbakar semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 10.30 pagi, Y. Meysshvin berusia enam bulan yang sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu rumah ditinggalkan berseorangan oleh pengasuhnya, G. Sarojh, 48, yang keluar untuk ke kedai runcit di tingkat bawah flat berkenaan.
Mangsa yang sempat diselamatkan pengasuhnya itu dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) oleh jiran sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Sarojh ketika ditemui di HSJ berkata, dia hanya mengetahui rumahnya terbakar selepas diberitahu seorang jirannya.
“Semasa kejadian saya baru meninggalkan Meysshvin. Saya berada di tingkat bawah untuk beli barang dan saya tinggalkan Meysshvin kerana dia sedang tidur.
“Bila dapat tahu rumah saya terbakar, saya terus berlari masuk ke dalam rumah dan selamatkan Meysshvin yang masih berada dalam buai dan sedang menangis,” katanya yang memberitahu, ketika itu api mula membakar ruang tamu.

Dua sepupu maut dipanah petir


TUAN AHMAD SALIHIN (kiri) dan Tuan Mohammad. Azhar mati dipanah petir di Kampung Pengkalan Berangan, Marang semalam.


MARANG – Dua sepupu akrab mati dipanah petir dalam kejadian di Kampung Pengkalan Berangan di sini petang semalam.
Mangsa, Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan Tuan Mohammad Azhar Tuan Sulaiman, 9, dipercayai sedang membantu bapa Tuan Ahmad Salihin menangkap lembu serta kerbau di Kampung Felda Cadur di sini sebelum dipanah petir pada pukul 2.30 petang.
Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan di sini.
Sementara itu, ibu Tuan Ahmad Salihin, Norhayati Mohd. Nor, 37, berkata, kedua-dua mereka akrab dan kerap kali mengikuti suaminya menambat lembu atau kerbau orang kampung.
“Dia tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kejadian, hanya memberitahu cikgu ada memberi duit raya RM2 sebelum mengikuti bapanya.
“Bahkan, hanya dia seorang sahaja yang sudah mempunyai baju raya sempena Aidilfitri ini,” katanya mengenai anak keenam dari tujuh beradik itu.

Bank Standard didenda RM1.08 bilion

IBU pejabat bank Standard Chartered di London, Britain kelmarin.- Agensi


NEW YORK – Standard Chartered didenda AS$340 juta (RM1.08 bilion) kerana berurus niaga dengan beberapa pelanggannya dari Iran.
Denda itu dikenakan oleh pihak berkuasa Perkhidmatan Kewangan New York selepas bank berkenaan dituduh menyembunyikan 60,000 transaksi berjumlah AS$250 bilion (RM796.62 bilion) dengan beberapa klien Iran selama lebih 10 tahun.
Standard Chartered beribu pejabat di London.
Penyelesaian tersebut jauh lebih ringan berbanding hukuman berat yang menjadi kebimbangan para pelabur sebelum ini.
Mereka khuatir pihak berkuasa perbankan Amerika Syarikat (AS) iaitu Jabatan Perkhidmatan Kewangan akan membatalkan lesen Standard Chartered di New York.
Antara klien Iran yang didakwa terlibat dalam skandal itu termasuk Bank Pusat Iran dan Bank Nasional Iran.
Kedua-duanya dituduh Washington sebagai membantu Iran membina senjata nuklear dan membiayai keganasan.
Berdasarkan terma penyelesaian dengan pihak berkuasa berkenaan, Standard Chartered bersetuju menempatkan seorang pegawai antipenggubahan wang haram selama dua tahun di cawangan bank berkenaan di sini.
Standard Chartered juga akan melantik beberapa juruaudit dalaman bagi memeriksa sama ada bank berkenaan mematuhi sekatan-sekatan AS berhubung operasinya dengan Iran.
“Standard Chartered sebelum ini menawarkan AS$5 juta (RM15.63 juta) untuk menyelesaikan isu tersebut, jelas sekali, penyelesaian ini jauh lebih tinggi,” kata penganalisis firma Morningstar, Erin Davis.
Menurutnya, denda AS$340 juta itu tidak akan mendatangkan impak yang besar ke atas kedudukan kewangan bank berkenaan.
Pada separuh pertama tahun ini, Standard Chartered melaporkan keuntungan berjumlah AS$3.95 bilion (RM12.58 bilion).
Sementara itu, sebuah kumpulan pelobi AS menyatakan hukuman yang dikenakan ke atas bank berkenaan terlalu ringan.
“Mana-mana institusi kewangan yang didapati melanggar sekatan Iran sepatutnya dibatalkan lesennya di AS,” kata kumpulan itu dikenali sebagai Barisan Penentang Nuklear.
Sejak sedekad lalu, AS dan sekutu-sekutunya telah melaksanakan sekatan ke atas beberapa bank Iran, institusi dan individu dalam usaha menghentikan program senjata Iran.
Persoalan tentang senjata nuklear Iran menjadi isu panas menjelang pilihan raya Presiden AS pada November depan dengan beberapa kumpulan berpengaruh memberikan tekanan kepada Presiden Barack Obama supaya bertindak lebih tegas terhadap Iran. - AFP

Bayi terjatuh ke dalam lubang


SEORANG anggota bomba menyelamatkan bayi berusia 14 bulan dari lubang itu.


HARBIN, China - Seorang bayi yang terjatuh ke dalam sebuah lubang di sebatang jalan raya di sini telah diselamatkan oleh anggota-anggota bomba kelmarin.
Bayi berusia 14 bulan itu dan terjatuh ke dalam lubang tersebut yang terbentuk dengan tiba-tiba pada pukul 4 petang waktu tempatan di Jalan Liaoyang.
Lubang tersebut sedalam 10 meter.
Menurut beberapa saksi, mereka melihat sebilangan orang turut terjatuh ke dalam lubang tersebut.
Mangsa-mangsa yang cedera itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Punca kejadian masih disiasat. - Agensi

Bayar RM37 untuk lihat kapal terbalik


GAMBAR fail pada 13 Julai lalu menunjukkan kapal Costa Concordia terbalik dekat Pulau Giglio, Itali.


PULAU GIGLIO, Itali - Para pelancong yang berkunjung ke bekas pelabuhan nelayan di Santo Stefano di sini ditawarkan pengalaman baharu walaupun ia sedikit menggerunkan.
Dengan bayaran serendah AS$12 (RM37), para pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat bangkai kapal persiaran mewah Costa Concordia seberat 114,500 tan yang terbalik di kawasan cetek di Pulau Giglio pada 13 Januari lalu.
Dalam kejadian itu, 32 orang penumpang terbunuh.
"Pulau itu kini menjadi tumpuan bukan kerana keindahan tempatnya tetapi kerana tragedi menjadi lebih menarik berbanding tempat-tempat yang indah," kata seorang pelajar, yang dikenali sebagai Daniela, 23.
Para pelancong akan dibawa berdekatan dengan kapal Costa Concordia yang membawa seramai 4,000 penumpang ketika ia terbalik.
"Amat mengecewakan apabila melihat kapal itu terdampar, tetapi kehidupan di pulau ini perlu diteruskan dan ia menjadi sebab kenapa kami mahu menghabiskan percutian di sini," kata seorang penumpang lain, Lucia.
Datuk Bandar Giglio, Sergio Ortelli, menyatakan terdapat peningkatan pelancong ke pulau ini kerana mereka mahu merakamkan gambar kapal tersebut.
Kapal itu terbalik selepas ia terlanggar batu karang dan belayar terlalu dekat dengan pulau tersebut pada kelajuan yang tinggi. - Agensi

Perompak rumah Jobs dipenjara


GAMBAR fail menunjukkan rumah Jobs di Palo Alto, California. Gambar kecil: McFarlin


PALO ALTO, California - Beberapa buah komputer dan barang peribadi bernilai lebih AS$60,000 (RM187,590) dilarikan seorang perompak, Kariem McFarlin daripada rumah milik pengasas bersama syarikat Apple Inc., mendiang Steve Jobs, di sini yang terletak di utara California.
"Saya tidak pernah mendapat panggilan sebanyak ini daripada orang ramai," kata Timbalan Peguam Daerah Santa Clara, Scott Tsui tentang kejadian rompakan yang berlaku pada 17 Julai lalu itu.
"Selain daripada fakta ia melibatkan Jobs, ia merupakan satu kes rompakan biasa," tambahnya.
McFarlin, 35, telah ditangkap pada 2 Ogos lalu dan telah didakwa kerana melakukan pecah rumah dan menjual barang curi.
Dia dipenjara sehingga kesnya didengar pada 20 Ogos depan,
Namun, ikat jaminnya ialah AS$500,000 (RM1.56 juta).
Pihak berkuasa percaya McFarlin tidak menyedari bahawa beliau telah memecah masuk rumah Jobs.
Rumah tujuh bilik kepunyaan Jobs itu menjadi sasaran kerana ia sedang diubah suai dan dilihat kurang kawalan keselamatan, kata pihak berkuasa.
Pihak berkuasa percaya rumah tersebut tidak berpenghuni ketika rompakan tersebut berlaku.
Jobs, meninggal dunia pada Oktober lalu ketika berusia 56 tahun. - AFP

