Thursday, August 11, 2011

BILA AKAL TIADA DIGUNAKAN DENGAN BAIK...

Jangan sekadar warta kawasan



CADANGAN menjadikan kedai mamak sebagai zon bebas rokok perlu seiring dengan penguatkuasaan bagi memastikannya berkesan. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan perlu diperkasakan sekiranya Kementerian Kesihatan bercadang mewartakan kedai mamak dan kedai kopi sebagai zon bebas merokok di negara ini.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Penguna Malaysia, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, kerajaan boleh melakukan pelbagai peraturan namun ia tidak bermakna sekiranya tidak seiring dengan penguatkuasaan.
"Cadangan itu baik bagi mewujudkan komuniti yang sihat tetapi apa yang penting dalam hal ini ialah penguatkuasaannya.
"Tetapi kerajaan tidak boleh mengharapkan kepada kementerian semata-mata kerana mereka tidak boleh berada di semua lokasi pada setiap masa," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman yang memberitahu pihaknya bercadang untuk menjadikan kedua-dua tempat itu sebagai kawasan baharu zon bebas merokok.
Perkara serupa turut disuarakan Pengerusi Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George yang berpendapat, sudah tiba masanya pihak berkuasa serius dengan undang-undang yang dicipta.
"Kita sambut baik cadangan tersebut kerana tidak dinafikan ia dapat mewujudkan persekitaran yang sihat kepada orang ramai.
"Apa yang mustahak dalam hal ini ialah sokongan orang ramai serta golongan peniaga agar peraturan larangan itu kelak tidak diperlekehkan akibat tidak dipantau oleh pihak berkuasa," ujarnya.



Polis siasat punca remaja parah


MOHD. NASHIR (kiri) mendengar penerangan daripada pegawainya ketika melawat Muhammad Solihin yang koma di HSB, Alor Setar semalam.



ALOR SETAR – Polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan seorang remaja, Muhammad Solihin Che Kassim, 14, yang dikatakan koma selepas dibaling dengan topi keledar oleh dua anggota polis ketika melakukan rondaan di Kampung Felcra Lubuk Sireh, Chuping, Perlis Sabtu lalu.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Perlis, Supritendan Mohd. Nashir Ya berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang merbahayakan nyawa manusia.
Katanya, siasatan dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan daripada pihak-pihak terlibat iaitu bapa mangsa, Che Kassim Darus, 41, satu daripada anggota polis yang dikatakan membaling topi keledar kepada mangsa dan satu lagi laporan daripada seorang polis trafik.
“Keterangan saksi-saksi sedang dikumpul sebelum membuat rumusan mengenai kes tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melawat Muhammad Solihin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan Che Kassim mendakwa anaknya cedera parah di kepala akibat terkena topi keledar yang dibaling oleh anggota polis sewaktu menjalankan rondaan pukul 9.40 malam Sabtu lalu.


4 guru ditahan jual nama anak yatim raih simpati



KAKITANGAN JKM (kanan) mengiringi seorang jurujual wanita dan lelaki yang mengaku guru asrama anak yatim untuk disiasat selepas ditahan di Ayer Keroh, Melaka semalam.



MELAKA - Empat guru asrama anak-anak yatim sebuah pusat tahfiz ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam apabila didapati menjual barangan menggunakan nama pusat berkenaan bagi meraih simpati orang ramai.
Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM negeri, Saidatul Aini Jafri berkata, tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 25 hingga 29 tahun yang mendakwa guru dari pusat berkenaan yang terletak di Kedah ditahan ketika menjual pelekat ayat-ayat al-Quran, cakera padat, tisu dan madu kepada orang ramai.
"Mereka ditahan dalam operasi bersepadu JKM bersama-sama Jabatan Agama Islam Melaka, polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Operasi dijalankan setelah menerima banyak rungutan daripada orang ramai mengenai banyak kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti sebegini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Saidatul Aini berkata, operasi di 15 lokasi sekitar bandar Melaka dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh itu berjaya menahan keempat-empat individu terbabit ketika sedang melakukan jualan.

KDN bertindak terhadap The Star ekoran resipi khinzir dalam sisipan Ramadan



KERATAN akhbar The Star kelmarin.



KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri telah memanggil Ketua Pengarang akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai kerana penyiaran artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, dalam sisipan kelmarin, akhbar itu telah menyiarkan artikel bertajuk Ramadan Delights yang memuatkan gambar-gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.
Katanya, KDN memanggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan kesalahan akhbar itu berikutan tindakannya yang tidak sensitif kerana penyiaran artikel terbabit.
"Kementerian memandang serius kesalahan itu terutamanya kerana sisipan bertajuk Ramadan Delights itu merupakan ruangan khas bagi memberi panduan dan pilihan kepada umat Islam mengenai restoran untuk berbuka puasa," katanya dalam kenyataan di sini semalam.


Kereta penyeludup petrol rentung



ORANG ramai melihat kereta Proton Wira Aeroback milik penyeludup yang hangus terbakar selepas terlanggar kereta Proton Waja di Jalan Kangar-Padang Besar, Kangar malam kelmarin.



