Safura reda
Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my
KENANGAN...Safura bersama suami, Sharonizam Noor serta anak-anak,
Allahyarham Nur Aisyah Mariam (dua kiri) dan Yusoff Firdaus menjayakan
satu program televisyen sempena Aidilfitri Ogos lalu. Foto: Munira Abdul
Ghani
KUALA LUMPUR: Anak kepada penyanyi, pelakon dan penggiat teater,
Safura Yaacob, Nur Aisyah Mariam, tiga tahun meninggal dunia semalam
selepas Maghrib kerana demam berpanjangan sejak tiga hari lalu.
Anak ketiga kepada penyanyi yang popular menerusi lagu Sedalam Mana
Cintamu itu adalah anak sulung hasil perkahwinannya dengan Sharonizam
Noor juga seorang pelakon.
Safura ketika dihubungi berada di Hospital Ampang Puteri sedang
menunggu jenazah anaknya dimandikan sempat menyatakan rasa hibanya
kerana kehilangan anak secara tiba-tiba.
“Saya tidak tahu dan
tidak mampu berfikir ketika itu kerana semuanya mengejut. Apapun saya
menyifatkan kehilangan Mariam adalah ketentuan dan suratan buat saya
sekeluarga. Saya terima walaupun hakikatnya begitu pedih untuk ditelan.
“Saya memang tidak tahu punca kematiannya kerana apa yang saya
tahu, anak saya demam dan badannya panas sejak tiga hari lalu. Lantas
Mariam saya hantarkan ke Hospital Ampang Puteri, namun ketika itu doktor
hanya mengklasifikasikan demam biasa. Peliknya selepas pulang dan
mengambil beberapa ubat yang diberi, suhu badannya tidak menurun.
“Justeru petang tadi selepas beberapa hari suhu badannya masih
sama malah lebih teruk, saya bawa sekali lagi Mariam ke hospital yang
sama petang semalam. Namun selepas beberapa jam dirawat, doktor
mengesahkan Mariam sudah meninggal dunia dan tidak dapat diselamatkan.
“Jadi saya memang tidak tahu untuk menjelaskan bagaimana,” katanya
yang tidak mampu memberi kenyataan lanjut kerana tidak mampu menahan
perasaan sebak.
Safura ketika dihubungi berada di hospital bagi
menunggu jenazah anaknya dimandikan sebelum dibawa pulang ke
kediamannya di Ampang. Jenazah Mariam akan dikebumikan hari ini sebelum
Zuhur.
Hasil perkahwinan Safura sebelum ini, dia dikurniakan
dua anak, Nurul Natasha 17 dan Muhammad Daniel Khaqim 11. Bersama suami
sekarang, Sharonizam Noor, pelakon itu dikurniakan dua anak Nur Aisyah
Mariam dan Yusoff Firdaus yang masih berusia setahun.
Malah
Safura yang pernah tampil bersahaja menerusi teater Ronggeng Rokiah dan
Terima Kasih Cinta kini sedang sarat mengandung lima bulan.
Dua ‘merisik’ guna parang
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Satu majlis merisik bertukar huru-hara apabila dua
penjenayah bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam rumah dan menyamun
wang tunai serta barang kemas dipakai anggota rombongan merisik, selain
menetak dua daripada mereka yang cuba melawan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin di sebuah rumah
di Batu 4, Jalan Gombak, dekat sini, dan nilai keseluruhan barang kemas
serta wang tunai yang dilarikan dianggar RM50,000.
Difahamkan, anggota rombongan merisik itu membabitkan ibu, bapa,
abang dan kakak serta bakal pengantin lelaki berusia 20 hingga 50 tahun
pergi ke rumah bakal pengantin wanita untuk merisik dan menetapkan
tarikh perkahwinan
Sumber polis berkata, ketika perbincangan
keluarga kedua-dua pihak, dua lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan
parang meluru ke dalam rumah.
Menurutnya, dua penjenayah itu mengacukan parang dan mengarahkan
semua mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas dipakai.
“Bimbang dicederakan, keluarga kedua-dua bakal pengantin patuh
arahan itu dan menyerahkan barang kemas seperti gelang, rantai dan
subang kepada suspek.
Beli isteri orang
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Kasdi Ali
am@hmetro.com.my
KAMPAR: Kemaruk mengidamkan isteri orang menyebabkan seorang ‘samseng
miang’ tanpa segan silu berjumpa suami wanita berkenaan dan menawarkan
wang ribuan ringgit bagi membeli isterinya.
Kejadian dilaporkan berlaku awal bulan ini dan lelaki terbabit yang
berusia 23 tahun dengan selamba pergi ke rumah pasangan suami isteri di
sini berjumpa suami wanita terbabit bagi bertanyakan harga yang
mungkin dipersetujui.
Bagaimanapun, tindakan suspek yang sudah berumah tangga itu
menyebabkan si suami naik angin lalu menghalau suspek tanpa mengetahui
latar belakangnya yang memiliki pelbagai rekod jenayah.
Agak
mengejutkan apabila penjenayah miang itu tidak memberikan sebarang
reaksi, sebaliknya berlalu meninggalkan pasangan suami isteri berkenaan
dalam keadaan terpinga-pinga.
Sehubungan itu, suami mangsa membuat laporan polis dan
bertindak atas laporan itu suspek ditahan di rumah ibu bapanya di Taman
Kledang Emas, Buntong di Ipoh pada Jumaat lalu serta direman sehingga
Khamis ini untuk siasatan lanjut.