KLANG: S.Usharani, 27, isteri kepada jutawan dari India  yang hilang, Allal Kanthan Muthuraja, 35, hari ini mendedahkan satu  rakaman perbualan telefon antara beliau dengan seorang peguam yang  dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk  Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Usharani memperdengarkan perbualan selama kira-kira dua minit yang  dirakam menggunakan telefon bimbitnya dengan peguam terbabit yang  merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan itu pada sidang media di  pejabat Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam di Kapar di sini.
Rakaman melalui perbualan telefon bimbit jenis Nokia yang berlangsung  dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan oleh peguam Y. Murugan itu  berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek berkenaan keadaan  suaminya, Allal.
Usharani berkata dalam perbualan pada 28  Januari itu, suspek mendakwa dia berada di Thailand dan hanya akan  memberitahu beliau mengenai keadaan suaminya sebaik suspek balik dari  negara itu.     Turut dimainkan ialah rakaman perbualan telefon antara  Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa dia adalah pegawai polis  dari Bukit Aman bernama ASP Suresh.      "ASP Suresh meminta saya wang  bernilai RM1 juta untuk menyelamatkan suami saya kerana mendakwa  ditangkap atas kesalahan penyeludupan dadah jenis ketamin di negara  ini,
" kata Usharani melalui terjemahan oleh Murugan.     Selain itu,  beliau yang baru tiba dari Chennai, India semalam berkata turut menerima  satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dia  adalah Inspektor Muru dari Bukit Aman dengan tujuan yang sama iaitu  untuk meminta wang daripadanya.     Sementara itu, Manikavasagam berkata  Usharani akan menyerahkan rakaman perbualan telefon itu kepada Ketua  Polis Negara Tan Sri Ismail Omar esok, kira-kira jam 11.30 pagi.      Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44,  pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham  Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan  hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan  pembelian tanah.      Pada 13 September lalu, polis mengesahkan  keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar  dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar semalam berkata kes  kehilangan  Allal kini disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302,  Kanun Keseksaan.     Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan  suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain apabila dia dilapor  hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga suspek utama  kes pembunuhan Sosilawati, di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala  Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lalu.
Usharani  membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis  Banting pada 8 September lalu dan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala  Langat tengah hari tadi untuk memberikan keterangan kepada polis. -  Bernama
 
No comments:
Post a Comment