KANGAR – Taktik seorang penyeludup mengambil kesempatan waktu orang ramai sibuk bersembahyang tarawih untuk mengisi lebih petrol dalam kereta yang diubahsuai untuk menyeludup terbongkar apabila dia terlanggar kereta salah seorang jemaah di Kilometer 2, Jalan Kangar-Padang Besar malam kelmarin.
Kejadian berlaku pada pukul 9.40 malam apabila kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu penyeludup berkenaan dipercayai baru keluar dari stesen minyak berhampiran telah terlanggar sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di tepi jalan.
Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, perlanggaran tersebut mencetuskan kebakaran sehingga kereta penyeludup terbabit rentung manakala kenderaan jemaah tarawih itu hanya mengalami kerosakan kecil.
“Kereta milik jemaah terbabit tidak terbakar kecuali mengalami kecairan cat di belakang kereta akibat terkena haba api selain kemek di bonet dan lampu belakang pecah.
“Tindakan penyeludup terbabit membuat tangki tambahan di bahagian bonet hingga sarat dengan petrol memudahkan kenderaan tersebut terbakar,” katanya di sini semalam.
Katanya, kemalangan berlaku di jalan besar berhampiran masjid dan tiga buah stesen minyak.

Tetapkan suhu bilik 24 Celcius



SUHU di semua bangunan kerajaan ditetapkan 24 darjah Celsius bagi mengurangkan kos. - Gambar hiasan



PUTRAJAYA - Semua bangunan kerajaan diarahkan menetapkan suhu dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius sebagai langkah penjimatan tenaga, kata Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Beliau berkata, langkah kecekapan penggunaan tenaga itu akan berkuat kuasa selepas surat pekeliling mengenai perkara itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
"Perdana Menteri mengarahkan sebagai satu langkah yang bijak kecekapan penggunaan tenaga, semua bangunan kerajaan diminta menetapkan suhu bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius.
"Kecuali bagi tempat-tempat khas seperti hospital yang memang memerlukan paras suhu yang rendah," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas di sini semalam.
Terdahulu, kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau Negara dan Perubahan Cuaca, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.
Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, suhu yang ditetapkan itu adalah sesuai untuk persekitaran tempat kerja dan ia juga boleh menjimatkan keseluruhan bil elektrik sesebuah bangunan kerajaan itu.

Joey sah bercerai, nafi angkara orang ketiga


JOEY


KAJANG - Ikatan perkahwinan pelakon dan penyanyi Joey dan isterinya, Noraini Mohammad Nasir terlerai setelah Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan lafaz talak yang dibuat lebih setahun lalu itu sebagai sah.
Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah pada penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira keterangan yang konsisten oleh Joey dan Noraini yang menyatakan lafaz cerai talak satu berlaku pada 4 Jun tahun lalu di kediaman mereka adalah berbentuk syarih (jelas dan nyata).
Abdul Halim berkata, berkenaan isu lafaz rujuk dan mengadakan hubungan kelamin, Noraini mengatakan perkara itu benar-benar berlaku, sebaliknya Joey menafikan.
"Ada pihak yang mendakwa tetapi ada pihak menafikan, bagaimanapun masing-masing tidak menampilkan saksi bagi membuktikan dakwaan tersebut.
"Sehubungan itu, mahkamah mencadangkan kepada Noraini selaku plaintif untuk menawarkan sumpah kepada defendan Joey bagi membuktikan bahawa dakwaan rujuk semula tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya," ujar beliau.
Selain itu, Joey telah bersumpah di hadapan Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah bagi menafikan dakwaan Noraini bahawa berlakunya lafaz rujuk semula kepada wanita terbabit selepas empat hari lafaz cerai berlaku.

Obama anjur majlis buka puasa



BARACK OBAMA memberi ucapan kepada komuniti Islam di White House, Washington kelmarin.



WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Presiden AS, Barack Obama mengadakan majlis berbuka puasa di White House kelmarin.
Beliau menggunakan majlis itu untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk Islam yang berkhidmat untuk AS.
Obama juga menyatakan dalam majlis itu bahawa terdapat rakyat AS yang beragama Islam mati dalam serangan pengganas pada 11 September 2001 di negara ini.
Beliau memberitahu bahawa penduduk Islam di AS turut memberikan reaksi terhadap serangan pengganas yang berlaku di New York dan Washington.
Menurutnya, penduduk Islam di AS turut berkhidmat dalam tentera negara ini.
"Dalam tempoh sebulan, kita akan meraikan ulang tahun ke-10 serangan yang dahsyat yang membawa kesakitan yang amat sangat ke dalam hati kita," kata Obama kepada komuniti masyarakat Islam di White House.
Obama menganjurkan majlis berbuka puasa untuk komuniti masyarakat Islam pada setiap tahun sama seperti yang dilakukan oleh George W. Bush semasa beliau berkuasa.

No comments:

Post a Comment