Lelaki mati dalam flat dipenuhi sampah


SAMPAH sarap memenuhi kawasan flat milik seorang lelaki tua yang ditemui mati di Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Seorang lelaki Singapura berusia 76 tahun ditemui mati di dalam flatnya yang penuh dengan timbunan sampah sarap sehingga ke siling, menurut satu laporan semalam.
Akhbar Straits Times melaporkan, lelaki berkenaan yang tinggal bersendirian gemar menyelongkar tong-tong sampah sejak sedekad lalu.
Pasukan kecemasan dilaporkan mengambil masa hampir sejam untuk membuka pintu flat berkenaan yang berkunci pada Isnin lalu selepas beberapa jirannya mengadu mereka terhidu bau busuk dari kediaman tersebut.
Menurut laporan tersebut, petugas-petugas kecemasan mengambil masa hampir sejam lagi untuk mencari mayat warga emas yang berada di celah timbunan sampah sarap di flat empat bilik itu.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan semalam mereka menemui mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an di dalam sebuah flat perumahan awam.
Menurut polis, pihaknya menyiasat kes tersebut sebagai kematian luar biasa.
Seorang jiran mangsa pula memberitahu Straits Times bahawa tabiat lelaki itu menyelongkar tong sampah bermula selepas isteri dan anak perempuannya berpindah keluar dari flat berkenaan sekitar 10 tahun lalu.
Lelaki berkenaan akan menyelongkar tong-tong sampah sekitar kawasan kediamannya dan memasukkan barangan yang dikutip ke dalam beberapa beg plastik di flatnya.
"Apabila saya tanya apa yang terdapat di dalam beg-beg itu, dia menyatakan, harta karun," ujar jiran tersebut.
Menurut jirannya, flat lelaki itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik manakala pintu depannya dipasang dengan beberapa mangga kunci.
Singapura memiliki populasi warga emas yang tinggi dengan semakin ramai orang tua tinggal bersendirian.
Menurut beberapa pegawai, sekitar 20 peratus rakyat Singapura akan berusia 65 tahun atau lebih tua menjelang 2030. - AFP

Letupan dekat hotel di Damsyik


BEBERAPA buah kenderaan yang terbakar dapat dilihat dekat sebuah hotel di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Satu letupan besar menggegarkan pusat bandar raya ini semalam dan membentuk sebuah bebola api berdekatan sebuah hotel yang digunakan oleh pasukan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Syria.
Serangan tersebut didakwa dilakukan oleh pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Seorang pegawai tentera di lokasi kejadian berkata, letupan itu menyebabkan sebuah lubang besar terbentuk pada sebuah lori tangki dekat hotel Dama Rose di sini dan mencederakan sekurang-kurangnya lima orang.
Menurutnya, Timbalan Menteri Luar Syria dan staf PBB yang berada di hotel berkenaan tidak cedera dalam serangan tersebut.
"Operasi kali ini disasarkan ke atas sebuah pejabat pentadbiran tentera dengan bom dipasang untuk meletup pada mesyuarat pegawai-pegawai tentera dan anggota militia Shabiha berlangsung di sini," kata koordinasi FSA di Syria, Maher Nuwaimi.
Shabiha merupakan militia propemerintah Syria.
Komander FSA berkenaan memberitahu, bangunan tentera yang menjadi sasaran mereka menempatkan sebuah depot minyak selain simpanan peluru dan senjata api yang dibekalkan kepada pasukan tentera di sini.
"Operasi ini bertujuan untuk meningkatkan moral FSA dan memaklumkan kepada Bashar bahawa kami mampu melakukan operasi terancang kerana kami tahu perkembangan para pegawainya," ujar Maher di Beirut.
Ibu kota Syria itu kerap menjadi sasaran beberapa letupan bom termasuk serangan ke atas ibu pejabat keselamatan negara pada bulan lalu yang membunuh empat ketua keselamatan Presiden Bashar Al-Assad.
FSA mengaku melakukan serangan maut itu.
Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB dijadualkan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan masa depan misi pemerhati badan dunia itu di Syria.
Mandat PBB di bawah bekas utusan antarabangsa PBB/ Liga Arab di negara berkenaan tamat pada Ahad ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, lebih 23,000 orang terbunuh sejak rakyat Syria bangkit menentang pemerintahan Bashar kerana menuntut kebebasan demokrasi sejak 18 bulan lalu.
Sementara itu, beberapa lelaki bersenjata di Lebanon mengaku telah menangkap lebih 20 warga Syria.
Warga Syria itu akan dibebaskan jika seorang saudara kumpulan bersenjata itu yang ditawan pemberontak di Syria dibebaskan.
Ketegangan tersebut membayangkan betapa mudahnya perang saudara yang kini berlaku di Syria boleh merebak ke negara-negara jirannya.
Lebanon kini berpecah antara penyokong dan penentang rejim Bashar.
Pemberontak Syria kebanyakannya merupakan pengikut Sunah manakala Bashar dan pemimpin-pemimpin yang rapat dengannya merupakan menganuti mazhab Syiah.
Tahanan Lebanon di Syria berkenaan, Hassane Salim Al-Mikdad muncul dalam satu klip video yang disiarkan oleh pemberontak beberapa hari lalu.
Lelaki itu memberitahu bahawa dia adalah anggota pergerakan Hezbollah.
Pergerakan militan Syiah Lebanon itu bersekutu dengan penganut Syiah Iran dan Syria. - Agensi

No comments:

Post a Comment