Thursday, March 4, 2010

BUKAN SUMBER ILMU SAHAJA TETAPI KENA JUGA SEBAGAI SUMBER HUKUM....ULAMAK KENA UTARAKAN@CADANGKAN


Al-Quran sumber ilmu



Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Siti Anum Che Ab Wahab
am@hmetro.com.my
2010/03/04


PUTRAJAYA: “ Membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat Islam akan menjadikan ilmu Islam berkembang serta bercambah menunjangi cabang ilmu serta kemajuan.
“Ia akan membuahkan ilmu mengenai akidah, ibadah, akhlak, syariah dan fikah beserta akar kekarnya yang mampu memayungi peribadi manusia yang unggul, seumpama pohon rendang tempat manusia menumpang berteduh,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.


Najib berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca atau dihafal, tetapi lebih daripada itu menjadikan kitab suci itu sebagai sumber ilmu dan sumber intelektual dalam kehidupan. Menurutnya, al-Quran mengandungi mutiara pengetahuan yang amat berharga bagi manusia, malah, ilmuan Islam terdahulu menjadikan kitab suci itu sebagai sumber berfikir dan mencetuskan anjakan dalam kehidupan menyelesaikan masalah umat.


“Al-Quran membimbing umat Islam bagaimana memahami definisi kemajuan dan modenisasi serta memberi pendapat kepada umat Islam mengenai sains dan teknologi.


“Kita hendaklah menyakini sepenuhnya mengenai kebenaran setiap ayat al-Quran tanpa sedikit keraguan pun,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian imbuhan khas kepada johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, di sini, semalam.


Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Pada majlis itu, sembilan qari dan 11 qariah menerima imbuhan khas RM2,000.


Najib diberi penghormatan menyampaikan imbuhan berkenaan kepada qari, manakala Rosmah kepada qariah.


Pada 5 Februari lalu, Najib mengumumkan pembayaran imbuhan khas kepada johan qari dan qariah tilawah al-Quran peringkat antara bangsa secara tetap seumur hidup sebanyak RM2,000 sebulan berkuatkuasa Oktober lalu.


Najib berkata, imbuhan khas yang diberikan oleh kerajaan kepada johan qari dan qariah itu menunjukkan keprihatinan tinggi dan komitmen kerajaan dalam usaha mengiktiraf dan menghargai sumbangan penggiat dan pendidik al-Quran sekaligus akan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan kitab suci itu menerusi membaca, mempelajari dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment